Pertama kali disiarkan pada 2 Disember 2022.
MASJID Biru Katara kini menjadi antara tarikan utama di Kampung Budaya Katara yang terletak di Doha, Qatar. Apatah lagi dengan Piala Dunia FIFA 2022 yang sedang berlangsung, masjid berkenaan menerima lebih ramai pengunjung daripada biasa.
Rata-rata pelawat yang hadir terdiri daripada warga asing selepas tertarik mendengar azan dikumandangkan.
Selain itu, pihak Kampung Budaya Katara turut menyediakan ruang istirahat berhampiran masjid yang mempunyai sebuah papan tanda bertulis: ‘Tanyalah saya tentang wanita di Qatar’ seperti yang dilaporkan The Peninsular Qatar.
Di ruang istirahat itu, pelawat wanita dari luar negara berpeluang menikmati teh dan kopi, di samping mempelajari tentang kehidupan sosial di Qatar menerusi khidmat beberapa orang sukarelawan yang bersedia menjawab sebarang persoalan.
Salah seorang sukarelawan, Umm Ahmed berkata: “Tujuan tempat (ruang istirahat) ini diadakan berhampiran masjid adalah untuk memperkenalkan budaya dan tradisi Qatar kepada warga asing.”
Tambahnya, kebanyakan soalan yang diterima oleh sukarelawan adalah berkisarkan hubungan sosial dan tradisi perkahwinan masyarakat Qatar.
“Mereka juga bertanya tentang kehidupan sebagai seorang Muslim berlandaskan nilai-nilai Islam. Malah kebanyakan pengunjung mengakui bahawa persepsi awal mereka terhadap Islam dan Muslim telah dicemari prasangka salah. Namun pandangan itu berubah 180 darjah setelah mereka berada di Qatar,” kata Umm.
Di pintu Masjid Biru Katara pula terdapat beberapa pekerja dan pendakwah dari Pusat Tamu Qatar berusaha memperkenalkan Islam kepada orang ramai.
Selain menjawab segala pertanyaan yang diajukan golongan bukan Muslim, pihak Pusat Tamu Qatar juga menganjurkan lawatan bagi memberi peluang kepada orang awam merasai suasana berada di dalam Masjid Biru Katara.
Masjid Katara yang juga dikenali sebagai Masjid Biru Katara direka oleh arkitek Turkiye, Zeynep Fadilloglu. Berbeza dengan rumah ibadah lain di sekitar negara teluk itu, Masjid Katara menampilkan jubin Parsi dan Turkiye menerusi gandingan warna biru serta emas.
Dari segi hiasa, ia diilhamkan oleh Istana Dolmabahce di Istanbul, manakala kubah dan menara masjid mengambil inspirasi daripada beberapa masjid terkenal di seluruh dunia.
Sumber: The Peninsular Qatar