Selepas dapat ‘title’ haji dan hajah, apa para hujjaj patut buat setelah balik haji?
SELEPAS ibadah haji selesai dilakukan, para jemaah haji kini beransur-ansur pulang ke tanah air masing-masing.
Detik itu antara momen melankolik yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Maklum sahajalah, selepas lebih sebulan di Tanah Suci, akhirnya balik haji dapat bersua dan berkumpul semula dengan ahli keluarga.
Meskipun ibadah Rukun Islam kelima itu sudah disempurnakan sebaiknya, usah pernah berasa puas hati. Apatah lagi ketika itu kita sudah pun mendapat gelaran ‘haji’ dan ‘hajah’.
Jangan hanyut dibuai dengan pangkat tersebut kerana kita masih lagi hamba ALLAH. Paling penting, istiqamahlah untuk terus beribadah dan melakukan kebaikan sebaik pulang selepas haji.
Baca juga Ibadah Haji tidak hanya sekadar mendapatkan pangkat ‘Haji’ dan ‘Hajah’
Apakah yang boleh dilakukan selepas haji?
Sinar Islam Plus memetik beberapa tip dan perkongsian dari laman web Muslim.or.id dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) yang boleh diamalkan oleh ‘haji’ dan ‘hajah’.
Berikut huraiannya:
1. Bersyukur kepada ALLAH SWT kerana memilih kita menjadi tetamu-NYA.
Daripada puluhan atau mungkin ratusan juta manusia di seluruh dunia, kita antara menjadi insan terpilih menjadi tetamu-NYA. Alangkah bertuahnya kita.
Baca juga Rehlah haji terjemahkan makna syukur dan sabar yang paling maksimum
Jadi zahirkanlah tanda kesyukuran kita itu dengan sebaiknya.
2. Bersangka baik kepada ALLAH SWT dan mengharapkan kebaikan yang melimpah.
Yakinlah bahawa Yang MAHA ESA akan menerima ibadah haji dan amalan serta mengampuni dosa-dosa silam kita.
3. Memperbanyakan berzikir.
Sentiasa basahkan lidah kita dengan zikrullah walaupun telah selesai menunaikan ibadah haji. Demikian juga antara pesanan Sheikh al-Maraghi dalam Tafsir al-Maraghi.
4. Berwaspadalah daripada terjatuh kembali ke dalam ‘lubang’ dosa dan maksiat.
Ya, kita bukan manusia yang maksum. Namun, cubalah sehabis daya untuk menghindarkan diri kita daripada perkara yang membinasakan.
5. Banyakkan berdoa.
Jika semasa menunaikan haji, kita sentiasa melazimi doa dari semasa ke semasa. Mengapa tidak ia diteruskan walaupun usai mengerjakan Rukun Islam kelima itu?
Baca juga Berdoa tidak perlukan lafaz khusus dan skrip
Sedangkan, ALLAH SWT memerintahkan hamba-hamba-NYA untuk berdoa kepada-NYA sebagaimana firman-NYA: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-KU, nescaya AKU perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadah dan berdoa kepada-KU, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Surah Ghafir, ayat 60)
6. Menjadi agen perubah.
Bunyinya begitu gah sekali dan agak sukar untuk dilaksanakan. Namun, percayalah andai seramai 4-6 juta jemaah haji saban tahun yang menunaikan ibadah itu berazam untuk memperbaiki diri dan menjadi agen perubah kepada masyarakat sekeliling, pasti ramai yang akan taat dan patuh kepada seruan Ilahi.
Tidak kiralah dalam soal memakmurkan rumah ALLAH, infak dan wakaf serta membina keluarga bahagia.
7. Sentiasa ke masjid dan berjemaah.
Memang kita akan kembali kepada rutin asal selepas pulang daripada menunaikan haji. Apa salahnya, cuba luangkan sedikit masa untuk ke masjid dan menunaikan solat berjemaah.
Amalan itu biasa dilakukan ketika di Makkah dan Madinah. Pasti kita akan biasa lakukan di tanah air sendiri, selain melahirkan suasana harmoni. Pada masa sama, masjid-masjid pasti akan dipenuhi dan sentiasa dimakmurkan.
Sesungguhnya, kesempatan mengunjungi Kaabah bukan suatu yang mudah. ALLAH SWT sudah memberikan peluang keemasan itu kepada kita dengan panggilan haji. Justeru, usah sia-siakan nikmat yang diberikan oleh ALLAH SWT itu.
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus.