Browsing Tag

kematian

Kematian
Aqidah,

12 bekalan untuk dapatkan kematian yang baik

KEMATIAN tidak mengenal usia. Tiada siapa tahu bilakah ajal datang menjemput. Semuanya rahsia ALLAH SWT.

Apabila tiba masanya, nyawa kita akan ditarik daripada jasad. Tidak kurang sedikit pun waktu walaupun sesaat.

Persoalannya, bersediakah kita menghadapi sakaratulmaut? Sudah cukupkah bekalan amal soleh kita untuk ke alam barzakh?

Baca juga 10 tanda kematian yang baik

Pendakwah Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek atau lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi berkongsikan dua kisah kematian yang boleh dijadikan iktibar untuk kita bersama menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Cerita itu merupakan kisah benar yang berlaku di hadapan matanya sendiri.

Ketika Ustaz Hanafi menghadiri jemputan majlis di rumah seorang pengusaha restoran terkemuka di Seremban, Negeri Sembilan, beliau didatangi pemiliknya yang menyatakan hasrat untuk berinfak.

USTAZ HANAFI

“Minggu depan, dia bagi infak RM20,000 itu. Alhamdulillah syukur hati seorang dermawan.

“Namun beberapa hari kemudian, jam 4.45 pagi, anaknya WhatsApp ustaz maklumkan, Mak Siti (Mee Jawa) dia meninggal dunia. Innalillahi wa inna ilaihi raji’un,” coretnya.

Meskipun jasadnya sudah lagi tiada, dialog yang ditinggalkan usahawan itu begitu berbekas dalam hati Ustaz Hanafi.

“Antara dialog Mak Siti yang ustaz tak boleh lupa; ‘Kita hidup di bumi ni, kena hidup setengah-setengah. Separuh rezeki kita untuk teruskan hidup. Separuh lagi untuk hidup di sana’.

“Ustaz terfikir, ‘Eh, Mak Siti ni sebut perkara yang saya tak pernah dengar’. Apabila ditanya sihat atau tidak, Mak Siti menyatakan dia sihat sahaja namun berulang kali dia menuturkan ungkapan ‘Kita kena siap sedia ke sana, mak tak tahulah, mak rindu nak ke sana’,” coretnya.

Dalam kisah yang lain, jelas Ustaz Hanafi, beliau dijemput untuk membacakan ruqyah dan doa-doa untuk seorang wanita selepas dia sakit misteri.

Ceritanya begini, wanita itu berjawatan tinggi. Beliau terjatuh dan kepalanya terhentak selepas siap masak waktu tengah hari di dapur rumahnya yang baru sahaja diubah suai dengan kos RM70,000.

“Anak-anaknya takut sebab setiap malam dia akan maki hamun orang. Sampai saja tempat dia, saya minta suami dan anak-anak maafkan wanita ini.

“Kemudian ustaz bacakan ruqyah dan doa-doa. Selepas baca itu, mata dia putih terbeliak dan dalam keadaan nazak tu dia mencarut. Na’uzubillahiminzalik. Akhirnya dia meninggal dalam keadaan begitu,” katanya.

Kematian

BERDOALAH semoga kematian kita dalam keadaan yang baik dalam keadaan diampunkan dosa dan diterima segala amalannya oleh ALLAH SWT. -Gambar hiasan

Dua kematian berbeza, tetapi ada satu mesej yang sama.

Lantaran itu, Ustaz Hanafi berpesan agar kita berkata perkara yang baik dan mudah-mudahan begitulah pengakhiran hidup kita nanti.

“Sebab itu berhentilah mengata orang lain dan memaki hamun,” titipnya.

Baca juga Memaki bukan adab yang dianjurkan oleh Islam

Amal soleh

Pendakwah itu kemudian berkongsikan amalan soleh sebagai bekalan untuk kita mendapatkan kematian yang baik.
Terdapat 12 amal soleh yang boleh dilakukan iaitu:

1. Zikir.

Sebaik-baik zikir adalah lailahaillalah. Bagaimana hendak mendapatkan kelazatan dalam berzikir? Mesti faham maknanya. Tiada Tuhan melainkan ALLAH.

Baca juga Zikir juga dikira sebagai sedekah, ramai yang mengabaikannya

Hari ini orang dapat penyakit anxiety, serangan panik, stres dan macam-macam lagi. Jadi kena banyakkan zikir.

Kadangkala mak ayah terlalu banyak berfikir. Rindu anak dan cucu. Apabila tengok anak di Facebook, rindu. Mulut dan hati berkata begitu, tetapi dalam kepala pula fikir yang bukan-bukan.

“Anak, menantu dah tak ingat pada aku.”

Kemudian, mulalah geram, marah, dengki, takut, sedih pun datang.

Mengertilah, kalau fikir sahaja, fikiran akan dipimpin oleh syaitan. Ingat betul-betul, jangan fikir tanpa zikir.

2. Istighfar.

Kematian

BANYAKKAN berzikir dan beristighfar kepada ALLAH sepanjang masa kerana ia merupakan ‘makanan’ bagi jiwa kita. -Foto: 123RF

Banyakkan beristighfar sebab hidup kita banyak dosa. Bukan bila buat dosa sahaja, baru hendak berbuat demikian. Sebaiknya, lazimkan diri meminta ampun daripada ALLAH SWT.

Imam Hassan Al Basri, anak muridnya miskin datang mengadu hidup susah. Tak ada duit hendak makan. Beliau berkata, banyakkan istighfar. Anak muridnya kata, ‘terima kasih aku dah jadi kaya’.

Murid kedua pula, kahwin sudah lama, tetapi tak dapat anak. Suami isteri istighfar. Kemudian dapat anak.

Kemudian datang orang yang sakit dan selalu takut mati. Imam Hassan berkata, banyyakkan istighfar untuk dapat tenang.

3. Selawat.

Perbanyakkan selawat sehinggakan walau dalam keadaan sombong tetap diberi pahala.
Barang siapa selawat ke atas Nabi Muhammad SAW sekali, ALLAH SWT membalas selawat 10 kali untuk kita. Bila saat terakhir kita dapat rasa ALLAH berselawat ke atas kita?

Mustahil pada hari tersebut kita jadi orang bersedih, kecewa dan menderita.

Baca juga Selawat yang mampu selamatkan seseorang dari jatuh ke lubang neraka

Jom waktu siang ikan selawat. Apabila rasa hendak mengumpat sahaja, terus bertukar kepada selawat.

4. Baca dan tadabbur al-Quran.

Al-Quran adalah hujah di alam barzakh dan di akhirat kelak. Ada satu kisah Rasulullah SAW dan Zaid bin Harithah berhenti sekejap ketika balik dari perang.

Nabi kemudian baca al-Quran. Tiba-tiba mereka didatangi kumpulan jin. Semakin lama, semakin ramai.

Jin itu berpesan. “Hendaklah kamu diam, kita dengar bacaaan ini.” Akhirnya mereka semua memeluk Islam.
Inilah ayat dan wahyu yang pernah diturunkan kepada Nabi Musa AS.

Kematian

LAZIMKAN diri membaca kalam ALLAH pada setiap hari kerana ia antara bekalan untuk kita menghadapi kematian yang baik. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Kalamullah boleh buat jin beriman, jadi ia juga boleh menambah iman hati kita.

5. Sampaikan dakwah.

The real multi level marketing adalah dakwah. Dapat komisen dan pahala berganda-ganda. Andai kita pesan kepada kawan yang dahulunya tak tutup aurat atau tak pandai mengaji, kemudian suatu hari dia datang surau dan jadi baik.

Kemudian berkahwin dan dapat anak. Wujudkan keluarga yang baik, jadi pahala kita akan dapat sekali walaupun kita meninggal dunia.

Sebab itulah sebelum meninggal dunia, ajak orang jadi baik.

6. Tuntut ilmu.

Duduk dalam majlis ilmu dipayungi para malaikat. Ketahuilah, satu bab majlis ilmu lebih dicintai daripada 1,000 rakaat.

Baca juga Berhimpun di majlis ilmu tanda mensyukuri nikmat ALLAH

7. Banyakkan berpuasa sunat.

Rajin-rajinlah puasa sunat Isnin dan Khamis, Hari Arafah, 10 Muharam dan banyak lagi.

8. Banyakkan sedekah.

Kalau perempuan tak dapat puasa, mereka dapat pahala pada Hari Arafah, 10 Muharam dengan sedekah sediakan makanan untuk orang berpuasa.

Kematian

BANYAKKAN bersedekah dan jangan lokek untuk berbuat demikian. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Sedekah menyebabkan rezeki bertambah. Ubati sakit dengan berinfak. Dulu sedekah di masjid, sekarang sudah boleh dilakukan secara online.

9. Ziarah.

Rapatkan ukhuwah. Salam selepas satu-satu perjumpaan. Ukhuwah datang dengan mahabbah. Ia rapatkan kasih sayang. Selain ziarah ibu ayah, ziarah makam Rasulullah SAW.

10. Umrah.

Siapa yang lakukan umrah dalam bulan Ramadan, ia seakan pahala haji.

Baca juga Ibadah umrah diwajibkan bagi mereka yang mampu, ini maksud sebenar kemampuan tersebut

11. Qiamullail.

Berjaga malam dan beribadah. Bukannya apabila terjaga malam, pergi ‘mamak’. Kita yang sudah tua tidak larat tidur lama-lama. Selalu terbangun jam 3 pagi atau 4 pagi.

Ketahuilah, kubur adalah tempat yang gelap gelita. Bawalah qiamullail untuk meneranginya.

12. Jihad fisabilillah.

Bukan sekadar syahid sahaja, banyak mewakafkan apa sahaja yang dia ada termasuk dirinya pada jalan ALLAH.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Ustaz Hanafi mengajak umat Islam untuk memujuk hati berlumba-lumba mengisi masa dengan kebaikan dan amal soleh sebagai persiapan menuju kematian.

“Kita boleh tentukan mahu mati dalam keadaan baik atau sebaliknya, bergantung kepada apa amalan soleh yang paling banyak kita buat setiap hari.

“Rasa-rasanya meninggal dalam keadaan amalan yang mana daripada 12 amalan soleh ini?,” soalnya.

Sinéad O’Connor
Antarabangsa,

Penghormatan terakhir buat muslimah bernama Sinéad O’Connor

PENGEBUMIAN penyanyi dan aktivis tersohor Irish, Sinéad O’Connor disempurnakan mengikut pegangan agama Islam yang dianutinya sejak 2018.

Lebih 3,000 orang berkumpul di kampung halamannya, di Bray, County Wicklow, selatan Dublin pada hari ini, Selasa (8 Ogos) jam 10.30 pagi (waktu Ireland) atau 5.30 petang (waktu Malaysia) bagi memberi penghormatan terakhir.

Ketua Imam di Pusat Islam Ireland, Syaikh Dr Umar Al-Qadri memberitahu MailOnline bahawa keluarga O’Connor mengadakan pengebumian bintang legenda itu mengikut cara Islam yang merupakan agama terakhir yang dianutinya, dan merujuk beliau dengan nama Islamnya, Shuhada Sadaqat.

Baca Juga Lagi serangan dan penodaan terhadap al-Quran, kali ini kitab suci itu ‘dicincang’ dan ‘diparut’

Al-Qadri kemudiannya memberitahu agensi berita PA: “Pengebumian Sinéad jelas sekali adalah bersifat peribadi (untuk) keluarga dan ia adalah upacara yang sangat mengharukan; dan saya fikir ia benar-benar mencerminkan personaliti indah Sinéad.

“Ia penuh kerohanian dan mencerminkan identiti Irelandnya serta identiti Muslimnya. Jadi, saya bersama-sama ahli masyarakat Islam di Ireland dan kami menunaikan solat jenazah, iaitu solat jenazah untuk orang Islam ke atas Sinéad.”

Sinéad O’Connor

Beliau juga memberitahu bahawa bahawa O’Connor ‘tidak pernah beranjak pegangannya daripada Tuhan (ALLAH SWT)’, tidak seperti orang lain yang mengalami ‘kesukaran dan ujian’ dalam hidup mereka.

“Dikurniakan vokal yang menggerakkan generasi muda, mampu membuatkan sesiapa yang mendengarnya mengalirkan air mata.

“Suara beliau dibawanya dengan nada penuh harapan, untuk mencari jalan pulang,” katanya.

Artikel Berkaitan 

Sebelum ini media antarabangsa melaporkan penyanyi legenda dan aktivis masyarakat, Sinéad O’Connor menghembuskan nafas terakhir pada usia 56 tahun.

Berita pemergian selebriti kelahiran Ireland diumumkan ahli keluarganya dalam satu kenyataan pada 26 Julai 2023 yang lalu.

Kehilangan O’Connor amat dirasai rakan-rakan seperjuangan. Cat Stevens, kumpulan UB40 dan Bryan Adam antara yang menyatakan kesedihan pemergian penyanyi wanita itu.

PENGEBUMIAN Sinéad O’Connor dijadualkan pada 10.30 pagi ini, Selasa, 8 Ogos 2023 (waktu Ireland) di Bray, County Wicklow, Dublin, Ireland. -Foto : Billboard

“Sedih mendengar pemergian Shuhada Sadaqat, juga dikenali sebagai Sinéad O’Connor. Dia berjiwa lembut, semoga ALLAH YANG MAHA PENGASIH memberinya kedamaian abadi. Inna lillahi wa inna ilayhi rajiuon. Sesungguhnya kami milik ALLAH dan sesungguhnya kepada-NYA kami kembali.” – Cat Stevens

“Bersemadilah Sinéad O’Connor. Saya suka bekerja dengannya, menjalani sesi fotografi dan melakukan persembahan gig di Ireland bersama-sama. Salam takziah kepada keluarganya.” – Bryan Adams

Baca Juga Jangan terpedaya kononnya pakej Islamik pengebumian haiwan peliharaan, ini cara sebenar Islam ajarkan

“Sangat sedih mendengar pemergian penyanyi dan aktivis Sinead O’Connor pada usia 56 tahun. Dia adalah ikon, sentiasa berani dan lantang. Tenanglah di sana Sinéad.” – UB40

Pemergian penyanyi ini meninggalkan tiga cahaya mata iaitu Jake, 36, Roisin, 28, dan Yeshua, 17.

Seorang anaknya, Shane meninggal dunia pada tahun 2022.

Ustaz Dr. Soberi Awang
Berita Semasa,

Menghadap ilahi ketika beri kuliah subuh, ini coretan sahabat lama Ustaz Dr Soberi Awang

PENSYARAH kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ustaz Dr Soberi Awang meninggal dunia ketika menyampaikan kuliah Subuh pagi Ahad di Surau Al-Ittihadiyah, Seksyen 9, Shah Alam.

Allahyarham membawa tajuk hari kiamat dan beliau sempat mengupas bahawa bumi ini sudah terlalu uzur dan perjalanan kita sesudah mati pun masih terlalu jauh untuk menunggu padang mahsyar nanti.

Di penghujung kuliah beliau yang terhenti selepas 20 minit, beliau sempat meminta maaf kerana sakit dada sudah lima hari (sambil menekan dadanya) dan sempat meneguk air.

Kalimah terakhir beliau ialah “ALLAH subhanahu wa ta’ala...”, sebelum tidak sedarkan diri dan menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Berpendidikan B.A (Syariah) dari Universiti Al-Azhar dan M.A Universiti Yarmouk, beliau menyiapkan tesis PhD beliau di UKM pada tahun 2016 di bawah selian Dato’ Dr Mohamad Sabri Haron (kini Mufti Terengganu) dengan tajuk “Pengislahan dan Pengembangan Asnaf Zakat Masa Kini – Kajian Kes di Negeri Terengganu”.

PEMERGIAN yang dicemburui, Pensyarah USIM Dr Mohd Soberi Awang meninggal dunia semasa menyampaikan kuliah Subuh.

Coretan cerita sahabat lama

Ramai agamawan yang mengenali Allahyarham dan menzahirkan rasa sedih dengan pemergian beliau.

Antaranya sahabat lama Allahyarham, Mantan Menteri Agama, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang telah mengenali sosok tubuh Dr. Soberi ini sejak tahun 1990-an.

Ujarnya, ayat al-Quran terakhir yang dilafazkannya sebelum meninggal dunia semasa menyampaikan Kuliah Subuh adalah:

وَبَرَزُوا لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ
Maksudnya: “…dan mereka semuanya (di padang Mahsyar) berkumpul menghadap ke hadrat ALLAH YANG MAHA ESA lagi MAHA PERKASA. (Surah Ibrahim ayat 48)

“Dengan bentuk kematian yang berlaku, saya dengan sangkaan baik yang tinggi menganggap ia adalah petanda Almarhum meninggal dunia dalam husnul khatimah.

Artikel Berkaitan 

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda “Apabila ALLAH SWT menghendaki kebaikan bagi hamba-NYA, maka ALLAH memberinya ‘asal. Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apa maksud ‘asal dari-NYA?” Baginda bersabda, “ALLAH berikan taufiq untuk beramal soleh, kemudian ALLAH cabut nyawanya dalam keadaan itu (husnul khatimah).”

“Ketika saya melanjutkan pengajian Sarjana di Damsyik, Syria lagi saya mengenali beliau sebagai anak muda yang sentiasa bersemangat dalam dakwah, dan mempunyai tahap keilmuan yang tinggi.

“Hubungan kami bertambah rapat apabila beliau menjadi pensyarah di kolej UNITI, Pasir Panjang, Port Dickson, bersama-sama saya.

DR Zulkifli ketika menziarahi keluarga dan jenazah almarhum di Hospital Shah Alam.

“Masih jelas di ingatan usaha saya, bersama-sama beliau dan juga al-Fadhil Ustaz Muhammad Nafis bin Berhan berhempas pulas memperjuangkan penubuhan program Diploma Pengajian Islam bagi Kolej UNITI. Alhamdulillah, ia kekal sehingga ke hari ini.

“Persahabatan kami diteruskan lagi apabila kami berdua berpindah dan meneruskan kerjaya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau kekal di sana dan saya meletakkan jawatan untuk berkhidmat sebagai Mufti Wilayah Persekutuan.

“Seingat saya, pernah beliau hadir bersama-sama Prof. Dr. Aznan Hassan mewakili Majlis Ulama ISMA bertemu saya semasa saya masih menjawat jawatan Mufti.

Baca Juga “Jangan bangga nikmat dunia, kematian menjemput anytime, anyway”- Ebit Lew nasihat jangan lalai

Turut Disyorkan Prof Kamal Hassan dalam kenangan

“Saya menjadi saksi bahawa beliau adalah seorang yang gigih dalam usaha dakwah kepada masyarakat serta amat mendalam ilmunya khususnya ekonomi Islam.

“Sesungguhnya, kita adalah milik ALLAH dan kepada-NYA kita kembali.

“Mewakili Ahli Lembaga Pengarah Universiti dan seluruh warga USIM, saya menzahirkan ucapan takziah dan berdoa kepada ALLAH, semogA ALLAH menempatkannya bersama dengan para anbiya’, siddiqin, syuhada’ dan solihin,” kongsinya menerusi satu hantaran di laman media sosial.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ
Maksudnya: “Ya ALLAH, ampunlah dosanya, limpahkan rahmat kepadanya, selamatkan dia dan ampunkan kesalahannya.

kematian
Berita Semasa,

Proses ‘awet mayat’ sebenarnya menyeksa jasad si mati

Proses ‘awet mayat’ sebenarnya menyeksa jasad si mati…

PENGURUSAN jenazah merupakan tuntutan fardu kifayah. Maksudnya ia menjadi kewajipan ke atas umat Islam yang memadai dilakukan oleh seorang atau sekumpulan orang sahaja.

Jika berlaku kematian di sebuah kampung, pastinya anda akan melihat ada kariah atau kumpulan tertentu yang menguruskan perkara ini.

Pernahkah anda terfikir, bagaimana jika ada sanak saudara yang menetap di luar negara dan kemudian meninggal dunia di sana.

Bagi yang berkemampuan, pastinya jenazah akan dibawa pulang ke tanahair bagi memberi peluang buat sanak saudara menatap wajah arwah buat kali terakhir.

Namun, tahukah anda, sebenarnya proses membawa pulang jenazah dari luar negara untuk dikebumikan di kampung halaman sendiri adalah satu proses yang menyakitkan si mati.

Perkara ini diceritakan sendiri oleh Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Ustaz Rafie Zainal.

Ujarnya, proses pengawetan merupakan antara prosedur sukar yang perlu dilalui oleh jenazah khususnya bagi yang beragama Islam.

“Ini kerana, dalam kaedah mengawet tersebut, jasad sesorang perlu melalui beberapa proses yang disifatkan sebagai ‘menyakitkan’.

MENERUSI program yang dihoskan oleh Datuk Rosyam Nor dan Datin Seri Adlzliana, bertajuk Hitam Putih Kehidupan yang disiarkan di saluran YouTube Suhan Channel.

“Antaranya meliputi proses membuang darah bagi menggantikannya dengan cecair larutan formalin sehingga tubuh mayat mengeras dan pembersihan organ dalaman dengan kaedah yang agak menakutkan.

“Untuk proses pembersihan organ, satu lubang akan ditebuk di perut mayat, setelah itu akan dirodok (menggunakan alat khas), segala organ dalaman akan dihancurkan sebelum disedut keluar.

“Jantung, usus, perut, pundi kencing, buah pinggang semuanya akan disedut keluar sebab organ dalaman inilah yang membuat mayat akan cepat mereput dan membusuk,” katanya.

Artikel Berkaitan 

Beliau menjelaskandemikian ketika membuat perkongsian menerusi program audiosiar bertajuk Hitam Putih Kehidupan yang disiarkan di saluran YouTube Suhan Channel.

Menerusi program yang dihoskan oleh Datuk Rosyam Nor dan Datin Seri Adlzliana itu, Ustaz Rafie memberitahu, proses pembersihan organ itu menggunakan sejenis alat dinamakan ‘trocar’ yang akan dihunus menusuk ke perut bagi menghancurkan organ dalaman badan jenazah.

“Proses pengawetan itu merupakan prosedur wajib bagi jasad yang mahu diterbangkan dengan menggunakan kapal terbang dari luar negara.

“Bila tahu proses dia macam ni, orang akan cakap takutnya. Tapi ramai orang tak pernah tahu.

“Kadang-kadang bila keluarga dia meninggal dunia ketika cuti atau belajar di luar, dia akan cakap nak bawa balik, tak kira berapa kos pun boleh bayar. Tapi masalahnya dia tidak tahu apa yang terjadi pada mayat.

NABI Muhammad SAW pernah bersabda, di mana meninggal dekat situlah kebumi. Pertamanya sebab sakitnya (proses) nak bawa balik mayat itu.

“Sampai-sampai mayat itu memang macam cantik, macam hidup macam tidur sahaja. Tapi sebenarnya dalamannya hancur dan menyakitkan mayat,” kongsinya.

Tambah Ustaz Rafie, mengikut Islam, terdapat dua hukum yang diguna pakai berkaitan proses pengawetan berkenaan dan ia adalah berdasarkan kepada situasi.

“Harus sekiranya keadaan negara yang tempatnya meninggal itu tidak benarkan mayat warga asing dikebumikan. Contoh macam negara China, dia tidak benarkan rakyat asing atau orang luar dikebumikan di situ melainkan dibakar.

Turut Disyorkan 10 tanda kematian yang baik

Baca Juga Nikmati fasa kritikal dan kemuncak ujian kehidupan pada usia 30 hingga 39 tahun

“Dalam kes tersebut, takkan kita nak biarkan keluarga kita dibakar. Jadi harus dibawa balik.

“Tapi (haram) bagi tempat yang contohnya negara ada tanah kubur dan boleh kebumi di situ. Tapi kalau keluarga nak juga, maka merekalah yang bertanggungjawab,” ujarnya.

Disebabkan itu, Ustaz Rafie berkata, adalah sebaiknya jika individu itu dikebumikan di tempatnya meninggal dunia.

“Hal ini kerana Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, di mana meninggal dekat situlah kebumi. Pertamanya sebab sakitnya (proses) nak bawa balik mayat itu.

“Kedua, dari segi ganjaran, Nabi Muhammad SAW bersabda barangsiapa meninggal di luar tempat kelahirannya, maka akan dibina mahligai di syurga nanti sejauh tempat dia lahir sampai tempat dia meninggal,” ujarnya.

Jemaah Yala
Istimewa Panggilan Baitullah,

Kembali ke Rahmatullah di Mina ketika sampaikan tazkirah, sebuah kematian yang menghidupkan jiwa Mukmin

Kembali ke Rahmatullah di Mina ketika sampaikan tazkirah, sebuah kematian yang menghidupkan jiwa Mukmin..

SETIAP yang hidup di muka bumi ini pasti menyedari bahawa kehidupan akan diakhiri dengan sebuah kematian.

Bagi orang Islam, kita perlu beriman bahawa selepas berakhirnya nafas di muka bumi ini, maka bermulalah perjalanan kehidupan yang kekal abadi di akhirat.

Apabila ALLAH SWT telah menetapkan ajal maut seseorang itu, maka tiada satu kuasa pun yang mampu menghalangnya mahupun melengahkan ketetapan tersebut.

Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan seorang jemaah dari Yala, Thailand meninggal dunia semasa sedang memberikan tazkirah kepada jemaah lain di khemah di Mina.

Baca Juga Jom pakat baca Doa ini pada Hari Arafah, tidak semestinya tunggu jemaah haji wukuf

Menerusi perkongsian rakaman berdurasi 31 saat oleh @rmixbyhakim itu, kelihatan arwah sedang memberikan tazkirah dalam satu majlis ilmu agama.

Apa yang membuatkan ramai sebak dan tersentuh adalah apabila dia tiba-tiba kelihatan seperti pening kepala dan ingin rebah.

Namun, sebaik saja dua orang jemaah lagi datang kepadanya, dia terus jatuh dan difahamkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

APABILA ALLAH SWT telah menetapkan ajal maut seseorang itu, maka tiada satu kuasa pun yang mampu menghalangnya mahupun melengahkan ketetapan tersebut.

Susulan tularnya video tersebut yang kini sudah meraih 737.6K tontonan di TikTok, rata-rata netizen turut mengucapkan takziah dan mendoakan agar arwah ditempatkan bersama para orang beriman.

Keistimewaan meninggal dunia di Tanah Suci Mekah?

Tidak dinafikan Tanah Suci Mekah mempunyai kelebihan berbanding tempat lain. Ini kerana terdapat banyak kenangan sejarah Rasulullah SAW dan kebangkitan Islam di Madinah dan kota Mekah.

Ketua Jaringan Industeri dan Komuniti Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menjelaskan terdapat banyak kelebihan bagi mereka yang meninggal di sana.

“Ia berikutan terdapat riwayat menunjukkan Nabi SAW memuji mereka yang meninggal di Tanah Suci. Nabi SAW bersabda “Sekiranya terdapat dalam kalangan kamu yang terpilih meninggal dunia di Madinah (Tanah Suci), maka bergembiralah. Sesungguhnya sesiapa yang terpilih (oleh ALLAH) untuk mati di Madinah, Aku akan menjadi saksi dan syafaat untuknya pada hari kiamat kelak.” (Hadis Riwayat al-Tabrani)

UMAT Islam dibenarkan untuk sentiasa berdoa agar mati di Tanah Suci, sama ada ketika mengerjakan umrah atau ibadah haji. – Foto: 123RF

“Hadis ini secara jelas menunjukkan memang terdapat kelebihan kepada mereka yang meninggal dunia di Tanah Suci seperti Madinah dan Mekah. Namun, galakan seperti ini jangan disalah tafsir sehingga ada pula nanti yang sanggup membunuh diri hanya semata-mata ingin mati di sana.

“Menurut al-Tabrani, mati yang dimaksudkan oleh Nabi SAW itu adalah mati yang tidak dirancang atau disengajakan, tetapi ia lebih kepada mati disebabkan sakit, musibah kemalangan dan seumpamanya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN 

Tambah beliau lagi, mungkin akan ada yang bertanya, bolehkah kita sentiasa berdoa agar pengakhiran hidup kita di satu daripada dua Tanah Suci ini? Jawapannya, boleh. Umat Islam dibenarkan untuk sentiasa berdoa agar mati di Tanah Suci, sama ada ketika mengerjakan umrah atau ibadah haji.

“Pernah suatu ketika, Umar bin al-Khattab berdoa yang bermaksud: “Ya ALLAH, kurniakanlah kepadaku syahid ketika di jalan-MU dan biarlah kematianku itu di Negeri Rasul MU SAW.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

“Daripada doa Umar ini, Imam Nawawi berpendapat, memohon doa supaya dimatikan di tempat mulia adalah digalakkan dan ia termasuk dalam sunah Khulafa al-Rasyidin,” jelasnya.

kematian di Makkah atau Madinah
Istimewa Panggilan Baitullah,

Jemaah haji Malaysia meninggal dunia, ini tatacara uruskan jenazah di Makkah atau Madinah

Ini tatacara uruskan jenazah di Makkah atau Madinah…

SEMALAM dilaporkan seorang jemaah haji berusia 57 tahun meninggal dunia pada jam 11.50 malam, 4 Jun lepas akibat kegagalan jantung.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman yang memaklumkan perkara berkenaan berkata wanita berasal dari Raub, Pahang itu meninggal dunia di Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) di sini.

“Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjidil Haram selepas solat zuhur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syariee, Makkah,” katanya dalam sidang media perkembangan operasi haji di Ibu Pejabat TH Makkah, Abraj Janadriyah.

Beliau berkata pihak kaunselor TH telah melawat suami Allahyarham yang juga berada di Makkah untuk menunaikan haji, selain TH akan menguruskan badal haji untuk Allahyarham.

PENTING untuk mengetahui jika berlakunya kematian rakyat Malaysia yang berada di Makkah atau Madinah. 

Bagaimana menguruskan jenazah di Makkah atau Madinah

Jika berlakunya kematian rakyat Malaysia yang berada di Makkah atau Madinah tidak kira kematian itu sama ada di hotel, masjid atau hospital, perkara yang perlu dilakukan untuk menguruskan jenazah di Makkah atau Madinah adalah seperti berikut, sebagaimana dipetik di laman dailyumrah.com.

Jelas laman berkenaan, untuk visa umrah, maklumkan kematian kepada pihak muasasah untuk mendapatkan surat kematian dari pihak hospital. Jika jemaah meninggal dunia di hotel atau masjid perlu hubungi hospital dan pegawai polis untuk pengesahan kematian.

Baca Juga Bolehkah makmum wanita menyebut ‘aamiin’ dengan kuat ketika solat berjemaah?

Turut Disyorkan Pasangan meninggal sebelum sempat bernikah, ada peluangkah bersatu di syurga?

Surat kematian akan dikeluarkan selepas tempoh 2-4 jam selepas pesakit disahkan meninggal dunia di hospital. Proses lebih lama jika kematian berlaku di luar hospital, kerana perlu dapatkan surat pengesahan polis sebelum surat kematian dikeluarkan.

Untuk Visa Tourist, perlu upah syarikat pengurusan jenazah, bayaran SAR2500-3000. Mereka akan uruskan proses untuk dapatkan surat kematian dari pihak hospital dan buat laporan polis.

MULAI tahun 2020, hanya pemukim Madinah sahaja dibenarkan disemadikan di Perkuburan Baqi’. Jenazah yang bukan pemukim Madinah akan disemadikan di Pemakaman Hayy Sayyid Syuhada, Uhud.

Dokumen mengenai kematian jemaah perlu dihantar ke KONSULAT MALAYSIA di JEDDAH untuk mendapatkan keizinan pengebumian.

Dokumen yang perlu dibawa ke konsulat Malaysia di Jeddah seperti berikut :

– Surat Tabligh Wafah dari Hospital
– Passport asal jenazah
– Passport asal waris
– Surat pengesahan izin pengebumian oleh waris
– Surat polis masjid(jika jemaah meninggal di Masjidil Haram)

Baca Juga Mengapa jenazah meninggal di Makkah, wajah tidak bertutup dan diselimut kain berbeza warna?

Setelah mendapatkan surat kebenaran dari konsulat Malaysia, pergi ke hospital untuk menuntut jenazah. Pihak hospital akan diiringi oleh petugas, waris ke tempat pemandian jenazah untuk proses berikutnya. Catat nombor katil dan nombor van jenazah untuk dimaklumkan kepada pegawai untuk proses seterusnya.

jenazah di makkah

SETIAP hari, akan ada jenazah yang disolatkan di Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah.

Jenazah akan dibawa ke Masjidil Haram atau Masjid Nabawi 1-30 minit sebelum masuk waktu solat/azan. Jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan Al-Syaro’l. Sila catat nombor kubur.

Selesai proses pengebumian, seterusnya proses mendapatkan sijil kematian (shahadah Wafah) melalui muasasah (Visa Umrah), jika visa pelancongan, pihak polis akan berurusan dengan konsulat Malaysia di Jeddah.

Kebiasaanya sijil kematian akan dapatkan tempoh 14-30 hari. Selepas dapat sijil kematian, dokumen dihantar ke konsulat Malaysia di Jeddah untuk disahkan dan diterjemahkan. Proses ini sangat penting kerana ia menjadikan dokumen sah laku di tanah air untuk proses di Malaysia.

Baca Juga Jangan mengelak bila ada kematian, lelaki Muslim digalakkan iring jenazah ke pusara kerana pahalanya sebesar Gunung Uhud

Di Madinah , prosedur yang sama seperti di Makkah kecuali urusan dokumen tidak perlu ke Jeddah. Hanya perlu di pejabat muasasah di Madinah, Mulai 2020, hanya pemukim Madinah sahaja dibenarkan disemadikan di Perkuburan Baqi’. Jenazah yang bukan pemukim Madinah akan disemadikan di Pemakaman Hayy Sayyid Syuhada, Uhud.

makanan kematian
Isu,

Saudara dan jiran prihatin perlu sediakan makanan kepada keluarga yang berdepan kematian, bukannya riang menjamu selera di rumah si mati.

Saudara dan jiran prihatin perlu sediakan makanan kepada keluarga yang berdepan kematian, bukannya riang menjamu selera di rumah si mati…

APABILA perginya anak Adam kembali menghadap Sang Pencipta, maka tinggallah ahli keluarga di rumah hanya mampu menangisi pemergian insan tersayang.

Sudahlah sedang bersedih, keluarga itu juga terpaksa pula mengerah tenaga menyediakan hidangan buat tetamu yang hadir menziarah. Begitulah antara norma masyarakat Melayu tatkala berdepan dengan kematian.

Apabila diamati, rasanya tidak sempat untuk bersedih lama-lama dengan kematian tersebut kerana keluarga si mati terpaksa memikirkan menu apa yang perlu sediakan untuk kenduri tahlil arwah selama 3, 7 atau 40 hari.

Baca juga Jangan mengelak bila ada kematian, lelaki Muslim digalakkan iring jenazah ke pusara kerana pahalanya sebesar Gunung Uhud

makanan kematian

Turut disyorkan Ambillah peluang, tunaikan solat jenazah untuk saudara seagama kita. Ini sebab-sebabnya 

Ya, Islam sememangnya menegah umatnya daripada terus meratapi atau bersedih terhadap suatu ajal dalam masa yang lama.

Namun, ruang juga harus diberikan kepada ahli keluarga untuk mendoakan jenazah serta menguruskan perkara yang lebih penting lagi.

Justeru, tahukah anda bahawa kita disunatkan untuk memberi makanan kepada keluarga si mati, tidak kira sama ada dengan memasak sendiri atau dibeli?

AMALAN itu merupakan antara sunnah berkaitan kematian yang dilupakan kebanyakan masyarakat. Foto: Unsplash

Baca juga Istinsyaq, sunnah cuci rongga hidung yang dapat mencegah penyakit

Sunnah yang semakin dilupakan masyarakat itu pernah disebutkan Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis apabila baginda mendapat berita kematian Ja’afar bin Abi Talib RA, iaitu:

Sabda baginda Nabi: “Buatkan untuk keluarga Ja’afar makanan yang mana sesungguhnya sesuatu (musibah kematian) telah menimpa mereka dan menyibukkan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Perkara tersebut diajarkan Nabi SAW sebagai salah satu cara untuk meringankan beban keluarga si mati yang pastinya sibuk menguruskan jenazah.

Turut disyorkan Nasib Malang Jika Bawa Jenazah Dalam Kenderaan Persendirian?

makanan kematian

DENGAN melakukan perbuatan kecil tetapi bermakna seperti menyumbangkan makanan, moga-moga akan berkurangan beban dan kesedihan keluarga si mati. Foto: Google

Baca juga Kubur bertingkat, solusi atasi kawasan pusara padat

Walau bagaimanapun, tidak salah jika keluarga berkenaan tetap ingin menyediakan juadah kecil-kecilan bagi menghargai jasa tetamu yang hadir membantu dalam pengurusan jenazah.

Pun begitu, hal seperti juadah dan sebagainya lebih elok sekiranya dibantu oleh jiran tetangga atau saudara-mara.

Bagi kita pula yang mungkin ada kenalan atau kaum kerabat sedang berdepan suatu kematian, ambillah inisiatif untuk menyumbangkan makanan buat keluarga si mati.

Dengan harapan perbuatan kecil itu bukan sahaja dapat meringankan beban menguruskan jenazah, bahkan turut mengurangkan kesedihan yang menyelubungi hati keluarga si mati atas sebab kematian tersebut.

Sumber: Portal Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Google & Unsplash

jenazah2
Ibadah,

Jangan mengelak bila ada kematian, lelaki Muslim digalakkan iring jenazah ke pusara kerana pahalanya sebesar Gunung Uhud

Jangan mengelak bila ada kematian, lelaki Muslim digalakkan iring jenazah ke pusara kerana pahalanya sebesar Gunung Uhud…

SETIAP yang bernyawa pasti merasai mati. Bagi seorang Muslim, apabila putus pertalian roh dan jasadnya di dunia, jenazah tersebut harus diuruskan oleh mereka yang masih hidup.

Dalam Islam, tugas menguruskan jenazah hukumnya ialah fardu kifayah. Ada hak yang perlu dipenuhi iaitu memandikan, mengkafankan, solat serta mengebumikan jasad yang baru meninggal itu.

Asalkan sebahagian masyarakat Islam sudah melakukan perkara-perkara tersebut, maka terlepaslah orang lain daripada dosa.

Berkenaan perbuatan mengiringi jenazah, meskipun tidak termasuk dalam empat perkara berkenaan, namun ia dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk dilakukan.

Baca juga Bingung urus kematian ketika bah, ketahui pengurusan jenazah fiqh banjir

Baca juga 10 tanda kematian yang baik

Anjuran mengiringi jenazah

Bahkan, Nabi SAW menyebutnya sebagai salah satu hak yang perlu dipenuhi oleh seorang Muslim terhadap saudara se-Islamnya yang lain.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa baginda Nabi bersabda “Hak muslim ke atas muslim enam perkara: Apabila kamu bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam ke atasnya. Apabila kamu diundang maka penuhilah. jika apabila dia meminta nasihat kepadamu, maka berilah nasihat kepadanya. Apabila bersin, maka ucapkanlah hamdalah serta balaslah (dengan doa: يرحمك الله). Apabila dia sakit, maka ziarahilah dia. Apabila dia meninggal, maka hantarlah jenazahnya ke kubur.” (Hadis Riwayat Muslim)

Turut disyorkan Mengapa jenazah meninggal di Makkah, wajah tidak bertutup dan diselimut kain berbeza warna?

 

Baca juga Ambillah peluang, tunaikan solat jenazah untuk saudara seagama kita. Ini sebab-sebabnya 

Tambahan pula, umat Islam yang mengiringi jenazah saudaranya ke tempat solat atau hingga kawasan pengebumian akan diganjarkan pahala dua qirat.

Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang mengiringi jenazah orang Islam dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala serta dia tetap bersama sehingga dia menyembahyangkan jenazah itu dan mengebumikannya, nescaya dia akan pulang membawa pahala 2 qirat. Setiap qirat seperti Gunung Uhud. Manakala sesiapa yang menyembahyangkan jenazah kemudian dia pulang sebelum jenazah itu dikebumikan, nescaya dia akan membawa pulang pahala 1 qirat.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Turut disyorkan Jauhi dosa jariah ini, agar tidak mengalir bila kita sudah meninggal dunia

Adab mengiringi jenazah
Menurut ulama terkemuka, Imam al-Ghazali, adab mengiringi jenazah termasuk:

1. Mengiringi jenazah dalam keadaan khusyuk.
2. Menundukkan pandangan
3. Tidak berkata-kata atau bergurau senda.
4. Memperhatikan jenazah sebagai teladan
5. Memikirkan pertanyaan dalam kubur yang perlu dijawab
6. Tekad untuk bertaubat apabila teringat dosa lampau

Sementara itu, portal NU Online mengingatkan agar jenazah tidak diiringi tangisan dengan suara berlebihan atau kemenyan berbau wangi.

Manakala, orang yang mengiringi boleh berjalan di sebelah kiri, kanan, belakang atau di depan jenazah. Namun, jika menaiki kenderaan, mereka harus berada di bahagian belakang.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & NU Online

Foto: Pexels & Google

Jangan mengelak bila ada kematian, lelaki Muslim digalakkan iring jenazah ke pusara kerana pahalanya sebesar Gunung Uhud…

ziarahlah kenalan bukan Islam
Berita Semasa,

Ziarahlah kenalan bukan Islam yang meninggal. Ini penjelasannya

ISLAM sangat menitikberatkan hubungan harmoni sesama manusia tanpa mengira latar belakang dan agama. Bahkan, terdapat keharusan berbuat baik kepada golongan bukan Muslim yang tidak memusuhi Islam.

Firman ALLAH SWT: “ALLAH tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8)

Baca juga Hukum ucap ‘inna lillahi wa inna ilaihi roji’un’ kepada non-Muslim

Oleh itu, sewaktu mereka hidup, berbaik-baiklah dengan kenalan bukan Islam seperti saling menziarahi, memberi makanan dan lain-lain.

Namun, bagaimana pula jika mereka meninggal dunia? Adakah kita masih dibenarkan oleh agama untuk terus menghormati golongan bukan Muslim dengan mengiringi serta menziarahi jenazah mereka?

ziarahilah kenalan bukan Islam

ISLAM menganjurkan umatnya mengadakan hubungan baik sesama manusia walau berlainan agama dan kepercayaan.

Dalam hal ini, jumhur ulama mempunyai pendapat berbeza.

Terdapat sebuah riwayat bahawa Baginda SAW tidak menghadiri pengebumian bapa saudaranya, Abu Talib. Sebaliknya, Nabi menyuruh Ali RA untuk menyelesaikan proses pengebumian ayahnya itu.

Pergilah dan tanamlah ayahmu kemudian jangan kamu lakukan sesuatu sehingga kamu datang menemuiku.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Melalui riwayat ini, sebahagian ulama seperti Imam Malik RA termasuk mazhab al-Hanbali berpendapat bahawa umat Islam dilarang untuk menghadiri pengebumian orang bukan Islam sama ada jiran mahupun saudara mara.

Baca juga Bila orang bukan Islam beri salam, apa harus kita jawab…

Namun, menurut sarjana Islam, al-Khatib al-Syarbini, Ali sangat taat kepada bapanya. Jadi, apabila Abu Talib meninggal dunia, beliau tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai anak.

Oleh itu, ada juga ulama yang berpandangan bahawa, jika orang bukan Islam yang meninggal itu adalah saudara maranya, maka dibolehkan untuk menghadiri. Namun, tidak boleh jika jenazah tersebut tiada hubungan persaudaraan atau pertalian darah.

Walau bagaimanapun, portal Pejabat Mufti Wilayah menjelaskan, umat Islam dibolehkan menghadiri upacara pengebumian bukan Islam, pandangan ini dikeluarkan melihat kepada kebaikan yang perlu dilakukan sesama insan dan untuk menyebarkan syiar Islam itu sendiri.

ziarahlah kenalan yang bukan Islam

Dari segi mengiringi jenazah, pihak Mufti Wilayah Persekutuan berkata, ia bergantung kepada keperluan. Ini kerana sebahagian ulama membenarkan dan ada juga yang mengatakan perbuatan itu dilarang.

Bahkan, mazhab Syafie juga membenarkan perbuatan memandikan, mengkafankan serta mengebumikan jenazah bukan Islam. (Rujuk al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 1/628; Al-Hawi al-Kabir, 3/19)

Pun begitu, ia perlu dilakukan mengikut beberapa syarat yang tidak melanggar akidah seperti tidak terlibat dalam upacara bukan Islam yang berkait rapat dengan kepercayaan agama lain, tegas pihak Mufti Wilayah Persekutuan.

Baca juga Mengapa jenazah meninggal di Makkah, wajah tidak bertutup dan diselimut kain berbeza warna?

Kesimpulannya, sekadar menghadiri majlis pengebumian orang bukan Islam adalah diharuskan, terutamanya jika ada hubungan keluarga.

Namun, harus juga diingat apa sahaja adab atau tatacara yang dilakukan oleh golongan bukan Muslim ketika upacara pengebumian itu tidak boleh disertai, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan acara khusus keagamaan mereka.

Sumber: Irsyad al-Fatwa siri ke-151: Hukum Menghadiri Majlis Pengebumian Bukan Muslim & Pendapat Ulama Berkenaan Menghadiri Pengebumian Bukan Islam

Foto: Pexels

Solat jenazah
Panduan,

Ambillah peluang, tunaikan solat jenazah untuk saudara seagama kita. Ini sebab-sebabnya 

PENANGAN wabak Covid-19 membuatkan banyak aktiviti masjid dan surau terbantut lebih dua tahun lalu. Jika berlakunya kematian, sukar untuk datang berziarah lebih-lebih lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

Lebih kurang dua minggu lagi, negara kita bakal menuju Fasa Peralihan ke Endemik. Maka, sekatan-sekatan yang dikenakan sebelum ini akan dilonggarkan.

Ini termasuklah pemansuhan penjarakan fizikal dan sosial ketika menunaikan solat di rumah-rumah ALLAH. Bagaimanapun, semua itu tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama di negeri masing-masing.

Selepas ini, andai ada kematian dalam kalangan kenalan mahupun sanak saudara, bolehlah kita datang berziarah.

Namun, janganlah sekadar datang melihat dan bertanyakan khabar kepada keluarganya sahaja, tetapi dirikanlah juga solat jenazah buat si mati.

Ini kerana ALLAH SWT menjanjikan imbalan yang begitu besar kepada mereka yang menunaikan solat dan mengiringi jenazah sehingga ke ‘tempat tinggal baharunya’.

Demikian jelas pendakwah Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar menerusi video bertajuk Besarnya Ganjaran Pahala Solat Jenazah yang dikongsikan menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

WADI ANNUAR

Beliau lantas memetik hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menghadiri jenazah sehingga jenazah itu disembahyangkan, maka dia seolah-olah mendapatkan satu qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak) dan sesiapa yang menghadirinya sehingga jenazah itu dikuburkan, maka dia mendapat dua qirat”. Sahabat bertanya: “Apakah dua qirat itu?” Baginda SAW bersabda: “Seumpama dua gunung.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

 Baca juga Belia Islam UK belajar pengurusan jenazah berikutan pandemik

Berdasarkan nas itu, Ustaz Wadi Annuar menjelaskan, qirat itu umpama sejenis mata wang ataupun sesuatu yang begitu berharga.

“Bayangkan dua qirat itu seumpama dua gunung yang berbelas ribu kali ganda besarnya daripada rumah kita. Malah, lebih besar daripada bukit.

“Hakikatnya, tidak sampai lima minit pun kita mengerjakan solat jenazah itu jika dihitung, tetapi pahala yang menanti begitu besar sekali,” katanya.

Baca juga Mengingati mati mengurangkan hasrat duniawi kita. Ketahuilah, sakit bukanlah syarat kepada kematian

Justeru, beliau menasihatkan umat Islam agar berazamlah untuk mendirikan solat jenazah untuk saudara seagama walaupun kita tidak mengenali individu berkenaan.

“Apabila Nabi Muhammad SAW bersabda begitu besarnya pahala yang bakal diraih jika berbuat demikian, maknanya amalan ini sangat istimewa di sisi ALLAH SWT,” ungkapnya.

Solat jenazah

HUKUM melakukan solat jenazah adalah fardu kifayah. Namun, ia bukanlah dikhaskan untuk penduduk setempat sahaja tetapi juga ke atas setiap Muslim. -Gambar hiasan

Dalam pada itu, Ustaz Wadi Annuar turut memperbetulkan persepsi segelintir masyarakat yang menganggap solat jenazah sebagai sembahyang eksklusif untuk penduduk setempat.

“Sedangkan, ia sebenarnya adalah suatu tuntutan yang besar di sisi ALLAH SWT. Apa tidaknya, solat jenazah merupakan penghormatan seorang Muslim kepada saudara seagamanya.

“Para alim ulama terdahulu sangat mementingkan solat jenazah. Jika berlaku kematian, mereka akan mendirikan solat jenazah buat si mati,” katanya.

Memetik artikel di laman web maktabahalbakri.com, solat jenazah merupakan fardu kifayah ke atas setiap Muslim.

“Para fuqaha al-Syafi’eyyah menyebut, ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja dari sudut tidak terhad kepada waktu-waktu yang tertentu.

“Bahkan, Imam al-Mawardi menerusi Kitab al-Hawi al-Kabir berkata: ‘Solat ke atas mayat, ia tidak terkhusus kepada waktu-waktu yang tertentu. Ia tidak dimakruhkan untuk dilaksanakan pada waktu-waktu yang tertentu. Dibolehkan untuk mengerjakan ia pada waktu-waktu yang dilarang solat padanya’,” katanya sebagaimana dipetik daripada laman web tersebut.

Foto: Bernama