Talam dua muka, hindari sikap dibenci Islam ini..
HIDUP kita dikelilingi dengan pelbagai ragam manusia. Walaupun sudah lama mengenali seseorang itu, namun sejauh mana karakter orang tersebut pasti sukar diterjemahkan.
Jika bertemu dengan seseorang yang baik akhlaknya, pasti senang di hati untuk setia sebagai kawan, akan tetapi jika di depan sahaja manis tutur katanya, di belakang lain pula jadinya, itulah hakikat sebenar perilaku bermuka-muka atau berpura-pura.
Ketahuilah perbuatan ini antara sifat yang paling dibenci dalam Islam sehingga ia mampu meruntuhkan institusi kekeluargaan dan menyebabkan pergaduhan dalam kalangan masyarakat.
Baca Juga Berhati-hati jika anda gilakan pujian, ada sebab kenapa ia dilarang agama
Menurut satu rakaman ceramah Ustaz Kazim Elias, individu sebegini merupakan golongan yang berpura-pura melakukan kebaikan, namun hakikatnya sekadar ingin menunjukkan kelebihan ataupun sekadar mempamerkan diri mereka sebagai orang beriman.
“Maka berhati-hatilah dengan orang seperti ini. Orangnya perangai yang cukup baik dengan pihak lain, namun berkata buruk dengan pihak lain. Mengadakan perkara yang tiada.
“Melaga-lagakan orang atau menjaja cerita tentang orang lain, sedangkan individu itu tidak terlibat dalam perbualan. Orang bermuka-muka ini kata mudahnya munafik,” jelasnya.
Individu yang bermuka-muka ini juga sering muncul di media sosial. Tingkah-laku yang berbeza, namun apabila tiba di media sosial, mereka ini mempamerkan perwatakan yang berlainan.
“Sekarang ini perbuatan fitnah itu terlalu mudah berlaku. Hanya dengan menaip sahaja sudah cukup untuk mengadakan perkara yang tiada. Perangainya cukup lemah lembut di hadapan orang lain, tetapi apabila orang itu tiada, dia mengata.
“Jangan ingat benda yang tidak betul itu dianggap kecil kerana hanya dilakukan di media sosial, tetapi sebenarnya besar di sisi ALLAH. Golongan sebeginilah yang paling dahulu masuk ke neraka,” terangnya.
Artikel Berkaitan
- Seburuk-buruk manusia adalah sebaik-baik jin, benarkah begitu?
- Sesungguhnya kerja harian itu cuma selingan sambil menunggu waktu solat
- Percayakan zodiak, tanpa sedar anda telah syirik…
- Perkahwinan sejenis di Malaysia? Jangan normalisasikan amalan songsang
- Tabung wang tidak patuh syariah, ketahui hukumnya di sisi Islam.
Selain perubahan sikap apabila berhadapan orang lain, mereka yang berkemampuan namun, enggan mengeluarkan sedikit harta mereka bagi membantu anak yatim dan fakir miskin.
Orang seperti ini turut disebut sebagai talam dua muka iaitu kedekut. Mereka mendirikan solat, tetapi tidak berkongsi rezeki atau memberi infak kepada jalan ALLAH.
“Moga mereka yang memiliki sikap sebegini segera berubah. Bertaubat sebelum terlambat dan ambil peluang yang ada untuk memperbaiki diri,” katanya.
ALLAH berfirman dalam kalam-NYA “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari TUHAN kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), ALLAH mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah al-Imran ayat 133 dan 134)
Baca Juga Tegur kesalahan secara terang-terangan dikira mengaibkan orang lain?
Dalam pada itu Ustaz Kasim turut berkongsikan beberapa tip bagi mengenali mereka yang mempunyai ciri talam dua muka;
1. Ketika berbual atau berkawan, individu itu asyik bercerita tentang keburukan orang lain.
2. Cuba kongsikan satu rahsia dan lihat sama ada heboh atau tidak kepada orang lain. Jika tidak, maka orang ini boleh dipercayai.
3. Apabila semua orang mengatakan hanya dia sahaja yang sering bercerita buruk tentang orang lain, tetapi dia tidak mengaku atau menyatakan maaf. Apa yang dilakukan hanya menafikan sahaja. Maka orang begini perlu dijaga-jaga.
4. Dia sering menceritakan tentang kelebihan yang dimiliki atau kehebatan ahli keluarganya.