IMAM terkemuka United Kingdom (UK), Qari Muhammad Asim dipecat kerana dituduh mencetuskan protes terhadap filem ‘The Lady of Heaven’ mengenai anak perempuan Nabi Muhammad, Saidatina Fatimah Az-Zahra.
Pemecatan Qari yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Masjid dan Imam UK dibuat selepas beliau memuat naik hantaran dalam Facebook yang menjelaskan filem berkenaan ‘melukakan hati umat Islam’ kerana berbaur penghinaan agama.
Hantaran tersebut didakwa menjadi pencetus kepada aktiviti tunjuk perasaan di luar pawagam oleh sekumpulan penduduk Muslim di negara itu yang memaksa rangkaian panggung wayang kedua terbesar di dunia, Cineworld membatalkan semua tayangan filem berkenaan.
Surat dikeluarkan oleh kerajaan UK yang menjelaskan pelucutan berkenaan disebabkan hantaran beliau dalam Facebook itu tidak bersesuaian dengan statusnya sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Mengenai anti-Muslim.
“Pembabitan ketara beliau dalam protes berkenaan tidak selari dengan peranannya sebagai penasihat kerajaan,” kata kenyataan itu selain mendakwa kempen membantah tayangan yang disokong oleh Qari turut mencetuskan kebencian anti-Syiah oleh Sunni.
Ada apa dengan ‘The Lady of Heaven’
‘The Lady of Heaven’ adalah sebuah filem British yang ditulis oleh seorang ulama Syiah, Sheikh Yasser al-Habib mengisahkan kehidupan anak perempuan Nabi Muhammad, Saidatina Fatimah az-Zahra.
Dalam filem arahan Eli King berkenaan, seorang kanak-kanak dari Iraq bernama Laith belajar erti kesabaran melalui sejarah hidup Saidatina Fatimah yang diceritakan oleh ibu angkatnya.
Penerbit Eksekutif filem, Malik Shlibak berkata kepada Sky News, “Beliau (Fatimah) adalah tokoh terbaik untuk diteladani, terutamanya dalam menangani isu ekstremisme dan radikalisme. Kami rasa penting untuk masyarakat tahu tentang kisahnya.
Filem itu juga menggambarkan Saidatina Fatimah sebagai ‘mangsa keganasan yang pertama’.
Baca juga Hina Nabi Muhammad cetus kemarahan umat Islam
Reaksi umat Islam
Filem itu bagaimanapun menerima bantahan umat Islam di beberapa negara seperti Mesir dan Pakistan yang mengatakan ‘The Lady of Heaven’ mempunyai unsur kufur dan rasisme.
Karya Eli juga dikatakan memperlihatkan imej digital berupa Rasulullah SAW yang membangkitkan kemarahan orang ramai.
Selain itu, kritikan terhadap filem juga tertumpu kepada penggambaran beberapa watak sokongan termasuk sahabat Nabi Muhammad iaitu Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab dan Uthman Affan.
Cineworld in Sheffield UK Cancelled screening of £12m Film Lady of Heaven based on Lady Fatima one of daughters of Рrоphеt after Radical МцsIims picketed outside theatre & branded it 'blasphemous'. Manager confirmed film has been pulled to shouts of 'Аllahц Аkbar' #LadyOfHeaven pic.twitter.com/nTO82kpkzH
— Rosy (@rose_k01) June 8, 2022
Pada 5 Jun lalu, ratusan penunjuk perasaan Muslim berkumpul di luar pawagam Cineworld di Birmingham meminta agar tayangan filem dibatalkan.
Filem tersebut yang diterbitkan di Britain 3 Jun lalu terpaksa ditarik semula oleh pihak Cineworld selepas beberapa protes sama berlaku di bandar-bandar lain seperti Bolton dan Sheffield.
Rangkaian panggung wayang berkenaan berkata, tindakan itu dibuat atas faktor keselamatan khususnya membabitkan kakitangan dan pelanggannya.
Dalam masa sama, Maghribi mengharamkan tayangan filem ‘The Lady of Heaven’ di negara itu atas dasar menghina agama Islam.
Sumber: Utusan Malaysia & Berita Harian
Media: Imams Online, First Post & Twitter