Browsing Tag

sinar plus

Berita Semasa, Panduan,

Wanita dalam idah tak boleh beraya walaupun pergi rumah anak sendiri, ini penjelasan agamawan…

APABILA seorang wanita kematian suami, mereka perlu menjalani tempoh idah selama empat bulan 10 hari.

Sepatutnya, sepanjang tempoh itu, wanita tadi tak boleh keluar rumah langsung melainkan ada keperluan mendesak seperti membeli barang keperluan makanan dan rumah.

Kalau diikutkan, begitulah yang digariskan dalam Islam. Namun begitu, kita memang tak boleh menidakkan kesedihan yang tak tertanggung dilalui wanita itu bila ditinggalkan oleh orang tersayang yang selama ini melayari hidup bersamanya.

Apatah lagi sekarang pula tengah berhari raya. Ingatannya mesti tertumpu kepada arwah si suami yang telah pergi meninggalkan dirinya buat selama-lamanya.

Walaupun tak terlintas langsung dia nak sambut raya, tapi kalau ditinggalkan sorang-sorang, lain pula jadinya nanti. Tapi kalau dibawa beraya juga macam mana, boleh ke walaupun hanya ke rumah anaknya?

Menurut pendakwah dan penulis, Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed, wanita dalam idah wajib menetap di rumah yang diduduki sepanjang tempoh berkenaan.

USTAZ SYED SHAHRIDZAN

“Tidak dibenarkan keluar dari rumah tersebut melainkan ada keperluan mendesak seperti membeli makanan dan barang keperluan rumah.

“Selain itu, menurut fatwa para ulama kontemporari, wanita dalam idah dibenarkan keluar rumah untuk mencari rezeki jika dia tiada siapa yang menanggung keperluan hidup dan anaknya,” jelas beliau dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Semua itu merupakan perintah ALLAH SWT sebagaimana dicatitkan dalam firman-NYA: “Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya) dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata dan itulah aturan-aturan hukum ALLAH (maka janganlah kamu melanggarnya) dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum ALLAH maka sesungguhnya dia telah berlaku zalim kepada dirinya.” (Surah al-Talaq, ayat 1)

Ustaz Syed Shahridzan turut mengemukakan pandangan al-‘Allamah Qalyubi dalam Hasyiah yang menukilkan: “Maka jika dia (wanita beridah) mempunyai hajat (keperluan penting) pada waktu malam, maka dia dibenarkan (keluar) sepertimana (dibenarkan keluar) pada waktu siang, itu yang dinyatakan oleh guru kami. Jika dia tidak mempunyai hajat, maka ia tidak dibenarkan keluar sama sekali, walaupun menziarahi orang sakit, menziarahi (keluarga, kawan dan sebagainya), berniaga atau melaburkan harta”.

Andai kata wanita tadi dirundung kesedihan, Ustaz Syed Shahridzan memetik pandangan al-‘Allamah al-Ghamrawi RA dalam kitabnya al-Siraj al-Wahhaj ‘ala Matn al-Minhaj.

Kata ulama itu: “Baginya (wanita dalam idah) untuk keluar pada siang hari untuk membeli makanan, membeli barang keperluan rumah dan seumpamanya. Begitu juga dia boleh keluar pada waktu malam ke rumah jirannya untuk tujuan berbicara untuk menenangkan hati, berborak dan seumpamanya. Tetapi dengan syarat dia mesti pulang ke rumah mengikut adat kebiasaan dan bermalam di rumahnya.

“Wanita yang beridah boleh berpindah dari tempat tinggal di mana dia berpisah (dengan suaminya) kerana takutkan kemusnahan atau tenggelam hartanya dan anaknya, atau takutkan perkara bahaya dan buruk berlaku ke atas dirinya, atau terganggu oleh jiran, atau jiran berasa terganggu dengan kewujudannya iaitu dengan gangguan yang teramat,” jelas al-‘Allamah al-Ghamrawi.

Berdasarkan nas, dalil dan fatwa ulama, Ustaz Syed Shahridzan berkata, maka jelaslah wanita dalam keadaan idah tidak dibenarkan oleh syariat untuk keluar berhari raya meskipun hanya menziarahi sanak saudara.

“Ini kerana ziarah hari raya bukanlah urusan darurat dan keperluan mendesak,” katanya.

Bukan itu sahaja, agamawan itu turut mengingatkan wanita beridah juga tak boleh keluar untuk menziarahi anaknya.

“Jika hatinya terlalu sedih atau sedih disebabkan kehilangan suami dan perlukan teman berbual dalam kalangan anaknya sendiri, maka dia boleh ke rumah anaknya yang berdekatan dengan rumahnya seperti satu kampung atau taman yang sama. Tapi tak boleh bermalam di situ,” jelas beliau.

Begitupun, jelas Ustaz Syed Shahridzan, jika katakan wanita dalam idah itu khuatir akan keselamatan diri, anak atau hartanya, dia boleh berpindah ke rumah anaknya.

“Begitu juga atas faktor kesihatan yang mana jika terus tinggal sendirian, akan membahayakan dirinya sendiri.

“Namun begitu, setibanya di rumah anaknya, dia tetap tak dibenarkan keluar tanpa keperluan mendesak seperti berhari raya, menziarahi keluarga atau orang sakit sehinggalah tamat tempoh idahnya,” terangnya mengakhiri jawapannya.

Kepada mereka yang baru kehilangan bapa, tolonglah jangan bawa ibu masing-masing keluar beraya. Kalau takut ibu sedih tinggal sendiri, apa kata kita sendiri temankan mereka di rumah. Kan lebih elok macam tu.

Sudahlah sebelum ni si ibu terpaksa bersendirian kerana terpaksa ‘berkurung’ akibat Perintah Kawalan Pergerakan. Pergi ke kubur pun tak boleh. Jangan ditambah lagi kesedihan mereka.

Sumber: Facebook Syed Shahridzan Ben-Agil

Berita Semasa, Panduan,

Nak dapatkan tempat untuk solat Jumaat di masjid, wajib hadir untuk beratur ke?

SEJAK fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan pada Rabu lalu, sebahagian masjid hampir di semua negeri sudah mula dibuka untuk solat Jumaat dan jemaah.

Fokusnya hanya kepada kawasan zon hijau saja. Maknanya bukan semua masjid lagi terlibat. Bilangan jemaah yang dibenarkan juga terhad dan masjid yang dibuka perlu mengikut prosedur operasi standard ditetapkan (SOP).

Maknanya bila tibanya solat Jumaat, tidak semua orang berpeluang untuk ke rumah ALLAH bagi menunaikan kewajipan itu di sana.

Tapi terkadang hati rasa resah gelisah bila tak pergi solat Jumaat ni. Apa tidaknya, hukumnyakan fardu ain.

Lepas tu pula, bukannya kita tahu sama ada jemaah dalam sesebuah masjid tu capai atau tak bilangan jemaah yang dihadkan. Buatnya kalau masih ada ruang lagi untuk kita solat Jumaat pula macam mana?

Risau juga andai kita solat Zuhur, sedangkan kita dah boleh solat Jumaat. Mungkin ada sesetengah masjid ‘canggih’, mereka guna teknologi macam kod QR atau temujanji menerusi telefon nak dapatkan kepastian sama ada kita ‘lepas’ atau tak untuk ke masjid.

Namun, untuk masjid yang tiada kemudahan itu pula bagaimana? Perlu ke kita beratur di depan masjid semata-mata untuk dapatkan giliran solat Jumaat ni?

Tidak dinafikan masjid boleh beroperasi dalam SOP tertentu sepanjang musim PKPP ni.

Justeru, kita amatlah digalakkan untuk berusaha mendapatkan tempat bagi solat Jumaat dengan SOP yang disediakan pihak masjid seperti mengisi borang jika ada dan hadir awal ke masjid untuk beratur.

Namun begitu, janganlah sampai kita lupa kepada perkara yang asas iaitu mematuhi SOP digariskan.

Untuk mematuhi SOP ini, ia memerlukan kerjasama daripada setiap ahli kariah untuk memastikan proses pematuhan itu berjalan lancar, teratur dan sempurna.

(Artikel berkaitan: Boleh terus solat Zuhur, tak perlu tunggu solat Jumaat habis ketika musim PKPB)

Seandainya kelihatan dengan sangkaan yang kuat (ghalabat al-dzann) bahawa bilangan jemaah di masjid sudah penuh dan mencukupi, maka kita tak perlu lagi beratur sebagai mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kumpulan orang ramai.

Solat Jumaat

JIKA mendapat kebenaran, tunaikanlah solat Jumaat di masjid, namun andai perlu beratur untuk mendapatkan tempat bagi solat Jumaat, patuhilah SOP yang ditetapkan.

Justeru, andai kita ada peluang untuk mendirikan solat Jumaat, rebutlah peluang itu sebaiknya. Kasihanilah orang yang berkobar-kobar nak ke masjid, namun tak dibenarkan atas kekangan kawasan zon merah dan seumpamanya.

Beraturlah jika perlu untuk kita menunggu giliran masuk ke rumah ALLAH. Jika dibenarkan masuk, bersyukurlah. Tapi kalau sudah lebih had, jangan pula kita bikin ‘ribut’ di situ. Sebaiknya, tunaikanlah solat Zuhur di tempat masing-masing.

Cubalah untuk lakukan solat fardu secara jemaah pula di masjid itu petang nanti, malam atau mungkin keesokannya.

Sumber: Al-Kafi #1735: Adakah Wajib Hadir Beratur untuk Mendapat Tempat bagi Solat Jumaat pada Fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Bernama

Berita Semasa, Panduan,

Pakaian anak bernajis, boleh ke terus basuh guna mesin?

KALAU bab basuh baju, mak-mak mesti pening nak asingkan baju anak-anak. Kadang-kadang ada baju anak yang kotor sangat sampai tahap kena sental atau rendam dulu, baru boleh masuk mesin basuh.

Kalau sudah letih sangat, memang tak laratlah nak buat pengasingan pakaian tu. Silap-silap memang semua pakaian anak-anak dimasukkan dalam mesin basuh.

Lepas tu, terus letak sabun, isi air dan tekan butang on. Tahu-tahu dah siap basuhan tadi. Satu hal pula bila nak sidai. Masa inilah baru perasan kotoran tak tertanggal pada pakaian

“Ya ALLAH, kotornya baju anak aku sampai dah basuh pun tetap tak hilang-hilang kotorannya.”

Mulalah hati mendongkol geram sebab kena basuh semula. Itu baru cerita bab kotoran. Belum lagi kalau anak muntah kena baju dan berak dalam seluar.

Kalau kita masukkan je terus pakaian yang bernajis itu dalam mesin basuh tanpa dibersihkan atau rendam dulu, boleh ke? Apa pandangan Islam tentang perkara ini?

Dalam hal ini, menurut pendakwah dan penulis, Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed, antara syarat untuk membasuh pakaian yang bernajis dengan air yang kurang daripada dua kolah iaitu air mutlak, ia mestilah bersifat mendatangi pada najis.

USTAZ SYED SHAHRIDZAN

Pendek kata, air itu mestilah dicurahkan pada tempat bernajis tidak kira dari arah mana sekalipun, jelas beliau.

“Jika air itu tidak bersifat mendatangi pada najis, maka hukum menghilangkan najis itu tidak dikira sah menurut syarak, maka pakaian itu kekal bernajis,” katanya dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Tambah Ustaz Syed Shahridzan lagi, fakta tersebut ada disebut dalam kitab-kitab fiqh antaranya kitab Taqrirat Sadidah yang menyebut: “Air itu hendaklah mendatangi bukan ia didatangi, iaitu air mendatangi ke atas najis bukan sebaliknya”.

Sebagai contoh, jelas beliau, jika ingin membasuh sesuatu pakaian yang bernajis, tempat bernajis itu mestilah ditadah di bawah air paip yang mengalir, bukan pakaian itu direndam ke dalam bekas yang menakungkan air kurang daripada dua kolah.

“Ini kerana, air di bawah kapasiti dua kolah tidak mempunyai kekuatan untuk menolak najis, maka yang mendatangi air itu mestilah mengalir keluar bersama najis yang dihilangkan.

“Jika pakaian bernajis direndam di dalam air yang kurang daripada dua kolah, maka penyucian pakaian itu tidak sah kerana air rendaman itu sudah menjadi mutanajjis. Maka, ia sama sekali tidak menyucikan pakaian itu daripada najis melainkan ia dibilas sekali lagi dengan air mutlak, maka pakaian itu dikira suci,” terang beliau.

Menjelaskan tentang mencuci pakaian yang bernajis dengan menggunakan mesin basuh automatik, tidak timbul masalah dalam proses menyucikan pakaian yang bernajis.

Perkara ini disebut oleh al-‘Allamah al-Habib Hasan bin Ahmad al-Kaf dalam karangan beliau menerusi Taqrirat Sadidah. 

Beliau menyebut: “Daripada masalah itu, mencampakkan pakaian ke dalam mesin basuh moden, jika mesin basuh itu dalam kategori berteknologi tinggi (automatik), maka tiada mudarat menurut persepakatan ulama.

“Ini kerana, ia menghilangkan najis (pada pakaian) kemudian dibilas dengan air yang suci lagi menyucikan pada pakaian itu. Manakala jika mesin itu dari jenis biasa (bukan automatik), maka selepas basuh dan menghilangkan sifat-sifat (najis), maka najis (pada pakaian) dikategorikan najis hukmi (yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar).

“Oleh itu mesti dibilas dengan air yang suci lagi menyucikan selepas itu pada pakaian. Ini dinamakan sebagai peringkat penyucian di mana air mestilah bersifat mendatangi pada peringkat ini dengan meletakkan pakaian terlebih dahulu kemudian dicurah air ke atasnya,” jelas al-‘Allamah al-Habib Hasan.

Walaupun air itu dicurahkan di atas pakaian dan kemudian dimasukkan di dalam mesin yang bertakung air, jelas agamawan itu, tidak semestinya ia mutanajjis (bernajis).

“Ini disebabkan jika air tersebut bila berpisah daripada pakaian dan masih tidak berubah sifatnya (tidak berubah dengan kesan najis) dan tidak bertambah beratnya (disebabkan najis), maka air itu dikira sebagai masih suci.

“Dengan ini, air yang masih bertakung bersama-bersama pakaian itu tidak dikira menajiskan pakaian yang direndam selagi mana air itu tidak berubah sifat kerana najis. Ia sebagaimana disebutkan dalam kitab-kitab fiqh Syafie antaranya ‘I’anah al-Tolibin’,” jelasnya.

Akan tetapi, tegas beliau, sekiranya pakaian itu bernajis dengan najis jelas kelihatan dengan mata kasar atau jelas bau najisnya dan apabila air curahan itu berubah sifat selepas berpisah daripada pakaian, maka pakaian itu mestilah dibilas.

“Paling kurang bilaslah sekali sama ada melalui mesin basuh atau di luar mesin sehinggalah tempat bernajis itu hilang najisnya dan air curahan yang berpisah daripadanya tidak berubah sifat dan tidak bertambah beratnya disebabkan najis.

“Ini kerana, air yang telah berpisah masih lagi berubah sifatnya, ia diketogarikan sebagai mutanajjis iaitu tidak sah untuk menyucikan pakaian,” katanya.

Jika objek (‘ain) najis wujud pada pakaian seperti ketulan najis atau tompokan najis yang tebal, kata Ustaz Syed Shahridzan, ia hendaklah dibuang dahulu daripada pakaian sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh untuk mengelakkan kesan perubahan sifat yang ketara pada air curahan berkenaan.

“Meskipun pakaian bernajis itu dibasuh dengan air sabun di dalam mesin basuh iaitu bukan kategori air mutlak yang mana ia masih tidak sah sebagai bahan menyucikan pakaian bernajis.

“Namun dengan teknologi canggih pada zaman kini yang mana pakaian yang dibasuh dengan sabun akan dibilas beberapa kali dengan air mutlak dalam mesin basuh, maka proses ini tidak syak lagi dapat menyucikan pakaian yang bernajis. Menurut mazhab Hanafi, air mutlak yang berubah sifatnya dengan bahan lain seperti sabun maka ia tetap suci dan menyucikan. Sesungguhnya khilaf antara ulama merupakan rahmat untuk umat,” jelas beliau.

Justeru, jelaslah bahawa fakta-fakta yang disebutkan bahawa mencuci pakaian yang bernajis melalui mesin basuh yang berteknologi moden dan canggih tetap menyucikan pakaian tersebut tanpa ragu-ragu, kata Ustaz Syed Shahridzan.

Namun, ia mestilah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kaedah fiqh mazhab Syafie sepertimana yang disebutkan tadi.

Kepada mereka yang basuh baju anak-anak guna mesin basuh, jangan risau ya andai kita masih gunakan kaedah yang betul.

Sumber: Facebook Syed Shahridzan Ben-Agil

Berita Semasa, Panduan,

Pulang beraya di kampung, berapa hari sebenarnya kita boleh solat jamak dan qasar?

SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula hari Rabu lalu, ramai yang ambil peluang untuk pulang ke kampung.

Maklum sajalah, sebaik saja dibenarkan untuk merentas negeri, perkara pertama dalam fikiran adalah pulang ke kampung halaman.

Hampir tiga bulan tak bertemu ibu bapa, adik-beradik dan saudara-mara yang jauh berlainan negeri sebelum ini. Hanya telefon menjadi penghubung kita, sudah tentu tak sama bila kita bersua muka.

Tambah-tambah lagi Syawal masih lagi berbaki 10 hari. Hinggakan orang gelarkannya sebagai Aidilfitri 2.0, Aidilfitri fasa dua dan macam-macam lagi nama lain yang diberikan.

Barangkali sekarang ni ada yang sedang dalam perjalanan ke kampung halaman masing-masing. Malah, ada yang telah sampai lebih awal lagi.

Tak kiralah bila masanya kita sampai ke kampung masing-masing yang jaraknya jauh, kita kena ambil berat pasal solat jamak dan qasar.

Bukan apa, takut nanti terlebih hari di kampung, tapi kita masih lagi solat jamak dan qasar. Sedangkan, ada tempoh masa bagi keringanan solat ini yang perlu kita tahu.

Berapa lamakah sebenarnya seseorang boleh melakukan solat jamak dan qasar kalau tidak tahu berapa lama dia beraya di kampung?

Sebelum memberikan periciannya, pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki memberikan penjelasan tentang hukum solat jamak dan qasar bagi mereka yang jauh balik beraya di kampung.

USTAZ MUSTAFAR

Ujar beliau, balik berhari raya adalah perkara yang harus dan menjadi sunat jika diniatkan khusus untuk menghubungkan silaturahim, ziarah-menziarahi dan selainnya.

“Jika balik ke kampung halaman, seseorang itu hanya boleh solat jamak dan qasar dalam perjalanan pergi dan balik sahaja seperti pandangan Imam Khatib al-Syirbini dalam kitabnya Mughni Muhtaj dan majoriti ulama Mazhab Syafie,” jelas beliau.

Namun begitu, andai kata kita menziarahi saudara-mara yang bukan berada di kampung halaman kita, kata Ustaz Mustafar, kita boleh mengerjakan solat jamak dan qasar dengan syarat mencukup jarak 85 kilometer ke atas.

“Tempoh dibenarkan pula adalah lima hari termasuk perjalanan pergi dan balik,” jelas beliau.

Kepada mereka yang tak tahu lagi berapa lama lagi dia akan menginap di kampung atau di tempat saudara-maranya, usah risau tentang keringanan solat yang diberikan.

Ini kerana, agamawan itu menjelaskan, kita masih boleh menunaikan solat jamak dan qasar sehingga pulang semula ke tempat asal kita bermukim.

Tapi janganlah jadikan ‘tak pasti berapa lama duduk di kampung’ sebagai alasan untuk membolehkan diri masing-masing solat jamak dan qasar pula.

Ingat ya, kalau kita hanya pulang ke kampung melepaskan rindu pada ibu bapa, adik-beradik dan sebagainya, kita hanya boleh solat jamak dan qasar dalam perjalanan pergi dan balik saja kalau jaraknya lebih 85 kilometer.

Semoga jawapan itu boleh menjadi panduan buat kita yang pulang dan beraya di kampung.

Selamat Hari Raya Aidilfitri semua pembaca SinarPlus.

Berita, Berita Semasa,

Pasrah ibadah haji ditangguh, dua bakal jemaah ini luah rasa sedih tak dapat ke Tanah Suci tahun ni

PETANG semalam, kerajaan mengumumkan penangguhan untuk menghantar jemaah untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Begitu perit rasanya menerima perkhabaran ini terutamanya kepada bakal jemaah haji.

Apa tidaknya, kebanyakan jemaah ini sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menjadi tetamu ALLAH SWT bagi menyempurnakan Rukun Islam ke-5.

Namun, apakan daya, keadaan tak mengizinkan untuk mereka ke sana. Semuanya demi kebaikan bersama demi mengekang penularan wabak Covid-19.

Percayalah pasti ada hikmah di sebaliknya. Sebagai hamba ALLAH, kita teruskan berdoa supaya pandemik ini segara diangkat dari muka bumi ini.

Susulan perkhabaran sedih itu, SinarPlus berkesempatan menemubual dua orang bakal jemaah haji yang mendapat tawaran untuk menunaikan Rukun Islam ke-5 daripada Tabung Haji pada tahun ini.

Jom kita ikuti reaksi mereka apabila berita penangguhan ibadah haji diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri semalam.

Kali ketiga terima ‘panggilan’

Salah seorang bakal jemaah haji yang terkesan ialah Shashilawati Wazir. Akuinya, perasaan sedih dan terkilan memang tak dapat nak dibendung.

SHASHILAWATI (dua, kiri) reda tidak dapat menunaikan Rukun Islam ke-5 tahun ini selepas kerajaan mengumumkan penangguhan untuk menghantar jemaah haji ekoran wabak Covid-19.

Apatah lagi, Shashilawati sebenarnya mendapat panggilan menjadi tetamu ALLAH ini buat kali ketiga pada tahun ini.

“Sebelum ini, dua kali saya terpaksa tolak tawaran untuk tunaikan haji iaitu pada 2011 dan 2013 kerana masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak.

“Jika diikutkan, ini adalah kali ketiga saya menerima tawaran ini. Sebetulnya, giliran saya (untuk tunaikan haji) adalah pada tahun depan. Saya buat rayuan awal tahun hari tu. Alhamdulillah rayuan saya diterima,” katanya yang menerima surat tawaran ketika awal tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Ketika surat itu sampai, Shashilawati, 38, berada di kampungnya di Kuang, Selangor. Apabila suami pulang ke rumah mereka di Kuala Langat, Selangor, barulah beliau mengetahui tentang tawaran haji tersebut.

“Tapi bila nak balas surat itu, sudah tamat tempoh. Bila saya called Tabung Haji, mereka cakap segala urusan akan diselesaikan selepas tempoh PKP. Jadi, legalah sikit bila dengar penjelasan mereka,” ujar beliau.

Tambah Shashilawati yang juga seorang guru, meskipun kurang bersedia dari segi persiapan untuk ke Tanah Suci, tapi beliau sebenarnya sudah mencari orang yang boleh menjaga tiga anaknya yang berusia 3, 7 dan 9 tahun.

“Tapi saya percaya semua yang berlaku ini ada hikmahnya. Sejujurnya, saya memang tak berkesempatan untuk ikuti kursus haji di masjid. Kalau ada pun, dalam dua atau tiga slot je. Tak dapat joined penuh.

“Insya-ALLAH jika diizinkan, saya mengikuti kursus haji sepenuhnya sama ada dianjurkan oleh pihak masjid atau swasta sebelum menunaikan ibadah haji tahun depan,” jelas beliau.

Akur dengan ketentuan ALLAH

Apa yang dirasai oleh Shashilawati turut dirasakan oleh pendakwah Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid. Beliau bersama isterinya, Noranizor Abdullah sepatutnya ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

GAMBAR kenangan Ustaz Bakhtiar Fitri (gambar kanan) yang sempat dirakam ketika beliau menunaikan umrah bersama isteri tercinta pada bulan Januari lalu.

Namun, sebaliknya berlaku. ALLAH SWT adalah sebaik-baik perancang. Meskipun dihambat rasa sedih, namun beliau dan isterinya akur dengan ketentuan-NYA.

“Siapa yang tak gembira bila dapat jemputan ALLAH (untuk menunaikan haji). Bila dapat tahu berita duka (penangguhan haji) memang agak sedih untuk diterima.

“Tapi kita kena percaya dengan apa yang ALLAH rancangkan itulah yang terbaik. Ada hikmah di sebalik penangguhan ini,” katanya ketika dihubungi SinarPlus.

Sebetulnya, beliau seakan boleh menebak bahawa tiada haji pada tahun ini. Masakan tidak, kata beliau, melihat video yang tular apabila Masjidil Haram di Makkah yang dibuka baru-baru ini, ramai beratur panjang untuk proses saringan kesihatan sebelum masuk dibenarkan masuk ke dalamnya.

“Jadi, kita pun risau nak pergi ke sana dalam keadaan yang bersesak-sesak. Biarpun sedih, tapi saya percaya inilah (penangguhan haji) pilihan yang tepat. Kita doakan agar Covid-19 akan lenyap supaya kita boleh beribadah dan tunaikan haji pada tahun depan,” katanya yang telah membuat hampir 60 peratus persiapan untuk menunaikan ibadah wajib bagi orang Islam yang berkemampuan itu.

Jemaah haji

KERAJAAN memutuskan untuk menangguhkan penghantaran jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci pada tahun ini ekoran wabak pandemik Covid-19.

Walaupun berpengalaman tiga kali menunaikan umrah sebelum ini, ujar Ustaz Bakhtiar Fitri, apabila namanya ‘naik’ ditawarkan mengerjakan ibadah haji pada bulan Mac lalu, terbit satu perasaan teruja, seronok dan tak sabar-sabar hendak ke Tanah Suci.

Perasaan itu tak sama sepertimana ketika beliau menunaikan umrah dulu. Hinggakan Ustaz Bakhtiar berjumpa ramai orang ‘lama’ dan meminta pendapat mereka meskipun beliau arif tentang perihal agama.

“Ada seorang pak cik berpesan kepada saya supaya banyak tolong orang bila pergi haji nanti. Bila kita buat begitu, katanya, urusan haji kita dipermudahkan.

“Saya memang berniat untuk lakukan apa yang dipesan oleh pak cik tadi. Insya-ALLAH andai berpeluang, saya akan buat pada ibadah haji tahun depan,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.

Memang berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Sedih memang tak terucap. Ya, bertahun-tahun bahkan mungkin puluhan tahun kita menunggu giliran untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci yang amat didambakan semua umat Islam.

Namun, bila sampai masanya, rezeki tak berpihak pada kita. Semuanya sudah tertulis begitu. Marilah kita mengadu kepada ALLAH, mohonlah kepada-NYA agar wabak Covid-19 ini segera lenyap.

Semoga doa kita yang tulus ikhlas ini ada diterima oleh-NYA. Moga dapat kita tunaikan ibadah haji tahun depan.

Berita Semasa, Panduan,

Tutup aurat bukan pilihan, ini yang wajib kita tahu

ALANGKAH manisnya kita melihat wanita Muslimah bertudung. Bukan sekadar cantik dan mengikut syariat, tetapi menutup apa yang tidak sepatutnya diperlihatkan kepada lelaki yang bukan muhrim.

Secara umumnya, hijab atau tudung bermaksud pakaian yang menutup aurat wanita Muslimah pada bahagian kepala dan sekitarnya.

Sebaliknya, satu lagi istilah yang sering diguna pakai ialah dehijabing. Ia merujuk kepada perbuatan Muslimah yang memilih untuk tidak bertudung.

Dalam konteks Malaysia, isu dehijabing menjadi kontroversi apabila sebuah kumpulan menganjurkan program Malay Women and Dehijabing pada 13 April 2019. Ia menampilkan tiga wanita Islam yang membincangkan dan berkongsi pengalaman mereka tidak memakai tudung.

Pada majlis tersebut juga, sebuah buku bertajuk Unveiling Choice tulisan salah seorang daripada mereka dilancarkan.

Program itu mendapat bantahan awam dan turut disiasat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana tujuannya seolah-olahnya cuba menyampaikan mesej bagi mengajak atau berkempen agar wanita Muslimah tidak takut untuk tidak bertudung.

Ketahuilah bahawa menutup aurat adalah wajib ke atas setiap Muslim yang mukalaf. Aurat bagi lelaki adalah antara pusat sehingga lutut. Aurat perempuan pula adalah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan.

Ia bermaksud, tudung adalah sebahagian daripada pakaian untuk menutup aurat pada kepala dan sekitarnya.

Kewajipan itu disebutkan dalam al-Quran dan hadis.

Firman ALLAH SWT: “Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau putera-putera mereka atau putera-putera suami mereka atau saudara-saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara perempuan mereka atau wanita-wanita Islam atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada ALLAH, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (Surah an-Nur, ayat 31)

Malangnya, pendukung dehijabing mendakwa bahawa al-Quran tidak pernah menyatakan rambut atau kepala wanita Muslimah perlu ditutup, sebaliknya ayat al-Quran di atas dan ayat-ayat yang lain menyebut, kain tudung (kerudung) kepala perlu dilabuhkan untuk menutup dada sahaja.

Dakwa mereka lagi, pemakaian tudung dalam kalangan wanita Muslimah di Malaysia adalah bersifat budaya tempatan semata-mata, bukan tuntutan atau ajaran agama Islam.

Bersandarkan dakwaan tersebut, dapat difahami bahawa pendukung dehijabing memilih untuk tidak bertudung kerana mendakwa ia bukan suatu dosa dan tidak disebutkan dalam al-Quran.

Sebaliknya mereka mendakwa kewajipan bertudung itu adalah tafsiran ulama semata-mata yang dipengaruhi oleh budaya tempatan.

DALAMI isi kandungan al-Quran dengan baik demi memahami makna yang mahu disampaikan ALLAH SWT menerusi kalam-NYA.

Penting fahami al-Quran

Kenyataan itu sebenarnya jelas menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja tidak memahami ayat al-Quran tersebut bahkan tidak memahami pengertian aurat dan tudung.

Kecetekan ilmu tentang perkara itu membuatkan hujahan mereka tersasar daripada kebenaran. Paling menyedihkan, mereka seolah-olah tidak mempedulikan semua itu.

Sebaliknya, terus menuduh dan mengkritik pihak berkuasa agama menggunakan kekerasan dan paksaan. Hakikatnya, pihak berkuasa agama hanya bertindak sebagai ‘polis moral’.

Tidak terhenti di situ, mereka terus mencipta alasan demi alasan. Kali ini, mereka berhujah bahawa Islam tidak bersifat memaksa ke atas umatnya termasuk tidak memaksa wanita Muslimah memakai tudung.

ALLAH SWT berfirman: “Tiada paksaan dalam agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu barang siapa ingkar kepada taghut dan beriman kepada ALLAH, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan tali amat kuat yang tidak akan putus. Dan ALLAH MAHA MENDENGAR lagi MAHA MENGETAHUI.” (Surah al-Baqarah: Ayat 256)

Dalam kitab-kitab tafsir yang muktabar, tafsiran ayat itu sebenarnya merujuk kepada tidak ada paksaan ke atas bukan Islam memeluk agama Islam. Ini bermaksud, ayat digunakan oleh pendukung dehijabing tersebut adalah tidak berkaitan sama sekali dengan isu sebenar. Jelas ayat itu diambil di luar konteks perbincangan.

Bukan itu sahaja, ayat itu juga acap kali disalahgunakan oleh pendukung liberalisme dan pluralisme agama yang memperjuangkan idea murtad. Kononnya agama Islam, berdasarkan ayat di atas, tidak melarang umatnya meninggalkan agama Islam (murtad) kerana ia hak asasi individu yang diiktiraf sebagai kebebasan mutlak setiap manusia.

Tanpa kita sedari, fahaman songsang sebegini sangat berbahaya kepada pemikiran umat Islam khususnya di Malaysia. Justeru, semua pihak perlu berganding bahu untuk menangani isu dehijabing secara lebih menyeluruh. Tidak memadai dengan tindakan daripada pihak berkuasa agama semata-mata.
​​​​​​​
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor

Foto: 123rf

senyum sedekah
Berita Semasa, Panduan,

Senyumkan sedekah, tapi masih ramai orang tak buat…rugi betul

SENYUM itu sedekah, tapi masih ramai orang tak buat…rugi betul.

Acap kali kita lihat, orang tersengih-sengih dan senyum sendiri ketika membaca mesej ataupun menghadap media sosial bila ada suatu perkara yang dirasakan mencuit hatinya. Mudah benar senyuman diukirkan walaupun tiada siapa pun yang melihatnya ketika itu.

Tapi saat berdepan atau bertembung dengan orang, keadaan menjadi sebaliknya. Tiba-tiba saja wajah jadi ‘ketat’ dan serius memanjang. Sungguh tak faham betul dengan apa yang berlaku pada zaman sekarang ini.

Baca juga Apabila berjabat tangan, genggamlah lama sedikit kerana itu lebih baik

Perilaku itu ibarat kita seolah-olah seperti membayar dengan sejumlah wang bagi sekuntum senyuman itu. Bukan itu saja, ada juga orang yang tegar betul hatinya tidak membalas senyuman manis yang ‘dihadiahkan’ kepadanya.

Sedikit sebanyak ia boleh merencatkan hubungan kita dengan orang di sekeliling. Bukankah Islam mengajar kita untuk menjaga silaturahim?

Senyuman juga merupakan salah satu cara untuk mengukuhkan hubungan sesama manusia.

Baca juga 12 amalan ringkas Rasulullah SAW. Rupanya senang nak dapat pahala

Sesungguhnya, perbuatan itu memang tidak boleh dipandang enteng kerana senyuman adalah sebahagian daripada sedekah. Nabi Muhammad SAW sendiri gemar menguntumkan senyuman dalam kehidupan seharian baginda. Apakah hukumnya jika kita tidak membalas senyuman orang lain?

Kena ikhlas

Persoalan tersebut Sinar Islam lontarkan kepada pendakwah, Ustaz Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz. 

PU FAIZ

Beliau memulakan bicara dengan berkongsi satu hadis Nabi Muhammad SAW yang memerihalkan senyuman merupakan satu sedekah.

Rasulullah SAW bersabda: “Senyumanmu ke wajah saudaramu adalah sedekah bagimu.” (Riwayat Tirmidzi)

Berdasarkan hadis berkenaan, beliau berkata, sedekah yang dimaksudkan adalah melapangkan dada dan hati kenalan kita dengan mengukir senyuman dengan roman wajah yang manis.

“Bila seseorang itu senyum dan bermanis muka, maka ia sebenarnya akan menambahkan ketenangan jiwa, mendamaikan kepada sesiapa yang melihatnya,” katanya kepada Sinar Islam ketika dihubungi baru-baru ini.

Begitupun, PU Faiz mengingatkan senyuman perlu lahir dari hati yang ikhlas dan penuh mahabbah (kasih sayang).

“Kita kena ingat bahawa senyuman itu ada pelbagai bentuk. Ada yang bersifat sinis dan ikhlas. Jadi apa-apa pahala atau ganjaran (senyuman) itu ternilai daripada niat seseorang. Jika ia penuh dengan mahabbah, insya-ALLAH berpahala.

“Tapi kalau (senyuman) sinis, memang dapat senyuman itu, namun tidak berdasarkan tuntutan syarak dan tidak berpahala,” katanya.

Bagaimana pula dengan senario jika senyuman tidak dibalas? Jawab PU Faiz, meskipun perbuatan terbabit tidak jatuh pada hukum wajib dan berdosa, tetapi ia sebenarnya ada kaitannya dengan keelokan hubungannya sesama manusia.

“Apa pun, kita kena berbaik sangka. Barangkali individu berkenaan tak perasan,” ujar pendakwah berkenaan.

Senada dengan PU Faiz ialah pendakwah Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid. Pun demikian, kata beliau, sekiranya seseorang tidak membalas senyuman orang lain, ia tidak akan dituntut di akhirat.

USTAZ BAKHTIAR FITRI

“Cuma, ia menjejaskan akhlak kita dan hubungan dengan orang tadi. Sebaik-baiknya senyumlah dalam apa jua keadaan kerana kita akan peroleh balasan berganda-ganda yang tidak terhitung banyaknya dan pahala yang mulia. Ia sebagaimana disebutkan dalam ayat 18, Surah al-Hadid,” ujar beliau.

Akhlak Nabi Muhammad SAW

Ustaz Bakhtiar Fitri menambah, Rasulullah SAW merupakan sebaik-baik contoh yang perlu diteladani. Malah, senyuman juga adalah akhlak baginda.

Terdapat banyak hadis meriwayatkan tentang keperibadian Nabi Muhammad yang sentiasa menguntum senyuman.

Abdullah bin Harits bin Jazi pernah mengatakan: “Aku tidak pernah melihat seseorang yang paling banyak senyumannya selain Rasulullah SAW.” (Riwayat Tirmidzi)

Mengambil iktibar daripada akhlak mulia baginda, Ustaz Bakhtiar Fitri menasihatkan umat Islam agar bersedekah walaupun dengan hanya sekuntum senyuman ikhlas kerana ALLAH.

“ALLAH SWT akan menjadikan hidup orang lain lebih mudah dengannya. Orang lain juga akan berlapang dada dengannya, menggembirakannya dan dikurniakan kawan-kawan yang baik (dengan sebab dia berbuat baik). Subhanallah, dengan senyuman, kita dapat ringankan bebanan yang ditanggung. Jadi, jangan lokek untuk senyum” ujarnya.

Baca juga Sedekah Subuh Merupakan Antara Waktu Sedekah Terbaik

Justeru, dalam apa jua keadaan sekalipun, kita digalakkan menguntumkan senyuman kepada orang lain. Ia bukan sekadar menghidupkan sunah Rasulullah SAW, tetapi perlakuan mulia itu, kita meredakan hati orang lain yang mungkin dalam keresahan ketika itu.

Andai tidak mampu sedekah dengan wang, harta dan tenaga, ‘dermalah’ senyuman dengan hati yang benar-benar ikhlas. Semoga dengan sebab itu meningkatkan saham akhirat kita.

ANEKDOT

Manfaat senyuman dari sudut kesihatan

– Senyum membuatkan seseorang lebih menarik.
– Menyenangkan hati.
– Senyum boleh ‘berjangkit’ kepada orang di sekeliling.
– Meredakan stres.
– Meningkatkan sistem kekebalan tubuh.
– Menurunkan tekanan darah.
– Kelihatan muda.
– Membantu orang tetap dalam keadaan positif.

(Sumber: https://m.detik.com/)

Berita, Berita Semasa,

Tak boleh pakai wangian ketika ihram, tapi ada satu produk ni sesuai untuk mereka yang bakal ke Tanah Suci

ANDAI diberikan peluang, semua umat Islam ingin menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Ya, itulah impian yang diidam-idamkan kita selama ini.

Apatah lagi bila kita dijemput sebagai tetamu ALLAH untuk mengerjakan umrah atau haji. Seronoknya bukan kepalang.

Hidup seolah-olah terasa lengkap sekiranya dapat menunaikan ibadah di Kota Makkah dan Madinah. Bagi yang telah menerima panggilan Rukun Islam ke-5 sebelum ini, terasa seakan mahu pergi semula ke sana.

Begitulah yang dirasakan. Jika memang dilorongkan rezeki kita ke sana, cepat atau lambat, insya-ALLAH kita akan sampai juga ke Tanah Suci yang menjadi kiblat bagi umat Islam seluruh dunia.

Sebelum berangkat ke sana untuk menunaikan umrah atau haji, pelbagai persediaan rapi perlu dilakukan. Antara yang paling utama adalah kelengkapan yang mencukupi sepanjang tempoh ibadah di tanah haram itu.

Kalau bab kain telekung, kain ihram, pakaian dan seumpamanya, memang jarang para jemaah ini lupa. Maklum sajalah, ia memang keperluan utama dalam senarai.

Selalunya keperluan penjagaan diri sering dianggap remeh. Kita kena ingat, cuaca di negara kita dan orang memang tak sama. Jadi, sebagai persediaan, jangan lupa pula untuk sediakan apa yang patut untuk kegunaan kita di sana.

Tambah-tambah lagi, di sana, kita banyak memfokuskan kepada amal ibadah dan banyak berjalan jauh. Jika silap caranya, tumit kaki boleh merekah, bibir berdarah dan kulit kering. Maka sebab itulah betapa pentingnya untuk kita menyediakan keperluan produk penjagaan diri dan badan ke Tanah Suci.

Melihat kepada keperluan itu, syarikat RHJ Tijarah Resouces mencari formula terbaik supaya dapat membantu para jemaah untuk mengatasi masalah berkenaan.

Syarikat tersebut mengeluarkan siri produk penjagaan kulit dan diri jenama Rehla yang bukan sahaja dijamin halal, tetapi juga menggunakan bahan bermutu tinggi.

Paling penting, ia sah digunakan walaupun ketika dalam ihram dan sesuai untuk semua jenis kulit.

Menurut Pengasas produk Rehla, Che Ruby Mohamed dan Siti Hajar Harun, produk berkenaan dihasilkan berdasarkan pengalaman sendiri yang pernah mengalami pigmentasi, kulit merekah, bibir pecah, kulit kering dan gatal-gatal ketika menunaikan ibadah haji dan umrah di Tanah Suci sebelum ini.

Produk Rehla

SITI HAJAR (gambar kanan) bersama rakan niaganya, Che Ruby menghasilkan produk Rehla berdasarkan pengalaman sendiri.

“Hasil kajian dilakukan dan ujian terhadap beberapa pengguna, terhasillah set skincare premium Kembara Suci Sah Ihram jenama Rehla yang berasaskan tumbuhan organik dan bebas bahan kimia.

“Ia selamat untuk semua jenis kulit dan mematuhi konsep halalan toyyiban dan bebas daripada sebarang bahan pewangi, alkohol dan bahan kimia lain,” jelas mereka menerusi kenyataan media kepada SinarPlus baru-baru ini.

Tambah Siti Hajar, set lengkap produk untuk kulit dan badan itu dirumus dari bahan berkualiti seperti enzim nanas iaitu bromelain dan lain-lain minyak berkualiti.

“Walaupun keperluan asas kulit boleh didapati di mana-mana, tetapi sukar untuk mendapatkan produk yang sesuai dan sah digunakan ketika dalam tempoh ihram. Set ini bersifat grab and go dan bukan dihasilkan untuk tujuan kecantikan, tetapi lebih kepada penjagaan kulit supaya terhidrat.

“Sama ada lelaki atau wanita, kedua-dua mereka boleh gunakannya kerana ia membantu melembapkan kulit para jemaah, seterusnya dapatlah mereka beribadah dengan tenang,” katanya.

Produk Rehla

KIT Rehla merangkumi dua set berasingan iaitu penjagaan muka dan badan.

Kit Rehla terdiri daripada dua set berasingan iaitu kit penjagaan muka dan kit penjagaan badan.

Setiap kit berkenaaan mengandungi lima produk lengkap. Kit penjagaan muka (skincare) mengandungi Hydrating Facial Cleanser, Hydra Intense Face Serum, Hydrating and Nourishing Face Oil, Hydra Essential Moisturiser dan Daily UV Defense SPF 50 yang boleh ditawarkan pada harga RM159.

Bagi face oil, penggunaannya disarankan selepas ihram supaya tidak melanggar pantang larang ketika ihram. Ia berfungsi sebagai perlindungan kulit.

Sementara itu, kit penjagaan badan pula merangkumi Hair Moisturing Shampoo, Ultra Nourishing Shower Oil, Nourishing Hand & Body Lotion, Deep Moisturising Balm dan Moisturising Lip Balm pada harga RM149.

Semua produk Rehla boleh didapati menerusi Facebook REHLA – Kit Halal Umrah Haji, Instagram rehlaofficial dan ambassador yang dilantik.

Kepada mereka yang bakal ke Tanah Suci, dah boleh order siap-siap untuk kegunaan masing-masing.

Foto: 123rf & Facebook Rehla – Kit Halal Umrah Haji

Berita Semasa, Panduan,

Pasang ayat al-Quran di TV dan radio, tapi fikiran entah ke mana-mana. Baca penjelasan Ustaz Azhar Idrus

KADANG-KADANG kita rasakan tiada rancangan TV yang menarik. Bila tukar channel, nampak pula ada bacaan ayat suci al-Quran.

Lalu, kita memilih siaran itu.

Mungkin bagi kita, lebih baik dengar alunan kalam ALLAH daripada tonton cerita yang entah apa-apa.

Lepas tu, kita tak hayatinya langsung, siap bersembang depan TV tu. Macam TV tu pula tengah tengok kita.

Walhal, bait-bait kalimah kalamullah itu sedang berkumandang.

Begitu juga keadaannya bagi segelintir orang bila pasang atau dengar ayat al-Quran di radio. Sekadar untuk menghidupkan suasana di rumah.

Tapi bila mengaji, boleh pula semua orang pakai pakaian yang menutup aurat, berwuduk dulu sebelumnya dan duduk dengan sopan.

Ya, semua tahu adab bila membaca al-Quran dan mendengar orang lain membaca al-Quran. Namun, bila kita dengar laungan ayat suci dari televisyen dan radio pula bagaimana?

Perlu lagi ke kita jaga adab sepertimana kita mengaji dan mendengar orang lain membaca al-Quran?

Ketahuilah bahawa saat alunan ayat suci al-Quran sedang dibacakan walaupun menerusi televisyen atau radio dan seumpamanya, kita disunatkan untuk melakukan sepertimana biasa iaitu mendengar dan memerhatikan makna bacaan.

Makruh hukumnya seandainya kita membuat bising. Tidak kiralah sama ada berbual-bual ataupun bermain-main. Ia sebenarnya termasuk dalam perbuatan yang menyalahi adab yang baik.

Semua itu jelas sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Syarah al-Yaqut an-Naafis yang menerangkan: “Kemudian jikalau bacaan al-Quran terdengar daripada radio atau televisyen atau lain dari keduanya dan sebahagian daripada yang hadir di situ atau salah seorang daripada mereka lalai ia atau bermain dengan permainan yang sia-sia, tidakkah itu dikira berpaling dan tidak memuliakan al-Quran?

“Maka hukumnya tidak jauh daripada haram ataupun sekurang-kurangnya kami kata dengan makruh hukumnya,”

Menjelaskan lanjut tentang perkara itu, pendakwah, Ustaz Azhar Idrus berkata, mereka yang hadir pada tempat yang sedang diperdengarkan bacaan al-Quran itu, usahlah melalaikan diri dengan berbuat tidak endah atau bermain yang sia-sia.

Ini kerana jelasnya, perbuatan itu seolah-olah menunjukkan kita berpaling daripada memberi tumpuan untuk mendengar bacaan al-Quran sebagaimana yang disunatkan berbuat demikian.

“Adapun orang yang membuka siaran bacaan al-Quran, kemudian dia sendiri tidak menghiraukannya dengan berbual atau bermain-main, nescaya tidak jauh haramnya.

“Disunatkan siapa yang hadir pada tempat yang tersiar bacaan al-Quran mendengarnya dan tidak membuat kesalahan jika meninggalkan tempat tersebut kerana ada hajat yang lain,” katanya menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Bagaimana pula jika siaran televisyen bacaan al-Quran itu terpasang di tempat awam dan menjadi laluan mereka yang lalu lalang?

Jelas Ustaz Azhar, jika dalam keadaan demikian, ia tidak dikira berpaling atau tidak mengendahkan al-Quran.

Justeru, sebagai umat Islam, jagalah adab dan kemuliaan al-Quran tak kiralah di mana saja kita berada.

Kalau terdengar bacaan al-Quran di mana-mana, hormatilah ia dan dengarkan alunan kalam ALLAH itu dengan sebaiknya.

Sumber: Instagram Ustaz Azhar Idrus

Foto: Freepik

Berita Semasa, Panduan,

Bila semut ada dalam minuman, makanan kita…Sering berlaku kat kita sebenarnya

HATI mendongkol geram je bila melihat balang gula ada semut walaupun hanya beberapa ekor. Kadangkala semut hanya menghurung di luar balang saja, tapi rasa marah kita bukan kepalang.

Masakan tidak, makhluk itu begitu kecil dan halus sampai ada masanya kita tak perasan pun bila serangga itu ada dalam balang gula.

Bila dah tak perasan, gula yang ada dalam balang tu kita gunakan untuk buat minuman atau dimasukkan dalam masakan.

Dah jadi cerita lain pula. Sudahnya jadi air semut dengan lauk semut pula. Memang pusing kepala juga dibuatnya.

Siapalah yang nak makan hidangan atau minuman yang tercemar dengan serangga itu? Sudah tentu nasibnya dalam tong sampah saja atau dibuang.

Andai kata, kita termakan semut yang masuk dalam balang gula tadi, apakah hukumnya ya? Apa pandangan Islam tentang hal ini?

Asal hukum memakan semut sebenarnya adalah haram kerana ia termasuk dalam jenis haiwan yang menjijikkan apabila dimakan.

Malah, ada hadis yang melarang kita untuk membunuh semut.

Firman ALLAH SWT: “Dan baginda (Rasulullah SAW) menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.” (Surah al-A’raf, ayat 157)

Menurut Imam Fakhruddin al-Razi menerusi Mafatih al-Ghayb (15/381), dalam ayat ini, ALLAH SWT menyifatkan Nabi Muhammad SAW dengan sembilan sifat.

Antaranya menghalalkan bagi manusia akan benda-benda yang dihukumkan oleh ALLAH sebagai halal yakni dihalalkan segala benda-benda yang berasa elok pada jiwa dan enak pada tabiat manusia, melainkan terdapat dalil lain yang mengatakan ia haram.

“Rasulullah SAW juga mengharamkan segala apa yang jijik pada jiwa seperti bangkai dan darah. Orang yang memakannya dianggap fasik.

“Dalam kata lain, semua benda yang ditanggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit, sedangkan apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Maka setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum berbeza,” kata Imam Fakhruddin al-Razi.

Berdasarkan ayat itu, semut adalah haram dimakan kerana sifatnya sebagai bangkai; matinya tidak disembelih, jijik pada jiwa dan dilarang oleh Rasulullah SAW daripada membunuhnya.

Tapi dalam uruf masyarakat kita, memang semut tidak ‘dihidangkan’ bersama minuman atau makanan. Kalau ada pun, pasti sebab tak sengaja apabila kita masukkan gula.

Justeru, semut yang masuk secara tidak sengaja sebenarnya tidak menajiskan air minuman kerana sifatnya hanyalah sebagai pengikut.

Bagaimanapun, dari segi hukum memakan semut dalam balang gula, ia adalah haram.

Ia kerana, semut merupakan bangkai yang diharamkan oleh syarak dan jijik untuk dimakan pada tabiat kebiasaan manusia.

Sekiranya ada semut masuk ke dalam gula, kita hendaklah sedaya upaya untuk mengeluarkan serangga berkenaan sama ada ia hidup atau mati.

Andai semut tadi masuk ke dalam minuman, hendaklah dikeluarkan juga sama ada hidup atau mati. Air berkenaan masih lagi suci dan boleh diminum serta tidak bernajis kerana masuknya semut secara tidak sengaja dan bukan tujuan utama.

Jika semut termasuk ke dalam air minuman, atau dalam cairan yang dimakan seperti madu atau kordial minuman, ia adalah dimaafkan untuk diminum jika bilangannya sedikit pada uruf, tidak menjijikkan dan tidak menyebabkan masalah kesihatan.

Seandainya semut termasuk dalam masakan pula, kemudian lebur bersamanya, maka itu juga dimaafkan jika tidak menjijikkan, sedikit pada uruf, dan tidak berbahaya kepada kesihatan.

Sebagai kesimpulannya, kalau kita ternampak semut dalam makanan atau minuman, cepat-cepatlah keluarkan. Ia masih boleh diminum atau dimakan.

Tapi kalau sudah banyak sangat semut itu, sebaiknya jangan makan atau minum hidangan yang tercemar itu ya.

Sumber: Irsyad Al-Fatwa Siri ke-401: Hukum Makan Semut dalam Balang Gula, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan