Browsing Tag

sinar islam

samak
Isu,

[VIDEO] Bila masuk ke rumah rakan yang bela anjing, ini perkara yang perlu kita ambil tahu

SEMUA umat Islam cakna tetang perihal anjing. Ia antara haiwan yang dikategorikan sebagai najis mughallazah.

Alhamdulillah, ramai dalam kalangan kita yang tahu menjaga batasan diri. Apabila ternampak haiwan itu, secara automatik, langkah kaki semakin laju kita menjauhkan diri.

Namun begitu, apabila kita hidup dalam komuniti berjiran dengan bukan Islam, agak sukar untuk kita mengelakkan diri daripada bertemu dan bertanya khabar mereka. Paling tidak pun, pasti kita akan lalu di hadapan rumah mereka.

Kadangkala jiran bukan Islam itu ada membela anjing. Andai kata, kita termasuk ke dalam rumah jiran atau rakan yang ada membela anjing, perlukah kita menyamak badan kita?

Pendakwah Ustazah Nik Nur Adneen Ismail atau lebih dikenali sebagai Da’i Adneen menjelaskan, kita tidak perlu menyamak badan kita apabila masuk dalam rumah yang ada membela anjing.

DA’I ADNEEN

Beliau menambah, ia melainkan ada ‘ain anjing tersebut yang melekat pada tubuh badan kita.

“Contohnya, darah, air liur, bulu, najis anjing tersebut sendiri atau mana-mana anggota yang datangnya daripada haiwan tersebut.

“Jika ia melekat pada badan kita, maka kita perlu samak bahagian anggota yang terkena pada najis-najis tersebut.

“Ia berdasarkan pandangan Mazhab Syafie bahawa memegang setiap inci daripada anggota badan anjing dikira sebagai najis dalam Kitab al-Minhaj as-Syarah Sahih Muslim yang dikarang oleh al-Imam al-Nawawi,” jelas beliau.

Baca juga Najis anjing depan kawasan rumah, bagaimana kaedah pelupusan dianjurkan Islam?

Jika benar-benar kita lihat ‘ain anjing tersebut terkena pada badan, Da’i Adneen memberikan memetik sebuah hadis yang boleh dijadikan panduan untuk kita menyamak bahagian anggota terlibat.

Rasulullah SAW bersabda: “Sucinya bekas salah seorang dari kamu apabila seekor anjing menjilat padanya yakni bekas tersebut adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali dan basuhan pertama bercampur dengan tanah.” (Riwayat Muslim)

Semoga penjelasan ini dapat meleraikan kekeliruan kita selama ini.

Foto: Freepik

Berita Semasa,

[VIDEO] Berkali-kali buat dosa kecil, boleh jadi dosa besarkah?

SIAPA pun tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan. Meskipun ia hanya sekecil zarah, semua itu tetap akan dimasukkan dalam buku catatan kita oleh malaikat yang sentiasa di sisi.

Disebabkan itulah kita perlu sentiasa membiasakan diri untuk meminta maaf. Bukan sahaja kepada manusia yang sentiasa berhubung dengan kita, tetapi juga mohonlah keampunan daripada ALLAH SWT atas kekhilafan yang dilakukan.

Namun, kadangkala terselit juga rasa bimbang dalam hati. Kesalahan-kesalahan yang melibatkan dosa kecil umpamanya jika dilakukan banyak kali, adakah ia boleh menjadi dosa besar kelak?

Bagaimana penilaiannya dalam hal ini? Adakah dosa kecil yang berulang kali dilakukan itu, lama-kelamaan boleh jadi dosa besar?

Menjelaskan perkara itu, pendakwah Ustazah Nik Nur Adneen Ismail atau lebih dikenali sebagai Da’i Adneen mengajak kita memahami maksud dosa kecil.

DA’I ADNEEN

Jelas beliau, ia bermaksud amalan yang melanggar hukum Islam yang mana larangannya tidak didatangkan dengan ancaman dan kemurkaan ALLAH SWT.

(Artikel berkaitan: ALLAH SWT tetap akan terima taubat orang yang ikhlas walaupun dosanya setinggi gunung)

Firman ALLAH SWT: “Barang siapa yang membuat kebaikan sebesar zarah sekalipun, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan barang siapa yang membuat keburukan sebesar zarah sekalipun, maka dia akan lihat balasannya.“ (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Sekiranya seseorang itu melakukan dosa kecil secara berterusan, ujar Da’i Adnee, ia sebenarnya akan memberatkan timbangan dosa kita.

“Barangkali dosa seseorang itu sedikit, tetapi apabila dia melakukan dosa kecil itu secara berterusan, maka timbangan dosanya akan semakin berat.

“Oleh itu, cara untuk kita menghapuskan dosa kecil ini adalah dengan beristighfar kepada ALLAH SWT,” sarannya.

Bayangkanlah jika sehari satu dosa kecil kita lakukan, lama-kelamaan dosa tadi akan bertambah dari hari ke hari hingga tidak terhitung jumlahnya.

Justeru, beristighfar dan bertaubat merupakan jalan terbaik untuk menghapuskan dosa berkenaan.

Namun begitu, andai melibatkan dosa dengan manusia lain, mohon ampunlah kepada individu berkenaan sebelum terlambat.

Foto: Freepik

Berita Semasa,

[VIDEO] Tinggalkan rumah dengan rakaman Surah al-Baqarah yang terpasang. Ini yang wajib kita ambil tahu…

MENJADI kelaziman setiap orang yang berpindah ke rumah baharu untuk memagar kediaman masing-masing. Jika sudah namanya pun rumah baharu baik dibeli ataupun disewa, sudah tentu kita akan melakukan proses ‘memagar’ rumah.

Apatah lagi jika rumah berkenaan sudah lama kosong tanpa penghuni. Tujuannya supaya rumah kita aman dan sejahtera daripada sebarang gangguan.

Antara cara paling lazim dilakukan adalah dengan membaca Surah al-Baqarah di dalam rumah berkenaan. Orang kata, bagus jika kita sebagai tuan rumah menghabiskan sendiri bacaan surah berkenaan supaya keluarga dan kediaman kita terpelihara daripada sebarang bentuk kejahatan.

Namun begitu, tidak ramai orang mampu membacanya sampai habis. Maklum sahajalah, Surah al-Baqarah mengandungi 286 ayat dan mengambil masa berjam-jam untuk dibaca sekali gus.

Kalau kita tinggalkan rakaman Surah al-Baqarah di dalam rumah baharu kita sahaja, bolehkah?

Pendakwah Ustazah Nik Nur Adneen Ismail atau lebih dikenali sebagai Da’i Adneen menjelaskan, terdapat sebuah hadis yang meriwayatkan tentang kebaikan membaca Surah al-Baqarah di dalam kediaman masing-masing.

DA’I ADNEEN

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Janganlah kamu semua jadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya Surah al-Baqarah.“ (Riwayat Muslim)

(Artikel berkaitan: Lakukan amalan ini untuk ‘pagar’ rumah daripada gangguan syaitan)

Berdasarkan hadis berkenaan, ujar Da’i Adneen, ia tidak dispesifikasikan bentuk atau cara bacaan tersebut.

Tidak kiralah sama ada daripada bacaan oleh tuan rumah ataupun tetamu ataupun daripada rakaman. Maka, hadis itu tidak mengkhususkan cara-cara tertentu, terangnya.

 “Jadi, ulama berpendapat bahawa dibolehkan menggunakan rakaman Surah al-Baqarah untuk dipasangkan di dalam rumah.

“Namun begitu, pastikan rakaman tersebut merupakan rakaman yang lengkap dan rakaman yang jelas,” katanya.

Pun begitu, saran Da’i Adneen, jika tuan rumah ingin membacakan sendiri Surah al-Baqarah itu di dalam rumahnya adalah lebih baik.

“Ia sebagai tanda kesyukuran kita kepada ALLAH SWT dan tanda kebergantungan kita kepada-NYA.

“Walaupun rumah tersebut adalah kediaman kita, namun, kita tetap meminta perlindungan daripada ALLAH SWT,” ujar beliau.

Apa kata kita baca surah berkenaan bersama-sama semua ahli keluarga. Apabila membacanya secara berjemaah, sudah tentu ia membibitkan rasa seronok kepada kita untuk menghabiskan bacaan tadi dengan sempurna.

Foto: Freepik

Berita Semasa,

[VIDEO] Warna kulit berubah akibat produk pencerah, adakah ia ibarat mengubah ciptaan ALLAH?

KEBANYAKAN orang dalam kalangan kita memakai produk kecantikan demi menjaga penampilan diri. Paling tidak pun, setiap orang mempunyai pencuci mukanya sendiri.

Namun, ada juga segelintir orang yang lebih gemar memakan suplemen untuk menjaga kesihatan sendiri yang juga boleh bertindak untuk mencantikkan kulit.

Hasil disiplin penggunaan produk berkenaan, kadangkala ia memberikan kesan yang ketara kepada diri seseorang terutamanya mereka yang menggunakan produk pencerah kulit.

Malah, ada orang yang mengalami perubahan warna kulit daripada berkulit gelap menjadi cerah selepas beberapa waktu menggunakan produk berkenaan dan suplemen tersebut.

Begitupun, ada pula sebilangan orang pula yang mendakwa perubahan warna kulit tadi ibarat mengubah ciptaan ALLAH.

Benarkah kenyataan tersebut? Apa pandangan Islam tentang perkara ini?

Sebelum menjawab persoalan berkenaan, pendakwah Ustazah Nik Nur Adneen Ismail atau lebih dikenali sebagai Da’i Adneen menjelaskan terlebih dahulu maksud mengubah ciptaan ALLAH.

DA’I ADNEEN

Jelasnya, ia berkaitan mengubah arahan atau hukum yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT.

Pengharaman dalam mengubah ciptaan ALLAH jelas disebutkan dalam sebuah hadis.

(Artikel berkaitan: Jangan seronok sangat guna aplikasi tukar jantina, hadam dulu penjelasan ini)

Daripada Abdullah bin Mas‘ud RA: “Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW melaknat wanita-wanita yang mentatu dan yang meminta ditatu dan wanita-wanita yang mencukur alis demi mencari keindahan dan mengubah ciptaan ALLAH SWT.“ (Riwayat at-Tirmizi)

Dalam hal ini, jelas Da’i Adneen sebahagian ulama antaranya Imam al-Nawawi berpendapat bahawa sekiranya melakukan perubahan kepada diri atas faktor kecacatan atau keaiban atau faktor-faktor yang menyebabkan kepada keperluan dalam melakukan sebegitu, ia diharuskan dan dibenarkan dalam Islam.

“Sebagai contoh, menggunakan produk pemutih untuk mendapatkan kulit yang asli atau dalam erti kata lain disebutkan atas faktor perubatan dan rawatan.

“Namun begitu, ia haruslah berpandukan kepada dua syarat. Pertama, produk tersebut mestilah halal dan kedua, ia tidak memudaratkan,” katanya.

Adapun, seandainya produk pemutih yang digunakan bersifat kekal demi untuk mencari kecantikan yang berlebihan ataupun tidak berpuas hati dengan kulit sedia ada tanpa alasan yang munasabah, bahkan produk yang digunakan itu boleh mendatangkan kemudaratan pada diri, maka ia tidak dibenarkan sama sekali dalam Islam, terang beliau lagi.

Justeru, bersederhanalah dalam setiap perkara termasuk. Begitu juga dalam perihal kecantikan. Janganlah sampai terlalu berlebih-lebihan. Itulah yang diajarkan oleh agama Islam kepada umatnya.

Foto: Freepik

surah yasin
Isu,

Bukan sahaja dibaca untuk orang meninggal… Ini kebaikan Surah Yasin kepada kita yang masih hidup

SEJAK kecil lagi, masyarakat kita sememangnya sinonim dengan Surah Yasin. Alunan bacaan Yasin memang tidak asing lagi pada kita. Boleh dikatakan, ia tidak pernah lekang dari bibir kebanyakan umat Islam.

Ada segelintir orang yang mampu mengingati 83 ayat dalam surah berkenaan dengan baik sekali tanpa merujuk kepada al-Quran atau kitab Yasin itu sendiri.

Apa tidaknya, surah berkenaan bukan sahaja dilazimkan pada malam Jumaat sahaja, malah ia juga menjadi surah utama yang dibacakan ketika majlis tahlil atau ketika mendengar perkhabaran ada insan yang sedang sakit.

Sebenarnya, ramai yang mengenali Surah Yasin sebagai surah untuk orang yang meninggal dunia. Hakikatnya, surah yang teragung itu mempunyai keistimewaan tersendiri. Meskipun ada beberapa fadilatnya yang dipertikaikan kerana status hadis yang lemah dan mungkin palsu, namun kita masih boleh beramal dengannya.

Apakah manfaat Surah Yasin kepada kita? Benarkah Surah Yasin berupaya bertindak sebagai pelindung diri dan kediaman kita?

Sebelum mengulas persoalan itu, pendakwah Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa menerangkan tentang asal usul surah berkenaan. Jelas beliau, Surah Yasin merupakan surah makiyyah iaitu diturunkan di Makkah.

USTAZ MOHD FAUZI

Beliau menambah, surah ke-36 daripada 114 surah dalam al-Quran itu dinamakan sebagai Yasin kerana permulaan ayatnya yang dimulakan dengan huruf ya dan sin.

Bukti kenabian

“Turunnya surah berkenaan adalah untuk membenarkan kenabian Nabi Muhammad SAW pada saat orang Musyrikin di Makkah enggan beriman dengan nabi.

“Mereka melihat (Nabi) Muhammad tidak bersekolah di mana-mana, tidak berguru dengan sesiapa dan anak yatim pula, tiba-tiba mengaku menjadi nabi dan rasul. Maka, sebab itulah Surah Yasin diturunkan di Makkah.

“Ia sarat dengan akidah, keimanan, perihal hari kebangkitan di padang mahsyar, diceritakan tentang syurga, nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu,” jelas beliau ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Menyambung hujahnya, Ustaz Fauzi berkata, banyak keistimewaan yang ada pada Surah Yasin.

Begitupun, ujar beliau, setelah diteliti satu persatu, kebanyakan kelebihan yang ada pada surah berkenaan diletakkan sebagai status da’if (tidak memenuhi syarat hadis sahih atau hadis hasan) dalam hadis yang memerihalkan tentang perkara tersebut.

“Meskipun tarafnya da’if oleh para ulama hadis, tetapi ia tetap hadis. Statusnya diletakkan sedemikian mungkin ada kecacatan di mana-mana.

“Namun begitu, ulama-ulama hadis menyatakan bahawa tidak mengapa beramal dengan hadis-hadis yang da’if dalam bab fadilat beramal,” katanya.

Umpamanya, melazimkan bacaan Surah Yasin untuk mereka yang sedang nazak atau sudah meninggal dunia.

“Perbuatan itu yang telah menjadi adat masyarakat kita selama ini. Perkara itu ada dijelaskan dalam sebuah hadis, tetapi ia berstatus da’if.

“Begitupun, tiada masalah untuk beramal dengannya (hadis da’if) asalkan bukan hadis palsu,” tegasnya.

Beramal

Meneruskan perkongsian ilmunya, Ustaz Fauzi menyentuh tentang ayat 9, Surah Yasin yang berupaya menjadi pelindung kepada rumah kita daripada dimasuki pencuri.

Surah Yasin

Terjemahan ayat itu berbunyi: “Dan KAMI jadikan sekatan di hadapan mereka dan sekatan di belakang mereka. Lalu, KAMI tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat.”

Melihat maksud ayat berkenaan, agamawan itu berkata, jelaslah ia sesuai dijadikan sebagai ayat pendinding daripada kejahatan makhluk kasar dan halus.

Baca juga Bukan sekadar untuk pendinding diri, begitu besarnya keagungan ayat Kursi yang mungkin ramai tak sedar…

Dalam sirah, jelasnya, disebutkan bahawa Nabi Muhammad SAW mengambil segenggam pasir, lalu membaca ayat 9, Surah Yasin. Rasulullah kemudiannya membaling pasir tadi kepada anak-anak muda yang duduk di luar rumah baginda ketika peristiwa malam hijrah nabi.

“Anak muda berkenaan berniat ingin membunuh baginda SAW. Tatkala nabi baling pasir berkenaan, semuanya tertidur.

“Justeru, dibolehkan untuk kita beramal dengan mana-mana ayat al-Quran. Namun begitu, niatnya kena betul dan bukan hendak pukau orang misalnya. Jadi, dibolehkan jika kita berniat untuk memagar rumah dengan ayat 9, Surah Yasin.

“Niat itu penting untuk kita mengamalkan ayat tadi supaya orang yang berniat jahat tidak nampak rumah kita atau pintu masuk kediaman kita,” katanya.

Baca juga Utamakan sedekah pada keluarga dahulu, berikut 10 fadilat melaksanakannya

Begitu juga dengan ayat 58, Surah Yasin. Ramai yang mengamalkan ayat itu supaya hajatnya dimakbulkan.

Ayat berkenaan bermaksud: “Ucap salam sejahtera dari Tuhan Yang MAHA MENGASIHANI.” 

Jelas Ustaz Fauzi, ia boleh untuk diamalkan jika ia melibatkan hajat yang baik untuk kesejahteraan diri, keluarga, kampung dan sebagainya.

“Ia boleh juga dibaca beramai-ramai dan diniatkan bersama-sama. Umpamanya untuk keselamatan dan kesejahteraan kampung. Cuma, sebelum membaca Yasin, jangan lupa minta semua jemaah mengulang ayat ke-58 sebanyak tujuh kali dan berniat sebagaimana yang dihajatkan,” pesan beliau.

Kepada satu soalan, Ustaz Fauzi menjawab: “Segelintir orang tidak bersetuju dengan bacaan Yasin yang diadakan pada malam Jumaat sebagaimana yang menjadi kebiasaan masyarakat kita.

Surah Yasin

DIBOLEHKAN membaca Surah Yasin untuk tujuan dan hajat yang baik umpamanya bagi kesejahteraan kampung daripada gangguan yang tidak diingini.

Baca juga Surah-surah yang dibaca Nabi SAW pada hari Jumaat, jom amalkan

“Ingatlah, apabila kita membaca Yasin, ia bukanlah bermakna kita hendak menafikan Surah al-Kahfi yang digalakkan baca pada malam Jumaat atau hari Jumaat. Tidak salah pun kita membaca Yasin antara waktu Maghrib dan Isyak pada malam Jumaat.

“Malam Jumaatkan panjang waktunya. Selepas Isyak, bacalah pula Surah al-Kahfi ataupun ia boleh dibaca pada hari Jumaat yang panjang masanya selagi belum gelincir matahari.

“Jauhilah pandangan-pandangan yang terlalu ekstrem dalam perihal amalan sunat ini. Sebaliknya ambillah pendekatan yang sederhana. Ulama sederhana menyatakan, tidak menjadi satu kesalahan dan bid’ah yang sesat sekiranya kita membaca Yasin pada malam Jumaat.

“Yasin juga termasuk dalam al-Quran yang disuruh untuk umat Islam membacanya. Apa yang salahnya adalah apabila kita mewajibkan bacaan Yasin pada malam Jumaat,” terang beliau.

Diampunkan dosa

Sementara itu, pendakwah Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid menjelaskan, meskipun kebanyakan hadis yang memerihalkan kelebihan membaca Surah Yasin adalah terlalu lemah dan ada ulama hadis yang mengatakan palsu, namun terdapat sebuah hadis yang dinilai sahih.

USTAZ BAKHTIAR FITRI

Jelas beliau, hadis berkenaan diletakkan dalam kitab Sahih Ibn Hibban.

Daripada Jundub bin Abdillah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang membaca Surah Yasin pada malam hari untuk mencari reda ALLAH, maka akan diampunkan dosanya.” (Riwayat Ibn Hibban)

“Oleh sebab itu, kita melihat kebanyakan umat Islam di Malaysia beramal dengan surah Yasin kerana ingin memperoleh fadilat atau kelebihan dan keredaan daripada ALLAH SWT,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Benarkah membaca Yasin akan mendapat kelebihan 10 kali pahala membaca al-Quran? Ustaz Bakhtiar Fitri menjawab, tiada nas yang menyebut tentang kelebihan berkenaan.
Pun begitu, katanya, terdapat beberapa hadis yang menyebut secara umum kelebihan membaca al-Quran.

Antaranya hadis daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran, maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. AKU tidak mengatakan alif lam mim satu huruf, akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Riwayat at-Tirmizi)

“Melihat ungkapan hadis berkenaan, jelaslah bahawa apa-apa ayat al-Quran yang dibaca akan mendapat 10 kebaikan daripada setiap huruf yang dibaca,” ujar beliau.

Surah Yasin

Mengulas tentang kehebatan tentang kalimah kun fayakun dalam ayat 82, Surah Yasin, Ustaz Bakhtiar Fitri mengemukakan tafsiran ulama mengenai perkara itu.

Dalam Sahih Ibnu Katsir, ayat berkenaan diterangkan melalui sebuah syair yang berbunyi: “Apabila ALLAH menghendaki sesuatu, cukup bagi-NYA mengucap satu ucapan kun fayakun”.

Jelasnya, ALLAH SWT berkuasa melakukan apa sahaja meskipun manusia tidak mengkehendakinya.

“Malah, kehendak ALLAH tidak perlu bergantung kepada sesiapa dan tidak perlu bersusah payah sepertimana apabila manusia menginginkan sesuatu.

“Maka, ALLAH SWT mengakhiri Surah Yasin dengan membenamkan keegoan manusia agar tawaduk dan mengakui kehebatan ALLAH SWT. Jadi tepatlah ALLAH menyebut pada ayat akhirnya iaitu ayat ke-83 surah berkenaan yang bermaksud: “Oleh itu akuilah kesucian ALLAH (dengan mengucap: Subhaanallah!) – Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepada-NYALAH kamu semua dikembalikan”,” katanya.
Sesungguhnya, Surah Yasin mengajar kita meletakkan kebergantungan kita kepada Sang Pencipta.

Tiada daya bagi seorang hamba yang kerdil ini selain mengharapkan kepada Pencipta-NYA.

Kebaikan kepada manusia hidup atau sudah meninggal dunia

Segelintir masyarakat menganggap bahawa Surah Yasin khusus dibacakan untuk orang yang sedang nazak atau sudah meninggal dunia. Hakikatnya, ia juga boleh dibacakan untuk orang yang masih hidup lagi.

Pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata, Surah Yasin membawa kebaikan kepada manusia yang masih bernyawa dan sudah menghadap Pencipta-NYA kerana keberkatan surah berkenaan.

USTAZ WAN AKASHAH

“Umpamanya, seseorang itu sakit, berhajat dan sebagainya, apabila dibacakan Yasin untuknya, ALLAH akan menurunkan barakah kepada setiap huruf al-Quran berkenaan.

“Dengan berkat bacaan Surah Yasin tadi, ia akan memberikan keberkatan kepada orang yang sedang sakit. Ketahuilah, dalam setiap huruf al-Quran itu, ALLAH memberikan kepadanya 10 kebaikan,” jelasnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, jelas Ustaz Wan Akashah, kita juga digalakkan untuk membaca Surah Yasin bagi menghalau jin atau syaitan yang berada di rumah masing-masing.

“Andai kata, ada gangguan di dalam kediaman kita, bacalah Yasin sebagai pendinding diri,” katanya.

Mengulas lanjut tentang bacaan Yasin sama ada ketika seseorang sedang nazak atau sudah meninggal dunia, pendakwah itu menjelaskan, waktu ketika nazak adalah lebih utama.

“Ia akan memudahkan roh seseorang itu keluar daripada jasadnya. Disebabkan itulah kita digalakkan membaca Surah Yasin saat seseorang itu hampir meninggal dunia supaya malaikat mengambil nyawanya dengan perlahan-lahan untuk kembali kepada Pencipta-NYA.

“Namun, andai tidak sempat berbuat demikian, tiada masalah membacanya apabila seseorang itu sudah meninggal dunia supaya suasana (ketika menguruskan jenazah itu) mendapat keberkatan,” ujarnya.

Bilakah waktu terbaik membaca Surah Yasin? Menjawab persoalan itu, Ustaz Wan Akashah berkata: “Sebaiknya bacalah ia pada permulaan hari iaitu awal pagi bagi sesiapa yang berhajatnya sesuatu.”

Surah Yasin

SURAH Yasin bukan sahaja boleh dibacakan untuk orang yang sudah meninggal dunia, tetapi juga untuk diri sendiri dan orang lain yang masih hidup kerana manfaat yang ada padanya.

Seperkara lagi, beliau mengingatkan agar kita menjaga adab ketika membaca Yasin. Ia supaya apa yang dihajatkan akan mudah dimakbulkan oleh ALLAH SWT.

“Sebelum membacanya, kita disunatkan untuk memulakan dengan ummul kitab iaitu Surah al-Fatihah kerana ia merupakan ibu al-Quran. Kemudian, jangan lupa berselawat.

“Ia sangat digalakkan kerana semua maklum bahawa Rasulullah SAW ialah kekasih ALLAH. Apabila ALLAH sayang kepada nabi dan kita pula menunjukkan rasa sayang itu dengan berselawat ke atasnya dan memuji baginda, insya-ALLAH dengan sendirinya segala hajat dan permintaan akan mudah dimakbulkan oleh-NYA,” katanya.

ANEKDOT

KELEBIHAN membaca al-Quran

Surah Yasin

– Islam begitu memandang mulia kepada orang yang alim dan menguasai isi kandungan yang terdapat dalam kalam ALLAH SWT.

– Ia termasuklah banyak membaca al-Quran, memahami maksudnya dan mengamalkan apa yang terkandung dalam kitab suci berkenaan kerana kalamullah itu akan memberi syafaat kepada mereka yang membacanya pada hari kiamat kelak.

– Daripada Abu Umamah RA katanya, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu semua membaca al-Quran, sesungguhnya al-Quran itu akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada orang yang membaca dan beramal dengan hukum-hakamnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

– Al-Quran merupakan mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

– Kitab suci itu mengandungi semua aspek ilmu keduniaan dan akhirat.

Sumber: http://www.islam.gov.my/e-hadith/158-kelebihan-membaca-al-qur-an

Foto: 123rf, Freepik & Bernama

Berita, Berita Semasa,

Hati-hati pilih kawan. Jangan sampai tersilap langkah

CABARAN hidup pasti akan dilalui oleh semua orang. Ia tidak mengenal usia. Bukan sahaja orang dewasa, golongan remaja pada zaman milenial kini turut berhadapan dengan cabaran kehidupan.

Antaranya mendepani masalah keluarga, kemurungan, pergaduhan, maksiat dan pelbagai lagi situasi.

Melihat semua perkara itu, program yang disiarkan menerusi platform TickTalk TV yang digerakkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan sekumpulan anak muda disifatkan sebagai platform bersesuaian dengan golongan remaja untuk mendapatkan solusi pelbagai isu kehidupan dengan berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.

Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor, Ustaz Muhammad Hafiz Muhamad Haneefa Al-Hafiz atau Pencetus Ummah (PU) Hafiz yang bertindak sebagai pentadabbur dalam program TickTalkTV menjelaskan, kasih sayang ibu bapa adalah penting dalam membentuk sahsiah diri anak.

PU HAFIZ

“Ikutilah saranan Saidina Ali RA dalam mendidik anak. Ketika anak berumur 0-7 tahun, bermainlah dengan penuh kasih sayang; umur 8-14 tahun, tanam nilai disiplin dan tanggungjawab, 15-21 tahun, menjadi kawan dan 21 tahun ke atas, mendapat kepercayaan ibu bapa,“ katanya baru-baru ini.

Beliau menambah, selain ibu bapa, kawan-kawan memainkan peranan besar dalam mempengaruhi seseorang remaja untuk mengawal diri ke jalan kebaikan atau sebaliknya.

Rasulullah SAW bersabda: “Agama seseorang sesuai dengan agama teman dekatnya. Hendaklah kalian melihat siapakah yang menjadi teman dekatnya.“ (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)

Sementara itu, pentadabbur TickTalkTV, Da‘i Imran Mohd Zaki yang merupakan pelajar Universiti Marmara, Instanbul, Turki berpendapat, remaja kini berhadapan dengan cabaran media sosial yang mudah diakses tanpa mengira masa dan tempat.

(Artikel berkaitan: Jangan biarkan diri kita pergi ke tempat tak elok, berkawan dengan orang tak baik)

“Remaja yang banyak meluangkan masa dengan media sosial menyebabkan mereka kurang rapat dengan keluarga, kurang menumpukan pada pelajaran dan lebih dekat dengan maksiat.

“Tidak mungkin ibu bapa mampu memantau kegiatan anak sepanjang masa. Pemilihan kawan dan orang sekeliling adalah penting dalam menentukan siapa diri kita.

“Selain itu, setiap orang perlu ada impian dan matlamat dalam hidup untuk bertindak. Untuk berjaya, kita perlu berusaha untuk tambah ilmu dan pengalaman,“ katanya.

TickTalk TV antara lain memaparkan program Tick Surah Talk Santun yang merupakan program digital di bawah kempen #SavingFamilies dengan misi Masuk Syurga Sekeluarga.

Ia diharapkan dapat membantu anak muda dan remaja untuk lebih memahami al-Quran dan mengambil solusi dengan merujuk kalam ALLAH dalam kehidupan mereka.

Kawan

Selain WUIF, program itu turut digerakkan oleh sekumpulan anak muda yang penuh iltizam iaitu Siti Sarah Ambok Dalek sebagai penerbit TickTalkTV, Fify Nur Adila Mohamed Feroz (pengurus konten), Muhammad Ahmad Fadzil (pengurus pentas) dan Muhammad Halim Zainuddin (hos dan qari) yang masing-masing berusia 22 tahun. Sementara itu, Maslinda Mohd Esak pula bertindak selaku penerbit eksekutif.

Jangan lepaskan peluang menonton Tick Surah Talk Santun Suara Remaja Milenia pada setiap Sabtu, jam 9 malam. Ikuti dan like TickTalkTV di Facebook, Instagram, Youtube dan Twitter.

Penulis: Fouziah Amir

Foto: Fouziah Amir & 123rf

Berita Semasa,

Pelihara kemuliaan dan perkasakan peranan masjid… Semua pihak perlu ambil tanggungjawab

MASJID merupakan institusi yang telah wujud sejak zaman Nabi Muhammad SAW. Bahkan, ia telah wujud sebelum itu lagi iaitu ketika zaman Nabi Ibrahim AS membina Kaabah.

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat pada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah dan dijadikan petunjuk hidayah bagi manusia.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 96)

Institusi masjid menduduki tempatnya yang tersendiri. Malah, dalam hadis juga jelas menyatakan kedudukan dan kemuliaan masjid.

Antaranya sabda Nabi Muhammad SAW: “Sebaik-baik tempat di bumi ini adalah masjid.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Dalam banyak masjid yang ada di seluruh pelosok dunia, terdapat masjid utama yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam riwayatnya: “Tidak diutamakan untuk perjalanan menuju mana-mana masjid kecuali tiga masjid iaitu Masjid Al-Haram, Masjid Al-Nabawi dan Masjid Al-Aqsa.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Meskipun zaman berubah, namun masjid kekal menduduki tempat yang utama. Di Malaysia, terdapat beberapa kategori masjid yang menjadi ikutan lazim iaitu masjid jamek, masjid iktikaf, surau, musolla dan sebagainya.

Mengikut data terkini, terdapat hampir 10,000 masjid di seluruh Malaysia yang didirikan untuk tujuan solat Jumaat.

Dari segi pengurusan, ada masjid yang diuruskan oleh pihak berkuasa agama di negeri masing-masing sama ada MajlisMajlis Agama Negeri (MAIN) atau JabatanJabatan Agama Negeri (JAIN). Terdapat juga masjid-masjid yang diuruskan oleh pihak-pihak swasta dan persendirian.

Dari sudut kewangan pula, selain peruntukan daripada pihak kerajaan, sumbangan masyarakat juga merupakan sumber utama masjid. Kekuatan kewangan dan dana sesebuah masjid biasanya bergantung kepada kawasan kedudukan sesebuah masjid tersebut.

Lazimnya, masjid-masjid yang berada di kawasan bandar mempunyai kedudukan kewangan dan dana yang kukuh, manakala masjid-masjid yang terletak di kawasan kampung dan pedalaman berdepan kedudukan kewangan dan dana yang agak lemah.

(Artikel berkaitan: 3 kebaikan pembayaran zakat secara cek cura melalui program… Mana-mana syarikat dan perniagaan boleh lakukan)

Kelayakan

Pun begitu, dari segi tenaga kerja, terdapat kepelbagaian latar belakang dan kelayakan akademik yang menguruskan institusi masjid. Biasanya masjid diketuai oleh imam dan dibantu oleh bilal serta siak yang merupakan pegawai atau kakitangan masjid. Selain itu, pengurusan masjid juga dibantu oleh ahli jawatankuasa masjid.

Peranan Masjid

SEKITAR Majlis Penyampaian Watikah Tauliah Mengajar oleh Tengku Temenggong Kelantan merangkap Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Bagi jawatan imam, selaku ketua pentadbir di masjid-masjid utama, biasanya mereka menggunakan waran perjawatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berdasarkan kelayakan kelulusan sama ada ijazah atau diploma. Sistem yang sama turut diguna pakai untuk kakitangan lain.

Namun, bagi masjid-masjid kariah atau mukim, biasanya tidak mensyaratkan kelulusan akademik tertentu, sebaliknya melepasi tapisan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

Kadar imbuhan pula berbentuk elaun yang ditentukan oleh pihak berkuasa. Sistem itu turut terpakai untuk surau-surau dan musolla yang lazimnya diuruskan oleh masyarakat setempat tanpa terikat dengan apa-apa syarat. Malah, mereka bertugas secara sukarela tanpa apa-apa bayaran.

Perkembangan dan kemajuan sesebuah institusi masjid bergantung kepada keupayaan dan kebolehan tenaga kerja yang mengetuai dan menguruskan masjid tersebut. Namun, tenaga kerja yang baik bergantung kepada dana masjid yang boleh digunakan untuk membiayai tenaga kerja institusi berkenaan.

Terdapat kekangan daripada pemikiran tentang penggunaan dana masjid untuk membiayai tenaga kerja masjid, terutama di masjid-masjid mukim atau kariah. Pengurusan dan perjalanan masjid pada era moden hari ini perlu dikendalikan oleh kakitangan atau tenaga kerja yang berkebolehan dan dapat bertugas sepenuh masa di masjid.

Semakan mendapati, kadar upah seseorang imam di masjid-masjid mukim atau kariah yang dibayar oleh pihak JAIN atau MAIN termasuk daripada dana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah antara RM850 – RM1,600 sahaja. Kadar tersebut adalah sangat rendah berbanding taraf hidup pada masa kini.

Keadaan itu menyebabkan kakitangan masjid yang bertugas tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada masjid jagaannya kerana terpaksa melakukan pekerjaan lain untuk menampung keperluan ekonomi kehidupan masing-masing. Akhirnya tugasan sebagai imam atau kakitangan masjid menjadi kerja sampingan sahaja.

Ini memerlukan satu perubahan atau transformasi khususnya berkaitan kadar upah kepada para imam dan petugas masjid. Tidak sepatutnya hanya pihak MAIN dan JAIN sahaja yang mengeluarkan peruntukan untuk para petugas masjid.

Seharusnya dana daripada tabung masjid boleh digunakan secara bersama bagi tujuan tersebut. Dengan itu, penglibatan masyarakat dalam menampung keperluan semasa elaun imam dan kakitangan masjid ini perlu disinergikan.Tidak cukup hanya memberi penghormatan semata-mata, tetapi imbuhan juga mestilah mengikut satu kadar yang setimpal.

***Artikel ditulis oleh Imam Besar Negeri Kelantan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Ustaz Muhammad Hana Pizi Abdullah

Foto: Ihsan MAIK

Berita Semasa,

Jangan berbohong untuk apa tujuan sekalipun…Tiada juga istilah bohong sunat dalam Islam

MANUSIA sememangnya sukakan kebaikan secara fitrahnya. Apabila mendapat tahu ada orang lain berbohong kepadanya, hati mendongkol geram. Terasa bagaikan dihiris-hiris dengan pisau kerana ditipu hidup-hidup.

Apatah lagi jika ia melibatkan urusan penting dalam kehidupan. Dalam Islam, berbohong adalah sifat yang sangat menjengkelkan.

Namun begitu, entah kenapa masih ramai antara kita yang hidupnya penuh dengan pembohongan, tidak kiralah sama ada dalam urusan harian atau berkaitan kerja.

Dalam satu-satu situasi, demi melepaskan diri daripada sesuatu kesalahan atau mengelak terkena hukuman dunia yang tidak seberapa berbanding hukuman di akhirat kelak, kebanyakan kita memang berani bercakap dusta.

Malah, sebilangan daripada kita tanpa segan-silu menggunakan istilah ‘bohong sunat’ atau ‘tipu sunat’ untuk melepaskan ‘tengkuk’ sendiri.

Hakikatnya, Islam mengajar umatnya agar berlaku jujur dan benar dalam setiap perbuatan serta pertuturan.

Apakah memang ada perbuatan bohong yang dibenarkan oleh syarak? Bagaimana pula hukumnya jika kita berjenaka menggunakan unsur penipuan?

Dorong perbuatan dosa

Kepada Sinar Islam, Pensyarah Akademi Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah menjelaskan maksud berbohong. Memetik pandangan Imam Al-Nawawi Rahimahullah, bohong didefinisikan sebagai: “Mengkhabarkan sesuatu berbeza dengan keadaan sebenarnya, sama ada dengan sengaja atau tidak dan sama ada perkhabaran itu akan perkara yang telah berlalu atau akan datang.” (Syarah Sahih Muslim, Al Nawawi (1/69)

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

“Secara ringkasnya, dapat difahami berbohong itu bermaksud menyampaikan sesuatu perkara yang tidak benar. Ketahuilah, perbuatan berbohong merupakan sebahagian daripada perbuatan dosa-dosa besar,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Firman ALLAH SWT: “Maka jauhilah kalian akan kotoran berhala dan jauhilah kalian ucapan yang dusta (Surah al-Hajj, ayat 30)

Pensyarah itu menegaskan, berbohong juga adalah satu sifat keji dan tercela dalam Islam. Perbuatan itu merupakan suatu aib yang seharusnya dihindari.

Masakan tidak, kata beliau, hal itu sangat bertentangan dengan anjuran Islam agar penganutnya sentiasa berkata benar dan jujur. Malah, perbuatan berbohong amat ditegah dalam Islam kerana ia boleh mendorong kepada lebih banyak perbuatan dosa dan kesinambungan dalam melakukan maksiat.

Ustazah Sharifah Fadylawaty turut mengemukakan dalil iaitu sebuah hadis masyhur tentang ancaman buat mereka yang suka berbohong.

Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah kalian daripada sikap suka berbohong kerana berbohong akan membawa kepada perbuatan kemaksiatan, dan perbuatan kemaksiatan akan membawa ke neraka. Jika sekiranya seseorang itu sentiasa berdusta, maka kelak dia akan dicatat di sisi ALLAH SWT sebagai pendusta.” (Riwayat al-Bukhari)

“Bukan itu sahaja, ingatlah bahawa berbohong juga adalah sebahagian daripada indikator orang munafik,” ujar beliau.

Sikap tercela

Begitu tercelanya perbuatan bohong itu apabila malaikat turut sama menjauhkan diri daripada individu yang bersikap demikian walaupun hanya terpacul satu perkataan dusta dari mulutnya.

Daripada Saidina Ibnu ‘Umar RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang hamba ALLAH berdusta, malaikat akan menjauhkan diri daripadanya (si pendusta tersebut) satu mil (jarak) kerana tidak senang dengan bau busuk yang diakibatkan oleh dusta tersebut.” (Riwayat al-Bukhari dan Imam Ahmad)

Berbohong

Berdasarkan hadis berkenaan, ujar Ustazah Sharifah Fadylawaty, ia jelas menunjukkan bahawa perbuatan berbohong sama sekali dilarang Islam.

“Bayangkan seandainya dosa manusia itu dizahirkan dengan mengeluarkan bau busuk, sudah pasti segenap tempat yang kita duduk akan berbau busuk dan tiada siapa yang mahu mendekati diri kita.

“Bagaimanapun, setiap dosa itu ALLAH SWT tutup aibnya supaya orang di sekeliling tidak mengetahuinya,” jelas beliau.

Benarkah terdapat pembohongan tertentu yang dibenarkan dalam Islam? Menjawab soalan itu, ahli akademik berkenaan lantas mengiyakannya.

Jelas beliau, terdapat tiga keadaan dusta yang dibolehkan oleh syarak berdasarkan satu riwayat hadis.

Daripada Ummu Kalthum binti Uqbah bin Abi Mu`ied RA berkata: “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah SAW memberikan keringanan pada perkataan manusia kecuali dalam tiga perkara iaitu pada ketika peperangan, pada ketika mendamaikan permusuhan di antara manusia, dan dalam perkataan suami terhadap isterinya, serta perkataan isteri terhadap suaminya.” (Riwayat Muslim)

Melihat ungkapan itu, Ustazah Sharifah Fadylawaty menjelaskan, diharuskan berbohong sekiranya apabila seseorang itu bercakap benar, ia boleh membawa implikasi negatif, selain memberi kemudaratan yang lebih besar kepada pihak lain. Antaranya menyebabkan pertumpahan darah, konflik dan pergaduhan berterusan antara pihak terlibat.

“Justeru, umat Islam disarankan agar berakhlak dengan sifat mahmudah. Suka untuk saya ingatkan, terdapat satu hadis yang boleh memberikan motivasi kepada mereka yang meninggalkan sifat berbohong.

“Dalam hadis riwayat Abu Dawud daripada Abu Umamah, Rasulullah SAW pernah menjamin rumah di tengah-tengah syurga bagi mereka yang tidak suka berdusta,” katanya.

(Artikel berkaitan: Berlaku jujur bila buat kesilapan, usah tambah lagi helah semata-mata nak elak hukuman)

Usah jadikan tabiat

Senada dengan Ustazah Sharifah Fadylawaty ialah pendakwah Ustaz Mohd Hadi Talhah. Beliau mengingatkan agar umat Islam tidak menjadikan perbuatan berbohong sebagai tabiat.

USTAZ MOHD HADI

Tiada sesiapa pun yang menyukai sikap itu termasuklah dalam kalangan manusia sendiri, terang beliau. Begitu juga ketika berjenaka dengan orang lain.

Pendakwah itu menegaskan bahawa perbuatan bohong dilarang sama sekali meskipun tujuannya untuk berjenaka atau bergurau senda.

“Misalnya, jenaka ketika April Fool‘s yang ‘menghalalkan‘ penipuan untuk tujuan mengenakan orang lain sekalipun sekadar bergurau, ia tidak dibenarkan sama sekali.

“Sebaliknya, contohilah cara Rasulullah SAW bergurau senda. Baginda juga berjenaka, tetapi dengan perkara yang benar. Ia sebagaimana diceritakan dalam sebuah hadis yang mana baginda SAW bergurau bersama seorang wanita tua.

“Rasulullah menyatakan bahawa tidak ada orang tua yang masuk syurga. Wanita tua tadi lantas menangis mendengarkan perkhabaran itu. Hakikatnya, itu adalah perkara yang benar dan baginda menjelaskan bahawa tiada sesiapa yang tua akan masuk ke syurga kerana semua yang masuk dalam tempat paling diidamkan itu adalah orang muda.

“Maksud orang muda di sini adalah kita akan menjadi ‘muda‘ kembali apabila masuk ke syurga kelak sampai bila-bila. Tiada sesiapa yang tua di dalamnya. Barulah wanita tadi tertawa tanda kelegaan mendengar penjelasan baginda,“ ujarnya.

Seperkara lagi, Ustaz Mohd Hadi menjelaskan, berbohong juga tidak boleh diaplikasikan dalam ceramah walaupun sekadar mereka-reka cerita untuk menarik orang supaya suka dan seronok dengan ceramahnya.

“Ia melainkan jika kita berterus terang menyatakan bahawa cerita itu merupakan rekaan semata-mata untuk mengambil pengajaran.

“Adapun jika ia dicipta tanpa menjelaskan bahawa kisah itu merupakan cerita rekaan sehingga menyebabkan orang kata dia bercerita benar, ketahuilah, ia adalah ditegah. Lihat begitu indahnya Islam hinggakan hal berkaitan pembohongan dijaga sampai ke tahap sebegitu,“ katanya.

Bukan sahaja orang dewasa, malah dengan anak kecil juga, kita dilarang berbohong, tegas Ustaz Mohd Hadi.

“Umpamanya, sudah berjanji untuk membawa anak ke kedai pada keesokan harinya sebagai tanda melegakannya, maka penuhilah janji berkenaan.

“Jika kita tidak membawanya ke kedai, ia dikira sudah menipu. Sebab itulah jangan mudah berjanji jika tidak mampu penuhinya kecualilah jika pada hari yang dijanjikan itu ada kekangan lain yang tidak dapat dielakkan.

“Ingatlah bahawa secara tidak langsung, kita telah mengajar anak-anak menipu dengan perbuatan kita tadi. Ini satu didikan yang tidak betul,“ tegasnya sambil mengingatkan umat Islam agar tidak sesekali menipu atas nama nabi.

Ustaz Mohd Hadi menambah, apabila seseorang terlalu banyak bercakap, makin banyak kesilapan dilakukan.

“Apabila banyak dosa, ia akan menjebakkan kita ke neraka. Janganlah hanya sembang-sembang kosong atau perbualan yang bersifat lagha.

“Apatah lagi bersikap ramah tidak bertempat hingga sampai bergosip atau memgumpat semata-mata untuk dijadikan modal untuk bercakap,“ jelasnya.

‘Pembohongan dalam 3 keadaan mesti diteliti dengan betul’

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, berlaku jujur tidak bererti kita perlu menceritakan semua perkara aib yang pernah kita lakukan kepada mereka yang tidak berkenaan.

DR AHMAD SANUSI

“Cukuplah sekadar jika kita hanya menyatakan kesilapan yang berlaku agar dapat diperbaiki bersama. Namun, kesalahan yang mempunyai implikasi yang jelas dari aspek melanggar undang-undang mestilah dilaporkan agar ia menjamin kesejahteraan semua pihak.

“Bersikap jujur ketika mendedahkan kesalahan mungkin berupaya mengangkat kedudukan seseorang. Sekiranya tidak bersikap jujur, kita pada hakikatnya telah melakukan dua kesalahan.

“Pertama, kita mungkin telah melanggar undang-undang atas kesalahan yang ada. Kedua, andai kita berbohong terhadap kesalahan tersebut, ini bererti kita telah melakukan kesalahan yang kedua,“ katanya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Sanusi turut menegur sikap segelintir masyarakat yang sewenang-wenangnya mencipta alasan sehingga terpaksa berbohong demi menutup kesalahannya. Ia adalah fenomena yang tidak sihat.

Beliau turut memperbetulkan istilah ‘tipu sunat‘ yang kerap digunakan oleh masyarakat.

“Ketahuilah, berbohong adalah ditegah dalam Islam dalam apa jua bentuk. Tidak ada bohong yang disunatkan. Mereka yang berhujah dengan Hadis Ummu Kalthum yang menyatakan bahawa Rasulullah membenarkan pembohongan dalam tiga keadaan juga mestilah diteliti dengan betul.

“Lafaz yang diriwayatkan dalam hadis tersebut menggambarkan maksud memberi kelonggaran sahaja. Ini bererti, ia hanyalah kebenaran yang sangat terhad dan hanya digunakan dalam situasi tertentu sahaja.

“Penggunaan tipu sunat itu dibimbangi akan memberikan satu konotasi yang mengelirukan seakan ada pembohongan yang ‘disunatkan’,” ujar beliau.

Berbohong

BERLAKU jujurlah dalam setiap pekerjaan yang dilakukan dan tidak menjebakkan diri dengan urusan yang bersifat penipuan dan salah di sisi undang-undang.

Seperkara lagi, ahli akademik itu turut mengingatkan kita agar tidak lagi berbohong untuk mengelak dalam perkara berkaitan pekerjaan semata-mata mahu mengelak dikenakan tindakan oleh majikan.

“Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu datang lewat ke pejabat, lalu dia berbohong dengan majikannya dan menyatakan dirinya mempunyai masalah sekian-sekian dan sebagainya.

“Sikap sebegini kadangkala menggambarkan nilai peribadi seseorang. Bahkan, lebih membimbangkan, sumber pendapatan digunakan untuk memberi makanan buat ahli keluarganya. Kita sudah pasti tidak ingin memberikan ahli keluarga kita makanan daripada hasil pembohongan.

“Lebih baik kita bersikap jujur, siapa tahu majikan tersebut memberikan kelonggaran kepada masalah yang dihadapi,“ katanya.

ANEKDOT

Berbohong

BEZA antara bohong dan tauriah

– Tauriah bermaksud satu perkataan atau ayat yang mempunyai makna yang difahami oleh pendengar dengan jelas, tetapi sebenarnya apa yang dimaksudkan dengannya adalah perkara yang samar dan tersembunyi.

– Sebagai contoh, ulama membenarkan untuk tidak mengakui kesalahan tersembunyi yang dilakukan oleh seseorang seperti zina pada masa lalu. Individu tersebut hendaklah bertaubat kepada ALLAH dan menyembunyikan perkara tersebut.

– Sementelah, berbohong pula adalah menyampaikan suatu perkara yang tidak benar.

– Ada beza antara berbohong dan tauriah. Berbohong jelas hukumnya adalah haram. • Hukum tauriah pula adalah harus dan ia tidak dikira sebagai berbohong dan tidak dicela jika menepati syaratnya sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam Kitab al-Azkar iaitu:

1. Mengatakan sesuatu yang benar walaupun berniat untuk menyembunyikan sesuatu.

2. Dilakukan kerana hajat dan keperluan mendapat sesuatu kemashlahatan yang jelas atau untuk menolak kemudaratan yang pasti seperti mendamaikan suami dan isteri. Hukumnya adalah makruh jika tiada hajat dan keperluan seperti di atas atau kemaslahatan dan kemudaratan itu tidak pasti.

3. Bukan bertujuan untuk membenarkan sesuatu yang batil atau sebaliknya dan juga bukan untuk menghalalkan sesuatu yang haram atau sebaliknya. Jika tidak, maka hukumnya adalah haram.

4. Tidak menzalimi seseorang sama ada dengan mengambil hak orang lain atau menafikan hak orang lain ke atas kita. Jika sebaliknya, jatuh hukum haram.

Sumber: Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah

Foto: Freepik & 123rf

Berita, Berita Semasa,

Bekas suami tuntut harta sepencarian atas rumah milik isteri… Ini jawapan peguam syarie tentang tuntutan itu

BERGELAR ibu tunggal, memang diakui sangat mencabar. Apatah lagi memikul tanggungjawab untuk mendidik dan membesarkan seorang anak perempuan. Demikian yang dilalui Zaleha Abdullah (bukan nama sebenar).

Walaupun tanpa suami di sisi, hidup Zaleha kini diulit bahagia. Beliau sudah betah begitu sejak empat tahun lalu apabila bercerai dengan bekas suaminya, Harun Sulaiman (bukan nama sebenar).

Zaleha dan anak perempuannya tinggal di rumah teres setingkat miliknya di sebuah bandar di selatan tanah air. Rumah itu jugalah yang menyimpan 1,001 kenangan antara dirinya dan Harun ketika mereka masih bergelar suami isteri selama sembilan tahun.

Begitupun, perkhabaran yang diterima membuatkan diri wanita itu dihambat rasa gusar. Harun secara tiba-tiba menuntut harta sepencarian ke atas rumah yang didiaminya.

Mantan suaminya itu memfailkan tuntutan harta sepencarian ke atas rumah yang didaftarkan atas nama Zaleha. Sedangkan, Zalehalah yang membayar deposit dan ansuran bayaran bulanan melalui potongan gaji oleh majikannya memandangkan beliau membuat pinjaman daripada syarikat tempatnya bekerja.

Atas sebab-sebab tertentu, perbicaraan tuntutan berkenaan hanya berlangsung selepas 15 tahun dari tarikh kes difailkan. Ketika itu, Zaleha pun sudah habis membayar semua pinjaman rumah berkenaan.
Namun, Harun tetap berdegil menuntut haknya. Lelaki itu merasakan dirinya berhak menerima satu pertiga daripada bahagian rumah tersebut.

Ketika perbicaraan berlangsung, Zaleha dan Harun masing-masing mengakui bahawa 90 peratus daripada harga belian rumah itu dibayar sepenuhnya oleh wanita berkenaan.

Namun begitu, Harun mahukan juga haknya. Beliau menyatakan, dirinya telah mengeluarkan deposit berjumlah RM20,000, kos guaman RM3,200 dan pengubahsuaian rumah berkenaan berjumlah RM50,000.

Dalam pernyataannya tentang deposit rumah berkenaan, Zaleha berkata: “Betul guna cek dia. Saya tak setuju itu dikatakan duit plaintif. Memang plaintif yang bayar, tapi guna duit saya.”

Zaleha bertegas bahawa deposit yang didakwa dikeluarkan oleh Harun datangnya daripada duit miliknya. Oleh sebab wanita itu tidak mempunyai buku cek, maka wang sejumlah RM25,000 diserahkan kepada bekas suaminya untuk membuat bayaran deposit rumah sebanyak 10 peratus menggunakan cek ketika membeli rumah berkenaan lebih 24 tahun lalu.

Malangnya, nasib tidak berpihak kepada Zaleha kerana bukti yang ada tidak menyokong keterangannya. Transaksi pengeluaran wang di akaun simpanan bank miliknya menunjukkan wang sejumlah RM25,000 dibuat selepas dua bulan dokumen perjanjian jual beli ditandatangani.

Harta sepencarian

Bagi kos guaman pula, mahkamah tidak dapat memberikan sebarang penghakiman kerana Zaleha dan Harun masing-masing gagal mengemukakan ketepatan amaunnya. Begitu juga halnya dengan kos pengubahsuaian, Harun gagal mengemukakan bukti yang menyokongnya.

Justeru, berdasarkan segala keterangan dan bukti dikemukakan, mahkamah memerintahkan agar rumah itu dinilai semula mengikut nilaian harga pasaran semasa.

Zaleha pula berhak mendapat 95 peratus bahagian rumah berkenaan, manakala Harun hanya mendapat lima peratus.

Zaleha terpaksa akur dengan keputusan berkenaan. Baginya, biarlah urusan itu diselesaikan segera setelah memakan masa bertahun-tahun untuk menyelesaikan kemelut harta sepencarian tersebut.

(Artikel berkaitan: Suami meninggal, ini yang WAJIB isteri tahu tentang peninggalan harta arwah)

Boleh tuntut harta sepencarian walaupun tidak menyumbang secara langsung

Meskipun sesebuah harta itu atas nama satu pihak sahaja sama ada suami atau isteri, pasangan tetap boleh menuntut harta sepencarian.

Namun begitu, harta tersebut mestilah diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan . Ia sekalipun pasangan itu tidak memberikan sumbangan secara langsung dalam pemerolehan aset berkenaan.

Bagaimanapun, Peguam Syarie, Abdullah Anuar Sahri menjelaskan, dari segi pembahagian harta pula, ia adalah berdasarkan takat sumbangan pihak-pihak dalam pemerolehan harta tersebut sehingga satu pertiga bahagian bagi pihak yang tidak menyumbang secara langsung.

ABDULLAH ANUAR

“Selebihnya pula diberikan kepada pihak yang menyumbang secara langsung dalam pemerolehan harta tersebut, secara umumnya.

“Takat sumbangan itu tidak kiralah sama ada dalam bentuk wang, harta dan tenaga. Sumbangan tidak langsung contohnya, pasangan tidak menyumbangkan dalam bentuk wang ringgit, tetapi telah membantu pasangannya menguruskan rumah, menguruskan transaksi dan sebagainya.

“Dalam kes seperti ini, pembuktian adalah sangat penting kepada keputusan mahkamah. Mahkamah akan membuat penelitian sebelum memutuskan sebarang perintah pembahagian harta sepencarian tersebut,” katanya ketika ditemu bual menerusi e-mel baru-baru ini.

Abdullah Anuar menambah, harta sepencarian juga meliputi harta yang dibeli sebelum tempoh perkahwinan, tetapi ia dibayar bersama selepas berkahwin.

“Ini kerana, kedua-dua pasangan telah menyumbang dalam pemerolehan harta tersebut.

“Harta sepencarian boleh dituntut dalam tiga keadaan iaitu suami mahu berpoligami, selepas perceraian dan pasangan meninggal dunia sebelum pembahagian harta pusaka dibuat,” katanya sebagaimana peruntukan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2006.

Dalam pada itu, peguam syarie itu turut menasihatkan agar mereka yang menghadapi masalah harta sepencarian mengikut cara yang betul iaitu melalui saluran mahkamah syariah.

Ujar beliau, tujuannya supaya pembahagian pihak-pihak dapat dilakukan dengan adil dan diiktiraf sebagai hak milik tanpa keraguan.

“Seperkara lagi, pastikan apa-apa sahaja harta yang diperoleh ketika dalam tempoh perkahwinan, simpanlah segala resit pembelian dan pembayaran serta dokumen-dokumen sumbangan.
​​​​​​​
“Ia bagi memudahkan pembahagian dan penilaian takat sumbangan dijalankan dengan bukti-bukti yang ada,” katanya.

Foto: Freepik

Didikan anak-anak
Panduan,

Jangan abaikan didikan anak-anak, ini tanggungjawab suami isteri

Oleh DR NAEMAH HAMZAH

SEJAK pandemik Covid-19 mula dikesan pada hujung tahun lalu, kesannya dirasai di seluruh dunia termasuk Malaysia. Ia masih belum berakhir sehingga kini.

Bukan sahaja memberi kesan kepada kegawatan ekonomi, tetapi tempias pandemik turut terkena juga dalam hal keluarga.

Bercakap mengenai famili, dalam meniti suasana yang begitu mencabar kini, suami isteri perlu mengukuhkan hubungan kekeluargaan dengan menjalankan hak dan tanggungjawab secara bersama.

Secara teori, suami dan isteri menjalankan fungsi yang berbeza. Suami misalnya, bertanggungjawab menyediakan mas kahwin, mencari nafkah keluarga dan berbuat baik kepada ahli keluarga, manakala isteri wajib mentaati suami serta menjaga dan menguruskan kebajikan rumah tangga.

Namun begitu, berdasarkan ilmu fiqh Islam, terdapat hak dan tanggungjawab yang harus dilaksanakan secara bersama bagi memastikan perjalanan rumah tangga yang baik dan seimbang. Ia merangkumi tiga perkara yang perlu dititikberatkan.

Pertama, hak dan tanggungjawab untuk saling menyayangi antara satu sama lain.

Dalam hidup berumah tangga, ia semestinya didasari perasaan kasih sayang bersesuaian dengan hikmah perkahwinan.

Menurut Imam al-Ghazali, suami isteri hendaklah memperelok akhlak dan hubungan bersama iaitu antara ibu, bapa dan anak atau suami dan isteri.

Semuanya mestilah disatukan dengan hubungan cinta yang istimewa iaitu sifat ar-Rahim.

Justeru, ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini yang mana kebanyakan urusan kerja dilakukan di rumah, perlu dijadikan sandaran terbaik untuk meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama.

Antaranya menganjurkan aktiviti dan program yang boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan bersama.

Selain itu, suntiklah keceriaan seperti mengajar anak di rumah, solat berjemaah, membaca al-Quran dan perkara lain yang mendatangkan manfaat bersama-sama.

Didikan anak-anak

Kedua, merujuk kepada hak mendapatkan kepercayaan dan menjaga maruah rumah tangga.

Dalam hal ini, untuk memperoleh kebahagian, suami dan isteri harus mempunyai sikap saling mempercayai antara satu sama lain, hormat-menghormati dan sentiasa berbaik sangka dalam urusan kehidupan.

Bermuhasabah

Janganlah membuat tuduhan membuta tuli sehingga menyebabkan pertengkaran yang akhirnya membawa kepada perceraian gara-gara sifat cemburu yang keterlaluan.

Ketiga, hak menjaga dan mendidik anak-anak. Setiap pasangan yang berkahwin berharap agar dikurniakan cahaya mata sebagai penyambung zuriat dan pengikat kasih antara mereka. Malah, salah satu daripada fungsi perkahwinan adalah untuk melahirkan generasi yang soleh.

(Artikel berkaitan: Anak jadi nakal sebab doa ibu bapa… Berhati-hatilah bila berkata-kata apalagi ketika sedang marah)

Pendidikan anak-anak, menurut Mohd Hamid dan Khaulah (1994)termasuklah dari aspek jasmani, rohani, agama, akhlak, masyarakat dan akal.

Lantaran itu, Islam mewajibkan ibu bapa memberi nafkah dan mendidik anak-anak supaya taat kepada perintah ALLAH SWT dan berakhlak mulia.

Menurut al-Buty, pendidikan utama anak-anak sebenarnya bermula dari rumah. Al-Qardawi juga menegaskan bahawa pekerjaan yang lebih utama bagi wanita adalah mendidik dan menyiapkan generasi muda pada masa hadapan.

Walaupun secara teorinya tanggungjawab menjaga dan mendidik anak kelihatan diletakkan sepenuhnya kepada ibu, namun Rasulullah SAW menggalakkan tugasan itu dilaksanakan secara bersama.

Tanggungjawab mendidik anak bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan seorang diri terutama dalam era pandemik ini.

Perkara itulah yang mencabar kreativiti suami isteri untuk mendidik anak-anak di rumah, di samping menjalankan tugasan kerja.

Didikan anak-anak

Anak-anak memang tidak boleh dilekakan dengan gajet untuk menonton video atau bermain.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya anakmu mempunyai hak terhadap dirimu.” (Riwayat Muslim)

Sejarah menunjukkan bahawa Rasulullah SAW kasih kepada anak-anak baginda dan turut sama mendidik mereka dengan akhlak yang mulia.

Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Umar bin Abi Salamah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Wahai anakku, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah apa yang dekat darimu.” (Riwayat al-Bukhari)

Melihat ungkapan berkenaan, jelaslah bahawa pasangan suami isteri perlu menggalas tugas berat itu secara bersama. Didiklah anak dengan berkesan bagi mengembangkan potensi diri mereka.

Sedar atau tidak, kehadiran suami sebenarnya membantu menyalurkan pendidikan psikologi kepada anak terutamanya anak lelaki.

Ketegasan suami sebagai bapa juga mampu mengurangkan masalah keruntuhan akhlak anak remaja melalui pemerhatian dan pemantauan yang berterusan.

Oleh itu, suami isteri mestilah meluangkan masa khusus untuk bersama keluarga, memantau perkembangan anak dan mencurahkan kasih sayang.

Hakikatnya, tugasan dalam mendidik generasi soleh tidak boleh berjaya sekiranya dilakukan secara berseorangan oleh wanita.

Apatah lagi, ramai wanita kini yang bekerja dan sebahagian besar masa dihabiskan untuk memikirkan urusan di pejabat.

Fenomena itu boleh merencatkan perkembangan anak yang sihat jika tidak mempunyai gandingan yang mantap antara kedua-duanya.

Justeru, suami isteri diseru agar terus menjalankan hak dan tanggungjawab secara bersama tanpa saling menyalahkan antara satu sama lain apabila terdapat masalah dan kekurangan yang berlaku.

Duduklah bersama dan bermuhasabah tentang tanggungajwab yang perlu dijalankan.
​​​​​​​
Rumah tangga yang penuh mawaddah dan rahmah adalah impian semua. Banyakkan berdoa agar diberikan rumah tangga yang bahagia di dunia dan akhirat.

***Dr Naemah Hamzah ialah Penolong Pengarah, Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia

Foto: 123rf dan Freepik