Browsing Category

Ibadah

sujud atas belakang
Ibadah,

Boleh sujud atas belakang makmum hadapan kerana ruang sempit, begini kaedahnya

Boleh sujud atas belakang makmum hadapan kerana ruang sempit, begini kaedahnya…

SERONOK rasanya jika melihat masjid dan surau dipenuhi orang ramai. Masakan tidak, sebagai orang Islam, masjid boleh dikatakan sebagai ‘rumah’ kedua kita.

Bahkan, kita dituntut mengimarahkan rumah ALLAH sebagai tanda ketakwaan kepada-NYA. Firman ALLAH SWT, “Sesungguhnya orang yang memeriahkan masjid-masjid ALLAH hanyalah orang yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat…” (Surah At-Taubah, ayat 18).

Baca juga Paling syok main telefon ketika khatib baca khutbah. Jauhi amalan sia-sia itu agar pahala solat Jumaat terpelihara

Turut disyorkan Jangan sesekali tinggal subuh berjemaah di masjid, itu tanda orang beriman

Kebiasaannya, di Malaysia masjid akan menerima paling banyak jemaah ketika solat Jumaat atau sewaktu keraian tertentu seperti Hari Raya dan bulan Ramadan.

Malah sesetengah masjid menjadi begitu sesak pada hari Jumaat sehinggakan jemaah terpaksa solat sekitar kaki lima masjid di luar ruang solat utama.

Namun, dalam keadaan ruang solat terlalu sempit dan padat sehinggakan jemaah sukar untuk rukuk dan sujud, apakah langkah terbaik bagi mendirikan solat?

sujud atas belakang

Baca juga Bersendirian di saf belakang atau berada lebih tinggi dari imam, antara posisi makruh makmum perlu elak ketika solat berjemaah

Solat di atas belakang makmum hadapan
Dalam hal ini, ulama Islam Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa jika seseorang tidak dapat sujud di atas tempat sujud bagi solat Jumaat kerana kesesakan, maka wajib dia sujud di atas belakang makmum yang berada di hadapannya.

Pendapat tersebut adalah berdasarkan athar yang diriwayatkan daripada Saidina Umar RA bahawa beliau berkata, “Apabila berlaku kesesakan dalam kalangan makmum, maka hendaklah seseorang daripada kalian sujud di atas belakang saudaranya.” (Rujuk al-Majmuk, 4:558)

Dalam pada itu, Syeikh Zakaria al-Ansari menjelaskan, sekiranya seorang makmum hanya mampu bersujud dengan cara menundukkan kepalanya ke atas belakang atau kaki orang di hadapannya, maka dia wajib melakukannya.

Dengan cara sujud sedemikian, solat yang dilakukan adalah sah dan tidak perlu diulang semula. Perbuatan itu pula tidak memerlukan seseorang untuk meminta izin kepada orang di hadapannya kerana ia adalah hal yang kecil.

Kata Zakaria: “Apabila berlaku kesesakan yang menghalang makmum daripada sujud pada rakaat pertama solat Jumaat dan dia mampu sujud dengan cara tankis (iaitu dengan menundukkan kepala sehingga menjadikan bahagian punggung lebih tinggi berbanding bahagian kepala) di atas belakang atau kaki orang lain atau haiwan dan seumpamanya, maka wajib dia melakukannya kerana dia mampu untuk melaksanakan sujud yang menjadikan solatnya sah. Al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Saidina Umar RA, bahawa beliau berkata, “Jika berlaku kesesakan yang dahsyat, maka hendaklah seseorang itu sujud di atas belakang saudaranya”, walaupun tanpa keizinan kerana keperluan melakukannya kerana ia merupakan hal yang kecil.(Rujuk Asna al-Matalib, 1:254)

Cara menyempurnakan solat Jumaat
Apabila seseorang sujud dalam keadaan yang disebutkan di atas dan kembali mengikut imam pada rakaat kedua solat Jumaat, maka dia berada dalam beberapa keadaan dan cara untuk menyempurnakan solat Jumaat itu adalah seperti berikut:

1. Jika dia sempat mendapatkan imam ketika imam sedang berdiri, maka dia hendaklah membaca bacaan makmum masbuq atau makmum muwafiq.

2. Dia sempat mendapatkan imam ketika sedang rukuk, maka dia hendaklah terus rukuk mengikut imam dan tergugur kewajipan membaca al-Fatihah seperti keadaan makmum yang masbuq.

3. Dia sempat mengikut imam dalam keadaan imam sudah selesai rukuk, maka hendaklah dia mengikuti keadaan imam tersebut. Kemudian, apabila imam telah memberi salam, dia hendaklah menambah satu rakaat lagi, sama keadaannya seperti makmum yang masbuq.

4. Dia tidak sempat menyempurnakan sujudnya sehingga imam selesai memberi salam, maka hendaklah dia menyempurnakan solatnya tersebut sebagai solat Zuhur. Walau bagaimanapun, jika dia sempat mengangkat kepala sebelum imam memberi salam, maka dia hendaklah menyempurnakan solatnya sebagai solat Jumaat.

Kesimpulannya, jika ruang solat sempit atau padat sehingga menyukar pergerakan makmum, dia wajib sujud di atas belakang makmum yang berada di hadapannya sekiranya dia mampu untuk sujud dengan cara bahagian punggungnya lebih tinggi berbanding kepalanya.

Manakala, sekiranya dia sempat untuk mendapatkan imam sebelum imam memberi salam, maka dia sudah menyempurnakan solat Jumaat seperti yang telah dijelaskan di atas.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Foto: 123RF

mandi wajib air
Ibadah,

Bagaimana nak mandi wajib bagi pasangan suami isteri sedangkan tiada bekalan air?

Bagaimana nak mandi wajib bagi pasangan suami isteri sedangkan tiada bekalan air?

BAGI pasangan suami isteri, sememangnya antara nikmat dikurniakan ALLAH SWT adalah peluang untuk menjalinkan hubungan intim sebagai penyeri suasana rumah tangga.

Melalui ikatan sah yang terjalin, tiada lagi larangan antara kedua-duanya, lantas sang suami boleh melihat aurat si isteri dan begitu juga sebaliknya.

Baca juga Suami isteri ‘enjoy’ rakam video intim, seronok hari ini namun celaka menanti kerana ia perbuatan haram

Turut disyorkan Suami isteri bergurau pasal cerai? Awasi 3 perkara ini tak boleh ‘buat main’ dalam rumah tangga

Tambahan, pasangan suami isteri dibolehkan bersetubuh pada bila-bila masa, kecuali pada waktu tertentu seperti pada hari siang di bulan Ramadan atau ketika si isteri sedang haid.

Namun, apakah hukumnya jika seseorang ingin bersetubuh dengan pasangannya, walaupun sudah tahu masalah bekalan di rumah yang boleh menjejaskan mandi wajib?

mandi wajib air

Baca juga Lakukan amalan ini bersama, rahsia suami isteri bina ‘rumah’ di syurga

Turut disyorkan Kepada para suami, teladani layanan ‘tip-top’ Rasulullah SAW terhadap isteri-isteri baginda

Menurut portal Mufti Wilayah Persekutuan, tiada masalah untuk pasangan suami isteri menjalinkan hubungan dalam keadaan tiada bekalan air yang cukup untuk mandi wajib sempurna.

Tetapi syaratnya, air yang ada itu perlulah cukup untuk membasuh kemaluan setelah bersetubuh. Setelah itu, barulah mereka boleh bertayamum dan melaksanakan solat seperti biasa.

mandi wajib air

IKATAN sah antara suami isteri tidak bererti segala perkara boleh dilakukan tanpa batasan. Foto: Google

Baca juga Rupanya sudah 15 tahun ibadah tidak sah gara-gara tidak sempurna mandi wajib

Turut disyorkan Guna tisu basah ketika istinjak? Hati-hatilah kerana ia masih dikira menanggung najis

Walau bagaimanapun, pihaknya menegaskan, sekiranya tiada air langsung yang boleh digunakan untuk membasuh kemaluan, maka diharamkan pasangan itu berjimak setelah masuknya waktu solat. Ia hanya boleh dilakukan sebelum masuknya waktu solat.

Perkara itu diperincikan oleh Imam al-Bujairimi yang berkata, jika seseorang itu tidak mempunyai air untuk membasuh kemaluannya selepas persetubuhan, maka haram hukumnya untuk dia bersetubuh jika telah masuk waktu solat.

Namun jika dia bersetubuh sebelum masuknya waktu solat, hukumnya harus kerana dia belum ditaklifkan untuk mendirikan solat itu sebelum masuk waktunya.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Google & Unsplash

Korban
Ibadah,

Buat korban 7 kali pahala macam naik haji, betul ke?

Buat korban 7 kali pahala macam naik haji, betul ke?

TINGGAL sebulan sahaja lagi umat Islam bakal menunaikan ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha nanti. Ramai yang sudah mula buat persiapan ke arah itu.

Ia termasuklah mencari haiwan terbaik untuk dikorbankan pada hari berkenaan.

Berbicara tentang ibadah yang satu itu, acap kali juga kita lihat orang yang sama sahaja melakukan tersebut di kariah masing-masing.

Barangkali individu berkenaan mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian. Lagipun, tidak salah mereka melakukan ibadah tersebut.

Begitupun, ada yang berpandangan mereka yang sudah melakukan ibadah korban sebanyak tujuh kali, ia seumpama mereka menunaikan haji sekali. Benarkah begitu?

Pendakwah Ustazah Asmak Husin menjelaskan, ibadah korban tidak mempunyai persamaan langsung dengan Rukun Islam kelima walaupun ia menggantikan haji.

USTAZAH ASMAK

“Dari segi hukum, berkorban adalah sunat muakkad untuk kita lakukan sekali dalam setahun dan wajib selagi kita mampu. Ia sehinggakan ada mazhab yang mewajibkan ibadah berkenaan.

“Oleh sebab kita mengikut Mazhab Syafie, maka umat Islam sangat dituntut untuk melaksanakan ibadah tersebut.

“Jadi selagi ada kemampuan, kita lakukanlah walaupun hanya satu bahagian korban. Andai kita mempunyai wang yang lebih, tiada masalah untuk lakukan lebih banyak lagi. Itulah yang sebaiknya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video tentang korban yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya.

Seperkara lagi, pernyataan popular tentang ‘umrah tujuh kali bersamaan dengan satu pahala haji’ adalah tidak benar sama sekali.

Ini kerana ia tidak disebut dalam mana-mana hadis sahih berkaitan dengan melaksanakan ibadah umrah. Demikian ulasan yang dipetik menerusi laman web umrahhajitravel.com.

Berbalik kepada isu tentang orang sama melakukan ibadah korban tanpa gagal pada setiap tahun, Sinar Islam Plus pernah mengajukan soalan tersebut kepada Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah.

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

Beliau menjawab, tidak salah andai sesiapa mahu melakukan ibadah korban saban tahun.

“Malah, digalakkan untuk berkorban bagi mereka yang berkemampuan, sekalipun pada setiap tahun.

“Namun, jika kita tidak melaksanakannya, ia tidaklah dihukumkan sebagai berdosa,” terangnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

tersesat haji
Ibadah,

Ikut 8 tip ini, anda takkan tersesat sepanjang tunaikan haji

Ikut 8 tip ini, anda takkan tersesat sepanjang tunaikan haji…

SEKALI-sekala kita akan terdengar kisah jemaah yang tersesat jalan, sama ada di Makkah ataupun Madinah. Ia biasa terjadi kepada jemaah yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk menjalani ibadah haji atau umrah.

Mana tidaknya, dengan jumlah jemaah terlalu ramai dari serata dunia serta kawasan masjid yang begitu luas menyebabkan sebahagian jemaah mudah hilang arah.

Bahkan, segelintir mungkin terpisah daripada kumpulan dan tidak dapat mencari jalan balik ke hotel penginapan.

Baca juga Hilang di Mekah, usaha mencari Ustaz Musthafa masih diteruskan

tersesat haji

BAGI jemaah yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci, amalkan beberapa tip untuk elakkan tersesat. Foto: 123RF

Baca juga Berjumpa dengan jemaah sesat di Tanah Suci, ini tindakan yang perlu dilakukan

Turut disyorkan Wanita tolak panggilan haji, alasan diberi cukup mengharukan

Justeru, dalam artikel kali ini, Sinar Islam Plus ingin menitipkan beberapa petua bagi para jemaah agar tidak tidak tersesat di Tanah Suci:

1. Sentiasa memakai kad nama.
Tip pertama adalah dengan sentiasa memakai kad nama yang biasanya dibekalkan oleh syarikat ejen pelancongan. Pada kad tersebut akan tercatat nama, alamat hotel dan nombor perhubungan lengkap yang boleh membantu jemaah sekiranya tersesat.

2. Hafal nama hotel, nombor bilik dan nombor telefon mutawif.
Selain mengingati nama hotel dan nombor bilik, anda juga perlu menyimpan nombor telefon mutawif atau petugas masing-masing. Ketiga-tiga maklumat itu sangat penting sekiranya anda tersesat dan dijumpai oleh jemaah lain..

3. Hafal nama dan nombor pintu masuk di Masjidil Haram.
Ketika memasuki Masjidil Haram, jangan lupa untuk melihat nama dan nombor pintu yang anda lalu. Contohnya, pintu King Abdul Aziz (pintu nombor 1), Bab al-Marwah, Bab al-Fatah dan sebagainya.

Hal ini kerana Masjidil Haram memiliki banyak pintu masuk yang boleh menyebabkan jemaah keliru. Oleh itu, hafal nama pintu dari mana anda masuk supaya anda tidak tersesat dan kehilangan kasut anda.

Baca juga Ingin haji mabrur, amal 7 adab saranan al-Ghazali

Turut disyorkan Mengapa jenazah meninggal di Makkah, wajah tidak bertutup dan diselimut kain berbeza warna?

tersesat haji

MASJIDIL Haram mempunyai beberapa pintu masuk yang boleh menyebabkan jemaah keliru. Foto: 123RF

Baca juga Ini cara menegur orang tersalah kiblat ketika solat

4. Tentukan ‘meeting point’.
Sekiranya anda mengikuti rombongan semasa memasuki mana-mana masjid, tentukan ‘meeting point’ atau tempat untuk berkumpul semula yang mudah dicari. Jadi jika anda terpisah daripada kumpulan anda, pergi ke tempat yang dijanjikan dan tunggu sahaja di situ.

Malah, dengan teknologi yang ada sekarang, anda juga boleh mengambil gambar dan hantarkan ke ‘whatsapp group’ atau platform sosial yang dikendalikan ejen pelancongan.

5. Tetapkan mercu tanda.
Selain itu, untuk mengelakkan sesat, ingat bangunan tertentu untuk dijadikan mercu tanda. Contohnya, ingat bangunan yang ada di sekeliling hotel penginapan anda seperti pusat membeli belah atau kedai makan tertentu dan sebagainya.

5. Elakkan pergi bersendirian.
Elakkan pergi ke mana-mana bersendirian. Jika ingin pergi ke suatu tempat, sebaik-baiknya biarlah berdua atau berkumpulan dengan jemaah-jemaah lain.

Selain itu, manfaatkan ‘group whatsapp’ yang disediakan oleh ejen pelancongan untuk memudahkan urusan mutawif mengetahui pergerakan jemaah. Sentiasa minta izin dan melaporkan keberadaan anda kepada ketua rombongan setiap kali pergi ke mana-mana.

Baca juga Lawatan ke lokasi bersejarah di Tanah Suci mampu tingkatkan takwa

 

ELAKKAN pergi ke mana-mana secara bersendirian serta sentiasa maklumkan keberadaan anda kepada ketua rombongan. Foto: BERNAMA

Baca juga Masjid Namirah, khutbah terakhir Nabi SAW kepada umatnya di sini

Turut disyorkanKisah Bi’rul Khatim (Telaga Cincin) di Madinah

6. Bawa telefon bimbit.
Di samping itu, sentiasa membawa telefon bimbit bersama anda ketika pergi ke mana-mana. Pastikan juga anda mempunyai nombor telefon rakan sebilik serta pegawai bertugas.

Jika tersesat, setidaknya anda boleh menghubungi mereka untuk panduan jalan pulang ke hotel.

7. Jangan panik apabila sesat.
Elakkan panik jika anda tersesat. Jika merasakan anda sudah hilang arah, dapatkan bantuan petugas atau jemaah lain yang ada di sekeliling anda. Di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pula, biasanya akan ada petugas sukarelawan yang sememangnya dilatih untuk membantu para jemaah.

8. Selalu berdoa.
Tidak kira sesiapa pun kita, tiada apa yang boleh menghalang andai ALLAH ingin menguji hamba-NYA.

Oleh itu, sentiasa berdoa kepada ALLAH untuk dihindari kejadian tidak diingini serta memohon pertolongan-NYA sekiranya berada dalam kesusahan.

Selain ikhtiar dan doa, kita juga harus menghapuskan perasaan takbur dan sombong sepanjang melaksanakan ibadah.

Sumber: Facebook Rarecation

Foto: 123RF & BERNAMA

Ikut 8 tip ini, anda takkan tersesat sepanjang tunaikan haji

Ikut 8 tip ini, anda takkan tersesat sepanjang tunaikan haji

Solat tanpa berpakaian dalam
Ibadah,

Solat tanpa berpakaian dalam, apa statusnya?

Solat tanpa berpakaian dalam, apa statusnya?

MENUNAIKAN solat tanpa berpakaian dalam bukan perkara asing bagi segelintir orang. Masakan tidak, sesetengah daripada kita mungkin sudah terbiasa melakukannya.

Bagaimanapun, perbuatan itu menimbulkan persoalan tentang status ibadah mereka.

Baca juga Enaknya menguap, tapi jangan terlalu kuat sampai solat terbatal

Apabila tidak memakai pakaian dalam, sudah tentu banyak ‘pergerakan’ berlaku ketika menunaikan sembahyang. Apakah hukumnya dalam Islam?

Dalam perihal pergerakan anggota badan yang boleh membatalkan solat, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan merujuk kepada pandangan Imam al-Nawawi dalam Mazhab Syafie menerusi Kitab Minhaj at-Tolibin.

Kata Imam an-Nawawi: “Dan jika dia melakukan di dalam solatnya sesuatu perbuatan lain sekalipun dari jenisnya, maka terbatal solat kecuali kerana terlupa. Dan jika perbuatan itu bukan dari jenisnya, maka batal solatnya jika dilakukan dengan pergerakan yang banyak, dan pergerakan yang sedikit tidak membatalkan solat.”

Baca juga Perhatikan lima jenis kentut dalam solat, lakukan perkara ini bila berlaku

Solat tanpa berpakaian dalam

PERGERAKAN yang dilakukan secara sengaja selain daripada perbuatan asal dalam solat dan pergerakan dalam sembahyang seperti menambah rukuk dan sujud membatalkan ibadah tersebut. -Foto: 123rf

Melihat ungkapan tersebut, jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, apa sahaja pergerakan yang dilakukan secara sengaja selain daripada perbuatan asal dalam solat dan pergerakan dalam solat (seperti menambah rukuk atau sujud) adalah membatalkan sembahyang tersebut.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan andai kita dalam keadaan terlupa.

Baca juga Dosa tidak akan terhapus walaupun telah qada solat yang ditinggalkan

“Bagi pergerakan yang tidak termasuk sebagai jenis perbuatan dalam solat, maka terbatal sembahyang tersebut jika ia dilakukan dengan pergerakan yang banyak.

“Adapun, pergerakan yang sedikit tidak akan membatalkan solat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad al-Fatwa Siri ke-772: Hukum Solat Tanpa Memakai Pakaian Dalam yang disiarkan dalam laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.

Artikel tersebut turut menyenaraikan perbezaan pergerakan banyak yang boleh membatalkan solat dan pergerakan yang sedikit.

Berikut perinciannya:

1. Pergerakan banyak mestilah dilakukan oleh anggota badan yang berat seperti tangan, kaki dan kepala.

Jika hanya melibatkan pergerakan anggota badan yang ringan seperti lidah, kelopak mata, bibir, zakar atau jari (tanpa menggerakkan telapak tangan seperti menggaru), maka tidak batal solat sekalipun dilakukan secara berulang kali kerana ia termasuk dalam pergerakan yang sedikit.

Solat tanpa berpakaian dalam

PELIHARAH solat dan elakkan melakukan pergerakan tidak perlu ketika menunaikannya. -Foto: 123rf

2. Pergerakan yang banyak dilakukan tiga kali secara berturut-turut atau lebih menurut uruf setempat.

Baca juga Benarkah bergerak lebih tiga kali membatalkan solat?

Berturut-turut itu dikira apabila pergerakan kedua tidak terputus daripada pergerakan pertama dan pergerakan ketiga tidak terputus daripada pergerakan kedua.

Sebagai contoh, seseorang yang melangkah kaki dengan dua langkah sederhana atau pukulan sederhana atau memberi isyarat menjawab salam tidak akan membatalkan solat kerana ia termasuk dalam pergerakan yang sedikit.

Terdapat satu lagi pandangan menjelaskan, berturut-turut adalah dengan kadar tamakninah antara dua pergerakan dan pendapat itulah yang menjadi amalan kebiasaan masyarakat kita.

3. Pergerakan tersebut mestilah bukan termasuk daripada pergerakan yang tidak mampu dikawal seperti menggaru kudis dan menggigil kerana kesejukan.

Berdasarkan fakta tersebut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyimpulkan, pergerakan zakar mahupun payudara bagi orang yang menunaikan solat termasuk dalam jenis anggota badan yang bukan kategori pilihan mereka.

Demikian pandangan di sisi fuqaha Syafi’iyyah.

“Ini kerana pergerakan itu diqiaskan dengan solat dalam keadaan tidak mampu mengawal pergerakan.

“Ia juga dikaitkan dengan pergerakan sedikit kerana hanya melibatkan anggota badan yang ringan iaitu zakar dan payudara.

“Justeru, mereka yang solat tanpa memakai pakaian dalam adalah sah dan tidak membatalkan sembahyangnya sebanyak mana pergerakan sekalipun,” ungkapnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Foto: Pexels

haji mabrur
Ibadah,

Ingin haji mabrur, amal 7 adab saranan al-Ghazali

Ingin haji mabrur, amal 7 adab saranan al-Ghazali

MUSIM haji bakal tiba. Malah, penerbangan pertama bagi jemaah haji negara sudah pun bermula pada 21 Mei lalu.

Pastinya mereka yang dipilih menjadi tetamu ALLAH SWT untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini sudah tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Masakan tidak, haji merupakan syiar agung dan ibadah yang mulia. Bahkan mereka yang berpeluang melaksanakannya dengan seikhlas hati demi ALLAH Taala akan meraih keberkatan serta diampunkan dosa.

Baca juga Memang perlu ada kemampuan untuk kerjakan haji, tetapi kita tak diwajibkan simpan wang untuk tujuan itu

Turut disyorkan Cabaran umat Islam era pra-merdeka menunaikan ibadah haji.

Daripada Abu Hurairah RA berkata: “Aku mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda: Barang siapa melaksanakan haji semata-mata kerana ALLAH, lalu dia tidak menuturkan (perkataan) keji dan tidak melakukan fasik (keluar daripada ketaatan), dia akan kembali kepada keadaannya seperti baru dilahirkan oleh ibunya (bersih daripada dosa).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasaie dan Ibnu Majah)

Demikianlah haji mabrur yang mana ibadahnya diterima oleh ALLAH sehingga dihapuskan segala dosa menjadi impian setiap jemaah yang menunaikan Rukun Islam ke-5.

Persoalannya, bagaimana untuk mendapatkan haji yang mabrur?

haji mabrur

Baca juga LIMA amalan yang nilainya seperti menunaikan haji

Berdasarkan hadis berkenaan, haji yang mabrur ialah haji yang dilaksanakan dengan niat yang ikhlas kerana ALLAH SWT dan bukan bertujuan untuk melancong, berjual beli dan lain-lain.

Hanya dengan melaksanakan haji dengan kaifiyat atau tatacara yang betul sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, barulah kita akan memperoleh pahala yang besar dan diampunkan dosa.

Lantas, ulama terkemuka Imam al-Ghazali menitipkan tujuh adab berikut yang perlu diamalkan oleh para jemaah haji jika ingin meraih haji yang mabrur, sebagaimana dipetik menerusi portal NU Online.

Turut disyorkan Solat pandang Kaabah tanpa melihat tempat sujud, apa hukumnya?

haji mabrur

SETIAP jemaah haji pastinya ingin menggapai haji mabrur iaitu ibadahnya diterima oleh ALLAH sehingga dihapuskan segala dosa. Foto: 123RF

Baca juga Masjid Namirah, khutbah terakhir Nabi SAW kepada umatnya di sini

Turut disyorkan Hilang di Mekah, usaha mencari Ustaz Musthafa masih diteruskan

1. Mempunyai niat yang ikhlas.

Tujuan ibadah haji dilakukan mestilah semata-mata demi ALLAH SWT. Oleh itu, jemaah yang berniat ke Tanah Suci perlu berusaha untuk menjauhi tujuan keduniaan untuk mencapai fadilat serta darjat haji yang tertinggi.

Jika menunaikan ibadah haji atas pihak orang lain, niatlah dengan tujuan ingin membantu saudara seIslam memenuhi kewajipan mereka.

2. Menyediakan bekalan secukupnya dan tidak membazir.
Pertama sekali, wang yang digunakan untuk menunaikan haji haruslah daripada sumber yang halal. Selain itu, jangan boros membelanjakan wang serta elakkan terlalu berseronok atau berlebih-lebihan dalam berpakaian dan memakan makanan yang lazat sepanjang melaksanakan ibadah.

3. Menjaga kata-kata.
Hindari segala perkataan yang sia-sia, keji dan kotor seperti gurauan melampau atau membicarakan tentang hubungan suami isteri ketika menunaikan haji.

Di samping itu, jauhi permusuhan dan pertengkaran yang boleh menimbulkan hasad dengki serta mengakibatkan perpecahan sesama saudara Islam sepanjang berada di Tanah Suci.

Baca juga Pengembaraan epik ikut laluan hijrah Nabi, lelaki ini berjalan 500km dari Mekah Ke Madinah

ULAMA sarankan beberapa adab tertentu yang perlu dijaga oleh para jemaah haji jika ingin meraih haji mabrur. Foto: 123RF

Baca juga Ketahui kelebihan amalan tawaf di hadapan Baitullah ketika musim umrah atau haji

Turut disyorkan Mengapa jenazah meninggal di Makkah, wajah tidak bertutup dan diselimut kain berbeza warna?

4. Menunaikan ibadah haji dengan berjalan kaki jika mampu melakukannya.
Ulama berpendapat bahawa tidak ada masalah untuk menunaikan haji dengan menaiki kenderaan. Dengan cara itu, jemaah tidak akan keletihan manakala kurang gangguan semasa beribadah akan membawa kepada ibadah haji yang lebih sempurna.

Namun begitu, jika mampu maka laksanakanlah haji dengan berjalan kaki. Hal ini kerana salah seorang sahabat Nabi SAW, Abdullah bin Abbas pernah berkata kepada puteranya “Wahai anak-anakku, tunaikanlah haji dengan berjalan kaki. Ini kerana orang yang berhaji dengan berjalan kaki, setiap langkahnya dihitung sebagai tujuh ratus kebaikan dari kebaikan Tanah Haram.”

5. Berpenampilan sederhana.
Jemaah haji sewajarnya bersederhana dari segi penampilan seperti tidak mengenakan perhiasan berlebihan semasa ibadah dilaksanakan. Rasulullah SAW sendiri pernah berpesan agar sentiasa berpenampilan sederhana dan menyembunyikan kekayaan, serta melarang jemaah untuk bersenang-senang dan bermewah-mewahan.

AMBIL peluang mengadakan ibadah korban semasa di Tanah Suci. Foto: Google

Baca juga Jika tinggalkan suruhan ALLAH, tetap berdosa walaupun 10 kali ke Makkah

6. Menyembelih haiwan.
Keenam, mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dengan menyembelih haiwan dam meskipun tidak wajib bagi dirinya. Ketahuilah apabila melaksanakan korban, bukan daging itu yang dinilai oleh ALLAH , namun yang dilihat adalah ketakwaan kita terhadap-NYA.

7. Sentiasa bersangka baik kepada ALLAH.
Sentiasa bersangka baik kepada ALLAH walau apa yang sahaja yang berlaku seperti keletihan, kerugian, bahkan mungkin musibah yang menimpa sepanjang beribadah.

Ujian berat yang diberikan oleh ALLAH sebenarnya membuka jalan kepada kita memperoleh pahala lebih banyak selagi kita teguh menghadapi cabaran itu.

Demikianlah tujuh perkara adab yang perlu diperhatikan oleh jemaah haji jika berhajat agar ibadahnya diterima oleh ALLAH SWT dan memperoleh haji yang mabrur.

Sumber: NU Online

Foto: 123RF & Google

Tunaikan haji atau berkahwin
Ibadah,

Duit sudah ada, tapi dilema antara tunaikan haji atau berkahwin dulu

Duit sudah ada, tapi dilema antara tunaikan haji atau berkahwin dulu

MELIHAT jumlah duit yang ada, sudah cukup untuk pergi menunaikan haji. Tinggal lagi, mahu atau tidak untuk berbuat demikian dalam musim berkenaan.

Namun, entah mengapa hati berbisik untuk menggunakan wang tersebut bagi melangsungkan perkahwinan pula.

Dilema dibuatnya dan hati pula berbelah bahagi. Masakan tidak, kedua-dua perkara itu begitu penting buatnya.

Bukan mudah menyimpan wang sebanyak itu. Apatah lagi ia memerlukan mujahadah yang tinggi dan tempoh panjang untuk dikumpulkan.

Bagaimana jika seseorang mempunyai wang yang mencukupi untuk perbelanjaan haji, tetapi dia juga ingin berkahwin?

Baca juga Memang perlu ada kemampuan untuk kerjakan haji, tetapi kita tak diwajibkan simpan wang untuk tujuan itu

Baca juga Bantuan Kewangan Haji bersasar dan berkala diteruskan kepada bakal haji Muassasah

Baca juga Kuota haji Malaysia kembali penuh, 31,600 jemaah boleh tunaikan Rukun Islam kelima tahun ini

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, haji dan perkahwinan merupakan suatu perkara yang dituntut dalam agama.

DR ZULKIFLI

Meskipun demikian, ibadah haji merupakan satu kewajipan yang mesti dilaksanakan bagi golongan berkemampuan.

Jika dilihat hukum nikah yang terbahagi kepada lima iaitu harus, wajib, sunat, makruh dan haram, semuanya bergantung kepada individu berkenaan.

“Andai dia mampu untuk menahan dirinya dan tidak terburu-buru untuk berkahwin, maka hendaklah dia mengerjakan haji terlebih dahulu,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Maktabah Albakri.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap ALLAH, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barang siapa mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya ALLAH MAHA KAYA (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.” (Surah Ali Imran, ayat 97)

Berdasarkan dalil itu, agamawan tersebut menjelaskan, ibadah haji dan umrah hanya wajib ke atas orang yang berupaya dan berkemampuan.

Baca juga Ibadah umrah diwajibkan bagi mereka yang mampu, ini maksud sebenar kemampuan tersebut

“Menurut al-Fiqh al-Manhaji, seseorang dianggap berkemampuan apabila memiliki harta yang mencukupi untuk mengerjakan haji dan umrah. Ia termasuklah tambang pengangkutan, perbelanjaan pergi dan balik, di samping perbelanjaan pasport perjalanan serta upah pemandu haji dan umrah sebagaimana dikehendaki oleh pemerintah.

Tunaikan haji atau berkahwin

JIKA seseorang mampu untuk menahan dirinya dan tidak terburu-buru untuk berkahwin, maka hendaklah dia mengerjakan haji terlebih dahulu. -Foto: Pexels

“Semua harta tersebut mestilah lebihan daripada jumlah hutangnya dan perbelanjaan ahli keluarga semasa ketiadaannya,” katanya.

Bagaimanapun, jelas mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu, andai orang itu khuatir tidak mampu untuk menahan dirinya daripada melakukan kemaksiatan, maka hendaknya dia mendahulukan perkahwinan bagi mengelakkan kemudaratan lebih besar.

Mudah kata, semuanya terpulang kepada diri masing-masing. Tepuk dada, tanyalah hati. Semoga pilihan yang bakal kita buat nanti memberikan kebaikan kepada diri dan agama.

GAMBAR PORTAL FB (91)
Ibadah,

Elak kongsi “donepuasaenam”.. sembunyikan ibadah sunat itulah sebaiknya

Elak kongsi “donepuasaenam”.. sembunyikan ibadah sunat itulah sebaiknya…

BERBAKI dua hari sahaja lagi sebelum Syawal melabuhkan tirainya pada Sabtu (20 Mei), masih ada yang mengejar untuk berpuasa sunat enam hari di bulan mulia ini.

Manakan tidak, peluang yang hadir setahun sekali sahaja pasti akan direbutkan oleh sesiapa sahaja untuk melaksanakannya.

Bahkan, di dalam sebuah hadis daripada Abu Ayub al-Ansari RA, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang berpuasa pada Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari ketika Syawal, ia bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca Juga Tidak habis puasa sunat enam Syawal, apa yang perlu dilakukan?

Melaksanakan ibadah puasa sunat ini sangatlah besar ganjarannya, namun jika dilaksanakan secara sembunyi dan tidak menghebohkan kepada orang lain itulah sebaiknya.

Pensyarah di Fakulti Pengajian Pengajian al-Quran dan as-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ahmad Kamil Jamilin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kamilin Jamilin berkongsi sebagai umat Islam kita disarankan untuk sembunyikan ibadah sunat terutama ibadah puasa sunat.

PUASA sunat enam hari pada Syawal adalah sebahagian daripada puasa sunat sepanjang tahun yang disarankan dalam Islam.

Jelasnya, ibadah yang wajib mungkin susah nak sembunyikan kerana dia adalah syiar bersama, tetapi ibadah yang sunat ini merupakan pilihan yang sebolehnya kita usaha untuk sembunyikan daripada pengetahuna manusia.

“Contohnya puasa sunat enam hari di bulan syawal. Tidak perlulah untuk didendangkan kita ini rajin puasa sebab khuatir ia boleh mencalarkan keikhlasan dan menimbulkan sifat riak yang boleh menghapuskan pahala amalan.

“Selalu juga dengar orang cakap “Kau dah habis puasa enam? Aku tinggal sehari je lagi”.
Bukan tak boleh mengajak ke arah kebaikan atau saling memberi galakan, tapi berwaspadalah.

Baca Juga Puasa enam pada bulan Syawal perlu berturutan atau boleh dipisahkan? Ini penjelasannya

“Ulama salaf dahulu kala sangat bimbang kalau amalan sunat mereka itu diketahui, jika boleh mereka tidak ingin ada yang hidu sampai ada yang dah berpuasa sunat berpuluh tahun lamanya sehingga keluarga sendiri pun tidak tahu.

“Ada juga yang cuba sembunyikan diri, tidak nampak bersahur dan berbuka depan orang sebab tidak ingin orang lain mengetahui amalan yang dilakukan.

Mereka sangat berhati-hati supaya amalan mereka itu tidak bocor. Jika semua amalan hendak ditunjukkan kepada manusia apa lagi yang tinggal antara kita dengan ALLAH”, ujarnya.

Ganti puasa

PUASA sunat enam hari di bulan Syawal ini sangatlah besar ganjarannya, namun jika dilaksanakan secara sembunyi dan tidak menghebohkan kepada orang lain itulah sebaiknya. -Foto: Freepik

Kisah ulama zuhud – Daud bin Nusair al-Tha’ie

Seterusnya, memetik blog zulhusnimatresat.com, berkongsi kisah seorang ulama zuhud Daud al-Tha’ie yang berpuasa sunat selama 40 tahun tetapi tiada seorang pun daripada ahli keluarganya yang mengetahuinya.

Beliau berkerja sebagai pembuat manik dan setiap hari akan membawa sarapan pagi bersamanya dan akan menyedekahkannya kepada sesiapa yang beliau temui di jalanan.

Beliau akan kembali kepada keluarganya untuk makan malam sedangkan mereka tidak mengetahui bahawa beliau berpuasa sebelum itu.

Baca Juga Mana lebih afdal, teruskan atau batalkan puasa enam Syawal bagi memenuhi jemputan?

Daud bin Nusair al-Tha’ie terkenal sebagai tokoh ahli ibadat dan kezuhudan. Beliau dilahirkan di Kufah setelah beberapa tahun selepas 100 Hijrah.

Beliau belajar dengan Hisyam bin ‘Urwah, al-A’masy dan beberapa guru yang lain, juga pernah mengembara ke Baghdad untuk belajar dengan Abu Hanifah.

Setelah itu, dia akan kembali semula ke Kufah dan memilih untuk menyendiri dan beruzlah, memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadat sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 160 Hijrah atau 165 Hijrah.

Seseorang pernah berkata: “Kalaulah Daud al-Tha’ie hidup di kalangan umat-umat terdahulu, nescaya ALLAH akan mengkhabarkan tentang kisah hidupnya.

doa abu bakar
Ibadah,

Ini doa yang diajarkan Nabi SAW kepada Abu Bakar As-Siddiq

Ini doa yang diajarkan Nabi SAW kepada Abu Bakar As-Siddiq

DOA berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud menyeru dan meminta. Seseorang yang berdoa menandakan bahawa dia tidak sombong dan masih memerlukan sesuatu daripada ALLAH YANG MAHA PEMBERI.

Dalam pada itu, berdoa tidak memerlukan skrip atau ayat khusus. Berdoalah dengan apa sahaja lafaz yang terlintas di minda kerana apa yang lebih penting adalah keikhlasan dan kesungguhan kita ketika menitipkan permohonan kepada ALLAH.

Bahkan, ada banyak doa sahih yang diajarkan oleh Rasulullah SAW sendiri menerusi hadis-hadis baginda.

Baca juga Jangan sesekali sakiti ibu, ini 6 kehebatan doa seorang emak

doa abu bakar

SENTIASA berdoa memohon keampunan daripada ALLAH SWT. Foto: 123rf

Baca juga Cuaca panas melampau buru nyawa manusia, dinginkan suasana dengan membaca doa ini

Antaranya, pernah suatu ketika sahabat rapat Nabi SAW, Saidina Abu Bakar As-Siddiq memohon baginda agar mengajarkan kepadanya doa untuk dibacakan di dalam solat. Maka, Rasulullah berkongsikan doa ini:

اللَّهُمَّ إِنِّى ظَلَمْتُ نَفْسِى ظُلْمًا كَثِيرًا وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ، فَاغْفِرْ لِى مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِى إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Ertinya: “Ya ALLAH, sungguh aku telah banyak menzalimi diriku sendiri dan tidak ada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau. Maka itu ampunkanlah dosaku dan rahmatilah daku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Turut disyorkan 9 doa para nabi yang boleh dijadikan amalan harian kita

doa abu bakar

DOA yang diajarkan kepada Abu Bakar as-Siddiq itu boleh diamalkan oleh kita semasa solat. Foto: Unsplash

Baca juga Sudah lama berdoa, tapi tidak dimakbulkan? Ketahui cara ALLAH terima doa kita

Amalkan dalam solat
Dalam kitab Ihkam al-Ahkam Syarah Umdah al-Ahkam, ulama Ibn Daqiq al-‘Eid berpendapat, doa itu boleh dibaca pada salah satu tempat berikut:

1. Ketika sujud
2. Sebelum salam

Selain daripada doa memohon keinginan dan kemahuan, jangan lupa untuk berdoa meminta keampunan atas segala kesalahan yang telah dilakukan, sama ada yang sengaja atau tidak sengaja. Doa di atas adalah salah satu contoh doa yang sangat baik untuk diamalkan.

Sumber: Tzkrh & Twitter Muhammad Fahmi Rusli

Foto: 123RF & Unsplash

qada puasa sempurna
Ibadah,

Qada puasa sebab rasa ibadah tidak sempurna, ini hukumnya dalam Islam

Qada puasa sebab rasa ibadah tidak sempurna, ini hukumnya dalam Islam

SUDAH beberapa minggu Ramadan telah berlalu. Meskipun umat Islam tidak lagi dituntut berpuasa, namun segelintir cekal meneruskan momentum beribadah dengan melaksanakan puasa enam Syawal pula.

Bahkan, ada sebilangan orang sudah mengorak langkah mengqadakan puasa yang tertinggal sebelumnya supaya tidaklah kelam kabut melakukan ibadah itu menjelang Ramadan akan datang.

Apalagi, bagi sesetengah individu, mereka memilih untuk melebihkan jumlah hari yang perlu digantikan gara-gara bimbang jika ada puasa dilakukan pada Ramadan lalu yang tidak begitu sempurna.

Baca juga Boleh ke dahulukan puasa sunat enam Syawal daripada qada puasa Ramadan?

qada puasa sempurna

Baca juga Boleh cium tapi jangan lebih-lebih, khuatir nanti bau makanan sebabkan puasa jadi makruh

Persoalannya, bolehkah umat Islam menggantikan puasa melebihi jumlah sepatutnya kerana perasaan waswas terhadap puasa yang dilakukan pada Ramadan lepas?

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, puasa qada Ramadan merupakan ibadah yang dilakukan bagi menggantikan puasa yang ditinggalkan dalam bulan Ramadan lalu sama ada disebabkan keuzuran ataupun sengaja tidak disempurnakan.

Tulis portal itu lagi, kewajipan tersebut perlu dilaksanakan oleh mereka yang pernah meninggalkan puasa kerana sakit, bermusafir atau telah melakukan perkara-perkara membatalkan puasa, sebelum tibanya bulan Ramadan berikutnya.

Turut disyorkan Jangan terus makan ketika berbuka puasa, sebaliknya amalkan doa terbaik sewaktu iftar

qada puasa sempurna

USAH lepaskan peluang melaksanakan puasa enam Syawal selepas berakhirnya Ramadan. Foto: Unsplash

Baca juga Tanda-tanda amalan anda diterima ALLAH sepanjang Ramadan yang lalu

Qada puasa kerana waswas
Pun begitu, pihaknya berkata, puasa tidak perlu digantikan jika ia dilakukan atas sebab waswas atau bimbang terhadap kesempurnaan puasa yang telah dilakukan pada Ramadan. Hal ini kerana puasa yang dilakukan itu tetap sah.

Selain itu, umat Islam dinasihati agar jangan berlebih-lebih dan melampau-melampau walaupun melibatkan bab ibadat sebagaimana pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW:

Hancurlah orang yang melampau-lampau. Nabi SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Teladani tiga cara Rasulullah SAW sambut ketibaan Ramadan

qada puasa sempurna

BERWASPADA dengan perasaan waswas yang timbul daripada bisikan syaitan. Foto: 123RF

Baca juga Apabila waswas membelenggu diri, cepat-cepatlah baca…

Rasa waswas adalah bisikan syaitan
Titip pihak Mufti, jauhilah sifat waswas dan ragu-ragu kerana ia sebenarnya antara bisikan syaitan untuk menimbulkan kepayahan dan menyebabkan kehidupan seharian menjadi rumit.

Malah, penyakit waswas telah diingatkan oleh Nabi SAW dan baginda pula ada memberikan penyelesaiannya dengan memetik ayat 268 Surah al-Baqarah:

Sesungguhnya syaitan ada bisikan kepada anak adam dan malaikat juga ada bisikan. Adapun bisikan syaitan, ia adalah bisikan keburukan dan memalsukan kebenaran. Adapun bisikan malaikat adalah bisikan kebaikan dan membenarkan perkara yang hak. Barangsiapa yang terlintas akan bisikan kebaikan ketahuilah ia adalah daripada ALLAH. Maka pujilah ALLAH. Sesiapa yang mendapat selain dari itu (iaitu bisikan keburukan) maka berlindunglah dengan nama ALLAH daripada syaitan yang direjam. Kemudian Baginda membaca : “Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji.” [Surah al-Baqarah : 268] (Hadis Riwayat al-Tirmizi & al-Nasaie)

Oleh itu, jika timbul perasaan waswas dalam diri, ucapkanlah أعوذ بالله من الشيطان الرجيم agar kita diberikan kefahaman oleh ALLAH dan dijauhkan daripada bisikan-bisikan yang buruk sehingga membawa kepada was-was.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: 123RF & Unsplash

Qada puasa sebab rasa ibadah tidak sempurna, ini hukumnya dalam Islam