Browsing Tag

muslim

doa para nabi
Berita Semasa,

9 doa para nabi yang boleh dijadikan amalan harian kita

TERDAPAT sembilan doa para nabi boleh dijadikan sebahagian daripada amalan harian kita.

Ia bukan doa ‘biasa-biasa’. Sudah tentulah terselit fadilat dan hikmah yang tidak terhitung nilainya. Jika tidak, masakan doa tersebut tidak pernah lekang meniti dari bibir para anbia.

Apatah lagi doa sering kali diibaratkan sebagai senjata bagi para Muslimin. Mana tidaknya, dengan berdoa, kita mampu mendekatkan diri kepada ALLAH SWT di samping memperkuat keimanan dalam jiwa.

Ketahuilah bahawa ALLAH MAHA PEMURAH. Jika diminta dengan bersungguh-sungguh, pastinya segala doa yang dipanjatkan kepadaNYA akan dikabulkan.

Baca juga 7 Teknik berdoa yang bakal menjemput Rahmat ALLAH

Para nabi dan rasul dahulu juga tidak pernah lupa berdoa kepada ALLAH memohon pertolongan-NYA dalam keadaan susah dan senang. Apalagi bagi kita manusia biasa yang cenderung kepada kekhilafan, haruslah sentiasa memohon keampunan daripada-NYA.

Berikut Sinar Islam Plus senaraikan doa para nabi dan rasul seperti yang diceritakan dalam al-Quran untuk dijadikan amalan kita:

1. Doa Nabi Adam AS.

Nabi Adam AS pernah berdoa memohon keampunan daripada ALLAH setelah melakukan kesilapan. Perkara ini direkodkan dalam al-Quran. Firman ALLAH:

رَبَّنَا ظَلَمْنَآ أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ

Rabbana zholamna anfusana wa ilam tagfirlana watarhamna lana kunanna minal khosirin

Maksudnya: “Wahai TUHAN kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau ENGKAU tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami terdiri dari kalangan orang-orang yang rugi.” (Surah al-A’raf, ayat 23)

Baca juga Berdoa Di Dalam Tandas, Ini Hukumnya

doa para nabi

USAH bersegan meminta rahmat daripada ALLAH YANG MAHA BERKUASA kerana tiada yang mampu mengabulkan doa melainkan DIA.

2. Doa Nabi Nuh AS.

Nabi Nuh AS mengucapkan doa ini untuk memohon keampunan dari ALLAH buat dirinya, ibu bapanya dan umat Islam. Doa ini terdapat dalam surah Nuh ayat 28. Firman ALLAH:

رَّبِّ ٱغْفِرْ لِى وَلِوَٰلِدَىَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِىَ مُؤْمِنًۭا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ

Rabbigh-firlii wali waalidayya wa liman dakhola baitiya mu’-minan wa lil mu’-miniina wal mu’-minaati

Maksudnya: “Wahai TUHANku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman)…” (Surah Nuh, ayat 28)

Baca juga Sebab musabab doa kita kita tidak dimakbulkan oleh ALLAH YANG MAHA ESA. Ini yang selalu kita tak perasan

3. Doa Nabi Ibrahim AS.

Nabi Ibrahim AS mengucapkan doa ini saat membina Kaabah bersama anaknya Nabi Ismail AS. Berikut doanya seperti yang terdapat dalam surah al-Baqarah ayat 127 dan 128. Firman ALLAH SWT:

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّآ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

رَبَّنَا وَٱجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةًۭ مُّسْلِمَةًۭ لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ

Rabbanaa taqabbal minnaa, innaka antas-samii’ul-‘aliim.

Rabbanaa waj’alnaa muslimaini laka wa min zurriyyatinaa ummatam muslimatal laka wa arinaa manaasikanaa wa tub ‘alainaa, innaka antat-tawwaabur-rahiim

Maksudnya: “Wahai TUHAN kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya ENGKAUlah yang MAHA MENDENGAR, lagi MAHA MENGETAHUI; Wahai TUHAN kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya ENGKAUlah MAHA PENERIMA taubat, lagi MAHA MENGASIHANI.” (Surah al-Baqarah, ayat 127-128)

Baca juga Jadikan kisah keluarga Nabi Ibrahim sebagai pemangkin kekuatan diri untuk mencari keredaan ALLAH SWT

doa para nabi

TELADANILAH golongan Nabi dan Rasul yang sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT dalam keadaan susah dan senang.

Pada kesempatan lain, Nabi Ibrahim AS juga berdoa agar dirinya dan anaknya dijadikan kalangan orang yang mendirikan solat di samping keampunan ALLAH buat keluarganya. Doanya terdapat dalam Surah Ibrahim sepertimana firman ALLAH SWT:

رَبِّ ٱجْعَلْنِى مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِى ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَآءِ

رَبَّنَا ٱغْفِرْ لِى وَلِوَٰلِدَىَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ ٱلْحِسَابُ

Rabbij ‘alni muqimas-sholaati wa min-zuriyyati, robbana wa taqobbal du’aaRabbanaghfir lii wa liwaalidayya wa lil-mu’ miina yauma yaqumul-hisaab

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. Ya Tuhan kami, ampunilah aku dan kedua ibu bapaku dan semua orang yang beriman pada hari diadakan perhitungan (Hari Kiamat).” (Surah Ibrahim, ayat 40-41)

Baca juga Fahami etika berdoa ketika solat

4. Doa Nabi Yusuf AS.
Nabi Yusuf AS pernah berdoa kepada ALLAH agar dimatikan dalam keadaan dirinya seorang Muslim. Doa ini ada dalam Surah Yusuf, iaitu firman ALLAH:

فَاطِرَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ أَنتَ وَلِىِّ  ۦ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ ۖ تَوَفَّنِى مُسْلِمًۭا وَأَلْحِقْنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ

Faatiras-samaawaati wal-ard, anta waliyyii fid-dun-yaa wal-aakhirah, tawaffanii muslimaw wa al-hiqnii bis-saalihiin

Maksudnya: “…(Wahai TUHANku) Matikanlah daku dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang soleh.” (Surah Yusuf, ayat 101)

Baca juga Renungkan cara Nabi Yusuf tangani kegawatan ekonomi pada zamannya

5. Doa Nabi Ayub AS.

Nabi Ayub AS pernah berdoa memohon rahmat (dan kesihatan) daripada ALLAH ketika baginda diuji dengan kesakitan. Firman ALLAH SWT dalam surah al-Anbiya:

وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّى مَسَّنِىَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ

Wa ayyuuba iz naadaa rabbahuu annii massaniyaḍ-ḍurru wa anta ar-ḥamur-raaḥimiin

Maksudnya: “Dan Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang ENGKAU sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.” (Surah al-Anbiya, ayat 83)

Baca juga Sumber haram antara punca ALLAH tak makbulkan doa hamba-NYA

doa para nabi

BEGITU besarnya fadilat di sebalik doa sehingga ia diibaratkan senjata para Mukmin.

6. Doa Nabi Syuaib AS.

Nabi Syuaib AS mengucapkan doa berikut memohon penghakiman dan kelapangan daripada ALLAH dalam urusan baginda dan kaumnya. Doa Nabi Syuaib boleh dilihat dalam Surah al-A’raf sebagaimana firman ALLAH SWT:

رَبَّنَا ٱفْتَحْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ قَوْمِنَا بِٱلْحَقِّ وَأَنتَ خَيْرُ ٱلْفَـٰتِحِينَ

rabbanaftaḥ bainanaa wa baina qauminaa bil-ḥaqqi wa anta khairul-faatiḥiin

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, hukumkanlah (bukakanlah pintu hati) antara kami dan kaum kami dengan kebenaran (keadilan), kerana ENGKAU jualah sebaik-baik Hakim.” (Surah al-A’raf, ayat 89)

Baca juga 4 Golongan Yang Mendapat Doa Malaikat

7. Doa Nabi Musa AS.

Nabi Musa AS pernah berdoa kepada ALLAH agar dikurniakan kelapangan dada, dipermudahkan urusan dan diberikan kefasihan bertutur. Perkara ini direkodkan dalam al-Quran. Firman ALLAH SWT:

رَبِّ ٱشْرَحْ لِى صَدْرِى وَيَسِّرْ لِىٓ أَمْرِى وَٱحْلُلْ عُقْدَةًۭ مِّن لِّسَانِى يَفْقَهُوا۟ قَوْلِى

Rabbisyrah lii sadrii wa yassir lii amrii wahlul ‘uqdatam mil  lisaanii yafqahu qaulii

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; dan permudahkanlah bagiku urusanku, lepaskanlah simpulan dari lidahku, supaya mereka faham perkataanku.” (Surah Taha, ayat 25-28)

Baca juga Peristiwa penting para nabi dan rasul yang perlu kita tahu

doa para nabi

KITA semua tidak diturunkan ke bumi oleh ALLAH SWT melainkan hanya untuk mengagungkan-NYA serta mendapatkan keredaan-NYA.

8. Doa Nabi Yunus AS.

Nabi Yunus AS pernah berdoa memohon keampunan daripada ALLAH. Bahkan, doa ini dipuji oleh Rasulullah SAW sebagai salah satu doa terbaik yang akan dimakbulkan oleh ALLAH SWT.

لَّآ إِلَـٰهَ إِلَّآ أَنتَ سُبْحَـٰنَكَ إِنِّى كُنتُ مِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Laa ilaaha illaa anta sub-haanaka inii kuntu minaz-zaalimiin

Maksudnya: “Sesungguhnya tiada TUHAN (yang dapat menolong) melainkan ENGKAU (Ya ALLAH)! MAHA SUCI ENGKAU (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” (Surah al-Anbiya, ayat 87)

Baca juga Jangan sombong, berdoalah hanya ALLAH SWT mampu memenuhi kehendak manusia

9. Doa Nabi Muhammad SAW.

Ini adalah doa kegemaran Rasulullah SAW kerana menurut Saidina Anas, doa tersebut adalah antara yang paling banyak dibaca oleh baginda. Doa itu terdapat dalam surah al-Baqarah. Firman ALLAH SWT:

رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةًۭ وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ حَسَنَةًۭ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

Rabbanaa aatina fiddunyaa hasanataw wa fil akhirati hasanataw wa qinaa ‘azaa bannaar

Maksudnya: “Wahai TUHAN kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah al-Baqarah, ayat 201)

Baca juga Empat kisah Rasulullah SAW menitiskan air mata

Ketahuilah, dalam keadaan apa jua sekalipun, baik senang mahupun susah, ALLAH SWT sentiasa ada untuk mendengar keluhan dan rintihan kita.

Moga-moga perkongsian doa para nabi ini dapat dimanfaatkan sebagai rujukan anda tatkala sedang memanjatkan doa memohon perlindungan daripada Tuhan YANG MAHA PENOLONG.

9 doa para nabi yang boleh dijadikan amalan harian kita

Foto: Freepik, Pexels & Unsplash

akhlak berdasarkan quran
Isu,

10 akhlak murni yang perlu diteladani berdasarkan al-Quran

TERDAPAT 10 akhlak murni yang wajar diteladani berdasarkan ayat-ayat suci al-Quran.

Kalamullah tersebut diibaratkan sebagai manual kehidupan dan menyentuh pelbagai aspek penting yang membentuk sebuah insan seperti akhlak.

Baca juga Model keluarga terbaik disebutkan dalam al-Quran

Perihal akhlak, al-Quran sudah pun memberikan acuan yang terbaik untuk dituruti seluruh umatnya. Dinukil daripada sebuah hantaran di akaun media sosial, Soul Fitness Centre, ada beberapa akhlak yang pernah disebutkan oleh ALLAH SWT untuk diikuti oleh para Muslimin, iaitu:

1. Tidak mencela orang lain

…Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain…” (Surah al-Hujurat, ayat 11)

akhlak berdasarkan quran

BERBUAT baiklah sesama manusia tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama.

2. Menepati janji

…Dan jagalah sumpahmu…” (Surah al-Maidah, ayat 89)

3. Menahan kemarahan

…dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), ALLAH mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah Ali Imran, ayat 134)

Baca juga Empat perkara yang lebih berharga daripada isi dunia

4. Bersangka baik kepada orang lain

Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata”.” (Surah an-Nur, ayat 12)

5. Tidak bergosip

Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.” (Surah an-Nur, ayat 15)

Baca juga Ketahui 5 cara hapuskan dosa mengumpat

6. Jauhkan diri daripada perbualan buruk

Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.” (Surah al-Mukminun, ayat 3)

7. Sentiasa merendah diri

Dan hamba-hamba (ALLAH) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.” (Surah al-Furqan, ayat 63)

akhlak berdasarkan quran

SENTIASA merendah diri dalam setiap pergaulan bersama orang lain, baik kawan mahupun orang yang tidak dikenali.

8. Balas kejahatan dengan kebaikan

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Surah Fussilat, ayat 34)

9. Tidak mengutuk agama lain

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari ALLAH…” (Surah al-An’am, ayat 108)

Baca juga Enam situasi dibolehkan mengumpat yang anda perlu tahu

10. Tidak boros dan kedekut
“Dan juga mereka (yang diredhai ALLAH itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Surah al-Furqan, ayat 67)

Semoga perkongsian ini disematkan dalam jiwa untuk dijadikan amalan dalam kehidupan seharian kita semua.

10 akhlak murni yang perlu diteladani berdasarkan al-Quran

Foto: Pexels

empat golongan manusia terbaik di sisi Nabi
Isu,

Empat golongan manusia terbaik di sisi Rasulullah SAW

PASTINYA anda ingin tahu empat golongan manusia terbaik di sisi Rasulullah SAW.

Sebagai seorang Muslim, kita semua mengharapkan agar dihindari seksaan dan ditempatkan di tempat yang baik bersama orang-orang yang bertakwa di akhirat kelak.

Sememangnya untuk menjadi orang yang bertakwa dan mendapat tempat dalam syurga bukan mudah dan memerlukan usaha serta sifat istiqamah. Keimanan dan perilaku yang baik perlu bergerak seiring.

Selain melaksanakan ibadah kepada ALLAH SWT, kita juga diperintahkan agar menjaga hubungan sesama manusia.

Berdasarkan hadis, ada beberapa jenis manusia yang sering dipuji oleh Rasulullah SAW. Mereka diiktiraf dan dianggap sebagai antara golongan terbaik dalam kalangan manusia.

Empat golongan manusia terbaik

DR AHMAD SANUSI

Menerusi suatu hantaran di laman sosial Facebook miliknya, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan bahawa golongan manusia yang dimaksudkan itu adalah:

1.Mereka yang belajar dan mengajar al-Quran.

Rasulullah SAW menggambarkan kepada kita bahawa sebaik-sebaik manusia itu adalah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkan kepada orang lain. Sabda Nabi SAW:

Sebaik-baik kamu adalah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Baca juga Hindari 3 niat ini ketika baca al-Quran

2.Mereka yang berbuat baik kepada keluarga.

Melakukan kebaikan kepada ahli keluarga adalah perbuatan yang sangat terpuji. Rasulullah SAW menyifatkannya sebagai orang yang paling baik di sisi manusia sebagaimana sabda baginda:

Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah orang yang paling baik kepada keluarganya. Dan aku orang yang paling baik bagi keluargaku.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

empat golongan manusia terbaik

AGAMA Islam bukan sahaja mementingkan hubungan manusia dengan Pencipta-nya, bahkan pertalian ukhuwah sesama saudara seagama juga dititikberatkan.

3.Orang yang paling memberi manfaat

Selain itu, manusia yang paling banyak memberikan manfaat kepada orang lain termasuk orang yang paling baik dalam kalangan manusia. Nabi SAW pernah bersabda:

Orang yang paling baik adalah mereka yang paling banyak memberikan manfaat kepada manusia lain.” (Musnad al-Quda’i)

Baca juga 2 Amalan Menjadi Manusia Terbaik

4.Memberi makan dan menjawab salam

Rasulullah juga memuji orang yang suka memberi makan dan menjawab salam.

Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah mereka yang memberi makan dan menjawab salam.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Baca juga Apabila berjabat tangan, genggamlah lama sedikit kerana itu lebih baik

Dengan mengetahui empat golongan manusia yang terbaik, diharapkan kita dapat berusaha mencontohi keimanan dan perilaku seperti yang digariskan oleh Nabi SAW.

Insya-ALLAH dengan berbekalkan usaha tersebut, kita akan termasuk antara golongan yang bertakwa kepada ALLAH SWT.

Foto: Freepik & Pexels

Penuhi enam hak sesama Muslim
Isu, Uncategorized,

Penuhi enam hak sesama Muslim, jamin keteguhan ukhuwah.

PENUHI enam hak sesama Muslim, jamin keteguhan ukhuwah

Tahukah anda bahawa wujudnya hak tertentu yang perlu dipenuhi oleh setiap Muslim terhadap satu sama lain?

Islam sememangnya agama yang mementingkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang sesama Muslim. Betapa syumulnya Islam meliputi seluruh aspek kehidupan manusia sehinggakan hak sesama saudara seagama juga pernah digariskan Nabi SAW sendiri dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA:

Hak muslim ke atas muslim enam perkara: Dikatakan (sahabat bertanya): Apakah ia wahai Rasulullah SAW? Rasulullah berkata: Apabila kamu bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam ke atasnya. Apabila kamu diundang maka penuhilah. jika apabila dia meminta nasihat kepadamu, maka berilah nasihat kepadanya. Apabila bersin, maka ucapkanlah hamdalah serta balaslah (dengan doa: يرحمك الله). Apabila dia sakit, maka ziarahilah dia. Apabila dia meninggal, maka hantarlah jenazahnya ke kubur.” (Hadis riwayat Muslim)

Penuhi enam hak sesama Muslim

MUNGKIN enam hak yang disebutkan itu nampak kecil tetapi kesannya besar menguatkan talian ukhuwah sesama umat Islam.

Enam hak sesama Muslim yang patut dipraktikkan adalah seperti berikut:

1. Mengucapkan salam
Mengucapkan salam adalah antara identiti umat Islam. Apabila seorang Muslim bertemu dengan saudaranya sama ada yang dikenali atau tidak, hendaklah dia mendahuluinya dengan salam.

Hukum mengucapkan salam adalah sunat muakkad, manakala hukum menjawabnya pula adalah wajib.

Selain menjadi suatu doa yang dapat menggugurkan dosa, perbuatan memberi salam juga menjadi pengikat tali persaudaraan sesama kaum Muslimin.

Baca juga Apabila berjabat tangan, genggamlah lama sedikit kerana itu lebih baik

2. Memenuhi undangan
Niat baik dan penghormatan yang diberikan saudara yang menjemput hendaklah dipenuhi melainkan ada keuzuran dan hal yang tidak dapat dielakkan.

Namun, haruslah diingat undangan tersebut bukanlah untuk tujuan atau tempat-tempat yang berunsur maksiat.

3. Saling menasihati
Lumrah sebagai manusia terkadang alpa dalam kemaksiatan dan dosa, maka sebagai seorang Muslim yang mencintai saudaranya hendaklah kita memberikan nasihat dengan cara yang baik, jujur dan ikhlas serta tidak mengaibkan atau mengguris perasaannya.

Penuhi enam hak sesama Muslim

MASIH ramai yang menggunakan frasa Inggeris, ‘Excuse me’ apabila bersin. Sebaliknya, gunakanlah perkataan yang telah diajarkan oleh Nabi SAW.

4. Mendoakan ketika bersin
Jika seorang Muslim bersin dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’, maka kita hendaklah mengucapkan ‘Yarhamukallah’ (bagi lelaki) atau ‘Yarhamukillah’ (bagi perempuan) sebagai rasa syukur kepada ALLAH SWT.
Ini bertepatan dengan saranan hadis Abu Hurairah RA sabda Nabi SAW:

Apabila salah seorang daripada kamu bersin, maka hendaklah ia menyebut ‘Alhamdulillah’. Dan menjawab bagi saudara atau sahabatnya ‘Yarhamukallah’. Maka apabila seseorang menyebut kepadanya (orang yang bersin) ‘Yarhamukallah’ maka hendaklah menyebut ‘Yahdikumullah wa Yuslih baalakum’. (Hadis riwayat al-Bukhari)

5. Menziarahinya ketika sakit
Apabila seorang Muslim itu sakit hendaklah kita datang menziarahinya lebih-lebih lagi jika dia adalah saudara terdekat atau sahabat kita sendiri.

Ketika menziarahinya, pastikan kita ingat adab-adab yang perlu diamalkan agar kehadiran kita tidak menambahkan beban dan kesusahan kepada pesakit.

Doakanlah kesembuhan baginya serta berilah motivasi kepadanya agar bersabar dengan ujian ALLAH SWT.

Baca juga Ikhlaskan hati, usah mengeluh menjaga orang sakit kerana ganjaran besar menanti

6.Mengiringi jenazah

Mengiringi jenazah itu bukan sahaja mengandungi doa, malah ia sebagai penghormatan terakhir bagi orang yang meninggal.

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah pernah bersabda:

Sesiapa yang menziarah jenazah seorang Muslim dengan penuh perasaan keimanan, dia tetap ada bersama mayat sehinggalah mayat tadi disolatkan dan turut serta sehingga selesai ia dikebumikan, maka dia pulang dengan mendapat dua qhirat. Setiap satu qhirat ganjarannya sama seperti gunung Uhud. Dan sesiapa yang solat jenazah, kemudian dia pulang tanpa menunggu sehingga mayat tersebut dikebumikan, sesungguhnya dia mendapat satu qhirat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sematkan azam agar dapat melaksanakan keenam-enam hak ini kerana kita hidup di dunia bukannya berseorangan. Sebaliknya ALLAH mencipta manusia dengan pelbagai bangsa, bersuku-suku dan berpuak-puak supaya kita dapat saling kenal mengenali.

Foto: Freepik & Pexels

burkini
Antarabangsa, Berita Semasa,

Perdebatan tercetus di Perancis gara-gara kebenaran pemakaian burkini

WANITA Islam di Grenoble, Perancis, kini dibenarkan memakai burkini atau pakaian renang Muslimah di kolam-kolam renang bandar itu selepas mendapat kelulusan Majlis Perbandaran tempatan.

Dalam suatu sesi undian sengit dengan keputusan 29-27 beserta dua undi terkecuali, ahli-ahli Majlis Perbandaran Grenoble bersetuju untuk membuat perubahan dalam peraturan pakaian renang di bandar itu.

burkini

ERIC PIOLLE

Kata Datuk Bandar Grenoble, Eric Piolle, langkah diambil untuk mewujudkan peraturan renang yang lebih permisif, terutamanya bagi para wanita.

“Kami berhasrat untuk menghapuskan sekatan yang tidak masuk akal. Ini termasuk larangan mendedahkan payudara dan pakaian renang yang memberi perlindungan tambahan daripada matahari atau berkaitan kepercayaan.

“Ia bukan mengenai menyokong atau menentang pemakaian burkini secara khusus,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh agensi berita, France 24.

Baca juga Siasatan menyeluruh loji sembelihan Australia didakwa langgar prosedur halal

Burkini adalah sejenis pakaian renang yang menutupi seluruh badan dan hanya menampakkan bahagian muka, tangan dan kaki.

Mula dipasarkan pada tahun 2004, pereka fesyen Muslim dari Australia, Aheda Zanetti telah mencipta pakaian tersebut khas buat para Muslimah dan mereka yang mencari pakaian renang yang lebih menutupi badan.

burkini

RAMAI wanita Muslim yang menerima denda kerana mengenakan burkini di pantai sepanjang musim panas tahun 2016.

Namun, di Perancis, burkini dilihat sebagai suatu simbol ekstremisme Islam dan penindasan ke atas wanita.

Sejak tahun 2009, pakaian ini menjadi isu hangat yang sering diperdebatkan oleh masyarakat tempatan, terutamanya ahli-ahli politik.

Pada 2016 pula, lebih daripada 20 bandar di Perancis mengenakan denda terhadap wanita yang memakai burkini di pantai.

Begitu pun, larangan ini ditarik balik setelah ia dianggap sebagai suatu bentuk diskriminasi oleh badan kerajaan, Le Conseil d’État.

Keputusan Grenoble untuk membenarkan pemakaian burkini ditentang pelbagai pihak yang menegaskan bahawa langkah itu menggugat nilai sekularisme yang termasuk dalam perlembagaan Perancis.

burkini

GÉRALD DARMANIN

Menteri Dalam Negeri, Gérald Darmanin menganggap langkah tersebut sebagai suatu bentuk provokasi yang bertentangan dengan budaya Perancis.

Tambahnya, beliau akan membawa isu itu ke mahkamah bagi menghalang peraturan baharu berkenaan daripada terus berkuat kuasa.

Dalam masa sama, Presiden Majlis Negeri Auvergne-Rhône-Alpes, Laurent Wauquiez mengugut untuk menarik semula peruntukan kewangan bandar terbabit dalam sebuah ciapan di laman sosial Twitter.

Selain itu, suatu tinjauan yang dilakukan oleh saluran berita, Cnews mendapati 73 peratus rakyat Perancis setuju larangan terhadap pemakaian burkini di kolam renang dikekalkan.

burkini

GRENOBLE dianggarkan mempunyai 15 peratus daripada keseluruhan tiga juta Muslim yang tinggal di Perancis.

Walau bagaimanapun, Grenoble bukan bandar pertama yang membenarkan pemakaian burkini di kolam renang.

Penduduk Rennes di kawasan barat laut Perancis sudah dibolehkan memakai sebarang jenis pakaian renang sejak tahun 2019.

“Kami hanya ingin memberikan kebebasan buat orang ramai untuk berpakaian mengikut kehendak mereka,” Eric memberitahu RMC Radio melalui sebuah laporan berita dari The Guardian.

Foto: Pexels & Le Dauphiné Libéré

Antarabangsa, Berita Semasa,

Manisnya Ramadan di Asia Selatan

KETIBAAN Ramadan sesungguhnya membawa sejuta kemanisan. Kadangkala, kemanisan itu boleh dipegang dan dirasai dengan lidah.

Di Asia Selatan, ruang masjid dan pejalan kaki di bazar-bazar Ramadan dipenuhi orang ramai pada waktu petang yang tertarik dengan haruman manisan tempatan dan longokan pinggan yang ditimbuni pelbagai jenis nasi.

Lebih daripada setengah billion umat Islam di sana sudah tidak sabar untuk berbuka puasa.

PASAR Chawkbazar di Bangladesh dipenuhi umat Islam yang mencari juadah berbuka puasa.

Sememangnya tujuan berpuasa pada bulan suci Ramadan ini adalah untuk menahan diri daripada nafsu-nafsu duniawi seperti makan minum untuk meningkat ketakwaan kepada ALLAH SWT.

Namun begitu, tradisi berbuka puasa bagi umat Islam Asia Selatan bukan sekadar untuk melampiaskan nafsu makan yang ditahan sepanjang siang, bahkan ia juga menjadi aktiviti sosial bertujuan mengeratkan silaturahim sesama keluarga.

Baca juga Makan berlebihan menyerupai orang kafir dengan 7 perut. Otak lemah, malas beribadah

Pasar Chawkbazar di Bangladesh yang berabad-abad usianya menjadi tempat tumpuan berbuka puasa pada bulan Ramadan. Pasar itu sarat dengan ratusan gerai makan yang menjual pelbagai makanan tradisional.

Seperti yang dilaporkan oleh Arab News, pasar itu kembali sibuk setelah menyepi seketika akibat penularan Covid-19 yang menghalang perjumpaan besar-besaran.

Ramzan Ali yang telah menjual puyuh barbeku hampir empat dekad di pasar berkenaan berkata dia gembira melihat ramai pengunjung di pasar itu. Pengalaman semenjak dua tahun lalu, baginya, sangat memeritkan.

WARGA Bangladesh sedang membeli kuih-muih tradisional di pasar Chawkbazar untuk berbuka puasa.

Makanan tradisional seperti cucur pakora dan sup lentil antara makanan yang boleh dibeli di pasar tersebut.

“Gembira rasanya dapat datang semula ke sini. Tidak lengkap Ramadan saya tanpa juadah berbuka puasa dari Chawkbazar,” ujar Mohammad Asrafuddin, seorang ahli perniagaan,.

MAKANAN disediakan untuk para Muslimin berbuka puasa pada hari pertama Ramadan yang lalu di Lahore, Pakistan.

Di Pakistan pula, umat Islam berpeluang untuk kembali berbuka puasa beramai-ramai apabila pihak kerajaan menarik balik sekatan terhadap perhimpunan awam beberapa minggu sebelumnya.

Kebanyakan masjid dihiasi dengan lampu-lampu manakala kawasan bazar pula sibuk dengan orang ramai yang singgah untuk membeli juadah berbuka puasa atau diagihkan kepada golongan miskin.

Antara sajian iftar yang digemari umat Islam di sana termasuk samosa, pakora, kebab shami dan salad buah-buahan.

PINGGAN-PINGGAN berisi sajian berbuka puasa disusun untuk orang Islam yang berada di Masjid Jama, India.

Dalam masa yang sama, orang ramai berpusu-pusu ke gerai-gerai makan sekitar Masjid Jama di New Delhi, India. Di sana, puasa kadangkala dibuka dengan buah-buahan, roti manis, bubur lambuk dan nasi briyani.

Aktiviti berbuka puasa di Afghanistan pula dilihat lebih tenang berikutan isu Taliban yang mengambil tampuk pemerintahan daripada pihak Amerika Syarikat (AS) tahun lalu.

Juadah berbuka puasa paling terkenal antara umat Islam di negara berkenaan adalah kabuli pulao iaitu hidangan nasi bercampur buah-buahan kering, kismis dan safron serta jalebi, sejenis manisan bergoreng.

KELIHATAN orang ramai yang sedang membeli makanan pada 2 April yang lalu di Kabul, Afghanistan.

Meskipun kelihatan meriah, ramai yang terpaksa berjimat-cermat dalam pembelian pada Ramadan kali ini disebabkan kekurangan bahan mentah di kebanyakan negara.

Tempias perang Ukraine yang sedang berlaku juga menyebabkan kenaikan harga barangan di beberapa negara termasuk Bangladesh.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: New Straits Times & Arab News

Antarabangsa, Berita Semasa,

Ribuan Muslim berjemaah tarawih di depan Times Square, New York

BULAN Ramadan merupakan suatu bulan yang penuh keberkatan bagi seluruh umat Islam. Tidak hairanlah di bulan ini, ramai yang berlumba-lumba ingin mendapatkan pahala dengan memperbanyakkan ibadah.

Ramadan tahun ini terasa lebih istimewa daripada biasa. Mana tidaknya, setelah dua tahun tidak berpeluang mengimarahkan masjid akibat sekatan Covid-19, ramai yang sudah tidak sabar melaksanakan ibadah tarawih secara berjemaah.

Times Square di New York dibanjiri oleh ribuan orang Muslim Amerika Syarikat yang berkumpul untuk mengadakan solat tarawih buat julung kalinya.

ACARA diiklankan di media sosial oleh SQ, seorang ‘influencer’ menerusi Project ZamZam yang ditubuhkannya.

Ia berjaya dianjurkan selepas diiklankan melalui media sosial sebagai ‘solat Tarawih yang pertama kali diadakan di Times Square’

SQ selaku penganjur acara memberitahu kepada CBS News, acara itu diadakan untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa Islam adalah agama yang aman.

MUSLIM yang turut serta dalam acara itu membawa kelengkapan solat masing-masing.

Lokasi Times Square dipilih kerana ia adalah lambang kepada bandar New York, bandar yang sama menjadi titik permulaan bagi Islamofobia apabila berlakunya serangan 9/11 pada 2001.

Sebuah pusat komersial dan pelancongan, Times Square adalah antara kawasan paling sibuk di New York. Sebelum penularan Covid-19, tempat itu menarik hampir 50 juta pengunjung setahun.

Terdahulu, beberapa pengguna media sosial melahirkan kebimbangan bahawa persekitaran yang sibuk dan menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia itu tidak sesuai untuk diadakan tarawih.

HANYA sebahagian sahaja daripada kawasan Times Square yang digunakan untuk solat tarawih berjemaah tersebut.

Ada juga yang risau tentang isu keselamatan susulan serangan Islamofobia di AS yang semakin serius sejak akhir-akhir ini.
Walau bagaimanapun, penganjur bersama, Ali Camara tidak memandang hal itu sebagai suatu isu besar.

“Kami (umat Islam di Amerika Syarikat) bekerja dengan orang-orang ini (warga New York). Anda menaiki kereta api dengan orang-orang ini. Kami semua benar-benar satu.” katanya.

Sementara itu, acara itu juga termasuk dengan majlis iftar. Kira-kira 1,500 hidangan telah diagihkan kepada umat Islam yang mengembara dari sejauh Montreal, Kanada untuk menghadiri majlis tersebut.

Petikan al-Quran dibacakan dan penganjur membuat ucapan tentang erti perayaan pada bulan Islam yang mulia.

NETIZEN berbelah bahagi terhadap penganjuran acaran berkenaan. Ada yang mempertikaikan lokasi dipilih manakala sebahagian lain memberikan sokongan.

Kata SQ, kira-kira 1,200 orang telah mendaftar untuk menghadiri solat itu dan beliau menjangkakan lebih ramai lagi akan mengambil bahagian pada penganjuran seterusnya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Mashable Pakistan, Utusan TV & Pexels

Antarabangsa, Berita Semasa,

Keindahan ayat al-Quran hasil sulaman artis pekak di UK

KADANG besar, kadang kecil. Ada yang berbentuk bunga, selebihnya dalam bentuk selimut.

Begitulah rupa karya sulaman yang sedang menghiasi dinding-dinding Pusat Kesejahteraan dan Kerohanian Amanah di Blackburn, United Kingdom (UK). Walaupun berbeza bentuk dan warna, semuanya disulam dengan terjemahan ayat al-Quran dalam bahasa Inggeris.

Individu di sebalik hasil kerja unik ini merupakan seorang artis pekak beragama Islam bernama Alex Tritton.

Mempunyai minat dalam menjahit sejak kecil lagi, Alex mula menghasilkan tekstil sulaman mengandungi frasa-frasa al-Quran pada tahun 2013.

Karya-karya beliau mempunyai reka bentuk rumit yang menyentuh pelbagai elemen Islam seperti mukjizat al-Quran dan hijab. Hasil sulaman yang kecil mengandungi frasa-frasa al-Quran manakala karya seni yang lebih besar meneroka aspek penting dalam kehidupan seorang Muslim.

SETIAP hasil sulamannya mempunyai makna tertentu dan menggambarkan elemen-elemen dalam Islam.

Masa yang diambil untuk menghasilkan suatu sulaman boleh mencecah dua bulan. Hal ini kerana Alex perlu menyelidiki latar belakang dan makna di sebalik frasa al-Quran yang dipilih terlebih dahulu.

“Ia suatu proses yang memakan masa kerana saya perlu mengkaji dan merancang apa yang saya akan lakukan terlebih dahulu. Sulaman pula dihasilkan pakai tangan. Walaupun begitu, saya seronok melakukannya,” Alex memberitahu Lancashire Telegraph.

Alex yang dilahirkan sebagai seorang Kristian mula mengenali agama Islam apabila diperkenalkan oleh rakan-rakan pada tahun 1992. Sebelum itu, pengetahuannya terhadap Islam hanyalah berdasarkan apa yang digambarkan oleh pihak media. Alex memeluk Islam pada tahun 1994.

Baca juga Belia Islam UK belajar pengurusan jenazah berikutan pandemik

Mempunyai kelulusan dalam kursus Kraf, Reka Bentuk dan Teknologi, sulaman tersebut dihasilkan untuk menggambarkan keindahan ayat-ayat al-Quran.

“Saya berharap orang ramai dapat memahami latar belakang ayat al-Quran. Saya juga ingin mengubah tanggapan salah (tentang Islam) yang masih wujud dalam fikiran orang ramai melalui hasil kerja saya”, tambah Alex.

Menurut Alex lagi, dia ingin membuktikan bahawa masalah pendengaran tidak menjadi penghalang untuk melakukan sesuatu.

Dahulu, karya seni Alex pernah dipamerkan di masjid Al Rahma di Liverpool. Kini ia boleh dilihat di Pusat Kesejahteraan dan Kerohanian Amanah, yang berpusat di Sekolah Tabika Palm di Jalan St Silas, Blackburn.

ALEX (tengah) dan Noreen (kiri) di Pusat Kesejahteraan dan Kerohanian Amanah di Blackburn, UK.

Noreen Hameed dari Sekolah Tabika Palm berkata, “Alex bekerja keras menghasilkan sulamannya. Kami berharap orang ramai dapat datang dan melihat hasil kerjanya secara santai.

Ini cara kami untuk mendekati para Muslimin lain dan orang-orang bukan Islam yang ingin tahu lebih dalam tentang Islam.”

Jangan lupa untuk follow kami di Instagram!

Foto: Lancashire Telegraph

Antarabangsa,

Pelarian Muslim Ukraine disambut dengan tangan terbuka oleh komuniti Islam Jerman

SEJAK bermulanya konflik Russia-Ukraine dua minggu lalu, bilangan pelarian yang melarikan diri dari Ukraine sudah mencecah 2 juta orang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Di Jerman, stesen keretapi Berlin sesak dengan ribuan pelarian Ukraine yang tiba dari negara jiran Poland. Berlin menjadi hab utama bagi sesetengah pelarian yang ingin bergerak ke kawasan Eropah yang lebih jauh apabila pengendali keretapi utama Jerman, Deutsche Bahn menawarkan tiket perjalanan percuma kepada mereka.

Menurut Menteri Dalam Negeri Jerman, lebih 50 ribu pelarian Ukraine kini berada di negara itu. Mereka disambut baik oleh sukarelawan tempatan yang menawarkan makanan, bekalan perubatan dan penginapan.

TRT World melaporkan komuniti Muslim di Jerman antara sukarelawan yang aktif membantu pelarian beragama Islam. Masjid serta Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Muslim telah diseru oleh Majlis Pusat Umat Islam di Jerman (The Central Council of Muslims in Germany) untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Di Masjid Baru di Spandau Berlin, keadaan lebih riuh daripada biasa. Anak-anak muda biasanya mengisi waktu senggang di ruang belajar masjid yang dipenuhi dengan tilam. Manakala, di tempat makan masjid pula kelihatan beberapa keluarga yang sedang menjamu selera.

MASJID Baru di Spandau, Berlin antara masjid yang aktif membantu pelarian beragama Islam dari Ukraine. Seluruh kawasan masjid telah ditukarkan menjadi tempat perlindungan.

Apabila pegawainya diberitahu tentang pelarian Muslim dari Ukraine yang terkandas di stesen keretapi hampir 20 jam tanpa arah tuju, kawasan masjid serta-merta ditukarkan menjadi tempat perlindungan yang mampu menempatkan hampir 50 pelarian.

Khadija Sofi dan keluarganya yang berasal dari Afghanistan adalah antara pelarian yang sedang berlindung di masjid itu. Mereka yang baru sahaja ingin membina hidup baharu di Ukraine akhirnya terpaksa melarikan diri disebabkan peperangan tersebut.

Dengan hanya berbekalkan beberapa helai baju, dokumen serta dua ekor kucing, mereka telah bermusafir selama tujuh hari, menyeberangi Ukraine dan Poland untuk sampai ke Jerman. Khadija Sofi meluahkan rasa syukur diberikan tempat tinggal di masjid tersebut.

“Kami telah berjumpa dengan ramai orang baik dan menemui kawan baru jadi kami berasa selamat dan kami dalam keadaan baik sekarang,” ujar Khadijah.

Selain menyediakan tempat tinggal, ahli-ahli Masjid Baru juga membantu pelarian Ukraine dalam pelbagai urusan lain seperti membeli tiket keretapi untuk mereka yang ingin ke negara Eropah lain. Bagi yang memilih untuk tinggal di Jerman pula, mereka dibantu dalam urusan permohonan suaka.

Menurut salah seorang ahli Lembaga Masjid Baru, Kenan Yilar, pertolongan yang diberikan bukan sahaja dalam bentuk fizikal seperti makanan dan pakaian, malah termasuk sokongan mental.

“Pelarian-pelarian ini datang dari jauh. Apa yang mereka perlukan adalah sokongan mental. Oleh itu, imam-iman di sini juga bersedia untuk membantu mereka dari segi itu.” kata Yilar kepada TRT World.

RAMAI pelarian Muslim dari Ukraine asalnya merupakan pelarian dari negara-negara Arab yang berpindah ke Ukraine untuk membina kehidupan baru.

Tatkala timbul isu pilih kasih antara negara Kesatuan Eropah (EU) yang dikatakan hanya sudi menerima pelarian Ukraine berbangsa putih ke dalam negara masing-masing, komuniti Islam di Jerman hadir dengan tangan terbuka untuk menerima pelarian beragama Islam.

Semangat ukhuwah dan silaturrahim sering ditekankan dalam agama Islam. Ini bererti Muslim tidak perlu gentar ke mana sahaja mereka bermusafir kerana pasti akan disambut baik oleh saudara Islam yang lain.

Foto: TRT World, Michael Sohn/AP

Masjid jadi platform penyatuan penduduk berbilang agama di negara Eropah. Ini 5 masjid paling mahal lagi menawan
Berita Semasa,

Masjid jadi platform penyatuan penduduk berbilang agama di negara Eropah. Ini 5 masjid paling mahal lagi menawan

MENURUT Islamic Republic News Agency (IRNA), masjid di seluruh dunia setakat tahun 2019 mencecah 3.85 juta buah. IRNA yang memetik laporan Al-Bayan berkata, bilangan masjid sedia ada di kebanyakan negara masih tidak mencukupi lantaran jumlah penduduk yang beragama Islam semakin meningkat di seantero benua dari semasa ke semasa. Hal itu dikatakan lebih meruncing di negara
The post Masjid jadi platform penyatuan penduduk berbilang agama di negara Eropah. Ini 5 masjid paling mahal lagi menawan appeared first on Sinar Plus.