MINAT menjadi anggota polis sejak di bangku sekolah tidak menghalang seorang hafiz (penghafal al-Quran) yang juga imam masjid untuk mencapai cita-citanya itu.
Muhammad Faris Azhar, 21, berkata, tidak semestinya hafal al-Quran kemudian jadi pak imam atau penceramah agama sahaja, tanggapan itu perlu diubah.
“Tuntutan menjadi anggota keselamatan untuk menjaga keharmonian negara lagi besar kerana tidak ramai yang berlatar belakang agama menceburi bidang ini.
“Saya memang minat jadi polis sejak sekolah kerana penampilan yang kemas, segak dan mengutamakan disiplin dalam tugas,” katanya seperti dilaporkan berita tempatan.
Baca Juga Sambung ayat ikut urutan hijaiyyah, dua huffaz buktikan kehebatan
Malah, komitmennya yang tinggi menjadikan anak bongsu daripada dua beradik itu turut dilantik menjadi imam kepada pelatih di PLAK.
Muhammad Faris bergelar anggota polis selepas berjaya menamatkan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK), Konstabel Lelaki Bilangan 56 Siri 9/2022 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Batu Anam, Segamat, selama enam bulan semalam.
Ibu bapanya, Dayang Zunarita Ismail, 51, dan Azhar Abdullah, 51, sebelum ini menunaikan kemahuan Muhammad Faris untuk bergelar hafiz selepas memulakan pengajian di sekolah tahfiz pada usia lapan tahun.
“Kini kami bersyukur dan bangga apabila Muhammad Faris menjadi sebahagian daripada komuniti tahfiz dalam PDRM. Dia memang minat dengan polis sehinggakan semua urusan untuk mengikuti program latihan, dia uruskan sendiri.
Baca Juga Hafizah al-Quran ini raih markah kedua tertinggi ACCA peringkat dunia
Turut Disyorkan Khaby Lame seorang ‘influencer’ hafiz al-Quran dan Muslim berjaya
“Dia memang mendapat tawaran sebagai imam masjid, malah pernah bertugas sebagai imam masjid, tetapi kini memilih untuk menjadi polis kerana minat dan rasa tanggungjawab kepada negara,” kata kakitangan swasta berasal dari Johor Bahru ini.
Huffaz jadi rebutan
Tanggapan masyarakat bahawa individu lulusan pendidikan tahfiz dan golongan huffaz sesuai menceburi kerjaya dalam bidang berkaitan agama sahaja harus diperbetulkan.
Seorang perunding motivasi Profesional Huffaz (Profazz), Suhayl Salmi berkata, kelebihan kedua-dua golongan itu yang menghafal 30 juzuk al-Quran seharusnya dijadikan nilai tambah kepada mereka yang menceburi bidang profesional.
“Ramai huffaz telah menceburi kerjaya profesional seperti doktor, polis, peguam, malah ada memilih dunia perniagaan dan mampu bergelar usahawan berjaya.
Baca Juga Rahsia Safwa, hafizah al-Quran cemerlang ACCA
“Sesiapa sahaja boleh menghafal al-Quran tetapi yang susah ialah untuk mengamalkannya dalam kehidupan. Penting untuk berakhlak, amalkan al-Quran di tempat kerja dan hidupkan syiar Islam di semua institusi yang ada.
“Jika kita mendalami al-Quran, tuntutan bukan sekadar menjadi ustaz atau ustazah, malah menjadi satu kerugian bagi orang yang belajar (al-Quran) tetapi hanya amalkan di dalam masjid sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.