Niat ceraikan isteri kerana politik? Jangan sesuka hati jatuhkan talak walaupun untuk bergurau
MEDIA sosial seringkali menjadi platform untuk masyarakat meluahkan perasaan atau memberikan pendapat tentang suatu isu semasa. Ada sahaja perkara yang dibangkitkan setiap hari di internet.
Namun, baru-baru ini sebuah hantaran mencuri perhatian netizen gara-gara pernyataan berani seorang individu berkaitan hal politik.
Memetik sebuah media tempatan, dalam sebuah ‘posting’ di laman Facebook, seorang warga maya berkata ingin menjatuhkan lafaz talak tiga terhadap isterinya sekiranya kerajaan terkini mampu bertahan lama.
Baca juga Jangan pamerkan kemesraan suami isteri berlebih-lebihan di media sosial. Ini sebab-sebabnya…
“Wallahi, saya akan ceraikan bini (isteri) saya dengan lafaz talak tiga jika PMX (Perdana Menteri Kesepuluh, Anwar Ibrahim) dan Kerajaan Perpaduan masih bertahan sampai bulan 8, 2023,” tulis hantaran tersebut.
Baca juga Jatuhkan talak guna alat komunikasi moden kaedah yang tidak tepati adab penceraian
Pun begitu, difahamkan selepas ia tular, individu dimaksudkan telah tampil bersuara bahawa hantaran itu merupakan suatu lemparan fitnah yang menggunakan nama akaun media sosial miliknya berserta gambar bersama isteri sewaktu menyambut ulang tahun perkahwinan ke-26.
Jelasnya, hantaran yang dibuat sekitar bulan Februari awal tahun ini tersebut adalah palsu dan telah disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menjatuhkan maruahnya dengan menggunakan agenda politik.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Cerai melalui WhatsApp atau telefon, ini cara sebenar untuk sahkan lafaz talak
- Cerita masalah peribadi secara terbuka di media sosial, ini hukum yang perlu diketahui
- Tiga kesalahan bergurau yang boleh mendatangkan dosa di media sosial
Cerai dan talak tidak boleh dijadikan gurauan
Benar atau tidak, kisah itu sepatutnya dijadikan iktibar kepada kita agar tidak sewenang-wenangnya melafazkan talak walaupun sebagai gurauan.
Kata penceramah bebas, Ustaz Muhamad Abdullah, lafaz talak terbahagi kepada dua jenis iaitu lafaz yang jelas (sarih) atau tidak jelas (kinayah).
Ujarnya menerusi rancangan bual bicara, Tanyalah Ustaz, lafaz cerai yang dilafazkan secara jelas oleh seorang suami kepada isteri seperti, ‘Saya ceraikan awak,’ akan menyebabkan jatuhnya talak meskipun ia dilakukan secara gurauan.
Sebaliknya, bagi lafaz cerai secara kinayah, ia bergantung kepada niat orang yang melafazkan sama ada talak dijatuhkan atau tidak. Dalam hal itu, Mahkamah Syariah akan menentukan status perkahwinan tersebut.
Oleh itu, pendakwah tersebut menegaskan agar menjauhi gurau senda yang melibatkan talak dan perceraian.
Secara umumnya Islam tidak melarang gurauan, namun kita perlu sedar dan tahu batasnya kerana tidak semua perkara boleh dijadikan bahan ketawa.
Sumber: Ohmymedia & Adakah Jatuh Talak Ketika Bergurau?
Foto: Pexels, Youtube & Facebook