Majlis Khatam Al-Quran 2.0 SI+ serlah kehebatan OKU penglihatan, malah ada peserta hafiz yang hafal sepenuhnya kitab suci itu
LONTARAN suara merdu Ahmad Danial Mohd Sani begitu memukau orang ramai yang menyaksikan siaran langsung Majlis Khatam Al-Quran 2.0 anjuran Sinar Islam Plus (SI+), minggu lalu.
Beliau ketika itu bukan sahaja menjadi peserta, malah turut dijemput membuka tirai majlis dengan memperdengarkan bacaan Ummul kitab, Surah al-Fatihah.
Ahmad Danial, 29, merupakan salah seorang daripada 32 peserta orang kelainan upaya (OKU) penglihatan keseluruhannya pada program yang berlangsung bersempena sambutan Nuzul al-Quran. Kepada Sinar Islam Plus, pelajar tahun akhir jurusan al-Quran dan as-Sunnah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu amat teruja dapat bersama-sama mengimarahkan majlis berkenaan.
“Selama ini, saya hanya mendengar YouTube Sinar Harian, kini saya pula jadi peserta dan masuk dalam laman sosial akhbar ini. “Saya berharap program sebegini akan diteruskan lagi pada tahun akan datang,” tuturnya sambil ditemani al-Quran braille yang setia bersamanya.
Anak jati Serdang, Selangor itu rupa-rupanya seorang hafiz iaitu penghafaz al-Quran sebanyak 30 juzuk!
“Sebelum ini, saya belajar di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan menghafal seluruh al-Quran pada usia 17 tahun,” katanya yang mula khatam pada umur 11 tahun.
Baca juga Sinar Islam Plus teruskan tradisi Majlis Khatam Al-Quran 2.0, 32 peserta OKU penglihatan turut serta
Angkat golongan istimewa
Sementara itu, Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berharap agar program-program berteraskan al-Quran seperti Majlis Khatam Al-Quran 2.0 itu dapat mengangkat golongan-golongan istimewa yang lain pada masa akan datang.
“Bukan sahaja OKU penglihatan, tetapi juga kelompok cacat anggota dan seumpamanya untuk menggalakkan mereka berinteraksi dengan al-Quran.
“Karangkraf sebagai pelopor program sebegini boleh melakukan program khatam al-Quran, #QuranHour dan My QuranTime bukan sahaja untuk masyarakat celik, tetapi juga untuk golongan berkenaan,” ujarnya.
Beliau juga turut melahirkan rasa kagum apabila melihat OKU penglihatan yang disifatkan lebih celik kalamullah daripada individu normal.
Pada program yang diadakan di Studio F, Kumpulan Karangkraf itu, para peserta membaca surah-surah pilihan daripada juzuk ke-30 kitab suci berkenaan dengan dibimbing oleh dua orang muallim iaitu Ustaz Muhammad Halim Zainuddin dan Ustaz Muhammad Khairi Maidin. Sementara itu, Muhammad Nasir turut melahirkan keterujaannya dengan kesungguhan peserta dari Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), Yayasan Maghfirah, Gurney Training Centre dan Universiti Sains Islam Malaysia itu.
Insan hebat
Walaupun cacat penglihatan, namun katanya, mereka berupaya membaca dan memahami kalamullah itu lebih tulus daripada insan yang celik.
“Mungkin mata mereka buta, tetapi tidak hati mereka. Malah, ada yang celik al-Quran lebih hebat daripada kita yang sempurna penglihatan.
“Ketika saya dekati mereka , saya dimaklumkan, ada (peserta) yang hampir khatam al-Quran kali kedua pada bulan Ramadan ini. “Bayangkan betapa hebatnya mereka mampu menghabiskan seluruh isi al-Quran itu walaupun ketika itu kita berada dalam pertengahan bulan mulia itu,” katanya.
Baca juga Majlis Khatam Al-Quran SI+ platform lahirkan generasi berjiwa al-Quran
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin; Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli; Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Ahmad Azri Zainal Nor; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maghfirah, Muhamad Shuib Norudin dan Naib Yang Dipertua Pertis, Jasmadin Budin.
Dalam pada itu, Muhammad Nasir turut memuji usaha yang dilakukan bahagian Islamik Sinar Harian, Sinar Islam Plus atas penganjuran program tersebut buat kali kedua.
Beliau berharap, program itu dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang terutama melibatkan warga OKU penglihatan.