Browsing Tag

isu

terlupa baca doa makan
Berita Semasa,

Terlupa baca doa makan? Gantikan dengan bacaan ini

JIKA terlupa baca doa makan, jangan terus tinggalkan begitu sahaja. Sebenarnya, Islam ada solusi bagi menggantikan lafaz doa yang ‘terlajak’ tanpa disengajakan.

Ketahuilah bahawa Nabi Muhammad SAW begitu mementingkan adab dalam setiap tindak-tanduk yang dilakukan. Malah, baginda sering kali mengingatkan umatnya supaya melakukan semua perkara kerana ALLAH dan memuji-NYA.

Sabda Rasulullah SAW: “Setiap perkara yang tidak dimulai dengan memuji ALLAH, makan amalan tersebut akan terputus.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Baca juga Sunnah tutup makanan dan minuman walaupun dengan sebatang kayu, ini sebab-sebabnya

Melihat ungkapan hadis berkenaan, kita diingatkan untuk memulakan setiap perbuatan yang dilihat penting dengan kalimah ALLAH SWT terlebih dahulu.

Maka, tidak hairanlah apabila tiba waktu bersantap, doa makan akan didahului sebagai pembukaan aktiviti oleh umat Islam.

Namun, tahukah anda bahawa asal usul doa sebelum makan sebenarnya adalah doa yang dibaca selepas makan? Ini kerana ia mengandungi pujian kepada ALLAH SWT berkenaan nikmat dan rezeki yang dikecapi. Demikian fakta yang dipetik menerusi portal Tzkrh.

Seperti yang disiarkan oleh laman web berkenaan, para ulama mengatakan bahawa sanad daripada riwayat doa itu adalah sahih, namun ia adalah doa yang lebih sesuai dibaca selepas makan kerana ucapan pujiannya lebih sesuai dibaca selepas menjamah makanan. (Rujuk Ibnu ‘Abd al-Barr, Al-Istizkar, jilid 8, hlm. 387)

Sebenarnya, baginda SAW tidak pernah memberatkan umatnya untuk membaca doa khusus sebelum makan. Bahkan, memadailah dengan hanya membaca basmalah (Bismillahir Rahmanir Rahim).

Baca juga Makan berlebihan menyerupai orang kafir dengan 7 perut. Otak lemah, malas beribadah

Hal ini ada disebutkan dalam beberapa riwayat, contohnya Nabi SAW pernah bersabda, “Bacalah Bismillah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang paling hampir denganmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu pun, tidak salah untuk mengamalkan bacaan doa makan sebagaimana yang biasa dilafazkan kerana ia mengandungi maksud yang baik.

Paling penting, kita mendahulukan perbuatan makan itu dengan nama ALLAH yang mengurniakan rezeki tersebut.

Baca juga Organ dalaman haiwan tidak boleh dimakan? Ini hukumnya yang wajib kita tahu

Pun demikian, bagaimana jika anda terlupa membaca basmalah ataupun doa makan? Apa yang boleh dilakukan?

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Sekiranya seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama ALLAH (Bismillah). Sekiranya dia terlupa (menyebut nama ALLAH) pada awal (mula makan), maka sebutlah ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ (Dengan nama ALLAH pada awal dan akhirnya).” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Jadi, melalui hadis di atas, dapat difahami bahawa ungkapan yang boleh diganti jika anda tertinggal doa makan atau basmalah sedangkan anda sudah makan hampir separuh daripada hidangan tersebut, bolehlah membaca:

بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ

Maksudnya: “Dengan nama ALLAH aku memulakannya dan mengakhirinya.”

terlupa baca doa makan

SEBAGAI umat Islam, ALLAH SWT perlu sentiasa ada dalam ingatan dalam apa jua urusan yang sedang dijalankan.

Baca juga Apabila penghantar makanan hantar sajian tidak halal…

Oleh itu, jangan lupa membaca basmalah sebelum makan sebagai tanda pujian kepada Tuhan YANG MAHA PEMBERI REZEKI di samping menjauhkan syaitan daripada makan bersama-sama kita.

Diceritakan oleh salah seorang sahabat, “Rasulullah SAW pernah duduk dan ada seorang lelaki sedang makan tetapi tidak membaca nama ALLAH sehinggalah tidak tinggal daripada makanannya melainkan satu suapan sahaja.

Kemudian, tatkala dia mengangkat suapan terakhir tersebut ke dalam mulutnya, dia membaca, ‘Bismillahi Awwaluhu wa Akhiruhu’ (Dengan nama ALLAH pada awal dan akhirnya).

Nabi Muhammad SAW ketawa dan kemudiannya bersabda : “Syaitan terus makan bersamanya, kemudian apabila dia menyebut nama ALLAH, syaitan itu memuntahkan semula apa yang ada di dalam perutnya (yang dimakan).” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Sumber: Tzkrh & Irsyad al-Fatwa Siri ke-381: Memadaikah membaca basmalah al-Rahman al-Rahim sebelum makan?

Foto: Pexels & Freepik

akhlak berdasarkan quran
Isu,

10 akhlak murni yang perlu diteladani berdasarkan al-Quran

TERDAPAT 10 akhlak murni yang wajar diteladani berdasarkan ayat-ayat suci al-Quran.

Kalamullah tersebut diibaratkan sebagai manual kehidupan dan menyentuh pelbagai aspek penting yang membentuk sebuah insan seperti akhlak.

Baca juga Model keluarga terbaik disebutkan dalam al-Quran

Perihal akhlak, al-Quran sudah pun memberikan acuan yang terbaik untuk dituruti seluruh umatnya. Dinukil daripada sebuah hantaran di akaun media sosial, Soul Fitness Centre, ada beberapa akhlak yang pernah disebutkan oleh ALLAH SWT untuk diikuti oleh para Muslimin, iaitu:

1. Tidak mencela orang lain

…Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain…” (Surah al-Hujurat, ayat 11)

akhlak berdasarkan quran

BERBUAT baiklah sesama manusia tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama.

2. Menepati janji

…Dan jagalah sumpahmu…” (Surah al-Maidah, ayat 89)

3. Menahan kemarahan

…dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), ALLAH mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah Ali Imran, ayat 134)

Baca juga Empat perkara yang lebih berharga daripada isi dunia

4. Bersangka baik kepada orang lain

Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata”.” (Surah an-Nur, ayat 12)

5. Tidak bergosip

Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.” (Surah an-Nur, ayat 15)

Baca juga Ketahui 5 cara hapuskan dosa mengumpat

6. Jauhkan diri daripada perbualan buruk

Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.” (Surah al-Mukminun, ayat 3)

7. Sentiasa merendah diri

Dan hamba-hamba (ALLAH) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.” (Surah al-Furqan, ayat 63)

akhlak berdasarkan quran

SENTIASA merendah diri dalam setiap pergaulan bersama orang lain, baik kawan mahupun orang yang tidak dikenali.

8. Balas kejahatan dengan kebaikan

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Surah Fussilat, ayat 34)

9. Tidak mengutuk agama lain

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari ALLAH…” (Surah al-An’am, ayat 108)

Baca juga Enam situasi dibolehkan mengumpat yang anda perlu tahu

10. Tidak boros dan kedekut
“Dan juga mereka (yang diredhai ALLAH itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Surah al-Furqan, ayat 67)

Semoga perkongsian ini disematkan dalam jiwa untuk dijadikan amalan dalam kehidupan seharian kita semua.

10 akhlak murni yang perlu diteladani berdasarkan al-Quran

Foto: Pexels

lelaki iddah
Isu,

Jangan terus kahwin, lelaki juga ada tempoh iddah

ACAP kali apabila bercerita tentang iddah, ia seringkali dikaitkan dengan kaum hawa. Contohnya, sepanjang tempoh iddah, para isteri tidak boleh keluar rumah, perlu jaga cara pemakaian dan sebagainya.

Iddah ialah suatu tempoh masa yang dilalui oleh seseorang perempuan selepas perceraian atau kematian suami di mana dia diharamkan berkahwin dengan orang lain, seperti yang dinukil di portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Tujuan iddah adalah untuk memastikan wanita tersebut tidak mengandung bagi mengelakkan kekeliruan nasab sebenar anak jika dia menikah dengan lelaki lain.

lelaki iddah

TEMPOH iddah dikenakan terhadap para wanita bagi memastikan tiada kekeliruan berlaku melibatkan asal-usul anak yang dikandung apabila berkahwin sekali lagi.

Biasanya, tempoh iddah ditetapkan bergantung kepada berapa kali dia mengalami haid. Bagi wanita sesudah cerai dengan bekas suaminya, tempohnya adalah tiga kali suci kitaran haid, manakala wanita yang telah kematian suami, waktu iddah adalah selama 4 bulan dan 10 hari (dikira mengikut tahun Hijrah).

Baca juga 7 Hak Wanita Selepas Diceraikan Yang Perlu Kita Tahu

Dalam tempoh iddah tersebut, suami juga dibolehkan rujuk kembali dengan syarat isterinya berada dalam iddah raj’ie.

Namun, dalam hal lelaki yang telah menceraikan isterinya, isu iddah jarang sekali dibangkitkan. Sememangnya, bagi golongan adam, mereka tidak mempunyai tempoh iddah sepertimana iddahnya wanita.

Tetapi dalam hal-hal yang tertentu, sebenarnya wujud juga halangan yang tidak membolehkan lelaki terus berkahwin dengan wanita lain selepas melafazkan talak.

Antara keadaan ‘iddah’ bagi lelaki adalah:

1. Lelaki yang mempunyai empat orang isteri
Apabila dia telah menceraikan salah seorang daripada isterinya maka dia tidak boleh berkahwin dengan isteri yang kelima sehingga isteri yang dicerainya sebelum itu habis iddah talak raj’ie (cerai yang masih boleh rujuk).

Baca juga Natijah Duduk Serumah Walaupun Sudah Bercerai, Peguam Syarie Kongsi Nasihat Berguna

2. Lelaki yang menceraikan isteri dengan talak tiga
Dalam keadaan ini, sekiranya lelaki tersebut ingin berkahwin semula dengan bekas isterinya, maka dia hendaklah menunggu sehingga isterinya berkahwin dengan lelaki lain, melakukan persetubuhan dengan suaminya yang baru, bercerai dan tamat iddah dengan suami yang baru dikahwininya itu.

2. Masih mempunyai pertalian dalam keluarga isteri
Seseorang lelaki yang telah bercerai dengan isterinya dan ingin mengahwini perempuan yang mahram dengan isterinya seperti saudara perempuan, ibu saudara atau anak saudara kepada bekas isteri, dia hendaklah menunggu tempoh iddah isterinya berakhir terlebih dahulu.

lelaki iddah

ISLAM memelihara kaum wanitanya dengan menetapkan beberapa perkara yang menghalang para lelaki daripada terus berkahwin setelah bercerai.

Perlu diketahui, antara sebab adanya iddah bagi lelaki adalah bertujuan untuk memelihara hak isteri yang baru diceraikan secara talak raj’ie juga, demikian kenyataan peguam syarie di Firma Khairul Fahmi & Associates, Khairul Fahmi Ramli.

Sebab itu, jika seorang suami ingin berkahwin dengan wanita lain sedangkan tempoh iddah isterinya belum berakhir, si suami perlu membuat Permohonan Poligami di Mahkamah Tinggi Syariah.

Baca juga Isteri yang diceraikan tanpa sebab boleh tuntut mutaah daripada bekas suami

Ini kerana suami tersebut masih boleh merujuk kembali isteri yang diceraikan dan mungkin suami boleh ambil kesempatan untuk berpoligami sekiranya dibenarkan untuk berkahwin dengan wanita lain semasa iddah isterinya.

Bagi pasangan suami isteri yang bercerai dengan talak raj’ie, masih ada waktu untuk kedua-duanya bermuhasabah kembali dan cuba mencari jalan penyelesaian demi diri dan anak-anak.

Baca juga Bapa tetap perlu sediakan nafkah anak sekalipun sudah bercerai dengan pasangan

Namun, sekiranya memang sudah tiada jalan untuk berbaik semula, pastikan anda cakna tentang perkara-perkara yang baru disebutkan bagi memastikan suami isteri dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing sepanjang tempoh iddah.

Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawi Siri ke-439: Iddah bagi lelaki

Foto: Pexels

lalai dengan dunia
Isu,

Lalai dengan hidup di dunia. Pastikan anda tiada tanda-tanda ini.

BERWASPADA dengan tanda-tanda berikut yang menunjukkan anda lalai dengan kehidupan dunia.

Kita sering diingatkan bahawa dunia di bumi ini hanyalah bersifat sementara. Sebaliknya, kehidupan hakiki adalah pada alam akhirat yang mana kita semua akan dibangkitkan setelah mati untuk bertemu dengan Yang Maha Pencipta.

Maka, mereka yang memanfaatkan dunia dengan menyibukkan diri dengan mengikuti segala perintah ALLAH SWT adalah golongan yang paling beruntung. Firman ALLAH Taala,

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (Surah Ali Imran, ayat 102)

Baca juga “Jangan bangga nikmat dunia, kematian menjemput anytime, anyway”- Ebit Lew nasihat jangan lalai

Namun, tidak dinafikan, kadang-kadang manusia leka dengan permainan dunia. Lalainya mereka sehinggakan ALLAH menyamakan golongan ini dengan binatang ternak yang hanya tahu makan, minum dan bersenang-lenang.

Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh – ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.” (Surah Muhammad, ayat 12)

Jika tidak dibendung, kelekaan itu akan menyebabkan kemudaratan dan kerugian yang besar. Namun, apakah tanda-tanda lalai dengan urusan dunia yang perlu diberikan perhatian?

Memetik portal Rumaysho, anda perlu berhati-hati dengan tanda berikut yang menunjukkan anda lalai dengan kehidupan dunia:

1. Malas dan ingin terus berehat sedangkan kita meyakini bahawa rehat yang hakiki adalah di akhirat kelak
2. Hanya bersemangat dalam mencari hiburan dunia dan melepaskan akhirat
3. Menganggap dosa sebagai sebuah perkara yang biasa sedangkan dosa yang kecil juga boleh menjadi besar, maka ia tidak boleh dipandang remeh
4. Sentiasa mengikuti hawa nafsu
5. Terlalu sibuk dengan kerja sehingga mengabaikan ibadah
6. Berteman dengan orang-orang yang lalai

lalai dengan dunia

MANFAATLAH masa sedikit yang kita ada di atas muka bumi dengan mentaat perintah ALLAH SWT.

Kelalaian terhadap dunia boleh membuatkan kita sukar untuk berdampingan dengan ajaran agama seperti berzikir kepada ALLAH dan mempelajari al-Quran.

Antara cara untuk menghilangkan kelalaian tersebut adalah:

1. Banyakkan menghadiri majlis ilmu
2. Rajinkan berdoa dan berzikir
3. Solat malam
4. Sentiasa menziarahi kubur
5. Tadabbur keadaan sekitar seperti merenungkan kematian yang ada disekeliling kita
6. Mengingati syurga dan neraka

Baca juga 4 tanda mati jiwa yang menjauhkan kita dengan ALLAH SWT

Adakalanya sibuk dengan kehidupan dunia menjadikan manusia terlalu mengejar dunia sehingga menjadikan ia sebagai tujuan, sedangkan tujuan kepada kehidupan manusia adalah ALLAH SWT.

Usahlah dilalaikan dengan keduniaan sehingga meninggalkan ALLAH, sebaliknya istiqamah lah di dalam melakukan perkara yang diredai oleh-NYA nescaya dunia akan mengikuti.

Foto: Unsplash

nikmat kubur
Isu,

Ada nikmat kubur buat orang beriman

KITA sering mendengar tentang azab tatkala di alam barzakh sebagai peringatan hidup di dunia tidak berkekalan, sebaliknya semua manusia akan kembali menghadap Yang Maha Pencipta akhirnya jua. Namun, tahukah anda bahawa wujudnya juga nikmat kubur?

Alam kubur ialah alam ghaib yang tiada siapa dapat menceritakannya melainkan bagi mereka yang pernah melaluinya sahaja.

Begitu pun, sebagai umat Islam, kita wajib mempercayainya kerana alam akhirat telahpun dijanjikan oleh ALLAH bakal dilalui oleh kita semua.

Seperti yang dijelaskan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, manusia yang beriman dan taat kepada ALLAH akan diperlihatkan nikmat kubur sebagaimana yang diceritakan dalam hadis:

Baca juga Air Kencing Yang Menyumbang Azab Kubur, Berikut Penjelasannya

1. Kubur diterangi dan dilapangkan

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

Apabila mayat (atau seseorang daripada kamu) telah dikuburkan, datanglah kepadanya dua malaikat hitam kebiru-biruan, seorang daripada keduanya dikenali dengan Malaikat Munkar dan seorang lagi dengan Malaikat Nakir. Keduanya berkata: “Apakah yang hendak engkau katakan mengenai lelaki ini?”

“Dia berkata: “Dia adalah hamba ALLAH dan utusan-NYA. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah selain ALLAH , dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba-NYA dan utusan-NYA.” Keduanya berkata: “Sungguh, kami telah tahu bahawa engkau akan mengatakan demikian itu.” Kemudian dilapangkan baginya di dalam kuburnya sepanjang 70 hasta kali 70 hasta. Kemudian diberi cahaya baginya di dalamnya. Kemudian, dikatakan kepadanya: “Tidurlah engkau.””(Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Hibban)

2. Diperlihatkan nikmat syurga

Setiap seorang daripada kamu, manakala telah mati akan diperlihatkan kepadanya kedudukan tempatnya setiap pagi dan petang. Jika dia daripada ahli syurga maka (akan diperlihatkan seperti) ahli syurga dan jika dia ahli neraka maka daripada ahli neraka. Dikatakan kepadanya, “Inilah tempatmu sehingga dibangkitkan semula pada hari kiamat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Baca juga Ustaz Ebit senaraikan 6 perkara perlu pelihara jaminan Muslim ke syurga

3. Direhatkan dari kepayahan dunia

Dari Ma’bad bin Ka’ab bin Malik dari Abu Qatadah bin Rabi’i bahawa ia menceritakan, pada suatu ketika, lalu satu jenazah di hadapan Rasulullah, maka Baginda bersabda:“Mustariih dan Mustaraah.”

Kemudian, para sahabat bertanya:“Apa yang dimaksudkan dengan mustariih dan mustaraah?”

Kemudian, Baginda menjawab: “Mustariih adalah seorang hamba yang beriman akan beristirehat dari kepayahan dunia. Mustaraah pula adalah berkenaan dengan seorang hamba yang fajir (berbuat kezaliman, derhaka kepada Allah). Justeru, seluruh negeri, hamba dan binatang boleh beristirehat dari sifat fajirnya (kezaliman).” (Hadis riwayat Muslim)

nikmat kubur

TIADA lagi kepayahan dunia yang perlu dihadapi oleh sebahagian manusia yang bersungguh-sungguh mencari keredaan ALLAH SWT.

4. Para malaikat memberi salam

Firman ALLAH SWT:
(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: “Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Nahl, ayat 32)

Azab dan nikmat kubur adalah perkara ghaibiyyat yang tidak mungkin dikiaskan dengan hukum dunia semata-mata berdasarkan penglihatan atau pancaindera kerana sifat alam tersebut yang sangat berbeza dengan alam dunia.

Namun, yakin terhadap alam akhirat termasuk dalam rukun iman yang perlu ada dalam diri sesiapa sahaja yang bergelar Muslim.

Semoga kita semua tergolong dalam kalangan yang berjaya meraih nikmat di akhirat kelak. Insya-ALLAH.

Sumber: Al-Afkar #64: Bentuk-bentuk nikmat kubur

Foto: Unsplash

rupanya hadis palsu
Isu,

Lima hadis popular ini rupanya hadis palsu

LIMA hadis popular ini rupanya hadis palsu.

SUMBER ajaran Islam yang kedua selepas al-Quran ialah al-Hadis. Al-Hadis berasal daripada perkataan hadatha yang bererti percakapan, bahasa dan perkhabaran. Hadis daripada segi istilah pula ialah perkataan, perbuatan dan pengakuan Rasulullah SAW.

Manakala al-Sunnah adalah segala perbuatan, pengakuan, akhlak dan sirah junjungan Nabi Muhamad SAW. Para ulama hadis bagaimanapun telah menyatakan bahawa al-Hadith dan al-Sunnah adalah dua perkataan yang boleh digunakan dan difahami bagi merujuk kepada satu perkara yang sama.

Malangnya terdapat sebahagian hadis yang sering digunakan dalam kehidupan seharian kita namun rupa-rupanya tidak pernah dilafaz atau dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Baca juga Penting Untuk Kita Fahami Ilmu Hadis, Ini Sebabnya

Hari ini, amat mudah sekali untuk memperoleh dan berkongsi maklumat dengan adanya internet. Adakalanya, maklumat yang dihebahkan tidak benar namun tetap tersebar jua.

Jadi, jika anda terlintas suatu hadis di laman sosial seperti Facebook dan sebagainya, jangan terus ‘share’ tanpa melakukan semakan bagi mengesahkan kesahihan maklumat tersebut.

Berikut antara hadis popular yang dianggap tidak sahih daripada pandangan jumhur ulama:

1. Tuntut ilmu hingga ke negeri Cina

“Tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negara China”

Hadis terkenal ini adalah antara yang sering digunakan dalam masyarakat kita sebagai galakan menuntut ilmu.

Tanpa disedari, rupa-rupanya hadis ini telah dinilai palsu oleh ulama hadis seperti Ibnu al-Jauzi, al-Sakhawi dan al-Syaukani.

hadis palsu

ADA sebahagian ‘hadis’ yang diajarkan kepada kita sejak kecil lagi ternyata sekadar ungkapan yang tiada sumber agama sahih di sebaliknya.

2. Tidak elok campur makanan darat dan laut dalam satu hidangan

Antara petua orang-orang lama yang terawal diajarkan kepada kita adalah untuk mengelak daripada mencampurkan makanan darat dan laut dalam satu hidangan. Saranan ini dikatakan datang daripada sebuah hadis.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bagaimanapun menyangkal bahawa tiada ayat daripada al-Quran mahupun hadis Nabi SAW yang melarang percampuran makanan laut dan darat ketika makan.

Pun begitu, pihaknya berkata, jika ilmu sains membuktikan bahawa perbuatan mencampurkan makanan laut dan darat dalam satu hidangan boleh membawa kepada kemudaratan, maka ia hendaklah dijauhi.

Baca juga Ini maksud sebenar hadis tentang wanita pelacur beri anjing dahaga minum…

3. Tidur selepas asar boleh jadi gila

“Sesiapa yang tidur selepas Asar lalu hilang akalnya, maka janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri.”

Menurut mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, para ulama berbeza pandangan bagi status hadis berkenaan sama ada daif atau palsu.

Yang pasti, tiada hadis sahih yang melarang tidur selepas Asar, katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel di portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Meskipun demikian, Dr Zulkifli mengingatkan bahawa sebahagian para ulama tetap berpendapat, hukumnya makruh jika tidur selepas waktu Asar.

Baca juga Mengapa tidak boleh tidur selepas Asar? Ini penjelasannya

4. Payung emas bagi isteri yang bermadu atau benarkan suami kahwin lain

‘Hadis’ tersebut antara yang sering digunakan oleh para suami yang ingin berpoligami untuk mendapatkan persetujuan si isteri pertama.

Namun seperti yang dijelaskan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ungkapan berkenaan hanyalah rekaan semata-mata kerana tiada satu ayat dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW yang menyebut tentang payung emas.

Penceramah bebas, Wan Dazrin Wan Din berpendapat frasa ‘payung emas’ muncul mungkin disebabkan kiasan ulama tentang ganjaran atau perlindungan di akhirat apabila mengamalkan poligami.

Baca juga Rupanya tidak wujud ‘payung emas’ dalam poligami

5. Sabar separuh dari iman

Dipetik daripada portal Darul Ulum Malaysia, ungkapan ini sebenarnya adalah pernyataan daripada sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Mas’ud sebagaimana yang direkodkan oleh Imam Tabarani.

“…Dan bersabar adalah separuh daripada iman.” (Al-Mu’jamul Kabir, Hadis: 8544. Rujuk Fathul Bari, di bawah bab pertama Kitabul Iman)

Maka, ungkapan tersebut bukan hadis sahih. Namun, menurut artikel itu, ada riwayat hadis sahih telah dicatat oleh ulama-ulama hadis dengan sedikit perbezaan dalam perkataan. Sarjana Islam, Ibnu Hajar al-Asqalani telah mengklasifikasikan riwayat Imam Abu Bakar ibn Abi Shaybah adalah hasan:

Jabir RA mengatakan, “Pernah Nabi SAW ditanya, “Apa jenis iman yang terbaik?” Baginda menjawab, “Bersabar dan memaafkan.” (Rujuk al-Matalibul ‘Aliyah, jilid 13 ms 167- Hadis: 3141)

Maka, hadis-hadis berikut antara yang terkenal dan sering disebarkan dalam masyarakat tanpa kita sedari ianya adalah palsu.

hadis palsu

INGATLAH, jangan sewenang-wenangnya menyebarkan hadis yang anda tidak pasti status kesahihan kerana dikira memfitnah Rasulullah SAW. Perbuatan itu pula sangat dikeji oleh baginda.

Tegas panel tetap rancangan My #HadithTime, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyandarkan sesuatu perkara kepada Rasulullah SAW tanpa mengetahui kesahihan di sebalik hadis berkenaan.

“Hati-hati, tuan-puan. Jangan sampai kita terlalu mudah dengar hadis dalam Facebook atau dalam Twitter, cepat-cepat kita nak sandarkan kepada Rasulullah. Sebenarnya Rasulullah tak ungkapkan pun (hadis itu),” katanya.

Baca juga Penjelasan Status Hadis Solat al-Awwabin Diberi Ganjaran Istana Emas

Beliau mengingatkan, sekiranya kita tahu sesuatu hadis itu adalah palsu, maka hukumnya haram menyebarkannya hadis tersebut kerana dianggap sebagai memfitnah Nabi SAW.

“Sekiranya kita dah tahu hadis ini bukan diungkapkan oleh Nabi, sepatutnya kita tidak boleh berkata sedemikian kerana seakan-akan kita memfitnah Rasulullah. Rasulullah tak cakap begitu, tetapi kita cakap macam itu,” pesannya.

Seperti yang pernah disabdakan oleh Nabi SAW: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Foto: Pexels

Untitled design - 2022-06-14T164315.505
Isu,

Wajib jaga aib orang, aib sendiri apatah lagi

OLEH: MUHD AZMAN MOHD NAWI

HARI ini amalan membuka aib sama ada aib sendiri ataupun aib orang lain sudah semakin menular. Apatah lagi teknologi pintar memudahkan segala info, gambar dan video disebarkan dengan pantas terutama melalui aplikasi telefon mudah alih dan media sosial.

Namun sentiasalah berwaspada kerana kecanggihan itu boleh menjadi penyebab umat Islam disoal di akhirat  jika perkara yang disebarkan itu bersifat fitnah dan memalukan orang lain.

Justeru Islam menganjurkan mereka yang telah melakukan dosa untuk kembali kepada ALLAH SWT tanpa menceritakan keaibannya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap umatku dimaafkan (dosanya) kecuali mereka yang menunjuk-nunjuknya dan sesungguhnya di antara menunjuk-nunjukkan (dosa) adalah seorang hamba yang melakukan suatu perbuatan di waktu malam. Sementara ALLAH telah menutupinya kemudian di waktu pagi dia berkata: “Wahai fulan semalam aku telah melakukan ini dan itu, pada hal pada malam harinya (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya. Ia pun bermalam dalam keadaan (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya dan di pagi harinya ia menyingkap apa yang telah ditutupi oleh ALLAH”  (Hadis Riwayat Bukhari)

Hadis ini menjelaskan bahawa orang yang bermaksiat pada waktu malam secara sembunyi, kemudian ALLAH menutup aibnya sehingga dia bertaubat kepada ALLAH; maka hal itu adalah baik baginya.

Namun kalau pada hari esok dia bertemu dengan orang lain dan bercerita tentang dosa yang telah dibuat, maka dia termasuk dalam kalangan orang yang tidak akan dimaafkan oleh ALLAH.

Akhir-akhir ini, kita melihat fenomena membuka aib sama ada diri sendiri ataupun keaiban orang lain secara terang-terangan.

 

Kenang si mati dengan amal kebaikannya

Perbuatan seperti berjoget di aplikasi TikTok tanpa malu dan rasa bersalah seakan telah menjadi budaya. Jadi, tepuklah dada tanyalah iman sama ada mahu meneruskan aktiviti masa senggang dengan perkara itu lagi.

Itu kalau membuka aib sendiri, bagaimana halnya dengan aktiviti membuka aib orang?

Apabila meninggalnya seorang selebriti atau tokoh masyarakat, semua orang bergegas memuat naik foto almarhum atau almarhumah diiringi ayat ‘al fatihah’ dan ‘innalillah..’. Ia perbuatan terpuji. Lebih mulia lagi apabila foto yang dipilih adalah foto terbaik di dalam keadaan arwah bertutup aurat.

Walaupun ada beberapa warga maya yang tidak bertanggungjawab berani mempertikaikan tentang keadaan si mati yang tidak menutup aurat dengan sempurna ketika masih hidup, namun sebaiknya kita tinggalkanlah urusan itu antara si mati dan ALLAH SWT. ALLAH MAHA MENGETAHUI perkara sebenarnya dan usahlah lagi dipersoalkan.

Sebaiknya, kalau mahu menyebut tentang ingatan kepada arwah, kenanglah si mati dengan segala amal kebaikannya.

baca juga Jangan menghina orang yang sudah meninggal dunia

Memetik kata Pencetus Ummah Haris Ismail atau PU Riz di dalam ciapan Twitternya, beliau  memohon agar peminat tidak berkongsi foto selebriti Allahyarham Adibah Noor yang tidak menutup aurat, dan cukup sekadar menyedekahkan al Fatihah buat Allahyarham.

Perbuatan menyebar aib sesama manusia turut mendapat perhatian laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Menerusi sebuah hadis riwayat Abu Hurairah RA, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan ALLAH tutup aib hamba yang pertama tadi di Hari Kiamat. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Juga daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang mencari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya ALLAH akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya,” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Budaya negatif ini termasuk dalam sunnah sayyiah (amalan buruk) yang berdosa. Daripada Jarir bin Abdullah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal denganya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun, dan barangsiapa yang memulakan dalam Islam suatu sunnah yang buruk, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan baginya dosa sesiapa yang beramal dengannya, tanpa berkurang dengan satu dosa suatu apa pun” (Hadis Riwayat Muslim)

Berdoalah selalu agar ALLAH memelihara aib kita daripada tersebar dan kita dijauhkan daripada menyebarkan aib manusia lain.

 

cinta negara
Isu,

Bukan kita sahaja, Nabi SAW sendiri pernah zahirkan rasa cinta terhadap tanah air baginda

BUKAN kita sahaja, Nabi SAW sendiri pernah zahirkan rasa cinta terhadap tanah air baginda.

Di media sosial kini sedang hangat memperkatakan tentang filem Melayu terbaharu yang berjaya mengutip RM39.2 juta hanya selepas 10 hari tayangan, iaitu ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.’

Filem epik Melayu berkenaan yang sarat dengan nilai sejarah bangsa dilihat berjaya membangkitkan semangat jati diri dalam masyarakat setempat sehinggakan ramai yang sanggup berbusana Melayu lengkap bersama tanjak pada waktu tontonannya di panggung wayang.

cinta negara

HEBATNYA penangan filem ‘Mat Kilau’ sehingga munculnya trend pemakaian tanjak pada waktu tayangannya di panggung wayang. Malah, permintaan untuk sertai kelas silat juga meningkat sejak filem tersebut diterbitkan.

Yang menariknya, semangat patriotisme yang ditampilkan oleh filem Mat Kilau turut diberikan suntikan Islamik. Pengarah Syamsul Yusof sempat menyelitkan banyak nasihat-nasihat kembali kepada agama dalam karya itu.

Semangat cintakan negara sememangnya bukan suatu perkara yang dilarang dalam Islam. Bahkan, ia selari dengan ajaran agama dan termasuk sifat terpuji yang perlu dipupuk dalam diri masyarakat.

Demikian kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin menerusi sebuah artikel di portal Harakah Daily.

Baca juga Ini Maksud Kemerdekaan Sebenar Dalam Islam,  Ramai Yang Masih Belum ‘Bebas’ Sepenuhnya

Dalam kalangan masyarakat Arab ada kata-kata masyhur yang berbunyi  ‘Hubbul watan minal iman’ (Mencintai tanah air adalah sebahagian daripada iman), sehingga ada yang mendakwa  kata-kata ini adalah daripada Nabi SAW.

Namun setelah diperhalusi secara teliti, ramai ulama hadis berpandangan sebaliknya iaitu ia bukanlah daripada sabda baginda SAW.

Ibnu Hajar al-Asqalani, ulama yang mensyarahkan Sahih al-Bukhari dengan kitabnya Fathul Bari menyebut bahawa walaupun kata-kata ini tidak ditemukan sumbernya daripada hadis baginda SAW, namun dari segi maknanya, ia sahih kerana ia diamalkan oleh baginda SAW ketika hayatnya.

Imam as-Sakhawi dan al-Ajluni juga berpandangan yang sama ‘Hubbul watan minal iman’ walaupun belum ditemukan sumber hadisnya, namun mencintai tanah air telah diamalkan oleh para sahabat RA dan Rasulullah SAW.

cinta negara

RASULULLAH SAW juga mencintai tanah airnya, Makkah sama seperti kita.

Menurut sebuah perkongsian daripada program My #HadithTime, sejarah Nabi SAW sendiri membuktikan bahawa baginda adalah warganegara yang amat menyayangi Makkah, tanah tumpah darah Baginda.

Ketika dalam perjalanan hijrah meninggalkan Makkah, baginda telah melalui satu sempadan di bahagian utara negeri Makkah.

Di sinilah baginda berpaling memerhatikan Makkah lalu bersabda:

Aku tidak temui negeri yang lebih baik daripada engkau (wahai Makkah) dan tiada negeri yang lebih aku sayangi daripada Makkah.

Kalaulah bukan kerana kaumku (iaitu Quraisy) telah menghalangku, aku tidak akan tinggalkan negeri ini.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Baca juga Lawatan ke lokasi bersejarah di Tanah Suci mampu tingkatkan takwa

Sifat cintakan tanah air ini juga dilanjutkan setelah Rasulullah berhijrah ke Madinah.

Baginda bersungguh-sungguh membangunkan Madinah, membentuk suasana harmoni dalam kalangan semua kaum serta menyemaikan rasa cintakan Madinah.

Perkara ini dapat difahami melalui doa yang pernah dibacakan oleh baginda yang menyatakan:

اللهم حبِّبْ إلينا المدينةَ كحُبِّنا مكةَ أو أشدّ

Wahai Tuhan kami, lahirkanlah rasa cinta kami kepada Madinah seperti mana kami mencintai Makkah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

cinta negara

TIDAK kira sama ada di Makkah atau Malaysia, kita semua pastinya mempunyai perasaan mendalam terhadap tempat asal usul kita.

Malah lebih menarik lagi apa yang pernah disaksikan sendiri oleh Saidina Anas bin Malik iaitu pembantu Rasulullah. Saidina Anas pernah bercerita,

Sekiranya Rasulullah pulang dari satu perjalanan yang jauh, apabila sampai sahaja di Madinah dan ternampak anak-anak tangga Madinah, (atau dinding-dinding rumah di Madinah)

Baginda akan menggesa untanya supaya berjalan cepat, seakan-akan rindu untuk sampai Madinah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

cinta negara

KECINTAAN Rasulullah SAW terhadap negara bukan sekadar pada perasaan hati sahaja, bahkan baginda juga bersungguh-sungguh membangunkan tanah airnya. Demikian sifat keperibadian Nabi yang harus kita teladani.

Namun, dalam konteks Malaysia, apa yang harus kita lakukan andainya kita mencintai negara kita?

Kata Ustaz Mohd Akmal pula, Islam menekankan aspek kerjasama dalam membangunkan negara. Oleh itu, semangat patriotisme yang dituntut agama melibatkan tiga perkara ini.

1. Membantu negara mencapai kemajuan dan keamanan.

2. Memelihara nama baik negara di mata dunia.

3. Mempertahankan negara daripada sebarang ancaman

Titip My#HadithTime, kita digalakkan sentiasa mengajar dan menyebarkan kebaikan dalam masyarakat. Malah, sebagai satu ummah, kita juga mempunyai tanggungjawab menjauhkan negara daripada unsur kejahatan seperti rasuah dan sebagainya.

Bukan kita sahaja, Nabi SAW sendiri pernah zahirkan rasa cinta terhadap tanah air baginda

Foto: Freepik & Unsplash & Himpunan Cerita Lawak

wuduk penyeri wajah
Isu,

Naikkan seri wajah dengan air wuduk, benarkah begitu?

BENARKAH wuduk boleh menyerikan wajah?

“Cantiknya kulit awak. Awak pakai pencuci muka apa?”

“Tak pakai apa-apa pun. Ambil wuduk saja.”

Begitulah seloroh yang biasa didengar dalam perbualan sesama kaum hawa. Apabila ditanya tentang cara menaikkan seri wajah, segelintir bergurau mengamalkan pengambilan air wuduk sebagai kaedahnya.

Namun, apakah cara sebenarnya menaikkan keserian diri dalam Islam? Adakah wuduk benar-benar mampu menjadi penyeri wajah?

wuduk

USTAZAH NORHAFIZAH MUSA

Antara cara menyerikan wajah adalah dengan mengamalkan doa ini yang pernah dikongsikan oleh pendakwah bebas, Ustazah Norhafizah Musa menerusi sebuah video yang disiarkan di laman YouTube.

Doa yang dimaksudkan oleh beliau adalah doa memohon cahaya daripada ALLAH SWT. Doa tersebut dipetik daripada bahagian akhir surah at-Tahrim ayat ke-8, doa tersebut berbunyi begini:

رَبّنَآ أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وََٱغْفِرْ لَنَآ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya ENGKAU MAHA KUASA atas tiap-tiap sesuatu.”

Baca juga Tidak boleh niat menunjuk-nunjuk, menyerupai mata binatang berikut pemakaian kanta lekap dalam Islam

“Ustaz sahaja yang memanggilnya doa naik seri sebab macam-macam (kebaikan) yang boleh dapat dari doa ini. Doa ini sempurna, memohon cahaya dari ALLAH. Hebat doa ini,” ujar Norhafizah.

Tambahnya, ada dua cara meningkatkan seri diri termasuk mengamalkan doa berikut. Cara kedua pula adalah menghindari diri daripada terus-menerus melakukan dosa.

Menurut Norhafizah lagi, kehidupan yang dikeruhi dengan dosa dan maksiat menjadi punca kurangnya seri dalam diri. Oleh itu, beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa bertaubat dan memohon cahaya daripada ALLAH SWT.

Hanya dengan menyucikan diri daripada dosa barulah akan ada keserian dalam diri, keluarga serta kehidupan, titipnya.

wuduk penyeri wajah

DEMI mengejar kecantikan, pelbagai kaedah digunakan oleh kaum wanita seperti menggunakan produk pencuci muka atau mengelak makanan berminyak.

Pendapat sama turut disuarakan pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun yang menganjurkan pendekatan berwuduk bagi menaikkan seri wajah.

Mana tidaknya, dari segi bahasa, wuduk itu sendiri bermaksud elok dan berseri. Tambahan pula, amalan berwuduk dapat menggugurkan dosa, jelas Asma’

Baca juga Menyambung bulu mata itu cantik tapi apakah sebenarnya hukum di dalam Islam?

Sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

“Ketika membasuh kedua tangannya, keluarlah daripada kedua tangannya setiap dosa yang dilakukan oleh kedua tangannya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir.

Sewaktu dia membasuh kedua-dua belah kakinya, keluarlah daripada kedua-dua kakinya setiap dosa yang dilangkah oleh kedua-dua kakinya bersama air atau bersama air terakhir sehinggalah setelah dia selesai berwuduk, dia bersih daripada dosa-dosanya.” (Riwayat Muslim)

wuduk penyeri

DALAM Islam, seri diri bukan sahaja meliputi paras rupa, bahkan termasuk hati yang bersih.

Bagi Ustazah Asma’, tiada amalan yang lebih baik melainkan berwuduk sebagai terapi rohani dan penyeri diri.

“Percaya atau tidak, memang wuduk menjadi penyeri wajah. Bukan (hanya) pada zahir wajah nampak berseri, malah hati juga akan berseri. Oleh itu, wuduk adalah suatu terapi rohani yang sangat hebat,” jelasnya.

Dalam Islam, keserian diri bukan sekadar pada wajah, malah termasuk hati dan kehidupan secara keseluruhan. Selain itu, sentiasa berdoa agar diberikan cahaya oleh ALLAH SWT.

Foto: Unsplash & Pexels

hutang
Isu,

Amalkan doa ini supaya orang membayar hutang kita

JIKA anda pernah meminjamkan wang kepada sesiapa, anda boleh amalkan doa ini supaya individu berkenaan membayar hutang mereka.

Dalam Islam, tiada masalah untuk berhutang demi keperluan hidup namun wang yang dipinjam itu wajib dikembalikan.

Menurut pendakwah, Ustaz Hadi Talhah, roh seseorang seolah-olah ‘tergantung’ selepas kematiannya sekiranya ada hutang yang tidak dilangsaikan.

Rasulullah SAW bersabda: “Jiwa seorang Mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.” (Riwayat at-Tirmizi)

Baca juga Jiwa Orang Yang Cuai, Liat Bayar Hutang Akan Tergantung Selagi Dia Tidak Melunaskan Hutangnya

Dalam Islam sudah banyak dibahaskan perihal cara untuk melangsaikan hutang. Namun, lain pula halnya bagi seseorang yang ingin menuntut wang yang pernah dipinjamkan kepada orang lain.

Jika diikutkan sememangnya tiada dalil khusus yang memberi panduan kepada para pemiutang untuk mendapatkan kembali hak mereka.

hutang

BADLI SHAH ALAUDDIN

Demikian penjelasan pendakwah terkenal, Ustaz Badli Shah Alauddin dalam sebuah video yang disiarkan di laman sosial Youtube miliknya.

Pun begitu, kata beliau, ada satu kaedah paling ampuh yang boleh diamalkan iaitu berdoa.

Sering dipraktikkan oleh orang-orang tua dahulu, cara berdoa ini boleh diamalkan untuk melembutkan hati si peminjam wang untuk melunaskan hutang. Bahkan, Umar al-Khattab RA juga pernah mengamalkan kaedah serupa.

Jelas Ustaz Badli Shah, peristiwa tersebut berlaku suatu ketika apabila Umar tidak membahagikan rampasan perang kepada tentera setelah tamat berperang. Bilal membantah keputusan itu kerana bercanggah dengan amalan Rasulullah SAW. Maka, Umar pun berdoa pada waktu malam agar Bilal dilembutkan hati dan dapat menerima cadangannya.

Baca juga [VIDEO] Hutang masih belum habis bayar, tapi tetap mahu bersedekah. Ini yang wajib kita ambil tahu

Oleh itu, Badli Shah menasihatkan agar pemiutang mendirikan solat sunat Tahajud sebelum berdoa. Langkah-langkah seterusnya yang boleh diambil adalah seperti berikut:

1. Mendirikan solat sunat Tahajud.
2. Selepas bacaan al-Fatihah rakaat pertama dan kedua, baca surah al-Insyirah (3 kali), an-Nas (4 kali), al-Ikhlas (7 kali)
3. Setelah selesai solat, zikir seberapa banyak yang mampu.
4. Berniat dalam hati serta berdoa kepada ALLAH agar dibukakan si peminjam untuk membayar hutang

hutang

BANYAKKAN berdoa memohon pertolongan ALLAH SWT supaya urusan dipermudahkan.

Selain itu, pemiutang juga boleh mengamalkan bacaan Yasin 7 Mubin. Cara melakukannya adalah dengan membaca surah Yasin terlebih dahulu. Setiap kali bertemu dengan kata ‘mubin’, berhenti seketika untuk berdoa sambil menyebut nama orang yang berhutang tersebut.

Dalam surah Yasin, terdapat tujuh tempat perkataan ‘mubin’ iaitu pada ayat:

hutang

hutang

Ustaz Badli Shah sekali lagi mengingatkan bahawa amalan doa ini tidak diambil daripada mana-mana dalil khusus. Sebaliknya, ia dikira sebagai salah satu usaha untuk menyelesaikan masalah dengan pertolongan ALLAH SWT.

Ujarnya, “Walaupun tiada dalil secara khusus, namun boleh dijadikan sebagai ikhtiar kita. Duit (itu maknanya), doa, usaha, ikhtiar dan tawakal.”

Foto: Freepik & Unsplash