MENGHINA dan mempermainkan apa jua agama adalah suatu perkara sangat sensitif, terlarang dan perlu dijauhi. Menghina agama Islam ibarat mencetuskan kemarahan umat Islam apatah lagi bila menyentuh peribadi junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Padah menimpa ahli Parti Berkuasa Bharatiya Janata (BJP) setelah dengan sengaja menghina Nabi Muhamamd SAW.
BJP merupakan parti berkuasa India di bawah naugan Perdana Menteri India Narendra Modi. Seperti yang dikongsi oleh Times of India dan India Today, komen menghina Nabi Muhammad yang dilontarkan oleh Nupur Sharma, telah menyebabkan banyak rusuhan yang berlaku di Kanpur, Uttar Pradesh.
Ahli parti BJP dipecat dari parti utamanya setelah memberikan komen yang berunsur menghina Nabi Muhammad di dalam satu rancangan debat yang bersiaran di sebuah televisyen. Menurut laporan media dan Parti BJP, Ketua rancangan media Naveen Kumar Jindal turut dilucutkan jawatan selepas membuat kenyataan menghina Islam di media sosial.
Dalam kenyataan pada minggu lalu, BJP mengulas pihaknya menghormati semua agama dan mengecam sekeras-kerasnya penghinaan terhadap mana-mana bangsa yang menghina agama lain tanpa mengira latar belakang.
BJP juga menentang ideologi yang berunsur menghina dan mempermainkan agama lain, kerajaan India memberikan hak kebebasan kepada setiap warga mereka untuk mengamalkan mana-mana agama yang mereka pilih tanpa sekatan apapun.
Mufti besar Oman menyifatkan, penghinaan itu merupakan perkara yang biadap sekaligus menimbulkan spekulasi unsur keganasan kepada agama islam. Arab Saudi turut memberikan komen akan perkara itu dan menyeru setiap agama saling menghormati kepercayaan agama.
Perdana Menteri Pakistan, Shahbaz Sharif berkata, komen yang diberikan amat menyakitkan hati dan menggambarkan India sebagai negara yang tiada hak kebebasan untuk beragama dan dilihat menganiyai umat islam di sana.
Jelas beliau lagi, kerajaan India tidak sepatutnya membenarkan tokoh masyarakat yang dikenali itu menghina Nabi kita sehingga mencetuskan perbalahan di kalangan umat islam.
Kementerian Luar Negeri Qatar, Majed Mohammed Al Ansari berkata, “negara Qatar meminta pemerintah India segera mengecam pernyataan-pernyataan ini dan meminta maaf di depan umum kepada semua Muslim di seluruh dunia”.
APA TINDAKAN NEGARA MUSLIM?
Kuwait, Qatar, Iran, Arab Saudi dan Pakistan adalah negara terawal membuat bantahan secara rasmi terhadap provokasi itu. Diikuti Oman, Indonesia, Jordan, Iraq, Maldives, Bahrain dan Turki antara negara yang turut mengecam kenyataan itu.
Tidak terkecuali Malaysia juga telah menghantar notis bantahan kepada India selepas mencetuskan kontroversi yang tular itu, Malaysia menyeru India untuk bekerjasama dalam menamatkan Islamofobia dan menghentikan sebarang tindakan provokasi demi keamanan dan kestabilan sejagat.
Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), pihaknya telah memanggil Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia dan menyampaikan penyangkalan sepenuhnya terhadap kenyataan itu.
“Malaysia mengalu-alukan keputusan parti pemerintah India untuk menggantung ahli parti terbabit berikutan kenyataan provokasi mereka yang telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam,” menurut kenyataan itu.
Baca juga : 90 peratus platform media sosial mengandungi unsur islamofobia
Ulama Afrika, Syeikh Muhammad al-Hassan Walid al-Didu al-Shanqiti menyeru umat untuk menunjukkan sikap atas penghinaan pejabat India kepada Nabi Muhammad dan Ummul Mukminin Aisyah. Perkara ini jelas menjadi kewajiban atas setiap umat Islam untuk bersuara dan menunjukkan protes.
“Kewajiban umat Islam terhadap orang-orang yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW adalah memboikotnya secara politik dan ekonomi. Tidak ada kebaikan dalam hubungan diplomatik yang tidak menjaga harakat dan martabat bangsa,”kata Syekh al-Didu di Twitter, Ahad yang lalu.
Mufti Besar Oman, Sheikh Ahmed Al-Khalili, juga menyeru untuk memboikot produk India di negara-negara Timur Tengah. Sehingga kini, beberapa kedai dilaporkan telah menarik produk India setelah kontroversi tersebut.
Agama Islam merupakan antara agama yang memiliki penganut terbesar di dunia. Kontroversi yang dicetuskan ini hanya menimbulkan kemarahan umat Islam terutama bila melibatkan agama Islam dan nabi Muhammad SAW.
SUMBER : Islam Channel , buletinterkini & Malaysiakini