PASTINYA anda ingin tahu empat golongan manusia terbaik di sisi Rasulullah SAW.
Sebagai seorang Muslim, kita semua mengharapkan agar dihindari seksaan dan ditempatkan di tempat yang baik bersama orang-orang yang bertakwa di akhirat kelak.
Sememangnya untuk menjadi orang yang bertakwa dan mendapat tempat dalam syurga bukan mudah dan memerlukan usaha serta sifat istiqamah. Keimanan dan perilaku yang baik perlu bergerak seiring.
Selain melaksanakan ibadah kepada ALLAH SWT, kita juga diperintahkan agar menjaga hubungan sesama manusia.
Berdasarkan hadis, ada beberapa jenis manusia yang sering dipuji oleh Rasulullah SAW. Mereka diiktiraf dan dianggap sebagai antara golongan terbaik dalam kalangan manusia.
Menerusi suatu hantaran di laman sosial Facebook miliknya, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan bahawa golongan manusia yang dimaksudkan itu adalah:
1.Mereka yang belajar dan mengajar al-Quran.
Rasulullah SAW menggambarkan kepada kita bahawa sebaik-sebaik manusia itu adalah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkan kepada orang lain. Sabda Nabi SAW:
“Sebaik-baik kamu adalah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Baca juga Hindari 3 niat ini ketika baca al-Quran
2.Mereka yang berbuat baik kepada keluarga.
Melakukan kebaikan kepada ahli keluarga adalah perbuatan yang sangat terpuji. Rasulullah SAW menyifatkannya sebagai orang yang paling baik di sisi manusia sebagaimana sabda baginda:
“Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah orang yang paling baik kepada keluarganya. Dan aku orang yang paling baik bagi keluargaku.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)
3.Orang yang paling memberi manfaat
Selain itu, manusia yang paling banyak memberikan manfaat kepada orang lain termasuk orang yang paling baik dalam kalangan manusia. Nabi SAW pernah bersabda:
“Orang yang paling baik adalah mereka yang paling banyak memberikan manfaat kepada manusia lain.” (Musnad al-Quda’i)
Baca juga 2 Amalan Menjadi Manusia Terbaik
4.Memberi makan dan menjawab salam
Rasulullah juga memuji orang yang suka memberi makan dan menjawab salam.
“Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah mereka yang memberi makan dan menjawab salam.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Baca juga Apabila berjabat tangan, genggamlah lama sedikit kerana itu lebih baik
Dengan mengetahui empat golongan manusia yang terbaik, diharapkan kita dapat berusaha mencontohi keimanan dan perilaku seperti yang digariskan oleh Nabi SAW.
Insya-ALLAH dengan berbekalkan usaha tersebut, kita akan termasuk antara golongan yang bertakwa kepada ALLAH SWT.
Foto: Freepik & Pexels