Browsing Category

Berita

Untitled design (20)
Berita, Berita Semasa,

Tiga benda yang kita tidak boleh tunjuk di media sosial

ADA tiga benda yang tidak boleh ditunjuk di media sosial. Harus diingat, media sosial ibarat mata pisau, ada kebaikan dan keburukanya. Pisau jika digunakan untuk keperluan seharian seperti memotong sayuran akan dilihat berguna akan tetapi jika tidak berhati-hati menggunakanya akan membawa kepada luka yang parah.

Ada pepatah mengatakan “bijak lah dalam bermedia sosial”. Maksudnya sebelum berkongsi sesuatu fikirlah dahulu akan kesannya sama ada ianya memberi manfaat atau sebaliknya kerana kata-kata di media sosial kita adalah cerminan diri kita yang sebenarnya.

Menerusi satu program bual bicara yang menampilkan Rosyam Noor sebagai pengacara dan Imam Muda Asyraf sebagai tetamu jemputan, mereka mengulas sedikit sebanyak mengenai tiga perkara yang tidak sepatutnya dikongsi di media sosial.

  1. JANGAN BERCERITA MENGENAI UMUR

Umum sedia maklum, umur merupakan salah satu urusan peribadi seseorang individu. Berbicara mengenai umur pasti akan ada yang menggangap ia merupakan hal yang sangat privasi.

UMUR merupakan salah satu urusan peribadi seseorang individu. Berbicara mengenai umur pasti akan ada yang menggangap ia merupakan hal yang sangat privasi.

Mengapa umur tidak sepatutnya dikongsi terutama di media sosial adalah kerana dibimbangi ada sebahagian orang yang melihat begitu suka menghukum umur seseorang itu berdasarkan kredibiliti dan kemampuan dalam mencapai sesuatu sehingga menjatuhkan kepercayaan orang lain terhadapnya.

Imam Malik pernah menasihati Imam Syafie , kamu boleh bercerita mengenai hidup kamu dan tidak haram di sisi islam, akan tetapi jika boleh dielakkan untuk tidak bercerita itu akan lebih bagus dan lebih terjaga.

Di dalam Al-Quran ALLAH SWT berfirman “dan dari kejahatan orang yang dengki apabila dia dengki”. (Al Falaq ayat 5)

Baca juga 6 ciri dalam aplikasi Muslim Pro ini bakal bantu jemaah haji

Oleh itu, kita sebagai manusia harus sentiasa berhati-hati dalam memaparkan sesuatu kerana kita tidak akan pernah tahu sifat orang di sekeliling kita walaupun kawan rapat sendiri, bahkan di media sosial pun apa yang kita kongsikan bukan semua orang boleh menerimanya, jika ada 100 orang yang suka ‘posting’ kita pasti akan ada dua orang yang tidak menyukainya.

  1. JANGAN CERITA MENGENAI KEBAHAGIAAN RUMAH TANGGA

Menerusi perkongsian daripada Abdi Suardin seorang ‘YouTuber’ terkenal mengenai rumah tangga adalah seorang yang profesional akan berfikir banyak kali sebelum berkongsi sesuatu di media sosial agar perkongsianya itu membawa manfaat dan bukan hanya semata-mata untuk mengejar jumlah ‘followers’ dan ‘like’ yang banyak.

JANGAN jadikan media sosial sebagai tempat luahan untuk berkongsi masalah rumah tangga.

 

Katanya lagi, di aplikasi TikTok kini ramai yang berkongsi mengenai masalah rumah tangga yang dihadapi tanpa menyedari sebenarnya ia menjurus kepada membuka aib dan kelemahan pasangan masing-masing sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi di kalangan masyarakat.

Jika perkara yang dikongsi itu hanya untuk sebuah ‘content’ dan kepentingan diri sendiri maka ianya hanya mengundang dosa tanpa disedari.

Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda “orang yang menutup aib orang lain di dunia, nescaya ALLAH menutup aibnya pula kelak di hari kiamat.”(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

  1. JANGAN TERLALU MENUNJUKKAN KEKAYAAN

Setiap rezeki dan nikmat yang diberikan ALLAH SWT adalah pemberian yang tidak ternilai dari-NYA. Kemiskinan dan kekayaan adalah ujian untuk setiap hamba yang bergelar khalifah di bumi ini.

Bila diberikan nikmat harta dan kekayaan janganlah kita melampaui batas dan terlalu menunjuk di media sosial yang mana pada akhirnya hanya membawa padah dan penyesalan dalam diri seseorang.

SESEORANG akan lebih ‘obses’ untuk terus berkongsi setiap hari di media sosial dan lebih cenderung untuk boros tanpa memikirkan antara keperluan dan keinginan seharian.

Banyak keburukan jika kita sering memaparkan kekayaan yang kita ada antaranya seseorang akan lebih ‘obses’ untuk terus berkongsi setiap hari di media sosial dan lebih cenderung untuk boros tanpa memikirkan antara keperluan dan keinginan seharian.

Imam Muda Asyraf berkongsi lagi,  jika niat kita memaparkan kekayaan semata-mata untuk memberi inspirasi dan semangat kepada orang lain maka itu dibolehkan. Sebagai contoh berkongsi perjalanan hidup kita dari bawah sehinggalah berjaya.

Tiga benda ini biarlah rahsia, tidak perlu diwar-warkan atau di tunjuk kepada umum dan di media sosial.

bola
Berita, Berita Semasa,

Kelab Aruzian Selangor berbakti dengan salur sumbangan kepada warga emas yang memerlukan

PRIHATIN dengan nasib dan kebajikan golongan yang kurang berkemampuan mendorong pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kelab Aruzian Selangor tampil menyalurkan sumbangan menerusi program Santuni Warga Emas di Kapar, Klang, Selangor.

Pengerusinya, Rahmat Lazim berkata, pihaknya terlebih dulu telah melakukan ziarah di beberapa buah rumah warga emas yang kebanyakannya terdiri daripada bekas nelayan di Kampung Perepat.

“Urusan untuk mengenal pasti individu yang memerlukan pertolongan dipermudahkan kerana kami mendapat kerjasama daripada NGO yang sangat memahami dengan selok-belok kawasan di sini.

“Pihak kami juga sangat menghargai bantuan yang dihulurkan oleh saudara Mohd Alif Syamrin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Bro Alif Sementa.

“Beliau telah lama bergiat aktif dengan penduduk di sekitar Sementa, Kapar dan di kawasan berhampiran. Bro Alif Sementa juga sangat mengambil berat dengan golongan asnaf dan fakir miskin sejak tahun 2005 lagi,” katanya ketika ditemui pada program agihan sumbangan di Klang baru-baru ini.


Menurut Rahmat, antara objektif utama program Santuni Warga Emas adalah untuk memupuk semangat sahsiah, kebaikan, kebajikan dan mahu menyuburkan ukhuwah dengan aktiviti kemasyarakatan, khidmat sosial serta kekeluargaan dalam kalangan ahlinya.

Mengulas mengenai bentuk sumbangan, Rahmat berkata, selain lampin pakai buang dewasa, pihaknya turut mengagihkan bakul makanan asas dan beg cenderahati.

“Semoga pendekatan ini dapat mengurangkan bebanan kos golongan sasar dan menyuntik keceriaan buat mereka,” katanya yang berterima kasih kepada Asyik Tomyam Meru dan E Max Car Accessories Sdn Bhd yang menjadi penyumbang utama kepada program murni berkenaan.

Berita, Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Inspirasi,

Jurutera di UK cipta tudung PPE mudahkan wanita Muslim bekerja dalam bidang lasak

JIKA di Malaysia tudung sarung bukan satu perkara luar biasa untuk diceritakan atau dijadikan bahan berita, namun senarionya berbeza di sesebuah negara yang bukan didominasi oleh penduduk Islam seperti di United Kingdom (UK).

Seorang jurutera kanan dari Birmingham, Aminah Shafiq (gambar bawah) mencuri tumpuan apabila mereka bentuk tudung PPE (Personal Protective Equipment) yang memudahkan wanita Muslim memakainya ketika berkerja dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan di negara itu.

Saya harap ciptaan ini akan memberi inspirasi kepada wanita Islam yang menceburi bidang lasak seperti ini (kejuruteraan dan pembinaan) yang biasanya melibatkan kerja-kerja operasi,“ katanya kepada BBC News baru-baru ini.

Wanita berusia 24 tahun yang bekerja di sebuah syarikat yang menguruskan air, Severn Trent itu menambah, beliau memperoleh ilham untuk mereka hijab berkenaan ketika UK sedang melaksanakan sekatan pergerakan bagi seluruh penduduknya.

 

“Saya memikirkan tentang dua fakta iaitu bahawa topi keledar biasanya tidak muat untuk kepala saya ketika bekerja, begitu juga dengan material-material lain yang digunakan.

“Justeru, selepas melihat beberapa helai rekaan tudung sukan yang mempunyai aliran udara yang baik dan ‘terletak‘ pada kepala, saya rasakan kriteria itu memenuhi kehendak kami dalam sektor ini,” katanya.

Seorang profesor di Universiti Warwick, Dr Freeha Azmat mengalu-alukan reka bentuk bersepadu tudung ciptaan Aminah.

 

“Biasanya apabila memakai tudung, kita memerlukan banyak pin, tetapi dengan tudung PPE Aminah, ia memberi banyak kelebihan kerana anda tidak perlu risau untuk melaraskan tudung,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelajar, Nageen Fatima berkata, dengan adanya inovasi baharu tersebut, ia sedikit sebanyak membantu wanita Islam dan tidak mengehadkan mereka lagi untuk terbabit dalam apa jua profesion.-

Foto: Pixabay/Pexels

Berita, Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Memang wujud unsur mistik dalam sesuatu penyakit. Semak dulu pusat perubatan Islam yang ingin dikunjungi

Oleh DR MOHD ASHROF ZAKI YAAKOB
Pengarah, Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF),
Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor 

KECENDERUNGAN masyarakat Melayu yang mengaitkan penyakit yang dihidapi dengan unsur-unsur mistik bukanlah satu perkara baharu lagi.

Meskipun teknologi perubatan semakin bercambah, punca kepada beberapa krisis kesihatan kadangkala tidak dapat dikenal pasti melalui diagnosis. Secara fizikalnya seseorang dilihat sihat, namun sebenarnya mereka sedang menanggung kesakitan.

Dalam situasi begitulah, kewujudan elemen mistik atau alam ghaib dalam sesuatu penyakit wajib diyakini kerana tidak mustahil wujudnya ‘campur tangan’ unsur-unsur lain yang menyebabkan terjadinya masalah tersebut.

Jika dulu, bomoh dijadikan rujukan, namun kini ramai lebih selesa merujuk agamawan. Terdapat juga yang memilih berkunjung ke pusat pengubatan Islam yang lazimnya mendakwa mereka mempraktikkan rawatan yang berpandukan al-Quran dan sunnah.

Namun, ada sebilangan pengusaha menggunakan topeng agama demi meraih keuntungan. Adakalanya, bayaran yang dikenakan tidak munasabah, tetapi penyakit tetap jua tidak sembuh.

Sehubungan itu, sebelum berkunjung ke mana-mana pusat pengubatan, terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi. Antaranya seperti latar belakang premis, bacaan, kaedah dan cara rawatan. Jika ada kriteria yang meragukan, maka haram bagi umat Islam mendapatkan khidmat mereka.

Antara pusat pengubatan Islam yang boleh dijadikan contoh dan boleh dipercayai ialah Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa‘) yang diasaskan oleh arwah Datuk Dr Haron Din.Pendekatan mereka bersumberkan al-Quran dan hadis, bacaan yang jelas maknanya serta kaedah yang selari dengan syariat Islam.

Baca juga Ubati Kemurungan Dengan Pendekatan Anjuran Agama

Bersandarkan kepada ALLAH

Kepada semua pembaca, ilmu pengubatan Islam merupakan salah satu ikhtiar dalam menyembuhkan penyakit menggunakan cara yang khusus berpandukan kepada al-Quran, al-Sunnah dan ijtihad al-Salafussoleh.

Prinsip asasnya adalah meletakkan sepenuhnya kuasa penyembuhan hanya kepada ALLAH SWT. Keyakinan yang disandarkan kepada kuasa-NYA YANG MAHA MENYEMBUHKAN disusuli dengan usaha hasil kombinasi beberapa kaedah rawatan seperti menggunakan air, tumbuhan herba termasuk bahan-bahan halal lagi baik yang dibenarkan.

Seperkara, konsep pengubatan Islam juga sebenarnya amat luas dan boleh diaplikasikan kepada semua jenis penyakit, sama ada penyakit yang bersifat jasmani mahupun rohani. Namun, masyarakat awam dilihat lebih cenderung menggunakan kaedah tersebut jika berdepan dengan masalah berkaitan mistik dan alam ghaib seperti gangguan makhluk halus, disampuk jin dan santau.

Sesungguhnya, al-Quran dan al-Hadis ialah rujukan utama dalam mendapatkan panduan pengubatan Islam. ALLAH SWT berfirman: “Dan KAMI turunkan dari al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman.“ (Surah al-Isra‘, ayat 82).

ALLAH juga menyuruh manusia supaya berdoa memohon kepada-NYA jika ditimpa sakit. Firman-NYA yang bermaksud: “Dan Tuhan kamu berfirman, berdoalah kamu kepadaKU, nescaya akan AKU perkenankan doa permohonan kamu.“ (Surah al-Mukmin, ayat 60).

Seterusnya, dalam Surah al-Syu‘ara‘, ayat 80, ALLAH berfirman: “Dan apabila aku sakit, maka DIALAH yang menyembuhkan penyakitku.“
Contoh tauladan yang ditunjukkan oleh para Anbiya‘ dalam memohon kesembuhan daripada ALLAH ialah Nabi Ayub. ALLAH mengarahkan baginda menghentakkan kaki dan terpancar keluar air dari dalam tanah.

Maka, air itu digunakan oleh Nabi Ayub untuk minum dan mandi sehingga penyakit baginda sembuh dengan izin-NYA. Jelas di sini, air merupakan antara medium terbaik dalam menyembuhkan penyakit. Justeru, tidak hairanlah apabila gabungan doa dan air digunakan secara meluas dalam kalangan perawat pengubatan Islam.

Hakikatnya setiap penyakit itu datang daripada ALLAH SWT dan DIA juga yang menyediakan penawar bagi penyakit tersebut. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Usamah bin Syarik RA yang bermaksud: “Berubatlah kalian wahai hamba-hamba ALLAH, kerana ALLAH SWT tidak menciptakan penyakit kecuali diciptakan juga bersama ubatnya, kecuali satu penyakit sahaja iaitu tua.” (Riwayat Ibn Majah)

Dalam hadis baginda yang lain yang diriwayatkan oleh Jabir RA yang bermaksud: “Setiap penyakit itu ada ubatnya. Maka apabila dijumpai ubat kepada suatu penyakit itu, nescaya disembuhkan dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla.” (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh yang demikian, sebagai manusia yang menyedari betapa lemahnya diri berbanding Allah yang Maha Berkuasa, maka jangan sesekali kita berputus asa daripada mencari penawar bagi setiap penyakit yang dihadapi.

Sekiranya telah berusaha, namun masih belum pulih, kita harus bersabar. Barangkali penyakit yang dideritai adalah ujian yang dapat mengukuh dan memantapkan keimanan kepada-NYA. Mungkin juga ia disebabkan bala atau musibah. Jika berada dalam situasi itu, sewajarnya kita bertaubat dan memohon keampunan kepada-NYA.

Hakikatnya, rawatan pengubatan Islam merupakan alternatif terbaik kepada umat Islam untuk menyembuhkan penyakit yang bersifat jasmani dan rohani.

Paling penting, rawatan yang diterima harus menepati syariat Islam dan menyandarkan kesembuhan 100 peratus kepada kekuasaan dan keizinan-NYA.

Penubuhan pusat rawatan Islam yang terlalu banyak dewasa ini juga harus dikawal oleh pihak berkuasa agama. Ia penting agar rawatan cara berkenaan tidak sewenang-wenangnya disalah guna dan diperalatkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Polina Tankilevitch/Pexels

Berita, Muamalah,

Tunai zakat bukan untuk tambah rezeki? Umat Islam diminta jangan salah faham objektif tunaikan Rukun Islam ke-4 itu

Oleh MUHAMMAD NAZREEN ADNAN
Bahagian Dakwah Am,
Zakat Pulau Pinang, MAINPP

PADA zaman serba canggih kini, masyarakat dapat menggapai informasi dengan cepat sama ada melalui Facebook, WhatsApp, Instagram, Twitter, TikTok, Google, mahupun YouTube.

Melalui capaian itu semua, pelbagai ilmu dapat diperoleh termasuk berkaitan dengan zakat.

Daripada Abu Abdurrahman Abdullah bin Umar bin Khatthab RA berkata, aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Islam dibangunkan atas lima perkara. (1) Persaksian bahawa tiada Tuhan selain ALLAH, dan Muhammad Rasul ALLAH, (2) mendirikan solat, (3) mengeluarkan zakat, (4) melaksanakan ibadah haji, dan (5) berpuasa di bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Timbul persoalan, apa sebenarnya yang perlu kita tahu tentang zakat? Menurut Profesor Dr Mustafa al-Bugha dalam Fiqh Manhaji, beliau mendefinisikan zakat sebagai kadar daripada beberapa jenis harta yang wajib dikeluarkan kepada golongan manusia tertentu apabila cukup syarat yang digariskan.


Seperti yang kita maklum, zakat yang telah diperintahkan oleh ALLAH SWT di dalam al-Quran tidak hanya tertumpu kepada zakat fitrah sahaja, sebaliknya ia merangkumi zakat harta yang mempunyai pelbagai jenis pembahagian.

Antaranya ialah zakat emas, zakat perak, zakat wang simpanan, zakat perniagaan, zakat pendapatan, zakat tanaman, zakat ternakan, zakat wang KWSP dan zakat saham.

Sembilan pembahagian zakat harta itu bukanlah diwajibkan secara mutlak untuk dilaksanakan, namun jika seseorang telah memenuhi rukun-rukun zakat, maka zakat harta diwajibkan ke atas dirinya.

Bagaimanapun, jumlah yang perlu dizakatkan tidaklah begitu banyak, hanya 2.5 peratus daripada keseluruhan harta mereka.

Tujuan

Alhamdulillah, pada tahun ini, ramai dalam kalangan umat Islam mulai sedar tentang peri pentingnya kewajipan berzakat.
Saban tahun, hampir semua institusi zakat di Malaysia menunjukkan trend prestasi kutipan yang sentiasa meningkat, sekali gus dapat membantu lebih ramai golongan asnaf di negara ini.

Sebenarnya, ramai pembayar zakat beranggapan, apabila mereka menunaikan zakat ke atas harta mereka, ALLAH SWT akan memudahkan dan memperluaskan rezeki masing-masing.

Namun, sejauhmana kebenaran kenyataan tersebut? Adakah itu tujuan utamanya?

Persoalan berkenaan telah pun dijawab oleh ALLAH YANG MAHA ESA sejak sekian lama di dalam al-Quran iaitu seseorang Muslim itu dituntut melaksanakan ibadah zakat bukanlah untuk dimurahkan rezeki, maju dalam perniagaan atau menjadi kaya.

Sebaliknya, tujuan pelaksanaan ibadah zakat adalah berkait dengan membersihkan harta dan menyucikan jiwa. ALLAH SWT berfirman di dalam Surah at-Taubah, ayat ke-103: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) ALLAH MAHA MENDENGAR LAGI MAHA MENGETAHUI.”

Daripada ayat tersebut, ALLAH SWT memberi gambaran bahawa setiap Muslim yang tidak melaksanakan ibadah zakat (setelah memenuhi semua rukun zakat) akan melahirkan sifat bakhil di dalam diri. Kehidupannya juga akan jauh daripada nilai agama kerana dalam hatinya mula timbul sifat cintakan dunia.

Pada zaman yang penuh mehnah (cabaran), kita mungkin terlibat dengan harta yang mungkin kita sendiri tidak pasti sumbernya. Oleh yang demikian, berzakat merupakan ibadah yang tepat bagi membersihkan harta.

Baca juga Jatuh Murtad Jika Ingkar Tunaikan Zakat? Ini Penjelasannya

Sesungguhnya, harta yang tidak dikeluarkan zakat diibaratkan seperti pakaian yang tidak pernah dibersihkan atau dicuci. Maka, ia akan kotor, berbau dan tentunya wujud virus yang akhirnya membawa penyakit kepada pemakainya.

Lantaran itu, dapat kita fahami bahawa tujuan utama berzakat bukanlah untuk mendapatkan kemurahan rezeki.

Pun demikian, apabila seseorang berzakat, pasti hartanya akan selalu dilimpahkan keberkatan daripada-NYA yang ironinya akan memberi kesan positif dan cahaya dalam kehidupan sehari-hari.

Cara

Bagaimana pula jika ingin melaksanakan ibadah zakat? Setiap negeri di Malaysia mempunyai institusi zakat di bawah Majlis Agama Islam Negeri.

Misalnya, bagi umat Islam di Pulau Pinang, mereka boleh melakukan ibadah itu di Zakat Pulau Pinang yang merupakan institusi zakat rasmi dan berautoriti di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).


Terdapat lapan buah kaunter zakat di seluruh negeri ini iaitu di Bukit Mertajam (ibu pejabat), Bayan Baru, Georgetown, Balik Pulau, Nibong Tebal, Kepala Batas, Butterworth dan Ayer Itam.

Perkhidmatan yang ditawarkan melibatkan kaunter kiraan atau taksiran zakat, kaunter bayaran zakat termasuk kaunter permohonan zakat.
Bagi memudahkan orang ramai pada era pandemik ini, menunaikan ibadah zakat telah dipermudahkan, lebih cepat dan selamat. Segalanya boleh dilakukan secara online melalui portal https://zakatpenang2u.com.

Kesimpulannya, sekiranya kita tidak mahu harta kita menyimpan ‘kotoran’, keluarkanlah zakat. Marilah sama-sama memastikan hak asnaf terus dibela.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Karolina Grabowska/Pexels

Jemaah yang sakit tak perlu risau lagi, ITC tawar perkhidmatan home nursing dari tanah air hingga ke Tanah Suci
Berita, Berita Semasa,

Jemaah yang sakit tak perlu risau lagi, ITC tawar perkhidmatan home nursing dari tanah air hingga ke Tanah Suci

ITAQWA CARE (ITC) memperluaskan peranan mereka dengan menyediakan perkhidmatan Home Nursing Patuh Syariah Pertama di dunia yang memfokuskan kepada kebajikan jemaah haji dan umrah sentiasa terpelihara.

Pengasasnya, Noorfarashikin Othman (gambar) berkata, inisiatif berkenaan diambil selepas melihat kelompok jemaah yang berhadapan dengan masalah kesihatan dan kesukaran untuk menunaikan ibadat secara sempurna.

Justeru, ujar beliau, ITC memperkenalkan Home Nursing Patuh Syariah pertama yang akan memastikan kelancaran setiap ibadat dan keperluan para jemaah dipermudahkan.


“Fokus utama kita adalah memberi perkhidmatan bertaraf premium terutama kepada golongan yang memerlukan dan yang sudah lama menanti servis yang juga patuh syariah.

Saya sedar perkhidmatan home nursing ini melibatkan kos yang agak tinggi. Namun, saya juga percaya para jemaah yang telah lama menunggu waktu untuk menunaikan umrah atau mengerjakan haji, tetapi mereka yang berhadapan dengan kekangan kesihatan akan melihat servis ini sebagai alternatif yang mampu mempermudahkan urusan mereka.

“Sebagai contoh, jika jemaah perempuan yang sakit dan perlu menjalani rawatan dialisis, mereka hanya akan diuruskan dan dijaga sepenuhnya oleh nurse perempuan dan begitulah sebaliknya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Noorfarashikin berkata, perkhidmatan akan dimulakan sebelum jemaah bertolak ke Tanah Suci sehingga berada di sana.
Beberapa hospital turut dipilih untuk menjalin kerjasama dan menyediakan servis yang diperlukan.

ITC kini juga berpusat di Emiriah Arab Bersatu, Makkah dan Madinah. Secara keseluruhan, kami memiliki seramai 28 jururawat yang berasal dari Malaysia yang berkhidmat di Arab Saudi. Ini akan membantu dan melancarkan segala perkhidmatan yang disediakan, insya-ALLAH,” jelasnya.

 


Terdahulu, ITC telah menandatangani perjanjian bersama rangkaian Maahad Tahfiz An-Nabawi (Matan Centre) yang ditubuhkan oleh pendakwah terkenal Malaysia, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani.

Ditubuhkan sejak tahun 2012, Into Taqwa sudah melancarkan beberapa inisiatif lain, selaras dengan visi mereka iaitu memfokus terhadap pembangunan insan berteraskan Islam.

Salah satu inisiatif IT adalah IntoHajj iaitu kerjasama bersama Amal by Malaysian Airlines bagi memudahkan pergerakan jemaah haji dan umrah di Tanah Suci.

Pada tahun 2015, IntoAlAqsa telah membantu rakyat Palestin yang terjejas kerana peperangan dan pembangunan Masjid Al-Aqsa.
Untuk maklumat lebih lanjut, layari www.itaqwacare.com.

Berita, Berita Semasa,

Covid-19: Perbanyakkanlah sedekah, wakaf, hibah, infak, zakat dan hadiah bantu golongan terjejas

Oleh DR AZRI BHARI
(Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor)

SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak COVID-19, situasi masyarakat di Malaysia mengalami perubahan.

Seperti yang dilaporkan, rata-rata individu mahupun organisasi terkesan dari aspek ekonomi, sosial, psikologi mahupun pendidikan.
Golongan B40 yang berpendapatan rendah dikatakan paling terjejas. Mereka hilang sumber pendapatan gara-gara diberhentikan kerja dan ada segelintirnya terpaksa berdepan dengan pemotongan gaji.

Pun demikian, keperitan dan kesukaran tersebut sedikit terubat dengan pelbagai bantuan yang dihulurkan oleh orang perseorangan, selebriti, pendakwah termasuk pertubuhan bukan kerajaan yang bergiat aktif.

Sewajarnya usaha dan kempen menderma seumpama itu perlu dipertingkat dan diperluaskan lagi.

MENURUT Dr Azri Bhari, kita haruslah membantu sesama manusia di kala wabak Covid-19 yang sedang berleluasa.

 

Sesungguhnya, Islam sangat menganjurkan sifat kedermawanan dan ia boleh dizahirkan melalui amalan bersedekah.

Sedekah mempunyai maksud yang sangat luas dalam Islam. Antaranya merujuk kepada pemberian oleh seseorang kepada orang lain (seperti fakir miskin, sanak saudara demi kepentingan agama atau fisabilillah) yang memerlukan dengan tujuan untuk mendekatkan diri dengan ILAHI.

Bukan sahaja kepada manusia, sedekah juga dianjurkan untuk diberikan kepada orang bukan Islam dan juga haiwan.

Firman ALLAH SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang lelaki yang bersedekah dan orang perempuan yang bersedekah, serta mereka yang memberikan pinjaman kepada ALLAH, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.” (Surah al-Hadid, ayat 18)

Instrumen

Dalam pada itu, sedekah dalam konteks harta yang disampaikan terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

Sedekah wajib: Merujuk kepada zakat harta dan zakat fitrah.
Sedekah sunat: Merujuk kepada hadiah, wakaf, hibah, wasiat, pelepasan hutang dan pengguguran hak.

Pada pandangan saya, solusi terhadap permasalahan yang dihadapi masyarakat yang tergugat dan memerlukan bantuan boleh dibudayakan melalui instrumen sedekah yang pelbagai. Antaranya menerusi:

 

1. Zakat

Ia adalah suatu pemberian yang wajib dilakukan ke atas sebahagian harta kekayaan yang telah mencukupi syarat dan dimiliki oleh individu Muslim kepada golongan asnaf yang telah ditetapkan oleh syarak.
Dana zakat boleh membantu golongan fakir, miskin, mualaf, al-gharimin (orang berhutang), fisabilillah (pelajar), al-riqab (orang terbelenggu) yang terjejas akibat wabak Covid-19 melalui pelbagai skim bantuan yang telah disediakan oleh pihak institusi zakat di Malaysia.

2. Wakaf

Wakaf pula adalah amalan penyerahan harta yang bersifat kekal dan dimiliki untuk kegunaan atau manfaat orang ramai.
Selain dapat meringankan beban penerima wakaf, pewakaf turut mendapat ganjaran pahala yang berterusan selagi dimanfaatkan harta tersebut.
Wakaf boleh dilaksanakan melalui pemberian seperti alat pembelajaran seperti komputer riba, telefon pintar atau sebarang gajet lain kepada golongan sasar.

 

3. Sedekah, infak dan hadiah

Ketiga-tiganya memiliki makna yang hampir sama iaitu pemberian secara sukarela kepada seseorang.
Infak lazimnya merujuk kepada pemberian untuk menegakkan agama YANG MAHA ESA.
Sedekah dan hadiah pula berbeza dari sudut tujuan. Sedekah adalah pemberian untuk mendapatkan pahala, sementara hadiah adalah untuk menghargai seseorang.
Pemberian pakej pelbagai makanan asasi adalah contoh sedekah, infak dan hadiah yang boleh dilaksanakan dalam situasi PKP bagi memastikan kelangsungan hidup sesebuah keluarga yang kekurangan sumber pendapatan.

 

4. Hibah

Hibah adalah pemberian hak milik kepada orang lain secara sukarela. Ia boleh dilaksanakan melalui pemberian peralatan atau kemudahan yang masih lagi baik kepada orang lain secara percuma.

Demikianlah instrumen-instrumen kedermawanan yang dianjurkan oleh Islam dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang mengalami kesulitan hidup akibat pelaksanaan PKP dan PPN.

Sewajarnya, setiap masyarakat Malaysia berganding bahu dalam mendepani cabaran pandemik yang masih membelenggu negara dan hampir keseluruhan penduduk di muka bumi ini.

Foto UNSPLASH dan FREEPIK

nikolay-likomanov-yeZowdyBZTs-unsplash
Antarabangsa, Berita, Berita Semasa,

Bilangan penduduk Jepun peluk agama Islam semakin meningkat. Ini faktor-faktor yang menyumbang

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID

MESKIPUN pada suatu ketika dulu, agama Islam dipandang sepi di negara Jepun, namun sejak 10  tahun kebelakangan ini, hampir 112,000 hingga 230,000 penduduknya telah memeluk agama suci ini, lapor portal Republika baru-baru ini.

Angka berkenaan dianggap satu perkembangan yang sangat positif.

Ujar laman web berkenaan, pertumbuhan pesat itu dikatakan didorong oleh beberapa faktor dominan.

Pertama, ia disebabkan sesetengah penduduk yang sudah bergelar mualaf berkahwin dan secara tidak langsung mewujudkan generasi dan kedua pada masa depan.

jepun islam

Selain itu, kedatangan imigran Muslim dari Iran, Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan lain-lain telah menyumbang kepada peningkatan jumlah masjid di seluruh negara Matahari Terbit itu.

“Apabila bertambahnya Rumah ALLAH, ia merupakan kesempatan penduduk lokal bersosialisasi dan belajar tentang Islam. Sentimen Islamofobia juga membuatkan mereka ingin tahu adakah Islam memicu kepada kekerasan atau sebaliknya? Maka, masjid menjadi tempat rujukan,” kata Republika.

Baca juga Bilangan Umat Islam di Jepun Meningkat Dengan Cepat

Menurut laporan daripada Universiti Waseda di negara itu, terdapat lebih 100 buah masjid telah didirikan di seluruh pelosok Jepun setakat tahun 2017.

Alasan seterusnya adalah kemasukan pelancong Muslim seperti dari Indonesia dan Malaysia yang tidak memerlukan visa.

jepun islam

“Hal tersebut memang disenangi. Seperkara yang menarik, tiket penerbangan murah yang sering ditawarkan menjadikan lebih ramai Muslim ingin menjejakkan kaki ke negara yang serba indah itu.

“Senario tersebut secara tak langsung menyebabkan premis makanan halal semakin bercambah dari semasa ke semasa. Negara itu juga dilihat sedaya upaya memaksimumkan sifat yang lebih neutral dan ramah terhadap mereka yang beragama Islam,” tulis laman web itu lagi.

Selanjutnya  adalah merujuk kepada tingkat perpindahan agama yang rendah dalam kalangan Muslim di Jepun. Secara umumnya, mereka yang lahir daripada keluarga Muslim akan kekal dalam agama Islam.

jepun islam

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Berdasarkan penjelasan yang dihuraikan, kita dapat melihat secara jelas bagaimana negara itu menerapkan sikap harmoni, toleransi dan penerimaan yang tinggi dalam masyarakat mereka untuk memahami Islam yang sebelum ini banyak disalah ertikan.

Bagaimanapun, menurut laporan The Economist, penduduk beragama Islam tidak lagi bimbang mengenai tempat beribadah mereka, kecuali tanah perkuburan.

Kira-kira 99 peratus penduduk negara itu dibakar selepas meninggal dunia, namun Islam melarang pendekatan seumpama itu.

Foto: Nikolay Likomanov/Unsplash

 

korban 1
Berita, Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Sambutan Hari Raya Aildiladha lebih istimewa, bermakna daripada meraikan Aidilfitri

Oleh RAFIUDDIN BIN MOHD YUSOF

HARI Raya Aidiladha atau disebut juga sebagai Hari Raya Haji merupakan salah satu perayaan yang sangat bermakna kepada umat Islam.

Ini adalah kerana peristiwa tersebut berkaitan dengan salah satu daripada Rukun Islam iaitu mengerjakan haji di Mekah.

Jika kita sebagai rakyat Malaysia yang telah didedahkan dan diajar tentang rukun negara dari peringkat sekolah rendah lagi sehingga kita menghafalnya, begitulah juga dengan rukun Islam.

Malahan kita perlu lebih daripada itu sehingga kita benar-benar memahami, melaksana dan menyempurnakan setiap rukun itu semata-mata kerana Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Islam dibangunkan di atas lima perkara, persaksian bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH dan bersaksi (syahadah) Muhammad Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji dan puasa di bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Mungkin ada dalam kalangan kita yang menganggap Hari Raya Aidilfitri lebih utama atau bermakna jika dibandingkan dengan Hari Raya Aidiladha.

Hal itu mungkin disebabkan kerana tradisi atau pemahaman kita sejak dahulu lagi yang memungkinkan Aidilfitri ini lebih besar daripada Aidiladha.

Namun, jika kita lihat semuanya secara teliti, beberapa perkara yang mungkin memperlihatkan bahawa Aildiladha itu lebih istimewa disebabkan beberapa faktor.

Antaranya adalah bilangan hari setiap umat Islam disunatkan bertakbir berbeza.

Begitu juga dengan sambutan Aidiladha yang lebih ke arah pengorbanan berdasarkan kepada peristiwa yang masyhur di antara Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS yang mengisahkan suruhan dan tuntutan ALLAH SWT dalam ibadah penyembelihan.

Selain itu juga, sambutan Aidiladha yang berkaitan rapat dengan ibadah haji pastinya menitipkan kerinduan dalam kalangan umat Islam untuk menjejakkan kaki di Tanah Suci Haram.

Apatah lagi dalam keadaan negara dan dunia yang sedang dilanda wabak Covid-19, pastinya seluruh umat Islam akan sentiasa berdoa agar wabak tersebut akan lenyap daripada muka bumi, sekali gus memberi harapan untuk hadir sebagai tetamu ALLAH SWT.

Kaabah iaitu Baitullah diciptakan oleh ALLAH SWT sebagai tempat manusia untuk berhimpun bersama-sama dalam keadaan yang harmoni dan aman semata-mata untuk mengabdikan diri kepada MAHA PENCIPTA.

Berziarah ke Baitullah juga memberi peluang kepada seseorang untuk lebih mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dan menerbitkan rasa cinta yang lebih kepada-NYA.

Justeru, ibadah Haji merupakan satu ibadah yang wajib dilakukan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup oleh setiap umat Islam yang berkuasa dan berkemampuan.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan unta yang kurus, yang datang dari segenap penjuru (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Surah Al-Hajj: 27)

Baca juga Kaedah Yang Betul Jika Ingin Lakukan Ibadah Korban Untuk Orang Yang Sudah Meninggal

Selain Baitullah iaitu Tanah Suci Mekah, tiada lagi tempat yang lebih mulia diciptakan oleh ALLAH SWT di atas muka bumi ini, selain kota Madinah yang juga dikenali sebagai Madinatul Rasul atau Kota Rasulullah SAW.

Hal berkenaan jelas membuktikan bahawa Baitullah yang juga dikenali sebagai tanah haram adalah tempat yang sangat istimewa kepada umat Islam di atas dunia yang fana ini.

Maksud tanah haram adalah tempat Baitullah itu sendiri yang dijaga oleh ALLAH SWT akan kesuciannya daripada dicemari oleh perkara-perkara maksiat atau larangan-larangan daripada penciptanya iaitu Allah SWT.

Ia adalah bertujuan untuk memberikan keselesaan dan ruang yang terbaik kepada hamba-hamba-NYA dalam kesempatan yang diperoleh untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam beribadah kepada-NYA.

Sehubungan itu, perbanyakkanlah berdoa kepada Allah SWT agar diberi kesempatan untuk bersama-sama menjadi tetamu Allah SWT setidak-tidaknya sekali seumur hidup kita.

Jangan sesekali putus asa atau mengalah daripada terus berharap kepada ALLAH SWT.

Sekiranya kita telah mampu dan cukup dari segi tenaga dan wang ringgit, maka wajiblah bagi seseorang itu untuk bersegera merancang bagi menunaikan rukun Islam ke-5 ini.

Janganlah sesekali bertangguh atau melewatkan sekiranya telah bersedia kerana mungkin kita akan menemui ALLAH SWT terlebih dahulu, walhal kita telah diberikan kesempatan, tetapi tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya.

Jika ditakdirkan nyawa kita telah diambil oleh ALLAH SWT terlebih dahulu sebelum kita menjejakkan kaki ke bumi Makkah, menjadi tanggungjawab waris terdekat untuk menyempurnakan haji kita.

Oleh demikian, jadikan peristiwa dan perayaan Aidiladha sebagai medan untuk kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan di sisi ALLAH SWT.

Sentiasa berlapang dada untuk berkorban ke arah kebaikan kerana setiap pengorbanan yang baik itu sudah tentu akan memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Yakin di atas segala usaha dan tindakan yang dilakukan demi membuktikan keimanan kita kepada MAHA PENCIPTA iaitu ALLA SWT.

Jika kita ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam apa jua tindakan serta kelakuan kita termasuk pengorbanan dalam kehidupan, sudah tentu ganjaran kebaikan akan kita miliki.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada ALLAH SWT dan Rasulnya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan ALLAH SWT, mereka itulah orang yang benar.” (Surah Al-Hujurat: 15)

HARI Raya Aidiladha sinonim dengan aktiviti berkorban. Namun, pada musim pandemik, suasananya tidaklah semeriah dua tahun sebelum ini. Bersamalah kita berdoa agar wabak Covid-19 ini akan lenyak di muka bumi ini buat selama-lamanya.

HARI Raya Aidiladha sinonim dengan aktiviti berkorban. Namun, pada musim pandemik, suasananya tidaklah semeriah dua tahun sebelum ini. Bersamalah kita berdoa agar wabak Covid-19 ini akan lenyak di muka bumi ini buat selama-lamanya.

 

RAFIUDDIN ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan merangkap Ketua Unit Hal Ehwal Sialm, UiTM Cawangan Segamat, Johor
Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Bernama, Unsplash, Freepik & 123rf

 

 

Berita, Berita Semasa,

Nurflix bina rangkaian media Islamik antarabangsa, lebih 1,000 konten dapat ditonton menjelang akhir tahun ini.

PENANGAN penularan Covid-19 yang semakin meruncing kini mendorong platform penstriman video dengan kandungan Islamik, Nurflix melancarkan inisiatif pembinaan rangkaian media Islamik antarabangsa.

Ketua Pegawai Eskekutifnya, Syah Mohamed berkata, pihaknya bakal menjalin kerjasama dengan syarikat penerbitan dan media Islamik dari luar negara.

“Kami mahu mencapai objektif dalam usaha memberi manfaat kepada penggiat seni dan komuniti.

“Nurflix bakal memiliki kandungan dan kolaboratif dengan (syarikat penerbitan luar negara) seperti dari United Kingdom, Mesir, Qatar, Turki dan Indonesia.

Justeru, dianggarkan terdapat lebih 1,000 konten untuk ditonton menjelang akhir tahun ini, insya-ALLAH,” katanya dalam satu kenyataan.

Bukan itu sahaja, Nurflix juga sedang dalam perbincangan dengan platform penstriman Islamik seluruh dunia bagi membina gabungan kerjasama penyebaran kandungan media yang sopan dan bermanfaat untuk generasi.

Dengan jalinan rangkaian ini, kita berharap kandungan dan program dari luar boleh kita tonton di Nurflix dan kandungan dari Malaysia juga ditonton di luar sana. Sudah tiba masa untuk rangkaian ini diperkasakan,” terangnya.

Syah menambah, kemasukan kandungan-kandungan luar ke dalam Nurflix juga akan memberi peluang pekerjaan post produksi, terjemahan kandungan dan alih bahasa.

Inisiatif tersebut juga dibuat agar khalayak akan dapat terus menikmati kandungan patuh syariah dari dalam dan luar negara yang disajikan kepada pengguna.

Lebih istimewa, ujar Syah, Nurflix mempunyai sasaran untuk menjadi platform pembelajaran, bukan semata-mata hiburan dengan menonton filem dan drama semata-mata.

Sehubungan dengan pemerkasaan kerjasama dan pelebaran kandungan luar, produk milik Sutera Hijau Ventures Berhad akan melancarkan aplikasi natif ‘Nurflix Goldfish 2.0’ lengkap untuk pelbagai peranti iOS, Android dan Smart TV bagi menggantikan aplikasi hibrid sedia ada sejak pelancaran Nurflix Beta pada Oktober 2020.

 

“Naik taraf ini akan dilancarkan sempena 1 Muharram atau 10 Ogos 2021 dan akan memberi kelebihan kepada pengguna kerana ia akan lebih stabil dan pantas,” terang Syah mengenai pengukuhan aplikasi natif yang akan dilaksanakan kelak.

Dengan penambahbaikan yang sedang giat diperkasa ini, Nurflix berharap agar dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penggiat-penggiat media Islamik sekaligus menggerakkan ekonomi terutama di sektor penerbitan dan media sepanjang dunia dilanda pandemik. Harga pakej langganan baharu juga akan turut diumumkan pada Ogos akan datang.

Aplikasi Nurflix boleh dicapai melalui laman web http://nurflix.tv, Apple Appstore & Google Playstore.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Bernama