Browsing Tag

sinar plus

Berita, Berita Semasa,

Lathi Challenge haram? Ini sebabnya yang kita perlu ambil tahu

SANA sini kecoh tentang Lathi Challenge yang tiba-tiba viral sejak beberapa minggu lalu di media sosial. Apa tidaknya, ramai yang menyertai cabaran berkenaan.

Tidak kurang juga yang mengecam dan mengatakan Cabaran Lathi itu haram kerana teknik solekan menyeramkan dan sebagainya.

Kepada mereka yang mungkin missed tentang cabaran ini, Lathi Challenge dikatakan bermula dari negara jiran, Indonesia, berdasarkan laporan portal Malaysiakini.

Menurut laporan berkenaan, seorang remaja bernama Jharna Bhagwani yang memulakannya. Dia dikatakan menyahut cabaran pengikutnya untuk membuat kandungan klip video dengan menggunakan lagu Lathi pada 18 Mei lalu.

Dalam klip video berkenaan, Jharna telah memaparkan transformasi solekan berwajah cantik kepada hantu sambil menari mengikut lagu berkenaan dan memakai pakaian tradisional Jawa.

Begitupun, ada pihak yang mendakwa klip berkenaan seolah-olah memuja atau menyeru hantu pontianak. Namun, laporan Malaysiakini menyebut, Lathi merupakan sebuah lagu hit di Indonesia menggunakan judul dan bahasa Jawa yang bermaksud ‘dari lidah, batinku atau tutur kata’ yang diterbitkan pada 27 Februari lalu.

Akan tetapi, cabaran itu tetap haram di sisi agama Islam, tegas Ustaz Syed Bakri Al-Yahya atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Syed. Ia sebagaimana yang dijelaskan menerusi Instagram dan IGTV miliknya baru-baru ini.

Ramai yang tertanya-tanya apakah salah dan haramnya Lathi Challenge berkenaan? Sama ada Lathi, cabaran, solekan, membuat watak hantu ataupun syaitan itu sendiri yang bersalah?

PU Syed memberikan penjelasan terperinci tentang perkara ini. Ujar beliau, melakonkan watak seperti dalam Lathi Challenge dan menjadi ikutan itu seolah-olah kita telah meniru sunah (jalan) yang tidak baik.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang merintis suatu sunah (yang baik) dalam Islam, maka baginya pahala amalan yang dirintisnya itu, serta (dia juga beroleh) pahala orang yang mengamalkan selepasnya. Dan barang siapa yang merintis suatu sunah (yang buruk) dalam Islam, maka baginya dosa amalan yang dirintisnya itu, serta (dia juga beroleh) dosa orang yang mengamalkannya selepas itu.” (Riwayat Muslim)

PU Syed menegaskan, Cabaran Lathi itu haram bersandarkan kepada hadis berkenaan.

“(Ia) sesuatu yang tak sepatutnya dibuat dan ditonjolkan. Zaman kita dipanggil zaman viral sama ada baik atau buruk benda itu, akan ada orang yang follow dan menjadi pentaksub yang sangat luar biasa.

“Maka, adakah dalil ni sangat kuat? (Sesiapa yang) mencetus dan dan merintis sunah yang  buruk, dia akan dapat dosa. Jika orang follow perbuatan tersebut, orang yang mula-mula buat buat tadi pun akan dapat saham dosa daripada apa yang telah dilakukan oleh orang yang mengikutinya,” jelas beliau menerusi IGTV miliknya baru-baru ini.

Sekali lagi PU Syed turut menjelaskan, Cabaran Lathi itu tidak bagus, ditambah pula dengan teknik solekan sebegitu walaupun dilakukan oleh mereka yang berhijab.

“Sama ada pakai tudung atau tidak, perbuatan itu sepatutnya jangan dilakukan. Jangan dibuat main-main (kerana) perbuatan tersebut disebut sebagai satu sunah yang buruk yang tak perlu kita buat,” katanya.

Lathi Challenge

PU SYED (gambar kecil) menjelaskan Lathi Challenge haram kerana ia ibarat meniru sunah (jalan) yang tidak baik. -Gambar hiasan

Hentikan Lathi Challenge, tukar cabaran lain

Beliau turut mengingatkan, meskipun cabaran itu diperkenalkan oleh orang seberang sama ada individu tersebut beragama Islam atau tidak. Itu bukan soalnya.

“Apa juga agamanya, mesti ada satu punca yang dia ikuti menyebabkan ideanya datang sebegitu rupa untuk melakukan perkara seperti itu.

“Kenapa kita tak ubah challenge yang lebih Islamik? (Atau) cabaran yang boleh menentukan akhlak kita, challenge yang boleh menyebabkan bertambahnya pahala dan menjauhkan kita daripada dosa, challenge yang menyebabkan kita dekat dengan ALLAH SWT dan jauh daripada pengaruh syaitan, challenge yang menyebabkan kita insaf dengan diri kita?

“Buatlah cabaran (seperti) baca Surah al-Kahfi ke, baca Surah al-Mulk ke, bersedekah, cat rumah, memicit ayah dan mengurut emak, asalkan menjaga SOP (prosedur operasi standard) syariah,” sarannya.

Tambah PU Syed lagi, apalah salahnya jika kita membuat challenge yang mendekatkan masyakat kepada Islam itu sendiri.

(Artikel berkaitan: “Barzakh Challenge” pengganti “Lathi Challenge” versi Norman Hakim)

Apatah lagi, dalam keadaan sekarang, apa sahaja perkara-perkara pelik akan menjadi ikutan anak-muda. Inilah perkara yang paling merisaukan, jelasnya.

“Maka, kaedah menyebut kita menyekat sesuatu perkara yang dirasakan  buruk yang menyebabkan suatu keaiban kepada individu dan agama.

“Justeru, bila saya nyatakan Lathi Challenge haram, hujahnya dan dalilnya banyak,” tegasnya.

Beliau turut berpesan agar kita tidak lagi mengikuti cabaran berkenaan yang disifatkannya sebagai mengarut. Sebaiknya, ikutlah challenge yang ALLAH cabar pada kita seperti solat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya.

“Itulah cabaran paling hebat yang ALLAH tawarkan kepada kita. Jadi, berhati-hatilah agar kita tak terpengaruh,” pesannya.

Kepada semua pembaca SinarPlus, pilihlah jalan terbaik untuk diri kita. Jangan menjebakkan diri ke dalam sesuatu yang tidak pasti hingga boleh datangkan natijah yang buruk kepada diri.

Masih belum terlambat lagi jika kita jauhkan diri daripada cabaran-cabaran yang bersifat duniawi ini.

Sumber: Instagram Syed Bakri Al-Yahya

Foto: Freepik

Berita Semasa, Panduan,

Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, diikuti enam hari bulan Syawal, seolah berpuasa sepanjang tahun

TIDAK terlambat lagi rasanya jika kita ingin memulakan puasa sunat enam pada bulan Syawal.

Ya, Hari Raya Aidilfitri masih lagi berbaki dua minggu lagi. Boleh saja kita mulakan puasa pada bila-bila masa sebelum Syawal meninggalkan kita.

Walaupun hukumnya sunat, tetapi alangkah baiknya kalau kita boleh menunaikannya. Fadilatnya bukan calang-calang tau.

Kalaulah kita tahu, sudah tentu peluang keemasan ini tidak akan dilepaskan begitu saja. Apa tidaknya, bukannya selalu kesempatan itu datang depan mata.

Setahun sekali saja Syawal bertandang iaitu selepas Ramadan mengucapkan selamat tinggal kepada kita.

Apa sebenarnya kelebihan yang ada jika kita berpuasa sunat enam pada bulan Syawal ini?

SinarPlus kongsikan jawapan pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki berkenaan kelebihan puasa sunat enam.

USTAZ MUSTAFAR

Jelas beliau, puasa enam hari pada bulan Syawal adalah sunat yang dituntut untuk kita melakukannya.

“Ia sebagaimana pendapat Mazhab Syafie, Hambali dan selainnya berdasarkan sebuah hadis sahih riwayat Imam Muslim,” kongsinya.

(Artikel berkaitan: Boleh ke dahulukan puasa sunat enam Syawal daripada qada puasa Ramadan?)

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti enam hari pada bulan Syawal, maka seolah berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim) 

Hadis itu menunjukkan sesiapa yang menunaikannya ibarat seperti berpuasa selama 365 hari! Subhanallah, beruntung kepada sesiapa yang berjaya melakukannya.

Kata Ustaz Mustafar lagi, puasa berkenaan lebih utama dilakukan secara berturut-turut.

“Jika ia dilakukan secara berselang-seli dan masih pada bulan Syawal, maka puasanya tetap sah seperti pendapat Imam al-Nawawi dan Ibn Qudamah,” katanya.

Selain itu, agamawan itu menjelaskan, puasa sunat enam juga menampung kekurangan puasa Ramadan seperti disebutkan dalam hadis sahih riwayat al-Tirmizi yang mana ALLAH SWT akan melihat kepada solat yang fardu. Jika ada kekurangan, maka dilihat kepada solat sunat, begitulah amalan lainnya seperti puasa.

Mudah-mudahan dengan melakukan puasa sunat Syawal menjadikan kita bertambah iman dan takwa kepada ALLAH SWT.

Justeru, marilah kita bersama-sama melakukannya. Jangan sia-siakan peluang yang ada di depan mata ini.

Berita Semasa, Panduan,

Wuduk kita tetap sah walaupun pakai kanta lekap, berikut penjelasannya

PEMAKAIAN kanta lekap tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita terutama golongan muda.

Maklum sajalah, kanta lekap ni ada pelbagai fungsi. Selain untuk tujuan kecantikan, ia juga berfungsi sebagai alat pembetulan iaitu pengganti cermin mata.

Jadi memang sesiapa saja boleh memakainya.

Begitupun, ada segelintir orang berpandangan amat renyah jika memakai kanta lekap ni. Bukan saja dari segi penjagaannya, tapi juga bila nak ambil wuduk.

Sehinggakan ada orang menanggalkan kanta lekap ini semata-mata untuk mengambil wuduk. Bukan apa, takut tak sah wuduk tadi.

Risau andai solat juga jadi tidak sah gara-gara mengambil wuduk ketika memakai contact lens kerana berandaian alat itu menghalang air daripada masuk ke dalam mata.

Tapi betul ke? Bagaimanakah wuduk orang yang memakai kanta lekap? Adakah memang kita wajib untuk menanggalkan contact lens itu terlebih dahulu?

Sebenarnya, menurut Mazhab Syafie, bahagian dalam mata adalah tidak termasuk dalam anggota wuduk yang wajib dibasuh.

(Video berkaitan: Hukum memakai kanta lekap ketika berpuasa)

Imam al-Syafie berkata: “Dan tidak aku ketahui perselisihan yang mengatakan bahawa anggota muka yang wajib dibasuh ketika wuduk adalah bahagian yang zahir (bahagian luar) dan tidak termasuk bahagian dalam dan tidak diwajibkan ke atas seseorang untuk membasuh kedua matanya.” (Rujuk Al-Umm, 1/40)

Imam al-Nawawi pula berkata: “Adapun hukum bagi permasalahan ini, maka tidak diwajibkan untuk membasuh bahagian dalam mata menurut kesepakatan ulama dan pada yang menyatakan sunat hukumnya terdapat dua pandangan, tetapi pandangan yang sahih adalah berdasarkan pandangan jumhur ulama iaitu hukumnya adalah tidak sunat.” (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 1/404)

Melihat kepada ungkapan di atas, maka jelaslah hukum memakai kanta lekap ketika berwuduk adalah harus. Apa yang penting, wuduknya tetap sah.

Apatah lagi jika pemakaian kanta lekap tidak menghalang air daripada masuk ke dalam mata.

Sekalipun kanta lekap itu menghalang air sampai ke dalam mata, ia tetap tak menjadi masalah kerana tidak diwajibkan ketika berwuduk, bahkan perbuatan itu tidak juga disunatkan.

Jadi, kepada mereka yang pakai contact lens, tak perlulah risau ya. Tak payah tanggalkan kanta lekap itu pun tidak mengapa. Ia tak menjejaskan wuduk kita.

Semoga perkongsian ini memberikan pencerahan kepada semua.

(Sumber: Al-Kafi #1628: Hukum Memakai Kanta Lekap Ketika Berwuduk, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Berita, Berita Semasa,

Solat Jumaat di tempat larangan ulil amri? Hati-hatilah, takut tak sah, nanti kena ganti balik dengan solat Zuhur

BAGI mereka yang tinggal di negeri Selangor, surau dan masjid masih lagi belum dibuka untuk solat lima waktu dan solat Jumaat sehingga 30 Jun ini.

Ia berkecuali bagi 39 buah masjid yang dibenarkan sebelum ini untuk melakukan solat Jumaat dengan bilangan yang ditetapkan iaitu tidak melebihi 12 orang terdiri daripada kalangan pegawai dan ahli jawatan kuasa masjid sahaja.

Demikian titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini.

Semuanya demi kemaslahatan bersama untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Justeru, wajib patuh kepada arahan pemerintah yang menjadi pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Tapi ada juga segelintir orang masih berdegil dan enggan mematuhi arahan ulil amri atau pemerintah.

Ya, semua faham kehendak diri yang membuak-buak mahu ke rumah ALLAH dan tunaikan solat di situ. Apatah lagi solat Jumaat yang kewajipannya hanya seminggu sekali itu.

Namun begitu, kena ingat bahawa wajib untuk kita patuh kepada arahan ulil amri yang menjadi pemerintah kita pada hari ini.

Dalam kefarduan menunaikan solat Jumaat, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dalam kenyataan akhbarnya baru-baru ini menjelaskan, ijmak para ulama menghukumkan bahawa solat Jumaat adalah fardu yang wajib didirikan oleh semua orang Islam bagi lelaki yang cukup syarat-syaratnya.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati ALLAH (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); itu yang demikian adalah baik bagi kamu jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumuah, ayat 9)

Begitupun, ketika dalam kekangan tidak dapat menunaikan solat Jumaat seperti kelaziman gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan, solat Zuhur tetap perlu ditunaikan di tempat di mana kita berada.

(Artikel berkaitan: Boleh terus solat Zuhur, tak perlu tunggu solat Jumaat habis ketika musim PKPB)

Bagi sebilangan kecil orang Islam di Selangor yang tetap berdegil mendirikan solat Jumaat di premis yang tidak mendapat kebenaran ulil amri (pihak berkuasa) dalam tempoh PKPB ini, berhati-hatilah.

Kata Mohd Tamyes, Mazhab Syafie dalam qaul qadimnya berpandangan bahawa tidak sah menunaikan solat Jumaat tanpa izin ulil amri (pemerintah) sepertimana yang dinyatakan dalam kitab al-Bayan fi Mazhab al-Imam as-Syafie, jilid 2/618.

Tambahan pula, jelas beliau, larangan itu juga bertepatan dengan Seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 (EPAINS 2003) berhubung sekatan tentang penubuhan masjid dan penalti yang menyatakan:

(1) Tiada seorang pun boleh, tanpa kebenaran bertulis daripada Majlis mendirikan apa-apa bangunan untuk digunakan atau menggunakan atau menyebabkan supaya digunakan mana-mana bangunan bagi perkara-perkara yang hanya boleh dilakukan di atau oleh masjid.

(2) Mana-mana orang yang melanggar peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Justeru, sekali lagi Mufti Selangor menegaskan agar umat Islam di negeri Selangor tidak melanggar arahan yang dikeluarkan.

Tegas agamawan itu lagi, solat Jumaat yang didirikan di tempat yang tidak dibenarkan oleh ulil amri adalah tidak sah dan bertentangan dengan enakmen pentadbiran yang sedang berkuatkuasa.

“Bagi mereka yang telah menunaikan solat Jumaat selain dari tempat yang ditentukan oleh ulil amri, hendaklah menggantikan (qada) semula dengan solat Zuhur,” jelasnya.

Kepada semua pembaca SinarPlus, patuhilah arahan pemerintah dan pihak berkuasa agama negeri masing-masing. Ingat ya, ada sebab kenapa pemerintah menguatkuasakan larangan tersebut.

Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan soal berkaitan dengan kewajipan kita sebagai umat Islam. Bab hukum memang tak boleh dibuat main ya.

(Sumber: Facebook Jabatan Mufti Negeri Selangor)

Berita Semasa, Panduan,

Wajib jawab salam walaupun duduk dalam kumpulan

“KENAPA tak jawab salam tadi? Kalau tak jawab, dosa tau.”

Selalu kita dengar orang di sekeliling berkata demikian, bukan? Ternyata ia bukan kata-kata sembarangan.

Sepatutnya ia diambil sebagai peringatan bersama dan nasihat. Apa tidaknya, memang berdosa sungguh kalau kita tak menjawab salam yang telah diucapkan orang lain.

Nampak macam perkara remeh, tapi hakikatnya dengan ucapan salam inilah ia mengutuhkan pertalian antara kita.

Hendak berikan salam pun kena tengok juga pada tempatnya. Jangan pula berikan salam di hadapan tandas. Tak beradab namanya.

Ketahuilah adab memberi dan menjawab salam yang betul sepertimana diajar oleh agama Islam yang suci ini.

Ya, memberi salam merupakan satu tuntutan dalam agama kerana ia akan mengeratkan pertalian kasih sayang sesama Islam.

Daripada Abdullah bin Amr bin Ash RA berkata: “Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW: ‘Islam manakah yang paling baik.’ Nabi Muhammad SAW bersabda: ‘Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal’.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Memulakan salam adalah sunah dan menjawabnya pula, hukumnya, wajib.

Jika seorang Muslim itu berada dalam kumpulan, maka menjadi sunah kifayah apabila sebahagian daripada mereka sahaja mengucapkan salam. Namun, kesemua mereka dalam kumpulan berkenaan memperoleh sunah salam.

Andai kata, seorang Muslim itu bersendirian, maka menjadi fardu ain ke atasnya untuk menjawab salam tersebut.

Pun demikian, jika seseorang berada dalam jemaah, menjawab salam itu menjadi fardu kifayah jika salah seorang daripada mereka menjawab salam berkenaan. Maka, gugurlah dosa terhadap yang lain.

Paling afdal adalah kesemuanya memberikan salam dan masing-masing menjawabnya.

(Sumber: Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Berita Semasa, Panduan,

3 nasihat ’emas’ jadi ayah berwibawa yang perlu kita tahu

SEMUA sedia maklum dengan tugas ketua keluarga yang begitu besar digalas oleh kaum Adam. Namun, tanggungjawab dipukul mereka bukanlah semata-mata mencari nafkah buat keluarga.

Malah, golongan lelaki juga berkewajipan memimpin keluarganya bukan sahaja di dunia ini, tetapi juga hingga ke syurga. Figura sebagai ketua keluarga juga menjadikan mereka sebagai contoh teladan terdekat buat anak dan isteri.

Ketahuilah bahawa ayah yang bertanggungjawab dan memainkan peranannya dengan baik mampu membina keluarga yang bahagia hingga ke jannah.

Berkongsi ilmu tentang rahsia kekuatan rumah tangga khas untuk ayah atau bakal bapa, Pengasas Ar-Rahman Qur’anic Learning Islamic Center dari Indonesia, Ustaz KH Bactiar Nasir menghuraikan tiga nasihat ’emas’ yang diambil daripada ulama tersohor.

Butiran itu diungkapkan beliau menerusi rakaman video bertajuk Risalah Untuk Ayah yang dikirimkan kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Ayah berwibawa

DIDIK anak dengan mengutamakan ilmu akhirat dan pada masa sama, menyeimbangkannya dengan keperluan duniawi.

Jom ikuti perkongsian agamawan ini:

1. Perbaiki hubungan kita dengan ALLAH

Jika kita sentiasa berusaha memperbaiki hubungan dengan YANG MAHA ESA, sedar atau tidak, tindakan berkenaan akan memudahkan sesiapa sahaja terutama si ayah untuk menentukan hala tuju keluarga.

Sekiranya si ayah menunjukkan emosi dan perbuatan yang baik dan mulia, ia secara tidak langsung akan membuatkan isi keluarga kagum dan tertarik dengan transisi yang dibawa.

Dengan sendirinya juga, energi ketelusan akan datang dari dalam diri. Tidak terhenti setakat di situ sahaja, Malaikat Sakinah atau ketenangan akan bekerja untuk kita dalam memperbaiki hubungan kita dengan ALLAH SWT.

2. Ubah sisi dalam ayah, nescaya ALLAH SWT akan mengubah sisi luar mereka

Para ayah tidak perlu sibuk untuk memperbaiki sisi luar dahulu dengan melakukan pelbagai ‘gimik’. Usaha itu sebenarnya akan menyebabkan ia kelihatan pelik di hadapan anak.

Perbaiki dahulu sisi dalam diri kerana ia sudah tentu dapat mencetus energi kebaikan untuk isteri dan anak melalui mawaddah atau rasa cinta kepada YANG MAHA ESA.

Orang di sekeliling juga akan mendapat tempias positif.

3. Utamakan kepentingan akhirat

Ajak dan pimpinlah keluarga berorientasikan akhirat. Ia sangat signifikan lantaran ayah tidak akan penat memenuhi kepentingan dunia anak secara keterlaluan. Suami juga tidak lelah melayan tekanan kehendak duniawi si isteri.

Dalam pada itu, Ustaz KH Bactiar yang juga penulis buku Masuk Syurga Sekeluarga turut mengingatkan kaum Adam agar tidak berputus asa untuk menjadi seorang ayah yang berjuang membawa keluarga untuk ‘menembusi’ syurga ALLAH.

“Jangan jadi ayah gagal yang tidak berwibawa memimpin keluarga. Jadilah ‘ayahku, sumber inspirasiku’ buat anak-anak dalam membina legasi ummah bertauhid sebagaimana dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Yaakub AS,” nasihat beliau.

Penulis: Fouziah Amir

Berita Semasa, Panduan,

Biar amal sedikit, jangan tinggalkan terus

PEJAM celik, pejam celik, rupanya hampir setengah purnama kita berada dalam bulan Syawal. Pantasnya masa berlalu. Rasanya macam baru saja kita dengar laungan takbir bergema di rumah dan melihat ketua keluarga masing-masing menyampaikan khutbah.

Momen yang tidak pernah langsung kita bayangkan dalam fikiran sebelum ini. Tapi itulah yang berlaku pada Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Mereka yang bernasib baik berpeluang bersama keluarga tercinta meraikan lebaran. Momen bergambar dan menikmati juadah warisan beramai-ramai pasti tersemat dalam ingatan.

Bagi sesetengah orang yang ‘terperangkap’ meraikan lebaran sendiri di rumah masing-masing akibat Perintah Pergerakan Kawalan Bersyarat, barangkali detik itu sukar dilupakan. Tapi apakan daya, raya tetap perlu diteruskan. Sebolehnya kita tidak mahu hal sama berulang pada masa akan datang.

Apa juga yang kita tempuhi tempoh hari memang tidak akan luput dalam ingatan. Ya, itulah suasana Aidilfitri norma baharu yang mungkin menjadi sejarah kepada diri kita yang pasti akan dikenang sampai bila-bila. Covid 19 mengajar manusia betapa sesuatu itu tidak mustahil dan betapa hebatnya kekuasaan ALLAH SWT.

Setelah hampir dua minggu, kita kembali melayari rutin harian seperti biasa. Ada yang sudah masuk ofis namun ketika norma baharu sekarang, lebih ramai bekerja dari rumah.

Di sebalik kesibukan itu, barangkali ada yang kembali terleka dibuai pelbagai nikmat dunia. Selepas sebulan menahan dahaga dan segala macam nafsu ketika Ramadan, kita mungkin sudah tidak menyentuh apatah lagi membaca kalam ALLAH. Secara tiba-tiba juga, kita tidak membasahkan bibir dengan zikirullah. Hanya ibadah wajib sahaja yang dilakukan.

Kenapa hal demikian banyak berlaku kepada kita? Bukankah terasa rugi rutin itu dibiarkan begitu sahaja? Bagaimana cara untuk kita kekal istiqamah selepas Ramadan? Apakah amalan yang boleh dilakukan?

Susun jadual

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau dikenali sebagai Da’i Fuad berkata, manusia sememangnya bersifat pelupa. Apatah lagi dalam keadaan riang gembira ketika menyambut perayaan.

DA’I FUAD

Jelas beliau, tidak salah untuk meraikan Syawal tetapi jangan sampai melupakan apa yang dilakukan sepanjang Ramadan.

“Suka saya mengingatkan, Ramadan adalah bulan untuk mendidik nafsu dan Syawal pula, melayan nafsu. Hari ini, ramai orang terjatuh dan tersungkur meninggalkan semangat pada bulan Ramadan kerana ketika tibanya Syawal, ramai yang memuaskan nafsu dengan mula memakai pakaian yang membuka aurat dan makan makanan yang berlebihan.

“Bukan itu saja, ada juga yang melewatkan solat. Perkara itu menjadikan masalah yang lebih besar hingga orang mula lupakan ibadah,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Tegas Da’i Fuad, Aidilfitri juga sepatutnya disambut dengan penuh tawaduk dan ketakwaan.

“Kita mesti saling ingat-mengingati, berpesan dan menasihati. Setiap orang dalam kalangan kita bertanggungjawab dalam memanifestasikan cinta kepada ALLAH supaya orang sekeliling tidak alpa kepadaNYA,” ujarnya yang menyarankan agar umat Islam bermujahadah dalam diri untuk mengekalkan momentum sepertimana yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan.

Apa yang rahsia untuk terus beristiqamah? Jawab Da’i Fuad, setiap daripada kita digalakkan membuat jadual amalan harian.

“Kita sendiri susun jadual, umpamanya 10 amalan wajib yang boleh dilakukan setiap hari. Boleh senaraikan amalan zikir, baca al-Quran, sedekah infak, membaca buku, melakukan kerja rumah, membaca Surah al-Mulk sebelum tidur dan sebagainya. Beritahu diri sendiri bahawa hal-hal itu merupakan intipati wajib untuk dilakukan semata-mata kerana ALLAH.

“Sebagai hamba yang banyak dosa kepada ALLAH, kita ada banyak kekotoran dan kekurangan. Justeru, tatkala kita bertasbih dan beristighfar, ketika itulah ALLAH akan memberi keyakinan kepada kita untuk sentiasa mencari keberkatan dalam kehidupan,” terangnya.

Kita hamba ALLAH

Sementara itu, pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan menjelaskan, setiap orang perlu benar-benar mengenali diri masing-masing. Ingatlah bahawa kita merupakan amba ALLAH yang mengabdikan diri kepada-NYA, bukan menghambakan diri kepada Ramadan.

IMAM MUDA HASSAN

“Jika kita sedar status sebagai hamba ALLAH, tidak kisahlah dalam bulan apa sekalipun, kita tetap hamba-NYA dan beribadah untuk-NYA. Ya, memang kita faham bahawa peluang untuk beribadah pada bulan Ramadan itu nampak lebih jelas dengan adanya solat tarawih. Begitu juga peluang untuk berbuat baik seperti bersedekah lebih banyak pada bulan mulia itu.

“Memang tak dinafikan perkara itu ada disebutkan jelas dalam hadis. Namun bukan bermakna selepas Ramadan, kita tak boleh lakukan lagi. Fadilat itu masih lagi berjalan selagi mana kita hidup di dunia ini,” jelas beliau.

Kepada satu soalan, Imam Muda Hassan berkata, andai kata bulan Ramadan ditinggalkan tanpa apa-apa kesan dan perubahan kepada diri, ia merupakan satu kerugian yang sangat besar.

“(Pada bulan Ramadan) pintu neraka ditutup, pintu syurga dibuka dan syaitan pula dibelenggu. Semua tahu hadis masyhur berkenaan. Malangnya, kita pula tak ambil peluang yang ada untuk lakukan apa yang sepatutnya seolah-olah kita ini sombong dengan ALLAH. Ramadan dilalui tanpa memberi impak positif kepada kita.

“Sekurang-kurangnya, pada bulan yang mulia, paling tidak, mesti ada sedikit perubahan dalam diri. Jika dulu, mungkin kita tak pandai baca al-Quran, tapi Ramadan kali ini sudah boleh mengaji. Sekiranya sebelum ini, kita panas baran, tetapi hasil tarbiah Ramadan, berkurang pula sifat berkenaan. Perubahan yang kita nampak itulah tanda yang baik,” katanya.

Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh ALLAH SWT adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.” (Riwayat al-Bukhari)

Melihat kepada ungkapan hadis berkenaan, Imam Muda Hassan berkata, sudah jelas bahawa ia menyarankan agar kita beristiqamah melakukan ibadah dan amal kebajikan.

“Kita ambil semangat Ramadan. Kalau tak berupaya buat semua, jangan tinggalkan langsung sepertimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

“Sebagai contoh, seandainya kita tak mampu nak buat (ibadah) sepertimana pada bulan Ramadan, lepas solat Isyak, apa kata kita lakukan solat sunat ba’diyah atau solat sunat mutlak. Kepada yang selalu tunaikan solat tahajud, teruskanlah walaupun hanya sebulan sekali. Jangan tinggalkan terus amalan itu, jangan tunggu Ramadan akan datang baru nak buat,” pesannya.

Justeru, rumusannya, tidak kira pada bulan apapun, kewajipan kita kepada ALLAH SWT jangan sesekali disisihkan. Ketahuilah maut boleh menjemput manusia pada bila-bila masa. Harta dunia tidak akan dihitung, sebaliknya amalan kita di dunia menjadi bekal yang ampuh untuk menuju ke syurga-NYA.

Amal

JANGAN tinggalkan terus amalan lazim yang biasa dilakukan sepanjang Ramadan seperti membaca al-Quran.

ANEKDOT

Tip kekal istiqamah selepas Ramadan

-Buat jadual rutin amalan harian yang mudah untuk dilakukan.

-Lakukan ibadah atau amal kebajikan secara berterusan walaupun sedikit.

-Ingatkan diri masing-masing bahawa kita hamba ALLAH SWT, bukan hamba kepada makhluk seperti Ramadan.

– Bergaullah dengan orang yang baik dan positif supaya kita sentiasa semangat beristiqamah untuk melakukan amalan baik.

Foto: Bernama

Berita Semasa, Panduan,

Pasang lagu raya pada majlis dan tempat awam, ketahui pandangan Islam mengenainya

SELAIN menghidupkan sunah Aidilfitri di rumah masing-masing ketika menyambut lebaran kali ini, lagu raya turut memainkan peranan dalam membangkitkan mood hari raya.

Masakan tidak, lagu itukan berbentuk hiburan. Ia boleh jadi terapi, peneman dan pengubat rindu meskipun tak dapat pulang ke kampung halaman beraya bersama insan tersayang yang jauh nun di sempadan negeri.

Begitu juga bagi mereka yang berpeluang menziarahi keluarga terdekat. Semacam tidak lengkap hidup bila tiada lagu raya berkumandang.

Tambahan pula, ketika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berseloroh suruh mainkan lagu Dendang Perantau sekali-sekala pada 10 Mei lalu. Memang ‘kecoh’ juga dibuatnya dan jadi bualan ramai ketika itu.

Itu cerita pada bulan Ramadan lalu. Bila sudah masuk bulan Syawal, lagu-lagu raya bukan saja kerap dimainkan di radio malah di tempat-tempat awam dan majlis keraian juga.

Memandangkan kita tak boleh adakan rumah terbuka, majlis sambutan hari raya dan sebagainya, ada juga yang memainkan lagu raya di pejabat dan tempat-tempat awam sebagai nak menghidupkan suasana lebaran.

Boleh ke kita mainkan lagu-lagu hari raya di tempat-tempat sebegini? Adakah ia termasuk sebagai hiburan yang dibenarkan? Apakah pandangan Islam mengenainya?

Sebenarnya, tiada larangan bagi orang Islam untuk merayakan atau meraikan hari raya dengan permainan atau nanyian pada asalnya.

Ia kerana kita meraikan hari kemenangan, kebahagiaan dan hari kita kembali pada fitrah setelah melakukan ibadah puasa pada bulan Ramadan.

Bahkan, bergembira pada bulan Syawal juga tidak ditegah. Rasulullah SAW sendiri membenarkan umat Islam bergembira menyambut lebaran.

Tapi ada batasnya iaitu dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang diterima oleh agama Islam.

(Artikel berkaitan: Ini dia cara Rasulullah SAW sambut Aidilfitri)

Berdasarkan hadis daripada Aisyah RA: “Abu Bakar pernah masuk menemui kami pada hari raya, sedang bersama kami dua orang wanita sedang bernyanyi-nyanyian ‘Bu’ats’ di mana Rasulullah sedang menghadapkan mukanya ke dinding. Kemudian, Abu Bakar masuk lalu berkata: ‘Seruling syaitan berada di samping nabi!’ Maka Rasulullah berpaling dan berkata kepada Abu Bakar: ‘Wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kaum itu mempunyai hari raya dan inilah hari kegembiraan bagi kita’.” (Riwayat al-Bukhari)

Ketahuilah bahawa Mukmin sebenar akan berasa gembira kerana berterima kasih kepada ALLAH SWT atas kurniaan kesempatan dan peluang untuk mereka mendapat keampunan pada bulan Ramadan.

Sudah tentulah orang Mukmin akan berasa puas dengan usaha mereka yang berganda pada waktu itu walaupun penerimaannya adalah terpulang kepada ALLAH SWT.

Justeru, tidak salah bergembira dengan memasang lagu raya. Asalkan kita tidak lalai dan lagha daripada mengingati ALLAH dan mengabaikan ibadah kepada-NYA.

Jangan pula kita pasang lagu raya kuat-kuat, sampaikan orang marah dengan tindakan kita tadi.

Berpada-padalah ya dan jaga juga hati orang di sekeliling kita terutama jika kita pasang lagu raya di komputer pejabat atau di rumah masing-masing. Nanti tak pasal-pasal jadi cerita lain pula.

(Sumber: mufti.perak.gov.my & murshid.my)

Berita Semasa,

Wajib ambil tahu bab hubungan kelamin dalam bulan Ramadan

SETIAP kali Ramadan, antara soalan popular yang sering kali timbul adalah perkara berkaitan hubungan suami isteri.

Kebanyakan kita tahu, baik suami mahupun isteri, kedua-duanya tidak boleh bersama atau dalam erti kata lain mengadakan hubungan intim pada siang hari bulan Ramadan.

Perkara itu dilarang dalam agama Islam kerana merupakan antara perkara yang membatalkan puasa. Paling penting, pasangan tersebut bukan setakat perlu ganti puasa saja, tetapi juga ada kafarah iaitu ibarat denda sebagai menebus suatu kesalahan.

Barangkali disebabkan kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), maka persoalan tentang kafarah puasa timbul semula.

Apa tidaknya, kita perlu kekal duduk di rumah seandainya tiada apa-apa urusan di luar kecuali keluar bekerja dan membeli barang keperluan.

Nampak macam remeh perkara ini, tetapi sebenarnya ia satu trend yang membimbangkan apabila ramai bertanya bab kafarah puasa, kata Faisal Rahim.

Beliau yang juga seorang amil zakat berkongsi tentang asas kepada kafarah puasa ini  menerusi Twitter miliknya @acaiijawe baru-baru ini:

“Basic:

1. Kafarah puasa dikenakan bila berjimak siang hari bulan Ramadan.

2. Kafarahnya, berpuasa berturut-turut selama 2 bulan. Jika tak mampu, bagi makan 60 orang miskin.

3. Kafarah puasa bukan tanggungjawab pusat zakat. Mereka tidak terima bayaran untuk selesaikan kafarah.

Camne nak selesaikan kafarah?

1. Kena usaha juga berpuasa 2 bulan berturut-turut. Tak boleh terus pilih nombor 2.

2. Cari 60 orang miskin untuk diberi makan.

3. Bayar kepada Majlis Agama. Kadarnya RM600 (RM10 x 6 orang) untuk satu hari. Kalau 5 hari, maksudnya RM3,000.

Bagaimana orang buka puasa dulu, kemudian jimak?

1. Dosa besar buka puasa dengan sengaja dan dimurkai ALLAH!

2. Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali: Tetap kena kafarah.

3. Mazhab Syafie: Tidak dikenakan kafarah. Helah itu tetap berdosa.

Hubungan suami isteri ketika Ramadan

PASANGAN suami isteri kena ambil tahu tentang perkara ini demi memelihara puasa masing-masing. Kafarah perlu dibayar jika suami isteri bersama ketika siang hari bulan Ramadan. 

Mungkin sebab tu ramai orang dulu-dulu tak bagi berkahwin bila nak hampir Ramadan.

Benda ni nampak macam remeh dan lawak. Tapi setiap tahun, beratus orang datang nak bayar kafarah kat zakat. Tahun ni confirm lagi ramai.

Ramai fikir ‘siang hari bulan Ramadan?!’ Biar betul. Tak kanlah.

Tapi sebenarnya, ramai yang bersama tu ketika waktu Subuh. Ada yang lepas sahur.

Kesimpulannya:

1. Berjaga-jaga.

2. Pusat Zakat memang tidak terima bayaran kafarah puasa.”

Demikian perkongsian dan nasihat Faisal Rahim.

Apa pun, jangan kita pandang sebelah mata nasihat dan informasi beliau yang sangat berguna ini.

Sumber: Instagram @acaiijawe

Peristiwa para nabi dan rasul
Berita Semasa,

Peristiwa penting para nabi dan rasul yang perlu kita tahu

SEBUT sahaja bumi Anbia, ingatan kita pasti tidak terlepas daripada mengingati sirah para nabi dan rasul. Masakan tidak, tempat itu banyak menjadi saksi rentas liku kehidupan insan-insan hebat utusan ALLAH itu.

Meskipun tidak berkesempatan bertemu secara empat mata dengan para nabi dan rasul, namun umat Islam masih boleh ‘mendekati’ dengan menjejaki historiografi dan peninggalan mereka.

Ya, itulah yang cuba dibawakan TV Alhijrah dalam sebuah dokumentari baharu Kembara Sufi Jejak Bumi Anbia yang memulakan siaran sejak 27 April lalu.

Menurut Bahagian Kandungan TV Alhijrah, dokumentari yang disiarkan setiap Isnin hingga Rabu sepanjang Ramadan ini merungkai kronologi peristiwa penting dalam sejarah kehidupan dan perjalanan para rasul kepada umatnya.

Peristiwa para nabi dan rasul

JANGAN lupa saksikan dokumentari Kembara Sufi Jejak Bumi Anbia di TV Alhijrah setiap hari Isnin hingga Rabu jam 6 petang sepanjang Ramadan.

“Di bumi Mesir kaya dengan kisah para rasul yang diceritakan dalam al-Quran seperti Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Yusuf, Nabi Idris, Nabi Ilyas dan begitu juga kisah dakwah para sahabat serta alim ulama dan kesan daripada sumbangannya mereka dapat dilihat hingga ke hari ini.

“Monumen serta binaan-binaan hebat seperti Piramid, Sphinx dan Luxor dengan lembah Raja-raja berusia ribuan tahun terhampar di sepanjang Sungai Nil dari selatan Abu Simbel hingga ke utara Iskandariah yang menjadi saksi kewujudan kehebatan tamadun Mesir,” katanya dalam kenyataan media kepada Sinarplus baru-baru ini.

Mula bersiaran dari jam 6 petang hingga 6.30 petang, Kembara Sufi Jejak Bumi Anbia itu bakal menyelami pelbagai kisah menarik.

Antaranya tentang Firaun yang hidup sezaman dengan Nabi Musa AS, pengembaraan ke semenanjung Sinai puncak Jabal Musa, tempat Nabi Musa terima 10 rukun dan kitab Taurat.

Semua itu hanya dapat ditonton dalam rancangan ini di TV Alhijrah. Jangan lupa untuk menontonnya setiap Isnin hingga Rabu, jam 6 hingga 6.30 petang sepanjang bulan Ramadan.

Foto: Freepik dan TV Alhijrah