Negara dilanda musim panas dan kemarau, rakyat diseru solat hajat mohon hujan
JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bakal menganjurkan solat hajat di masjid dan surau dibawah seliaan pihaknya hari ini, bagi memohon kesejahteraan buat negara dan masyarakat berikutan keadaan cuaca panas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut diminta berbuat perkara sama.
Menurutnya, keadaan cuaca panas dan kering melanda negara ketika ini yang memberikan kesan kepada kehidupan masyarakat dalam urusan seharian.
“Negara sedang berhadapan dengan keadaan cuaca panas dan kering yang memberikan kesan kepada kehidupan masyarakat dalam urusan seharian.
“Sehubungan dengan itu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus berdoa supaya cuaca kembali berada dalam keadaan baik.
“Saya telah meminta masjid-masjid di bawah seliaan Jakim iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, untuk melaksanakan solat hajat pada 1 Jun,” ujarnya dalam kenyataan pada Rabu.
Jabatan Metrologi sebelum ini menjangkakan Malaysia akan mengalami cuaca panas dan kering berpanjangan sehingga Ogos, susulan peralihan monsun.
Sunah solat meminta hujan
Selain melaksanakan solat hajat, anda juga boleh melakukan solat istisqa’ iaitu solat meminta hujan sebagaimana pernah dibuat oleh Rasulullah SAW
Dari Anas bin Malik RA, katanya: “Pada suatu ketika di zaman Nabi, terjadi musim kemarau. Ketika Nabi SAW membaca khutbah Jumaat, tiba-tiba seorang Arab dusun berdiri dan berkata: Ya, Rasulullah! Harta benda telah binasa dan rakyat kelaparan. kerana itu mendoalah kepada ALLAH SWT untuk kita semua.”
Maka, Nabi pun berdoa dengan mengangkat kedua belah tangannya. Ketika Nabi mula berdoa kami tidak menampak awan sedikit pun di langit.
Demi ALLAH yang diri ku dalam kekuasaan-NYA, belum sampai Nabi menurunkan tangannya, awan mendung telah kelihatan bergulung-gulung seperti bukit. Nabi SAW belum turun dari mimbar, namun hari telah hujan, sehingga kelihatan air hujan bertitikan dari janggut baginda.
Hujan lebat turun pula hari itu, esok, lusa dan seterusnya beberapa hari berikutnya sampai hari Jumaat pula. Arab dusun itu atau mungkin juga Arab yang lain berdiri dan berkata pula: “Ya, Rasulullah! Bangun-bangunan telah roboh dan harta benda telah habis tenggelam. kerana itu mendoalah kepada Allah (mohon diselamatkan).
Nabi mengangkat kedua belah tangannya dan mendoa: “Ya, ALLAH! Di sekitar kami saja dan jangan di atas kami.” Beliau menunjuk dengan tangannya ke suatu penjuru berawan, maka kelihatan, awan itu menyingkir.
Di atas kota Madinah kelihatan lingkaran-lingkaran seperti lubang yang bundar. Lembah-lembah padang pasir mengalirkan air selama sebulan. Setiap orang yang datang dari segenap penjuru memberitakan kemurahan yang melimpah-ruah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Peristiwa dalam hadis tersebut berlaku apabila penduduk Madinah mengeluh kepada baginda SAW atas sebab bekalan air yang berkurangan gara-gara ketiadaan hujan di bandar itu.
Pun begitu, solat yang sama tetap boleh kita laksanakan agar hujan diturunkan bagi mengurangkan kepanasan melampau di Malaysia.