KETIKA tempoh haid berlangsung, ramai wanita mengeluh kerana tidak dapat melakukan amal ibadah walhal banyak lagi amalan yang boleh dilaksanakan.
Jangan kecewa. Anda masih berpeluang untuk meraih pahala.
Tapi itulah fitrah wanita, sebagaimana Aisyah RA juga pernah menangis kerana kedatangan haid sewaktu ingin mengerjakan haji widak. Rasulullah SAW menenangkan hati Aisyah dengan berkata:
“Sesungguhnya perkara ini (haid) adalah ketentuan ALLAH SWT ke atas wanita.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Memetik artikel Irsyad Fatwa siri ke-136 yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ada memaparkan beberapa amalan yang boleh dilakukan oleh wanita ketika sedang haid:
1. Banyakkan berzikir
Berzikir adalah salah bentuk amalan yang boleh diamalkan ketika wanita dalam haid. Ia merupakan amalan yang sangat mudah dan apabila seseorang melafazkannya dengan beberapa perkataan, ALLAH akan memberi ganjaran yang amat besar.
Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Tidak ada kaum atau seseorang yang berzikir kepada ALLAH kecuali mereka di kelilingi oleh malaikat-malaikat, diliputi oleh Rahmat, turun kepada mereka ketenteraman, dan ALLAH menyebut mereka sebagai orang-orang yang di sisi-NYA.”
Antara zikir mudah yang boleh diamalkan ialah zikir Fatimah iaitu:
a) Subhanallah (33 kali)
b) Alhamdulillah (33 kali)
c) Allahu Akbar (33 kali)
Baca juga Pendekatan Major 9 ajak umat Islam berzikir
2. Berdoa
Ketika haid, wanita tidak dapat menunaikan solat namun masih boleh berdoa. Ia boleh dilafazkan dengan apa juga bahasa dan pada bila-bila masa.
Berdoa merupakan satu cara untuk para wanita mengumpul pahala sebanyak yang mungkin dengan memohon perkara yang baik daripada ALLAH.
Dalam sebuah hadis Riwayat at-Tirmidzi, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tiada yang boleh menolak qada ALLAH kecuali doa dan tiada yang boleh menambah umur kecuali dengan berbuat amal kebajikan.”
3. Berselawat ke atas Nabi
Berselawat ke atas Nabi boleh dilakukan walaupun ketika haid. Selawat yang kita ucapkan akan sampai kepada Rasulullah. Ia juga adalah bukti kecintaan dan ingatan kita terhadap Baginda.
Selawat yang paling mudah dan ringkas yang boleh diamalkan ialah:
Allahumma Solli ‘Ala Muhammad Wa ‘Ala Aali Muhammad
“Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i)
Semudah berselawat, dosa akan terhapus. Sememangnya ALLAH sangat suka memberikan kemaafan kepada hamba-hamba-NYA yang rajin berselawat.
4. Istighfar
Ketika seseorang sedang haid, ALLAH sedang memberi cuti untuk menunaikan solat. Oleh itu, ambil sedikit masa untuk mengingati semua kekurangan diri serta kekurangan ibadah kita selama ini.
Baca juga Banyak rupanya kelebihan istighfar yang ramai tak sedar…
Banyakkan memohon taubat serta keampunan daripada ALLAH dengan istighfar. Sebutlah ‘astaghfirullah hal ‘aziim’. Sebagaimana Ibnu Abbas RA menyebut dalam sebuah hadis, bahawasanya Rasulullah bersabda:
“Barangsiapa yang sentiasa beristighfar, maka ALLAH akan memberikan kegembiraan dari setiap kesedihannya, dan kelapangan bagi setiap kesempitannya, dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah, dan Ahmad)
5. Menambahkan ilmu agama
Dengan perkembangan teknologi masa kini, segalanya sudah berada di hujung jari kerana berada dalam keadaan haid tidak menghalang seseorang untuk menimba ilmu.
Perkara yang boleh dilakukan ialah mengikuti kelas agama serta rancangan agama yang disiarkan di radio dan televisyen agar dapat mendalami ilmu agama dengan lebih mendalam. Rasulullah ada bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya ALLAH menujukkan jalan menuju syurga baginya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Semoga tiada lagi Muslimah yang ragu-ragu untuk menambah amalan dan pahala serta terus mendekatkan diri dengan ALLAH meskipun sedang datang bulan.
Foto: Sinar Plus, Canva