DI Malaysia, kaedah untuk menentukan awal bulan hijrah ketika mencerap hilal adalah menggunakan kaedah Imkanur (kedudukan) Rukyah. Kaedah ini meliputi gabungan kedua-dua kaedah iaitu rukyah dan hisab.
Proses cerapan melihat anak bulan itu penting walaupun dalam kalendar sudah tertulis tarikh bermulanya puasa atau syawal dan ia merupakan satu kewajipan fardu kifayah yang mesti dilakukan pemerintah dan dilakukan sehingga kini secara berterusan.
Walaupun ia sudah dilakukan dengan teliti dan jelas oleh pihak yang bertanggungjawab, namun ada juga yang menyangkal dan menafikan hasil cerapan Syawal tahun lepas tidak sah sebagaimana kita maklum tarikh hari raya tahun lepas adalah sehari lebih awal dari tarikh yang sepatutnya.
Melalui satu kenyataan semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan laporan akhbar berkenaan hasil cerapan 1 Syawal 1443H atau 2 Mei 2022 yang lalu tidak sah dan terbatal.
Menurut JAKIM, hasil cerapan tersebut telah mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.
“Pada petang 29 Ramadan 1443H, anak bulan telah berjaya dikesan melalui teleskop oleh salah seorang Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan Labuan dan imej yang diperolehi telah disemak oleh jawatankuasa berkenaan.
“Selain itu, kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang merupakan ahli jawatankuasa tersebut juga telah dapat mencerap hilal melalui peralatan teodolit,” jelas kenyataan itu.
Ujar JAKIM, imej yang diperolehi kemudiannya disahkan oleh Ketua Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Labuan yang bertugas pada petang tersebut dan dilaporkan kepada Mufti Wilayah Persekutuan yang berada di lokasi cerapan rasmi Menara Kuala Lumpur.
“Satu perbincangan khusus juga kemudian dilaksanakan oleh Sahibus Samahah Mufti bersama pakar falak dan Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan untuk mengesahkan imej yang diperolehi dengan membandingkan data-data hilal yang disediakan sebelum keputusan menerima kenampakan tersebut dibuat.
“Kenampakan hilal tersebut kemudiannya dilaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia untuk diperkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka baginda Yang Di-Pertuan Agong,”
Baca Juga Kita Raya awal lagi ke tahun ni? Hadam perbandingan data JUPEM tentang hilal Syawal
JAKIM juga menyangkal laporan artikel berkenaan yang menyatakan bahawa laporan kenampakan hilal Syawal 1443H tidak direkodkan dalam laman sesawang Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.
Kenyataan tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan kerana semakan JAKIM di laman sesawang Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia mendapati rekod tersebut boleh diakses di pautan https://www.majlisraja-raja.gov.my/ms/cerapan-anak-bulan.
“Sehubungan itu, kenyataan bahawa pengisytiharan kenampakan hilal Syawal 1433H/ 2 Mei 2022 di Labuan terbatal adalah amat tidak tepat dan sangat mengelirukan.
“Semua pihak disarankan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan atau sebarang kandungan berkaitan isu penetapan tarikh 1 Syawal supaya tidak berlakunya kegusaran dan polemik yang boleh menjurus kepada ketidaktenteraman awam.
“Masyarakat juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan berautoriti sebelum mengeluarkan sebarang komen,” kata JAKIM.
Baca Juga Mengapa proses cerapan perlu dalam menentukan tarikh mula berpuasa dan hari raya?
Dalam pada itu JAKIM menyeru kepada masyarakat awam supaya menghentikan sebarang polemik dan menunggu hasil keputusan cerapan Syawal 1444H yang akan diisytiharkan pada malam 29 Ramadan 1444H/ 20 April 2023 oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Malaysia.
Sementara itu, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dalam satu kenyataan telahpun memaklumkan tarikh bagi melihat anak bulan Syawal bagi tahun ini ditetapkan pada petang Khamis, 20 April 2023 bersamaan 29 Ramadan 1444 Hijriah.
Manakala pengisytiharan tarikh Hari Raya Puasa akan diumumkan pada malam berkenaan.
Ikuti kami juga di telegram