Browsing Tag

hadis

rupanya hadis palsu
Isu,

Lima hadis popular ini rupanya hadis palsu

LIMA hadis popular ini rupanya hadis palsu.

SUMBER ajaran Islam yang kedua selepas al-Quran ialah al-Hadis. Al-Hadis berasal daripada perkataan hadatha yang bererti percakapan, bahasa dan perkhabaran. Hadis daripada segi istilah pula ialah perkataan, perbuatan dan pengakuan Rasulullah SAW.

Manakala al-Sunnah adalah segala perbuatan, pengakuan, akhlak dan sirah junjungan Nabi Muhamad SAW. Para ulama hadis bagaimanapun telah menyatakan bahawa al-Hadith dan al-Sunnah adalah dua perkataan yang boleh digunakan dan difahami bagi merujuk kepada satu perkara yang sama.

Malangnya terdapat sebahagian hadis yang sering digunakan dalam kehidupan seharian kita namun rupa-rupanya tidak pernah dilafaz atau dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Baca juga Penting Untuk Kita Fahami Ilmu Hadis, Ini Sebabnya

Hari ini, amat mudah sekali untuk memperoleh dan berkongsi maklumat dengan adanya internet. Adakalanya, maklumat yang dihebahkan tidak benar namun tetap tersebar jua.

Jadi, jika anda terlintas suatu hadis di laman sosial seperti Facebook dan sebagainya, jangan terus ‘share’ tanpa melakukan semakan bagi mengesahkan kesahihan maklumat tersebut.

Berikut antara hadis popular yang dianggap tidak sahih daripada pandangan jumhur ulama:

1. Tuntut ilmu hingga ke negeri Cina

“Tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negara China”

Hadis terkenal ini adalah antara yang sering digunakan dalam masyarakat kita sebagai galakan menuntut ilmu.

Tanpa disedari, rupa-rupanya hadis ini telah dinilai palsu oleh ulama hadis seperti Ibnu al-Jauzi, al-Sakhawi dan al-Syaukani.

hadis palsu

ADA sebahagian ‘hadis’ yang diajarkan kepada kita sejak kecil lagi ternyata sekadar ungkapan yang tiada sumber agama sahih di sebaliknya.

2. Tidak elok campur makanan darat dan laut dalam satu hidangan

Antara petua orang-orang lama yang terawal diajarkan kepada kita adalah untuk mengelak daripada mencampurkan makanan darat dan laut dalam satu hidangan. Saranan ini dikatakan datang daripada sebuah hadis.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bagaimanapun menyangkal bahawa tiada ayat daripada al-Quran mahupun hadis Nabi SAW yang melarang percampuran makanan laut dan darat ketika makan.

Pun begitu, pihaknya berkata, jika ilmu sains membuktikan bahawa perbuatan mencampurkan makanan laut dan darat dalam satu hidangan boleh membawa kepada kemudaratan, maka ia hendaklah dijauhi.

Baca juga Ini maksud sebenar hadis tentang wanita pelacur beri anjing dahaga minum…

3. Tidur selepas asar boleh jadi gila

“Sesiapa yang tidur selepas Asar lalu hilang akalnya, maka janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri.”

Menurut mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, para ulama berbeza pandangan bagi status hadis berkenaan sama ada daif atau palsu.

Yang pasti, tiada hadis sahih yang melarang tidur selepas Asar, katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel di portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Meskipun demikian, Dr Zulkifli mengingatkan bahawa sebahagian para ulama tetap berpendapat, hukumnya makruh jika tidur selepas waktu Asar.

Baca juga Mengapa tidak boleh tidur selepas Asar? Ini penjelasannya

4. Payung emas bagi isteri yang bermadu atau benarkan suami kahwin lain

‘Hadis’ tersebut antara yang sering digunakan oleh para suami yang ingin berpoligami untuk mendapatkan persetujuan si isteri pertama.

Namun seperti yang dijelaskan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ungkapan berkenaan hanyalah rekaan semata-mata kerana tiada satu ayat dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW yang menyebut tentang payung emas.

Penceramah bebas, Wan Dazrin Wan Din berpendapat frasa ‘payung emas’ muncul mungkin disebabkan kiasan ulama tentang ganjaran atau perlindungan di akhirat apabila mengamalkan poligami.

Baca juga Rupanya tidak wujud ‘payung emas’ dalam poligami

5. Sabar separuh dari iman

Dipetik daripada portal Darul Ulum Malaysia, ungkapan ini sebenarnya adalah pernyataan daripada sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Mas’ud sebagaimana yang direkodkan oleh Imam Tabarani.

“…Dan bersabar adalah separuh daripada iman.” (Al-Mu’jamul Kabir, Hadis: 8544. Rujuk Fathul Bari, di bawah bab pertama Kitabul Iman)

Maka, ungkapan tersebut bukan hadis sahih. Namun, menurut artikel itu, ada riwayat hadis sahih telah dicatat oleh ulama-ulama hadis dengan sedikit perbezaan dalam perkataan. Sarjana Islam, Ibnu Hajar al-Asqalani telah mengklasifikasikan riwayat Imam Abu Bakar ibn Abi Shaybah adalah hasan:

Jabir RA mengatakan, “Pernah Nabi SAW ditanya, “Apa jenis iman yang terbaik?” Baginda menjawab, “Bersabar dan memaafkan.” (Rujuk al-Matalibul ‘Aliyah, jilid 13 ms 167- Hadis: 3141)

Maka, hadis-hadis berikut antara yang terkenal dan sering disebarkan dalam masyarakat tanpa kita sedari ianya adalah palsu.

hadis palsu

INGATLAH, jangan sewenang-wenangnya menyebarkan hadis yang anda tidak pasti status kesahihan kerana dikira memfitnah Rasulullah SAW. Perbuatan itu pula sangat dikeji oleh baginda.

Tegas panel tetap rancangan My #HadithTime, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyandarkan sesuatu perkara kepada Rasulullah SAW tanpa mengetahui kesahihan di sebalik hadis berkenaan.

“Hati-hati, tuan-puan. Jangan sampai kita terlalu mudah dengar hadis dalam Facebook atau dalam Twitter, cepat-cepat kita nak sandarkan kepada Rasulullah. Sebenarnya Rasulullah tak ungkapkan pun (hadis itu),” katanya.

Baca juga Penjelasan Status Hadis Solat al-Awwabin Diberi Ganjaran Istana Emas

Beliau mengingatkan, sekiranya kita tahu sesuatu hadis itu adalah palsu, maka hukumnya haram menyebarkannya hadis tersebut kerana dianggap sebagai memfitnah Nabi SAW.

“Sekiranya kita dah tahu hadis ini bukan diungkapkan oleh Nabi, sepatutnya kita tidak boleh berkata sedemikian kerana seakan-akan kita memfitnah Rasulullah. Rasulullah tak cakap begitu, tetapi kita cakap macam itu,” pesannya.

Seperti yang pernah disabdakan oleh Nabi SAW: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Foto: Pexels

payung emas
Isu,

Rupanya tidak wujud ‘payung emas’ dalam poligami

KERAP kali apabila bercakap tentang poligami, ungkapan ‘payung emas’ sering digunakan oleh sang suami untuk mendapatkan persetujuan si isteri bagi menambah ‘cawangan’.

Istilah itu dikatakan sebahagian daripada hadis yang kononnya menyebut mana-mana isteri yang mengizinkan suami berpoligami maka isteri berkenaan akan dikurniakan payung emas.

Namun, adakah hadis tersebut benar-benar wujud atau hanya sekadar rekaan semata-mata untuk memujuk para isteri membenarkan sang suami berkahwin lagi?

Perihal isu ini, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tiada ayat dalam al-Quran mahupun hadis yang menyentuh tentang payung emas. Dalam erti kata lain, istilah terkenal itu sebenarnya adalah hadis palsu.

“Tidak ada payung emas mahupun free gift payung. Ia hadis palsu,” katanya.

Baca juga Isteri Boleh Tuntut Fasakh Kalau Suami Berpoligami Bersikap Tak Adil

Kata beliau lagi, hukum bagi sesuatu perkara itu perlu dilihat daripada aspek sebab dan illahnya.

“Hukum bagi sesuatu juga perlu dilihat daripada aspek sebab dan illahnya. Tidak boleh menetapkan hukum atas sesuatu berdasarkan zahir ia sunnah atau tidak semata-mata, sebaliknya melihat kepada maslahat suatu perkara itu,” katanya menerusi satu hantaran di Twitter.

Menurut beliau, hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi harus, sunat dan haram.

“Begitu juga dengan poligami. Terkadang ia menjadi perlu dan terkadang tidak perlu bahkan boleh jadi menzalimi,” ujarnya.

Firman ALLAH SWT,

Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah An-Nisa, ayat 3)

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan seorang wanita mengenai dakwaan isteri akan ke neraka kerana menentang poligami yang dikaitkan dengan sunnah Rasulullah.

payung emas

KEBIASAANNYA, perbalahan berlaku antara pasangan berkahwin apabila sang suami tidak memaklumkan si isteri pertama bahawa dia telah mengahwini sekali lagi.

Tambahnya, tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan.

“Berbincang dengan baik, beri nasihat, dan pandangan, demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap hak isteri dan juga anak-anak.

“Sikap sebagai Muslim adalah kita tak menentang sebarang syariat Allah yang pasti ada keperluan dan hikmah dalam keadaan tertentu.

“Kita cuma menolak sikap menggunakan agama untuk kepentingan individu lantas mengabaikan hak-hak lain,” jelasnya.

payung emas

USTAZ WAN DAZRIN WAN DIN

Memetik artikel mStar, penceramah bebas, Wan Dazrin Wan Din berkata, tidak ada hadis sahih atau ayat al-Quran yang menyebut secara khusus tentang ganjaran persetujuan poligami oleh isteri, termasuklah payung emas di akhirat yang sering menjadi bualan dalam masyarakat kita.

Bekas peserta program realiti terbitan TV3, Da’i Pendakwah Milenia itu bagaimanapun berkata secara umumnya isteri yang taat dan reda dengan perbuatan suaminya sememangnya telah dijanjikan ganjaran yang besar di akhirat.

“Isteri yang jaga aib suami, setuju dengan apa saja perbuatan suami yang sah dari sudut pandang syariat dan memperoleh reda suami disebutkan dalam al-Quran dapat memilih mana-mana pintu syurga yang mahu dimasukinya,” jelasnya, merujuk kepada hadis Ibn Hibban.

Baca juga Ini Mitos-Mitos Dalam Perkahwinan Yang Perlu Diketahui

Diceritakan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda, “Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, puasa pada bulannya (Ramadan), mengawal kemaluannya dan taat kepada suaminya, Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki”. (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Sememangnya perbuatan berpoligami itu dibolehkan dalam Islam, bahkan ia termasuk amalan Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun dalam berpoligami kaum lelaki wajib berlaku adil dan bertanggungjawab terhadap isteri-isterinya, seperti mana yang terdapat dalam surah An-Nisa ayat 3.

Mana-mana suami berpoligami namun tidak memenuhi hak pasangan-pasangannya kelak akan menerima azab di akhirat.

Foto: Unsplash

jaga kucing dengan baik
Isu,

Jagalah kucing dengan baik, elak dari dihumban ke neraka

BAGI pemilik-pemilik ‘si bulus’ di luar sana, jagalah kucing anda dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi penyebab anda terjerumus ke neraka.

Antara pencinta kucing yang sedang hangat diperkatakan tidak lain tidak bukan Allahyarham Adibah Noor.

Sabtu lalu, industri seni hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian pengacara dan pelakon terkenal, Adibah Noor yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur, pada 7.30 malam dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat.

jagalah kucing dengan baik

ADIBAH NOOR

Penyanyi ‘Terlalu Istimewa’ ini dikenali dengan sifat mencintai kucing dan dia sendiri memiliki lebih 40 ekor kucing di rumahnya.

Adibah cukup menyayangi kucing peliharaannya dan tidak pernah berkira mengenai wang yang dihabiskan untuk menampung keperluan haiwan belaannya, seperti yang pernah dikongsikan oleh beliau dalam sebuah temuramah bersama Berita Harian Online pada 2016.

“Sejujurnya, saya kurang pasti berapa banyak saya berhabis bagi membayar makanan, kos bulanan dan perubatan untuk kucing-kucing yang dibela. Apa yang pasti, saya tidak pernah berkira jumlah wang untuk kegunaan mereka.

“Bukan mudah untuk menjaga 41 ekor kucing kerana saya membeli makanan yang berkhasiat untuk mereka. Tanggungjawab yang dipikul tidak seharusnya dipandang mudah kerana ia ibarat menganiaya sekiranya tidak dibuat dengan baik,” katanya yang mengingati setiap nama kucing peliharaannya itu.

jagalah kucing dengan baik

KUCING dipercayai mula dijadikan haiwan peliharaan semenjak ia berjaya dijinakkan oleh masyarakat Mesir Purba.

Kucing disayangi sejak zaman Rasulullah

Bukan Adibah Noor sahaja yang menyukai makhluk berbulu itu. Kecomelan dan telatah kucing yang mencuit hati membuatkan haiwan tersebut sangat disenangi sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

Pastinya ramai pernah mendengar ada hadis mengatakan kucing adalah haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW. Malah, baginda juga dikatakan mempunyai seekor kucing bernama Muezza.

Namun, menurut Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ataupun lebih dikenali sebagai Dr Maza, hadis mengatakan kucing adalah haiwan kesayangan Rasulullah SAW tidak benar.

Tambahnya, tiada kucing yang khusus dalam hidup Nabi SAW kerana baginda menyayangi semua haiwan.

Baca juga Tuan kepada kucing kena bersihkan jika haiwan peliharaannya berak di rumah jiran. Ramai yang pandang remeh perkara ini… 

Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga mengulas bahawa tiada riwayat yang menyebutkan bahawa Rasulullah membela seekor kucing dengan nama tersebut.

Pun begitu, ada sahabat Rasulullah SAW yang sangat dikenali dengan sifat mencintai kucing iaitu Abu Hurairah RA.

Menurut laman web The Patriots, sebelum memeluk Islam, nama sebenar perawi hadis terkemuka ini adalah Abdul Syams yang membawa maksud ‘hamba matahari’. Namun, Rasulullah menukar namanya kepada Abdul Rahman.

Baca juga [VIDEO] Apabila bulu kucing melekat di tempat solat, kita perlu…

Beliau digelar Abu Hurairah yang bermaksud ‘bapa kucing’ kerana kegemarannya bermain dengan anak kucing.

Dari Abdillah bin Rafi’ berkata: “Aku berkata kepada Hurairah: “Mengapa kamu dipanggil Abu Hurairah?” dia berkata: “Apakah kamu takut kepadaku?” aku berkata: “Tentu demi Allah sungguh aku takut kepadamu,” dia berkata: “Aku pernah menggembala kambing keluargaku dan aku mempunyai haiwan kucing kecil lalu aku letakkannya di malam hari di suatu pohon lalu apabila siang hari aku pergi bersamanya kemudian bermain bersamanya lalu mereka memanggil ku Abu Hurairah.” (Sunan al-Tirmizi)

jagalah kucing

BUKAN sekadar kucing, kita juga perlu melayan makhluk ALLAH yang lain dengan baik termasuk tumbuhan dan sesama manusia.

Aniaya binatang penyebab masuk neraka

Seperti yang dijelaskan oleh pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tiada masalah untuk memelihara kucing namun kita perlulah menjaganya dengan baik.

Haram menyakiti haiwan tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Jangan disebabkan kelalaian kita menjaga haiwan peliharaan menjadi punca kita terjerumus ke neraka.

Baca juga Tak sah jual beli anak kucing yang masih dalam kandungan

Seperti yang diceritakan Abdullah bin ‘Umar RA dalam sebuah hadis, seorang wanita pada zaman Nabi SAW dikenakan azab api neraka kerana mengabaikan haiwan belaannya. Sabda Rasulullah SAW:

Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.

Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga dia boleh makan serangga yang berada di tanah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Baca juga 5 rahsia murah rezeki perkongsian PU Amin, salahnya satu daripadanya bagi kucing makan

Sebagai umat Islam, kita diwajibkan berbuat ihsan kepada makhluk ALLAH yang lain. Makhluk yang dimaksudkan bukan terhad kepada kucing sahaja, bahkan termasuk manusia, tumbuhan serta haiwan lain.

Foto: Pexels

Penuhi enam hak sesama Muslim
Isu, Uncategorized,

Penuhi enam hak sesama Muslim, jamin keteguhan ukhuwah.

PENUHI enam hak sesama Muslim, jamin keteguhan ukhuwah

Tahukah anda bahawa wujudnya hak tertentu yang perlu dipenuhi oleh setiap Muslim terhadap satu sama lain?

Islam sememangnya agama yang mementingkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang sesama Muslim. Betapa syumulnya Islam meliputi seluruh aspek kehidupan manusia sehinggakan hak sesama saudara seagama juga pernah digariskan Nabi SAW sendiri dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA:

Hak muslim ke atas muslim enam perkara: Dikatakan (sahabat bertanya): Apakah ia wahai Rasulullah SAW? Rasulullah berkata: Apabila kamu bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam ke atasnya. Apabila kamu diundang maka penuhilah. jika apabila dia meminta nasihat kepadamu, maka berilah nasihat kepadanya. Apabila bersin, maka ucapkanlah hamdalah serta balaslah (dengan doa: يرحمك الله). Apabila dia sakit, maka ziarahilah dia. Apabila dia meninggal, maka hantarlah jenazahnya ke kubur.” (Hadis riwayat Muslim)

Penuhi enam hak sesama Muslim

MUNGKIN enam hak yang disebutkan itu nampak kecil tetapi kesannya besar menguatkan talian ukhuwah sesama umat Islam.

Enam hak sesama Muslim yang patut dipraktikkan adalah seperti berikut:

1. Mengucapkan salam
Mengucapkan salam adalah antara identiti umat Islam. Apabila seorang Muslim bertemu dengan saudaranya sama ada yang dikenali atau tidak, hendaklah dia mendahuluinya dengan salam.

Hukum mengucapkan salam adalah sunat muakkad, manakala hukum menjawabnya pula adalah wajib.

Selain menjadi suatu doa yang dapat menggugurkan dosa, perbuatan memberi salam juga menjadi pengikat tali persaudaraan sesama kaum Muslimin.

Baca juga Apabila berjabat tangan, genggamlah lama sedikit kerana itu lebih baik

2. Memenuhi undangan
Niat baik dan penghormatan yang diberikan saudara yang menjemput hendaklah dipenuhi melainkan ada keuzuran dan hal yang tidak dapat dielakkan.

Namun, haruslah diingat undangan tersebut bukanlah untuk tujuan atau tempat-tempat yang berunsur maksiat.

3. Saling menasihati
Lumrah sebagai manusia terkadang alpa dalam kemaksiatan dan dosa, maka sebagai seorang Muslim yang mencintai saudaranya hendaklah kita memberikan nasihat dengan cara yang baik, jujur dan ikhlas serta tidak mengaibkan atau mengguris perasaannya.

Penuhi enam hak sesama Muslim

MASIH ramai yang menggunakan frasa Inggeris, ‘Excuse me’ apabila bersin. Sebaliknya, gunakanlah perkataan yang telah diajarkan oleh Nabi SAW.

4. Mendoakan ketika bersin
Jika seorang Muslim bersin dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’, maka kita hendaklah mengucapkan ‘Yarhamukallah’ (bagi lelaki) atau ‘Yarhamukillah’ (bagi perempuan) sebagai rasa syukur kepada ALLAH SWT.
Ini bertepatan dengan saranan hadis Abu Hurairah RA sabda Nabi SAW:

Apabila salah seorang daripada kamu bersin, maka hendaklah ia menyebut ‘Alhamdulillah’. Dan menjawab bagi saudara atau sahabatnya ‘Yarhamukallah’. Maka apabila seseorang menyebut kepadanya (orang yang bersin) ‘Yarhamukallah’ maka hendaklah menyebut ‘Yahdikumullah wa Yuslih baalakum’. (Hadis riwayat al-Bukhari)

5. Menziarahinya ketika sakit
Apabila seorang Muslim itu sakit hendaklah kita datang menziarahinya lebih-lebih lagi jika dia adalah saudara terdekat atau sahabat kita sendiri.

Ketika menziarahinya, pastikan kita ingat adab-adab yang perlu diamalkan agar kehadiran kita tidak menambahkan beban dan kesusahan kepada pesakit.

Doakanlah kesembuhan baginya serta berilah motivasi kepadanya agar bersabar dengan ujian ALLAH SWT.

Baca juga Ikhlaskan hati, usah mengeluh menjaga orang sakit kerana ganjaran besar menanti

6.Mengiringi jenazah

Mengiringi jenazah itu bukan sahaja mengandungi doa, malah ia sebagai penghormatan terakhir bagi orang yang meninggal.

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah pernah bersabda:

Sesiapa yang menziarah jenazah seorang Muslim dengan penuh perasaan keimanan, dia tetap ada bersama mayat sehinggalah mayat tadi disolatkan dan turut serta sehingga selesai ia dikebumikan, maka dia pulang dengan mendapat dua qhirat. Setiap satu qhirat ganjarannya sama seperti gunung Uhud. Dan sesiapa yang solat jenazah, kemudian dia pulang tanpa menunggu sehingga mayat tersebut dikebumikan, sesungguhnya dia mendapat satu qhirat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sematkan azam agar dapat melaksanakan keenam-enam hak ini kerana kita hidup di dunia bukannya berseorangan. Sebaliknya ALLAH mencipta manusia dengan pelbagai bangsa, bersuku-suku dan berpuak-puak supaya kita dapat saling kenal mengenali.

Foto: Freepik & Pexels

Imam Nawawi
Personaliti,

Imam Nawawi mengabdikan diri dengan ilmu sehingga sanggup tidak berbaring ketika tidur

NAMA Imam Nawawi tidak asing lagi pada halwa telinga ramai. Begitu juga saat kita menelaah karya-karya ilmiah Islamik. Masakan tidak, beliau antara ulama tersohor dalam Mazhab Syafie yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini.

Terlebih dahulu, perlu diketahui bahawa panggilan Nawawi hanyalah jolokannya sahaja. Sebaliknya, nama penuh ulama itu ialah Abu Zakaria Mohiuddin Yahya Ibn Sharaf Al-Nawawi.

Menurut salasilahnya, beliau dilahirkan pada bulan Muharam 631 Hijrah (1233 Masihi) di Kampung Nawa, berhampiran ibu kota Damsyik, Syria. Kalimah an-Nawawi sebenarnya diambil berdasarkan kepada kampung halamannya.

Sesungguhnya, kisah kehidupan cendekiawan Islam hebat yang zuhud itu begitu menarik untuk ditelusuri dan diinsafi. Suatu perkara yang menarik perhatian Sinar Islam Plus apabila diriwayatkan bahawa kehidupan Imam Nawawi tidak seperti kanak-kanak lain.

Bayangkan pada usianya yang masih mentah, beliau ‘membenci’ sebarang aktiviti yang menjauhkan dirinya daripada menghafaz al-Quran!

Baca juga Sahih Al-Bukhari Karya Imam Al-Bukhari Jadi Rujukan Utama Selepas Al-Quran

Demikian fakta yang dilaporkan oleh islamicfinder.org. Malah, figura masyhur itu acap kali menumpukan perhatiannya kepada pelajarannya.

Imam Nawawi


KETINGGIAN akhlak dan ilmu Imam Nawawi dikagumi ramai.

“Sehinggakan pada suatu ketika, apabila kanak-kanak memaksanya bermain dengan mereka, Imam Nawawi akan menangis kerana masa yang disia-siakanya.

“Maka tidak hairanlah beliau mampu menghafaz al-Quran pada usia yang masih muda lagi,” katanya dipetik daripada laporan laman sesawang berkenaan.

Menjadi resam ilmuan sentiasa berasa tidak cukup dengan ilmu di dada. Begitu juga yang dirasakan oleh Imam Nawawi. Beliau hanya tinggal di Nawa sehingga umurnya mencecah 18 tahun.

Ulama masyhur itu kemudian berhijrah ke Damsyik. Di situlah beliau menggali ilmu hadis, fiqh dan prinsip Islam daripada ramai ulama besar Islam.

Antara yang pernah menjadi gurunya ialah Ishaaq ibn Ahmad al-Maghrabi al-Maqdisi, Abdul Rahmaan al-Anbari dan Abdul Azeez al-Ansaari. Malah, beliau juga berkesempatan belajar Sahih Muslim daripada Abu Ishaaq Ibrahim al-Waasiti.

Keperibadian mengagumkan

Imam Nawawi


SEPANJANG hidupnya, Imam Nawawi mengabdikan diri dengan menggali ilmu dan mengajar.

Pada usia 24 tahun, Imam Nawawi mula mengajar di Mazhab Ashrafiyah. Ketinggian ilmu dan reputasi kecemerlangannya sebagai ulama mula terserlah selepas itu.

Baca juga Rupanya karya Imam Al-Qurtubi pernah dibakar oleh musuh Islam 

Malah, ia turut diperakui oleh para ulama dan penduduk Damsyik. Tidak keterlaluan dikatakan, beliau mengabdikan diri dengan menguasai ilmu. Apa tidaknya, seluruh hidupnya hanya dihabiskan untuk belajar dan mengajar sahaja.

Malah, ada kisah yang menyatakan, Imam Nawawi tidak berbaring ketika tidur melainkan dengan berehat di atas bukunya sahaja. Seperti kebanyakan ilmuan lain, ulama yang menjadi rujukan ramai itu menguasai pelbagai disiplin ilmu pengetahuan.

Namun begitu, beliau begitu mahir dalam ilmu fiqh dan hadis. Istimewanya, beliau juga diketahui mampu menghafaz fiqh Mazhab Syafie, hukum fiqh, usul dan furu’.

Bukan itu sahaja, kemampuan beliau mengetahui secara terperinci tentang mazhab-mazhab sahabat dan tabiin beserta kesilapan para ulama, pandangan dan ijmak membuatkannya dikagumi ramai. Malah, Imam Nawawi juga tahu mana satu pendapat yang popular dan tidak.

Ketokohannya begitu terserlah. Lihat sahaja dalam bidang hadis, Imam Nawawi digelar sebagai Sayyid Hadzihi at-Tabaqah (ketua ahli hadis kontemporari). Bahkan, beliau turut dikenali sebagai pengamal sunah Nabi Muhammad SAW kerana berzuhud dengan apa yang diperoleh hasil keringatnya sendiri.

Imam Nawawi

KITAB Riyadhussolihin antara karya agung Imam Nawawi.

“Ketika menjadi guru di Darul Hadith al-Asyrafiyah, beliau tidak mengambil gaji dan hanya berpuas hati dengan wang pemberian ibu bapanya,” kata portal Republika. Walaupun Imam Nawawi tidak sempat berkahwin dan mempunyai zuriat, namun pemergiannya meninggalkan khazanah yang tidak ternilai iaitu hasil karya kitab-kitabnya yang menjadi rujukan seantero dunia sehingga pada hari ini. Antaranya Riyadhussolihin, al-Minhaj bi Sharh Sahih Muslim, Sharh Sahih al-Bukhari, Minhaj at-Talibin dan banyak lagi.

Menurut riwayat yang sahih, beliau meninggal dunia dalam usia 45 tahun di kampung halamannya, Nawa iaitu pada 24 Rejab 676 Hijrah (1277 Masihi).

PROFIL

Imam Nawawi

ILUSTRASI potret Imam Nawawi.

Nama penuh: Abu Zakaria Mohiuddin Yahya Ibn Sharaf an-Nawawi.

Gelaran: Imam Nawawi, Imam an-Nawawi dan Sayyid Hadzihi at-Tabaqah.

Asal: Nawa berhampiran kota Damsyik, Syria.

Tahun kelahiran: 631 Hijrah.

Tahun kematian: 676 Hijrah.

Karya agung: Riyadhussolihin, al-Minhaj bi Sharh Sahih Muslim, Sharh Sahih al-Bukhari dan Minhaj at-Talibin.

Sumbangan:

–    Menyaring pendapat-pendapat dalam Mazhab Syafie. –    Sumbangan beliau dalam menghasilkan Sahih Muslim yang ditulis dua tahun sebelum kematiannya sangat luar biasa hingga menjadi rujukan sehingga hari ini.

Foto: Islam.ny.or.id, Kalam.sindonews.com, Republika.co.id & Alikhla.scrm.or.id

 

Taat kepada bapa
Isu,

5 Bayi Yang Boleh Bercakap Menurut Al-Quran dan Hadis

CERITA tentang bayi berusia dua hari sudah tumbuh gigi hangat diperkatakan sejak kebekalangan ini. Bagi segelintir individu, situasi itu kedengaran agak pelik dan asing pada pendengaran mereka.

Masakan tidak, pertumbuhan gigi lazimnya akan berlaku pada umur lebih kurang enam bulan menurut portal myhealth.gov.my.

Namun begitu, dalam hal itu, kita tidak boleh menidakkan kuasa ALLAH SWT. Segala yang berlaku adalah dengan izin-NYA.

Ketahuilah bahawa terdapat lima bayi yang boleh bercakap semasa mereka kecil sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran dan hadis, kata pendakwah Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman.

Berikut perincian bayi yang bercakap sebagaimana dikongsikan oleh penceramah terkemuka itu menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini:

1. Nabi Isa AS.

Semua sedia maklum tentang perihal Nabi Isa AS yang dilahirkan daripada rahim wanita yang dimuliakan, Maryam binti Imran sekalipun beliau tidak pernah berkahwin atau disentuh oleh mana-mana lelaki.

Disebabkan itu, wanita berhati waja tersebut menerima kecaman dan tuduhan zina bertalu-talu.

Menurut merdeka.com, Maryam tidak ingin menjawab celaan tersebut. Malah, beliau mengisyaratkan agar orang yang menuduhnya berzina tadi bertanyakan terus kepada bayinya yang ketika itu didukungnya.

Bayi bercakap

Dengan izin ALLAH SWT, Nabi Isa AS bertutur sebagaimana disebutkan dalam ayat 30-33, Surah Maryam yang bermaksud: “DIA menjawab: “Sesungguhnya aku ini hamba ALLAH; DIA telah memberikan kepadaku kitab (Injil), dan DIA telah menjadikan daku seorang nabi. Dan DIA menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan DIA tidak menjadikan daku seorang yang sombong, takbur atau derhaka.”

2. Bayi yang menjadi saksi dalam kisah Nabi Yusuf A.S (riwayat daripada Ibn Abbas).

Bayi itu tampil membela Yusuf yang dituduh menodai Zulaikha. Daripada Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ada empat orang yang pandai bercakap semasa kecil iaitu anak Masyitah zaman Firaun, anak yang menjadi saksi Nabi Yusuf (bersama Zulaikha), sahabat Juraij (yang dituduh anaknya) dan Isa bin Maryam.”

Baca juga Bayi Jadi Mangsa Anak Tak Sah Taraf Gara-Gara Sikap Ibu Bapa Kahwin Terburu-buru

3. Bayi saksi kepada Juraij (seorang ahli ibadah) yang dituduh berzina sehingga melahirkan bayi.

Memetik portal berpengaruh Indonesia, Republika.co.id, Juraij ialah seorang yang beriman dan soleh yang termasuk sebagai umat sebelum Nabi Muhammad SAW.

Diriwayatkan pada suatu hari, ketika Juraij sedang mendirikan solat, ibunya datang mendekati dan menghampirinya. Keadaan itu membuatkan Juraij berada dalam dilema sama ada mahu meneruskan solatnya ataupun menyahut panggilan ibunya.

Akhirnya, lelaki itu memilih untuk menyambung kewajipannya. Ibunya begitu sedih sehinggakan berdoa: “Ya ALLAH, janganlah ENGKAU mewafatkan anakku ini sebelum ENGKAU mempertemukannya dengan seorang wanita pelacur.”

Ternyata doa tersebut dikabulkan. Pada hari berikutnya, Juraij sedang khusyuk beribadah. Tiba-tiba seorang perempuan cantik muncul, lalu menghampiri Juraij.

Bayi bercakap

MESKIPUN digoda untuk melakukan maksiat, namun Juraij tidak mudah tunduk dengannya. -Gambar hiasan.

Pelbagai cara dilakukan wanita tadi supaya Juraij mendekatinya untuk berzina. Namun, lelaki itu langsung tidak tergoda.

Akibatnya, perempuan itu kemudian pergi mendatangi seorang pengembala dan melampiaskan nafsunya pada lelaki tersebut. Tidak lama kemudian dia hamil dan melahirkan bayinya, namun wanita tersebut menyatakan kepada khalayak bahawa Juraij yang menghamilkannya.

Mendengar perkhabaran tersebut, orang ramai terus mengerumumi rumah ibadah tempat Juraij bermunajat lalu merobohkannya dan mengusir Juraij dari situ.

Begitupun, tampil seorang lelaki soleh dalam kalangan mereka dan meminta semua bersabar dan membiarkan Juraij solat terlebih dahulu.

Usai menunaikan kewajipannya, Juraij lantas menghampiri bayi dalam buaian dan bertanya: “Siapakah ayahmu?”

Bayi tadi menjadi: “Seorang pengembala.”

Alangkah terkejutnya mereka yang menyaksikan bayi tersebut boleh bertutur pada usia terlalu muda.

4. Bayi kisah ashabul ukhdud (pembuat parit).

Secara umumnya, ia mengisahkan seorang pemuda yang berani kerana ALLAH SWT sehingga membawa kepada kematiannya. Ini kerana keengganannya menuruti sang raja (Yahudi) supaya meninggalkan agama Islam.

Perlakuannya tersebut menyebabkan keseluruhan rakyat mendapat hidayah dan beriman kepada ALLAH SWT.

Disebabkan itu, lapor hidayahilahi.com, sang raja mengeluarkan arahan sesiapa yang enggan meninggalkan agama ALLAH SWT, maka mereka akan dilemparkan ke dalam parit-parit besar yang marak dengan api besar.

Bayi bercakap

DALAM kisah ashabul ukhdud, diceritakan bayi mampu bertutur menenangkan hati ibu yang gundah saat mereka dilemparkan dalam lautan api yang panas membakar.

Orang yang beriman lebih rela dibakar hidup-hidup. Maka, syahidlah di jalan ALLAH SWT.

Individu terakhir yang dihumban ke dalam lautan api itu ialah seorang ibu yang menggendong bayinya. Bayi itu kemudiannya dirampas, lalu ibunya ditawarkan supaya mengakui sang raja sebagai Tuhan agar bayi tadi tidak dilempar ke dalam api.

Dari lubuk hatinya yang paling dalam, ibu tadi berasa sangat sedih sambil menatap bayinya. Saat dirinya mahu memutuskan untuk murtad daripada Islam, dengan kuasa-NYA, bayi tadi mampu berbicara dan memberi sokongan kepada si ibu.

Bayi itu berkata: “Ibu, bersabarlah. Sungguh engkau berada di dalam kebenaran yang nyata.”

Tatkala menyaksikan keajaiban tersebut si ibu kembali bersemangat, lalu kembali beriman. Akhirnya bayi dan ibu tadi dilontarkan ke dalam lautan api yang marak sehingga meninggal dunia.

5. Bayi anak Masyitah semasa mereka berdua ingin dibunuh oleh Firaun.

Jelas Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menerusi laman sosial Facebook miliknya, Masyitah ialah tukang sikat kepada anak perempuan Firaun.

Semasa menyisir rambut puteri Firaun, sikatnya terjatuh, lalu beliau menyebut lafaz bismillah. Situasi itu telah membuatkan Firaun marah kerana dia menganggap dirinya Tuhan.

Saat itulah raja yang kejam itu memerintahkan supaya Masyitah dipanggang, manakala anak-anaknya pula dicampak ke dalam minyak yang mendidih. Namun, beliau tetap istiqamah dan berpegang teguh dengan agama ALLAH SWT.

Bayi bercakap

MASYITAH tetap berpegang teguh pada agama ALLAH SWT meskipun dirinya, bayi dan ahli keluarganya menerima seksaan yang berat daripada Firaun.

Apabila tiba giliran anaknya yang sedang menyusu dan dikendong untuk diperlakukan sebegitu, air matanya tumpah. Ketika itu ALLAH SWT mengurniakan karamah yang tidak pernah terlintas dalam fikiran Masyitah yang mana bayinya dikurniakan kelebihan untuk bercakap demi menenangkan dirinya. Subhanallah, ALLAH MAHA BESAR.

Demikianlah kekuasaan ALLAH SWT yang menjadikan sesuatu sepertimana yang dikehendaki-NYA kepada insan terpilih. Semoga perkongsian itu menyuntik semangat kita untuk berpegang teguh dan memelihara agama Islam yang suci ini.

Foto: Freepik, Pexels & Unsplash

20627668_xxl
Personaliti,

Sahabat Nabi SAW Tempuhi Perjalanan Sejauh 1,472 KM Demi Sepotong Hadis

no comment

SEBAGAI umat Islam, kita dituntut untuk sentiasa menuntut ilmu walaupun jaraknya jauh dan perlu berjauhan dengan keluarga. Kita juga tidak digalakkan untuk bermalas-malas dalam mencari ilmu dan dinasihatkan untuk tidak cepat berasa puas atau bangga dengan ilmu yang dimiliki.

Jika diperhatikan atau diselusuri sirah Islam sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW, kita akan mendapati bahawa golongan sahabat sangat mencintai ilmu lebih daripada diri sendiri.

Menerusi perkongsian oleh pendakwah bebas, Ustaz Elyas Ismail yang disiarkan secara langsung di laman sosial Facebook page viralkuliahsuraukerjaraya, beliau berkata, orang-orang dahulu sangat teruja dalam mencari ilmu walaupun untuk mendapatkan sepotong hadis.

Menurut agamawan itu, sirah telah merekodkan seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang bernama Abu Ayyub Al-Ansari RA sanggup berjalan dengan merentas lautan sehingga 1,472 kilometer (KM) demi untuk mendapatkan sepotong hadis daripada baginda.

“Perjalanan dari Madinah ke Mesir ini jika dihitung sekarang adalah bersamaan 17 jam tanpa lampu isyarat. Betapa kuatnya semangat Abu Ayyub Al-Ansari RA, sungguh berkobar-kobar dalam menuntut ilmu.

“Hadis yang dituntut daripada Nabi Muhammad SAW itu bermaksud: “Sesiapa yang menutup aib sseeorang yang beriman maka ALLAH akan menutup aibnya di akhirat nanti,” katanya.

Ujar Ustaz Elyas, cara orang terdahulu dalam mencari ilmu sungguh berbeza dengan kaedah yang kita gunakan hari ini.

Justeru, beliau mengakui ilmu-ilmu orang terdahulu berkatnya sampai hari akhirat kerana perolehan ilmu itu diraih dengan penuh kesungguhan tanpa mengenal erti penat dan lelah.

“Sungguh! Perjuangan jihad mereka terhadap ilmu sungguh luar biasa. Kita yang perlu bermuhasabah dengan kegigihan mereka mendapatkan ilmu,” ujarnya lagi.

Jauhi maksiat dan dosa
Isu, Pilihan Editor,

La Hawla wa la Quwwata illa billah: Penyerahan jiwa raga kepada Yang Maha Kuasa

no comment

LA Hawla wa la Quwwata illa billah” ialah penama bagi al-Hawqalah atau al-Hawlaqah. Kalimah zikir ini amat berharga dan tinggi kedudukannya dalam Islam. Dalam satu hadis, baginda SAW berkata kepada salah seorang sahabat: “Wahai Abdullah bin Qais, inginkan daku tunjukkan kepadamu satu perbendaharaan daripada perbendaharaan syurga”? Lalu jawabku: Sudah tentu wahai Rasulullah. Balas baginda: “La hawla wa la quwwata illa billah”. (Hadis riwayat al- Bukhari dan Muslim)

Hadis ini memberitahu ganjaran pahala bagi pengucap zikir yang bersifat dengan maksud yang terkandung dalam zikir ini disimpan untuknya sebagaimana perbendaharaan yang tertanam itu tersimpan untuk tuannya. (Lawami` al-Anwar: 1/50). Ganjaran pahala itu pula amat bernilai seperti nilai harta yang terdapat dalam perbendaharaan. (al-Futuhat al-Rabbaniyyah: 1/238).

Al-Hawqalah sarat dengan fadilat yang hanya Allah mengetahuinya. Makhul, seorang tabiin besar pernah berkata: Sesiapa mengucapkannya nescaya akan dihilangkan daripadanya 70 jenis kemudaratan, yang paling ringan ialah kefakiran. (Sharh Sahih al-Bukhari: 10/40).

Antara maksud La hawla wa la quwwata illa billah: Tidak wujud pergerakan, kemampuan dan daya upaya kecuali dengan Allah SWT, tiada daya upaya untuk menghindari keburukan dan tiada kekuatan untuk mendapatkan kebaikan kecuali dengan pertolongan Allah SWT atau tiada daya upaya untuk menghindari maksiat kecuali melalui penjagaan Allah dan tiada kekuatan untuk melakukan ketaatan kecuali dengan pertolongan Allah SWT. (al-Minhaj Sharh Sahih Muslim: 4:87).

Selain daripada pengertian al-Hawqalah di atas, terdapat satu pengertian atau maksud yang lebih umum.

Ia berpandukan kepada pengertian perkataan hawla dalam bahasa Arab yang memberi maksud ‘perubahan’ (daripada satu keadaan kepada keadaan yang lain) dan perkataan quwwata yang bermaksud ‘kekuatan’ (untuk berubah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain).

Dari itu, zikir hawqalah ini memberi pengertian bahawa tiada bersuatu pun yang terdapat dalam alam, sama ada di langit atau di bumi, tiada satu pun pergerakan, perpindahan atau perubahan dari satu keadaan kepada keadaan yang lain, juga tidak ada kudrat dan kuasa untuk melakukan perubahan itu kecuali dengan pertolongan Allah SWT.

Kalimah zikir “La Hawla wa la Quwwata illa billah” ini sangat penting diamalkan, difahami maknanya dan direnung mendalam pengertian dah ajaran akidah yang terdapat dalamnya bagi menghilangkan kesedihan, kebimbangan dan kerawanan yang bersarang di hati.

Lebih-lebih lagi ketika menghadapi ujian besar, khususnya dalam keadaan negara dilanda pandemik Covid-19 yang membimbangkan. Ramai sanak saudara dan rakan taulan yang kehilangan insan tersayang apatah lagi yang diuji dengan virus ini pada pagi hari lalu meninggal dunia pada petangnya.

Antara ubat mujarab bagi merawat hati yang dilanda derita akibat ujian dan bala ialah membiasakan diri dengan zikir “La Hawla wa la Quwwata illa billah”. Melalui zikir ini seseorang mampu memikul beban berat, sabar menanggung ujian getir dan akan berjaya menempatkan diri pada kedudukan yang tinggi. (Mawarid al-Zam’an: 1/533).

Kenapakah zikir ini dapat memberi kesan positif kepada seseorang yang menghadapi kesusahan?

Kerana dalam zikir ini terkandung ajaran akidah Islam yg sangat kukuh. Apabila ia meresap, mesra dan bersebati dalam jiwa, ia akan berfungsi menetapkan pendirian terpuji seorang Mukmin dalam menghadapi semua situasi.

Abd al-Rahman Habannakah mengatakan bahawa akidah yang kukuh itulah yang dinamakan iman. Iman itu pula unsur asas yang berfungsi menggerakkan emosi juga mengarahkan keinginan seseorang. Dengan itu, dia akan dapat mengawal perilakunya demi menjauhi perkara yang memudaratkan, menyakitkan dan merosakkan juga mendapatkan manfaat, kenikmatan dan kemaslahatan sama ada dengan kadar segera atau akan datang. (al-`Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha: 30)

Dalam konteks ujian hidup, seorang Mukmin mengetahui semua jawapan berkaitan dengan ujian. Apakah yang dinamakan ujian hidup? Siapakah yang mengenakan ujian? Apakah tujuan ujian? Apakah cara yang dianjurkan ketika berhadapan dengan ujian? Apakah tindakan yang dilarang ketika terkena ujian?

Dia mengetahui susah senang itu ujian. Allah SWT yang menguji hamba-Nya dan Allah itu Maha Adil, Allah Maha Mengasihani dan sekali-kali tidak menzalimi. Tujuan ujian untuk kebaikan; untuk diberikan pahala, dihapuskan dosa, diberikan kesedaran dan dinaikkan darjat. Ujian perlu dihadapi dengan sabar, reda dan syukur. Ujian tidak boleh dibalas dengan maki hamun, menyalahkan takdir dan membinasakan diri.

Setelah semua itu diketahui dan menjadi satu keyakinan dalam diri, pengetahuan dan keyakinan itu akan menjadi pemberi motivasi dan pengawal kepada setiap Muslim dalam berinteraksi dengan ujian yang menimpa. Dia sudah tentu akan melakukan perkara yang anjurkan untuk mendapatkan natijah yang baik dan menjauhi perbuatan dan sikap yang dilarang agar tidak mendapat akibat buruk daripada tindakannya.

Pada saat yang sama pengulangan zikir dengan penghayatan maknanya ini pula akan menguatkan lagi keyakinannya dan kebergantungannya kepada Allah SWT.

Keyakinan bahawa dirinya tidak boleh bergerak walau seinci tanpa kehendak Ilahi. Keperitan yang dialami tidak akan berubah menjadi kelegaan tanpa keinginan Allah.

Lalu diserahkan segalanya kepada Allah kerana kehendak dan kekuasaan-Nya sahaja yang boleh menempatkan ketenangan sebagai ganti kegusaran dan meleburkan segala kecelaruan yang bersarang dalam sanubari.

Jadi, jelaslah bahawa kekuatan zikir ini terserlah di sebalik penyerahan dan pergantungan diri sepenuhnya kepada Allah SWT dan keyakinan bahawa hamba tidak boleh berubah dari satu keadaan kepada keadaan lain juga tiada kekuatan untuk dia lakukan perubahan itu kecuali dengan (pertolongan) Allah SWT (Jami` al-`Ulum wa al-Hikam: 1/482).

Sebagai kesimpulan, marilah kita memperbanyakkan zikir ini kerana selain ia mampu membentengi kita daripada terbelenggu dengan tekanan perasaan akibat kesusahan melanda, ia juga mempunyai kelebihan lain. Kemujaraban zikir ini biasanya akan dapat dirasai oleh mereka yang menjadikannya amalan setiap hari, juga yang mempunyai azam teguh untuk melepaskan diri daripada situasi perit yang menghimpit dengan memasrahkan diri hanya kepada Rabbulizzati.

Mereka yang memasrahkan jiwa raga kepada Allah sudah tentu Allah akan memberikan pertolongan dan perlindungan, menghindari daripada sesuatu yang menyusahkan, memenuhi keperluan dan menjadikan jiwa tenang daripada sesuatu yang ditakuti dan dikhuatiri.

Satu perkara penting perlu diingati. Berserah kepada Allah bukan bererti berpeluk tubuh tanpa melakukan usaha dan ikhtiar untuk keluar daripada ujian yang menyempitkan dada. Bukan juga mendabik dada mengatakan akulah yang berbuat dan akulah yang mesti mendapat!  Sebetulnya aku hamba-Mu ya Allah, aku berusaha semampu mungkin untuk mendapatkan kebaikan dan menjauhi keburukan. Namun aku meyakini sepenuhnya Engkaulah yang berhak memberi dan menegah. Berikanlah segala kebaikan kepada kami di dunia dan di akhirat.

Penulis, Dr. Syed Mohammad Hilmi Bin Syed Abdul Rahman

 

Ditulis oleh: Dr. Syed Mohammad Hilmi Bin Syed Abdul Rahman

Pensyarah Kanan Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam,

Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

 

tangan kiri
Hukum,

Bukan suka-suka tak boleh makan guna tangan kiri, tapi ada sebabnya

SEJAK kecil lagi, kita diajar untuk makan dengan tangan kanan. Sekalipun seseorang itu kidal, tapi dia tetap makan guna tangan kanan. Bukan suka-suka tak boleh makan guna tangan kiri, tapi ada sebabnya.

Jarang sekali kita tengok orang makan dengan tangan kiri kecuali tangannya sakit atau luka.

Orang kata tak elok dan tak sopan bila kita menjamah dengan tangan kiri. Apa tidaknya, tangan kiri itu kan ‘tangan cebok’.

Hakikatnya, ia bukan setakat ‘kata-kata orang’ saja. Tapi Islam sendiri menganjurkan umatnya supaya mendahulukan bahagian kanan berbanding yang kiri dalam urusan seharian yang melibatkan perkara kebaikan.

Baca juga 3 Sebab Mengapa Kita Perlu Dahulukan Anggota Kanan

Ia sebagaimana hadis daripada Aisyah RA: “Sesungguhnya Rasulullah SAW membiasakan diri mendahulukan yang kanan dalam memakai selipar, menyikat rambut, bersuci dan dalam setiap urusan kehidupan sehariannya.” (Sahih Bukhari)

Majoriti ulama berpandangan bahawa makan dan minum dengan tangan kanan adalah sunat, manakala makruh jika menggunakan tangan kiri kerana keuzuran yang menghalang kita guna tangan kanan seperti sakit atau luka.

Sabda baginda SAW: “Jika seseorang di antara kalian makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika minum maka hendaklah juga minum dengan tangan kanannya, kerana syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya pula.” (Sahih Muslim)

Berdasarkan hadis itu, Imam al-Nawawi berpandangan, makan dan minum dengan tangan kiri hanyalah makruh dan tidak sampai ke tahap haram.

Pada masa sama, beliau berpesan agar hendaklah menjauhi perbuatan-perbuatan yang menyerupai perlakuan syaitan dengan semampu mungkin. (Rujuk Syarh Sahih Muslim 13/190-191)

Bagaimanapun, jika kita sengaja berserta niat menjamah dan minum menggunakan tangan kiri untuk memperlekehkan sunah Nabi Muhammad SAW dan syariat Islam, ia jatuh hukum haram.

Baca juga Larangan Istinjak Dengan Tangan Kanan

Macam mana pula jika kita makan guna sudu dan garfu untuk hidangan tertentu yang memerlukan kedua-dua tangan ketika makan?

Dalam kes ini, penggunaan kedua-dua belah tangan tidak diharamkan.

Namun begitu, seboleh-bolehnya kita perlu berusaha untuk menyuap makanan dan minuman dengan tangan kanan pada setiap keadaan.

Perbuatan itu bukan sekadar beramal dengan sunah Rasulullah SAW.

Tapi kita menjauhkan diri daripada mengikuti syaitan yang jelas makan dengan tangan kiri.

Baca juga Rasulullah SAW kunyah makanan 44 kali, betulkah begitu?

Bukan itu sahaja, ada satu hadis yang mana Nabi Muhammad SAW mendoakan keburukan terhadap orang yang menjamu selera dengan tangan kiri.

Ada seorang lelaki makan di samping Rasulullah SAW dengan tangan kirinya. Lalu Rasulullah bersabda: “Makanlah dengan tangan kananmu!” Dia menjawab: “Aku tidak mampu.” Baginda bersabda: “Semoga kamu benar-benar tidak mampu melakukannya.” Tidaklah dia enggan untuk makan dengan tangan melainkan kerana kesombongan. Setelah itu tangannya tidak mampu sampai ke mulutnya. (Sahih Muslim)

Kata Imam al-Nawawi, doa nabi itu adalah kerana perbuatan lelaki tersebut yang melanggar hukum syarak.

Sementara itu, Imam al-San’ani berpandangan, Rasulullah SAW tidak mungkin mendoakan keburukan kecuali untuk orang yang meninggalkan kewajipan.

“Jika doa itu kerana alasan orang itu bersikap sombong, memang ada kemungkinan demikian. Dan tidak dapat dinafikan juga kemungkinan Nabi Muhammad SAW berdoa kerana kedua-dua alasan tersebut.” (Rujuk Subulus Salam 3/159)

Baca juga Sunnah tutup makanan dan minuman walaupun dengan sebatang kayu, ini sebab-sebabnya

Justeru, jika tiada sebab yang mendesak, janganlah kita suap makanan guna tangan kiri.

Ada sebab kenapa kita tak boleh suap makanan guna tangan kiri. Lagi-lagi yang makan guna sudu, garfu dan pisau untuk jenis-jenis hidangan tertentu.

(Irsyad al-Fatwa 272: Hukum Makan dan Minum dengan Tangan Kiri, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)