Browsing Tag

berita-semasa

pexels-kampus-production-8428057
Berita, Berita Semasa,

Pemimpin bukan sekadar beri arahan, kena lebih bijak dan tunjukkan teladan yang baik

Oleh FOUZIAH AMIR

SEBAGAI pemimpin keluarga dan syarikat, setiap orang perlu memahami amanah yang dipertanggungjawabkan oleh ALLAH SWT dengan sebaiknya.

Demikian pandangan yang dilontarkan Pengarah Urusan Kumpulan Dagang NeXchange Berhad (DNex), Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir ketika ditanya tentang pembinaan ‘kerajaan diri’.

SYED ZAINAL ABIDIN

Soalan itu diajukan sempena program World #QuranHour yang membawa misi Surah al-Mulk yang bermaksud kerajaan pada kali ini anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).

World #QuranHour yang mengangkat Surah Al-Mulk bakal diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 24 Ramadan 1442 Hijrah bersamaan 6 Mei ini.

Program tersebut bakal disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Oasis dan TV Alhijrah bermula jam 12 hingga 1 tengah hari.

Bagi Syed Zainal Abidin, paling penting tugas yang digalas itu perlu dilakukan penuh komitmen, dedikasi dan terbaik.

“Pemimpin dilihat sebagai contoh kepada orang lain. Saya sendiri menjadi contoh di rumah mahupun di tempat kerja.

“Kita bukan sahaja menunjukkan diri sebagai ketua yang berkaliber, tetapi menunjukkan nilai dan akhlak yang baik sebagai umat Islam.

“Umpamanya, jika kita marah, perlu cara berhemah. Bukan marah tidak tentu pasal sehingga orang lain jadi tertekan dan kemurungan. Kita harus memberi teguran dan nasihat yang boleh mendorong mereka jadi lebih baik.

Baca juga Pemimpin atau ketua yang baik perlu seimbangkan di antara kepentingan agama dan urusan duniawi

“Apa pun, kita tidak boleh menganggap orang lain mesti ikut seperti kita, sedangkan mungkin mereka tidak mempunyai ilmu berbanding kita,” katanya ketika ditemu bual di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Beliau menambah, menjadi pemimpin bukan sekadar hanya tahu memberi arahan dan mentadbir, tetapi peranannya lebih daripada itu.

Pemimpin boleh menjadi guru, ustaz waima pendidik kepada orang yang dipertangungjawabkan di bawahnya untuk memberi tunjuk ajar, peluang dan pendidikan terbaik.

“Cara ini boleh diaplikasikan dalam keluarga mahupun syarikat,” katanya.

Pemimpin

PEMIMPIN bukan sekadar hanya tahu memberi arahan dan mentadbir, tetapi boleh menjadi guru dan pendidik kepada orang yang dipertanggungjawabkan di bawahnya.

Dalam pada itu, Syed Zainal Abidin yang juga mantan peneraju syarikat gergasi Perodua dan Proton berpendapat, sebagai pemimpin dalam organisasi, dirinya lebih senang menjawab pertanyaan tentang prestasi kerja oleh pengerusi.

“Apa yang saya takuti apabila ditanya oleh ALLAH SWT. Adakah kita memberi ruang seluasnya kepada orang di bawah jagaan untuk solat, belajar agama dan mencari ilmu? Saya melihat perkara ini penting.

“Bagi saya, jika ada jawatan yang boleh membawa pengaruh, dia akan menjadi contoh. Saya sendiri memanfaatkannya untuk menjadi imam solat berjemaah. Jika ada ruang sebelum masuk waktu Zohor, adakan ceramah.

“Pemimpin yang baik perlu tunjukkan contoh yang baik seperti disiplin kedatangan dan cara bekerja.

“Lama-kelamaan orang lain akan ikut. Begitu juga sebagai ayah dalam keluarga yang menjadi teladan baik,” ujarnya.

Orang ramai dijemput menyertai atau menganjurkan World #QuranHour 1442H di lokasi masing-masing dengan mendaftar hotspot melalui bit.ly/ WQH1442H.

Foto: Fouziah Amir, Freepik & Pexels

wedding-dreamz-5Njdsk_4UMk-unsplash
Hukum,

Suami isteri bermanja-manja pada siang Ramadan, boleh ke tidak?

SEMUA sedia maklum tentang larangan berjimak antara suami dan isteri pada siang hari dalam bulan Ramadan. Alhamdulillah kebanyakannya faham tentang perkara itu yang boleh menyebabkan puasa kita terbatal.

Bahkan, ada kafarah yang perlu dibayar akibat daripada perbuatan itu tadi. Ia merupakan kesalahan yang besar dan diharamkan oleh syarak, selain wajib bertaubat agar tidak mengulanginya lagi.

Namun begitu, lumrah pasangan yang sudah berumah tangga, adakalanya mereka bergurau senda, bermanja-manja dan seumpamanya. Andai kata, kita bermanja-manja dengan pasangan tetapi tidaklah sampai berjimak, apakah hukumnya?

Adakah boleh dilakukan pada siang hari Ramadan ketika sedang berpuasa?

Pendakwah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah menjelaskan, bermanja-manja yang dimaksudkan mungkin bercium atau bercumbuan antara suami isteri.

DA’I SYAFIQAH

Menurut hadis daripada Saidatina Aisyah RA, beliau berkata: “Adalah Rasulullah SAW mencium salah seorang daripada isteri baginda dalam keadaan baginda sedang berpuasa.” (Riwayat Muslim)

Dalam satu lagi riwayat lain, Saidatina Aisyah RA berkata: “Adalah Rasulullah SAW itu mencium dalam keadaan berpuasa dan baginda juga bermesramesraan dalam keadaan baginda sedang berpuasa. Akan tetapi, bagindalah yang paling memiliki anggotanya (menahan nafsu).” (Riwayat Abu Daud)

Baca juga Wajib ambil tahu bab hubungan kelamin dalam bulan Ramadan

Suami isteri bermanja-manja

“Daripada dua hadis tersebut, ada pendapat dalam Mazhab Syafie yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa hukumnya adalah makruh untuk bercumbuan ataupun bermesraan bagi sesiapa yang kuat syahwatnya.

“Namun begitu, bagi sesiapa yang mampu mengawal nafsunya, maka ia tidaklah makruh,” katanya.

Begitupun, Da’i Syafiqah menyarankan agar seelok-eloknya tinggalkanlah perbuatan itu.

“Bukan apa, ia untuk mengelakkan daripada keluar air mani ataupun perbuatan jimak yang boleh membatalkan puasa seseorang itu,” jelasnya.

Foto: Freepik & Unsplash

michal-matlon-LZ7enBoMTsU-unsplash
Gaya Hidup, Isu, Panduan,

Rumah tangga hancur kerana jiwa kacau, hanya agama ubatnya

KADANGKALA hati diserang rasa resah dan tidak tenang. Jiwa pula berkecamuk, fikiran pula seolah-olah terasa ‘lumpuh’ tanpa sebab yang pasti.

Ada sesuatu yang ‘mengusik’ jiwa menyebabkan kita berasa tidak keruan dan serba tidak kena.

Barangkali kita pernah menghadapi situasi sebegitu. Maklum sahajalah, kita hanyalah manusia biasa yang ada kekurangan di mana-mana.

Mesin jika dipaksa melakukan kerja tanpa henti pun boleh rosak, inikan pula kita insan biasa. Sudah tentulah kita akan mengalami keletihan dan memerlukan masa untuk berehat dan pulih semula. Begitulah analoginya.

Sebelum keadaan menjadi lebih parah hingga mengacau emosi, perhubungan dan rumahtangga, ada cara yang terbaik dalam mengubat jiwa yang kacau sebagaimana diajarkan oleh agama Islam.

Menurut Pensyarah di Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Abdul Latif Abdul Razak, terdapat dua ‘ubat’ utama untuk merawat jiwa yang kacau.

DR ABDUL LATIF

Pertama, katanya, jaga dan pelihara solat dengan sebaik-baiknya.

“Seburuk mana pun kita, jangan sesekali tinggalkan solat,” katanya.

Selain itu, beliau menambah, kita hendaklah berdamping dengan orang yang baik.

“Apabila kita tidak berbuat demikian, teman kita ialah mereka yang tidak baik terutama apabila adanya syaitan. Ingatlah, syaitan sangat murah tenaganya.

“Walaupun kita tidak datang memanggil, makhluk ALLAH yang dilaknat itu akan tetap datang menawarkan bantuannya kepada kita terutama mereka yang mengalami kekacauan jiwa.

Jiwa kacau

JANGAN biarkan diri dikuasai emosi dan perasaan amarah, syaitan akan mudah memperdaya kita.

“Lebih dahsyat lagi, syaitan tadi juga akan memberikan cadangan kepada kita untuk bertindak,” katanya.

Dr Abdul Latif mengingatkan bahawa Imam al-Ghazali sudah berpesan sejak beratus tahun dahulu bahawa syaitan ada satu ‘wayar’ yang boleh berhubung dengan kita.

“Tatkala kita marah, cepat sahaja mereka datang membisikkan cadangan tersebut,” katanya.

Foto: Freepik & Unsplash

rachid-oucharia-2qSb8IXIWr0-unsplash
Isu,

Anak amanah ALLAH, usah sakiti apatah lagi mendera mereka…

LUMRAH seorang manusia sememangnya dikurniakan dengan pelbagai jenis emosi. Ia akan menyumbang kepada kelangsungan hidup dan cara kita mencorakkan kehidupan masing-masing.

Cuma, kita perlu bijak mengawal emosi agar diri kita tidak mudah didominasi oleh perasaan itu. Masakan tidak, seandainya emosi menguasai diri, sudah tentulah banyak perkara luar kawalan yang mungkin kita lakukan.

Disebabkan itulah ada segelintir orang yang gagal mengawal emosi hingga hilang pertimbangan diri.

Lebih memilukan, jika perasaan amarah mula bersemayam, akhirnya membuatkan kita bertindak di luar batas. Apatah lagi jika ia dilampiaskan kepada darah daging sendiri.

Demikianlah situasi yang berlaku apabila membabitkan kes penderaan kanak-kanak. Paling menyedihkan, apabila pelakunya merupakan individu yang sepatutnya menjadi pelindung kepada anak itu. Mereka ialah ibu bapanya sendiri.

Dalam hal itu, sebagai orang Islam yang sudah solat cukup lima waktu sehari semalam dan membaca al-Quran, adakalanya hilang pertimbangan diri hingga tergamak menyakiti anak.

Bagaimanakah cara untuk melawan perasaan itu agar kita tidak sampai menyakiti apatah lagi mendera anak-anak yang tidak berdosa? Apakah yang patut dilakukan untuk menangani isu ibu bapa mendera anak ini?

Sebelum merungkaikan jawapannya, Pensyarah Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Sharifah Hayati Syed Ismail menjelaskan tentang maksud orang Islam.

DR SHARIFAH HAYATI

Ujar beliau, Muslim ialah orang yang mensejahterakan orang lain dengan lidahnya dan tangannya.

“Sementelah, penderaan pula ada pelbagai jenis iaitu penderaan tangan (fizikal), penderaan dengan kata-kata termasuk esmosi, seksual, pengabaian dan lain-lain.

Baca juga Begitu besarnya pahala mendidik anak-anak. Ibu bapa jangan mudah mengeluh, jaga amanah ALLAH dengan sebaiknya

“Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh menyalahkan anak meskipun mereka nakal atau lasak. Ingatlah bahawa anak-anak adalah amanah daripada ALLAH SWT,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan kita agar berpegang teguh kepada firman ALLAH SWT yang disebut menerusi kalam-NYA: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala)…” (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Sakiti dan mendera anak

INGATLAH bahawa anak merupakan amanah ALLAH yang perlu dijaga dan diberi pendidikan dengan sebaik-baiknya.

“Hayati juga ayat 74, Surah al-Furqan dengan sebaiknya. ALLAH SWT memberikan gelaran orang Islam yang beriman itu ialah orang yang menjaga zuriat mereka.

“Ingatlah, apa sahaja didikan, ajaran dan percakapan kita nanti akhirnya aman menjadi warisan dan legasi kita kepada anak-anak. Mereka juga akan menggunakan pendekatan yang sama dalam mendidik anak-anak yang juga cucu dan bakal cicit kita,” katanya.

Beliau menambah, dalam al-Quran juga, perkataan walid (ibu bapa) disebut 100 kali lebih banyak berbanding ibnun (anak) yang berjumlah 35 kali.

“Justeru, memang menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak dengan sebaik-baiknya,” tegas beliau.

Foto: Freepik & Unsplash

adli-wahid-tfD5vnMMewA-unsplash
Berita, Berita Semasa,

4 qul, perisai ampuh hindari hasutan syaitan, iblis

Oleh FOUZIAH AMIR

HOBI sebenarnya bermula daripada minat. Ia boleh bertukar menjadi bentuk keusahawanan jika diusahakan dengan sebaik-baiknya. Namun, bagaimana kita melihat segala kehidupan itu menjadi ibadah?

Demikian inti pati yang ‘dibongkarkan’ oleh Tadabbur Coach, Mohd Shukri Hushin yang menjadi tenaga pengajar pada program Dapur Barokah: Dari Hobi Menjadi Usahawan anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Petaling dan Akademi Sinergi Ikhlas baru-baru ini.

Ketika program yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live AADK, QuranHour dan Akademi Sinergi Ikhlas, Mohd Shukri dan isterinya, Hajilinda Silikun turut menunjukkan cara mudah memasak yong tau foo kepada para peserta dari Kampung Lindungan dan Desa Mentari, Petaling Jaya, Selangor.

4 qul

MOHD SHUKRI dan isterinya, Hajilinda turut berkesempatan memasak pada program Projek Dapur Barokah: Dari Hobi Menjadi Usahawan baru-baru ini.

Ujar Mohd Shukri, umat Islam sebenarnya berada zon selesa dalam kehidupan sehingga lupa dan malas. Untuk menjalani kehidupan norma baharu, kita perlu banyak berinteraksi dengan al-Quran melalui membaca, memahami dan beramal.

“Ramai mengatakan yakin dengan ALLAH dan al-Quran sebagai petunjuk kepada hamba yang bertakwa. Begitupun, dalam konteks kehidupan sehari, berapa peratuskah keyakinan terhadap al-Quran?” soalnya.

Baca juga 5 nikmat dan janji ALLAH SWT kepada pencinta al-Quran

Pada masa sama, beliau menyarankan umat Islam agar mengamalkan bacaan empat surah iaitu Surah an-Nas, Surah al-Falaq, Surah al-Ikhlas termasuk Surah al-Kafirun untuk membangunkan keluarga sakinah.

“Ingat, dalam kehidupan kita ada musuh yang selalu menghasut hati kita iaitu jin, iblis dan syaitan sebagai musuh nyata. Hakikatnya, kita terlepas pandang musuh yang selalu menghuru-harakan kehidupan kita iaitu diri kita sendiri. Jadi, jangan tuding pada orang lain.

“Sebenarnya, suara kecil dalam diri kitalah yang menghasut emosi yang tidak stabil dan tidak istiqamah dalam ibadah. Nafsu diri lebih sukar dikawal. Oleh itu, kita perlu kebal jiwa agar tidak ditembusi hasutan,” ujarnya.

Terdahulu, seramai 20 peserta hadir pada majlis taklimat dan penyerahan bahan memasak di Masjid al-Islamiah, Kampung Lindungan.

Selain itu, antara pengisian acara adalah sesi #QuranHour iaitu Tadabbur Surah Al-Mulk yang dikendalikan oleh Ketua Unit Latihan dan Pembangunan Akademi Sinergi Ikhlas, Muhamad Harfiz Hamzah.

4 qul

DARI kiri, Muhammad Harfiz, Mazlinna dan Hakimin Hafiz ketika penyampaian al-Quran wakaf di Masjid Al-Islamiah Kg Lindungan, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Ketua Pegawai AADK Daerah Petaling, Mazlinna Kassim pula menyempurnakan majlis penyerahan al-Quran wakaf kepada nazir, Masjid Al-Islamiah Kampung Lindungan, Hakimin Hafiz Husain dan Nazir Masjid Nurul Ehsan Taman Medan, Muhammad Halim Zamri.

Kedua-dua masjid turut mengaktifkan Rumah Ngaji dengan kerjasama WUIF bagi dimanfaatkan oleh kariah untuk belajar mengaji secara percuma.

Foto: Fouziah Amir, Freepik & Unsplash

__-drz-__-DpaZr8hPSQs-unsplash
Dari Fail Mahkamah Syariah, Isu,

Isteri digantung tidak bertali, peguam nasihatkan mangsa tidak berdiam diri

HIDUPNYA seperti tidak bermakna lagi. Begitulah yang dirasai oleh Aleeza Borhan (bukan nama sebenar). Apa tidaknya, dirinya berstatus isteri orang tetapi seolah-olah tiada suami kerana digantung tak bertali sejak beberapa tahun lalu.

Tidak tahu mana silapnya, sudah lebih dua tahun bayang suami itu langsung tidak kelihatan. Selama tempoh itu, Aleeza, 29, berjuang melayari kehidupannya. Sakit pening dan segala penat jerihnya semuanya ditanggung sendirian.

Beliau juga hilang tempat bergantung dan mengadu. Sudahlah adik beradiknya tinggal berjauhan. Walaupun mereka kerap berhubung, namun semua itu tidak mampu menutup kesunyian yang bertamu di dalam hatinya.

Bagi wanita tersebut, suami tersayang, Rizal Halim, 31, masih dalam ingatan Sejujurnya, masih ada cinta dalam hatinya buat Rizal.

Katanya, usaha mencari lelaki itu tidak pernah putus. Beliau sudah puas menelefon Rizal, namun tidak pernah berjawab. Malah, dirinya turut menebalkan muka pergi ke kampung ibu bapa mertuanya semata-mata mahu meminta pertolongan mereka memujuk suaminya kembali ke pangkuannya. Namun, semua itu sia-sia sahaja.

Dipenjara 6 bulan

Seperti sudah ditakdirkan, pasangan berkenaan masih belum dikurniakan zuriat lagi. Masakan tidak, baru tiga bulan berkahwin, Aleeza terpaksa berpisah dengan suaminya gara-gara Rizal telah dihukum penjara enam bulan akibat kesalahan lalu lintas.

Begitupun, selepas tempoh hukuman itu tamat, suaminya menghilang. Lelaki itu langsung tidak pernah pulang menjenguknya. Apatah lagi memberikan nafkah zahir dan batin selama berbulan-bulan lamanya.

Digantung tidak bertali

Keluarga lelaki itu juga tidak menghulurkan nafkah kepada Aleeza sepanjang tempoh itu.

Sungguh, Aleeza begitu tertekan. Terasa dirinya tidak ubah seperti pungguk rindukan bulan. Penantiannya selama ini tidak mendatangkan hasil.

Akhirnya, wanita itu akur dengan nasihat rakan sekerjanya dan adik beradiknya supaya menuntut perceraian daripada suaminya.

Beliau kemudiannya membuat permohonan tuntutan taklik ke atas Rizal yang tidak memberinya nafkah wajib kepadanya melebihi tempoh empat bulan berturut-turut.

Mahkamah berpuas hati dengan bukti yang dikemukakan oleh Aleeza iaitu sijil nikah dan lafaz cerai taklik yang tercatat sighah pada surat perakuan nikah mereka, selain keterangan dua saksi yang dikemukakan.

Pada masa sama, mahkamah juga mendapati, wanita malang itu ialah seorang isteri yang taat dan tidak pernah disabitkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah syariah.

Justeru, hakim memutuskan bahawa Rizal telah melanggar lafaz taklik yang dilafazkan ketika pernikahan mereka. Dengan itu, hakim mensabitkan, jatuh talak satu kali pertama ke atas Aleeza.

Terasa bebanan berat yang selama ini dipikul pada bahu dan kepala Aleeza hilang begitu sahaja. Sesungguhnya, wanita itu terasa lapang dengan keputusan mahkamah.

Baca juga Isteri Berstatus Suri Rumah Layak Tuntut Hak Harta Sepencarian, Namun Masih Ramai Yang Tak Tahu

Jangan berdiam diri, rujuk mahkamah tangani masalah

KISAH Aleeza Borhan dan Rizal Halim (kedua-duanya bukan nama sebenar) bukanlah asing dalam kehidupan masyarakat kita.

Peguam syarie, Abdullah Anuar Sahri berkata, tindakan Aleeza memanjangkan kes rumah tangganya ke mahkamah syariah adalah bijak bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

ABDULLAH ANUAR

Menurut Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, jelas beliau, taklik ertinya lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut hukum syarak dan peruntukan enakmen berkenaan.

“Seterusnya, Seksyen 50 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan bahawa seseorang perempuan yang bersuami boleh jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan taklik yang dibuat selepas berkahwin, memohon kepada mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku.

“Melalui peruntukan undang-undang bahawa perlu dibuktikan wujudnya syarat-syarat sepertimana yang terkandung di dalam surat perakuan taklik dan syarat-syarat tersebut telah dilanggar oleh pihak suami,“ katanya.

Ujar Abdullah Anuar, antara kriteria yang perlu dipenuhi oleh isteri untuk berjaya dalam tuntutan takliknya adalah suami meninggalkan isteri selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, suami atau wakilnya tidak memberikan nafkah selama tempoh tersebut padahal isteri masih taatkan suami atau suami melakukan mudarat kepada tubuh badan isteri.

“Unsur-unsur itu hanya terpakai khusus bagi pasangan yang berkahwin di Selangor sahaja. Bagi pasangan di negeri lain, terdapat sedikit perbezaan pada kriteria tuntutan taklik mengikut negeri masing-masing,“ ujarnya.

Kepada satu soalan, beliau berkata: “Dalam keadaan suami terhalang untuk memberikan nafkah terhadap isterinya seperti kes Aleeza yang suaminya berada di dalam penjara, kewajipan untuk memberi nafkah masih tetap tertanggung di atas bahu suami.

“Suami boleh meninggalkan hartanya kepada isteri untuk dibelanjakan semasa sepanjang dalam tempoh hukuman penjara. Contohnya sekiranya suami mempunyai wang simpanan di bank, maka suami boleh meninggalkan kad ATM bank kepada isteri bagi membolehkan isteri mengeluarkan wang untuk dibelanjakan.

“Sekiranya suami tiada wang simpanan, maka isteri boleh menjual atau mencagarkan apa-apa harta suami untuk dijadikan sandaran nafkah dengan wang yang diperoleh hasil jualan atau catatan harta suami tersebut.

“Jika suami tiada wang simpanan dan harta, maka suami boleh meminta bantuan daripada kalangan ahli keluarganya untuk menyampaikan, memberikan wang atau belanja nafkah terhadap isterinya. Apabila suami tadi telah keluar dari penjara, dia wajib menggantikan semula wang nafkah yang telah dikeluarkan oleh ahli keluarganya tadi.“

Digantung tidak bertali

PERKAHWINAN suatu ikatan suci yang perlu dipelihara kerukunannya dan usah sesekali mencemarinya dengan ikatan gantung tidak bertali kerana ia menganiaya pasangan.

Kepada mereka yang mengalami nasib digantung tidak bertali, pengamal undang-undang itu menasihatkan agar jangan membiarkan diri hidup dalam keadaan itu kerana ia seolah-olah menyekat kebebasan sendiri.

“Jangan hanya berdiam diri dan memendam rasa dan terus teraniaya. Sebenarnya ada jalan dan cara yang boleh membantu untuk menyelesaikan masalah tersebut,“ nasihatnya.

Foto: Unsplash

chris-benson-b5YQQbMSWhQ-unsplash
Isu,

[VIDEO] Harus hukumnya beri makan kepada anjing lapar. Jangan kecam mereka yang berbuat ihsan pada haiwan

BERBUAT kebaikan amat dituntut dalam agama Islam. Tidak kiralah waima sesama adik beradik, jiran, rakan dan saudara seagama yang lain.

Namun begitu, bukan kita sahaja yang menumpang teduh di atas muka bumi ciptaan ALLAH SWT. Bahkan, kita berkongsi bumi yang sama dengan makhluk yang lain seperti haiwan dan tumbuhan.

Justeru, wajar untuk kita berbuat ihsan sesama hidupan yang juga ciptaan ALLAH SWT yang lain.

Bercerita bab berbuat ihsan, SinarPlus menerima persoalan daripada netizen tentang perbuatan beliau memberi anjing jirannya makan. Ini kerana pada masa itu, jirannya ada hal kecemasan dan haiwan itu pula dilihat dalam keadaan lapar.

Malangnya, niatnya berbuat ihsan terhadap haiwan itu mendapat teguran daripada jiran Islam yang lain.

Ketika kemusykilan itu dilontarkan kepada pendakwah Nor Zahirah Mohd Johari atau dikenali sebagai Da’i Zahirah, beliau memberikan pencerahan tentang hukum memberi makanan dan minuman kepada anjing.

DA’I ZAHIRAH

Ujar beliau, sebenarnya, harus hukumnya jika kita berbuat demikian.

“Pun begitu, haram bagi kita untuk menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan di rumah.

“Dalam sebuah hadis masyhur riwayat al-Bukhari, ada dinyatakan cerita berkaitan seorang wanita penzina mendapat keampunan daripada ALLAH SWT selepas memberi minum anjing yang sedang kehausan.

Baca juga Ini maksud sebenar hadis tentang wanita pelacur beri anjing dahaga minum…

“Asbab daripada perbuatan wanita tadi, maka ALLAH mengampunkan dosa wanita tersebut,” ujar beliau.

Sebagai umat Islam, Da’i Zahirah menambah, sewajarnya kita perlu tanamkan sifat ihsan dalam diri tidak kiralah sesama makhluk waima haiwan dan tumbuhan.

“Ini kerana kita berpijak di atas bumi ALLAH yang sama.

Beri anjing makan

“Justeru, suka saya ingatkan, sebelum menegur seseorang, pastikan teguran yang dibuat itu adalah betul. Bukan apa, takut-takut asbab daripada teguran kita tadi, kita menjadi penghalang kepada orang lain untuk melakukan kebaikan,” nasihatnya.

Justeru, berhati-hatilah apabila membuat teguran. Pastikan apa yang kita tegur itu adalah perkara yang betul.

Foto: Freepik & Unsplash

kazzle-john-delbo-6WoXynQkRto-unsplash
Berita Semasa,

[VIDEO] Ini perkara makruf dalam perhubungan suami isteri yang perlu kita tahu

MELAYARI perkahwinan yang bahagia memang menjadi dambaan bagi setiap insan. Itulah sebenarnya tujuan utama kita menghalalkan hubungan sebagai suami isteri yang sah.

Namun, menjadi resam kepada mereka yang sudah berumah tangga, pasti ada pasang surutnya. Masakan tidak, ketika hidup bersama, barulah kita mengenali pasangan sepenuhnya.

Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri. Begitulah ungkapan yang sering kali kita dengar daripada orang di sekeliling.

Apabila hidup sebumbung, bergaduh manja dan berselisih pendapat memang menjadi perkara lazim. Apa yang membezakannya hanyalah cara setiap pasangan menangani situasi berkenaan.

Bagaimanakah caranya untuk kita hendak pastikan kerukunan hubungan suami isteri? Apakah perkara makruf dalam perkahwinan itu?

Menjawab persoalan itu, Penyandang Kursi, Institusi Raja-Raja, Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman mengajak umat untuk menyelami pernyataan yang pernah dinukilkan oleh Imam al-Qurtubi tentang perihal hubungan suami isteri.

DR MOHD SUKKI

Jelas Imam al-Qurtubi yang menukilkan pandangan daripada Ibnu Abbas RA bahawa: “Sungguh, aku suka berhias untuk isteriku sebagaimana aku suka isteriku berhias untukku.”

Berdasarkan ungkapan itu, jelaslah ada unsur memberi dan menerima dalam perhubungan suami isteri.

Baca juga Jangan pamerkan kemesraan suami isteri berlebih-lebihan di media sosial. Ini sebab-sebabnya…

“Ada orang mahukan layanan terbaik daripada pasangan, namun dirinya pula tidak berbuat demikian kepada pasangannya,” ujarnya.

Beliau lantas mengemukakan firman ALLAH SWT dalam kitab suci al-Quran: “Dan antara tandat-anda kekuasaan-NYA ialah DIA menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-NYA antaramu rasa kasih dan sayang…“ (Surah ar-Rum, ayat 21)

Melihat ayat itu, katanya, jelas bahawa manusia dijadikan berpasang-pasangan supaya kita merasa tenang, kasih sayang, rahmat-merahmati dan belas kasihan.

“Di sinilah datangnya sikap tolong-menolong. Jika susah di luar, sama-sama juga susah di dalam rumah. Ia antara perkara makruf.

“Dalam konteks suami atau lelaki, makruf itu lebih kepada tanggungjawab memberi nafkah yang diwajibkan ke atasnya. Sediakanlah nafkah yang wajib seperti pakaian, tempat tinggal dan makanan isteri dengan sebaiknya.

“Jika isteri diberi layanan sebegitu, sudah pasti wanita itu rasa dihargai. Hasilnya mereka akan memberikan layanan yang paling istimewa kepada suami,” ujar beliau.

Hubungan suami isteri

PELIHARALAH kerukunan rumah tangga dengan melakukan segala perintah ALLAH kepada kita dan melunaskan tanggungjawab tersebut dengan sebaiknya.

Justeru, jalankan tanggungjawab sebagai suami isteri dengan sebaiknya. Jangan lupa untuk menyantuni pasangan masing-masing demi kerukunan rumah tangga yang dibina.

Semoga ALLAH SWT merahmati dan mengurniakan keluarga yang sakinah dan mawaddah kepada kita.

Foto: Freepik & Unsplash

pexels-rodnae-productions-7249346
Berita Semasa, Gaya Hidup,

[VIDEO] Bersabarlah bila ditimpa ujian. Begitu besar rupanya hadiah orang yang bersabar…

TATKALA dihimpit dengan ujian, jiwa mudah gelisah dan hati menjadi resah. Runsing memikirkan keadaan diri.

Bukan itu sahaja, ada segelintir orang pula mudah melenting dengan ujian yang diberikan oleh ALLAH SWT. Masakan tidak, ketika itu memang emosi kita agak rapuh.

Apatah lagi jika ia melibatkan ujian yang besar dalam hidup. Benar, kita hanyalah manusia biasa. Perasaan sedih itu memang menjadi lumrah bagi setiap insan.

Namun begitu, usahlah kita terus-terusan bersedih apalagi seolah-olah bersikap menyalahkan takdir.

Islam sebenarnya sudah menyediakan garis panduan dalam kita menghadapi ujian.

Ujar Pengurus Syariah Unit Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Husni Abd Rahman, tiada masalah untuk kita melihat semula ujian yang dialami.

AHMAD HUSNI

Namun, pada masa sama, beliau mengajak kita berfikir ke hadapan kerana itulah sebenarnya yang harus kita perbaiki.

Firman ALLAH SWT: “Demi sesungguhnya! KAMI akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

“Jika dilihat, semua ujian itu ada disebut dalam al-Quran termasuklah perihal perbendaharaan, kekayaan dan perniagaan.

“Semua perkara itu berkait rapat dengan kehidupan kita dan dengan perkara itu jugalah setiap manusia akan diuji,” katanya.

Baca juga Covid-19: Perbanyakkanlah sedekah, wakaf, hibah, infak, zakat dan hadiah bantu golongan terjejas

Andai kita mendapat ujian, Ahmad Husni menasihatkan agar umat Islam tidak memaki hamun waima melenting dengan sewenang-wenangnya.

“Setelah itu, kita tiba-tiba mengaku ‘mujur saya sabar’. Ketahuilah, itu bukan sabar dalam erti kata sebenar.

“Sebenarnya, sifat sabar itu perlu ada saat pertama kali kita ditimpa ujian berkenaan.

Ditimpa ujian

BERSABARLAH andai diri ditimpa dengan ujian.

“Ketika itu, kita berfikir dan kembali kepada ALLAH SWT kerana segala perkara yang direncanakan itu adalah hak ALLAH,” ujarnya.

Justeru, beliau menitipkan pesan agar kita hiasilah diri dengan sifat sabar kerana ganjarannya yang bakal diraih bukan calang-calang.

“Mereka yang bersabar itu bukan sahaja akan mendapat pujian ALLAH, bahkan akan memperoleh rahmat-NYA.

“Satu lagi bonus, golongan itu bakal diberikan hidayah untuk keluar daripada masalah tersebut,” katanya.

Subhanallah, begitu besarnya imbalan kepada mereka yang sabar dan reda atas ujian yang diberikan. Mudah-mudahan kita dikurniakan sifat sabar yang tinggi dalam setiap perkara.

Foto: Freepik & Pexels

mhrezaa-toJMhRtAtSE-unsplash
Gaya Hidup, Panduan,

Lazimkan diri berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW terutama pada hari Jumaat. Ini sebabnya

MENJADI satu rahmat buat diri kita apabila dilahirkan sebagai umat Islam. Masakan tidak, kita sudah ditunjukkan jalan yang lurus sejak dari dalam kandungan lagi.

Sesungguhnya, kita merupakan insan yang cukup bertuah dan beruntung kerana menjadi umat kepada nabi serta rasul terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW. Banyak keistimewaan yang dikurniakan kepada umat baginda berbanding umat-umat zaman nabi sebelumnya.

Meskipun tidak berkesempatan bertemu secara empat mata dengan Rasulullah SAW, namun ia bukanlah alasan untuk kita tidak menyelami keperibadian dan sirah baginda.

Itu adalah antara bukti kecintaan kita kepada insan yang bergelar kekasih ALLAH SWT. Antara pendekatan paling mudah dan sering kali dilakukan oleh kebanyakan dalam kalangan kita adalah dengan berselawat ke atas nabi.

Selawat itu sebagai puji-pujian kepada Nabi Muhammad SAW yang dizahirkan bagi menunjukkan manifestasi kecintaan kita terhadap baginda. Sememangnya wajar untuk kita berbuat demikian kerana dilahirkan sebagai umatnya.

Kenapa kita digalakkan berselawat? Bilakah waktu yang sesuai untuk kita berbuat demikian?

Baca juga Apabila nama Rasulullah SAW disebut, jangan lokek untuk selawat dan salam ke atas baginda

ALLAH, para malaikat berselawat

Sebelum mengupas lanjut tentang topik berkenaan, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Siti Fatahiyah Mahamood mengajak umat menelusuri keperibadian Nabi Muhammad SAW.

SITI FATAHIYAH

Jelas beliau, Rasulullah SAW ialah manusia paling agung yang mempunyai akhlak paling terpuji.

Ia ditonjolkan ketika baginda bertindak sebagai ketua negara, ketua agama, ketua dalam peperangan, ketua keluarga dan pada saat nabi menjadi hamba ALLAH.

“Sesungguhnya, ketinggian dan kemuliaan akhlak Rasulullah SAW menjadikan baginda figura dambaan setiap mukmin.

“Ketaatan dan kepatuhan baginda kepada ALLAH SWT dan mengutamakan pengabdian kepada-NYA dalam setiap tindakan dan perwatakannya menjadikan Nabi Muhammad SAW begitu dikasihi oleh ALLAH SWT,“ katanya ketika ditemu bual Sinar Islam secara maya baru-baru ini.

Selain mentaati ALLAH SWT dan rasul-NYA, ujar Siti Fatahiyah, sudah pasti sebagai hamba-NYA, kita perlu menyuntik rasa cinta yang mendalam terhadap Sang Pencipta dan kekasih-NYA itu.

Disebabkan itulah ibadah berzikir dan berselawat sangat penting untuk kita amalkan, ungkapnya.

“Di samping itu, selawat ke atas Nabi Muhammad SAW merupakan salah satu ibadah yang telah disyariatkan ke atas orang-orang yang beriman.

“Bahkan, ALLAH SWT dan para malaikat juga berselawat ke atas baginda,“ katanya.

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-NYA berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.“ (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Sebagai orang yang beriman, beliau menambah, kita hendaklah sentiasa berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, di samping berzikir kepada ALLAH SWT bagi mendidik hati dan jiwa kita.

 

 

Selawat

BERSELAWAT mendidik hati dan jiwa kita.

Ganjaran besar menanti

Ketahuilah, ganjaran bagi mereka yang berselawat ke atas nabi ada dicatatkan dalam kitab suci umat Islam dan beberapa hadis masyhur.

Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya barang siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka ALLAH SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.“ (Riwayat Muslim)

Selain itu, Siti Fatahiyah menjelaskan, dengan lafaz pujian yang mulia kepada junjungan besar nabi kita itu diharapkan kita peroleh syafaat daripada baginda di akhirat kelak.

Firman ALLAH SWT: “Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.“ (Surah al-Mudatthir, ayat 48)

Menyambung hujahnya, Siti Fatahiyah menjelaskan, berselawat ke atas nabi sebenarnya dapat mendidik hati, jiwa dan akal kita untuk menjadi hamba ALLAH yang sentiasa bersyukur atas rahmat-NYA.

“Pada masa sama, ia melatih kita sentiasa reda atas segala ujian yang ditakdirkan.

“Dengan cara tersebut, hati, jiwa dan akal kita akan menjadi cekal dalam menjalani kehidupan di dunia ini yang penuh dugaan dan cabaran.

“Andai kita lalai daripada melakukan ibadah dan berzikir serta berselawat, dikhuatiri ia akan membuatkan hati kita menjadi keras, mudah rapuh serta lalai ketika mendapat ganjaran di dunia atau ketika diuji,“ jelasnya.

Justeru, beliau mengajak umat Islam agar tidak meninggalkan selawat. Luangkanlah sedikit waktu untuk membasahkan lidah dengan lafaz mulia dan puji-pujian kepada ALLAH SWT serta Nabi Muhammad SAW.

“Sesungguhnya, amat besar ganjaran kepada mereka yang berzikir dan juga berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Bak kata perumpamaan, sesiapa yang mencintai sesuatu, maka ia akan memperbanyakkan menyebutnya.

“Pendekatan itu juga menjadi tanda kecintaan kita kepada ALLAH SWT dan junjungan Nabi Muhammad SAW.

“Semoga kita bakal mendapat ganjaran-ganjaran tersebut agar kita beroleh kejayaan, keberkatan dan keampunan dalam kehidupan di dunia ini dan di akhirat nanti,“ ujarnya.

Apakah sebenarnya hukum berselawat? Ketika diajukan persoalan itu kepada pendakwah Bakhtiar Fitri Abdul Hamid, beliau menjelaskan, majoriti ulama berpendapat bahawa selawat ke atas Nabi Muhammad SAW merupakan satu ibadah.

BAKHTIAR FITRI

“Apabila disebut ibadah itu, maksudnya kita akan memperoleh pahala jika melakukannya. Ia sama seperti hukum berzikir, bertahmid dan juga tasbih.

“Begitupun, kita perlu ingat bahawa hukum selawat ke atas nabi adalah wajib sekurang-kurangnya sekali seumur hidup dan sunat serta digalakkan pada bila-bila masa.

“Hukum wajib itu disebabkan ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi bahawa orang yang bakhil ialah seorang yang tidak berselawat ke atas nabi,“ katanya.

Mengulas tentang waktu sesuai berselawat, pendakwah itu menjelaskan, ia sangat digalakkan pada bila-bila waktu.

Namun begitu, dalam sebuah hadis riwayat Abu Umamah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Perbanyakkanlah selawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya, selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barang siapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku di dalam syurga.“ (Riwayat al-Baihaqi)

“Hadis itu jelas memberitahu supaya kita memperbanyakkan selawat pada malam Jumaat dan hari Jumaat,“ jelasnya.

Kepada satu soalan, Bakhtiar Fitri menjawab: “Cara selawat yang tepat adalah dengan lafaz yang penuh. Sebaik-baiknya, berselawatlah dengan lafaz Allahumma salli ‘ala sayyidina Muhammad.

“Ada ulama menyebut, kita tambah dengan perkataan sayyidina itu sebagai menghormati baginda dan beradab dengan nabi. Demikianlah lafaz yang tepat bila kita hendak berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.“

Memperoleh syafaat nabi

Meneruskan perkongsian ilmunya, Bakhtiar Fitri kemudian menjelaskan kelebihan apabila kita kerap kali berselawat.

Selawat

MEREKA yang sering melazimkan diri dengan berselawat berpeluang untuk memperoleh syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat kelak.

Ujar beliau, mereka yang sering melazimkan diri berbuat demikian, ALLAH SWT akan menurunkan rahmat ke atasnya.

“Rahmat itu adalah kasih sayang ALLAH, bantuan-NYA dan cinta ALLAH kepada kita.

“Sebenarnya, maksud asal kalimah selawat itu adalah limpahan kasih sayang. Ini bermakna, siapa yang paling banyak selawat ke atas nabi, maka dirinya akan dapat kasih sayang yang melimpah-ruah daripada ALLAH.

“Itulah namanya keberkatan yang diterima asbab berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW,“ katanya.

Bukan itu sahaja, ujar Bakhtiar Fitri, mereka yang banyak berselawat ke atas nabi akan memperoleh syafaat baginda SAW pada hari akhirat kelak.

“Begitupun, untuk mendapatkan syafaat daripada Nabi Muhammad SAW, usah bergantung kepada selawat semata-mata.

“Ya, memang kita kena banyak berselawat. Namun, ingatlah bahawa ada cara lain yang membolehkan kita memperoleh syafaat baginda.

“Pertama, kita perlu betul-betul yakin bahawa Nabi Muhammad SAW ialah utusan ALLAH yang memberi rahmat kepada sekalian alam. Bukan setakat yakin saja, tetapi kita juga kena ikut apa yang nabi buat.

Selawat

SOLAT berjemaah adalah antara amalan yang dianjurkan oleh baginda SAW untuk meraih ganjaran pahala berlipat kali ganda.

“Kedua, umat Islam perlu sedar bahawa ALLAH SWT akan memberi keizinan kepada nabi untuk memberikan syafaat. Mudah kata, Nabi Muhammad SAW hanyalah perantaraan untuk kita mendapatkan bantuan daripada ALLAH SWT.

“Ingatlah, setiap umat Islam yang hendak mendapatkan syafaat, jangan sama sekali mensyirikkan ALLAH SWT. Seperkara, banyakkan amalan yang nabi suka. Banyakkanlah berbuat kebaikan kerana semua itu nabi suka dan tinggalkanlah perkara kejahatan. Mudah-mudahan amal kita tadi memudahkan kita masuk ke dalam syurga,“ ujarnya.

Baca juga Ayuh tanamkan azam banyak berselawat. Ini sebabnya…

‘Syukur jadi umat Nabi Muhammad SAW, banyak keistimewaan dikurniakan’

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita sepatutnya bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan.

Ketahuilah, ALLAH SWT banyak memberi keistimewaan kepada umat nabi terakhir dalam Islam, kata pendakwah Ahmad Lutfi Abdul Wahab Al-Linggi.

AHMAD LUTFI

Jelas beliau, antara keistimewaan itu adalah kita menjadi umat yang terbaik dan umat yang pertama masuk ke syurga.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW: “Kita (Muhammad SAW dan umatnya) adalah umat yang terakhir dan yang pertama pada hari kiamat, kita ialah orang yang pertama masuk syurga.“ (Riwayat Muslim)

“Bukan itu sahaja, ALLAH SWT juga akan memaafkan umat Nabi Muhammad SAW saat kita terlupa, memberi pahala dua kali ganda, selain berpeluang menerima syafaat daripada baginda SAW.

“Malah, dalam sebuah hadis turut dinyatakan tentang kelebihan umat Nabi Muhammad yang dapat memberikan syafaat kepada orang lain.

“Mereka yang dimasukkan ke dalam syurga pula dihadirkan pada hari kiamat dengan wajah yang bersinar kerana kesan wuduk.

“Subhanallah, begitu banyak sekali kelebihan yang ada pada kita sebagai umat baginda SAW,“ katanya.

Walaupun umat baginda dikatakan sebagai umat terbaik, namun Ahmad Lutfi mengingatkan bahawa kita perlu memenuhi syarat tertentu sebagaimana dijelaskan dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 110.

“Selain beriman kepada ALLAH, kita perlu memiliki kewajipan amar makruf nahi mungkar, menyuruh ke arah kebaikan dan melarang kemungkaran.

“Andai umat terdahulu beriman dan melakukan amal makruf nahi mungkar, nescaya mereka pun lebih baik daripada umat Rasulullah SAW.

“Ertinya, jika kita tidak menepati ciri-ciri tersebut, gelaran umat terbaik boleh saja terlepas daripada diri kita. Bahkan, bukan mustahil bila kita menjadi umat yang sebaliknya,“ katanya.

Begitupun, ujar beliau, tidak perlulah kita berkecil hati. Sebaliknya, berusahalah mempertahankan keimanan, selain melakukan segala perintah ALLAH SWT dan meninggalkan larangan-NYA.

Di samping itu, katanya, Rasulullah SAW juga telah mengkhabarkan kepada kita sejumlah keistimewaan yang hanya diberikan kepada umatnya.

“Berbeza dengan umat terdahulu yang mana mereka diperintahkan untuk berdoa dan dijamin pengabulannya hanya oleh nabi mereka,“ ujarnya.

ANEKDOT

SYAFAAT Nabi Muhammad SAW

Selawat– Terdapat dua jenis syafaat Nabi Muhammad SAW iaitu syafaat khusus (asy-Syafa‘atul uzma) dan syafaat umum.

Asy-Syafa‘tul uzma adalah permohonan baginda kepada ALLAH supaya disegerakan perbicaraan dan pengadilan setelah lama sengsara menunggu di padang mahsyar.

– Lantas, kita pun bertemu dengan Nabi Muhammad SAW dan baginda memohon kepada ALLAH supaya umat Nabi Muhammad dipercepatkan pengadilan di padang mahsyar.

– Selain itu, ada beberapa syafaat nabi yang lain. Antaranya, baginda SAW berupaya meninggikan kedudukan seorang hamba ALLAH daripada satu syurga kepada syurga yang lebih atas dengan izin-NYA.

– Kedua, syafaat nabi kepada orang yang masih ada saki baki iman dalam dirinya. Dengan izin ALLAH SWT, baginda SAW boleh membantu seseorang keluar dari neraka untuk masuk ke dalam syurga.

– Ketiga, syafaat nabi untuk membantu orang ketika berada di al-Mizan (tempat timbang amal kebaikan dan kejahatan manusia). Baginda SAW akan membantu memberatkan timbangan amal kita.

– Selain itu, antara syafaat nabi termasuklah memasukkan orang tertentu ke dalam syurga tanpa hisab. Maknanya, ada kelompok manusia yang masuk syurga tanpa dihisab.

– Seterusnya adalah syafaat Nabi Muhammad SAW yang dikurniakan kepada umatnya untuk menyelamatkan orang yang telah melakukan dosa besar daripada seksaan api neraka.

Sumber: Pendakwah Bakhtiar Fitri Abdul Hamid

Foto: Freepik & Unsplash