Browsing Tag

sinar islam

misbahul-aulia-38CTbydRZXI-unsplash
Berita Semasa,

Musibah banjir tanda peringatan buat manusia

Oleh RAFIUDDIN MOHD YUSOF

SEJAK kebelakangan ini, hujan turun tidak menentu. Negara kita sedang dilanda musim tengkujuh. Beberapa buah negeri seperti Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor ditenggelami bah.

Terdapat beberapa daerah yang tidak pernah mencatatkan sejarah banjir yang teruk, turut dikejutkan dengan tragedi tanpa diduga ini.

Ya, sudah tentu malapetaka tersebut merupakan takdir dan perancangan yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT kerana DIA MAHA BERKUASA lagi MAHA BIJAKSANA.

Kehebatan ALLAH SWT itu menjadi bukti bahawa bumi dan alam semesta adalah ciptaan-NYA. Maka, DIA berhak menentukan segala-galanya.

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya Tuhan kamu ALLAH yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu DIA bersemayam di atas Arasy (sifat ALLAH) DIA menutupkan malam dengan siang yang mengikutinya dengan cepat dan (diciptakan-NYA pula) matahari, bulan dan bintang-bintang, (masing-masing) tunduk kepada perintah-NYA. Ingatlah, hanya ALLAH urusan menciptakan dan memerintah. Maha suci ALLAH, Tuhan semesta alam.” (Surah al-A’raf, ayat 54)

Sesungguhnya, bencana yang sedang direntas kini memberi tamparan hebat terutama mereka yang menjadi mangsa. Keadaan bertambah menakutkan apabila virus Covid-19 masih lagi mengganas. Apabila dua musibah datang serentak, ia sememangnya menggetarkan lagi jiwa.

Dalam kalangan mangsa, ada yang kali pertama mengalaminya. Segelintirnya pula seakan alah bisa, tegal biasa kerana saban tahun menghadap ujian yang sama.

Banjir

Tidak kiralah siapa pun mereka, hanya insan yang cekal dan tabah sahaja mampu untuk mengharungi detik-detik mencemaskan berkenaan. Bukan mudah sebenarnya kerana ia melibatkan banyak kemusnahan seperti harta benda dan memang menganggu jiwa, emosi, kewangan, pekerjaan dan rutin harian.

Gara-gara banjir juga ada mangsa yang hilang tempat tinggal. Jalan yang biasa dilalui ditenggelami air sehinggakan menyebabkan jalan penghubung terputus. Pastinya yang paling menyedihkan adalah kehilangan nyawa orang tersayang akibat lemas.

Benar, hal itu merupakan satu ujian yang berat. Namun sebagai hamba ALLAH, kita perlu mengharunginya dengan penuh sabar dan tawakal. Kita wajib percaya bahawa ALLAH SWT MAHA MENGETAHUI apa yang direncanakan kepada setiap hamba-NYA.

Baca juga 6 sebab ALLAH turunkan ujian Covid-19 dan dugaan lain di dunia

Firman ALLAH SWT: “Tidak ada suatu musibah yang menimpa (seseorang), kecuali dengan izin ALLAH dan barang siapa beriman kepada ALLAH, nescaya ALLAH akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan ALLAH MAHA MENGETAHUI segala sesuatu.” (Surah at-Taghabun, ayat 11)Justeru, dengan apa yang berlaku, janganlah kita sesekali menyalahkan takdir atau menuding jari mencari kesalahan orang dengan melabelkan mereka sebagai seorang yang cuai. Sebaliknya, yakin dengan qada dan qadar daripada ALLAH SWT kerana mempercayainya merupakan salah satu daripada ciri-ciri orang yang beriman.

ALLAH SWT berfirman: “Katakanlah: ‘Siapakah yang dapat melindungi kamu daripada (ketentuan) ALLAH jika DIA mengkehendaki bencana atasmu atau menghendaki rahmat untuk dirimu?’ Mereka itu tidak akan mendapatkan pelindung dan penolong selain ALLAH.” (Surah al-Ahzab, ayat 17)

Usah terpesong

Sesungguhnya, ALLAH SWT telah memilih siapa yang akan menerima ujian-NYA. Sesiapa yang berjaya mengharunginya, pastinya akan memperoleh ganjaran pahala kebaikan yang mampu meningkatkan ketakwaan kepada ALLAH SWT.

Apa yang pasti dan jelas, setiap apa dugaan yang diturunkan-NYA pasti mempunyai sebab-sebab tersurat dan tersirat yang perlu difikirkan oleh kita sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

BanjirIa sebagaimana yang dinyatakan jelas dalam kalam ALLAH: “Demi sesungguhnya! KAMI akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan. Kelaparan dan kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar. Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu musibah, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami kepunyaan ALLAH dan kepada-NYA kami kembali.’ (Surah al-Baqarah, ayat 155-156)

Sehubungan itu, sebagai hamba-NYA, banyakkanlah berdoa kepada ALLAH SWT agar bencana banjir yang masih berlaku ini membuka hati kita untuk terus beriman kepada-NYA dalam setiap inci kehidupan kita.

Jangan sesekali terpesong dengan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan-kepercayaan karut yang berkaitan dengan bencana alam kerana ia boleh memesongkan akidah kita.

Sesungguhnya, tiada Tuhan yang lebih berkuasa dalam menentukan segala-galanya selain ALLAH SWT. Pada masa sama, teruskan berdoa tanpa rasa jemu agar mereka yang ditimpa musibah dan ujian bencana alam terutamanya saudara seagama kita diberikan perlindungan yang sebaiknya.

BanjirSemoga semua yang masih hidup termasuk ahli keluarga mangsa yang menerima ujian itu diberikan kekuatan dan kecekalan hati dalam meneruskan perjalanan hidup yang lebih baik pada masa akan datang.

Tiada siapa yang mahukan perkara sedemikian menimpa dirinya, tetapi inilah perancangan daripada ALLAH SWT yang tiada tolok bandingnya.

Akhir kalam, hayati dan fahami firman ALLAH SWT ini: “Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam Kitab (Luh Mahfuz) sebelum KAMI mewujudkannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi ALLAH.” (Surah al-Hadid, ayat 22)

***Rafiuddin Mohd Yusof ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara Cawangan Johor

Foto: Bernama & Unsplash

imam malik
Personaliti,

Walaupun disebat dengan cemeti, Imam Malik teguh pertahankan fatwa dikeluarkannya

DALAM agama Islam, bidang fiqh begitu signifikan. Masakan tidak, ia sangat berkait rapat dengan ibadah, perlakuan dan lain-lain yang bersangkutan dengan kehidupan seharian kita sebagai seorang Muslim.

Antara ulama fiqh yang sangat disegani dengan ilmu tersebut ialah Imam Malik yang juga kepada pengasas Mazhab Maliki. Pemilik nama penuh Malik bin Anas bin Malik bin Abi Amir al-Ashabi itu dilahirkan di Madinah, Arab Saudi pada tahun 93 Hijrah.

Beliau telah menguasai ilmu agama sejak kecil lagi. Tatkala usianya mencapai baligh, beliau sudah menghafaz 30 juzuk al-Quran. Dalam bidang hadis, beliau mempelajarinya daripada bapa saudaranya yang juga seorang ulama, Abu Suhail di samping ulama-ulama besar di tempat kelahirannya.

Imam Malik

IMAM MALIK

Dalam sebuah riwayat masyhur, beliau dikatakan telah berguru dan mendapat pendidikan daripada 900 orang sarjana yang hebat dalam bidang masing-masing. Antaranya ialah Abd Al Rahman Ibn Humuz, Muhamad Ibn Sihab al-Zuhri dan ‘Amir bin Abdillah bin al-Zubair.

Apabila usianya menginjak 17 tahun, beliau yang mendapat jolokan Imam Darul Hijrah itu mula mengeluarkan fatwa setelah 70 ulama mengesahkan kelayakannya. Kepercayaan itu diberikan lantaran Imam Malik berjaya mengumpulkan lebih daripada 100,000 hadis yang ditulis sendiri olehnya.

Baca juga Subhanallah, rupanya lebih 700,000 hadis dihafaz oleh Imam Ahmad ketika hayatnya

Patah tulang belakang

Plot kehidupannya memang sangat dikagumi. Berbekalkan ilmu dan kecerdikan akal serta penguasaan dalam ilmu berkaitan hadis dan fiqh, beliau dilantik sebagai ulama besar di tempat kelahirannya.

Sebagai pemimpin, Imam Malik juga terkenal dengan sifat telitinya dalam ilmu hadis. Menurut Ibn Hibban, ilmuan tersebut merupakan orang pertama dalam kalangan fuqaha (ahli dalam ilmu fiqh) di Madinah yang menyaring para perawi hadis.

Bahkan, beliau juga hanya akan meriwayatkan hadis yang benar-benar sahih sahaja dan daripada perawi yang tsiqah (orang yang baik agamanya).

Ketegasannya itu telah dinyatakan dalam karyanya bertajuk al-Muwatta. Penghasilan kitab itu dilakukan selama 40 tahun dengan menyaring hadis-hadis yang diterima daripada guru-gurunya.

Imam Malik

AL-MUWATTA antara karya agung Imam Malik yang menjadi rujukan ramai.

Daripada 100,000 hadis yang ditulisnya, hanya 10,000 hadis yang diakui sah. Namun, Imam Malik berusaha lagi dengan melakukan saringan seterusnya sehinggalah hanya tinggal 5,000 hadis yang benar-benar diterimanya daripada Nabi Muhammad SAW. Pun demikian, monumental al-Muwatta itu hanya memuatkan 1,720 hadis yang sahih.

Buku tersebut juga dipersetujui oleh 70 orang sarjana. Disebabkan itu kitab berkenaan disebut sebagai al-Muwatta (yang disepakati).

Menjadi resam seorang ilmuan hebat, ujian dihadapinya juga berat. Bayangkan Imam Malik pernah dihukum dengan cemeti hingga patah tulang belakangnya. Ia gara-gara fatwa yang dikeluarkan oleh beliau tidak disukai oleh khalifah pada zamannya.

Begitupun, tidak pernah sekali-kali cendekiawan itu berpaling dengan hadis yang dipegangnya. Menurut Imam Syafie yang pernah berguru dengannya, beliau menyifatkan Imam Malik umpama bintang dalam kalangan para ulama.

Selama lebih tujuh dekad, Imam Malik melayani dan melindungi ilmu hadis di Madinah. Beliau dikhabarkan terlalu mencintai Madinah dan ‘terikat’ dengan kota Nabi Muhammad SAW itu.

Apa tidaknya, seumur hidupnya, hanya sekali beliau mengerjakan haji dan tidak pernah menjejakkan kaki ke kota lain.

Imam Malik menemui Pencipta-NYA pada usia 86 tahun. Sesungguhnya, begitu besar sumbangan yang ditinggalkan ulama itu untuk umat Islam sehingga kini terutama dalam menentukan hadis sahih.

Imam Malik

MAKAM Imam Malik dan Imam Nafi’ di Madinah, Arab Saudi.

PROFIL

Nama: Malik bin Anas bin Malik bin Abi Amir al-Ashabi.

Gelaran: Imam Malik dan Imam Darul Hijrah.

Asal: Madinah, Arab Saudi.

Tahun kelahiran: 93 Hijrah.

Tahun kematian: 179 Hijrah.

Kepakaran: Ilmu hadis dan fiqh.

Karya agung: al-Muwatta, Risalah Ila Ibn Wahb fi al-Qadr, Kitab An-Nujum, risalah fi al-Aqdhiyah, tafsir li Gharib Alquran, risalah Ila Lais bin Sa’ad, Kitab Syiar, Kitab al-Manasik dan Risalah Ila Abu Hasan.

BAIT MUTIARA

“Bukan ilmu yang harus datang kepadamu, tetapi kamulah yang seharusnya datang menjemput ilmu.” -Imam Malik

Sumber & Foto: http://myhadithislam.gov.my/, republika.co.id, arabnews.com, muwatta.com, muslimobsession.com, minanews.net, dream.co.id & https://ms.wikipedia.org/

masjid-pogung-dalangan-vX60jw8SsUM-unsplash
Gaya Hidup, Gaya Hidup, Panduan,

Jangan layan sangat perasaan waswas bila hendak beribadah. Cuba sedaya upaya lawan penyakit gangguan syaitan itu…

BARU sahaja melafazkan niat dan mengangkat takbir, tiba-tiba fikiran pula menerawang. Teringat pula kerja-kerja yang masih belum dibereskan.

Sedangkan, pada waktu lain, semua perkara itu langsung tidak terlintas dalam kotak fikiran kita. Itu belum lagi cerita bab terlupa bilangan rakaat. Ya, itu antara contoh paling lazim yang sering kali di hadapi saat hendak beribadah.

Dalam situasi berlainan pula, penulis pernah menyaksikan seorang kenalan wanita mengambil wuduk. Beliau dilihat melaraskan kepala paip pada tahap maksimum sehingga aliran air deras yang keluar memercik ke kawasan tempat solat. Rakan penulis itu dilihat bersungguh-sungguh mengambil wuduk. Habis lencun baju dan kaki seluar yang dipakainya.

Apabila ditanya, beliau dengan spontan menjawab: “Beginilah bila berwuduk. Tak sah rasanya kalau tak basah.”

Jawapannya itu membuatkan penulis agak bungkam. Barangkali beliau berasa bimbang wuduknya tidak sah jika menggunakan aliran paip yang perlahan atau sederhana.

Sebenarnya, tanpa sedar, beliau sebenarnya telah terkena penyakit waswas. Apabila dihambat perasaan itu, semuanya akan menjadi serba tidak kena. Lebih-lebih lagi ketika hendak beribadah.

Perasan atau tidak, waswas jarang sekali ‘menyerang’ kita tatkala hendak melakukan perkara yang lain. Apakah asbab yang membawa kepada penyakit itu? Adakah ia merupakan angkara syaitan semata-mata?

Serangan syaitan

Bagi mendapatkan pencerahan lanjut, Sinar Islam mewawancara pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz.

HASSAN MAHMUD

Ujar Hassan, penyakit berkenaan ada disebutkan dalam Surah an-Nas dan ia adalah berpunca daripada bisikan syaitan!

“Mereka yang diserang waswas sebenarnya telah diganggu oleh makhluk ALLAH yang direjam itu,” kata beliau dalam perenggan awalnya ketika mengulas mengenai topik berkenaan.

Agamawan itu memberitahu, perasaan waswas atau dalam perkataan lain sangsi, curiga dan bimbang itu kebanyakannya berlaku dalam hal-hal berkaitan dengan ibadah. Contohnya, ketika solat dan mengambil wuduk.

WaswasIndividu yang mempunyai penyakit berkenaan katanya, seolah-olah tidak yakin dengan perbuatan mereka hingga mendorong atau memaksa mereka berulang kali melakukan perkara yang sama. Itu semua gara-gara berasakan tindak-tanduk yang dilakukan itu tidak sempurna.

“Perasaan waswas tidak akan terjadi kepada hal-hal keduniaan umpamanya ketika seseorang bekerja dengan tertib ataupun menerima gaji. Begitu juga apabila kita naik kenderaan, tidak pula kita menyatakan sama ada mahu bergerak atau tidak. Perjalanan tetap diteruskan,” katanya memberi perbezaan analogi.

Baca juga Apabila waswas membelenggu diri, cepat-cepatlah baca…

Maka, waswas merupakan salah satu daripada penyakit rohani dan bukan berkaitan dengan fizikal, ujarnya.

Hassan menambah, kemelut itu lazimnya mudah menakluk kepada mereka yang tidak mempunyai iman yang kuat dan mempunyai masalah dalaman. Apabila ciri-ciri itu wujud dalam diri seseorang, mereka dengan mudah ‘melayan’ perasaan negatif terbabit sehinggakan ia menjadi satu penyakit yang amat sulit untuk dikawal.

“Bayangkan seseorang yang membaca Surah al-Fatihah, tetapi dirasakan bacaannya tidak betul walaupun orang di sekeliling yang mendengarnya rasakan tiada apa-apa yang tidak kena dengan bacaannya tadi.

“Namun, individu berkenaan merasakan sebaliknya, dia tetap mengulang semula bacaan berkenaan berkali-kali. Akhirnya, jadilah penyakit waswas. Maka, sebab itulah syaitan akan mudah menggoda mereka yang mempunyai kelemahan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, pendakwah tersohor itu berkata, terdapat beberapa tanda ketara yang boleh dilihat oleh mereka yang dijajah dengan rasa waswas.

Antaranya, mereka sukar untuk membuat keputusan di samping sentiasa memiliki sifat teragak-agak. Dalam kebanyakan situasi, ia boleh membahayakan diri sendiri.

“Selain itu, wajah individu yang diserang waswas kelihatan muram dan tidak ceria. Malah, waktu tidur pun tidak mencukupi, di samping tidak berjaya menyudahkan suatu tugasan dengan baik serta tidak suka pada orang lain.

“Paling teruk sekali apabila orang itu menunaikan solat berjemaah, tidak sampai separuh jalan, dia akan berhenti solat lantaran perasaan waswas tadi dan kembali mengulangi semula ibadah fardunya,” katanya.

Banyakkan istighfar

Bagi mengatasi penyakit itu, pendakwah itu menasihatkan kita sentiasa melazimkan diri dengan memperbanyakkan istighfar.

Baca juga Banyak rupanya kelebihan istighfar yang ramai tak sedar…

“Perasaan waswas berkaitan dengan jiwa dan batin kita yang mana ia dengan mudah akan mengganggu perasaan manusia. Sampai satu peringkat ia boleh membunuh jika tidak diatasinya.

“Justeru, saya sarankan supaya banyakkan beristighfar dan teruskan amalan itu selama 40 malam berturut-turut sehingga hati kembali pulih dan tenteram. Selain itu, carilah kawan yang boleh membimbing kita daripada sifat waswas yang membelenggu diri. Berdoalah kepada ALLAH SWT dan lawan rasa waswas itu. Insya-ALLAH lama-kelamaan, dirinya akan bebas daripada penyakit itu,” ujarnya.

Fakta yang dilontarkan oleh Hassan turut dipersetujui pendakwah Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa.

USTAZ MOHD FAUZI

Ujar Ustaz Mohd Fauzi, waswas merupakan antara salah satu bentuk gangguan syaitan menerusi bisikan apalagi jika kita berada dalam keadaan lalai.

Rasulullah SAW bersabda: “Syaitan itu duduk bercangkung di atas hati manusia, apabila manusia menyebut nama ALLAH, dia (syaitan) akan mengundurkan diri dan apabila manusia lalai, dia (syaitan) akan membisikkan kejahatan.” (Sahih al-Bukhari)

Imam al-Qurtubi menerusi tafsirnya menjelaskan bahawa waswas hanya berlaku dalam hati, tetapi tiada suara.

Berdasarkan ungkapan itu, jelas Ustaz Mohd Fauzi, waswas sentiasa bermain dalam hati dan kotak fikiran manusia.

“Contohnya, hati berkata-kata ‘lambat lagi hendak masuk Maghrib, habiskan tonton perlawanan bola ini dulu, sempat lagi untuk solat nanti’. Sekalipun ia tidak diungkapkan dari bibir kita, tetapi hati kita telah terusik dengan bisikan syaitan.

“Jika dibiarkan, ia akan memberi kesan kepada kehidupan kita sampai ke peringkat keputusan yang dibuat adalah tidak normal. Ada yang sampai tahap seseorang itu bunuh diri akibat waswas,” katanya yang menyokong pandangan Hassan.

Diri jadi penyumbang

Bukan itu sahaja, pendakwah itu menjelaskan, manusia sendiri juga boleh menjadi penyumbang kepada penyakit waswas. Ia berlaku apabila kita cetek ilmu terutamanya dalam hal berkaitan ibadah.

Masakan tidak, ketika menunaikan solat misalnya, individu yang diserang waswas akan mengangkat takbir berkali-kali kerana merasakan niatnya tidak sempurna. Akhirnya dirinya letih dan mengalami tekanan kerana perlu mengulanginya banyak kali.

Waswas

SYAITAN mengganggu manusia ketika beribadah untuk menyesatkan kita dan percaya dengan tipu dayanya.

“Ingatlah, syaitan tahu kelemahan kita. Di situlah ia akan menyerang supaya kita terperangkap dengan tipu dayanya. Apabila cukup ilmu, kita tidak akan goyah daripada godaan syaitan.

“Selain itu, sikap sendiri yang melayan bisikan tadi membuatkan kita mudah dijangkiti waswas. Bahkan, ada juga orang yang langsung tidak sedar bahawa waswas itu datangnya daripada syaitan.

“Ini kerana ada sebilangan orang menganggap waswas seperti penyakit riak, bakhil dan seumpamanya. Hakikatnya, ia adalah serangan syaitan berunsur bisikan tanpa suara,” katanya.

Menyambung hujahnya, Ustaz Mohd Fauzi menambah, menurut pandangan ulama, orang yang dibelenggu dengan rasa waswas sebenarnya sedang berperang atau berjihad dengan syaitan.

Beliau turut memetik kata-kata Syeikh Izzudin bin Abdul Salam yang menyatakan, orang yang terkena waswas ialah mereka yang diuji oleh ALLAH SWT untuk ‘melawan’ syaitan.

“Apabila disebut jihad, sudah tentu kita perlu banyakkan bersabar, mengambil masa untuk berjihad dan perlu berlatih melawannya. Ia dengan cara menggali ilmu dengan jelas dan sahih, selain membimbing diri dengan doa dan bacaan pendinding diri.

“Maka, perangilah syaitan habis-habisan kerana ia adalah musuh kita. Kemudian, letakkanlah pergantungan kita kepada ALLAH SWT untuk memohon perlindungan-NYA dan mengelakkan diri daripada serangan syaitan,” katanya.

Agamawan itu turut berkongsi ungkapan doa yang boleh diamalkan untuk memohon perlindungan daripada bisikan syaitan. Ia ada disebutkan dalam al-Quran menerusi Surah al-Mukminun, ayat 97-98.

Waswas

SEBELUM menunaikan solat, amalkan baca doa daripada Surah al-Mukminun, ayat 87 dan 98 untuk mengelakkan diri daripada diganggu syaitan ketika sedang menghadap ALLAH SWT.

Doa itu bermaksud: “Dan katakanlah, ‘Ya Tuhanku, aku berlindung kepada-MU daripada bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung (pula) kepada-MU ya Tuhanku, agar mereka tidak mendekati aku.”

“Doa ini disunatkan untuk kita membacanya apabila hendak solat atau apa-apa saja jenis ibadah termasuklah mengambil wuduk. Kita mohon perlindungan daripada ALLAH SWT terlebih dahulu daripada hadirnya syaitan dan bisikan mereka,” ungkapnya.

Hanya amalan soleh berupaya lemahkan qarin bangsa jin

Selain syaitan, qarin (pendamping) bagi setiap orang juga akan membisikkan perkara yang melalaikan kita, kata pendakwah Ustaz Muhammad Hadi Talhah.

USTAZ MUHAMMAD HADI

Beliau menjelaskan, setiap manusia mempunyai qarin masing-masing iaitu pendamping daripada bangsa jin iaitu syaitan dan satu lagi ialah malaikat.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kalian (manusia) ada Qarin (pendamping) dari bangsa jin, dan juga Qarin dari bangsa Malaikat.” (Riwayat Ahmad)

“Qarin akan sentiasa bersama dan mengikuti ke mana sahaja kita pergi. Ia termasuklah qarin syaitan. Makhluk itu akan membisikkan dan menyuruh kita kepada perkara yang buruk.

“Hanya qarin Nabi Muhammad SAW sahaja yang menyuruh kepada kebaikan. Ini kerana ALLAH SWT telah membantu baginda mengislamkan qarinnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Namun begitu, ujar Ustaz Muhammad Hadi, qarin berbangsa jin itu boleh dilemahkan sekiranya kita melakukan amalan soleh seperti membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain.

“Qarin syaitan itu boleh jadi kurus, pendek, kecil dan lemah kerana kekuatan iman yang ada pada diri kita.

“Begitupun, kita perlu ingat bahawa qarin juga boleh berhubung dengan jin-jin yang lain. Andai kita dibelenggu dengan perasaan waswas atau tidak sedap badan seperti ada gangguan, segeralah ta’awuz iaitu mengucapkan ‘Auzubillahi minasy syaitanir rajim. Itu antara cara mudah untuk kita berlindung daripada syaitan yang direjam tadi,” jelas beliau.

Dalam pada itu, pendakwah tersebut turut memperbetulkan tanggapan segelintir masyarakat yang lebih gemar mengungkapkan kata-kata celaka kepada syaitan dengan harapan makhluk itu akan menjauhi kita.

“Ketahuilah, ungkapan syaitan celaka atau laknat dan sebagainya, ia sebenarnya tidak memberi kesan atau melemahkan syaitan itu sendiri. Cara paling berkesan adalah berdoa dan berlindung kepada ALLAH.

Waswas

“Mudah kata, kita meminta kekuatan daripada-NYA untuk melawan bisikan syaitan yang telah berjanji untuk menyeleweng dan menyesatkan anak Adam sehingga hari kiamat,” ujar beliau.

ANEKDOT

BAHAYA penyakit waswas

1. Menggangu aktiviti seharian

Bukan sahaja perihal ibadah, malah perasaan waswas menyebabkan kita lambat kerana perlu mengulang suatu perkara berkali-kali.

2. Dihantui oleh perasaan resah yang melampau

Setiap tindak tanduk yang dilakukan dirasakan tidak sempurna. Ia boleh mengakibatkan tekanan dan hidup individu itu dihantui keresahan.

3. Mengganggu orang lain

Ia sering kali berlaku dalam bab ibadah. Umpamanya, ketika menunaikan solat berjemaah. Orang yang waswas sering kali melafazkan niat atau bacaan dalam solat dengan suara yang kuat hingga mengganggu jemaah lain khusyuk dalam solat.

4. Pembaziran masa

Individu yang membiarkan dirinya waswas akan melayan setiap kerunsingan yang dihadapi. Ketika mengambil wuduk misalnya, orang itu akan berwuduk berkali-kali walaupun hakikatnya ia telah sempurna.

5. Malas beribadah

Setiap kali ingin melakukan ibadah, mereka yang terkena waswas kerap kali mengulangi perbuatan itu hingga terasa lelah. Jika tidak ditangani, kelak boleh termakan hasutan syaitan.

6. Ragu-ragu dengan akidah

Ia merupakan implikasi paling dahsyat andai kita membiarkan perasaan waswas membelenggu diri hingga jadi penyakit. Masakan tidak, mangsa akan jadi waswas dengan akidahnya sendiri.

Sumber: Pendakwah Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa

Foto: Freepik & Unsplash

pexels-matthias-zomer-618158
Berita, Dari Fail Mahkamah Syariah,

Bapa ubah fikiran tarik balik hibah yang diberikan pada anak. Peguam syarie ini beri penjelasan…

SEBAGAI ibu dan bapa, ramai yang sanggup bergolok dan bergadai demi kesenangan anak masing-masing. Setiap orang ada caranya yang tersendiri demi melihat penyambung keturunan mereka mempunyai masa depan yang cerah.

Bagi Hussin Othman (bukan nama sebenar), beliau memilih untuk menghibahkan tiga lot tanah miliknya kepada anak sulungnya yang bernama Farid (bukan nama sebenar). Beliau membuat kejutan itu kira-kira 10 tahun lalu.

Ternyata ia bukan sekadar cakap kosong. Sebaliknya, Hussin, 55, telah membuat penukaran nama lot tanah tadi kepada Farid, 20, melalui borang 14A iaitu borang pindah milik tanah, bahagian atau pusaka.

Semua itu dilakukan Hussin kerana terlalu kasih kepada Farid. Barangkali lelaki itu merasakan anak sulungnya mempunyai nilai sentimental kerana mengajar dirinya menjadi seorang bapa.

Namun begitu, setelah beberapa tahun berlalu, Hussin bagaikan tersedar sesuatu. Dirinya merasakan keputusan yang dibuatnya dulu itu merupakan satu kesalahan besar.

Masakan tidak, Hussin mempunyai empat lagi anak lain yang masih hidup selain Farid. Tindakannya menghibahkan tiga lot tanah kepada Farid itu satu keputusan yang kurang arif kerana dirinya tidak berlaku adil kepada anak-anak yang lain.

Akibat dihimpit rasa serba salah, Hussin bertekad untuk membuat permohonan ke mahkamah syariah untuk menarik balik pemberian hibah yang telah diberikan kepada Farid.

Tarik balik hibahTujuannya hanya satu iaitu untuk memberikan harta itu kepada semua anaknya secara adil dan saksama selagi dirinya masih bernafas di muka bumi.

Mujurlah tiga lot tanah berkenaan tidak pernah dijual, digadai ataupun dihibahkan oleh Farid kepada sesiapa. Pada mulanya, pemuda berkenaan mempertikaikan tindakan bapanya untuk menarik balik hibah itu. Beliau beralasan bahawa pemberian itu adalah sah di sisi undang-undang.

Namun begitu, Hussin tetap ingin meneruskan niatnya. Akhirnya, Farid memahami situasi bapanya dan bersetuju andai harta tadi dibahagikan sama rata kepada adik beradiknya yang lain.

Pada masa sama, urusan kaveat tanah berkenaan juga dilakukan pejabat tanah supaya ia tidak berpindah kepada tanah orang lain.

Baca juga Penting untuk urus hibah ketika masih sihat dan bertenaga. PU Syed beri panduan macam mana nak uruskannya

Ketika memberikan keterangan secara lisan, Farid telah mengemukakan dua orang saksi iaitu pegawai tanah dan ketua kampung.

Setelah meneliti segala keterangan dan bukti yang dikemukakan, hakim memutuskan bahawa Hussin berhak menarik balik dan membatalkan hibah berkenaan. Ketiga-tiga tanah berkenaan perlu diletakkan nama Hussin kembali.

Pada masa sama, mahkamah memerintahkan si bapa untuk membahagikan hasil ketiga-tiga tanah berkenaan kepada kelima-lima anaknya secara adil dan saksama.

Hussin menarik nafas lega dengan keputusan berkenaan, begitu juga Farid. Besar harapan Hussin agar kesemua anaknya berpuas hati dengan pembahagian harta tersebut sebelum beliau menutup mata.

Bapa boleh tarik semula hibah dengan syarat tertentu

HIBAH yang disertakan dengan penyerahan dan penerimaan barang (al-Qabd) tidak boleh ditarik balik kecuali jika ia dibuat oleh seorang bapa kepada anak-anaknya.

Peguam Syarie, Atiqah Abdul Razak berkata, ia selagi mana harta berkenaan tidak dipindah milik atau dijual kepada pihak ketiga. Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kes penarikan semula hibah.

ATIQAH

Jelas beliau, ulasan yang diberikan adalah berdasarkan kepada pandangan Mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian fuqaha Maliki.

“Ulama-ulama berkenaan menyatakan, penarikan balik hibah boleh berlaku semata-mata dengan ijab dan qabul. Namun begitu, dalam kes Hussin yang melibatkan penyerahan dan penerimaan barang, ia boleh ditarik balik kerana pemberi hibah dalam kes berkenaan adalah daripada bapanya.

“Tambahan pula, tujuan penarikan hibah dalam kes itu adalah supaya harta tersebut dapat dibahagikan secara sama rata kepada anak-anak. Pada masa sama, penerima hibah juga tidak ada masalah kerana harta tersebut akan dibahagikan secara saksama dan adil.

“Tafsiran bapa yang dimaksudkan itu termasuklah ibu, datuk, nenek dan usul yang lain,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Mengulas tentang kes Hussin, Atiqah menjelaskan, permohonan penarikan hibah boleh dilakukan di Mahkamah Tinggi Syariah.

“Mahkamah akan membuat keputusan sewajarnya selepas melihat fakta kes,” katanya.

Daripada aspek perundangan syariah, Atiqah daripada Tetuan Atiqah Syafiqah & Associates berkata, asas-asas penarikan hibah merujuk kepada as-Sunnah.

Tarik balik hibah

ANDAI ingin melakukan pemberian hibah ketika hayat masih ada, sebaiknya lakukanlah dengan adil supaya tidak menimbulkan masalah kepada waris pada
kemudian hari.

Beliau merujuk hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Umar bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak halal bagi seorang lelaki yang telah memberi satu pemberian, kemudiaan meminta kembali kecuali bapa meminta semula apa yang telah diberikan kepada anaknya.” (Riwayat Ahmad)

Bagaimanakah jika harta yang dihibahkan tadi sudah terjual? Menjawab persoalan itu, Atiqah menjelaskan, seandainya berlaku sedemikian, maka harta tadi bukan lagi milik penerima hibah, tetapi telah dijual kepada pemilik baharu.

“Menurut Mazhab Syafie, harta tersebut telah menjadi milik orang lain. Maka dalam kes ini, bapa tidak harus menarik kembali hibahnya,” jelasnya.

Justeru, peguam syarie itu menasihatkan masyarakat yang berhajat membuat hibah agar berfikir semasakmasanya sebelum sebarang pembahagian dibuat.

“Sebaik-baiknya buatlah pembahagian hibah secara saksama kepada anak-anak. Ia perlu untuk mengeratkan hubungan kemesraan sesama mereka.

“Untuk memastikan dokumen hibah yang dibuat itu memenuhi hukum syarak dan boleh dikuat kuasa, masyarakat boleh mendapat nasihat guaman daripada peguam syarie,” nasihat beliau.

Foto: Freepik & Pexels

 

 

yanal-tayyem-1h0eUfpaH-g-unsplash
Agama,

Jangan jadi hamba kepada diri dan nafsu, lakukanlah semua perkara ikhlas kerana ALLAH

SIFAT ikhlas begitu penting dalam kamus hidup kita. Jika tidak, sia-sialah apa sahaja yang kita lakukan termasuklah dalam perihal ibadah dan juga urusan lain.

Menurut Imam al-Jurjani dalam Kitab al-Ta‘rifat, dari sudut bahasa, ikhlas bermaksud meninggalkan riak apabila melakukan ketaatan. Dari sudut istilah pula, ia bermaksud membersihkan hati daripada bercampur dengan sesuatu yang memudaratkan kebersihannya dan dapat mengetahui sesuatu yang mencampurinya. Dengan itu, ia dapat dielakkan.

Dalam al-Risalah al-Qushayriyyah yang dikarang oleh Imam al-Qushayri, al-ikhlas bermaksud berniat semata-mata kerana Tuhan yang memiliki nama al-Haqq dalam ketaatan. Manusia mentaati ALLAH SWT adalah semata-mata kerana ingin mendekatkan diri kepada-NYA tanpa tujuan lain seperti pujian. Hakikat keikhlasan adalah terpelihara daripada belenggu riak dan hawa nafsu.

Menyelak lembaran dalam Kitab al-Arba‘in fi Usul al-Din, Imam al-Ghazali menukilkan satu fasal khusus tentang al-ikhlas. Beliau meletakkan fasal itu di bawah bahagian keempat yang bertajuk akhlak yang terpuji.

Jelas Imam al-Ghazali, al-ikhlas mempunyai tiga rukun iaitu asas, hakikat dan kesempurnaan. Rukun pertama merujuk kepada niat kerana dalam niat terdapat al-ikhlas.

Niat akan menghasilkan pergerakan anggota badan. Ia bermula daripada ilmu, keinginan dan kekuatan. Ilmu menggerakkan keinginan, kemudian keinginan berperanan membangkitkan kekuatan untuk menggerakkan anggota badannya.

Contohnya, seseorang yang bangun daripada tidur lalu melihat makanan, maka ia memiliki ilmu tentangnya. Kemudian ilmu itu menggerakkan keinginannya untuk menjamahnya. Akhirnya, keinginan tersebut membangkitkan kekuatannya untuk bertindak dengan menggerakkan tangannya, lalu menikmati makanan tersebut.

Ikhlas

LAKUKAN setiap urusan termasuk pekerjaan dengan penuh keikhlasan.

Rukun kedua adalah hakikat yang merujuk kepada satu perkara yang membangkitkan niatnya. Jika ada dua perkara yang mendorongnya untuk melakukan sesuatu, maka ia bertentangan dengan hakikat keikhlasan.

Sementara, rukun ketiga pula merujuk kepada al-sidq iaitu keikhlasan yang sempurna. Al-Sidq bermaksud benar yang mana ia terdiri daripada enam pengertian.

Ia merangkumi pertuturan, sifat benar pada niat dan keinginan, sifat benar pada keazaman, menunaikan janji dengan penuh keazaman (lebih kuat berbanding pengertian ketiga), sifat benar pada perbuatan (merujuk kepada amal perbuatan zahir seseorang yang menepati aspek dalamannya) dan terakhir, sifat benar dalam merealisasikan maqammaqam keagamaan.

Baca juga Berpuluh-puluh tahun solat, tapi tak diterima. Ini sebabnya yang wajib kita ambil tahu

Al-Sidq tertinggi

Pengertian keenam itu merupakan al-Sidq paling tinggi umpamanya, takut kepada ALLAH SWT. Imam al-Ghazali memberi contoh bahawa seseorang yang memiliki sifat takut kepada ALLAH SWT, belum tentu ia benar-benar takut kepadaNYA berbanding sifat takutnya ketika berhadapan dengan pemerintah atau perompak yang zalim.

Pada permulaan perbahasan berkenaan tajuk al-Ikhlas dalam Ihya‘ ‘Ulum al-Din, Imam al-Ghazali menjelaskan kelebihan dan kepentingan keikhlasan.

Ilmuan Islam itu mengemukakan firman ALLAH SWT: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah ALLAH dengan mengikhlaskan ibadah kepada-NYA, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.“ (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Dalam Surah al-Nisa‘, ayat 146, ALLAH SWT berfirman: “Kecuali orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (agama) ALLAH serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana ALLAH.“

Menurut Imam al-Ghazali, sesuatu yang bercampur apabila bersih daripada campuran tersebut, maka ia dikenali sebagai khalis. Perbuatan untuk membersihkan atau mengasingkan antara kedua-duanya dikenali sebagai ikhlas.

Firman ALLAH SWT: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. KAMI beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dan darah, (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.“ (Surah al-Nahl, ayat 66)

Berdasarkan ayat itu, Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa susu yang khalis (bersih) ialah susu yang tidak bercampur dengan darah, farth (najis di dalam perut binatang) dan bahan-bahan yang lain.

Ikhlas

DIDIK dan pupuk anak-anak tentang sifat ikhlas sejak dari kecil lagi agar mereka dapat membiasakan diri dengan sikap sedemikian.

Sementara itu, lawan bagi kalimah ikhlas ialah ishrak (penyekutuan). Maka, pada sudut bahasanya bahawa sekiranya individu itu tidak ikhlas, maka ia dikenali sebagai mushrik (seseorang yang menyekutukan).

Namun begitu, syirik ada peringkat-peringkatnya yang tersendiri. Antaranya, syirik dalam akidah yang terdiri daripada syirik khafiyy (kecil/tersembunyi) dan jaliyy (besar/jelas).

Dari segi ikhlas dalam akidah, ia dikenali sebagai tauhid, manakala lawannya ialah tashrik apabila berhubung dengan hal ehwal ketuhanan.

Lawan bagi ikhlas adalah sesuatu yang bergilir-gilir berada dalam hati manusia yang mana ia berkaitan dengan niat. Apabila niatnya sudah bercampur-campur dengan sesuatu yang lain, maka ia tidak dianggap ikhlas lagi. Malah, ia dipanggil sebagai riak yang merupakan syirik khafiyy. Ia sebagaimana disebut oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Bidayat al-Hidayah.

Imam al-Ghazali berpandangan, ikhlas yang sebenar-benarnya ialah individu tersebut tidak menjadi hamba kepada diri dan nafsunya. Sebaliknya, mengabdikan diri kepada ALLAH SWT dengan istiqamah dan mematuhi segala perintah yang diputuskan oleh ALLAH SWT supaya beribadah kepada-NYA.

Segala perbuatan itu menunjukkan bahawa seseorang itu telah memisahkan dirinya daripada segala yang selain daripada-NYA.

Maka, dapat difahami daripada pandangan Imam al-Ghazali bahawa antara ciri-ciri yang bertentangan dengan al-ikhlas adalah tidak ikhlas, riak, ujub dan mementingkan hawa nafsu.

Tuntasnya, keikhlasan melibatkan rukunnya iaitu asas, hakikat dan kesempurnaan. Semua itu berkaitan dengan niat dalam segala tingkah laku seseorang itu adalah bersih daripada selain ALLAH SWT yang mana perbuatan yang dilakukannya adalah semata-mata kerana-NYA.

Penulis: Dr Mohd Hasrul Shuhairi (Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin)

Foto: Freepik & Unsplash

 

aaron-blanco-tejedor-aocUkMcxeqI-unsplash (1)
Isu,

Jaga-jagalah pertuturan kita, ia umpama suatu doa… Ramai yang tak sedar tentang perkara ini

DALAM masa sehari, beribu patah perkataan yang dituturkan oleh setiap insan. Masakan tidak, setiap daripada kita perlu berbicara dalam banyak perkara termasuklah dalam urusan kerja dan menjalani rutin harian.

Apabila terlalu banyak bicara yang diungkapkan, tidak dinafikan ada perkataan yang dilontarkan kadangkala begitu menikam kalbu. Apatah lagi jika ungkapan yang terpacul adalah sesuatu yang menjelikkan.

Masakan tidak, lidah sememangnya tidak bertulang. Namun, sudah menjadi lumrah seseorang insan yang memang tidak terlepas daripada berbuat kekhilafan. Meskipun sebaik mungkin cuba mengelak, terluncur keluar juga bait-bait kata yang menyakitkan atau mengguris perasaan.

Kadangkala untaian kata itu bukan dituju kepada orang lain, tetapi lebih kepada mengata diri sendiri dan bermonolog. Barangkali ketika itu kita dihimpit sesuatu untuk membuat keputusan penting.

Apabila fikiran bercelaru atau dalam keadaan amarah, ungkapan tidak sepatutnya keluar daripada bibir kita. Ketahuilah, apa yang keluar daripada lidah dan bibir kita boleh menjadi satu doa. Apatah lagi, jika ia kerap kali diungkapkan oleh bibir kita.

Lebih-lebih lagi andai kata-kata itu keluar daripada bibir ibu bapa terhadap anaknya. Barangkali itulah alasannya mengapa orang tua zaman ibu bapa dan nenek moyang kita kerap kali mengeluarkan perkataan ‘anak bertuah’ apabila si kecil enggan menurut perintah.

Ungkapan itu adalah untuk mendoakan supaya penyambung keturunan mereka yang merupakan amanah ALLAH untuk menjadi insan yang soleh atau solehah kelak.

Apakah asas yang menyebabkan percakapan yang diungkapkan boleh menjadi satu doa? Benarkah pemikiran tidak elok juga akan menjadi suatu doa kepada kehidupan kita?

Fikir sebelum bercakap

Ketika melontarkan persoalan itu kepada pendakwah Ustaz Abu Bakar Ali As-Sudani, beliau terlebih dahulu mengajak kita memahami tentang kepentingan menjaga tutur kata dan lidah yang amat dititik beratkan oleh agama Islam.

USTAZ ABU BAKAR

Sekiranya ia tidak dijaga dengan baik, ujar beliau, ada hati insan lain yang akan terhiris akibat ‘tajamnya’ bicara yang dilontarkan oleh lidah yang tidak bertulang.

“Luka disebabkan torehan pisau lama-kelamaan akan menjadi parut, tetapi ‘torehan’ kata-kata pula, lukanya tidak berparut. Itulah kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Imam al-Ghazali Rahimahumullah.

“Bukan itu sahaja, Nabi Muhammad SAW juga memberi jaminan kepada orang yang menjaga tutur katanya iaitu lidah, maka syurgalah tempatnya. Sebaliknya, sesiapa yang tidak menjaga lidahnya, nabi tidak akan menjamin syurga.

“Lihatlah betapa Islam begitu mengambil berat terhadap umatnya berakhlak mulia dan menjaga tutur kata kerana ia merupakan sebahagian akhlak mulia yang dianjurkan oleh agama suci ini,” katanya ketika diwawancara secara maya baru-baru ini.

Menyambung hujahnya, Ustaz Abu Bakar menjelaskan, manusia sebenarnya menuturkan dua jenis ungkapan.

Pertama, ia melibatkan ungkapan biasa sama ada berunsur baik atau tidak baik. Umpamanya, ayat seperti kita mahu makan, ke mana-mana dan sebagainya, jelasnya.

“Satu lagi jenis ungkapan adalah yang berunsurkan saranan, dorongan dan juga tegahan. Kadangkala, ia boleh dikategorikan kepada ungkapan yang berunsur doa. Jadi benarlah jika ada orang yang mengatakan kata-kata itu ibarat satu doa,” katanya.

Jelasnya lagi, ia dikuatkan lagi dengan bukti yang mana Rasulullah SAW dalam riwayat kehidupannya pernah mengubah nama seseorang yang buruk kepada yang lebih elok.

Dalam sebuah hadis daripada Ibnul Musayyib daripada bapanya bahawa datuknya bertemu dengan Nabi Muhammad SAW, lalu nabi bertanya tentang namanya.

Jelas beliau, apabila dimaklumkan bahawa namanya Hazan (dukacita), nabi lantas menukarnya kepada Sahal (mudah atau senang). Namun begitu, Hazan ingin mengekalkan nama yang telah diberikan oleh orang tuanya. Sejak itu, kesedihan sentiasa menimpanya.

“Melihat ungkapan hadis berkenaan, jelaslah bahawa kata-kata yang keluar daripada mulut seseorang itu adalah suatu doa. Apatah lagi jika ia merupakan ungkapan yang tidak elok.

“Begitu jugalah halnya apabila ada perkataan yang terkeluar dari mulut kita. Misalnya, kita merungut tiada duit. Suka saya ingatkan, janganlah sebut demikian sekalipun memang kita tiada wang kerana ditakuti kelak itu akan berlaku kepada kita.

“Ungkapan tadi boleh menjadi doa lebih-lebih lagi jika ia disebut pada ketika waktu mustajabnya doa. Itulah yang amat ditakuti,” katanya.

Justeru, Ustaz Abu Bakar mengingatkan agar ibu bapa tidak menuturkan perkataan yang tidak elok kepada anak masing-masing. Ingatlah, begitu besar kesannya terhadap anak-anak.

Baca juga Anak jadi nakal sebab doa ibu bapa… Berhati-hatilah bila berkata-kata apalagi ketika sedang marah

Kata-kata suatu doa“Oleh sebab itu, fikir sebelum bercakap dan bertindak. Jangan menyesal pada kemudian hari akibat lidah tidak bertulang ini,” ungkapnya.

Cerminan peribadi

Bicara Ustaz Abu Bakar semakin rancak apabila ditanya tentang pandangan bahawa pertuturan seseorang menggambarkan keperibadian mereka.

Beliau mengiyakan pernyataan tersebut. Baginya, penampilan zahir boleh dilakonkan, tetapi tidak pada pertuturan seseorang kerana ia keluar dari lubuk hati yang dalam.

“Maka, ia tidak boleh dilakonkan, tetapi kalau boleh pun dilakukan sedemikian, akhirnya akan terkeluar juga apa yang tidak elok dari sanubarinya” katanya.

Kata-kata suatu doaPendakwah itu turut mengemukakan sebuah hadis sebagai panduan kepada kita yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat maka hendaklah berkata baik atau lebih baik diam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jelas beliau, diam itu lebih baik kerana ia bertujuan untuk menutup keaiban yang ada pada diri seseorang.

“Ketahuilah, diamnya seorang yang jahil lebih baik berbanding diamnya seorang alim sebab seorang alim perlu berbicara lebih-lebih lagi jika ia perkara yang tidak elok.

“Sementara itu, ungkapan daripada orang yang bijaksana umpama mutiara kerana ia sering dinanti-nantikan.

“Adapun kata-kata orang alim pula ialah ilmu yang boleh ambil panduan daripadanya. Namun, andai kata-kata keluar dari mulut orang yang tak tahu, jahil dan seumpamanya, itu adalah merupakan lambang kejahilannya,” ujarnya.

Bentuk pemikiran positif

Senada dengan Ustaz Abu Bakar ialah pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan.

IMAM MUDA HASSAN

Ujar beliau, bukan sekadar percakapan menjadi suatu doa, tetapi pemikiran dan monolog juga akan memberi kesan negatif sekiranya kita sering kali membayangkan sedemikian.

Masakan tidak, pada setiap hari, manusia akan membuat banyak keputusan dalam kehidupannya. Begitu juga dengan monolog atau dalam erti kata lain bercakap kepada diri termasuk bisikan dalam hati, terangnya.

“Meskipun ungkapan tersebut tidak terpacul daripada bibir, ia sebenarnya telah membentuk karakter diri dan bagaimana kualiti hidup serta keberkatan hidup kita.

“Sesiapa yang banyak monolog negatif, hidupnya jauh daripada keberkatan. Orang sebegini (berfikiran dan bermonolog negatif) tiada kualiti hidup, selalu bersedih dan berdukacita, hidupnya rasa susah, tidak diberkati dan sebagainya,” ujar beliau.

Bagi membentuk supaya monolog kepada diri berkualiti, Imam Muda Hassan menjelaskan, pastikan setiap skrip monolog (monolog) kita mesti ada ALLAH SWT.

“Kedua, sentiasa merasakan bahawa orang lain lebih daripada diri kita. Seterusnya, sentiasa merasakan diri berbuat salah.

“Tiga perkara ini, jika kita sentiasa pasakkan dalam diri, ia akan meningkatkan kualiti hidup kita yang membentukkan keperibadian kita. Begitu jugalah kepada ibu bapa dengan menuturkan kata-kata yang baik untuk anak masing-masing. Ini kerana doa ibu bapa tidak tertolak,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan agar umat Islam memperbetul cara pertuturan kepada yang lebih baik dan positif. Kata-kata begitu mahal nilainya apatah lagi kita ialah orang Islam.

Saban hari, kita menunaikan solat, zikir, membaca al-Quran dan banyak amal ibadah lain. Semua itu menjadikan lidah kita begitu ‘berbisa’, terang beliau.

Kata-kata suatu doa“Disebabkan itulah apa sahaja yang kita cakap, ia boleh jadi satu bentuk doa. Orang alim contohnya, percakapan mereka makbul atau orang gelarkan mereka bermulut ‘masin’. Ia disebabkan oleh amalan soleh mereka, di samping tidak tidur melakukan solat sunat. Ia menjadikan apa yang dituturkan oleh mereka menjadi doa. ALLAH SWT mudah mendengar permintaan mereka,” katanya.

Kepada satu soalan, Imam Muda Hassan menjawab: “Dalam sebuah hadis masyhur, ada dinyatakan tidak bertambah umur seseorang melainkan dengan kebaikan dan tidak berubah qadar itu melainkan dengan doa.

“Ini bermakna, orang yang berbuat baik boleh bertambah usianya dan orang yang selalu berdoa, ia boleh mengubah takdir. Namun, ingatlah bahawa kerja kita hanya berdoa. Sementelah, qada dan qadar itu adalah kerja ALLAH SWT.

“Paling penting sentiasa doakan kebaikan, semoga qada dan qadar boleh berubah dengan keizinan-NYA,” ujar beliau mengakhiri perkongsian ilmunya.

‘Doa orang dianiaya mudah dimakbulkan ALLAH SWT’

Pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid menjelaskan, doa orang yang dizalimi tiada hijabnya di sisi ALLAH SWT dan mustajab untuk dikabulkan.

USTAZ WAN AKASHAH

Dalam al-Quran dan hadis, katanya, perkara itu dinyatakan secara jelas. ALLAH SWT melarang hamba-NYA membuat kezaliman terhadap orang lain.

Antaranya firman ALLAH SWT: “ALLAH tidak suka seseorang mengatakan sesuatu yang buruk kepada seseorang yang lain melainkan orang yang dizalimi, maka dia boleh menceritakan kezaliman tersebut dan ALLAH itu MAHA MENDENGAR dan MAHA MENGETAHUI.” (Surah an-Nisa’, ayat 148)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang diantaranya untuk diterima oleh ALLAH.” (Riwayat Ahmad)

“Berdasarkan dalil-dalil berkenaan, jelaslah doa orang yang dianiaya mudah dimakbulkan oleh ALLAH SWT sekalipun orang itu jahat.

“Masakan tidak, orang yang tidak pernah dizalimi tidak akan merasai betapa peritnya dan sedihnya perasaan seseorang yang telah diperlakukan sedemikian.

“Ia bukan hanya melibatkan dirinya sendiri. Kadangkala suami, isteri, anak dan keluarga turut merasai tempiasnya. Apatah lagi kita hidup dalam zaman milenial ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Pendakwah itu turut mengajak kita menyelami kisah yang dihadapi oleh sahabat yang terawal memasuki Islam, Sa’ad bin Abi Waqqas. Beliau pernah difitnah hinggakan berdoa supaya ALLAH SWT menimpakan bala ke atas individu yang memfitnahnya.

“Sa’ad mendoakan agar individu itu dipanjangkan umur, kefakirannya dan ditimpakan dengan bencana.

“Sesungguhnya, ALLAH SWT mengabulkan doa Sa’ad hingga orang yang memfitnahnya itu benar-benar dipanjangkan umur dan hidup dalam keadaan sangat terhina duduk di tepi jalan sambil mengangkat tangan untuk meminta sedekah,” ceritanya sambil mengingatkan umat Islam untuk mengambil pengajaran daripada kisah tersebut.

Bukan sahaja kepada manusia, Ustaz Wan Akashah menegaskan, manusia juga dilarang berlaku zalim kepada haiwan.

“Masyarakat kita selalu menggunakan istilah kenan (kecacatan pada seseorang). Hakikatnya kenan itu mempunyai perkaitannya dengan menzalimi haiwan. Ingatlah, haiwan juga berdoa (untuk orang yang menganiayanya) sebelum ia mati,” katanya.

ANEKDOT

CARA tutur kata Rasulullah SAW

–  Ketika mengungkapkan bicara, Rasulullah SAW sangatlah baik sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran.

– Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya engkau Nabi Muhammad SAW berada di atas akhlak yang mulia.” (Surah al-Qalam, ayat 4)

– Dalam Kitab Syamail Muhammadiah, ada disebutkan bahawa Nabi Muhammad SAW  bertutur dengan jelas, lancar dan padat sebagaimana yang disebut dalam pujangga Arab: “Padat, tetapi sampai”. Maka, ungkapan baginda tadi mudah untuk disampaikan kepada orang lain.

– Bukan itu sahaja, Rasulullah SAW merupakan seorang yang pendiam. Baginda bertutur hanya apabila perlu sahaja.

– Baginda SAW juga sentiasa bertutur dengan sopan santun dan tidak biadab. Malah, kekasih ALLAH itu sentiasa tidak menjadikan orang lain tersinggung dengan perkataan yang dituturkannya.

– Tuntasnya, Nabi Muhammad SAW akan bercakap elok dengan orang dewasa dan orang lebih tua, manakala dengan kanak-kanak pula, nabi menyantuni mereka.

Sumber: Pendakwah Ustaz Abu Bakar Ali As-Sudani

Foto: Freepik & Unsplash

imam ahmad 2
Personaliti,

Subhanallah, rupanya lebih 700,000 hadis dihafaz oleh Imam Ahmad ketika hayatnya

MENGUAK kembali lembaran sirah sekitar tahun 164 Hijrah, lahirlah seorang insan yang membawa 1,001 rahmat kepada seantero dunia. Beliau bukanlah calang-calang individu.

Insan yang dimaksudkan ialah Imam Ahmad. Anak kelahiran kota Baghdad di Iraq itu merupakan pengasas Mazhab Hanbali yang menjadi antara empat mazhab fiqah utama dalam agama Islam.

Menjejaki sisi peribadinya, pemilik nama penuh Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad itu sudah menunjukkan kecerdikannya sejak kecil lagi.

Tokoh ilmuan Islam terkemuka itu turut dikenali sebagai Hanbal. Ia sempena nama datuknya yang pernah menjadi gabenor masyhur di Khurasan ketika pemerintahan Bani Umayyah.

Pada usia yang masih mentah, beliau sudah menghafal 30 juzuk al-Quran. Imam Ahmad mendapat pendidikan awal di tempat kelahirannya, Baghdad yang pada ketika itu telah menjadi pusat peradaban dunia Islam.

Di sana, Pelbagai ilmu pengetahuan yang digalinya. Ini kerana ramai para qari, ahli sufi, ahli hadis dan sebagainya menetap di kawasan berkenaan.

Baca juga Kenali Imam al-Ghazali, ulama ulung yang memberi inspirasi

Maka, tidak hairanlah apabila usianya menginjak 15 tahun, Imam Ahmad sudah mula belajar ilmu hadis. Cendekiawan Islam itu mempunyai azam yang tinggi dalam menimba ilmu pengetahuan.

Memetik kata-kata ulama tersebut: “Kadang-kadang aku ini segera pergi pagi-pagi mempelajari dan mengambil (periwayatan) hadis, tetapi ibu segera mengambil pakaianku dan berkata, ‘Bersabarlah dulu. Tunggu sampai azan berkumandang atau setelah orang selesai solat Subuh’.

Sudah menjadi adat seorang ilmuan berguru dengan ramai golongan cerdik pandai. Begitu juga dengan Imam Ahmad. Beliau ialah anak murid Imam al-Syafie. Selain itu, beliau turut menimba ilmu daripada Abu Yusuf (seorang hakim dan murid Abu Hanifah) dan Hisyam bin Basyir bin Abi Kasim (ulama hadis di Baghdad).

Kecintaannya terhadap ilmu hadis membuatkan Imam Ahmad sanggup melawat beberapa kota terkenal seperti Hijaz, Kufah dan Basrah, selain ke seluruh pelosok Syria dan Semenanjung Arab. Semuanya dilakukan demi mendapatkan hadis.

Imam Ahmad sebenarnya faqih dalam pelbagai disiplin ilmu. Seperti kata Imam al-Syafie: “Ahmad ialah imam dalam lapan perkara: Beliau imam dalam hadis, fiqah, al-Quran, lughah (bahasa Arab), as-Sunnah, al-Zuhd, al-Warak serta kefakiran.”

Ulama ulung itu juga terkenal sebagai seorang yang kuat beribadah dan dermawan. Malah, menurut Imam Ibrahim bin Hani, Imam Ahmad berpuasa hampir setiap hari dan tidur sedikit pada waktu malam. Sebaliknya, masa itu dimanfaatkan sebaiknya untuk mendirikan solat malam dan witir hingga tibanya waktu Subuh.

Dipenjara

Bukan itu sahaja, Imam Ahmad turut meninggalkan legasi ilmunya dengan penghasilan beberapa karyanya untuk rujukan orang ramai hingga ke hari ini.

Imam Ahmad

KITAB Musnad Ahmad ibn Hanbal adalah antara karya popular Imam Ahmad.

Antara tulisannya yang popular ialah Musnad Ahmad ibn Hambal. Karya itu disusun dalam jangka masa sekitar 60 tahun sejak tahun 180 Hijrah.

Menurut riwayat yang terkenal, beliau menghafal lebih 700,000 buah hadis. Daripada jumlah itu, sebanyak 40,000 hadis dihimpunkan dalam monumental.

Antara karya lain yang dihasilkan beliau termasuklah Kitab al-Manasik ash-Shagir, az-Zuhud, Fadha’il ash-Shahabah, Kitab as-Salat dan Kitab as-Sunnah.

Seperti insan lain, Imam Ahmad tidak terlepas menerima ujian. Beliau pernah dipenjarakan lebih dua tahun gara-gara fahaman pemerintah yang terpesong daripada ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Akibatnya, beliau diseksa dan disebat beratus kali.

Dengan kuasa ALLAH, beliau akhirnya dibebas walaupun kudratnya sudah tidak seberapa akibat luka yang dialaminya. Apabila sihat, beliau kembali menyampaikan ilmunya hinggalah ke akhir hayatnya.

Imam Ahmad menemui Pencipta-NYA pada tahun 241 Hijrah di Baghdad. Berdasarkan Tarjamatul Imam, lebih 860,000 orang ziarah ketika pengebumian ulama ulung itu.

PROFIL

Imam AhmadNama penuh: Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad.

Nama panggilan: Imam Ahmad dan Hanbal.

Asal: Baghdad, Iraq.

Tahun kelahiran: 164 Hijrah.

Tahun kematian: 241 Hijrah.

Kepakaran: Ilmu hadis, fiqah, al-Quran dan bahasa Arab.

Karya agung: Musnad Ahmad ibn Hanbal, Fadha’il ash-Shahabah, Kitab as-Salat dan Kitab as-Sunnah.

BAIT MUTIARA

“Segala sesuatu pasti ada berkatnya. Adapun berkatnya hati adalah merasa puas dengan pemberian ALLAH YANG MAHA KUASA.” -Imam Ahmad

Sumber & Foto: myhadith.islam.gov.my, muftiwp.gov.my, Republika.co.id, ms.wikipedia.org, www.pinterest.com, https://mvslim.com dan https://whatisquran.com/

Dosa
Isu,

Sakit boleh jadi penghapus dosa. Tapi jangan sesekali mengeluh atau persoalkan takdir ALLAH

RAMAI yang mengeluh dan dihimpit kesedihan saat diri diuji dengan kesakitan. Malah, ada juga sebilangan orang yang mempersoal kenapa dirinya ditakdirkan sakit dan seumpamanya.

Bagi individu yang dikurniakan sifat sabar yang tinggi pula, mereka akan menganggap kesakitan itu sebagai ujian daripada Pencipta untuk menduga kesabaran seorang hamba. Malah, mereka sentiasa berbaik sangka dengan ALLAH.

Ya, nikmat kesihatan begitu besar nilainya. Apa tidaknya, saat ditimpa kesakitan, rutin harian akan terganggu. Ada perkara yang mungkin tidak boleh kita lakukan.

Apatah lagi jika kita sememangnya hidup dalam keluarga kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kehidupan pasti akan bertambah sukar jika tidak dapat keluar bekerja.

Ketahuilah, terselit hikmah di sebalik ujian sakit yang ditimpakan ke atas seorang hamba waima hanya kesakitan kecil. Namun, mereka yang benar-benar bersabar sahaja yang dapat meraih imbalan berkenaan.

Apakah sebenarnya ganjaran yang kita akan peroleh jika diuji dengan kesakitan? Benarkah sakit itu sebagai kafarah kepada dosa-dosa kita selama ini?

Usah berburuk sangka

Kepada Sinar Islam, Pensyarah Kanan Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Abdul Hafiz Abdullah menjelaskan, keluhan dan kesedihan tidak dapat dielakkan kerana perasaan itu akan dirasai oleh manusia ketika diuji dengan kesakitan.

DR ABDUL HAFIZ

Jelas beliau, ia kerana begitulah sifat manusia. Namun, jangan sesekali memandang bahawa sakit itu sebagai hukuman sehingga berburuk sangka kepada ALLAH SWT atas ujian berkenaan.

“Antara jutaan hamba-NYA, ALLAH memilih kita pada ketika itu untuk diberikan ujian atau sakit. Ia sebenarnya dapat membuka ruang bagi menghapuskan dosa-dosa yang telah kita dilakukan.

“Janganlah sekali-kali kita berputus asa, sebaliknya hendaklah kita bersabar dan jangan alpa serta berhenti memohon kesembuhan daripada ALLAH SWT,” katanya ketika diwawancara secara maya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dr Abdul Hafiz turut mengingatkan agar kita tidak mempersoal mengapa penyakit itu menimpa diri kita dan bukan orang lain sekali pun dalam hati.

Sikap sebegini termasuk dalam kategori tidak reda menerima takdir yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT, katanya.

Beliau turut menukilkan pandangan al-Maraghiy yang menyatakan: “Sesuatu perkara tidak akan menimpa kami, kecuali apa yang telah digariskan untuk kami, yang telah ditetapkan di luh mahfuz.

“Ini adalah sesuai dengan Sunnatullah terhadap makhluk-NYA. Setiap perkara akan berlaku menurut ketentuan-NYA.”

“Al-Quran juga menjelaskan bahawa ujian yang menimpa seorang Mukmin itu bukanlah azab kekal atau balasan atas perbuatan salah yang telah dilakukan, tetapi ia seperti penghapus dosa-dosanya dan penyebab serta pendorong untuk dia melakukan taubat,” katanya.

Baca juga Musibah itu penghapus dosa, ini rupanya sebab ramai yang tak sedar perkara ni

Bukan tanda kesengsaraan

Meneruskan perkongsian ilmunya, Dr Abdul Hafiz membicarakan tentang perbezaan ujian yang dialami oleh setiap insan.

Apabila tahap kehambaan seseorang kepada ALLAH SWT menghampiri kehambaan para nabi, maka bertambah besar pula cubaan yang datang, terang beliau.

Daripada Sa‘ad beliau berkata, Nabi Muhammad SAW ditanya berkaitan siapakah dalam kalangan manusia yang paling banyak dikenakan ujian. Rasulullah SAW bersabda: “Para nabi, kemudian orang seperti mereka (orang-orang soleh), sesudah itu menurut perbandingan demi perbandingan. Seorang itu akan diuji mengikut ukuran keimanannya, semakin tebal imannya, semakin hebat pula ujiannya. Jika sebaliknya, akan dikurangkan ujian kepadanya dan sentiasa seorang manusia dikenakan ujian sehingga dia berjalan di atas muka bumi dengan tiada dosa.” (Riwayat al-Darimi)

Begitupun, ahli akademik itu menegaskan, ujian sakit berkenaan bukanlah sebagai tanda kehinaan atau kesengsaraan. Beliau kemudian mengajak umat Islam untuk menyelami ujian yang pernah dialami oleh Nabi Ayyub AS.

Bayangkan baginda diuji dengan semua harta benda dan kematian ahli keluarganya. Pada masa sama, baginda diserang penyakit.

“Namun, baginda tetap bersabar dan bersyukur serta bersangka baik kepada ALLAH SWT. Maka turunlah rahmat ALLAH kepadanya. Kesihatan baginda AS dikembalikan, harta benda yang hilang diganti dengan berlipat kali ganda, dikurniakan beberapa orang anak, diberi pula umur Panjang hingga dapat melihat cucu cicitnya sehingga empat keturunan.

“Ingatlah, sebesar mana pun dugaan, pasakkan sifat sabar dalam diri. Cubaan itu akhirnya akan digantikan dengan kebahagiaan. Ia dapat meperkukuh hati orang yang beriman agar sabar dalam berjuang menegakkan kebenaran,” jelas beliau.

Diuji sakit

TERUS bergantung harap kepada ALLAH SWT dan mendekatkan diri kepada-NYA saat ditimpa kesakitan.

Kepada satu soalan, Dr Abdul Hafiz menjawab, apabila seseorang Muslim ditimpa kesakitan, atasilah ujian itu dengan memperteguh hati dan berjihad mengendalikan diri sendiri. Caranya adalah dengan bermunajat kepada-NYA.

“Selain itu, persiapkan diri dengan pertahanan yang kental, berjiwa besar, bersabar dan mendirikan solat. Sesungguhnya, jika seseorang Mukmin itu bersabar ketika datang ujian daripada ALLAH SWT, maka ALLAH akan menganugerahkan pahala (kebaikan) kepadanya,” ujar beliau.

Apa jua ujian yang mendatang, Dr Abdul Hafiz mengingatkan agar kita tetaplah bergantung harap kepada ALLAH SWT.

Beliau turut menitipkan pesan agar kita mendekatkan diri dengan-NYA sekerap mungkin, banyakkan beristighfar, lakukan solat dengan penuh khusyuk dan perbanyakkan zikir dan doa agar ALLAH menunjukkan jalan keluar untuk menyelesaikan ujian tersebut.

“Setiap Muslim hendaklah bersabar dan reda walaupun mereka mempunyai banyak alasan untuk kecewa dan berduka,” jelasnya.

Hapus dosa kecil

Fakta yang dilontarkan oleh Dr Abdul Hafiz turut dipersetujui oleh pendakwah Ustaz Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz.

PU FAIZ

Jelas beliau, ujian sakit merupakan penghapus dosa-dosa kecil sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis masyhur.

Daripada Abu Sa’id Al Khudri dan Abu Hurairah RA daripada Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan ALLAH SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmizi dan Ahmad)

Sementelah, bagi dosa-dosa yang besar pula, PU Faiz menjelaskan, ia hanya diampunkan dengan taubat.

“Ketahuilah, apabila seseorang itu ditimpa kesakitan, kemudian hamba ALLAH itu bersabar, maka ALLAH SWT akan meletakkan Malaikat Rahmat untuk mendoakan rahmat kepada hamba berkenaan.

“Namun, bagi mereka yang mengeluh seolah-olah tidak reda dengan ketentuan ALLAH, mereka akan mendapat kemurkaan-NYA kerana tidak sabar dengan ujian yang diberi. Maka, dirinya juga tidak akan mendapat fadilat-fadilat (penghapus dosa) tadi.

“Bahkan, ia akan menambahkan lagi dosanya kerana tidak reda, tidak sabar dan tidak dapat terima bahawa dirinya seorang hamba manakala ALLAH SWT itu ialah Tuhannya yang menentukan apa-apa sahaja kebaikan dan keburukan di atas dirinya,” ujarnya.

Dalam hal itu, beliau menambah, ia bukan sahaja melibatkan soal penyakit, tetapi juga membabitkan tugas kita sebagai seorang hamba ALLAH di muka bumi ini.

“Bukan sahaja kesakitan itu dianggap sebagai ujian. Hakikatnya, ujian bukan sahaja melibatkan perkara yang kita benci dan tidak suka, tetapi juga apa yang manusia suka juga.

Diuji sakit

BERIKHTIARLAH untuk mendapatkan rawatan kerana setiap penyakit pasti ada ubatnya kecuali mati.

“Semua ujian itu tidak lain tidak bukan untuk menguji sama ada kita benar-benar menjadi hamba yang terbaik kepada Sang Pencipta.

“Ia supaya kita tahu asal usul dan sedar ke mana kita akan kembali kelak. Setelah itu, segala amalan setiap manusia akan dihitung. Demikianlah hikmah atas setiap daripada ujian yang diberikan oleh ALLAH SWT,” katanya.

Menjawab satu persoalan, PU Faiz menjelaskan, berdoa untuk sakit termasuk dalam salah satu perkara yang dihukumkan makruh.

“Makruh kita mendoakan diri kita mendapat sakit melainkan kita berdoa dengan doa yang umum misalnya; ‘Ya ALLAH hidupkan aku selama mana kehidupan ini jadi kebaikan bagiku dan matikan aku ini selama mana mati itu ialah baik untukku’,” jelasnya.

‘Melawat orang sakit umpama kita ziarah ALLAH SWT’

Tatkala mendengar perkhabaran orang sakit, segeralah menziarahinya jika mempunyai kelapangan. Ia bukan sahaja satu amalan yang dianjurkan dalam Islam, tetapi imbalan yang diperolehnya juga bukan calang-calang.

Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah dan Pulau Pinang, Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin menjelaskan, jumhur ulama daripada empat mazhab baik Maliki, Hanafi, Syafie ataupun Hanbali, mereka menyatakan sunat menziarahi orang sakit.

DR MOHD HAPIZ

“Sunat di sini juga merujuk kepada satu amalan sunah yang mana ia dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Ini kerana ia berkaitan dengan kesejahteraan sosial yang melibatkan penjagaan hak orang Islam.

“Terdapat juga pandangan menyebut hukum ziarah itu adalah fardu kifayah. Ia merupakan pandangan Ibn Taymiyyah. Beliau meletakkan ziarah orang sakit ini sebagai salah satu hak orang Islam yang jika tiada seorang pun dalam kalangan umat Islam menziarahi pesakit itu, maka semua umat Islam di tempat tersebut berdosa,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Rasulullah SAW bersabda: “Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima. Memberi salam, melawat orang sakit, mengiringi jenazah, hadir jemputan dan mendoakan orang yang bersin.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam pada itu, Dr Mohd Hapiz mengingatkan agar kita tidak bersembang perkara-perkara yang boleh menyebabkan orang yang diziarahi bertambah sakit dan derita.

Kepada satu soalan, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara itu menjelaskan: “Mereka yang menziarahi orang sakit bukan sahaja didoakan oleh 70,000 malaikat rahmat dan keampunan buatnya.

Baca juga Subhanallah, 70,000 Malaikat Akan Memohon Keampunan Untuk Mereka Yang Amalkan Surah Ad-Dukhan

“Malah, dalam sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dalam Sahih Muslim, Imam al-Bukhari dalam Kitab Adabul Mufrad dan Imam Ibn Hibban, ALLAH SWT berfirman bahawa menziarahi orang sakit ini sama seperti kita ‘menziarahi’ ALLAH SWT. Apabila kita beri makan kepada orang sakit atau susah, ia diibaratkan sama seperti kita ‘beri makan’ kepada ALLAH SWT.

“Bayangkan kita seolah-olah duduk dengan ALLAH SWT apabila menziarahi orang sakit. Namun begitu, Imam an-Nawawi mengatakan, dalam hadis berkenaan, ALLAH SWT menghubungkan orang sakit itu terus kepada-NYA sebagai satu kemuliaan kepada mereka dan juga mendekatkan manusia itu kepada ALLAH.

“Mudah kata, apabila kita menziarahi orang sakit, ia sama seperti kita menziarahi ALLAH. Namun, kata Imam an-Nawawi, maksud seolah-olah kita seperti ‘jumpa ALLAH’ itu bukanlah kita berjumpa dengan zat ALLAH SWT. Sebaliknya apa yang kita akan jumpa saat menziarahi orang sakit tadi adalah pahala dan kemuliaan serta rahmat ALLAH SWT,” katanya.

Menyambung hujahnya, Dr Mohd Hapiz turut mengemukakan pandangan yang dinukilkan oleh Imam al-Munawi. Kata ulama itu, dalam kita menziarahi orang sakit, memberi makan kepadanya dan sebagainya, begitu banyak pahala yang bakal diperoleh.

Pada musim Covid-19 ini, ahli akademik itu menitipkan pesan agar kita menggunakan kemudahan teknologi yang ada untuk kita mendapatkan khabar orang yang sakit.

ANEKDOT

ADAB-ADAB ziarah orang sakit

Diuji sakit1. Pilih waktu sesuai.

Dalam al-Quran, ada tiga waktu dilarang daripada menziarahi orang iaitu selepas Subuh, waktu orang berehat petang dan selepas Isyak.

2. Jangan duduk terlalu lama.

Kehadiran kita hanyalah untuk menziarahi orang sakit dan bertanya khabar. Cukuplah sekadar mendapat maklumat tentang penyakit yang dihidapinya. Jangan pula kita melakukan soal siasat untuk mendapatkan semua maklumat.

3. Menundukkan pandangan.

Usahlah melihat aurat pesakit lebih-lebih lagi jika individu berkenaan sakit pada bahagian anggota aurat mereka. Pada masa sama, tundukkanlah pandangan kepada ahli rumah atau orang yang duduk di rumahnya. Seperkara, jaga pandangan dan jangan melilau memerhati keadaan rumahnya yang mungkin bersepah dan sebagainya.

4. Kurangkan bertanya.

Usah sibuk bersembang atau bertanya banyak soalan. Biarkan pesakit cerita setakat mana beliau mahu bercerita perihal keadaan dirinya.

5. Tunjukkan sikap ambil berat.

Ini merupakan antara sifat para salafus soleh dan tabi’in. Apabila salah seorang daripada mereka tidak nampak kelibatnya di masjid, majlis ilmu dan sebagainya lebih tiga hari, mereka akan bertanya khabar.

6. Banyakkan berdoa.

Berdoalah dengan ikhlas untuk kesejahteraan pesakit berkenaan.

Sumber: Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin

Foto: 123rf & Freepik

 

 

sukar
Panduan,

Salah ke sukar lupakan kesalahan orang lain pada kita? Ketahui cara untuk atasi rasa itu

SETIAP dalam kalangan kita pasti mempunyai pengalaman manis dan pahit yang akan dikenang sampai bila-bila.

Jika melibatkan suatu momen yang indah, bibir pasti akan mengukir senyuman kegembiraan tatkala mengingat semula kisah berkenaan.

Namun begitu, jika melibatkan perkara pahit, emosi kita akan terganggu. Pasti kita akan memberikan reaksi yang berbeza atau berubah riak wajah apabila mengenangkannya.

Ya, kadangkala ada orang yang pernah menyakiti hati kita. Apatah lagi dengan kata-kata berbisa hinggakan ungkapan yang dibutirkan dari bibirnya itu terngiang-ngiang dalam kepala.

Begitu juga dengan kesalahan yang membuatkan hati kita benar-benar sakit. Peristiwa itu sukar untuk dilupakan walaupun kita tidaklah sampai berdendam dengan individu berkenaan.

Walhal, individu berkenaan sudah pun kita maafkan dan perkara itu sudah bertahun-tahun berlalu lamanya. Jika kita dalam keadaan ini, apakah yang perlu dilakukan?

Menurut pendakwah Ustazah Nik Nur Adneen Ismail atau lebih dikenali sebagai Da’i Adneen, beliau mengakui memang benar kita sukar untuk melupakan kejahatan yang dilakukan orang kepada kita.

DA’I ADNEEN

Namun, katanya, ia tidak mustahil untuk kita lupakan.

Dalam hal itu, beliau mengajak kita untuk menyelami bait-bait kalamullah ini.

Firman ALLAH SWT: “Dan balasan kejahatan adalah kejahatan yang setimpal, tetapi barang siapa yang memaafkan dan berbuat baik yakni kepada orang yang berbuat jahat, maka pahalanya daripada ALLAH. Sesungguhnya DIA tidak menyukai orang yang zalim.” (Surah al-Syura, ayat 40)

Baca juga Pernah dizalimi akibat sihir, boleh ke jika kita tak maafkan individu yang lakukan perbuatan itu?

Melihat kepada ayat berkenaan, jelas beliau, terdapat satu peristiwa yang berlaku kepada Nabi Muhammad SAW ketika nabi mengembangkan dakwah baginda.

Peristiwa ini berlaku di Taif apabila dakwah nabi ditentang dan nabi juga dibaling batu sehingga berdarah pada kaki, terangnya.

“Begitupun, Nabi Muhammad SAW hanya memohon keampunan kepada ALLAH bagi orang yang telah melakukan sedemikian terhadap baginda. Sedangkan, baginda mempunyai pilihan agar Malaikat Jibril membinasakan orang tersebut.

“Subhanallah, begitu hebat keperibadian Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Justeru, Da’i Adneen berkata, andai terlintas dalam fikiran kita akan kejahatan orang tersebut kepada kita, segeralah kita beristighfar kepada ALLAH SWT.

“Kedua, berazamlah pada diri agar tidak melakukan kejahatan itu kepada orang lain pula,” katanya.

Semoga diri kita kuat untuk melawan pelbagai jenis rasa saat terkenangkan peristiwa lampau berkenaan.

Foto: 123rf

nikah
Berita, Berita Semasa,

Terkejut adik nikah dengan kaum sejenis

PERASAAN Hasnah Haron (bukan nama sebenar) tidak keruan. Dirinya seakan-akan tidak percaya apabila menerima berita tentang adiknya.

Adiknya dikhabarkan telah berkahwin. Perkhabaran itu membuatkan dadanya sesak dan jantungnya seakan hampir terhenti. Tiba-tiba sahaja dirasakan kakinya lemah dan kepalanya berputar.

Bagaimana dirinya mahu menerima berita itu kerana adiknya, Haziqah (bukan nama sebenar) sudah berkahwin senyap-senyap? Paling mengejutkan apabila diberitahu seorang kenalan bahawa Haziqah telah selamat bernikah dengan seorang wanita, sama jantina seperti adiknya itu.

Memikirkan perkara itu, beliau sangat runsing. Apatah lagi mahu memberitahu ibu bapanya tentang perihal Haziqah. Masakan tidak, ia sama sekali bertentangan dengan Islam!

Haziqah sememangnya berperwatakan seperti lelaki walaupun dia seorang wanita. Suka berpakaian lelaki dan berambut pendek seperti kaum Adam. Raut wajahnya juga seperti orang lelaki.

Atas nasihat suaminya, Hasnah mula mencari bahan bukti untuk menunjukkan Haziqah seorang wanita. Kemudian, beliau memutuskan untuk membuat aduan di Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Siasatan segera dilakukan. Apa yang mengejutkan, Haziqah telah menukar namanya kepada nama lelaki dalam kad pengenalan tanpa pengetahuan keluarganya.

Satu demi satu helah Haziqah untuk menukar nama yang selama ini disembunyikan, akhirnya dibongkar. Hasnah tidak menyangka adiknya begitu licik sehingga berjaya memperdaya banyak pihak semata-mata mahu mengakui dirinya adalah seorang lelaki.

Pihak JAIN kemudiannya membuat permohonan di mahkamah syariah untuk mengisytiharkan bahawa perkahwinan Haziqah dan isterinya tidak sah dan difaraqkan.

Nikah kaum sejenisSemasa perbicaraan berlangsung, Haziqah menjelaskan bahawa beliau telah memenuhi prosedur sebagaimana ditetapkan oleh pihak JAIN. Antaranya mengisi borang permohonan nikah dan mendapatkan kebenaran jurunikah di luar.

Bagaimanapun, pihak JAIN telah mengemukakan segala bukti berkaitan termasuk enam individu sebagai saksi. Ia bagi menyokong keterangannya yang membuktikan Haziqah seorang wanita dan bukannya khunsa serta perkahwinan wanita itu dengan isterinya tidak sah. Antara saksi yang dipanggil termasuklah dua orang doktor dan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Berdasarkan fakta dan segala bukti yang dikemukakan, hakim memutuskan pernikahan antara Haziqah dan isterinya tidak sah dan tidak sabit kerana tidak menepati kehendak serta rukun dan syarat sah nikah.

Mahkamah juga memerintahkan agar perkahwinan itu difaraqkan. Pada masa sama, JPN diarahkan untuk menukarkan nama dan status jantina Haziqah kepada namanya yang asal. Ia sepertimana yang tercatit dalam sijil kelahirannya.

Mendengar keputusan itu, Hasnah berasa lega. Sempurnalah tanggungjawabnya untuk memperbetulkan kesilapan yang dilakukan oleh Haziqah.

Walaupun kedua-dua ibu bapanya terpaksa menanggung malu, semua itu terpaksa ditelan demi menegakkan syariat agama Islam.

Wajib lapor kepada Pendaftar Mahkamah jika perkahwinan tak sah

Mengulas mengenai kes Haziqah Haron yang berkahwin dengan kaum sejenis, Presiden Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof berkata, walaupun wanita itu telah menukar nama dan jantinanya kepada lelaki dalam kad pengenalan, perkara tersebut tidak akan dapat mengubah jantina asalnya secara saintifik.

“Maksud saintifik itu adalah perubahan jantina kepada lelaki itu tidak akan menyebabkan dia boleh mempunyai apa-apa yang dihasilkan oleh hormon seorang lelaki seperti menghasilkan sperma untuk menghasilkan zuriat, tumbuh misai dan lain-lain.

“Oleh itu, ia merupakan sebuah perkahwinan yang batil dan salah di sisi hukum syarak. Islam melarang sekeras-kerasnya dan mengharamkan perkahwinan sesama jantina.

“Perkara ini ditekankan dalam al-Quran menerusi Surah al-A’raf, ayat 80-81 yang diambil daripada kisah kaum Nabi Luth. Semua maklum kaum Nabi Luth yang telah melampaui batas kerana melakukan hubungan sejenis,” katanya kepada Sinar Islam ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Fazru Anuar turut memuji tindakan kakak kepada Haziqah yang melaporkan tentang perkahwinan sejenis itu kepada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Ia menepati peruntukan Seksyen 26 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017.

“Undang-undang berkenaan antara lain mewajibkan setiap individu melaporkan kepada Pendaftar Mahkamah jika mendapati sesuatu perkahwinan adalah tidak sah.

“Kes-kes sebegini akan disiasat oleh pihak JAIN secara teliti bagi mengesahkan perkara tersebut dan mengumpulkan bahan bukti untuk dibawa ke mahkamah Syariah,” katanya.

Seandainya perkahwinan melibatkan individu khunsa, peguam syarie itu menjelaskan, secara umumnya, Seksyen 11 memperuntukkan perkahwinan adalah sah sekiranya cukup semua syarat yang perlu.

Nikah kaum sejenis

RUKUN nikah terdiri daripada pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua orang saksi dan ijab kabul yang perlu dipenuhi bagi setiap perkahwinan. -Gambar hiasan

Jelasnya, tiada masalah untuk seorang khunsa bernikah dengan syarat khunsa tersebut mestilah jelas ciri-ciri jantinanya sama ada lelaki atau perempuan.

“Khunsa ini berbeza dengan golongan transeksual. Transeksual merupakan seorang yang lahir mempunyai satu jantina, tetapi merasakan bahawa jantina yang dimiliki tidak sesuai dengan fitrahnya, atau dengan kata lain, mereka mempunyai kecelaruan jantina (disforia gender).

“Sementara itu, khunsa pula merupakan seseorang yang mempunyai dua alat kelamin lelaki dan perempuan atau seseorang yang tidak mempunyai alat kelamin, hanya mempunyai lubang untuk membuang air.

“Bagi seorang khunsa yang telah jelas jantinanya, mereka tidak dihalang oleh undang-undang untuk melangsungkan perkahwinan, tetapi dengan syarat perkahwinannya hendaklah dilangsungkan dengan seseorang yang berlawanan jantina dengannya,” katanya.

Foto: Freepik, 123rf & Bernama