Browsing Category

Ibadah

korban luar negara
Ibadah,

Korban luar negara, adakah berbeza larangan memotong kuku dan rambut?

JIKA dilihat di media sosial kini, ramai asatizah yang mempromosikan untuk melaksanakan ibadah korban di luar negara.

Bagi mereka yang berkemampuan, pasti tidak akan melepaskan peluang untuk sama-sama membantu saudara Muslim di luar negara yang tidak mampu untuk berkorban.

Besarnya ibadah ini sehinggakan ada pandangan yang mewajibkannya. Manakala dalam mazhab kita di Malaysia iaitu mazhab Syafie hukumnya adalah sunnah kifayah bagi yang berkemampuan.

Baca Juga Jual semula lembu sedekah untuk ibadah korban, apa hukumnya?

Umum mengetahui, apabila menjelang sahaja awal bulan Zulhijjah sehinggalah hari pelaksanaan sembelihan, umat Islam yang berniat untuk menunaikan ibadah korban disarankan untuk tidak memotong kuku dan bulu-bulu di badan.

Larangan ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah, yang bermaksud “Zulhijjah, maka janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban“.

DALAM mazhab Syafie hukum melaksanakan korban adalah sunnah kifayah bagi yang berkemampuan.

Menurut Imam al-Nawawi, memotong kuku dan rambut pada sepuluh hari awal bulan Zulhijjah bagi mereka yang berniat untuk melakukan ibadah korban adalah makruh. Mazhab Syafie juga menyatakan bahawa larangan tersebut berlaku sehingga haiwan korban itu disembelih.

Bagi mereka yang bakal melaksanakan korban di luar negara, antara persoalan yang menjengah di fikiran adalah, bagaimana dengan mereka yang melakukan korban di luar negara yang berbeza tarikh hari raya Aidiladha, adakah larangan memotong kuku dan rambut itu sama?

ARTIKEL BERKAITAN 

Merujuk laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Syeikh Ibrahim al-Baijuri menyatakan bahawa mereka yang melakukan korban disunatkan untuk tidak memotong kuku dan rambut sehingga haiwan korban tersebut disembelih, walaupun ia disembelih pada hari terakhir hari tasyrik.

Bagi mereka yang melaksanakan ibadah korban pada hari Jumaat, ia juga adalah makruh untuk memotong kuku. Hal ini dikaitkan dengan keinginan mendapatkan ganjaran pengampunan dosa dan kebebasan daripada api neraka.

MEREKA yang melakukan korban disunatkan untuk tidak memotong kuku dan rambut sehingga haiwan korban tersebut disembelih. 

Oleh itu, larangan memotong kuku dan rambut bagi mereka yang melaksanakan ibadah korban bermula pada 1 Zulhijjah mengikut waktu Malaysia.

Walau bagaimanapun, tarikh Zulhijjah mungkin berbeza mengikut negeri, dan oleh itu, larangan tersebut akan gugur setelah haiwan korban disembelih.

Larangan memotong kuku dan rambut juga berlaku bagi mereka yang melaksanakan ibadah korban di luar negara dengan tarikh hari raya Aidiladha yang berbeza dan larangan ini terpakai sehingga selesai haiwan korban disembelih.

Ibadah korban bertujuan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dan merupakan salah satu syiar agama Islam yang menghidupkan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS, dalam melaksanakan segala perintah ALLAH.

Dengan mematuhi larangan ini, umat Islam dapat menjalankan ibadah korban dengan sempurna dan mendapatkan keberkatan daripada ALLAH SWT.

cecair wanita
Ibadah,

Kenali 10 cecair yang keluar dari wanita, ada yang membatalkan solat

Kenali 10 cecair yang keluar dari wanita, ada yang membatalkan solat

“EH, semalam ‘check’ macam sudah tak ada kesan darah. Tetapi masuk tengahari tiba-tiba ada pula kesan kekuningan. Ini keputihan atau masih darah haid? Kelirulah.”

Ramai wanita memang keliru apabila timbul isu sebegini. Apalagi perkara ini tidak boleh dibawa main kerana agama melarang kita melakukan ibadah tertentu jika mengalami hadas besar.

Dalam hal ini, kaum Muslimah terutamanya perlu lebih prihatin memandangkan ada pelbagai cairan selain darah haid yang boleh keluar daripada faraj dek proses biologi semulajadi.

Baca juga Rupanya sudah 15 tahun ibadah tidak sah gara-gara tidak sempurna mandi wajib

cecair wanita

MUSLIMAH perlu ambil tahu tentang perkara ini untuk memastikan ibadah sah dan diterima oleh ALLAH. Foto: Pexels

Sebagaimana dikongsikan oleh seorang warga maya, Husna Ghani di Instagram, ada 10 jenis cecair yang boleh keluar daripada faraj wanita.

Tambahan, setiap daripada cecair tersebut mempunyai hukum berbeza dari sudut najis dan bagaimana ia boleh dikategorikan sebagai hadas besar atau hadas kecil.

ARTIKEL BERKAITAN

Proses semulajadi wanita
1. Air kencing.
Cecair yang pertama adalah air kencing. Air kencing dikira sebagai najis yang berhadas kecil. Jadi jika ia terkena pada badan, pakaian ataupun tempat solat, maka solat yang didirikan menjadi tidak sah.

Oleh itu, cecair ini perlu dicuci sehingga bersih, kemudian barulah boleh menunaikan ibadah seperti biasa.

2. Air mazi.
Manakala kedua pula ialah air mazi. Warnanya putih, halus dan melekit. Kebiasaannya, cecair ini akan keluar ketika mula-mula wanita naik syahwat.

Dari segi hukum, air mazi adalah najis tetapi tidak dianggap berhadas besar. Oleh itu, tidak perlu melakukan mandi wajib untuk menunaikan ibadah. Sebaliknya, hanya perlu membersihkan kemaluan dan seterusnya mengambil wuduk seperti biasa.

cecair wanita

KELUARNYA cecair daripada wanita merupakan suatu fenomena biologi normal. Foto: Pexels

3. Air mani.
Yang ketiga pula ialah air mani. Air mani ini biasanya keluar dengan cara memancut. Warnanya pula putih dan pekat serta akan keluar apabila seorang wanita berada pada tahap syahwat paling kemuncak.

Untuk pengetahuan, air mani dianggap suci namun keluarnya cecair ini adalah hadas besar. Maka, wanita itu perlu melaksanakan mandi wajib terlebih dahulu sebelum hendak beribadat.

4. Air wadi.
Seterusnya, air wadi merupakan sejenis cairan yang keruh dan pekat. Kepekatannya hampir sama dengan air mani. Yang berbeza adalah dari sudut kekeruhan warna air wadi yang tidak berwarna.

Air wadi biasanya keluar selepas kencing ataupun apabila kita mengangkat benda berat. Tidak semua wanita alami air wadi. Selain itu, hukum bersuci bagi cecair ini adalah sama seperti air kencing.

5. Keputihan.
Yang kelima ialah keputihan. Keputihan ini biasanya warna putih ataupun kadang-kadang warna kuning cair yang keluar daripada batin faraj. Kalau warna kuning cair itu keluar dalam tempoh haid, maka ia dihukumkan sebagai haid.

Tetapi jika ia keluar di luar waktu haid maka keputihan itu dikira suci. Selain itu, keputihan adalah najis dan ia perlu bersihkan dahulu sebelum beribadat.

ILMU itu dikongsikan oleh seorang wanita bernama Husna Ghani di laman Instagram miliknya. Foto: husnaghani_/Instagram

6. Darah haid.
Kemudian, yang keenam adalah darah haid. Darah haid adalah darah semulajadi yang keluar daripada rahim wanita dalam tempoh tertentu.

Hukum darah haid adalah najis yang berhadas besar. Ketika haid, wanita dihalang daripada melakukan ibadah tertentu seperti solat dan melafazkan ayat suci al-Quran.

Umum mengetahui bahawa sebaik sahaja seorang wanita selesai daripada kitaran haidnya, dia perlu melakukan mandi wajib sebelum boleh menunaikan ibadah semula.

7. Darah nifas.
Cecair ketujuh ialah darah nifas. Darah nifas keluar setelah kosongnya rahim selepas kehamilan.

Dalam pada itu, tidak semestinya perlu keluar bayi baru berlaku darah nifas. Sekalipun ia hanya segumpal darah ataupun seketul daging, namun jika telah disahkan sebagai janin oleh doktor, maka darah yang keluar selepas itu turut dihukumkan sebagai darah nifas.

Hukum bersuci adalah sama seperti darah haid.

8. Darah istihadah.
Yang kelapan, darah istihadah ataupun darah fasad. Secara ringkas, ia adalah darah yang keluar bukan dalam tempoh haid ataupun nifas.

Dari segi hukum, wanita yang mengalami darah istihadah boleh menunaikan ibadat seperti biasa sebagaimana dilakukan ketika dalam keadaan suci.

9. Darah at-Talaq.
Darah jenis ini keluar ketika wanita sakit hendak bersalin (contraction). Jika darah itu keluar bersambung dengan haid maka ia dikira haid.

Namun, andai darah itu keluar dan tidak bersambung dengan haid sebelumnya, maka ia dihukumkan sebagai istihadah dan wajib solat seperti biasa.

10. Darah wiladah.
Yang terakhir adalah darah wiladah. Darah ini keluar bersama ketika melahirnya seorang bayi. Sama juga dengan situasi darah yang keluar bersama segumpal darah ataupun seketul daging bagi wanita yang keguguran.

Kalau wanita itu periksa dan tidak ada darah nifas yang keluar selepas dia bersalin, maka dia hendaklah mandi wajib kerana darah wiladah serupa dengan keadaan janabah.

Justeru, kaum Muslimah harus ambil tahu 10 jenis cecair ini untuk memastikan ibadah anda sah dan diterima ALLAH.

Sumber: Instagram Husna Ghani

Foto: Pexels & Instagram

Zulhijah
Ibadah,

10 awal Zulhijah janjikan pahala berganda

10 awal Zulhijah janjikan pahala berganda..

SEMALAM, satu pengumuman rasmi telah dimaklumkan oleh Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Datuk Mohd Aseral Jusman bahawa umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidiladha pada 29 Jun ini.

Ini menunjukkan permulaan awal Zulhijjah telah bermula dan pada bulan ini kita digalakkan untuk memperbanyakkan amal soleh terutamanya 10 hari pertama di bulan Zulhijjah.

Walaupun ada antara kita yang tidak berkesempatan untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci, namun, kita masih berpeluang untuk beribadah pada bulan istimewa ini.

Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas RA, Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh ALLAH untuk dilakukan melainkan hari-hari ini, baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijjah-.”Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan ALLAH tidak dapat menandinginya? ”Baginda bersabda,”Walaupun jihad di jalan ALLAH tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Terdapat pelbagai amalan boleh dilaksanakan untuk mendekatkan diri dan meningkatkan ketakwaan kepada ALLAH SWT di 10 hari awal Zulhijah ini seperti dikongsi oleh Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Dr Azri Bhari.

AWAL Zulhijjah, bulan yang penuh dengan keistimewaan yang besar.

Antara amalan boleh dilaksanakan bagi meraih kelebihan dan keistimewaan di sisi ALLAH SWT adalah seperti berikut.

Pertama adalah solat. Ibadah solat adalah amalan pertama sekali dihisab pada hari akhirat kelak. Solat sunat berperanan menyempurnakan kekurangan berlaku atau terdapat pada solat fardu lima waktu. Umat Islam boleh membiasakan diri mendirikan pelbagai solat sunat antaranya solat sunat rawatib, tahajjud dan witir.

Oleh kerana 10 hari awal Zulhijjah ini hari amal ibadah dilakukan padanya paling disukai ALLAH SWT, maka amalan solat sunat wajar dipertingkatkan dan diperbanyakkan.

ARTIKEL BERKAITAN

Kedua, berpuasa. Ibadah puasa yang juga amalan paling utama pada hari pertama hingga sembilan Zulhijjah ini. Kelebihan berpuasa terdapat di dalam hadis qudsi bermaksud; “ALLAH SWT berfirman: Semua amal ibadah anak Adam adalah bagi dirinya sendiri kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu adalah untuk-KU dan AKU sendiri mengurniakan ganjaran pahala baginya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Berpuasa menjadi sunah Nabi SAW seperti hadis bermaksud; “Empat perkara tidak pernah ditinggalkan Rasulullah – puasa Asyura, puasa 10 hari awal Zulhijjah), puasa tiga hari setiap bulan dan dua rakaat sebelum subuh.” (Hadis Riwayat Nasai)

Ketiga, mengingati ALLAH SWT. Pada hari sangat dicintai ALLAH, amalan sangat baik dialukan umat Islam adalah berzikir, bertakbir, tahmid, tasbih dan tahlil.

salah faham

HARI Arafah pada tanggal 9 Zulhijjah merupakan salah satu masa paling mustajab untuk memanjatkan doa kepada ALLAH SWT.

Segala bentuk amalan mengingatkan kita kepada ALLAH sangat dituntut seperti maksud hadis Nabi SAW: “Tiada hari lebih agung dan disukai ALLAH untuk beramal soleh selain 10 hari ini. Maka, banyakkan tahlil, takbir dan tahmid kepada-NYA.” (Hadis Riwayat Ahmad).

Keempat, melaksanakan ibadah korban. Ia adalah satu ibadah agung menerusi peristiwa Nabi Ibrahim diperintah mengorbankan anaknya, Nabi Ismail.

Kelima, bertaubat dan memohon keampunan (istighfar) kepada ALLAH SWT. Setiap umat Islam perlu berterusan melakukan taubat yang sebenar-benarnya, meninggalkan segala dosa dan maksiat.

Baca Juga Persiapan Masya’ir haji capai 60%, jemaah siap sedia ke Arafah

Keenam, memperbanyakkan berdoa. Hadis Nabi SAW bermaksud; “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Hadis Riwayat Malik).

Amalan terbaik pada hari wukuf di Arafah adalah berdoa kepada ALLAH SWT. Ia waktu berdoa paling mustajab dan paling dekat untuk dimakbulkan.

Selain amalan dinyatakan di atas, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan soleh seperti bersedekah, membaca al-Quran, menuntut ilmu dan sebagainya.

Justeru, keistimewaan dan kelebihan ALLAH SWT kurniakan pada 10 hari awal Zulhijjah ini perlu direbut umat Islam meraih cinta dan kasih sayang ALLAH SWT.

solat baju ketat
Ibadah,

Muslimah solat dengan pakaian ketat, sah atau tidak?

Muslimah solat dengan pakaian ketat, sah atau tidak?

MENUTUP aurat adalah syarat sah solat, baik bagi lelaki mahupun perempuan. Oleh itu, sekiranya aurat kita terdedah tanpa sengaja semasa solat, maka kita diwajibkan untuk menutupnya dengan segera dan boleh meneruskan ibadah seperti biasa.

Namun, jika orang yang solat itu lalai dan membiarkan auratnya terbuka tanpa segera ditutup, maka solatnya akan terbatal dan hendaklah dimulakan semula.

Secara umumnya, aurat ketika solat bagi kaum muslimah adalah keseluruhan tubuh badan selain muka dan tapak tangan.

Malah, ada segelintir masyarakat berpendapat bahawa golongan wanita juga harus mengenakan pakaian labuh yang tidak menampakkan tubuh badan sebagai salah satu syarat sah solat.

Pun begitu, apakah hukum di sebalik melaksanakan solat dalam keadaan berpakaian baju atau seluar ketat? Adakah sah solat yang dilakukan?

Jatuh haram, jika lelaki ajnabi tengok

Untuk pengetahuan, menurut para ulama, kadar yang dikira menutup aurat ketika solat adalah tidak menampakkan warna kulit.

Justeru, makruh hukumnya bagi seorang perempuan menunaikan solat dalam keadaan berpakaian ketat. Solatnya pula tetap sah asalkan pakaian tersebut menutup aurat.

Pun begitu, perkara ini hanya dibenarkan jika wanita itu berada bersama mahramnya seperti sesama jemaah Muslimah lain.

Maka, jika ada lelaki bukan mahram yang melihat, maka hukumnya adalah HARAM bagi perempuan melaksanakan solat ketika berpakaian ketat walaupun solatnya itu sah.

Hal tersebut ada dijelaskan oleh ulama Syeikh Khatib as-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj. Katanya:

“Adapun nampak bentuk badan itu maka tidak membatalkan akan tetapi makruh hukumnya bagi perempuan dan khilaful awla bagi lelaki. (Kitab Mughni al-Muhtaj)

4 tip menunaikan solat tanpa telekung

Berikut tip yang perlu dititikberatkan oleh kaum Muslimah apabila ingin menunaikan solat tanpa telekung.

1. Memakai pakaian yang longgar dan tidak jarang.
Pakaian yang dipakai haruslah jenis kainnya tebal dan mampu menyembunyikan warna kulit dan tidak menampakkan sifat anggota badan.

Kain yang terlalu nipis atau jarang sehingga menampakkan warna kulit atau anggota badan yang ada di sebalik kain tersebut maka ia tidak sah dibawa bersolat kerana tidak mencapai tujuan menutup aurat.

Sekiranya kain tersebut dapat menyembunyikan warna kulit tetapi menampakkan bentuk dan ukuran tubuh badan, maka sah bersolat dengannya kerana ia tidak dapat dielakkan sekalipun memakai kain tebal.

Begitu pun, ulama mazhab Syafie berpendapat hukum memakai kain sedemikian adalah makruh dan sebaik-sebaiknya dielakkan.

Selain itu, makruh hukumnya bagi pemakaian baju t-shirt ketat yang menampakkan bentuk pinggul dan dada.

2. Tudung labuh melepasi dada.
Tudung yang dibolehkan ketika solat ialah tudung yang menutup rambut wanita dengan sempurna, tidak jarang sehingga menampakkan leher dan labuh sehingga menutupi dada.

3. Menutup kaki.
Kaki antara aurat yang wajib ditutup bagi wanita ketika solat. Dalam sebuah riwayat daripada Ummu Salamah RA, beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW,

Adakah boleh seorang perempuan itu solat dengan memakai baju dan tutup kepala tanpa memakai izar (kain yang dipakai di bahagian bawah badan).” Nabi SAW menjawab: “Boleh, sekiranya baju itu labuh menutupi zahir kedua kaki.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Bagi pemakaian stoking pula harus dari jenis kain yang tebal dan tidak menampakkan warna kulit si pemakai.

4. Menutup pergelangan tangan.
Dalam mazhab Syafie, aurat wanita di dalam solat adalah keseluruhan anggota badan wanita kecuali muka dan kedua tapak tangan yang zahir dan batin, iaitu dari hujung jari sehinggalah ke pergelangan tangan.

Jadi, pastikan bahagian tangan ditutup sehingga ke pergelangan tangan ketika menunaikan solat tanpa telekung.

Anda juga boleh memakai sarung lengan (handsock) untuk mengelakkan aurat lengan anda terselak sewaktu solat.

Apa pun, diingatkan bahawa aurat wanita di dalam solat sama sahaja seperti auratnya ketika di luar solat.

Niat buat korban
Ibadah,

Jual semula lembu sedekah untuk ibadah korban, apa hukumnya?

Jual semula lembu sedekah untuk ibadah korban, apa hukumnya?

HAMPIR sahaja Hari Raya Aidiladha, kadangkala tibanya sumbangan daripada insan-insan tertentu yang memberi lembu sedekah untuk dikorbankan.

Lazimnya, ia disumbangkan oleh pihak seperti pemimpin kawasan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seumpamanya yang diagihkan di surau-surau kariah atau kawasan tertentu.

Bagaimanapun, ada cerita kurang enak didengari. Terdapat pihak tertentu yang menjual semula lembu atau haiwan sedekah tadi kepada individu yang hendak melakukan ibadah korban.

Hasil yang diperoleh daripada jualan tadi akan dimasukkan ke dalam tabung surau.

Bolehkah lembu sedekah tadi dijual semula untuk ibadah korban?

Baca juga Patuhi Akad Wakalah Ketika Urus Ibadah Korban

Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, andai lembu yang disedekahkan oleh Yang Berhormat (YB) atau pemimpin tersebut jelas untuk tujuan korban, maka pihak surau atau masjid dilarang sama sekali menjual lembu sedekah tersebut.

DR SYED SHAHRIDZAN

“Ia sekalipun hasil jualan itu digunakan untuk faedah surau atau masjid.

“Ini kerana hukum menjual lembu itu jelas haram hukumnya kerana tidak menunaikan syarat yang telah ditetapkan oleh penderma,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Lantaran itu, pendakwah itu mengingatkan agar pihak jawatan kuasa surau atau masjid wajib mencari tujuh nama (bagi seekor lembu) yang dirasakan sesuai untuk dijadikan peserta korban secara percuma.

“Ia seperti golongan fakir miskin yang tidak mampu melaksanakan ibadah korban,” ungkapnya.

Pendekatan itu katanya, ia selari dengan kaedah fiqh yang menyatakan ‘Saluran hasil itu berdasarkan apa yang pewakaf syaratkan’.

“Jika hasil daripada wakaf disyaratkan oleh pewakaf supaya disalurkan kepada individu atau kelompok tertentu, maka wakil tadi wajib melaksanakan apa yang dimaksudkan oleh si pewakaf tadi.

Baca juga Telus Isytihar Jumlah Kos Pengurusan Jika Libatkan Wang Sumbangan Orang Ramai

“Selain itu, terdapat kaedah lain yang menyebut ‘Pensyaratan pewakaf umpama nas daripada pensyariat (ALLAH dan Rasul-NYA’ dan ‘Pensyaratan pewakaf wajib diikuti sepertimana yang dinyatakan oleh mereka (para ulama) iaitu pensyaratan pewakaf umpama nas daripada pensyariat’ iaitu pada kewajipan menunaikannya,” ungkapnya.

Mengukuhkan lagi jawapan tersebut, Dr Syed Shahridzan kemudian mengemukakan pandangan para fuqaha empat mazhab yang menyatakan kedudukan sedekah sama seperti wakaf (walaupun terdapat sedikit perbezaan).

Jual semula lembu

PEMEGANG amanah atau wakil wajib menunaikan pensyaratan penderma. Begitu juga halnya dalam lembu sedekah untuk tujuan korban yang tidak boleh dijual semula. -Foto: 123rf

“Berdasarkan kaedah yang dinyatakan tadi, wakil atau pemegang amanah wakaf atau sedekah wajib menunaikan pensyaratan pewakaf/ penderma.

“Andai penderma meletakkan inisiatif agar wang yang didermakan kepada kelompok tertentu, maka ia seumpama syarat yang telah ditetapkan oleh penyumbang, maka pemegang amanah wajib menyalurkan apa yang telah diniatkan oleh penderma,” katanya.

Begitu juga dalam bab hibah (pemberian). Pendakwah itu menjelaskan, jika seseorang memberi wang kepada rakannya agar membeli sesuatu, maka si penerima wajib membeli apa yang telah diamanahkan oleh si pemberi.

Baca juga Tak boleh guna hasil derma masyarakat awam sewenang-wenangnya kecuali untuk golongan disasarkan

“Penerima tidak boleh mengingkari tujuan hibah dengan membeli barangan selain apa yang ditetapkan oleh si pemberi, melainkan tiada ketetapan dari pemberi,” terangnya.

Justeru, jika ada pihak yang menyumbang haiwan korban untuk dikorbankan pada hari raya haji nanti, jangan pula dijual kepada individu yang hendak melakukan ibadah berkenaan.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Amalan simple dijamin masuk syurga
Ibadah,

Konsisten buat 4 amalan ‘simple’ ini, insya-ALLAH dijamin syurga

Konsisten buat 4 amalan ‘simple’ ini , insya-ALLAH dijamin syurga

SEKADAR ‘meratib’ mahu masuk syurga sahaja tiada gunanya andai kita langsung tidak berusaha untuk melakukan perkara yang melayakkan diri ke jannah.

Benar, tiada rezeki yang datang bergolek. Sama juga sepertimana impian kita mahu memasuki syurga ALLAH SWT.

Sudah tentu bekalan amalan yang disemai melalui ibadah dan kebaikan serta tindak-tanduk dilakukan menjadi taruhannya.

Semakin banyak timbangan amal, maka jalan kita menuju ke syurga akan semakin luas.

Baca juga 6 amalan membawa ke syurga. Mungkin anda pernah lakukan tanpa sedar

Tidak semestinya kita perlu bersedekah dalam jumlah yang besar atau solat berjemaah di masjid saban waktu, banyak cara lain lagi untuk kita mudah meraih ganjaran pahala.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi berkongsikan amalan ‘simple’ yang dijamin oleh ALLAH dan Rasul-NYA masuk ke jannah.

DR AHMAD SANUSI

Beliau menyenaraikan empat amalan ringkas berikut sebagaimana dikongsikan dalam laman sosial Facebook miliknya:

1. Baca doa selepas berwuduk.

Baca juga Terbentang luas jalan ke Jannah kerana istiqamah jaga doa selepas berwuduk

Ramai yang meremehkan hal itu, sedangkan rugi andai kita meninggalkannya.

Ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda: “Barang siapa yang mengambil wuduk, dan kemudian dia membaca ‘Asyhadu alla ilaha illallah, wa asyhadu anna Muhammadan ‘abduhu wa rasuluh’, maka ALLAH akan membuka baginya lapan pintu syurga dan dia boleh memilih untuk memasukinya dari mana-mana pintu yang dia kehendaki.” (Hadis Riwayat Muslim)

2. Menjawab setiap lafaz azan.

Baca juga Makruh tak jawab azan lebih-lebih lagi bila kita dengar dengan jelas

Barangkali ada yang mendengar azan, tetapi langsung tidak berusaha untuk menyahutnya. Hanya sekadar masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Amalan 'simple'

SAMA-SAMA kita berusaha menjawab azan apabila mendengar seruan itu yang menjadi antara amalan ‘simple’ dijamin masuk syurga. -Foto: 123rf

Selepas ini, apa kata kita berusahalah untuk menjawab seruan mulia itu ketika ia dilaungkan oleh muazin. Ini kerana perkara tersebut ada diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat dalam sebuah hadis yang panjang.

Pada akhir hadis berkenaan, Baginda SAW menjelaskan bahawa sesiapa yang berbuat demikian: “Maka telah pasti ke atas dirinya syurga.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i)

3. Membaca ayat Kursi selepas solat.

Baca juga Ayat Kursi Paling Agung Dalam Al-Quran, Rugi Jika Kita Tidak Amalkannya

Usai mendirikan solat, usah cepat-cepat beredar dari tikar sembahyang. Sebaliknya, bacalah ayat Kursi terlebih dahulu.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Barang siapa yang membaca ayat Kursi setiap kali selesai dari solat, maka tidak ada perkara yang akan menghalangnya untuk masuk ke syurga melainkan kematian.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i)

4. Beri salam apabila masuk rumah.

Amalan simple

BERI salam ketika hendak masuk rumah merupakan antara amalan ‘simple’ dijamin masuk syurga. -Foto: Freepik

Sekalipun tiada orang di dalam rumah, berilah salam sebelum kita memasuki kediaman berkenaan.

Sabda Baginda SAW: “Terdapat tiga golongan yang dijamin oleh ALLAH sekiranya dia hidup, dia akan diberikan rezeki dan kecukupan, dan sekiranya dia meninggal, ALLAH akan memasukkan dia ke dalam syurga. Yang pertama: Sesiapa yang memasuki rumah dan memberi salam kepada ahli keluarganya, maka ALLAH memberi jaminan baginya…” (Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Baca juga Beri salam bila masuk rumah walaupun tak ada orang. Ini sebab-sebabnya…

Lihat, betapa mudahnya amalan yang disarankan tersebut. Bergantung kepada kita untuk melakukannya atau tidak.

Tidak salah membuatnya perlahan-lahan, lama-kelamaan ia akan menjadi kebiasaan dan rutin kita selepas ini.

***Foto: Canva

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Bercakap ketika berwuduk
Ibadah,

Walaupun sah, tapi elakkan bercakap ketika berwuduk

Walaupun sah, tapi elakkan bercakap ketika berwuduk

KETIKA sedang berwuduk, ada orang bertanyakan sesuatu kepada kita. Mahu atau tidak, kita membalas ringkas pertanyaan berkenaan sambil meneruskan ambil air sembahyang tersebut.

Rasanya ramai yang pernah berbuat demikian sebelum ini. Kadangkala perkara itu bukan disengajakan pun kerana tiba-tiba sahaja orang mengajukan pertanyaan pada masa itu.

Namun begitu, ada juga individu yang bercakap-cakap ketika mengambil wuduk. Pelik juga apabila difikirkan, seolah-olah tiada waktu lain pula untuk bersembang.

Baca juga Usah melampau ketika berwuduk

Bolehkah kita bercakap ketika sedang berwuduk? Apa pandangan Islam mengenainya?

Bagi menjawab tanda tanya itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus mengemukakan pandangan Mufti Mesir, Dr Syauqi Ibrahim ‘Alam tentang perkara tersebut.

USTAZ AZHAR IDRUS. Foto: Google

Dalam Darul Ifta Misr, Dr Syauqi Ibrahim menyatakan: “Bercakap-cakap di pertengahan wuduk tanpa hajat itu dikira meninggalkan adab-adab berwuduk di sisi Mazhab Hanafi dan makruh di sisi Mazhab Maliki dan khilaful awla di sisi Mazhab Syafie dan Hanbali.”

Menjelaskan maksud khilaful awla, Ustaz Azhar Idrus berkata, ia bermakna menyalahi yang lebih utama.

“Maksudnya, jika seseorang itu tidak bercakap, maka ia lebih elok, tetapi jika bercakap kerana hajat, maka hakumnya adalah harus,” katanya sebagaimana dipetik menerusi infografik yang disiarkan di Instagram miliknya.

Dalam pada itu, agamawan itu menegaskan, makruh bercakap ketika sedang mengambil wuduk jika tiada hajat, tetapi wuduknya tetap sah.

Baca juga Ini Perkara Makruh Ketika Wuduk Yang Sering Dilakukan Tanpa Sedar

“Maka disunatkan seseorang itu meninggalkan perbuatan bercakap dan berbual ketika mengambil air sembahyang.

“Adapun, jika bercakap kerana hajat, maka hukumnya adalah harus, tidak makruh,” katanya dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Hujah itu dikuatkan lagi dengan pernyataan yang dikeluarkan oleh Syeikh Ibn Hajar dalam Kitab Minhajul Qawwim: “Dan sunat bahawa tidak berkata-kata pada sekalian wuduknya.”

Bercakap ketika berwuduk

JIKA ada keperluan bercakap ketika berwuduk, diharuskan untuk berbuat demikian. -Foto: 123rf

Begitu juga dalam Kitab I’anah at-Talibin yang menyatakan: “Maksud meninggalkan berkata-kata itu adalah disunatkan meninggalkan bercakap pada ketika sedang mengambil wuduk.”

Ustaz Azhar Idrus turut mengingatkan bahawa biarlah bercakap kerana keperluan itu melibatkan perkara makruf dan mencegah kemungkaran.

“Kadangkala wajib seperti dalam situasi orang berwuduk melihat orang buta yang berjalan menuju ke perigi.

Baca juga Wuduk gugurkan dosa kecil, perhati setiap anggota sunat ketika bersuci

“Meskipun bercakap atau berbual ketika berwuduk itu hanya makruh dan tidak haram, tetapi meninggalkan perbuatan itu adalah adab yang baik,” ungkapnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

wanita menyebut aamiin
Ibadah,

Bolehkah makmum wanita menyebut ‘aamiin’ dengan kuat ketika solat berjemaah?

Bolehkah makmum wanita menyebut ‘aamiin’ dengan kuat ketika solat berjemaah?

ADA sebuah hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA yang menyebut: “Apabila imam mengucapkan ‘amiin’, maka ucapkanlah ‘amiin’. Kerana barangsiapa yang ucapan amiinnya bersamaan dengan amiinnya malaikat, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat an-Nasaie)

Melalui dalil ini, dapat kita faham bahawa ucapan ‘amiin’ adalah sunat. Ia sunat disebut oleh makmum usai sahaja imam menyebut ‘amiin’ pada penghujung bacaan al Fatihah.

Baca juga Sebut ‘amin’ selepas imam baca al-Fatihah, akan berguguranlah dosa yang telah lalu

Turut disyorkan Jangan sesekali tinggal subuh berjemaah di masjid, itu tanda orang beriman

wanita menyebut aamiin

MENURUT hadis, umat Islam disunatkan menyebut ‘aamiin’ ketika solat berjemaah. Foto: 123RF

Selalunya, dalam solat berjemaah, makmum lelaki akan mengeraskan suara ketika menyebut ‘amiin.’ Jumhur ulama berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat (dibaca selepas imam) kerana pada waktu ini, para malaikat yang mendengarnya juga turut mengaminkan bersama.

Namun, adakah makmum perempuan juga dibolehkan untuk mengeraskan sebutan ‘amiin’ semasa solat berjemaah dengan imam lelaki atau imam perempuan?

Baca juga [Video] Perlukah buka tabir tempat muslimat ketika solat berjemaah?

Turut disyorkan Boleh sujud atas belakang makmum hadapan kerana ruang sempit, begini kaedahnya

wanita menyebut 'aamiin'

JIKA melaksanakan solat, sebaik-baiknya lakukan secara berjemaah kerana pahalanya 27 kali ganda jauh lebih baik berbanding didirikan secara bersendirian. Foto: 123RF

Dalam hal ini, kita akan melihat kepada dua situasi;

1. Makmum perempuan yang berimamkan lelaki.
Tidak disunatkan mengeraskan bacaan ‘amiin’ ketika ia menunaikan solat berjemaah di tempat awam dan wujud ajnabi yang tidak dikenali (bukan dari kalangan ahli keluarga mereka).

Jumhur ulama berpendapat demikian bagi mengelakkan timbulnya fitnah dan menghilangkan kekhusyukan jemaah lain.

Hal ini juga disebabkan hukum asal bagi perempuan adalah dengan mengecilkan suaranya dalam solat terutamanya jika dikhuatiri menimbulkan fitnah.

Ibnu Hajar menyebut, “Wanita tidak diperkenankan mengucapkan ‘subhanallah’ ketika ingin mengingatkan imam. Wanita diperintahkan untuk memperlahankan suaranya dalam solat. Hal ini kerana dibimbangi boleh menimbulkan godaan.” (Fath Al-Bari, 3:77)

Baca juga Bersendirian di saf belakang atau berada lebih tinggi dari imam, antara posisi makruh makmum perlu elak ketika solat berjemaah

Turut disyorkan Kuwait larang imam baca al-Quran guna telefon bimbit semasa solat berjemaah, ini tatacara sebenar melihat mushaf ketika solat

KEBIASAANNYA, dalam solat berjemaah, makmum lelaki akan mengeraskan suara ketika menyebut ‘amiin.’ Foto: BERNAMA

2. Makmum perempuan yang berimamkan perempuan.
Adapun, jika wanita itu menunaikan solat berjemaah bersama dengan imam perempuan atau imam lelaki yang mahram dengannya (seperti adik beradik, bapa atau suami), maka dia boleh mengeraskan bacaannya. Sama juga jika wanita tersebut menunaikan solat secara bersendirian.

Hal ini adalah berdasarkan pendapat daripada kebanyakan ulama Syafi’e yang telah dinukilkan oleh Imam Nawawi.

Kesimpulannya, dibolehkan untuk wanita mengeraskan sebutan ‘amiin’ jika terhindarnya daripada fitnah seperti menunaikan solat berjemaah bersama ahli keluarga atau bersendirian.

Namun, jika menunaikan solat di tempat umum seperti masjid, maka ia tidak digalakkan.

Baca juga Susulan insiden kucing lompat ke atas imam ketika solat, sahkah solat itu?

Turut disyorkan Telefon berbunyi ketika solat, boleh ke matikannya?

Sumber: Tzkrh

Foto: 123RF & BERNAMA

Bolehkah makmum wanita menyebut ‘aamiin’ dengan kuat ketika solat berjemaah?

korban pahala
Ibadah,

Belum mampu buat korban tetapi inginkan pahala, apa yang anda boleh lakukan?

Belum mampu buat korban tetapi inginkan pahala, apa yang anda boleh lakukan?

DALAM Islam, perintah melaksanakan ibadah korban ditujukan kepada para Muslimin yang merdeka, matang, berakal dan mempunyai kemampuan

Menurut ulama, seseorang itu dikira berkemampuan sekiranya dia mempunyai lebihan harta setelah memenuhi keperluan harian dirinya dan tanggungannya pada hari Aidiladha (10 Zulhijjah) serta Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah).

Tambahan, lebihan itu mestilah mencukupi bagi melaksanakan ibadah korban menggunakan harta tersebut.

Baca juga Buat korban 7 kali pahala macam naik haji, betul ke?

korban pahala

ISLAM menuntut umatnya melaksanakan ibadah korban sekiranya sudah merdeka, matang, berakal dan berkemampuan. Foto: Canva

Baca juga ‘Rare’ atau ‘medium well’, bolehkah umat Islam makan daging yang masih ada darah?

Namun, memetik portal Mufti Wilayah Persekutuan, jika seseorang itu tidak mempunyai lebihan harta yang mencukupi untuk memenuhi keperluan tersebut, maka dia tidak dianggap mampu dan tidak diperintahkan untuk melakukan ibadah korban.

Dalam hal sedemikian, tidak ada kewajipan menjual aset yang dikategorikan sebagai keperluan hidup seperti rumah atau kenderaan bagi melaksanakan ibadah korban.

Ketahuilah Islam mementingkan keseimbangan antara ibadah dan keperluan asas dalam Islam. Oleh itu, bagi mereka yang tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan ibadah korban tidak diwajibkan mengorbankan harta yang diperlukan untuk memenuhi keperluan seharian.

Tetapi, bagi umat Islam yang mempunyai lebihan keperluan untuk diri dan keluarga pada hari Aidiladha dan hari Tasyrik, disunatkan melaksanakan ibadah korban. Sebaliknya jika tidak cukup keperluan, mereka tidak disunatkan untuk menunaikan ibadah korban.

Baca juga Antara korban dalam negara dan luar negara, mana lebih baik?

Turut disyorkan Memang perlu ada kemampuan untuk kerjakan haji, tetapi kita tak diwajibkan simpan wang untuk tujuan itu

korban pahala

ANTARA saranan ulama untuk mendapatkan haji mabrur adalah melaksanakan ibadah korban semasa di Tanah Suci. Foto: Google

Tidak berkemampuan tetapi tetap inginkan pahala

Bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban tetapi tetap mengharapkan pahala sempena Hari Raya Haji, anda disarankan untuk melakukan tiga perkara ini:

1. Memperkemaskan diri dengan ilmu.
Bagi mereka yang tidak dapat menunaikan ibadah korban tahun ini, ambil peluang untuk memperbaiki segala kelemahan dan menambahkan diri dengan ilmu mengenai ibadah tersebut dengan harapan untuk meningkatkan lagi usaha mengumpul duit bagi melaksanakan ibadah korban pada masa akan datang.

Baca juga Besarnya kuasa sedekah hingga boleh panjangkan umur, terlindung daripada bahaya

Turut disyorkan Sambut orang balik haji, antara sunnah yang dilupakan

WALAUPUN tidak dikira ibadah korban, namun bersedekah ada fadilat besar bagi mereka yang tidak mampu melaksanakan ibadah itu. Foto: 123RF

2. Memperbanyakkan zikir dan amalan kebaikan yang lain.
Amalan-amalan kebaikan yang lain boleh dilaksanakan sebagai tanda ketaatan. Meskipun amalan kebaikan yang lain tidak sama dengan ibadah korban yang dilaksanakan, ia boleh menjadi satu dorongan untuk lebih mendidik kita untuk melaksanakan ibadah korban pada masa akan datang.

Yang paling penting, niat untuk melakukan kebaikan itu sudah cukup baik dan boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara lain walaupun kurang berkemampuan dari segi kewangan.

Baca juga Lakukan tujuh amalan ini supaya pahala kekal mengalir setelah kita meninggal dunia

Turut disyorkan ‘Kedudukan kita di akhirat berdasarkan ayat al-Quran terakhir yang dibaca’- hadis Nabi

3. Lengkapkan hari dengan sedekah korban.
Jika tidak mampu melaksanakan ibadah korban, lengkapilah hari-hari tasyrik tersebut dengan sedekah korban iaitu sedekah yang memberikan manfaat kepada mereka yang memerlukan.

Pun begitu, diingatkan walaupun ibadah korban dan sedekah adalah amalan yang mendatangkan pahala, namun kedua-duanya adalah ibadah berbeza.

Jadi, bersedekah dengan nilai bahagian korban tanpa melakukan sebarang penyembelihan, tidak dianggap melakukan ibadah korban kerana ibadah korban merupakan ibadah khusus.

Oleh itu, sekiranya seseorang mempunyai wang yang mencukupi untuk mengambil bahagian dalam korban, adalah lebih baik untuk dia menggunakan wang tersebut untuk mengambil bahagian dalam ibadah korban.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Foto: 123RF & Canva

Telefon berbunyi
Ibadah,

Telefon berbunyi ketika solat, boleh ke matikannya?

Telefon berbunyi ketika solat, boleh ke matikannya?

KETIKA solat, tiba-tiba sahaja telefon berbunyi. Sudahlah pada masa itu sedang mendirikan sembahyang jemaah.

Deringan kuat dari peranti tersebut membuatkan kekhusyukan solat kita dan para jemaah lain sedikit terganggu.

Walaupun masjid dan surau sudah memasang papan tanda atau peringatan supaya memastikan telefon bimbit dalam mod senyap ketika di rumah ALLAH, tetapi adakalanya kita terlupa berbuat demikian.

Dalam keadaan solat ketika telefon berbunyi tadi, bolehkah jika kita mematikan deringan tersebut? Bimbang pula perbuatan itu akan membatalkan ibadah yang sedang dikerjakan.

Baca juga Sama ke pahala baca al-Quran guna telefon dengan mushaf? Jom baca penjelasan ini…

Pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, dalam situasi tersebut, andai pergerakannya banyak, maka ia akan menyebabkan solat seseorang itu batal.

USTAZ AZHAR IDRUS

Sebaliknya, katanya, jika ia hanya melibatkan pergerakan yang sedikit, maka tidaklah ia membatalkan sembahyang.

“Bagaimanapun, seandainya ada tujuan untuk bermain-main dengan pergerakannya itu, maka batal solatnya walaupun sedikit pergerakannya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di Instagram miliknya.

Mengukuhkan faktanya, penceramah terkemuka itu kemudian menukilkan pandangan Syeikh Sulaiman Al-Bujairimi dalam Kitab Hasyiah Al-Bujairimi yang menyatakan: “Maka batal solat dengan gerakan yang banyak secara mutlak, tidak batal dengan gerakan yang sedikit secara mutlak kecuali jika diqasadkan bermain.”

Menurut pandangan Syeikh Bakr Syatha dalam Kitab I’anah At-Talibin: “Dan tempat kata tidak batal solat itu adalah dengan sebab perbuatan yang sedikit jika tidak ada tujuan bermain dengannya dan jika tujuan bermain, maka ia membatalkan solat.”

Sementara itu, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, tidak mengapa andai seseorang itu mematikan telefon bimbitnya ketika solat dengan syarat dia menjaga pergerakannya.

“Ini kerana nada dering telefon amat mengganggu jemaah lain untuk khusyuk,” katanya sebagaimana dipetik menerusi perkongsian di laman sosial Facebook miliknya.

Baca juga Sukar Khusyuk Ketika Solat, Boleh Cuba Kaedah Yang Disarankan Ini 

Ujar ahli akademik itu, Rasulullah SAW pernah menegur sahabat yang membaca al-Quran di dalam masjid dengan suara yang kuat kerana dikhuatiri mengganggu jemaah lain.

DR AHMAD SANUSI

Dalam Hadis Riwayat Imam Abu Daud diceritakan bahawa: “Suatu hari Rasulullah SAW beriktikaf di dalam masjid dan Baginda mendengar ada sahabat menguatkan bacaan al-Quran mereka. Rasulullah lalu menyelak tabur Baginda dan berkata: “Bukankah kamu semua sedang bermunajat kepada ALLAH? Janganlah ada sebahagian kamu menyakiti (mengganggu) yang lain. Jangan pula kamu tinggikan suara kamu di dalam bacaan (al-Quran kamu) (sebahagian riwayat menyatakan meninggikan suara ketika solat kamu).”

Berdasarkan hadis berkenaan, Dr Ahmad Sanusi menjelaskan, andai perbuatan meninggikan suara ketika sedang mengalunkan kalamullah itu pun ditegur oleh Baginda, inikan pula nada dering dengan lagu yang merosakkan tumpuan orang lain dalam solat mereka.

Menyambung hujahnya, ujar beliau, Mazhab Syafie menyatakan bahawa terdapat beberapa syarat yang mesti dijaga oleh seseorang bagi mengelakkan batalnya solat yang dikerjakan.

Bagi mereka yang ingin mematikan telefon yang berdering ketika solat, tetapi pada masa sama mengelakkan sembahyang didirikan terbatal, maka ahli akademik itu menasihatkan agar kita menjauhi:

Baca juga Solat tanpa berpakaian dalam, apa statusnya?

1. Pergerakan yang banyak.
2. Pergerakan yang bukan daripada pergerakan solat yang jelas seperti berjalan dengan sengaja (tanpa keperluan) atau memukul.
3. Dilakukan dengan sengaja dalam keadaan seseorang itu tahu perbuatan tersebut dilarang.
4. Pergerakan yang dilakukan secara berturut-turut.
5. Pergerakan yang tiada keperluan syarak membenarkannya.

Andai seseorang menjaga segala keperluan itu, maka Dr Ahmad Sanusi berkata, pergerakan kecilnya untuk mematikan telefon bimbit tadi adalah sesuatu yang harus.

“Ingatlah, membiarkan telefon berbunyi sehingga mengganggu jemaah lain adalah lebih dilarang,” tegas beliau.