Browsing Tag

sinarislamplus

Pinggan mangkuk tak basuh semalaman
Gaya Hidup,

Tinggalkan pinggan mangkuk tak dibasuh semalaman boleh undang kepapaan?

Tinggalkan pinggan mangkuk tak dibasuh semalaman boleh undang kepapaan?

DEK kepenatan melayan tetamu ketika hari raya dan menyediakan hidangan, pinggan, mangkuk, cawan dan segala jenis perkakasan dibiarkan tanpa dibasuh semalaman.

Ya, itulah situasi yang dihadapi oleh segelintir orang. Lantaran itu, ramai yang memilih untuk menggunakan cawan, pinggan dan mangkuk pakai buang bagi menjimatkan masa masing-masing.

Namun begitu, masih ada lagi individu yang menggunakan kelengkapan yang ada di rumah bagi menjamu tetamu masing-masing. Cuma apabila sudah kelelahan, pinggan dan mangkuk tadi akan disambung basuh keesokannya.

Baca juga Jangan simpan benda tak pakai, koleksi barang dan harta juga akan dihisab

Begitupun, ada yang menyanggah cara sebegitu kerana dikatakan membiarkan pinggan dan mangkuk semalaman boleh mengundang kepapaan.

Pernyataan itu tidak asing lagi buat kita. Ini kerana ia sering kali diingatkan oleh ibu bapa dan nenek moyang kita. Benarkah begitu dahsyat sekali penangannya gara-gara tidak larat basuh pinggan?

Begitu juga halnya apabila menyapu ketika waktu malam atau Maghrib. Ada yang melarang kita berbuat demikian kerana perbuatan itu dikatakan menjadikan kita miskin.

Ketahuilah bahawa dua contoh yang diberikan tadi itu mitos semata-mata.

Menurut pendakwah dan penulis terkemuka, Ustaz Addien Abdul Kadir, ia sebenarnya termasuk dalam kepercayaan lama yang tidak ada dalil sandarannya sama sekali walaupun ada disebutkan dalam beberapa kitab kuning (kitab agama zaman silam).

USTAZ ADDIEN

Beliau kemudian mengemukakan pandangan Syaikh Ali Mahfuz dalam al-Ibda’ fi Madhar al-Ibtida’ yang menyatakan: “Sapu rumah waktu malam mengundang kemiskinan ialah kepercayaan khurafat.”

Ustaz Addien menjelaskan, dalam bab kebersihan secara umumnya, Islam tidak menetapkan waktu spesifik sama ada boleh melakukan pembersihan pada masa-masa tertentu.

Baca juga ‘Contohi Rasulullah yang sentiasa amalkan kebersihan dalam setiap aspek kehidupan baginda’

“Sebaliknya, prinsip asal Islam ini adalah agama yang mengajar tentang kebersihan secara keseluruhannya bermula dari akidah, ritual, harta dan sampai ke (bab) hygiene. Asalkan nampak kotor saja, bersihkanlah. Tak perlu tunggu waktu spesifik.

“(Waima) Pagi, petang, siang atau malam, semua itu tidak ada masalah dalam hal kebersihan,” tegasnya sebagaimana dipetik menerusi bebenang Twitter miliknya.

Andai kata, rumah atau diri kita kotor pada waktu malam, Ustaz Addien yang juga pakar motivasi menjelaskan, tidak munasabah jika kita terpaksa menunggu waktu siang untuk membersihkannya.

“Malah, ia agak bertentangan dengan prinsip asas yang Islam ajar,” ungkapnya.

Pinggan mangkuk tak dibasuh semalaman

DALAM bab kebersihan secara umumnya, Islam tidak menetapkan waktu spesifik sama ada boleh melakukan pembersihan pada masa-masa tertentu. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Begitu juga halnya dengan ‘larangan’ memotong kuku pada waktu tertentu kerana perbuatan tersebut dikhuatiri akan menyempitkan rezeki dan sebagainya, terangnya.

“Semua ini dakwaan palsu yang direka-reka. Agama Islam datang untuk memandaikan manusia.

“Islam tidak ajar perkara-perkara yang merepek dan membodohkan akal,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, kebanyakan kepercayaan orang tua dahulu disebabkan faktor lain seperti keselamatan, kesihatan dan seumpamanya.

“Cuma ia menjadi masalah sebab ditokok tambah dan direka ancaman/kelebihan berunsurkan agama. Jika ditelusuri sejarah munculnya hadis palsu, majoritinya sebab-sebab macam inilah,” katanya.

Baca juga [VIDEO] Neraka menanti pencipta hadis palsu

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Ustaz Addien menitipkan pesanan bernilai buat seluruh umat Islam.

Sebagai generasi baharu yang lebih terdedah kepada ilmu pengetahuan, kemajuan teknologi dan kemudahan, beliau menyarankan agar kita mengambil tanggungjawab untuk memperbetulkan kefahaman dan kepercayaan mitos sebegitu.

“Kalau tak mampu betulkan, kita ubah dengan amalan sendiri supaya dicontohi generasi masa akan datang,” pesannya.

***Foto: Canva

Sultan Al Neyadi
Antarabangsa,

Sultan Al Neyadi, angkasawan Arab Muslim pertama ‘berjalan’ di ruang angkasa selama 6 bulan

Sultan Al Neyadi, angkasawan Arab Muslim pertama ‘berjalan’ di ruang angkasa selama 6 bulan

NAMA Sultan Al Neyadi sedang meningkat naik pada ketika ini. Popularitinya melonjak apabila menjadi orang Arab Muslim pertama yang melakukan perjalanan di angkasa lepas.

Angkasawan asal Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu menjalankan tugas penting selama enam bulan. Ia juga menjadi misi angkasa lepas jangka panjang pertama dalam dunia Arab!

Baca juga Nora, Angkasawan Wanita Pertama Dunia Arab

Antara kerja-kerja dijalankan termasuklah memasang alat ganti baharu, melakukan penyelenggaraan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), mengalih keluar perkakasan komunikasi lama dari bahagian luar ISS dan lain-lain.

Memetik laporan portal berita The National News, pemuda itu memulakan perjalanan angkasa pada 28 April lalu bersama rakan sekerjanya dari Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat, Stephen Bowen selama enam jam setengah.

Sultan Al Neyadi

ANTARA gambar yang dikongsikan oleh angkasawan dari UAE itu menerusi akaun Twitter miliknya.

Naib Presiden merangkap Perdana Menteri UAE dan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian Sultan Al Neyadi yang melakar sejarah tersendiri.

“Selepas menjalani latihan intensif tiga tahun, pada hari ini kami melihat Sultan Al Neyadi dalam misi pertama ‘berjalan’ di ruang angkasa lepas atau spacewalk, menjalankan tugas-tugasnya.

“Beliau merupakan warga UAE pertama, Arab pertama dan Muslim pertama yang berjalan di angkasa lepas…bangga dengan (pencapaian) itu.

“Mereka mengatakan, dua pertiga daripada bintang di langit mempunyai nama Arab. Orang Arab mampu…orang Arab akan datang…orang Arab adalah kreatif jika kita memutuskan untuk fokus pada sains dan melabur dalam belia,” katanya sebagaimana dipetik menerusi thenationalnews.com.

Baca juga Al-Biruni ilmuan genius bidang astronomi, namanya turut diabadikan pada kawah bulan

Difahamkan, ‘spacewalks‘ merupakan salah satu aktiviti paling berisiko dilakukan oleh angkasawan semasa menjalankan misi angkasa lepas.

Bayangkan dengan pakaian angkasa seberat 127 kilogram yang terpaksa disarungnya. Walaupun kita mengatakan berat, tetapi si pemakainya tidak akan merasakan beban berkenaan di angkasa.

Sultan Al Neyadi

LELAKI berusia 41 tahun itu diberi tanggungjawab memasang alat ganti baharu, melakukan penyelenggaraan di ISS, mengalih keluar perkakasan komunikasi lama dari bahagian luar ISS dan lain-lain selama enam bulan di ruang angkasa.

Mendengarkan sahaja agak menggetarkan, bukan? Namun, semua ‘kesukaran’ yang dilalui oleh Sultan Al Neyadi itu sudah pun direntas ketika sesi latihannya sebelum ini.

Memetik portal berita Republika, lelaki berusia 41 tahun itu menghabiskan lebih daripada 55 jam di bawah air di kolam yang direka khas di Pusat Houston, selain berlatih bersungguh-sungguh untuk persekitaran bulan bergraviti rendah.

Keterampilannya terserlah apabila beliau berjaya memperoleh anugerah pin emas NASA untuk angkasawan.

“Bukan itu sahaja, Sultan Al Neyadi ditetapkan untuk tinggal di angkasa selama enam bulan dan melakukan 19 lagi eksperimen merawat pelbagai masalah berkaitan sakit belakang dan menanam tumbuhan di angkasa.

“Perjalanannya itu menjadikan UAE sebagai negara Islam pertama yang mempunyai angkasawan dengan pencapaian angkasa lepas,” katanya sebagaimana dipetik dalam Republika.co.id.

***Foto: Twitter Sultan Al Neyadi

Rumah terbuka
Hukum,

Jangan pandang remeh undangan rumah terbuka, satu kesalahan jika sengaja tak hadir dan tanpa keuzuran

Jangan pandang remeh undangan rumah terbuka, satu kesalahan jika sengaja tak hadir dan tanpa keuzuran

JEMPUTAN rumah terbuka atau open house sempena Hari Raya Aidilfitri masih rancak. Masakan tidak, bulan Syawal bakal melabuhkan tirainya pada Sabtu depan.

Disebabkan itu, ramai yang mengambil peluang untuk mengadakan jamuan makan berkenaan mengikut bajet masing-masing.

Meskipun hanya dijemput untuk datang makan dan memeriahkan majlis, masih ada segelintir individu kurang berminat dengan aktiviti keraian sebegitu.

Malah, ada yang tanpa rasa bersalah langsung enggan menapak ke majlis seperti itu tanpa keuzuran tertentu. Mudah kata, sengaja tidak menghadiri acara rumah terbuka!

Ketahuilah bahawa setiap undangan ke suatu majlis jamuan tidak boleh dipandang ringan.

Malah, ia menjadi satu kesalahan andai kita tidak menghadirinya dengan sengaja dan tanpa keuzuran.

Baca juga Tak dijemput, tapi datang kenduri kahwin dan makan jamuan…apa hukumnya?

Demikian yang ditegaskan menerusi khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib di seluruh negeri Selangor pada minggu lalu.

Rumah terbuka

MEREKA yang berpuasa sunat diharuskan berbuka. Bahkan, sunat berbuka jika tuan rumah kelihatan tersinggung atau kecewa jika kita tidak menjamah makanan yang dihidangkan. -Foto: 123rf

Dalam teks khutbah berkenaan ada menyarakan, mereka yang sedang berpuasa sunat diharuskan berbuka puasa.

“Bahkan, sunat berbuka seandainya tuan rumah kelihatan tersinggung atau kecewa jika kita tidak menjamah makanan yang dihidangkan,” katanya.

Baca juga Mana lebih afdal, teruskan atau batalkan puasa enam Syawal bagi memenuhi jemputan?

Ia sebagaimana sikap yang ditonjolkan oleh seorang sahabat Rasulullah SAW, Ibn Umar RA. Apabila diundang ke majlis jamuan, beliau tetap memenuhi jemputan berkenaan walaupun dalam keadaan berpuasa.

Ini berpandukan hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila dijemput seorang dalam kalangan kamu ke majlis jamuan, maka hendaklah dia memenuhi jemputan. Jika dalam keadaan berpuasa sunat, maka doakanlah tuan rumah itu. Jika tidak berpuasa, maka makanlah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Khutbah itu turut menjelaskan, amalan ziarah-menziarahi atau menghadiri undangan majlis jamuan termasuk rumah terbuka hari raya adalah perbuatan baik.

“Lebih-lebih lagi jika ia memberi peluang kepada kita untuk berkenalan, menjalin silaturahim, bermaaf-maafan, menemui saudara-mara lantas mengukuhkan persahabatan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Khutbah Jumaat terbitan Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor.

Rumah terbuka

SEBAGAI menghormati tetamu, lebih afdal tuan rumah yang didatangi atau menjemput tetamu berbuka dan makan bersama-sama tetamunya apabila mereka keberatan untuk makan apabila tahu tuan rumah sedang berpuasa. -Foto: 123rf

Seandainya tuan rumah didatangi atau menjemput tetamu dalam keadaan diri sedang berpuasa sunat, lebih afdal pemilik kediaman itu berbuka dan makan bersama-sama tetamunya apabila mereka keberatan menjamah makanan yang dihidangkan kecuali jika tuan rumah yang berpuasa itu turut menjamahnya. Ia sebagai menghormati tetamu.

Ketika Rasulullah SAW berkunjung ke rumah Ummu Hani RA, beliau menghidangkan minuman kepada Baginda. Selepas Nabi Muhammad SAW meminumnya, Baginda berikan pula minuman tersebut kepada Ummu Hani lalu beliau meminum bakinya.

Baca juga Mari ketahui adab ziarah yang patuhi syariat

Kemudian, Ummu Hani berkata: “(Kata Ummu Hani) Aku telah berdosa, maka mintakanlah keampunan untukku.” Rasulullah SAW bertanya: “Apakah dosamu itu?” Ummu Hani berkata: “Aku ini berpuasa dan aku telah berbuka.” Baginda bertanya lagi: “Adakah puasa qada yang engkau lakukan itu?” Ummu Hani menjawab: “Tidak.” Baginda bersabda: “(Membatalkan puasa sunat itu) tidak memberi mudarat kepadamu.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Teks khutbah Jumaat itu turut memetik pandangan dalam kitab Mughni al-Muhtaj yang menyatakan, andai tuan rumah tidak tersinggung apabila tetamunya berpuasa sunat, maka lebih utama untuk penziarah tadi meneruskan puasanya.

“Jika dia berbuka, maka tidak akan beroleh pahala puasa yang dilakukannya. Namun, berlainan pula jika tuan rumah tadi berpuasa dan berbuka kerana ingin menemani temannya makan, maka dalam hal ini, puasanya itu beroleh pahala walaupun dia tidak menyempurnakan puasanya.

“Menurut para ulama, seseorang yang tidak meneruskan puasa sunatnya tanpa keuzuran, makruh hukumnya,” katanya.

Bagaimana pula jika seseorang yang berpuasa wajib, tetapi menghadiri jemputan?

Dalam hal itu, kelompok berkenaan iaitu sama ada mereka yang berpuasa qada atau nazar, haram bagi mereka untuk berbuka puasa.

“Cukuplah baginya sekadar menghadiri majlis tersebut dan mendiakan keberkatan serta keampunan ke atas tuan rumah dan para jemputan yang hadir,” katanya.

Mengejek dosa orang lain
Gaya Hidup,

Jangan mengejek dosa orang lain, hati-hatilah kerana ejekan itu boleh berbalik kepada kita

Jangan mengejek dosa orang lain, hati-hatilah kerana ejekan itu boleh berbalik kepada kita

MULUT kadangkala begitu lancang dalam berbicara. Apatah lagi melihat dosa dilakukan oleh orang lain secara terbuka.

Sedar atau tidak, bibir mula menuturkan sesuatu yang kurang enak termasuk mengejek pelakunya. Perbuatan itu juga sebenarnya boleh menjebakkan kita ke lubuk dosa.

Mengata orang lain meskipun individu berkenaan sememangnya berbuat kesalahan. Tidak perlulah kita mengejeknya apalagi mengeji mereka, sebaliknya tegurlah secara berhemah sebagaimana diajar oleh agama Islam.

Baca juga Tegur kesalahan secara terang-terangan dikira mengaibkan orang lain?

Ketahuilah bahawa ejekan yang dilemparkan tersebut boleh kembali atau terpalit semula pada kita.

Dalam hadis Riwayat Imam at-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengejek saudara seagamanya atas dosa yang dilakukannya, maka dia tidak akan meninggal dunia kecuali dia diuji melakukan dosa tersebut.”

Menurut Imam Ahmad, para ulama menyatakan, ia merupakan dosa orang lain yang telah bertaubat daripadanya.

Mengejek dosa orang lain

JAUHI sikap suka mencela, mengumpat, mengadu domba dan sebagainya. -Foto: 123rf

Demikian menurut artikel Irsyad al-Fatwa Siri ke-721: Benarkah Orang yang Mengejek Dosa Orang Lain Akan Diuji dengan Dosa yang Sama Sebelum Meninggal Dunia, yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Menerusi artikel tersebut, pejabat mufti berkenaan menjelaskan, selain hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi itu, para ulama juga ada yang mensyarahkan maksud yang sama dengan hadis tersebut.

“Ini kerana perbuatan tersebut disertai dengan perasaan ‘ujub terhadap diri sendiri, mendakwa dirinya suci daripada dosa berkenaan dan tidak akan melakukan selama-lamanya.

“Oleh itu, hendaklah kita menjauhi diri daripada perbuatan mengejek dan mencela dosa orang lain agar tidak termasuk dalam ancaman hadis tersebut,” katanya.

Baca juga Sesuka hati ‘body shaming’ ibarat menghina ciptaan ALLAH

Seperkara lagi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, perbuatan mengejek salah orang lain dengan menganggap diri sendiri suci daripada dosa berkenaan sebenarnya adalah lebih besar dosanya berbanding dosa orang tersebut.

Ibn Qayyim menukilkan: “Sesungguhnya dosa perbuatan kamu mengejek saudaramu atas dosa yang dilakukannya adalah lebih besar daripada dosanya dan lebih teruk daripada maksiatnya tersebut. Ini kerana ia terkandung sifat menganggap diri sendiri sentiasa akan berada dalam ketaatan, suci daripada maksiat, mensyukuri dosa itu tidak berlaku ke atasnya serta mendakwa dirinya tidak akan melakukan dosa tersebut.” (Madarij al-Salikin)

Mengejek dosa orang lain

PELIHARALAH tutur kata ketika berbicara. -Foto: Pexels

Justeru, berhati-hatilah dengan ejekan mahupun celaan kita. Boleh jadi dosa perbuatan kita lebih besar daripada individu yang diumpatnya tadi.

Baca juga Hati-hati bila berbicara, ini 3 jenis kaki sembang dibenci Rasulullah SAW

Siapalah kita untuk menilai mereka. Sedangkan kita sama-sama merupakan seorang hamba kepada Sang Pencipta yang akan dijemput menemui-NYA pada bila-bila masa sahaja.

Hargailah kesempatan yang ada di dunia ini untuk terus melakukan amal soleh dan kebaikan semata-mata kerana ALLAH SWT. Moga ia menjadi tuaian yang berguna pada hari akhirat kelak.

Ganti double
Ibadah,

Benarkah perlu ganti ‘double’ bila sengaja batalkan puasa qada?

Benarkah perlu ganti ‘double’ bila sengaja batalkan puasa qada?

MESKIPUN kemeriahan Syawal masih terasa, tetapi ada orang yang sudah mula menggantikan puasa ditinggalkan pada bulan Ramadan tempoh hari.

Bukan apa, bimbang pula jika terlupa bilangan hari yang tidak dapat disempurnakan itu. Sementara ingatan masih segar dan diri pula kuat untuk melakukannya, tidak salah untuk kita awalkan qada puasa berkenaan.

Lebih-lebih lagi kita baru sahaja meninggalkan puasa Ramadan beberapa hari. Sudah tentu mood untuk melakukan ibadah itu masih lagi tersisa.

Bercerita tentang puasa qada, ramai sedia maklum ia sama seperti berpuasa pada bulan Ramadan dan tidak boleh dibatalkan sesuka hati.

Namun, lumrah sebagai manusia, adakalanya kita berbuat salah juga. Boleh pula puasa qada tadi sengaja dibatalkan walaupun sudah tahu tidak boleh berbuat demikian.

Baca juga Usah batalkan puasa ganti sesuka hati, ini penjelasannya

“Nanti kena ganti ‘double’ sebab sengaja batalkan puasa qada berkenaan.”

Ya, dialog itulah yang sering kali diulang siar umpama kaset oleh masyarakat di sekeliling.

Hakikatnya, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, pernyataan itu adalah tidak tepat sama sekali.

DR SYED SHAHRIDZAN

Sebelum memberikan jawapannya, beliau mengajak kita untuk menyelami hukum apabila seseorang sengaja membatalkan puasa qada.

Jelas beliau, pada asasnya, seseorang diharamkan sengaja membatalkan mana-mana amalan fardu termasuklah puasa ganti tadi.

Perkara itu jelas dinyatakan oleh Imam Syafie RA dalam kitab al-Umm iaitu: “Sesiapa telah masuk (memulakan) puasa yang wajib daripada Ramadan, qada, puasa nazar atau puasa kafarah, atau solat fardu pada waktunya, solat qada atau solat nazar, maka dia tidak boleh keluar (membatalkan) daripada puasa atau solat (tersebut) selagimana dia mampu untuk berpuasa dan solat dalam keadaan suci. Jika dia keluar (membatalkan) salah satu daripadanya tanpa keuzuran dengan sengaja, maka menurut kami dia dikira sebagai bersalah dan berdosa.”

“Bukan itu sahaja, pengharaman membatalkan puasa qada Ramadan dengan sengaja dan tanpa keuzuran itu turut dijelaskan oleh Imam an-Nawawi dalam Minhaj al-Tolibin.

Baca juga Rupanya makruh hukumnya bila kita sengaja batalkan puasa sunat

“Ini kerana apabila seseorang itu sudah memulakan amalan yang fardu, maka haram dibatalkan tanpa sebab-sebab syarie,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Berbalik kepada persoalan tentang bilangan puasa yang perlu diganti apabila meninggalkan puasa qada dengan sengaja, Dr Syed Shahridzan menjelaskan, individu berkenaan perlu menggantikan satu hari dan tidak perlu dalam jumlah yang berganda.

Ia selari dengan pandangan Imam an-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab yang menyatakan: “Jika seseorang berjimak ketika puasa selain Ramadan iaitu qada, nazar atau selain daripada kedua-duanya, maka tiada kafarah ke atasnya sepertimana yang disebutkan sebelum ini. Ini merupakan pendapat majoriti (ulama).”

Ganti double

BAGI seseorang yang membatalkan qada puasanya ia tidak memberi kesan penambahan hari gantian, sebaliknya hanya melibatkan dosa keranan memutuskan amalan fardu yang dilaksanakan. -Foto: 123rf

“Berdasarkan pandangan Imam an-Nawawi itu, jika kaffarah tidak diwajibkan, begitu juga dengan qada puasa iaitu tidak wajib tambahan satu hari lagi.

“Hal itu kerana pembatalan puasa qada tidak memberi kesan penambahan hari gantian, tetapi ia hanya melibatkan dosa kerana memutuskan amalan fardu yang sedang dilaksanakan,” katanya.

Baca juga Sengaja tinggalkan puasa Ramadan sejak akil baligh, ini perkara perlu dilakukan

Mudah kata, pendakwah itu menjelaskan, tiada istilah puasa qada di atas qada atau puasa ganti di atas ganti.

“Namun, meninggalkan puasa qada atau ganti tanpa keuzuran tetap dikira berdosa kerana amal ibadah yang fardu tidak boleh dibatalkan.

“Andai ada uzur syarie seperti sakit dan musafir, puasa qada berkenaan boleh dibatalkan,” ungkapnya.

***Foto: Freepik

Syawal
Gaya Hidup,

7 cara ‘segarkan’ Syawal kita, nombor 3 sering dipandang enteng

7 cara ‘segarkan’ Syawal kita, nombor 3 sering dipandang enteng

SEPERTI Ramadan yang telah pergi, Syawal al-Mubarak juga akan berlalu. Namun, alangkah indah andai kehadiran bulan mulia ini diraikan sepenuh hati. Bukan sekadar muncul bagai embun pagi, yang akan hapus disaring terik mentari.

Syawal sama seperti bulan bulan Islam lain di dalam takwim Hijri. Hadirnya penuh barakah, diiring kebaikan dan maghfirah yang melimpah. Bengkel kerohanian yang dilazimi selama 30 hari sepanjang bulan puasa sewajarnya diteruskan sebaik sahaja pesta Aidilfitri usai disempurnakan. Justeru, apa kata, anda dan saya terus segarkan Syawal ini dengan tujuh agenda utama seperti berikut:

1. Dekatkan diri kepada al-Quran.

Sepanjang Ramadan lalu, anda sempat mengkhatamkan al-Quran atau beberapa surah, kenapa tidak jika pada bulan-bulan yang lain kita susun jadual agar mempunyai masa untuk membacanya?

Mungkin kaedah yang paling mudah untuk membaca kitab suci itu ialah dengan bangun awal sebelum Subuh atau mengambil masa rehat jam 12.30-2.00 petang bagi yang bekerja. Tidak perlu banyak, cukup satu atau dua halaman sudah memadai. Yang penting istiqamah.

Baca juga Memang mudah baca al-Quran tulisan rumi, tapi elakkanlah. Ini sebabnya…

2. Menghadiri rumah terbuka.

Syawal

PENUHI jemputan menghadiri rumah terbuka agar hubungan silaturahim sesama kita semakin akrab. -Gambar hiasan/ Foto: Bernama

Rumah terbuka menjadi satu tradisi bagi masyarakat kita dengan tujuan menghubungkan silaturahim berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW: “Barang siapa ingin dipanjangkan umurnya, dilapangkan rezekinya dan dihindarkan daripada kematian yang buruk maka hendaknya dia bertakwa kepada ALLAH dan menyambung silaturahim (tali persaudaraan).(Hadis Riwayat Ahmad)

Tapi jangan anda lupa, makanlah berpada-pada agar kesihatan terjaga.

3. Istiqamah dengan ibadah.

Madrasah Ramadan meninggalkan kesan mendalam kepada Mukmin yang memanfaatkan bulan ini dengan ibadah dan amalan soleh, manakala hasil daripada tarbiahnya diharapkan mampu membimbing kita mengharungi sebelas bulan akan datang.

Momentum ibadah ini tidak terhenti begitu sahaja, bahkan bakal diteruskan dengan ibadah berpuasa enam hari di bulan Syawal. ALLAH SWT menjanjikan ganjaran pahalanya amat besar disisi-NYA.

Daripada Abu Ayyub al-Ansari RA menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa sebulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka dia mendapat ganjaran pahala seperti berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Tip dan trik istiqamah beribadah selepas Ramadan

4. Terus memburu kebaikan.

Syawal

LAKUKAN apa jua kebaikan meskipun kecil. -Foto: 123rf

Sering berlaku apabila Ramadan berlalu, segala rutin kebaikan yang dahulunya sebati dalam diri bertukar kembali seolah-olah Ramadan tidak pernah kunjung tiba. Solat berjemaah kini menjadi asing pada diri, al-Quran mula ditinggalkan tersusun rapi di rak, silaturahim dalam kalangan jiran tetangga tidak lagi dihayati, fakir miskin dan anak-anak yatim tidak dipeduli dan disantuni lagi.

Mengapa agaknya nafsu yang dididik sepanjang Ramadan gagal ditundukkan di luar Ramadan? Mungkin sifat mazmumah itu boleh dikikis dengan melazimkan diri dengan bersedekah. Lazimi diri menghulur paling sedikit RM1 ke dalam tabung masjid.

Bila keluar dengan kawan, usah takut untuk sesekali belanja mereka sama ada sarapan pagi atau minum petang. Takkan rugi bahkan semakin merapatkan ikatan persahabatan.

5. Ramadan berlalu dan ketaatan menetap.

Segala ibadah dengan niat yang ikhlas pasti membuahkan hasil bagaikan petani menuai hasil tuaian selepas penat menjaga tanamannya.

Justeru perbaikilah niat kita bukan kerana hadirnya Ramadan tetapi demi menunaikan ketaatan kepada ALLAH. Semoga segala ibadah yang anda kerjakan terus sebati dalam jiwa.

Syawal

ISTIQAMAH lakukan ibadah dan amal soleh pada bila-bila masa termasuk bulan Syawal. -Foto: Pexels

Istiqamah melakukan ketaatan merupakan satu ujian buat diri. Ia menuntut kepada ilmu dan amal yang bertunjangkan akidah yang sebenarnya kepada ALLAH.

Baca juga Biarlah kebaikan yang dibuat kecil di mata manusia, tapi berterusan. Itulah yang paling dicintai ALLAH

6. Perjalanan menuju haji.

Bagi bakal jemaah haji pastinya Syawal dinanti. Segala persiapan mula disusun rapi. Ilmu berkenaan haji mula ditekuni agar pelaksanaan haji dapat dilaksanakan dengan tenang dan teratur.

Bukan setakat persiapan material dan spiritual bahkan fizikal perlu dijaga. Rajinkan diri untuk bersukan dan bersenam demi persiapan fizikal. Paling tidak berjalan kaki di padang atau di kawasan kampung bersama-sama suami dan isteri.

7. Kemaafan dendam yang terindah.

“Duhai bonda, duhai ayahanda dengarlah rayuan anakanda yang jauh di mata”. Ingat lagi 30 hari lalu, lagu ini menjadi siulan dan trend TikTok buat anak-anak perantauan yang merindui kedua orang tuanya.

Baca juga Minta maaf, tapi tak salam

Justeru, ambillah peluang, isi Syawal ini untuk anda menjalankan tanggungjawab sebagai anak kepada orang tua. Mohon ampun sebanyak-banyaknya daripada mereka.

Syawal

POHONLAH kemaafan daripada insan di sekeliling kita pada Syawal ini. Pada masa sama, maafkan juga kesalahan orang lain pada kita. -Foto: 123rf

Maafkanlah juga segala kekhilafan yang pernah dilakukan oleh ibu dan ayah suatu tika dahulu. Jadikan Syawal sebagai permulaan terbaik anda memulakan kehidupan baru sebagai anak. Tidak rugi jika anda memulakan langkah memaafkan walaupun kadangkala ia sungguh berat untuk dilaksanakan.

Syawal tahun ini juga mampu menjadi permulaan muhasabah diri menjadi seorang Mukmin sejati. Usah merayu Ramadan yang telah pergi untuk kembali tetapi teruskan segala kebaikan yang telah dilakukan sebagai tranformasi diri kearah yang lebih baik.

***Artikel ini ditulis oleh pendakwah bebas, Hairul Hakim Ahmad

Larangan berziarah
Gaya Hidup,

Beraya pun ada waktu-waktunya, elakkan 3 masa larangan berziarah ini

Beraya pun ada waktu-waktunya, elakkan 3 masa larangan berziarah ini

JAM menunjukkan pukul 1 petang. Sudah tiba masanya untuk berehat. Namun, ketika baru sahaja melabuhkan punggung untuk berbuat demikian, sayup-sayup kedengaran suara orang memberikan salam.

Mahu atau tidak, terpaksalah tuan rumah menjenguk. Apabila melihat ada tetamu mahu datang beraya, terus sahaja pintu rumah yang tadinya sudah ditutup rapat kembali dibuka.

Tidak enak pula rasanya jika pada hari raya ini membiarkan tetamu begitu sahaja.

Baca juga Bolehkah tuan rumah menolak tetamu yang datang ziarah lewat malam?

Barangkali ramai yang beranggapan ia hanyalah perkara kecil. Namun, ketahuilah bahawa masa itu adalah waktu yang dilarang untuk kita berziarah.

Demikian tegas Pegawai Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara Cawangan Selangor, Ustaz Khairul Azwad Ibrahim.

USTAZ KHAIRUL AZWAD

Menurutnya, al-Quran secara jelas menyebut tiga waktu yang dilarang untuk kita berziarah iaitu sebelum Subuh, tengah hari dan selepas solat Isyak.

Ia sebagaimana dinyatakan menerusi firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah ALLAH menerangkan kepada kamu ayat-ayat-NYA (yang menjelaskan hukum-hukum-NYA); dan (ingatlah) ALLAH MAHA MENGETAHUI, lagi MAHA BIJAKSANA.” (Surah an-Nur, ayat 58)

“Benar, amalan ziarah adalah sunnah sekiranya dilakukan dengan tujuan yang baik. Bagaimanapun, kita tetap perlu menjaga adab ketika berkunjung.

Baca juga Mari ketahui adab ziarah yang patuhi syariat

“Elakkan tiga waktu yang disebutkan dalam kalamullah tersebut kerana ia mengambil kira waktu tuan rumah untuk berehat,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, andai tuan rumah mengizinkannya, tiada masalah untuk kita berkunjung dalam waktu berkenaan.

Larangan berziarah

ANDAI mendapat keizinan daripada tuan rumah, tiada masalah untuk melakukan bertandang ke rumah orang dalam waktu larangan berziarah. -Foto: 123rf

Bukan sahaja ketika ziarah pada Aidilfitri ini, tetapi juga pada waktu-waktu yang lain juga. Akan tetapi, ia tidak terpakai jika melibatkan undangan perkahwinan atau majlis-majlis tertentu kerana ia atas jemputan tuan rumah.

Rumah terbuka
Isu,

Ziarah-menziarahi tidak terikat ketika Aidilfitri sahaja, tetapi juga pada hari-hari lain

Ziarah-menziarahi tidak terikat ketika Aidilfitri sahaja, tetapi juga pada hari-hari lain

MASIH ramai menganggap bahawa ziarah-menziarahi merupakan amalan pada Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha semata-mata.

Memperbetulkan persepsi itu, Pegawai Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara Cawangan Selangor, Ustaz Khairul Azwad Ibrahim menegaskan, perbuatan baik tersebut bukan hanya terikat ketika Aidilfitri sahaja, tetapi pada hari-hari lain juga.

“Amalan kunjung-mengunjungi bertujuan merapatkan silaturahim dengan didasari kasih sayang.

“Semoga perbuatan itu menjadi penyebab untuk kita mendapat keredaan ALLAH SWT,” katanya.

Sesungguhnya, perilaku mulia itu bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW: “Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan lain. Lalu ALLAH menghantar malaikat untuk menemuinya. Malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana ALLAH. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan ALLAH yang dihantar kepada engkau. ALLAH mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Tamu datang membawa rezeki, muliakan seikhlas hati di Syawal ini

Apabila didatangi tetamu, Ustaz Khairul Azwad mengingatkan tuan rumah supaya melayani individu tersebut dengan sebaiknya andai kehadiran mereka dengan niat yang baik.

USTAZ KHAIRUL AZWAD

Perkara tersebut dirakamkan oleh ALLAH menerusi firman-NYA: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!” Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! “(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal. Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawa keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkan kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan”. (Surah al-Dzariyat, ayat 24-27)

Beliau kemudian menukilkan pandangan Imam an-Nawawi tentang kalamullah tersebut yang menyatakan: “Melayan tetamu adalah sunnah. Jika seseorang bertandang ke rumahnya dan tidak ada mudarat baginya, sunat untuk melayan tetamu tersebut.”

Melihat ungkapan tersebut, ujar beliau, jelaslah bahawa dalam Islam, tiada larangan untuk menziarahi rumah seseorang tanpa jemputan jika baik tujuannya.

“Namun demikian, seorang tetamu itu tetap tidak dibenarkan masuk ke rumah sekiranya tidak diizinkan oleh tuan rumah sebagaimana firman ALLAH dalam Surah an-Nur, ayat 27.

Baca juga Islam sangat muliakan tetamu, tapi boleh ke kita tolak orang datang ziarah?

“Sebaiknya saranan saya, hubungi tuan rumah terlebih dahulu untuk mendapatkan keizinanannya sebelum berziarah. Ia bagi mengelakkan ketidakselesaan kepada tuan rumah,” terangnya panjang lebar.

Balas semula kunjungan

Menyambung hujahnya, penceramah itu kemudian menyarankan kita supaya membalas kunjungan saudara-mara dan handai taulan meskipun sudah bertemu mereka di rumah sendiri atau di manamana.

Ini kerana katanya, amalan itu bertepatan dengan ajaran Islam itu sendiri.

Ziarah-menziarahi

ZIARAH-MENZIARAHI antara satu sama lain dan balaslah kehadiran tetamu kita dengan kunjungan ke rumahnya semula kerana amalan itu bertepatan dengan ajaran Islam. -Foto: 123rf

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat maka jangan sakiti jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya…” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ustaz Khairul Azwad kemudian memetik pandangan al-Munawi tentang hadis berkenaan yang menyatakan, antara cara untuk mencapai kesempurnaan iman: “Iaitu dia hendaklah memuliakan tetamunya sama ada kaya atau miskin. Sambut tetamu dengan wajah ceria, beri hadiah dan membalas ziarah tersebut dengan menziarahi dan bertandang ke rumah tetamu tersebut.”

Pun demikian, terdapat segelintir orang yang menyimpan rasa kecil hati kerana tiada sesiapa pun mahu bertandang ke rumahnya walaupun individu berkenaan sudah menziarahi semua sanak saudara, tetangga mahupun kenalannya.

Baca juga Jangan simpan prasangka buruk pada orang lain, ini sebabnya… 

Dalam hal itu, beliau menasihatkan agar tuan rumah bersangka baik dengan mereka.

“Bagi diri kita pula, perlu bermuhasabah sama ada kita ada menyebabkan saudara atau kenalan terguris. Sebaiknya kita menziarahi semula saudara atau kenalan yang telah mengunjungi kita kerana perbuatan tersebut adalah tanda kesempurnaan iman sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Al-Munawi,” titipnya.

Kepada satu soalan, Ustaz Khairul Azwad menjawab: “Sebilangan masyarakat kita tidak ingin berziarah sekiranya tidak dijemput. Barangkali mereka tidak mahu menyusahkan tuan rumah andai hadir tanpa diundang.

“Ada pula yang beranggapan bahawa ziarah atau datang berhari raya itu perlu mendapatkan jemputan tuan rumah kerana ia dikira seperti sebuah majlis rumah terbuka atau kenduri doa selamat.

“Memang benar jika majlis yang besar atau melibatkan ramai orang perlu mendapatkan jemputan serta undangan dari tuan rumah.

“Berbeza pula jika tuan rumah tidak kisah tetamu datang berhari raya kerana maklum tentang kebiasaan masyarakat setempat. Pada ketika itu, tiada masalah untuk bertandang. Kita sebagai saudara atau kenalan rapat hanya perlu memaklumkan kepada tuan rumah jika ingin berziarah.”

Raya berjemput
Isu,

Hendak raya rumah orang pun kena berjemput ke? Ketahui pandangan Islam dalam hal ini

Hendak raya rumah orang pun kena berjemput ke? Ketahui pandangan Islam dalam hal ini

“JOM kita beraya rumah kakak abang hujung minggu ni,” ajak si isteri pada suaminya dalam nada teruja.

Pasangan tersebut baru sahaja mendirikan rumah tangga empat bulan lalu. Namun, balasan yang meluncur dari bibir lelaki itu benar-benar membuatkan wanita tersebut terkejut.

“Dia tak jemputlah, mana boleh datang rumah kakak,” ujar si suami.

Bermacam-macam andaian dan telahan menerpa dalam benak fikiran wanita itu. Masakan tidak, dalam keluarganya, tiada masalah andai mahu beraya di rumah saudara-maranya pada bila-bila masa.

Bagi mereka, Hari Raya Aidilfitri mestilah rumah sentiasa terbuka untuk menerima kehadiran tetamu.

Baca juga Besarnya kasih ALLAH SWT kepada orang yang menziarahi saudaranya semata-mata kerana DIA

Dalam situasi berasingan, terdapat pula tuan rumah yang sudi menerima kunjungan, tetapi ada kekangan lain.

“Aku ni tak kisah orang datang beraya, cuma kena beritahulah. Bukannya tak mahu buat rumah terbuka, bimbang pula orang fikir aku buat majlis besar dan jemput ramai orang. Sedangkan, aku cuma ada bajet kecil saja,” monolog seseorang dalam hati.

Dua keadaan itu antara yang sering dihadapi kebanyakan orang ketika Hari Raya Aidilfitri. Situasi raya berjemput seakan mencetus fenomena tersendiri.

Apakah pandangan Islam dalam hal itu? Benarkah amalan ziarah-menziarahi perlu ada jemputan tertentu?

Situasi setempat

Ketika pertanyaan itu diajukan kepada pendakwah Ustaz Mohamad Hadi Ahmad Talhah, beliau menjelaskan, suasana itu berlaku disebabkan situasi setempat.

USTAZ MOHAMAD HADI

Jika di kampung, katanya, hubungan jiran tetangga begitu akrab hinggakan tiada rasa janggal untuk ke rumah mereka termasuklah pada Hari Raya Aidilfitri.

“Berbeza pula dengan di bandar yang barangkali sibuk dan tuan rumah tidak bersedia menerima kehadiran tetamu. Bimbang nanti tiada pula jamuan makan yang boleh dihidang kepada tetamu.

Baca juga Bolehkah tuan rumah menolak tetamu yang datang ziarah lewat malam?

“Disebabkan itu, andai kita mahu menziarahi mereka, sebaiknya hubungilah tuan rumah terlebih dahulu. Sekarang ada banyak kemudahan untuk berhubung dan meminta izin bertandang.

“Ada segelintir orang tidak bersedia menerima tetamu kerana mereka tiada di rumah. Fenomena ini tidaklah menjadi suatu perkara yang menyalahi syariat kerana ia suatu bentuk budaya masyarakat setempat,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ustaz Mohamad Hadi mengingatkan agar umat Islam prihatin akan keadaan tuan rumah yang ingin diziarahi.

Beliau berpesan agar tidak terlalu mengharapkan jamuan makan. Lebih-lebih apabila berkunjung ke rumah orang yang kurang berkemampuan.

“Benar, semua perkara perlukan sejumlah bajet termasuklah untuk menjamu tetamu lebih-lebih lagi ketika hari raya. Apalagi banyak yang sudah dibelanjakan untuk membeli pakaian baharu, kuih raya, pulang ke kampung dan sebagainya.

“Jika beraya di rumah orang berada, mungkin tiada masalah dari segi makanan untuk dihidangkan kepada tetamu.

Baca juga Syawal pengikat mahabbah sesama insan, tetapi usah terlampau seronok sangat

“Sebaliknya, apabila menziarahi orang yang kurang berkemampuan, elakkan ziarah mereka semata-mata bagi mengharapkan jamuan,” titipnya.

Eratkan silaturahim

Raya berjemput

SAMA ada raya berjemput atau tidak, usahlah menziarahi tuan rumah semata-mata mengharapkan jamuan makan, sebaliknya lakukan amalan itu demi mengeratkan hubungan silaturahim. -Foto: 123rf

Agamawan itu mengingatkan, biarlah kunjungan tersebut dilakukan untuk mengeratkan hubungan silaturahim.

“Barangkali itulah masa yang sesuai untuk kita memberikan duit raya kepada mereka, di samping memberi bantuan dan menggembirakan hati mereka supaya tidak berasa terasing daripada masyarakat,” ungkapnya.

Meneruskan perkongsian ilmunya, Ustaz Mohamad Hadi menjelaskan, Islam begitu menganjurkan umatnya agar menyuburkan amalan mengunjungi orang lain.

Bahkan, ia turut menjadi amalan yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq apabila khalifah Islam pertama itu menziarahi Nabi Muhammad SAW.

“Lebih-lebih lagi pada hari raya pertama kerana 1 Syawal merupakan hari untuk makan dan minum. Ini bermakna, rumah terbuka pada hari berkenaan untuk ziarah-menziarahi kerana tiada sesiapa melarang untuk kita ke mana-mana.

Baca juga Doakan tuan rumah ketika beraya, perkara ini yang sering diabaikan

“Ziarah dalam Islam secara umumnya adalah sesuatu yang dianjurkan. Malah, menjamu orang makan juga merupakan sunnah yang baik apatah lagi jika ia diberikan kepada golongan fakir miskin dan memerlukan,” ujarnya.

Kepada satu soalan, beliau menjawab: “Kalau jiran ada di rumah, ketuk pintu dan masuk sajalah ke rumah mereka untuk beraya. Lebih-lebih lagi jiran merupakan kelompok aula (utama) untuk kita muliakan dan raikan.

Raya berjemput

JANGAN abaikan untuk menziarahi jiran tetangga ketika Hari Raya Aidilfitri ini. -Foto: 123rf

“Dengan tetangga, hubungan perlu dirapatkan daripada orang jauh. Jangan sesekali abaikan mereka.”

Kebaikan kecil
Ibadah,

Biarlah kebaikan yang dibuat kecil di mata manusia, tapi berterusan. Itulah yang paling dicintai ALLAH

Biarlah kebaikan yang dibuat kecil di mata manusia, tapi berterusan. Itulah yang paling dicintai ALLAH

KADANGKALA terbit rasa iri hati apabila melihat orang lain melakukan banyak amal kebaikan. Terfikir juga mengapa diri ini tidak boleh menjadi sepertinya.

Bukannya kita tidak mahu beramal, tetapi adakalanya ada sahaja kekangan yang dihadapi. Akhirnya, hasrat untuk melakukan sesuatu seperti bersedekah, membaca al-Quran dan sebagainya terkubur begitu sahaja.

Namun begitu, rugilah andai kita tidak melakukan apa yang sudah diniatkan tadi. Lebih-lebih lagi kita baru sahaja melalui madrasah Ramadan yang mendidik diri bertakwa dan menjadi insan lebih baik.

Alangkah indahnya jika kita dapat meneruskan perbuatan baik dan ibadah yang dilakukan sepanjang bulan mulia berkenaan.

Ketahuilah bahawa amalan yang begitu dicintai oleh ALLAH SWT adalah perbuatan baik yang dikerjakan secara berterusan.

Baca juga LIMA ciri insan yang dapat tempat istimewa di sisi ALLAH

Perkara itu jelas disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, kerjakanlah suatu amalan mengikut kemampuan kalian kerana sesungguhnya ALLAH tidak akan bosan sehingga kalian merasa bosan, dan sesungguhnya amalan yang paling dicintai ALLAH adalah yang dikerjakan secara berterusan walaupun sedikit.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kebaikan kecil

JANGAN pernah lelah untuk melakukan kebaikan dan beramal semata-mata meraih keredaan ALLAH SWT. Semoga kita akan menjadi penghuni syurga kelak. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Memetik hantaran yang dikongsikan oleh Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dalam laman sosial Facebook miliknya, perilaku tersebut dapat dilihat menerusi sikap Rasulullah SAW yang menjadi contoh terbaik dalam kehidupan seharian.

Walaupun Nabi Muhammad SAW seorang yang maksum, tetapi Baginda tetap sibuk mengurus umat pada waktu siang dan sentiasa kuat beribadah pada malam harinya.

“Dalam hadis ini, Saidatina Aisyah menerangkan keadaan Baginda mengerjakan solat malam hanya dengan menggunakan tikar pelepah sebagai alas dan daun tamar sebagai dinding tanpa tempat mihrab yang khusus.

Baca juga Terjaga waktu malam, cepat-cepatlah solat tahajud. Ini kelebihannya yang perlu kita tahu

“Baginda sebenarnya mengajar kita secara pratikal supaya hidup dengan cara yang mudah, reda dengan apa yang ada serta beribadah dengan cara yang tidak memberatkan.

“Ini sangat jelas dalam penceritaan Saidatina Aisyah walaupun ketika itu Baginda merupakan seorang pemimpin terbesar buat umat Islam,” katanya sebagaimana dipetik dalam Facebook Majlis Ulama ISMA.

Kebaikan kecil

BERSEDEKAHLAH walaupun dengan nilai yang sedikit dan tetap istiqamah dengan amalan yang dilakukan kerana begitu banyak manfaatnya kepada kita. -Foto: 123rf

Bukan itu sahaja, dalam hadis yang sama juga, Majlis Ulama ISMA menjelaskan, Aisyah turut menceritakan perbuatan Rasulullah SAW melaksanakan solat sunat hingga menyebabkan ramai sahabat behimpun untuk mengikutinya.

“Bagi mengelakkan ia dianggap ‘wajib’ oleh para sahabat, lantas Rasulullah SAW memberikan panduan iaitu buat sekadar termampu dan tidak diberatkan agar tidak berasa jemu.

Baca juga Biar amal sedikit, jangan tinggalkan terus

“Amalan yang paling baik di sisi ALLAH SWT adalah amalan yang dilakukan secara berterusan walaupun ia sedikit,” tegasnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Foto: Canva