Kembali ke Rahmatullah di Mina ketika sampaikan tazkirah, sebuah kematian yang menghidupkan jiwa Mukmin..
SETIAP yang hidup di muka bumi ini pasti menyedari bahawa kehidupan akan diakhiri dengan sebuah kematian.
Bagi orang Islam, kita perlu beriman bahawa selepas berakhirnya nafas di muka bumi ini, maka bermulalah perjalanan kehidupan yang kekal abadi di akhirat.
Apabila ALLAH SWT telah menetapkan ajal maut seseorang itu, maka tiada satu kuasa pun yang mampu menghalangnya mahupun melengahkan ketetapan tersebut.
Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan seorang jemaah dari Yala, Thailand meninggal dunia semasa sedang memberikan tazkirah kepada jemaah lain di khemah di Mina.
Baca Juga Jom pakat baca Doa ini pada Hari Arafah, tidak semestinya tunggu jemaah haji wukuf
Menerusi perkongsian rakaman berdurasi 31 saat oleh @rmixbyhakim itu, kelihatan arwah sedang memberikan tazkirah dalam satu majlis ilmu agama.
Apa yang membuatkan ramai sebak dan tersentuh adalah apabila dia tiba-tiba kelihatan seperti pening kepala dan ingin rebah.
Namun, sebaik saja dua orang jemaah lagi datang kepadanya, dia terus jatuh dan difahamkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian.
Susulan tularnya video tersebut yang kini sudah meraih 737.6K tontonan di TikTok, rata-rata netizen turut mengucapkan takziah dan mendoakan agar arwah ditempatkan bersama para orang beriman.
Keistimewaan meninggal dunia di Tanah Suci Mekah?
Tidak dinafikan Tanah Suci Mekah mempunyai kelebihan berbanding tempat lain. Ini kerana terdapat banyak kenangan sejarah Rasulullah SAW dan kebangkitan Islam di Madinah dan kota Mekah.
Ketua Jaringan Industeri dan Komuniti Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menjelaskan terdapat banyak kelebihan bagi mereka yang meninggal di sana.
“Ia berikutan terdapat riwayat menunjukkan Nabi SAW memuji mereka yang meninggal di Tanah Suci. Nabi SAW bersabda “Sekiranya terdapat dalam kalangan kamu yang terpilih meninggal dunia di Madinah (Tanah Suci), maka bergembiralah. Sesungguhnya sesiapa yang terpilih (oleh ALLAH) untuk mati di Madinah, Aku akan menjadi saksi dan syafaat untuknya pada hari kiamat kelak.” (Hadis Riwayat al-Tabrani)
“Hadis ini secara jelas menunjukkan memang terdapat kelebihan kepada mereka yang meninggal dunia di Tanah Suci seperti Madinah dan Mekah. Namun, galakan seperti ini jangan disalah tafsir sehingga ada pula nanti yang sanggup membunuh diri hanya semata-mata ingin mati di sana.
“Menurut al-Tabrani, mati yang dimaksudkan oleh Nabi SAW itu adalah mati yang tidak dirancang atau disengajakan, tetapi ia lebih kepada mati disebabkan sakit, musibah kemalangan dan seumpamanya,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
- Jangan mengelak bila ada kematian, lelaki Muslim digalakkan iring jenazah ke pusara kerana pahalanya sebesar Gunung Uhud
- Sebuah kematian yang menghidupkan jiwa Muslim
- 10 tanda kematian yang baik
- Jemaah haji Malaysia meninggal dunia, ini tatacara uruskan jenazah di Makkah atau Madinah
- Doa agar ALLAH bantu menghadapi sakaratul maut
Tambah beliau lagi, mungkin akan ada yang bertanya, bolehkah kita sentiasa berdoa agar pengakhiran hidup kita di satu daripada dua Tanah Suci ini? Jawapannya, boleh. Umat Islam dibenarkan untuk sentiasa berdoa agar mati di Tanah Suci, sama ada ketika mengerjakan umrah atau ibadah haji.
“Pernah suatu ketika, Umar bin al-Khattab berdoa yang bermaksud: “Ya ALLAH, kurniakanlah kepadaku syahid ketika di jalan-MU dan biarlah kematianku itu di Negeri Rasul MU SAW.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
“Daripada doa Umar ini, Imam Nawawi berpendapat, memohon doa supaya dimatikan di tempat mulia adalah digalakkan dan ia termasuk dalam sunah Khulafa al-Rasyidin,” jelasnya.