KACAK tapi haram? Setiap di antara kita ingin kelihatan cantik dan kacak tetapi apakah yang dimaksudkan dengan lelaki kacak tapi penampilan sebegitu sebenarnya haram?
Ia bermaksud apabila seseorang lelaki melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam untuk kelihatan elok di hadapan orang lain.
Dalam masa yang sama sifat semulajadi manusia mahukan suatu pembaharuan yang menepati dengan kemodenan yang sedia ada, maka berlakunya krisis identiti dalam diri masyarakat Islam sehingga menyebabkan mereka mengikut cara pemakaian masyarakat barat walaupun tahu ia adalah haram.
Maka inilah yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Uqbah bin ‘Amru al-Ansori bahawa:
“Apabila seseorang tersebut sudah hilang akan sifat malunya, maka lakukanlah apa yang dia suka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Maktabah al-Bakri siri ke 626 dan 770 ada menjelaskan mengenai pengharaman beberapa perkara bagi lelaki Islam seperti berikut:
1. Lelaki memakai rantai emas
Haram hukumnya bagi lelaki memakai emas sebagai perhiasan. Ini berdasarkan sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Telah dihalalkan emas dan sutera asli bagi perempuan di kalangan umatku dan diharamkan (keduanya) bagi lelaki.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah bersabda: “Barang siapa yang beriman dengan ALLAH SWT dan hari akhirat, maka janganlah memakai sutera asli dan emas.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Baca juga Larangan pakai rantai, subang di luar tudung
Adapun jika seorang lelaki memakai emas kerana hajat ataupun darurat, seperti kerana masalah kesihatan, maka ia dibolehkan.
2. Memakai gelang kecuali untuk kesihatan
Kaum lelaki haram memakai gelang sekalipun bukan diperbuat daripada emas. Sama ada ia diperbuat daripada perak, besi, tembaga, kayu atau sebagainya. Ini kerana gelang itu adalah perhiasan yang khusus bagi kaum perempuan seperti juga rantai atau subang.
Oleh yang demikian, lelaki yang memakai gelang itu adalah perbuatan menyerupai perempuan. Hukum lelaki menyerupai perempuan adalah haram dan berdosa besar.
Rasulullah melaknat lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki sebagaimana hadis daripada Ibnu Abbas RA, katanya yang bermaksud: “Rasulullah melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
3. Memakai inai walaupun di hari pernikahan
Inai adalah perhiasan bagi wanita dan bukannya untuk lelaki. Rasulullah pernah membuang daerah seorang lelaki mukhannas yang mengenakan inai pada kedua tangan dan kakinya. Peristiwa tersebut ada dijelaskan oleh Abu Hurairah RA yang bermaksud:
“Sesungguhnya Nabi telah didatangkan kepada Baginda seorang mukhannas yang mana telah menginai kedua tangan dan kakinya. Maka berkata Nabi SAW: “Apa halnya dengan lelaki ini?” Maka dikatakan:
“Ya Rasulullah, lelaki ini menyerupai wanita.” Lalu Rasulullah mengarahkan agar lelaki tersebut dibuang daerah ke al-Naqii’. Maka mereka berkata: “Ya Rasulullah, mengapa kita tidak membunuhnya?”. Maka jawab Baginda: “Sesungguhnya aku dilarang untuk membunuh orang yang solat.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Baca juga Apakah sebenar hukum wanita mewarnakan kuku menurut Islam?
4. Berpakaian seperti wanita
Kebelakangan ini, ramai lelaki Islam yang berpakaian seperti wanita atau wanita Islam yang berpakaian menyerupai lelaki menjadi satu kebiasaan bagi mempromosikan barang atau untuk membuat bahan jenaka.
Ini kerana, mereka merasakan bahawa perkara itu tidak bercanggah kerana mereka bukan menjadi wanita atau lelaki sebenar dan hanya berpakaian sahaja.
Larangan bagi seorang lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya ada di dalam sebuah hadis Baginda Rasulullah yang bermaksud: “ALLAH melaknat laki-laki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai laki-laki.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Perlu kita ketahui bahawa pakaian yang dikhususkan kepada wanita atau pakaian yang dikhususkan kepada lelaki dalam sesebuah masyarakat menjadi haram jika dipakai oleh berlainan jantina.
5. Memakai seluar di atas lutut
Seperti yang diketahui aurat bagi kaum lelaki adalah antara pusat hingga lutut. Namun, sesetengah lelaki mengabaikannya seperti memakai seluar pendek atau pakaian sukan lainnya yang menampakkan paha yang termasuk zon aurat.
Setiap muslim diperintahkan menutup dan menjaga auratnya kecuali di depan isteri atau hamba sahayanya.
Sebenarnya kita boleh saja mengelak diri daripada kesalahan dalam pakaian seharian. Kita seharusnya peka dan memastikan pakaian yang dipakai adalah bersesuaian dan tidak melanggar batas aurat di dalam Islam.
Namun ada yang masih berkeras untuk tetap memakainya tanpa merasa takut dengan kemurkaan ALLAH walhal dia tahu akan perkara tersebut adalah haram di sisi Islam seperti memakai seluar di atas lutut bagi lelaki yang jelas menampakkan aurat.
Umat Islam janganlah hanya mementingkan dunia sahaja dan melanggar hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh agama. Bersegeralah bertaubat kepada ALLAH kerana ALLAH MAHA PENERIMA TAUBAT hamba-hamba-NYA.
Foto: Pexels & Canva