Browsing Tag

dari fail mahkamah syariah

Berita, Berita Semasa,

Bapa dua anak ditangkap khalwat gara-gara lepas ‘rindu’ di rumah urut

SAAT dikhabarkan isterinya hamil, Amzar Zahidi (bukan nama sebenar) gembira tidak terkata. Dirinya bakal menjadi seorang ayah hasil perkongsian hidupnya bersama wanita yang paling dicintai, Aida Ahmad (bukan nama sebenar).

Lelaki itu bekerja keras untuk menyambut orang baharu dalam keluarga. Tanggungjawabnya juga semakin bertambah dengan bayi yang bakal lahir tidak lama lagi. Apatah lagi Aida terpaksa berhenti kerja kerana mengalami alahan kehamilan yang teruk.

Bermula sejak itu, bermacam-macam jenis pekerjaan sampingan yang dilakukan oleh Amzar untuk menyara keluarga kecilnya. Selepas dikurniakan anak kedua, kehidupan Amzar sekali lagi diuji.

Meskipun sudah pelbagai jenis kerja dibuat, namun pendapatannya tidak cukup untuk menampung keluarga.

Atas saranan rakannya, Amzar membuat keputusan untuk berhijrah dan membantu rakannya yang mengusahakan perniagaan dobi di negeri selatan tanah air.

Pun demikian, lelaki tersebut hanya berhijrah sendirian dek kerana kewangan yang masih belum stabil. Dengan berat hati, Aida terpaksa merelakan pemergian suaminya demi masa depan mereka sekeluarga yang lebih baik.

Bermulalah episod baharu Amzar di negeri orang. Beliau tinggal di kediaman yang disediakan oleh rakannya. Perniagaan dobi kawan Amzar juga nampaknya maju apabila mempunyai pelanggan tetap terdiri daripada pelajar asrama, hotel dan butik pengantin.

Tinggal berjauhan dengan keluarga membuatkan Amzar dihambat rasa sunyi. Boleh dikatakan hampir saban hari, lelaki itu akan melakukan panggilan video berbual dengan isteri dan anak-anaknya.

Namun, ia sekadar jadi pengubat rindu, tetapi tidak dapat menangkis kesepian hatinya. Entah di mana silapnya, lelaki itu mula mendekati premis rumah urut.

Tujuannya hanyalah mahu mendapatkan khidmat urutan semata-mata untuk melenyapkan rasa sunyi dan tidak lebih daripada itu.

Ternyata nasib tidak menyebelahinya. Kali kedua kunjungannya ke premis berkenaan, Amzar dicekup oleh pihak berkuasa agama kira-kira jam 10.30 malam. Ketika itu, beliau didapati bersama seorang wanita bukan Islam dalam keadaan menimbulkan syak di sebuah bilik.

Lelaki itu menyesal tidak terkata. Apakan daya, nasi sudah menjadi bubur, tiada apa yang dapat mengubahnya.

Amzar terpaksa akur dengan dakwaan ditangkap khalwat bersama wanita yang bukan mahram. Ketika proses pendakwaan dan mitigasi, Amzar mengaku bersalah. Pada masa sama, beliau mengaku masih menampung isteri dan dua anak yang bergantung sepenuhnya kepadanya.

Namun, pendakwa syarie dalam hujahnya menyatakan: “Ini adalah premis urut. Tangkapan tersebut merupakan teguran kasih sayang ALLAH SWT. Kesalahan bagi dirinya, namun fitnah kepada umat Islam jauh lebih besar. Di dalamnya, ada kesan kepada masyarakat keseluruhan.”

Setelah mendengar dan meneliti pertuduhan serta fakta-fakta kes, mahkamah syariah memutuskan, Amzar ditahan di sebuah pusat pemurnian akidah selama enam bulan.

Amzar akur dengan keputusan berkenaan. Namun, lelaki itu dihimpit rasa bersalah kepada isteri dan anak-anaknya seumur hidupnya.

Jaga keturunan dengan tidak mendekati perbuatan zina

Sikap tidak berfikir panjang dan dahagakan hiburan dengan cara mudah menyebabkan segelintir masyarakat mendekati perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai agama dan undang-undang seperti berkhalwat.

Demikian reaksi dilontarkan oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof terhadap kes Amzar Zahidi.

“Dalam menangani isu sebegini, Islam telah mensyariatkan perkahwinan sebagai jalan untuk memenuhi tuntutan psikologi dan fitrah manusia.

“Justeru, seseorang itu haruslah berpegang teguh kepada nilai agama agar tidak goyah dengan keseronokan yang merosakkan, di samping adanya undang-undang yang berfungsi sebagai ingatan dan amaran kepada masyarakat Islam khususnya,” katanya menerusi e-mel kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Jelas Fazru Anuar, setiap negeri mempunyai peruntukan undangundang berkaitan jenayah syariah khalwat. Namun begitu, hukuman yang ditetapkan adalah berbeza.

“Sebagai contoh, hukuman yang diperuntukkan di Wilayah Persekutuan adalah denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduaduanya,” katanya.

Hukuman itu sama dengan negeri Johor, Pahang, Pulau Pinang, Sarawak, Selangor dan Terengganu, namun berbeza pula di Melaka, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Sabah.

Adakah sama hukuman yang diperuntukkan kepada individu bujang dan berkahwin yang berkhalwat? Fazru Anuar menjawab: “Merujuk kepada setiap enakmen antara negeri, tidak diperuntukkan perbezaan hukuman antara individu bujang mahupun yang sudah berkahwin.

“Cuma berdasarkan kajian ke atas beberapa kes khalwat, terdapat perbezaan yang boleh dilihat pada jumlah hukuman yang dijatuhkan hakim kepada dua status individu ini. Ia mengikut kepada elemen-elemen yang dibuktikan dan keterangan daripada pihak-pihak serta hujah pendakwa dan peguam syarie.”

Dalam pada itu, peguam syarie itu turut mengingatkan agar umat Islam tidak mendekati zina yang merupakan antara perkara diharamkan oleh agama sebagaimana disebutkan dalam Surah al-Isra’, ayat 32.

Khalwat

ISTERI dan anak merupakan amanah suami yang perlu dijaga dengan sebaiknya. Jangan sesekali sia-siakan tanggungjawab yang diberikan.

“Ketahuilah, menjaga keturunan merupakan salah satu antara lima cabang maqasid syariah yang mana ia merupakan jaminan kesinambungan nasab yang suci agar tetap berkembang dengan sihat dan kukuh.

“Untuk memastikan maqasid syariah menjaga keturunan dicapai dengan baik, Islam menghalalkan pergaulan antara suami isteri yang telah diikat dengan akad yang sah. Sebaliknya, zina diharamkan bagi melindungi manusia daripada keturunan yang tidak baik,” katanya.

Sehubungan itu, saran beliau, mereka yang menyedari diri terdedah kepada perbuatan maksiat agar segera menguatkan diri dengan pemahaman ilmu agama dan mengisi masa lapang dengan program bersifat rohani seperti mengikuti usrah dan ceramah.

Berita Semasa,

Sudahlah ceraikan isteri talak tiga, lepas itu tak mengaku anak sendiri pula…

SAAT dikhabarkan oleh doktor bahawa kita akan menerima ‘orang baharu’, pastinya ia menjadi berita paling gembira. Bukan sahaja kepada pasangan suami isteri, tetapi juga ahli keluarga masing-masing.

Apatah lagi jika ia melibatkan anak sulung. Begitu indahnya momen itu yang akan dikenang sampai bila-bila.

Begitulah yang dirasai Haziqah Rusydi (bukan nama sebenar). Beliau sangat teruja. Masakan tidak, ia merupakan cahaya mata sulung yang dinanti-nantikan selepas tiga tahun berkahwin.

Namun demikian, perasaan gembira itu bersifat sementara. Tiba-tiba wanita itu tersentak apabila diceraikan suaminya, Badzil Yusuf (bukan nama sebenar) beberapa minggu selepas berita dirinya disahkan hamil.

Penceraian itu sangat menyakitkan kerana Haziqah telah diceraikan dengan talak tiga. Semuanya gara-gara sikap cemburu buta Badzil. Akibat tidak tahan selalu dituduh menggatal dengan lelaki lain, entah bagaimana, terpacul perkataan yang tidak sepatutnya dari mulut Haziqah.

Ketika pertelingkahan hebat berlangsung, wanita itu mencabar Badzil untuk menceraikannya.

“Dah nak sangat dan cabar aku, aku ceraikan kau dengan talak tiga,” kata Badzil yang ‘menyahut cabaran’ Haziqah.

Nasi sudah menjadi bubur. Hendak perbaiki hubungan memang sudah terlambat. Kes mereka dibawa ke mahkamah syariah untuk pengesahan lafaz cerai.

Mahkamah memutuskan gugur talak tiga kali pertama berjumlah tiga talak bain kubra ke atas Haziqah. Wanita itu kemudiannya diperintahkan beridah hamil bermula dari tarikh 2 Januari 2011 hingga melahirkan anak.

Memang tidak mudah untuk Haziqah melayari proses kehamilan tanpa suami di sisi. Namun dengan ketentuan ALLAH, ranjau yang direntas diakhiri dengan kelegaan apabila Haziqah selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada 20 September 2011.

Bayi perempuan comel itu kemudian dibintikan dengan nama Badzil. Bagaimanapun, satu kejutan besar berlaku apabila Badzil mendakwa bayi berkenaan bukan darah dagingnya.

Amarah lelaki itu memang tidak boleh dikawal sehingga beliau terus memfailkan kes bayi berkenaan ke mahkamah bagi mengesahkan status sah taraf anak.

Dalam pernyataannya, dirinya benar-benar yakin bahawa Haziqah sedang datang bulan ketika lafaz talak dijatuhkan. Baginya, tidak logik bekas isterinya mengandung.

Setelah meneliti segala keterangan dan bukti, mahkamah memutuskan bayi berkenaan merupakan anak sah taraf hasil daripada pernikahan Badzil dan Haziqah.

Dalam penghakiman, mahkamah mendapati pada waktu penceraian tersebut iaitu 2 Januari 2011, Haziqah sememangnya sedang hamil.

Ia berdasarkan penghakiman ketika pengesahan penceraian sebelum ini. Malah, anak yang dilahirkan itu juga didapati cukup bulan dan normal berdasarkan buku rekod mengandung.

Kenyataan itu dikuatkan lagi dengan keterangan Badzil dan Haziqah bahawa mereka pernah bersama pada bulan Disember 2010.

Ternyata keputusan itu membuatkan Haziqah bernafas lega. Biarpun dirinya sudah tidak lagi bersuami, namun beliau bertekad untuk menjaga satu-satu zuriat yang ditunggu-tunggu kehadirannya selama ini dengan baik. Buat permohonan pengesahan nasab untuk nafikan status anak.

Buat permohonan pengesahan nasab untuk nafikan status anak

Tidak dinafikan memang berlaku kes lelaki tidak bersetuju bayi yang dilahirkan bekas isteri adalah anak kandungnya sendiri.

Jika berlaku kes seperti itu, Peguam Syarie, Raihan Mustafa Kamal berkata, lelaki tersebut boleh menafikan anak tersebut dengan memfailkan permohonan pengesahan nasab anak berkenaan di mahkamah syariah.

RAIHAN

“Sekiranya hakim berpuas hati anak tersebut bukanlah wajar dinasabkan kepada si bapa, maka anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada lelaki tersebut.

“Berdasarkan Seksyen 110 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 ada memerihalkan tentang individu yang dikaitkan sebagai bapa.

“Undang-undang tersebut antara lain menyatakan, jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu. Tetapi lelaki itu boleh dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Walaupun ibu bapa telah bercerai dengan talak tiga, tambah Raihan, tanggungjawab sebagai seorang bapa atau ibu masih tetap berjalan. Antara hak-hak anak yang perlu disantuni termasuklah nafkah, tempat tinggal, pembelajaran yang baik, pendidikan yang sempurna dan kesihatan, terangnya.

Tak mengaku anak

TANGGUNGJAWAB seorang bapa masih tetap dijalankan walaupun telah bercerai dengan talak tiga dengan bekas isteri.

“Semasa berkahwin, anak tersebut adalah tanggungjawab bersama. Mungkin ada nafkah anak yang dikongsi bersama. Selepas perceraian, si bapa bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keperluan nafkah anak.

“Jika bekas isteri nak membantu, itu adalah ihsan. Namun, si ibu janganlah meminta lebih daripada keperluan anak-anak tersebut.

“Berkaitan hak jagaan dan hak lawatan atau hak bersama anak-anak, jika salah seorang ibu bapa bapa diberikan hak jagaan, seorang lagi hendaklah diberikan hak bermalam atau melawat. Jangan dinafikan hak tersebut,” jelas beliau.

Sekiranya bapa enggan bertanggungjawab memberikan nafkah, jelas Raihan, si ibu boleh memfailkan tuntutan berkenaan di mahkamah.

“Jika si bapa menyatakan tidak mampu, tuntutan tersebut boleh dituntut kepada bapa kepada bapa (datuk di sebelah bapa) tersebut memandangkan tanggungjawab memberi nafkah adalah di sebelah lelaki. Berbeza dengan susunan hak jagaan anak yang kebanyakan di belah perempuan.

“Namun, jika si bapa merasakan perintah sedia ada (perintah nafkah anak) membebankan beliau, si bapa juga boleh memfailkan tuntutan ubah perintah nafkah anak.

“Tidak perlu tunggu sehingga si ibu memfailkan tuntutan tunggakan nafkah anak di mahkamah.Hakim akan meneliti kewajaran perintah nafkah asal tersebut diubah berdasarkan fakta semasa, kemampuan si bapa dan keperluan anak-anak yang berubah pada ketika itu,” jelas beliau.

Berita Semasa,

Padah kahwin rahsia, wanita ada dua suami…sebab tu pentingnya daftar perkahwinan

KETIKA melanjutkan pengajian dua tahun lalu, Saifullah Sulaiman (bukan nama sebenar) menyulam cinta dengan rakan sekuliahnya. Saifullah menganggap Zarina Alwi (bukan nama sebenar) sebagai pengarang jantung hatinya.

Bagi lelaki itu, Zarinalah yang paling bernilai dalam hidupnya. Ketika itu, kedua-duanya baru berusia 23 tahun dan mengambil jurusan teknologi komputer.

Rupa-rupanya Saifullah tidak bertepuk sebelah tangan. Wanita itu juga mencintainya. Mereka kemudiannya serius menyulam cinta pada awal semester kelima di sebuah institusi pengajian tinggi.

Selepas beberapa bulan, kedua-duanya mengambil satu keputusan drastik. Benar, mereka berdua memutuskan untuk menghalalkan hubungan yang dijalin.

Masalahnya adalah, mereka takut memaklumkan kepada ibu bapa masing-masing. Alasannya, Saifullah malah Zarina yakin, perkahwinan pada usia muda akan dihalang oleh kedua-dua orang tua mereka.

Bapa Zarina pula mahukan anaknya memfokuskan pelajaran di menara gading, sementara Saifullah pula seakan-akan terlalu terdesak mahu disatukan. Pernah terlintas dalam fikiran Zarina untuk menolak sahaja permintaan Saifullah, namun seperti ada ‘kuasa’ yang berbisik kemungkinan beliau bakal kehilangan jejaka idamannya jika tidak dinikahi segera.

Memang cinta itu selalu membutakan manusia. Zarina dan Saifullah akhirnya tanpa rasa bersalah tetap berkahwin dengan berwali hakim di negara jiran.

Suami baharu

Maka, bermulalah episod baharu. Meskipun sudah bergelar suami isteri, mereka tidak pernah duduk sebumbung, malah rakan sebilik mahupun sekuliah Saifullah serta Zarina tidak pernah tahu bahawa mereka sudah bernikah. Hanya seorang kawan baik kepada Saifullah yang mengetahui hubungan mereka.

Enam bulan kemudian, pengajian mereka tamat. Babak seterusnya lebih perit apabila mereka hanya sekali-sekala berhubung selepas masing-masing pulang ke kampung halaman dan tinggal bersama keluarga.

Dalam perhubungan, faktor geografi sangat memainkan peranan. Oleh kerana duduk berjauhan ditambah sibuk dengan kerjaya, silaturahim antara mereka semakin renggang.

Sehinggalah pada suatu hari, rakan baik kepada Saifullah menelefonnya bertanyakan tentang status hubungannya dengan Zarina.

“Kami masih suami isteri walaupun tak duduk bersama. Aku tak pernah ceraikan Zarina dan tetap masukkan duit nafkah setiap bulan,” kata Saifullah kepada teman baiknya.

Bagaimanapun, berita yang disampaikan perantara itu membuatkan hati Saifullah bagai ditusuk sembilu. Masakan tidak, Zarina dikhabarkan telah bernikah lelaki dengan lain sedangkan wanita itu masih mempunyai suami yang sah.

Melihat situasi yang mencelarukan itu, Saifullah membawa kes permohonan daftar nikah antaranya dengan Zarina di negara jiran dua tahun lalu ke mahkamah syariah.

Pada masa sama, beliau turut memfailkan tuntutan faraq nikah antara Zarina dan suami baharunya.

Setelah meneliti dan menimbangkan segala fakta serta pembuktian yang dikemukakan, hakim memutuskan bahawa pernikahan Saifullah dan Zarina di negara jiran dua tahun lalu adalah sah menurut hukum syarak.

Maka, pernikahan antara Zarina dengan ‘suami’ baharunya adalah tidak sah dan batil.

Walaupun lega dengan keputusan mahkamah syariah, Saifullah diasak rasa serba salah untuk merungkaikan perkahwinan rahsianya dengan Zarina kepada keluarganya dan keluarga mertuanya.

Kahwin rahsia

DAPATKAN pengesahan perkahwinan daripada mahkamah syariah andai terdapat pertikaian.

Tak cukup sekadar penuhi rukun nikah, perlu daftar perkahwinan

Dilema yang dialami oleh Saifullah dan Zarina bukanlah isu baharu dan asing bagi kita. Darah muda dan sikap tidak berfikir panjang membuatkan remaja membuat keputusan yang membelakangi keluarga dan undang-undang negara.

Oleh sebab khuatir tidak mendapat restu keluarga terutama wali mujbir iaitu bapa dan datuk, mereka memilih jalan mudah dengan berkahwin di negara jiran, sedangkan ada peruntukan permohonan wali ingkar jika wali enggan menikahkan pasangan terbabit yang boleh dipohon di mahkamah syariah.

Demikian pandangan yang dilontarkan Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof tentang kes berkenaan. Ujar beliau, sebarang perkahwinan yang di luar negara mesti didaftarkan di negara ini mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

FAZRU ANUAR

“Prosedur pendaftaran perkahwinan di Malaysia tidaklah serumit yang disangka, namun masih ada pasangan yang ingkar untuk menurutinya. Hal itu kerana masih wujud pemahaman yang salah bahawa keesahan perkahwinan itu hanya cukup sekadar memenuhi rukun nikah dan tiada keperluan untuk pendaftaran.

“Pendaftaran perkahwinan yang telah diperuntukkan dalam enakmen undang-undang keluarga Islam negeri-negeri di Malaysia contohnya, Seksyen 31 Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) bukanlah untuk menyusahkan pasangan, tetapi ia untuk kebaikan bersama dan memudahkan urusan pada masa hadapan,” katanya menerusi e-mel kepada Sinar Islam.

Jelas Anuar, undang-undang di Malaysia tidak menerima pakai Surat Nikah Luar Negara sebagai bukti konklusif perkahwinan melainkan ia didaftarkan di Malaysia iaitu memfailkan pendaftaran perkahwinan di pejabat agama daerah.

“Ada pasangan mendakwa mereka berkahwin di luar negara sah menurut hukum syarak, namun apabila pengesahan dibuat di mahkamah syariah, terbukti perkahwinan mereka tidak sah atas beberapa sebab seperti wali atau jurunikah tidak mempunyai tauliah dan sebagainya.

“Harus difahami bahawa berkahwin luar negara tidak semestinya sah. Ini kerana terdapat sindiket penipuan melibatkan ejen atau orang perseorangan mendakwa perkahwinan adalah sah sedangkan sebaliknya,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan agar pasangan yang berkahwin di luar negara tidak mengambil mudah tentang pendaftaran perkahwinan.

Jika ada aduan dibuat, mereka boleh disabitkan ‘bersekedudukan’ kerana tiada apa-apa dokumen yang membuktikan mereka suami isteri secara sah berdasarkan undang-undang di Malaysia.

“Apa-apa remedi atau hak isteri atau suami kesan kepada perkahwinan, tidak akan ada hak kepada mereka. Pengesahan pernikahan daripada mahkamah syariah hanya perlu sekiranya terdapat bantahan daripada mana-mana pihak atau status perkahwinan tersebut diragui,” jelas beliau.

Berita Semasa,

Suami minta rujuk semula lepas ceraikan isteri talak tiga

AWAL perkahwinan memang semuanya indah dan manis-manis belaka. Namun, hari tidak selalunya indah dan langit tidak selalunya cerah.

Adat berumah tangga pasti ada pasang surutnya. Begitu jugalah dengan Suraya Abdul Rahman (bukan nama sebenar) dan suaminya, Faizul Halim (bukan nama sebenar).

Selama hampir empat tahun melayari bahtera hidup bersama, acap kali juga mereka bertikam lidah. Bermula dengan perkara yang remeh, pertelingkahan mereka semakin melarat hari demi hari.

Segalanya berpunca gara-gara Suraya yang berkecil hati dengan sikap suaminya. Faizul terlalu sibuk dengan kerjanya. Lelaki itu menjawat jawatan penting di tempat kerjanya dan kerap bekerja di luar kawasan.

Suraya yang turut bekerja tertekan dengan keadaan itu. Masakan tidak, beliau terpaksa mengurus keperluan tiga orang anaknya yang masih kecil iaitu berusia antara enam bulan hingga tiga tahun, selain menyelesaikan kerja-kerja rumah yang lain.

Adakalanya wanita itu terduduk lemah mengenang nasib diri yang bersendirian melalui semua tugas itu. Bukannya Faizul tidak cuba untuk membantu, tetapi beliau terlampau sibuk dengan urusan kerjanya.

“Sampai bila kita nak hidup begini. Saya penat urus semua sendirian. Awak kena tolong saya urus rumah tangga kita sama-sama,” luah Suraya pada suatu hari ketika suaminya pulang ke rumah.

Enggan melepaskan

Faizul  menyuruhnya bersabar, sementelah beliau mencari penyelesaiannya bagi meringankan beban isterinya. Malangnya terlalu lama masa diambil untuknya bertindak.

Akibatnya, Suraya mula tawar hati dengan sikap endah tidak endah suaminya. Akhirnya, terluahlah permintaan wanita berusia 30 tahun itu untuk meminta cerai.

Talak tiga

LAFAZ cerai di luar mahkamah perlu dibuat pengesahan di hadapan hakim dalam tempoh selewat-lewatnya tujuh hari dari tarikh lafaz tersebut.

Perkataan cerai itu benar-benar membuatkan Faizul bungkam. Lelaki itu tetap berkeras enggan melepaskan isteri yang dicintainya. Faizul tetap meneruskan rutin hariannya seperti biasa. Berkursus, menghadiri mesyuarat dan bekerja di luar kawasan.

Lama-kelamaan, hubungan mereka semakin dingin dan mula tinggal secara berasingan selama enam bulan. Mereka hanya berhubung melalui telefon. Sehinggalah kemuncaknya apabila berlaku pergaduhan besar antara Suraya dan Faizul dalam talian telefon.

Tanpa disedari, Faizul telah melafazkan: “Saya lepaskan awak talak tiga.”

Meskipun Suraya memang mengimpikan perceraian itu, namun hati wanitanya rapuh tatkala berdepan sendiri dengan hakikat tersebut.

Beberapa hari kemudian, Faizul meminta rujuk dengan Suraya tanpa sedar beliau telah menceraikan wanita itu dengan talak tiga. Sebelum berlaku kejadian itu, beliau ada mengambil ubat batuk dan minuman keras gara-gara tertekan.

Suraya kemudian membawa tuntutan pengesahan perceraian di mahkamah syariah. Wanita itu begitu yakin dengan lafaz cerai berkenaan. Masih terngiang-ngiang lagi lafaz talak tiga di telinganya.

Setelah meneliti segala keterangan, pengakuan dan dokumen terlibat, mahkamah rendah syariah itu memutuskan bahawa lafaz cerai tadi sah dengan gugurnya talak tiga.

Faizul begitu kesal dengan sikapnya itu, namun apakan daya, jodoh mereka setakat di situ sahaja.

Jangan takut dapatkan pengesahan hakim

Banyak pasangan yang takut untuk mendapatkan pengesahan lafaz cerai selepas suami terlepas melafazkan talak tiga. Mereka khuatir talak tiga berkenaan akan jatuh.

Peguam syarie, Raihan Mustafa Kamal menasihatkan pasangan yang menghadapi masalah seperti kes Suraya dan Faizul supaya segera membuat pengesahan berkenaan dalam tempoh selewat-lewatnya tujuh hari dari tarikh lafaz tersebut.

Talak 3

RAIHAN (gambar kecil) mengingatkan para suami agar berhati-hati ketika melafazkan talak di luar mahkamah.

“Dalam kes sebegini, kebiasaannya hakim akan melihat kepada fakta-fakta kes pada ketika itu, faktor-faktor dan fakta-fakta sebelum lafaz dan juga kejadian selepas lafaz cerai berkenaan.

“Walaupun lafaz itu adalah talak tiga, namun kadangkala mahkamah boleh juga memutuskan hanya satu talak yang jatuh kerana kejahilan pasangan berkenaan. Jadi, amat penting untuk membuat pengesahan,” katanya kepada Sinar Islam menerusi aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

Justeru, Raihan menasihatkan agar tidak melengah-lengahkan urusan pengesahan lafaz cerai berkenaan walaupun kedua-dua pasangan tersebut telah merujuk semula sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Pihak mahkamah akan melakukan siasatan bagi dakwaan tersebut. Sekiranya sudah disahkan, maka perceraian tersebut hendaklah didaftarkan di pejabat agama yang diperintahkan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para suami agar berhati-hati ketika melafazkan talak di luar mahkamah.

“Jika lafaz cerai berkenaan dibuat menerusi telefon, mahkamah akan menyiasat lafaz tersebut dan rukun-rukun talak. Sekiranya lafaz itu jelas, tidak perlu kepada niat. Hakim akan memutuskan sama ada lafaz itu sah ataupun tidak.

“Andai kata suami dalam keadaan mabuk akibat kesan daripada ubat sehingga menyebabkan dirinya tidak sedar ketika melafazkan talak, mahkamah akan menyiasat terlebih dahulu. Sekiranya keadaan itu bukan dalam kawalan suami, contohnya minum arak dengan kerelaannya, lazimnya hakim tidak menerima alasan tersebut dan lafaz cerai berkenaan adalah thabit (jatuh),” katanya.