Browsing Category

Gaya Hidup

Mandul
Gaya Hidup,

Ada yang ‘mandul’ walaupun anak ramai

“ORANG tu mandul agaknya, tak ada anak walaupun dah lama kahwin.”

Awas, berhati-hatilah apabila mengungkapkan kata-kata itu. Ia bukan sekadar berkait soal hati dan perasaan orang lain.

Namun, ada satu perkara yang perlu kita tahu. Maksud sebenar mandul dalam Islam bukan merujuk kepada mereka yang tidak memiliki zuriat!

Dalam masyarakat kita, barangkali itulah pemahaman semua orang, tetapi tidak dalam Islam.

Baca juga Ibu ayah amalkan doa ini agar anak terhindar daripada perkara sia-sia

Pendakwah Ustazah Nur Aqidah Mawardi menghuraikan panjang lebar tentang sebuah hadis yang memerihalkan tentangnya.

USTAZAH NUR AQIDAH -Foto: Facebook Nur Aqidah Mawardi

Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat tentang persoalan kalimah berkenaan.

Sabda Baginda SAW: “Apa yang kamu faham tentang mandul?” Sahabat lalu menjawab: “Mandul adalah mereka yang tidak memiliki anak.” Lalu Rasulullah bersabda: “Mandul yang sebenar adalah mereka yang memiliki anak, tapi anaknya tidak memberi manfaat buatnya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, ujar Ustazah Nur Aqidah, jelaslah perbezaan antara pertimbangan manusia dengan penilaian ALLAH SWT.

“Rasulullah SAW mendidik sahabat supaya memandang tinggi kepentingan mendidik anak yang soleh.

“Ketahuilah bahawa anak yang ramai belum tentu memberikan manfaat buat ibu bapa terutama di akhirat,” coretnya sepertimana dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya.

Disebabkan itu Baginda SAW begitu tegas dalam soal peranan anak soleh, jelas penceramah tersebut.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Apabila meninggalnya seorang manusia itu, terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara; anak yang soleh yang mendoakannya, sedekah jariah serta ilmu yang bermanfaat.” (Sahih Muslim)

Baca juga (VIDEO) Anak soleh aset ibu bapa ke syurga

Mandul

DIDIKLAH zuriat masing-masing menjadi insan yang boleh berbakti kepada agama dan ibu bapa. -Foto: 123rf

Justeru, Ustazah Nur Aqidah mengingatkan agar kita sentiasa berwaspada ketika mengatur bicara dan menyusun kata.

“Berhati-hati untuk mengeluarkan perkataan dengan tuduhan mandul kepada seseorang.

“Anak itukan rezeki. Subur macam mana pun seseorang, tetapi kalau ALLAH belum berikan (rezeki cahaya mata), janganlah kita cop orang itu mandul,” titipnya.

***Foto: Freepik

PRN
Gaya Hidup,

Pilih pemimpin berdasarkan kekayaan atau wibawa peribadinya, tepuk dada tanya iman

Pilih pemimpin berdasarkan kekayaan atau wibawa peribadinya, tepuk dada tanya iman…

PILIHAN Raya Negeri (PRN) bakal diadakan pada 12 Ogos nanti di enam buah negeri, lebih kurang seminggu sahaja lagi dari tarikh yang dinantikan oleh setiap rakyat dan ahli politik.

Tidak kisahlah parti mana pun yang disokong, pastikan pemimpin yang kita undi itulah mampu memimpin negeri dengan penuh amanah dan dedikasi.

Jangan pula kita salah pilih dan undi pemimpin berdasarkan kekayaan semata-mata, kerana faktor tersebut tidak akan menjamin kewibawaan seseorang itu dalam memimpin.

Menurut Mufti Wilayah di laman Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-720: Memilih Pemimpin Berdasarkan Wang Harta Dan Kekayaan, menjelaskan seorang Muslim yang mahu memilih pemimpin tidak dibenarkan mengangkat seseorang calon kerana wang atau harta kekayaan.

“Hal ini kerana kewajipan syariat menerangkan supaya kita memilih calon pemimpin yang mempunyai keperibadian yang baik, serta menilai kelayakannya berasaskan kecekapan dan kompeten dalam mentadbir serta menjalankan pemerintahan.

“Nabi SAW menjelaskan antara golongan yang akan diberi azab yang pedih ketika akhirat adalah golongan yang mengangkat pemimpin kerana habuan keduniaan seperti wang, dan jika tidak diberi jawatan tersebut kepadanya pula maka dia akan marah dan meninggalkan pemimpin tersebut.

(PRN) yang bakal diadakan pada 12 Ogos 2023 di enam buah negeri.

ALLAH SWT menegur sekalian umat manusia mengenai pemilihan kepimpinan berdasarkan wang harta, ini dapat dilihat melalui kisah Yahudi di dalam al-Quran: “Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya ALLAH telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya ALLAH telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Dan (ingatlah), ALLAH jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA; dan ALLAH MAHA LUAS (rahmat-NYA dan pengurniaan-NYA), lagi meliputi ilmu-NYA”. (Surah al-Baqarah ayat 247)

“Syeikh Wahbah Zuhaili dalam tafsirnya mengatakan ayat ini menjelaskan bahawa kepimpinan bukan berdasarkan pewarisan dan bukan juga berdasarkan kekayaan seseorang, tetapi dipilih berdasarkan kompeten kecekapan, ilmu pengetahuan, kemahiran, keperibadian yang utuh dan kemahuan yang teguh.

Artikel Berkaitan 

“Ibnu Abbas menceritakan pemilihan Talut sebagai pemimpin di kalangan bani Israel ketika itu kerana beliau merupakan orang yang paling bijak serta memiliki kekuatan tubuh badan yang sempurna, yang mana akan membuatkan musuh takut dan gentar.

“Dalam ayat ini ALLAH menjelaskan faktor pemilihan Talut adalah berdasarkan ilmunya yang luas (kekayaan sebenar manusia) dan kekuatan fizikalnya yang mampan (faktor kekuatan untuk berperang dan keyakinan ketika perjumpaan bersama manusia yang lain).

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

“Jadi ayat ini menjelaskan kriteria seorang pemimpin dan keadaan yang bersangkut paut dengan kepimpinan, di mana orang yang layak menjadi pemimpin adalah orang yang mempunyai ilmu, agama dan kekuatan tubuh badan. Pemimpin juga tidak harus dipilih melalui nasab keturunannya,” jelasnya.

Tiga golongan ALLAH murka

Mufti menjelaskan lagi, terdapat juga sebuah hadis yang menyebut mengenai golongan-golongan manusia di mana ALLAH benci dan murka terhadap golongan ini di akhirat kelak.

Baca Juga Ini suara anak muda Muslim terhadap kerajaan baharu

“Antara golongan yang disebut adalah mereka yang berbaiah atau mengikut pemimpin hanya jika mereka diberikan sejumlah wang harta atau pemberian.

“Nabi SAW bersabda “Tiga golongan yang ALLAH berpaling daripada mereka di akhirat kelak; golongan yang menyekat orang-orang di jalanan daripada akses air, golongan yang bersumpah atas sesuatu barang yang bermaksud pendustaan, dan golongan yang berbaiah kepada pemimpin di mana mereka mendapat habuan daripadanya, jika tidak ada habuan tersebut maka mereka tidak mentaatinya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Pemimpin tipu rakyat

PARA pemimpin wajib menjauhkan diri mereka dengan perkara yang boleh membawa kemungkaran
seperti mengambil rasuah atau riba, menyembunyikan kebenaran dan mementingkan diri sendiri.

“Syeikh al-Azim Abadi dalam kitabnya menerangkan golongan terakhir yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah golongan manusia yang mengangkat pemimpin demi untuk habuan keduniaan.

“Imam al-Munawi pula dalam karyanya menjelaskan golongan ketiga yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah golongan yang mempunyai perjanjian dengan pemimpin dalam melaksanakan undang-undang, melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran, tetapi tujuan dia melakukan sedemikian kerana mahukan balasan dan habuan keduniaan. Jika pemimpin tersebut tidak memberikan apa yang dikehendakinya maka dia tidak akan mengikut pemimpin tersebut,” ujarnya.

Turut Disyorkan Ibrah kisah Zulqarnain, pemimpin yang penuh sifat qawwam

Berdasarkan pencerahan di atas, kita dapat mengetahui bahawa kekayaan dan harta bukan faktor utama dalam pemilihan kepimpinan, bahkan ALLAH mencela orang-orang yang mengangkat seseorang pemimpin kerana wang harta dan habuan keduniaan.

Seorang Muslim harus memperhatikan ciri-ciri seperti keilmuan, kejujuran, kecekapan bekerja, taat kepada perintah agama dan kemahuan yang benar untuk membantu orang yang dalam kesusahan.

talak gurauan
Gaya Hidup,

Niat ceraikan isteri kerana politik? Jangan sesuka hati jatuhkan talak walaupun untuk bergurau

Niat ceraikan isteri kerana politik? Jangan sesuka hati jatuhkan talak walaupun untuk bergurau

MEDIA sosial seringkali menjadi platform untuk masyarakat meluahkan perasaan atau memberikan pendapat tentang suatu isu semasa. Ada sahaja perkara yang dibangkitkan setiap hari di internet.

Namun, baru-baru ini sebuah hantaran mencuri perhatian netizen gara-gara pernyataan berani seorang individu berkaitan hal politik.

Memetik sebuah media tempatan, dalam sebuah ‘posting’ di laman Facebook, seorang warga maya berkata ingin menjatuhkan lafaz talak tiga terhadap isterinya sekiranya kerajaan terkini mampu bertahan lama.

Baca juga Jangan pamerkan kemesraan suami isteri berlebih-lebihan di media sosial. Ini sebab-sebabnya…

talak bergurau

“Wallahi, saya akan ceraikan bini (isteri) saya dengan lafaz talak tiga jika PMX (Perdana Menteri Kesepuluh, Anwar Ibrahim) dan Kerajaan Perpaduan masih bertahan sampai bulan 8, 2023,” tulis hantaran tersebut.

Baca juga Jatuhkan talak guna alat komunikasi moden kaedah yang tidak tepati adab penceraian

Pun begitu, difahamkan selepas ia tular, individu dimaksudkan telah tampil bersuara bahawa hantaran itu merupakan suatu lemparan fitnah yang menggunakan nama akaun media sosial miliknya berserta gambar bersama isteri sewaktu menyambut ulang tahun perkahwinan ke-26.

Jelasnya, hantaran yang dibuat sekitar bulan Februari awal tahun ini tersebut adalah palsu dan telah disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menjatuhkan maruahnya dengan menggunakan agenda politik.

Sabda Nabi SAW, “Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak)” (Hadis Riwayat Abu Daud). Foto: 123RF

ARTIKEL BERKAITAN:

Cerai dan talak tidak boleh dijadikan gurauan
Benar atau tidak, kisah itu sepatutnya dijadikan iktibar kepada kita agar tidak sewenang-wenangnya melafazkan talak walaupun sebagai gurauan.

Kata penceramah bebas, Ustaz Muhamad Abdullah, lafaz talak terbahagi kepada dua jenis iaitu lafaz yang jelas (sarih) atau tidak jelas (kinayah).

USTAZ Muhamad Abdullah (Ustaz Amin)

Ujarnya menerusi rancangan bual bicara, Tanyalah Ustaz, lafaz cerai yang dilafazkan secara jelas oleh seorang suami kepada isteri seperti, ‘Saya ceraikan awak,’ akan menyebabkan jatuhnya talak meskipun ia dilakukan secara gurauan.

Sebaliknya, bagi lafaz cerai secara kinayah, ia bergantung kepada niat orang yang melafazkan sama ada talak dijatuhkan atau tidak. Dalam hal itu, Mahkamah Syariah akan menentukan status perkahwinan tersebut.

Oleh itu, pendakwah tersebut menegaskan agar menjauhi gurau senda yang melibatkan talak dan perceraian.

Secara umumnya Islam tidak melarang gurauan, namun kita perlu sedar dan tahu batasnya kerana tidak semua perkara boleh dijadikan bahan ketawa.

Sumber: Ohmymedia & Adakah Jatuh Talak Ketika Bergurau? 

Foto: Pexels, Youtube & Facebook

rider bantu adik istimewa
Gaya Hidup,

ALLAH bayar ‘cash’, rezeki rider bantu adik istimewa betulkan rantai basikal ke surau

ALLAH bayar ‘cash’, rezeki rider bantu adik istimewa betulkan rantai basikal ke surau..

MUSLIMIN sentiasa diseru untuk berbuat kebajikan walaupun sekecil zarah.

Malah ALLAH SWT juga menjanjikan pahala kepada setiap hamba-NYA yang melakukan kebaikan tidak kiralah sesama manusia mahupun makhluk lain seperti pokok, haiwan dan sebagainya.

Sehinggakan apa jua kebaikan yang dibuat kepada seseorang itu sudah semestinya perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan tanpa mengharap sebarang balasan melainkan memohon ganjaran daripada ALLAH.

Islam juga mengajar, sekiranya seseorang tidak dapat membalas kebaikan dengan memberikan apa yang terbaik kepadanya maka dibolehkan juga untuk berdoa kepadanya.

Baca Juga ‘Design’ muka orang jadi stiker ‘Whatsapp’, memanglah kelakar tapi boleh datangkan DOSA!

Ini bertepatan dengan hadis Baginda Rasulullah SAW “Jika engkau tidak mendapati sesuatu yang dapat membalas kebaikannya itu, maka berdoalah untuknya hingga engkau menganggap bahawa engkau benar-benar telah membalas kebaikannya. (Hadis Riwayat Abu Daud)

Apa yang lebih menarik, kebaikan yang ditonjol oleh setiap individu juga dapat menjadikan hubungan harmoni sesama manusia.

APABILA didekati untuk membantu dia kemudian menyedari adik tersebut merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) Sindrom Down. 

Seperti video yang tular di media sosial baru-baru ini, memaparkan tindakan seorang penghantar makanan yang membantu seorang individu istimewa dan tidak sangka dengan rezeki yang dimilikinya selepas perkara itu.

Menerusi video yang dikongsikan oleh Wan Pedro Chaka awalnya dia terlihat seorang adik yang duduk di tepi jalan sambil melihat ke arah rantai basikalnya. Dia kemudian berfikir mungkin rantainya tercabut sebelum bertindak untuk bertanya kepada adik berkenaan.

Apabila didekati untuk membantu dia kemudian menyedari adik tersebut merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) Sindrom Down. Wan kemudian meminta adik itu menunggunya di situ sementara dia menghantar makanan yang dipesan oleh pelanggan di rumah berdekatan.

Artikel Berkaitan 

“Jadi aku datang balik nak tolong dia lah. Jadi seperti yang fikir tadi memang betul rantai dia tercabut, aku pun turunlah tolong dia macam dalam video.

“Lepas tu hujung-hujung tu aku ada tanya dia ‘adik nak pergi mana surau ke?’. Yelah sebab dia pakai kopiah dan depan tu sikit ada surau,” ujarnya sambil meminta adik itu berhati-hati.

Adik itu kemudian mengucapkan terima kasih dan berlalu pergi menuju ke destinasinya.

RATA-RATA warganet terharu dengan kisah yang dikongsi rider tersebut. 

Namun selepas sahaja membantu kanak-kanak itu, Wan kemudian menyatakan dia mendapat sekitar lima hingga enam pelanggan yang memberikannya tips bernilai RM5 dan ke atas.

“Aku rasa macam wow, ALLAH SWT bayar ‘cash’. Yelah benda aku boleh je pulang baki tak ada masalah pun. Tapi tulah, aku rasa hari tu duit tips sahaja aku dapat dalam RM50.

“Siapa nak bagikan? dalam app lagi ada pelanggan bagi tip. Maknanya memang betul la orang kata kalau kau buat kebaikan ALLAH SWT balas dengan kebaikan. Tapi kalau kau buat kejahatan kadang ALLAH tak balas pun sebab dia masih sayangkan kau,” ujarnya lagi.

Baca Juga Poket selalu kering, Ustaz Hanafi perturun tip praktikal untuk murah rezeki, langkah keempat paling padu

Menurut Wan, tujuan dia merakam momen itu hanyalah untuk simpanan sendiri dan jauh sekali untuk menunjuk.

“Jadi lepas ni kalau korang ada nampak orang dalam kesusahan tepi jalan dekat mana-mana, jika ada masa dan ruang cubalah bantu.

“Mana tahu ALLAH SWT balas lebihkan? Semoga korang semua yang baca dipermudahkan urusan dan dilancarkan rezeki,” luahnya lagi.

———————————————————————————————————–

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Ibu bapa
Gaya Hidup,

Lakukan 5 perkara ini untuk ibu bapa sebelum kita menyesal

BERUNTUNGLAH kepada yang masih punya ibu bapa. Ini kerana ‘syurga’ mereka berada di depan mata.

Peluang untuk berbakti kepada orang tua masih terbentang luas. Malah, titipan doa mereka yang sentiasa mengiringi perjalanan hidup kita akan memberkati hari-hari sang anak di dunia ini.

Sebelum insan-insan kesayangan kita pergi dijemput Ilahi, ayuh sama-sama kita mengaudit diri terhadap layanan dan khidmat yang dicurahkan kepada ibu bapa.

Pendakwah Ustaz Muhamad Rizal Johari berkongsikan 5 perkara yang perlu kita lakukan terhadap orang tua kita sebagaimana disiarkan dalam hantaran laman sosial Facebook miliknya.

Ayuh sama-sama kita lakukan perkara ini sebelum menyesal pada kemudian hari;

1. Jangan sesekali tinggal doa untuk ibu bapa kita setiap hari.

Baca juga [VIDEO] Boleh doakan ibu bapa yang bukan Islam, tapi…

Tidak kiralah sama ada orang tua kita masih hidup atau sudah meninggal dunia, doakanlah untuk mereka setiap hari. Ia bagi menjadikan kehidupan kita berkah.

Ibu bapa

SAMA ada ibu bapa kita masih hidup atau sudah meninggal dunia, jangan tinggalkan doa buat mereka pada setiap hari. -Foto: Bernama

Doa yang dianjurkan: اَللّهُمَّ اغْفِرْلِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَارْحَمْهُمَاكَمَارَبَّيَانِيْ صَغِيْرَا (Allahummaghfirli wa liwaalidayya war hamhuma kama rabbayani saghira)

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ampunilah daku dan kedua orang tuaku dan sayangilah mereka sebagaimana mereka menyayangiku di waktu aku kecil.”

2. Selalulah minta keredaan daripada ibu ayah kita.

Jangan lepaskan peluang itu selagi mereka masih berada bersama kita. Andai tidak dapat pulang ke kampung, setidak-tidaknya bertanyalah khabar mereka jika duduk jauh dari kita dan mohon kedua-dua orang tua mendoakan kita.

Ketahuilah, doa orang tua ini, masya-ALLAH sangat makbul.

3. Salam, peluk dan cium mereka.

Bagi mereka yang masih ada ibu bapa, jangan sampai kita tidak salam, peluk ataupun mencium ibu bapa masing-masing. Kita akan menjadi anak yang paling teruk jika tidak berbuat demikian.

Walaupun orang tua kita tidak seperti ibu ayah yang lain, tetaplah sayangi mereka. Tidak kiralah siapa pun mereka, jalankanlah tugas kita dalam menyantuni mereka.

Ibu bapa

SALAM, peluk dan ciumlah ibu bapa masing-masing selagi ‘syurga’ kita itu masih ada di dunia ini. -Foto: 123rf

Sekalipun mereka bukan Islam, ia bukan tiket untuk kita menderhaka. Sebaliknya sebagai anak, kita wajib berbuat baik kepada mereka.

4. Jangan kedekut bersedekah kepada ibu dan ayah kita.

Baca juga Menantu Wajib Beri Nafkah Pada Mertua? Ini Yang Perlu Kita Tahu

Setiap kali dapat gaji, sisihkan sedikit wang kita untuk mereka. Insya-ALLAH berkat rezeki kita nanti.

5. Bersabar andai terasa hati dengan mereka.

Adakalanya seorang anak terasa hati atau mungkin terguris dengan perbuatan ibu bapa masing-masing. Namun begitu, tahanlah hati kita dengan bersabar dan cepat-cepat tawan semula hati mereka.

Jangan dibiarkan berlarutan, apatah lagi memulaukan mereka. Satu lagi, usah pula kita yang merajuk. Ini sangat tidak betul!

Sedangkan jika kita berkata ‘ah!’ pada mereka pun, ALLAH SWT sudah haramkan syurga buat kita, inikan pula kita merajuk dengan ‘sumber’ jannah kita.

Ibu bapa

BERSABARLAH andai kita terasa hati atau terguris dengan perilaku orang tua kita. -Foto: 123rf

Baca juga Adakah dikira derhaka jika tegur ibu bapa lakukan kesalahan?

Maka berhati-hatilah dengan tone atau nada suara kita apabila bercakap dengan mak ayah kita.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Ustaz Muhamad Rizal yang juga penulis buku kerohanian menitipkan pesan bahawa reda kedua ibu bapa merupakan prasyarat untuk kita ke jannah.

“Jika ibadah kita baik sekalipun, tetapi hubungan kita dengan mak ayah tidak baik, maka kita tetap akan binasa,” titipnya.

***Foto: Canva

Kamilin Jamilin
Berita Semasa, Gaya Hidup,

Ancaman berpakaian syuhrah untuk tampil berbeza atau mencari populariti

BERPAKAIAN atau mengenakan fesyen yang pelik supaya mata orang tertumpu kepadanya merupakan perbuatan yang dilarang sekeras-kerasnya oleh Baginda Nabi SAW.

Kononya ingin tampil dengan fesyen yang unik daripada orang lain, tetapi sebenarnya ia termasuk dalam golongan libas asy-syuhrah iaitu pakaian yang mengundang perhatian.

Walaupun perkara ini telah lama dipertontonkan, namun baru-baru ini kembali hangat apabila salah seorang artis Malaysia mengenakan fesyen yang agak pelik di sebuah majlis anugerah bintang popular sehingga mengundang kritikan ramai.

Baca Juga Percaya syurga bukan hanya untuk orang Islam? Ustaz Kamilin tegur kenyataan tidak berasas itu

Tampil bersuara akan isu ini,Pensyarah di Fakulti Pengajian Pengajian al-Quran dan as-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ustaz Kamilin Jamilin menegaskan walaupun fesyen tersebut tidak mendedahkan aurat sekalipun namun ia termasuk dalam kategori libas al-syuhrah iaitu pakaian yang tersangat pelik.

Kongsinya menerusi satu hantaran video di laman media sosial, perkara ini boleh menyebabkan kepada pembaziran dan mengundang kepada sifat riak. Riak ini muncul apabila kita merasa lebih hebat dan unik daripada orang lain.

“Bila kita terbiasa meraih perhatian ramai, maka lebih susah untuk kita menjaga hati, walaupun kita mengatakan tidak riak, tetapi Islam cuba mencegahnya daripada benda-benda tersebut terjadi.

“SESIAPA yang memakai pakaian syuhrah, ALLAH akan memakaikannya pada Hari Kiamat pakaian kehinaan” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibn Majah, Abu Daud)

 

“Kerana sifat-sifat sebegitu boleh menghalang kita daripada masuk ke syurga dan balasannya di akhirat sangat berat.

“Semoga ALLAH menjauhkan kita daripada perkara ini, kepada sahabat-sahabat khususnya artis dan selebriti, jauhkanlah diri daripada mengundang ke arah pakaian syuhrah ini,” ujarnya.

Pakai busana kehinaan di hari Kiamat

Seterusnya memetik laman Jabatan Mufti Negeri Perlis oleh Prof Dato Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin mengenai fesyen pelik ini, secara terangnya Nabi SAW melarang pakaian syuhrah.

Menurutnya, asal perkataan syuhrah bermaksud yang menonjol atau yang jelas nampak atau tersebar.

“Ungkapan pakaian (libas / thaub ) syuhrah yang digunakan dalam hadis Nabi SAW, di mana baginda bersabda “Sesiapa yang memakai pakaian syuhrah, ALLAH akan memakaikannya pada Hari Kiamat pakaian kehinaan” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibn Majah, Abu Daud)

“Pakaian syuhrah yang dimaksudkan dalam hadis ialah pakaian yang pelik bagi penduduk atau sesiapa yang berada di negeri atau tempat pakaian tersebut dipakai. Dalam erti kata lain pakaian yang menyalahi uruf (suasana) setempat.

Turut Disyorkan Sesungguhnya kerja harian itu cuma selingan sambil menunggu waktu solat

DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

“Ia akan membuatkan mata orang ramai tertumpu kagum atau rasa ganjil terhadap pemakai. Pakaian itu dipakai atas kesombongan yang ada dalam diri pemakaian.

“Tujuannya agar mata orang ramai tertumpu padanya, merasakan diri istimewa sama ada di sudut kekayaan atau di sudut kewarakan beragama. Inilah yang dihuraikan oleh para ulama seperti al-Imam al-Syaukani.

“Maka, pakaian atau fesyen yang cantik tidak salah jika tidak menjadikan ia jelas menyanggahi uruf setempat sehingga menimbulkan rasa ganjil atau pelik di mata orang ramai serta ia dipakai bukan kerana kesombongan dan bongkak.

“Ertinya, pakaian syuhrah itu dinilai berdasarkan uruf setempat dan niat pemakainya.

“Maka, kemungkinan pakaian yang dilihat syuhrah di suatu tempat, tidak menjadi syuhrah di tempat yang lain kerana niat juga memainkan peranan penting.

“Pakaian yang dilihat selekeh pun jika tujuan untuk menarik perhatian orang ramai tertumpu kepadanya agar mereka menganggap dirinya zuhud, wali dan seumpamanya juga termasuk dalam syuhrah,” katanya.

Artikel Berkaitan 

 

syukur kepada ALLAH
Gaya Hidup,

Ini 4 cara untuk kita menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH

Ini 4 cara untuk kita menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH

ANDAI kata kita menerima hadiah daripada seseorang, pasti ada rasa syukur yang terbit di hati. Dalam masa sama, mulut turut menuturkan terima kasih atas tanda penghargaan terhadap pemberian tersebut.

Jika hanya dengan menerima hadiah tidak seberapa sudah mampu membuatkan kita rasa bahagia, bayangkan segala nikmat kecil dan besar yang ALLAH SWT telah kurniakan kepada kita setiap hari tanpa kita sedari.

Misalnya, udara segar untuk dihirup, kesihatan yang baik dan makanan yang dijamah waktu tengahari tadi, semuanya adalah ‘hadiah’ ALLAH ke atas hamba-hambaNYA. Jadi, sudahkah kita berterima kasih menzahirkan kesyukuran tertinggi kepada-NYA?

Baca juga Sahkah sujud syukur pemain bola Piala Dunia sedangkan kepala lututnya terjojol?

Turut disyorkan Dua nikmat yang sering kita lupa… 

Kata ulama terkemuka Imam al-Ghazali, syukur merupakan salah satu maqam (darjat) yang paling tinggi daripada sabar dan khauf (takut kepada ALLAH Taala).

Dengan rasa syukur yang hadir di jiwa, kita sebenarnya menjunjung tinggi nikmat yang diperolehi sambil mengagungkan Tuhan Yang Maha Pemberi.

Tetapi bagaimana caranya untuk kita menzahirkan kesyukuran kepada ALLAH SWT atas segala nikmat-NYA?

syukur kepada ALLAH

SUDAHKAH anda berterima kasih kepada ALLAH atas nikmat-NYA hari ini? Foto: 123RF

1. Bersyukur dengan hati.
Iaitu dengan mengakui dan mempercayai bahawa segala nikmat yang kita perolehi ini sama ada kecil, besar, banyak atau sedikit adalah daripada ALLAH SWT bukan yang lain. Walaupun, secara mata kasarnya kita melihat bahawa segala kenikmatan yang kita perolehi itu kadang datangnya dari manusia. Namun, perlu disedari bahawasanya manusia itu hanyalah sebagai perantara sahaja.

Firman ALLAH, “Dan, apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka dari ALLAH lah (datangnya) dan apabila kamu ditimpa oleh kemudaratan, maka hanya kepada-NYA lah kamu meminta pertolongan.” (Surah an-Nahl, ayat 53)

ARTIKEL BERKAITAN:

2. Bersyukur dengan lisan.
Iaitu dengan mengucapkan secara jelas ungkapan syukur itu berupa hamdalah; puji-pujian kepada ALLAH SWT dengan lafaz ‘Alhamdulillah’ yang bermaksud ‘Segala Pujian bagi ALLAH’. .

Semakin banyak dan kerap kita panjatkan kesyukuran, maka semakin banyaklah nikmat lain yang akan kita perolehi kelak. Hal ini sepertimana janji ALLAH SWT dalam al-Quran:

Dan (ingatlah juga) tatkala Tuhanmu memberitahu, ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti KAMI akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azab-KU sangat pedih’.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

syukur kepada ALLAH

ANTARA cara bersyukur kepada nikmat ALLAH adalah dengan mentaati segala perintah-NYA. Foto: 123RF

3. Bersyukur dengan amal perbuatan.
Iaitu dengan menggunakan nikmat tubuh badan seperti nikmat mata, telinga, lidah, tangan, perut, kemaluan dan kaki untuk hal-hal yang baik. Mata disyukuri dengan cara melihat setiap satu ciptaan ALLAH SWT serta merasai keagungan-NYA juga tidak melihat perkara-perkara yang diharamkan.

Telinga disyukuri dengan cara mendengar perkara yang baik-baik seperti bacaan al-Quran mahupun tazkirah. Lidah pula disyukuri dengan cara memperbanyakkan zikrullah ataupun ucapan selawat ke atas Rasulullah SAW.

Seterusnya, tangan disyukuri dengan cara menggunakannya untuk tujuan yang baik seperti membantu orang lain yang memerlukan. Nikmat perut disyukuri dengan cara memakan makanan yang halal dan tidak membazir.

Manakala nikmat seksual pula disyukuri dengan cara menggunakannya hanya pada yang halal sahaja iaitu antara suami dan isteri yang telah sah diijab kabulkan. Dan, kaki pula disyukuri dengan cara menggunakannya ke tempat yang baik seperti majlis ilmu atau masjid.

Baca juga Jangan abaikan 10 adab ini supaya doa dimakbulkan ALLAH SWT

Turut disyorkan Ucaplah terima kasih kepada ALLAH dengan bersujud syukur. Berikut perinciannya.

4. Bersyukur dengan nikmat pemberian.
Iaitu dengan cara memanfaatkan segala nikmat yang dikurniakannya berupa harta benda, wang ringgit, masa mahupun ilmu, ke jalan yang diredai oleh ALLAH SWT.

Harta yang banyak boleh diinfakkan untuk mereka yang memerlukan. Nikmat ilmu yang diperolehi pula boleh dikongsi dan diajarkan kepada orang lain. Manakala nikmat masa pula digunakan dengan cara yang sebaiknya dan tidak sia-sia.

Begitulah antara beberapa perkara yang boleh kita laksanakan dalam mensyukuri segala nikmat pemberian ALLAH SWT ini. Syukur itu bukan hanya dizahirkan melalui harta benda, bahkan melalui rukuk dan sujud kita kepada ALLAH juga sudah membuktikan syukur serta taat kita kepada-NYA.

Sumber: Tzkrh 

Foto: 123RF

Cabaran ketika hijrah
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Contohi kekuatan jiwa rasul hadapi cabaran ketika hijrah peribadi

Contohi kekuatan jiwa rasul hadapi cabaran ketika hijrah peribadi

DALAM beberapa minggu ini rakyat Malaysia disajikan dengan beberapa kisah pahit dan manis seperti kejayaan cemerlang calon-calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan kejadian seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang mencekik adik kandungnya sehingga mati di Kampung Bukit Piatu, Melaka Tengah.

Mangsa dipercayai berubah sikap selepas menjadi mangsa buli di sekolahnya. Kejadian buli seperti tidak pernah berkesudahan dan sentiasa berulang. Justeru, apakah solusi terbaik dalam menangani krisis jiwa dan keruntuhan akhlak ini?

Hakikatnya suka atau tidak, umat Islam mesti kembali kepada agama yang mengajar erti ketabahan mental. Ayuh kita singkap lembaran sejarah Islam agar dapat meminjam sedikit semangat juang para anbia dan solihin.

Baca juga Pernah diuji sakit berkaitan mental… Ini ikhtiar yang dilakukan oleh bekas pesakit hingga sembuh 

Tenang melangkah

Ketahanan mental yang dimiliki oleh penghulu agung para Muslimin iaitu Nabi Muhammad SAW cukup luar biasa. Baginda tetap yakin dengan bantuan ALLAH SWT.

Cabaran ketika hijrah

KECEKALAN dan ketabahan junjungan besar Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah wajar diteladani. Baginda berdepan dengan cabaran ketika hijrah. -Foto: Canva

Tatkala dikepung musyrikin Quraisy pada malam hijrah, dengan tenang baginda keluar dari rumah melewati puak kuffar yang lengkap bersenjata tanpa sekelumit gerun. Bahkan, baginda terus melangkah sambil menebarkan segenggam debu dan membaca surah Yasin ayat 9 yang bermaksud: “Dan Kami adakan di hadapan mereka dinding dan di belakang mereka dinding (pula), dan Kami tutup (mata) mereka sehingga mereka tidak dapat melihat.”

Baginda meninggalkan Makkah untuk berhijrah ke Yathrib (Madinah). Persinggahan pertama ialah gua Tsur, lokasinya di puncak gunung yang sangat sukar didaki, bahkan oleh orang muda.

Namun, berbekal kekentalan semangat, Rasulullah SAW yang ketika itu berusia 53 tahun, baginda berjaya sampai ke puncak.

Musuh tidak betah menunggu lama. Mereka berjaya menghidu pergerakan baginda dan Saidina Abu Bakar RA, lalu mengekori rapat hingga ke tempat persembunyian Rasulullah.

Baca juga Lawatan ke lokasi bersejarah di Tanah Suci mampu tingkatkan takwa

Meskipun keliru dengan tanda-tanda keberadaan Nabi di dalam gua, tentera kafir tetap berkeliaran di pintu gua mencari Nabi, namun gagal menemukan, apatah lagi menangkap pemimpin Islam itu.

Bayangkan jika kita berada dalam suasana menggerunkan itu, pasti akan terus rasa putus asa dan menyerah diri.

Keteguhan iman jadi paksi jiwa

Cabaran ketika hijrah

TELADANI kekuatan jiwa para nabi dan rasul yang pernah berhadapan dengan cabaran kehidupan ketika melakukan hijrah peribadi. -Foto: 123rf

Nilai keutuhan hati yang kental itu menunjukkan sebuah jiwa yang dijalin rapi bersama paduan iman menjadikan Rasulullah dengan tenang berkata kepada sahabatnya ayat yang sukar dipercayai ini: “Wahai Abu Bakar, apa yang kamu fikirkan tentang dua – bila ALLAH adalah yang ketiga daripada mereka?” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Surah at-Taubah ayat 40 turut merakam peristiwa hebat itu. “Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya ALLAH telah pun menolongnya iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya ALLAH bersama kita.” Maka ALLAH menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan ALLAH menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan kalimah ALLAH (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.”

Andai masih ada umat terkemudian yang cuba menafikan kisah di atas dengan memberikan gambaran salah tentang keimanan baginda kepada ALLAH, jangan lupa bukti paling kukuh adalah kewujudan Abu Bakar yang turut menyaksikan betapa tenangnya Rasulullah berdepan suasana getir itu.

Ujian tingkatkan maqam iman

Situasi itu sama dengan apa yang berlaku kepada Nabi Musa AS dan umatnya ketika di kejar tentera Firaun hingga ke pantai Laut Merah.

Baca juga [Video] 22 Mumia Firaun Di Kaherah Diarak Secara Besar-besaran

Kisah itu dirakam dalam surah asy-Syu’ara’, ayat 61-62 yang mafhumnya: “Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: ‘Sesungguhnya kita akan dapat ditawan.” Nabi Musa menjawab: “Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemuliharaan dan pertolongan-Nya), Ia akan menunjuk jalan kepadaku.”

Begitu juga keadaan kekuatan jiwa Nabi Ibrahim AS ketika dicampakkan ke dalam api yang sedang marak oleh tentera Raja Namrud. Raja zalim tersebut dan semua yang hadir menyaksikan seksaan itu beranggapan bahawa Ibrahim akan rentung dimamah api.

Cabaran ketika hijrah

NABI IBRAHIM AS diuji dengan dicampakkan ke dalam api yang marak, namun Baginda tenang menghadapinya. Namun, berkat kasih sayang dan kekusaaan ALLAH, api itu sedikit pun tidak mencederakan kulit Baginda. -Foto: Canva

Namun, berkat kasih dan kekuasan ALLAH, api itu tidak sedikit pun mencederakan kulit baginda. Hal itu diceritakan dalam Surah al-Anbiya, ayat 69 yang maksudnya: “Hai api, jadilah engkau sejuk dan selamat sejahtera kepada Ibrahim!”

Peristiwa yang dinyatakan itu menunjukkan tahap keimanan tinggi dimiliki oleh nabi-nabi dan rasul-rasul walaupun secara rasionalnya dunia telah berputus asa tetapi mereka tetap tabah serta berani melakukannya kerana kekuatan iman yang sejati.

Bersempena kehadiran Muharram yang menjadi simbol penghijrahan, marilah kita pasakkan nilai ketabahan ibrah sirah Rasul ke dalam jiwa ketika berdepan pelbagai cabaran agar hidup ini lebih bermakna.

***Artikel ditulis oleh Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia & Kaunselor Berdaftar Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Umur
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Umur anugerah dan rahsia ALLAH, jangan alpa dengan nikmat kurniaan-NYA

ISLAM mengajar umatnya memahami bahawa umur merupakan anugerah ALLAH SWT. Malah, setiap fasa kehidupan waima muda mahu pun tua mempunyai tujuan dan nilai yang penting.

Bagaimanapun, masih ada segelintir orang yang menyimpan persepsi ‘orang muda hidup lama, yang tua pergi dulu’.

Baca juga Usah persiakan usia, mengabaikannya lebih teruk daripada kematian

Namun begitu, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Ustazah Nurzahidah Jaapar mengingatkan, perihal usia merupakan urusan dan rahsia ALLAH.

USTAZAH NURZAHIDAH

“Bahkan, umat Islam dituntut sentiasa bersedia dengan jangkaan kematian kerana ia kunci menyuburkan iman,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Lantaran itu, beliau berpesan agar setiap Muslim disunatkan mengingati hal-hal kematian dan memohon keampunan-NYA agar ditempatkan dalam kalangan para anbia, siddiqin, syuhada dan solihin.

Baca juga Mengingati mati mengurangkan hasrat duniawi kita. Ketahuilah, sakit bukanlah syarat kepada kematian

“Benar, manusia sentiasa alpa dalam hal itu. Suka atau tidak, kita perlu melakukan perubahan terhadap diri seiring peningkatan usia. “Paling tidak pun, lakukan refleksi diri dengan mengambil ibrah daripada peristiwa Maal Hijrah.

“Sebaik memasuki tahun baharu dalam kalendar Hijriah, maka detik itu menjadi kesempatan melihat kembali pencapaian, kegagalan dan pengalaman belajar sepanjang tahun sebelumnya,” terangnya.

Bersihkan hati, murnikan niat

Bukan itu sahaja, ujar Ustazah Nurzahidah, Maal Hijrah merupakan waktu terbaik membersihkan hati dan memurnikan niat dalam kehidupan.

Pensyarah itu menambah, pertambahan usia sepatutnya mendorong kita memperbaiki sikap, tujuan dan niat dalam semua aspek kehidupan.

“Ia termasuklah perihal ibadah, hubungan sosial dan kehidupan seharian.

“Antara langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan kesedaran diri mengenai usia yang dikurniakan oleh ALLAH adalah dengan cara membaca dan memahami al-Quran, menyedari keterbatasan manusia dalam urusan dunia serta menggali ilmu dan bimbingan duniawi, juga ukhrawi,” ungkapnya.

Baca juga Mengapa hati mudah goyah ketika hijrah?

Bagi mendapatkan umur yang berkat, Ustazah Nurzahidah berkongsikan satu doa yang boleh diamalkan. Doa itu berbunyi: “Ya ALLAH, berikanlah aku umur yang panjang dengan kesihatan badan, kesempatan dalam taubat, memanfaatkan rezeki dan beramal soleh dalam kehidupan yang baik.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Umur

BERDOALAH supaya ALLAH SWT memberi keberkatan pada umur kita. -Foto: 123rf

Seperkara lagi, ahli akademik itu mengingatkan, dalam kita melakukan penghijrahan ke arah yang positif, konsistensi dan kesabaran menjadi kunci utama dalam menghadapi cabaran berkenaan.

Oleh itu, katanya, betapa pentingnya seseorang individu untuk menetapkan niat dan azam di sebalik perubahan tersebut, sekali gus menjadi motivasi untuk mereka terus beristiqamah.

“Selain itu, tingkatkan pengetahuan dan ilmu mengenai hukum-hakam agama. Pemahaman yang jelas akan memberi manfaat terhadap transisi dilakukan. Paling penting, cari komuniti dan persekitaran yang betul untuk berubah.

“Satu lagi, jangan lupa untuk berdoa dan melazimkannya bagi meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada-NYA. Selanjutnya, kenali cabaran untuk istiqamah dan mencari solusi menghadapinya.

“Kemudian, semak perkembangan yang dicapai dan kenali perkara yang masih perlu diperbaiki. Akhir sekali, letaklah kebergantungan dan tawakal kita kepada-NYA,” ungkapnya.

ANEKDOT

Tinta ulama tentang ibrah Maal Hijrah berkaitan nikmat usia

Baca juga Fahami Konsep Hijrah Rasulullah

i. Pentingnya memanfaatkan waktu.

Ulama menekankan kepentingan setiap masa dalam kehidupan dengan tidak mensia-siakan waktu yang diberikan dan berusaha mengisi saban hari dengan ibadah, amal soleh dan kebaikan kepada manusia.

ii. Tidak menilai seseorang berdasarkan usia.

Umur

UMUR bukan faktor penentu kemuliaan seseorang kerana ALLAH SWT memandang berdasarkan kepada akhlak, keberkatan amal pengetahuan dan kualiti ibadah. -Foto: 123rf

Para ulama begitu menitik beratkan soal penilaian terhadap seseorang tidak boleh disandarkan semata-mata atas usia.

Ini kerana faktor penentu kemuliaan seseorang pada pandangan ALLAH SWT adalah berdasarkan kepada akhlak, keberkatan amal perbuatan, pengetahuan dan kualiti ibadah.

iii. Menambahkan kesyukuran.

Seharusnya sebagai seorang hamba, kita bersyukur kepada ALLAH SWT atas setiap nikmat umur yang diberikan. Setiap tahun, banyak anugerah berharga yang kita raih.

Ia sepatutnya menjadi kesempatan buat kita untuk memperbaiki diri, mendekatkan diri kepada-NYA dan berbuat kebaikan.

iv. Perbaiki hubungan antara manusia.

Manfaatkanlah usia yang diberikan untuk memperelok hubungan dengan keluar, teman dan masyarakat sekitar. Ketahuilah bahawa berbuat baik, memberi manfaat dan menghindari konflik akan membawa berkat dalam hidup kita.

v. Tetapkan tujuan kehidupan yang bermakna.

Rebutlah peluang Maal Hijrah tahun ini untuk berbuat demikian, di samping memberikan fokus kepada akhirat demi meninggalkan warisan yang baik.

vi. Renungkan kematian sebagai motivasi untuk berhijrah.

Ia menjadi antara cara kita menjalani hidup dengan penuh keimanan dan bertanggungjawab.

Usia
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Usah persiakan usia, mengabaikannya lebih teruk daripada kematian

USIA kita dihitung menggunakan kalendar Masihi. Lantaran itu, tidak hairanlah mengapa kebanyakan orang memandang kalendar Masihi untuk mengira tahun baharu. Jarang sekali kalendar Hijrah dilihat sebegitu walaupun kita sudah pun berganti tahun baharu 1445 Hijrah tiga hari lalu.

Bukan mahu membuat kesimpulan mudah, tetapi itulah persepsi ramai. Malah, masih ada lagi yang menganggap Maal Hijrah hanyalah sebagai ‘pesta’ cuti umum dan tiada apa-apa yang istimewa tentangnya.

Hakikatnya, seiring dengan waktu, umur kita kian meningkat. Tempoh masa kita di muka ini tidak lama. Hanya ALLAH SWT sahajalah yang MAHA MENGETAHUI.

Masih ramai yang tidak sedar bahawa kematian semakin mendekat. Bahkan hari, bulan dan tahun yang bersilih ganti menunjukkan betapa singkatnya masa dan mendekatkan kita kepada hari terakhir kehidupan di alam fana ini.

Baca juga Awal Muharam, simbol pengertian hijrah sebenar

Usia yang tersisa itu masih lagi digunakan untuk perkara sia-sia.

Sewajarnya, bagaimanakah cara sepatutnya kita menggunakan usia yang dikurniakan ALLAH SWT itu? Mengapa umat Islam perlu berubah dan meraih keberkatan umur?

Bangga dengan kalendar Hijrah

Sinar Islam Plus mendapatkan pendakwah terkemuka, Dr Fauzi Deraman bagi mendasari topik berkenaan.

DR FAUZI -Foto: Mohd Rafiq Redzuan Hamzah

Sebelum memberikan komentar berkaitan usia, agamawan itu memulakan kalam tentang sikap segelintir umat Islam yang memandang remeh tentang Maal Hijrah.

Sebagai Muslim, jelas beliau, rujukan utama ialah al-Quran dan as-Sunnah. Kedua-duanya ada menjelaskan tentang takwim Hijri. Firman ALLAH yang bermaksud: “Sesungguhnya jumlah bulan menurut ALLAH ialah 12 bulan, (sebagaimana) dalam ketentuan ALLAH pada waktu DIA menciptakan langit dan bumi, di antaranya ada empat bulan haram…” (Surah at-Taubah, ayat 36)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “…Satu tahun terdiri daripada 12 bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam) dan yang keempat ialah Rejab terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Penghijrahan sebenar pada awal Muharam

Melihat dalil berkenaan, jelas Dr Fauzi, sewajarnya kita memberi keutamaan kepada kalendar Hijrah.

“Dalam nas itu, tiada disebutkan tentang bulan Januari, Februari dan sebagainya. Sepatutnya kita bangga dengan takwim Islam, namun sayangnya kita bersifat sebaliknya.

“Sempena awal Muharam, saya ingin mengajak umat Islam kembali kepada tarikh Hijri yang menjadikan 1 Muharam sebagai bermulanya tahun baharu.

BERBANGGALAH dengan kalendar Hijrah kita yang mana Muharam menjadi permulaan tahun baharu. Seiring dengan pertambahan tahun, usia kita juga meningkat dan jangan persiakan umur yang masih tersisa itu. -Foto: Freepik

“Usah pula kita buat tidak kisah, sedangkan masa begitu penting hingga pepatah Arab menyatakan ‘waktu itu hidup’ dan ‘masa itu bagai pedang’. Bayangkan jika kita ‘memotong’ masa, kita pula akan ‘dipotongnya’,” katanya ketika ditemu bual Sinar Islam Plus di kediamannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, agamawan tersebut menjelaskan, agama Islam begitu menitik beratkan soal masa yang merujuk dalam pelbagai perkara.

Terlalu banyak hadis menceritakan tentang waktu lapang seperti lima perkara sebelum lima perkara dan dua kenikmatan yang sering dilupakan manusia.

Jelas Dr Fauzi yang juga Panel Penyemak Tafsir Pedoman Muttaqin, Bahagian Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu, waktu lapang tersebut sebenarnya merujuk kepada umur.

Baca juga Jangan sia-siakan umur yang dikurniakan ALLAH SWT, ini sebabnya kenapa

“Ketahuilah bahawa umur merupakan nikmat yang sangat besar sehingga Imam Hasan al-Basri menyebut ‘Tidaklah datang suatu hari dari hari-hari di dunia ini melainkan ia berkata: “Wahai manusia! Sesungguhnya aku adalah hari yang baharu, dan sesungguhnya aku akan menjadi saksi (di hadapan ALLAH) atas apa-apa yang kalian lakukan padaku. Apabila matahari telah terbenam, maka aku akan pergi meninggalkan kalian dan takkan pernah kembali lagi hingga hari kiamat”,” ungkapnya sambil menjelaskan betapa mahalnya masa dan usia kita.

Usia tidak terhitung nilainya

Benarkah jika mereka yang berusia 40 tahun tidak berubah, maka dirinya kekal sebegitu sampai bila-bila?

MANFAATKAN usia kita dengan sebaiknya dengan melakukan kebaikan sebagai aset untuk dituai pada hari akhirat kelak. -Foto: 123rf

Menjawab persoalan itu, Dr Fauzi yang juga Naib Yang Dipertua I Persatuan Ulama Malaysia menjelaskan, sememangnya terdapat hadis yang menyebut sedemikian, tetapi ada beberapa perawinya yang ditolak menjadikan riwayat itu tidak kuat.

Bagaimanapun, katanya, ayat 15 dalam Surah al-Ahqaf ada memerihalkan tentang usia 40 tahun di mana mereka perlu merefleksi diri dengan segala nikmat kurniaan ALLAH dan perkaitan berbakti kepada ibu bapa.

“Malah, ada tabiin pernah mengingatkan supaya kita berwaspada apabila usia menginjak 40 tahun.

“Meskipun hadis tadi tidak boleh dijadikan asas, tetapi apabila sudah masuk 40 tahun, ramai pakar moden menyatakan, ia merupakan umur yang matang.

“Bahkan, Nabi Muhammad menerima wahyu pada usia 40 tahun. Sementara itu, Imam Malik pernah berkata bahawa beliau melihat ramai dalam kalangan ulama apabila mencecah umur berkenaan, mereka akan menumpukan kepada akhirat,” ujarnya.

Keberkatan umur

Dalam pada itu, Dr Fauzi turut mengingatkan, usia merupakan suatu nikmat tidak tenilai.

Jelasnya, setiap orang bertanggungjawab dengan nikmat yang dikurniakan. ALLAH SWT akan bertanya apa yang dilakukan dengan umur.

“Mengertilah, hanya kebaikan menjadi aset kita. Di sebalik umur yang ada, laburkan ia dengan kebaikan supaya ia membiak dan memberi manfaat di akhirat.

Baca juga Buat kebaikan tak semestinya dengan sesuatu yang ‘grand’

“Kebaikan dimaksudkan adalah apa sahaja perbuatan yang menepati syariat dan perintah ALLAH SWT serta Rasulullah SAW. “Sebab itulah Saidina Umar RA pernah menyebut supaya kita mengaudit diri sebelum diaudit di akhirat nanti. Ini termasuklah dalam soal pelaburan masa dan umur,” ungkapnya.

Kepada satu soalan, Dr Fauzi menjawab: “Selain bersedekah, menghubungkan silaturahim dan menjadi jiran yang baik antara amalan yang boleh memanjangkan umur seseorang sebagaimana disebut dalam hadis.

MENGHUBUNGKAN silaturahim antara amalan yang boleh ‘memanjangkan’ umur seseorang. -Foto: 123rf

“Cuma dari segi tafsirannya pula, ada ulama menyatakan bahawa usia kita sebenarnya sudah tetap. Tidak akan lewat ataupun dipercepatkan. Maknanya, ia bermaksud keberkatan dalam umur. “Barangkali ALLAH SWT memberikan masa kepada kita. Dalam erti kata lain, kita boleh lakukan banyak perkara walaupun hidup dalam satu tempoh tertentu, berbanding dengan orang lain yang hidupnya lebih lama.

“Sementara itu, sebahagian ulama berpandangan, maksud umur yang berkat adalah disebabkan sebutan yang baik. Mungkin seseorang sudah lama meninggal dunia, tetapi kebaikannya sepanjang hayat menjadi sebutan dan orang sentiasa memujinya seolah-olah dia masih hidup.”

Sesungguhnya, nikmat usia tidak boleh dipersiakan begitu sahaja, malah sesiapa yang mengabaikan kurniaan yang satu itu lebih teruk daripada kematian!

Pernyataan itu sering kali ditekankan oleh ramai ulama, kata Dr Fauzi.

“Ada sebab mereka berhujah sedemikian. Jika diteliti, segala amalan yang dilakukan akan membawa kepada akhirat. Apabila kita mengabaikan usia dengan perbuatan tidak bermanfaat, apa yang akan dibawa ke alam yang kekal abadi kelak?

“Hakikatnya, kematian hanya memutuskan kita dengan dunia, tetapi mengabaikan umur akan membuatkan kita seolah-olah mengetepikan akhirat,” ungkapnya.

Baca juga 4 amalan ini akan memberatkan amalan di akhirat

Sebelum menutup tirai bicaranya, Tokoh Maal Hijrah peringkat Wilayah Persekutuan 1442 Hijrah itu berpesan kepada umat Islam agar konsisten melaburkan usia sebagai aset di akhirat kelak.

“Laburkan umur untuk kebaikan-kebaikan yang akan dibawa apabila menghadap ALLAH.

“Rebutlah masa yang ada untuk melakukan sebanyak mungkin amal sebagai bekalan untuk alam yang kekal buat selama-lamanya,” titipnya.