Browsing Tag

berita-semasa

Berita Semasa,

Ucap alhamdulillah ketika bersin semasa baca Surah al-Fatihah dalam solat, ini status bacaannya

SETIAP kali bersin, bibir kita secara spontan akan menyebut lafaz alhamdulillah, manakala orang yang mendengarnya pula akan membalasnya dengan ucapan Yarhamukallah.

Demikianlah adab bersin yang diajar oleh agama Islam kepada umatnya. Masakan tidak, bersin merupakan nikmat semula jadi yang dikurniakan ALLAH kepada setiap hamba-NYA.

Maka tidak hairanlah apabila kita sedang solat, kadangkala tanpa sedar bibir begitu laju sahaja mengungkapkan ucapan alhamdulillah tatkala terbersin.

Namun begitu, seandainya kita terbersin ketika sedang membaca Surah al-Fatihah di dalam solat, apakah status bacaan al-Fatihah kita tadi? Perlulkah ia diulang semula?

Baca juga Gantikan ungkapan ‘excuse me’ kepada ‘Alhamdulillah’ ketika bersin, besar manfaatnya

Pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad menjelaskan, situasi itu pernah berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.

DA’I FUAD

Ketika itu, katanya, baginda dengan para sahabat sedang menunaikan solat berjemaah sebelum tiba-tiba ada seorang sahabat bersin.

“Apabila bersin, ada sahabat membalasnya dengan mengucapkan Alhamdulillahi hamdan kathira toyyiban mubarakan fih, mubarakan ‘alaih pada ketika itu.

“Sebaik selesai solat, baginda SAW bertanyakan kepada para sahabat tentang siapa yang bersin dan mengucapkan ucapan berkenaan?

“Lantas, seorang sahabat mengaku. Lalu, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya para malaikat tadi berbondong-bondong mendoakan kamu.”

“Hadis itu sebenarnya memberitahu bahawa kita boleh menyebut ucapan alhamdulillah ketika solat, ujarnya.

Namun begitu, beliau turut menukilkan pandangan al-Imam Ramli dalam dalam Fiqh as-Syafi’iyyah bahawa ucapan berkenaan tidak boleh disebut sewaktu membaca surah al-Fatihah kerana perbuatan itu membatalkan mu’alat (berturut-turut) bacaan al-Fatihah itu tadi.

Bersin ketika membaca Surah al-Fatihah

SEANDAINYA kita terucap alhamdulillah sebaik sahaja bersin ketika membaca Surah al-Fatihah dalam solat, sebaiknya ulanglah kembali bacaan surah berkenaan.

“Andai ucapan alhamdulillah diungkapkan ketika membaca surah al-Fatihah ketika solat, maka kita perlu mengulangi kembali bacaan surah berkenaan,” jelasnya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Freepik & 123rf

Berita Semasa,

Kaedah terbaik untuk meminta maaf kepada orang yang sudah meninggal

SETIAP orang pasti mempunyai kisah silam tersendiri. Adakalanya kenangan lama itu melibatkan kisah hitam hingga sukar dilupakan.

Namun, untuk menceritakan aib diri kepada orang, tidak sama sekali. Apa tidaknya, Islam melarang umatnya membuka aib tidak kiralah aib orang lain mahupun diri sendiri.

Meskipun demikian, kadangkala masa lalu menggamit kenangan pahit hingga terbawa-bawa ke hari ini. Apatah lagi jika kita pernah melakukan kesilapan dan dosa kepada individu lain.

Barangkali ada dalam kalangan kita pernah menyakiti hati kenalan sendiri hingga mengaibkannya. Tidak semena-mena tindakan kita membuatkannya hilang pekerjaan suatu ketika dulu.

Baca juga Jangan sesekali buka aib diri dan orang lain. ALLAH SWT tutup segala cela manusia, tak wajar kita dedahkannya

Malangnya, tatkala kemaafan mahu dipohon, insan tadi pula sudah meninggal dunia. Bagaimanakah caranya untuk kita meminta maaf kepada orang yang sudah tiada?

Pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad menjelaskan, dosa sesama manusia sangat sukar untuk diselesaikan berbanding apabila melibatkan dosa dengan ALLAH SWT. Masakan tidak, ALLAH SWT MAHA PEMAAF.

DA’I FUAD

“Andai kata, individu yang kita berhutang sama ada ‘hutang’ maaf atau duit sudah meninggal dunia, maka wajib bagi kita untuk mencari kerabat si mati sehabis ikhtiar.

“Antaranya menerusi platform media sosial, menjejaki rumahnya dan sebagainya sehingga kita dapat berjumpa dan meminta maaf dengan mereka. Mohonlah mereka supaya menerima diri kita dan melupakan segala-galanya jika mampu,” katanya.

Seperkara lagi, ujar Da’i Fuad, para ulama berpesan, tidak salah kita melakukan infak atau wakaf atas nama individu berkenaan walaupun sudah meninggal dunia.

Minta maaf kepada orang sudah meninggal

BERISTIGHFAR dan memohon taubat daripada ALLAH SWT untuk diri sendiri dan si mati antara satu kaedah yang diajar dalam Islam.

“Bukan itu sahaja, mohonlah taubat daripada ALLAH SWT untuk diri kita dan si mati yang pernah dianiaya. Ucapkanlah Astaghfirullah lil mukminina wal mukminat pada setiap hari.

“Seandainya individu yang pernah kita aniaya tadi dibuang kerja dan meninggal dunia, maka tidak salah untuk menolong ahli keluarganya. Ziarah balu, anak-anak dan ahli keluarganya serta membantu mereka mengikut kemampuan.

“Akhir sekali, serahkan segala usaha dan ikhtiar kita tadi kepada ALLAH SWT supaya DIA akan mengampunkan dosa berkat kita berbuat baik kepada kerabat si mati,” katanya.

Foto: Freepik & 123rf

kubur
Berita Semasa, Isu,

Tak boleh duduk ketika ziarah kubur, ini adab yang sering diabaikan

SETIAP kali menziarahi pusara kaum keluarga, bermacam-macam ragam orang kita dapat perhatikan.

Ada yang khusyuk membaca Surah Yasin, mengirimkan bacaan al-Fatihah dan tidak kurang juga yang menitipkan doa buat insan tersayang yang sudah tiada lagi di dunia.

Meskipun demikian, ada satu gelagat yang kadangkala sukar untuk kita sisihkan daripada pandangan mata. Ada orang yang sanggup duduk di atas kepok kubur ahli waris mahupun pusara bersebelahan.

Perbuatan itu agak sukar diterima apatah lagi jika binaan kubur tersebut terukir indah dengan bait-bait ayat suci al-Quran. Malah, ada sebahagian kepok kubur berkenaan menulis lafaz Innalillahi wa inna ilaihi raji’un dalam tulisan jawi.

Bolehkah kita duduk atas kubur si mati yang ada ukiran ayat al-Quran itu?

Baca juga Elak seksaan kubur, jom sama-sama amalkan Surah al-Mulk setiap hari

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad menjelaskan, pada asasnya, hukumnya haram jika membuat binaan kubur di atas tanah milik wakaf.

DA’I FUAD

“Begitupun, jika tanah itu memang milik sendiri, tiada masalah untuk kita membuat binaan atau kepok.

“Adapun, ulama-ulama dalam Mazhab as-Syafi’iyyah mengizinkan andai kita meletakkan kepok sebagai penanda kubur. Cuma apa yang menjadi masalahnya apabila kita meletakkan ayat al-Quran atau menulis lafaz istirja’ (innalillah) pada binaan berkenaan,” katanya.

Ujar beliau lagi, pada hakikatnya, kita tidak boleh duduk di atas binaan kubur tadi, hatta memijak ataupun melangkah mana-mana pusara. Ia merupakan antara adab ketika menziarahi pusara.

Ziarah kubur

JAGALAH adab ketika menziarahi pusara sebagaimana yang dianjurkan oleh syariat dan tidak duduk di atas binaan kubur di situ.

“Antara salah satu sunah Nabi Muhammad SAW yang ditinggalkan sebelum baginda wafat adalah ketika berada di kubur, kita tidak boleh duduk di sana.

“Ini bermakna, kita kena berdiri apabila berada di tanah perkuburan. Justeru, janganlah kita duduk di kubur kerana ia telah melanggar adab dan juga akhlak apabila ziarah pusara,” nasihatnya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Bernama

Main mercun
Hukum, Soal Jawab Agama,

Ini pandangan Islam tentang main mercun untuk meriahkan Aidilfitri

APABILA ada acara sambutan hari tertentu atau musim perayaan, tidak sah kalau tidak kedengaran bunyi mercun. Paling tidak pun, pasti ada bunga api berwarni-warni.

Bukan apa, tujuannya hanyalah hendak memeriahkan perayaan atau sambutan tersebut. Nampak ‘hidup’ suasana perayaan misalnya seperti sambutan Aidilfitri kali ini walaupun kita hanya beraya di dalam kediaman sendiri.

Begitupun, ada juga segelintir orang yang kurang senang dengan kehadiran bunyi mercun berdentum.

Ada pula yang menganggap perbuatan bermain mercun itu satu pembaziran kerana ia seolah-olah membakar duit sendiri.

Bagaimana pula pandangan Islam tentang perkara ini? Apakah hukumnya bermain mercun dan bunga api untuk menghangatkan suasana hari raya?

Pendakwah, Isfadiah Mohd Dasuki berkata, melihat kepada tujuan orang bermain mercun, lazimnya ia adalah untuk menunjukkan ketibaan Syawal atau dengan kata lain bagi memeriahkan Hari Raya Aidilfitri.

ISFADIAH

Beliau berpandangan, bermain mercun adalah tidak digalakkan kerana kesan kemudaratannya lebih banyak daripada manfaat yang bakal diperoleh.

“Perbuatan itu bukan sahaja membazir, tetapi juga boleh melukakan tangan kita, mengotorkan dan mengganggu jiran tetangga. Jelaslah betapa banyak keburukannya.

Baca juga Tak perlu sorok-sorok, 36 bunga api ini boleh dijual tanpa ragu tapi bersyarat

“Pandangan sama turut disuarakan oleh Pejabat Mufti Wilayah melalui artikel Bayan Linnas yang pernah disiarkan di laman web rasmi pejabat berkenaan bahawa hukumnya haram seandainya ia boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan keluarga,” katanya.

Justeru, beliau tidak menggalakkan kita bermain mercun pada Hari Raya Aidilfitri atas sebab-sebab dinyatakan tadi.

Isu,

Bimbang ibadah tak diterima, bolehkah kita ganti puasa Ramadan?

HARI ini sudah memasuki 9 Syawal. Terasa begitu pantas masa berlalu. Rasanya baru sahaja kita habis berpuasa dan meraikan lebaran bersama keluarga kecil masing-masing di rumah pada 1 Syawal tempoh hari.

Malah, mungkin ada yang sudah memulakan puasa enam atau selesai berbuat demikian. Maklum sahajalah, tiada aktiviti ziarah dan rumah terbuka boleh diadakan.

Kesempatan itu bolehlah digunakan dengan sebaiknya untuk kita berpuasa enam. Bagi mereka yang masih belum berpeluang berbuat demikian, jangan risau kerana banyak lagi masa untuk kita berpuasa.

Ganti puasa

ADA segelintir orang risau puasanya tidak diterima oleh ALLAH walaupun berpuasa penuh pada bulan Ramadan tempoh hari, lalu mengambil keputusan untuk menggantikan puasanya.

Bercakap tentang puasa, ada segelintir orang begitu khuatir jika ibadahnya dalam bulan Ramadan tempoh hari tidak diterima oleh ALLAH SWT.

Maka, individu itu bertekad untuk menggantikan atau dengan kata lain qada puasa walaupun berjaya menyempurnakan Rukun Islam ketiga selama sebulan.

Bolehkah kita berbuat demikian? Bukankah qada puasa hanya untuk menggantikan jumlah puasa Ramadan yang ditinggalkan tempoh hari.

Menjawab persoalan itu, pendakwah, Isfadiah Mohd Dasuki menjelaskan, perasaan takut kerana kerana amalan kita tidak diterima oleh ALLAH SWT itu sudah bagus.

ISFADIAH

Itu adalah perasaan yang dimiliki oleh para salafus soleh, ujarnya.

“Bagaimanapun, dalam perihal menggantikan puasa, perlu difahami bahawa kita perlu pastikan betul-betul puasa mana satu yang ‘bocor’ dan perlu digantikan semula apabila tamatnya bulan Ramadan.

“Jika tidak, kita akan dianggap sebagai ghuluw iaitu orang yang berlebih-lebihan dalam melakukan amalan. Lebih baik, kita menambahkannya dengan amalan berpuasa sunat,” katanya.

Baca juga Jangan suka-suka nak batalkan puasa qada kalau tak uzur, ini sebabnya kata agamawan

Beliau turut memberikan contoh berpuasa enam pada bulan Syawal.

“Ia lebih baik dan utama untuk dilakukan. Amalan itu juga sama seperti kita menunaikan solat qabliah dan ba’diah.

“Ketahuilah, solat sunat itu akan menampung kecacatan solat fardu kita. Begitu juga halnya dengan puasa sunat yang menampung puasa wajib,” ujarnya.

Justeru, janganlah kita menjadi orang yang terlalu berlebih-lebihan. Banyak lagi amal ibadah sunat lain yang boleh menampung ibadah fardu kita.

Foto: Pexels

Menghina orang yang sudah meninggal dunia
Panduan,

Sayyidul istighfar penghapus dosa, janji syurga, rugi jika tidak amalkan

ISTIGHFAR bererti menundukkan hati, jiwa dan fikiran terhadap ALLAH dalam memohon keampunan atas segala dosa dan kesilapan dilakukan.

Menurut surah At-Tahrim, ayat 66 bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada ALLAH dengan ‘Taubat Nasuha’, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai pada hari ALLAH tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya ENGKAU MAHA KUASA atas tiap-tiap sesuatu”.

Antara zikir Rasulullah SAW yang dibaca pada setiap pagi dan petang ialah sayyidul istighfar (penghulu istighfar) yang dijanjikan dengan syurga kepada sesiapa yang membacanya lalu dia meninggal pada hari itu sama ada pagi atau petang sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari.

LAFAZ SAYYIDUL ISTIGHFAR :

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّى لا إِلَهَ إِلا أَنْتَ ، خَلَقْتَنِى وَأَنَا عَبْدُكَ ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَىَّ ،وَأَبُوءُ بِذَنْبِى ، فَاغْفِرْ لِى ، فَإِنَّهُ لا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلا أَنْتَ ،

Maksudnya :

Ya ALLAH, Engkaulah Tuhanku, Tiada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-MU dan aku di dalam gengganman-MU dan di dalam perjanjian setia (beriman dan taat) kepada-MU sekuat mampuku.

Aku berlindung kepada-MU dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.

WAKTU DIBACA :

Selepas subuh dan selepas asar.

KELEBIHAN SESIAPA YANG MENGAMALKANNYA :

Riwayat Imam al-Bukhari yang bermaksud:

Sesiapa yang mengucapkannya pada siang hari (pagi) dengan penuh keyakinan dengannya lalu dia meninggal dunia pada hari tersebut sebelum petang maka dia dari kalangan ahli syurga. Dan sesiapa yang mengucapkannya pada waktu malam (petang) dengan penuh keyakinan dengannya lalu dia meninggal dunia maka dia dari kalangan ahli syurga.

Fadhilat membaca penghulu istighfar :
Dari Syaddad bin Aus RA dari Rasulullah SAW bersabda: Penghulu istighfar ialah “Allahumma anta……”. Sesiapa yang membacanya dengan penuh keimanan waktu petang dan mati pada malam itu, maka masuk syurga. Demikian juga siapa yang membacanya waktu pagi dan mati pada hari itu masuk syurga. (HR. Bukhari)

Terdapat banyak kelebihan istighfar jika amalan ini dilakukan secara istiqamah dan ikhlas semata-mata kerana ALLAH.

Antara kelebihannya:

1. ALLAH akan melapangkan dirinya dari segala kesusahan, dan melepaskannya daripada segala tekanan dan akan dikurniakan rezeki tanpa bisa dikira banyaknya.

2. Sesiapa yang beristighfar sebanyak 70 kali, nescaya ALLAH akan menghapuskan daripadanya sebanyak 700 dosa.

3. Sesiapa yang mengerjakan kejahatan, atau menganiayai dirinya, kemudian ia memohon ampun kepada ALLAH, nescaya ia akan mendapati Tuhan itu MAHA Pengampun, MAHA Pengasihani (Surah An Nisa’ : 110).

Amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat

SENTIASA basahkan lidah dengan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

4. Tuhan tidak akan menyiksa mereka, selama mereka beristigfar (Al Anfal: 33).

5. Mendekatkan diri kepada ALLAH dan mendapat keberkatan dan melorong jalan untuk menuju kepada segala macam kebajikan sama ada di dunia atau di akhirat.

6. Mengurniakan pemberian yang baik kepadanya sehingga ke waktu yang ditentukan (Surah Hud : Ayat 3) (Imam Habib Abdullah Haddad, 1981 : 232-235)

Seperti amalan selawat, amalan istighfar yang dilakukan secara berterusan juga akan membersihkan hati yang penuh dengan zulmah hawa nafsu dan secara tidak langsung menyelesaikan kemelut hati dan kehidupan.

Baca juga Segera bayar zakat fitrah, walau sudah masuk waktu haram. Ikuti penjelasan MAINS

Contohnya istighfar telah menyelesaikan kemelut Nabi Yunus AS apabila baginda ditelan oleh ikan Nun. Nabi Yunus AS dicampakkan oleh ALLAH ke dalam laut kerana baginda masih ada ajalat (sifat-sifat mendahului qodo’ Tuhan).

ALLAH memelihara nabiNya daripada sifat-sifat ajalat ini dengan membenarkan ikan Nun menelan Nabi Yunus AS. Nabi Yunus AS beristighfar untuk memohon keampunan daripada ALLAH:

Ertinya: ‘Tiada Tuhan melainkan Engkau, maha suci Engkau, sesungguhnya aku daripada golongan orang yang menzalimi dirinya.'(Surah Al Qalam : 87).

Selawat

Sel-sel nabi Yunus yang maksum kemudiannya dibersihkan daripada sifat-sifat ajalat. Selepas itu barulah doanya diperkenankan oleh ALLAH.Nabi Muhammad SAW yang maksum juga sentiasa beristighfar iaitu sebanyak 70 kali sehari.

Istighfar Nabi Muhammad SAW adalah untuk memperakui kehambaannya kepada Allah Taala dan membersihkan segala sel-selnya daripada segala rasa ‘Ada Diri’ atau ‘Rasa Keakuan’.

Sesungguhnya, istighfar adalah pernyataan kehambaan kita kepada ALLAH yang sangat tinggi nilainya.

Dengan wujudnya rasa kehambaan ini akan terhakislah segala bisikan-bisikan nafsu Ammarah dan Lawwamah di hati dan fikiran kita Insya-ALLAH.

Alangkah ruginya kita, jka amalan yang amat mudah tapi dijanjikan dengan syurga pun masih kita tidak amalkan.

Semoga ALLAH memberi kekuatan agar kita mampu mengamalkannya.

Sumber: Telegram Ebit Lew Channel

Foto: Unsplash

pexels-pavel-danilyuk-5996747
Hukum,

Pakai kanta lekap tidak membatalkan puasa, ini sebabnya

PEMAKAIAN kanta lekap sememangnya sudah menjadi satu keperluan kepada masyarakat pada hari ini. Kebanyakan si pemakai menggunakannya untuk membantu penglihatan mereka sebagai alternatif kepada penggunaan cermin mata.

Namun, setiap kali berpuasa, kadangkala golongan tersebut terpaksa melupakan seketika pemakaian alat untuk membantu penglihatan tersebut.

Apa tidaknya, segelintir mereka menganggap tidak boleh memakainya ketika berpuasa kerana ia boleh membatalkan puasa. Benarkah begitu hukumnya?

Menjelaskan kekeliruan tersebut, pendakwah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah menjelaskan, dalam hal itu, para ulama mengqiaskan hukum memakai kanta lekap dengan hukum bercelak kerana ia berkaitan dengan mata.

DA’I SYAFIQAH

“Antara perkara yang membatalkan puasa seseorang adalah dengan memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti mulut, telinga, qubul dan dubur.

“Jadi, mata tidak termasuk dalam kategori rongga terbuka tadi,” katanya.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa dia yakni Anas bercelak padahal ketika itu dia sedang berpuasa.” (Riwayat Abu Daud)

Kanta lekap

MENGGUNAKAN kanta lekap tidak membatalkan puasa seseorang kerana ia bukan.

Daripada hadis itu, jelas Da’i Syafiqah, Imam an-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab berkata, diharuskan bercelak berdasarkan riwayat daripada Anas bahawa beliau bercelak ketika berpuasa kerana mata bukannya ruang rongga yang terbuka.

“Maka, tidak batal puasa dengan apa yang sampai melalui mata. Menurut Mazhab Syafie, hukum bercelak adalah harus dan tidak membatalkan puasa.

“Begitu jugalah dengan hukum memakai kanta lekap yang diqiaskan dengan hukum bercelak, maka harus hukumnya berbuat demikian dan ia tidak membatalkan puasa,” ujarnya.

Foto: Freepik & Pexels

rauf-alvi-0VZCgn4ZwzY-unsplash
Hukum,

Wajibkah anak ganti puasa ibu bapa yang sudah meninggal dunia?

TIADA siapa mahukan insan tersayang pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Apatah lagi ibu bapa sendiri yang pergi menghadap ILAHI. Namun, siapalah kita untuk menidakkan dan menolak takdir yang tertulis.

Ya, ajal maut semua telah ditentukan-NYA. Sebagai hamba ALLAH yang masih lagi diberi kesempatan mengecapi nikmat dunia kurniaan-NYA, kehidupan tetap perlu diteruskan.

Sebagai seorang anak soleh dan solehah pula, jangan sesekali kita melepaskan tanggungjawab terhadap ibu bapa yang telah tiada begitu sahaja. Doakanlah kesejahteraan mereka yang pernah mengandung, melahirkan, membesarkan dan mendidik kita sejak kecil dengan penuh kasih sayang.

Andai kata, ibu bapa kita meninggal dunia pada bulan Ramadan atau sebelum itu lagi tanpa sempat menggantikan puasa mereka, perlukah ibadah berkenaan diqadakan oleh anak tadi? Cukupkah sekadar kita membayarkan fidyah untuk mereka?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah menjelaskan, terdapat dua keadaan yang perlu kita tahu untuk menjelaskan tentang perkara ini.

DA’I SYAFIQAH

Baca juga Batalkan puasa dengan makan atau minum bertujuan jimak elak kafarah. Boleh ke?

Pertama sekali, katanya, jika si mati tidak mengqada puasanya kerana uzur yang berterusan dan tiada ruang yang memungkinkannya menggantikan puasanya. Contohnya sakit, musafir, nifas, hamil ataupun uzur yang berterusan sehinggalah meninggal dunia, maka anak-anaknya tidak wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan oleh si mati ataupun membayar fidyah untuknya.

“Namun dalam keadaan kedua, sekiranya si mati berkemungkinan boleh mengqadakan puasa yang ditinggalkan dan ada ruang untuknya menggantikan puasanya, tetapi dia tidak melakukannya kerana uzur ataupun sengaja sehingga meninggal dunia, anak-anaknya boleh memilih sama ada untuk mengqada puasa yang ditinggalkan untuk si mati ataupun membayar fidyah untuknya,” katanya.

Ganti puasa

JIKA ibu bapa meninggal dunia tanpa sempat menggantikan puasa yang ditinggalkan, maka menjadi tanggungjawab anak-anak untuk melunaskannya atau membayar fidyah mengikut syariat yang ditetapkan.

Ia sebagaimana hadis daripada Ibnu Abbas RA bahawa telah datang seorang lelaki kepada Nabi Muhammad SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah mati dan masih ada padanya baki puasa sebulan. Adakah aku perlu menggantikannya?”

Nabi Muhammad SAW menjawab: “Adapun hutang ALLAH itu lebih berhak untuk dilunaskan.” (Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis berkenaan, jelaslah bahawa puasa merupakan hutang manusia dengan ALLAH SWT. Jika hutang sesama manusia pun wajib dilunaskan, apatah lagi andai ia melibatkan hutang dengan-NYA. Sudah tentulah ia wajib ditunaikan.

Foto: Freepik, Bernama & Unsplash

Untitled-design61
Berita, Berita Semasa, Inspirasi,

Hebat, Sarah Gamal muncul sebagai pengadil wanita berhijab pertama di dunia. Ini ceritanya…

ACARA bola keranjang 3 lawan 3 yang dipertandingkan di Sukan Olimpik Tokyo 2020 (yang akan berlangsung bermula Julai depan) menyaksikan kemunculan Sarah Gamal sebagai pengadil wanita berhijab pertama dalam kejohanan dunia tersebut.

Ya! Cukup membanggakan apabila wanita berdarah Arab dan Afrika itu hadir buat julung-julung kalinya di pentas terkemuka dengan penampilan sporty lengkap dengan bertudung hitam.

Tanpa rasa kekok, wanita berusia 32 tahun itu berdiri sama tinggi dengan pemain profesional lain ketika mengadili acara tersebut di Alexandria United Club.

sarah gamal

Bercerita mengenai kisah Gamal, jurutera wanita tersebut mengakui belum pernah berdepan komen negatif dan halangan sebagai wanita berhijab sepanjang perjalanan kariernya sebagai pengadil.

“Bertudung tidak menjejaskan pertimbangan sebagai seorang pengadil dalam mana-mana kejohanan setakat ini dan apa yang pasti, saya sudah bersedia untuk beraksi di Olimpik Tokyo.

“Tumpuan saya kini lebih kepada latihan dan persiapan rapi untuk acara penting ini,” katanya yang menimba pengalaman cukup luas dalam beberapa kejohanan termasuk FIBA World Youth Cup 2018 dan African Women’s Championship 2017.

Lapor arabnews.com, perubahan peraturan yang dibuat Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA) pada tahun 2017 membolehkan pemain memakai hijab dalam keadaan tertentu.

sarah gamal

Apa yang menarik, FIBA cuba menarik minat anak muda dengan penganjuran acara bola keranjang 3 lawan 3 yang cukup popular di seluruh dunia.

Format tambahan yang dikemas kini dalam program Sukan Olimpik Tokyo pada tahun 2017 telah membolehkan pemain bermain tiga orang menggunakan separuh gelanggang dalam tempoh 10 minit.

Barangkali, sudah terbiasa bekerja dalam industri yang dimonopoli lelaki, membuatkan Gamal tidak gentar untuk mengadili atlet berbeza jantina di gelanggang.

“Pengalaman menjadi pengadil dalam permainan terdahulu membuatkan saya lebih yakin untuk mempamerkan prestasi terbaik,” katanya yang jatuh cinta terhadap dunia bola keranjang pada usia lima tahun.

Hanya belajar daripada kakaknya, wanita yang menetap di Alexandria itu mula belajar teknik dan menguasai permainan hingga usianya mencecah 16 tahun.

sarah gamal

“Disebabkan saya lebih minat kepada undang-undang dan disiplin dalam permainan membuatkan saya beralih menjadi pengadil perlawanan. Impian itu turut disokong keluarga.

“Bukan mudah sebenarnya untuk membahagi masa antara pelajaran dan latihan. Semuanya memerlukan ketahanan dari segi mental dan fizikal,” ujarnya.

Bagi wanita itu, tiada apa yang lebih menakutkan kecuali tanggungjawab yang digalas.

“Sudah menjadi impian saya untuk melangkah lebih jauh khususnya dalam piala dunia, pada masa sama mahu mengekalkan kepercayaan yang diberikan pertubuhan antarabangsa yang banyak membantu karier ini,” katanya.

Hebat bukan? Bermula hanya daripada minat membawa wanita itu melangkah lebih jauh.

sarah gamal

Penampilan berhijab tidak sedikitpun menimbulkan persepsi negatif bahkan membuktikan wanita Islam mampu membuktikan keupayaan diri.

Kejayaan yang diraih pengadil muda ini mampu memberikan inspirasi buat semua wanita di luar sana.

martha-dominguez-de-gouveia-KF-h9HMxRKg-unsplash
Hukum,

Status puasa orang pengsan akibat dibius

WALAUPUN kita sedang berpuasa sepanjang Ramadan, namun kehidupan seharian tetap perlu diteruskan. Rutin yang biasa dilakukan tetap perlu digerakkan sepertimana hari-hari biasa.

Bekerja, menguruskan keluarga dan seumpamanya tetap perlu dilakukan demi kelangsungan hidup. Begitupun puasa mengajar kita erti kesabaran yang tinggi mengharungi semua perkara itu dalam keadaan diri sedang yang sedang menahan lapar, dahaga dan nafsu.

Adakalanya dalam bulan Ramadan, kita terpaksa mendapatkan rawatan untuk kesihatan diri. Sekiranya pengsan akibat dibius, apakah status puasa kita?

Dalam hal itu, pendakwah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah menjelaskan, para ulama telah membahagikan pengsan kepada dua kategori berbeza.

DA’I SYAFIQAH

Pertama, katanya mereka yang dibius dan pengsan untuk sepanjang hari iaitu dari terbitnya fajar sehingga tenggelamnya matahari. Maksudnya, mereka langsung tidak sedar dalam waktu tersebut.

Baca juga Usah batalkan puasa ganti sesuka hati, ini penjelasannya

“Maka, as-Syafi’iyyah (Mazhab Syafie) dan Hanabilah (Mazhab Hambali) mengatakan bahawa puasa orang itu adalah tidak sah dan mereka wajib untuk mengqadakan semula kewajipan tersebut.

“Kategori kedua pula ialah mereka yang dibius, namun pengsan untuk setengah hari sahaja yang mana pada malam hari, individu berkenaan sudah berniat puasa.

“Seandainya keesokannya mereka dibius dan pengsan selama setengah hari, puasa mereka dikira sah jika mereka terjaga setengah hari pada waktu siang,” jelasnya sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam Kitab al-Majmu’.

Foto: Freepik & Unsplash