Author

Vox
Jendela Dunia,

Berjuta Rakyat Amerika Peluk Islam selepas 9/11

SERANGAN 11 September ke atas Amerika Syarikat (AS) oleh Al- Qaeda meninggalkan kesan yang mendalam di negara itu. Ramai rakyat AS diperkenalkan kepada Islam buat pertama kalinya dan mereka terus memilih untuk memeluk Islam.

Antara tahun 2000 hingga 2010, umat Islam di AS meningkat sekitar satu juta menjadi 2.6 juta, peningkatan sebanyak 67 peratus menjadikan Islam adalah agama yang paling cepat berkembang di Amerika Syarikat, menurut Banci Agama AS.

Peratusan Populasi Islam di dunia. Wikipedia

Menurut Pew Research, menjelang 2017 jumlah umat Islam di AS dianggarkan telah meningkat sehingga 3.45 juta orang.

Walaupun melihat kepada pertumbuhan ini, umat Islam di Amerika Syarikat masih mewakili sekitar satu peratus penduduk negara itu pada tahun 2020, menurut Institut Penyelidikan Agama Awam.

Sebagai perbandingan, orang Kristian merangkumi sekitar 70 peratus daripada populasi, sementara 23 peratus orang Amerika mengatakan mereka tidak berkaitan dengan agama atau dikenali sebagai ateis atau agnostik.

Cynthia Cox Ubaldo

Semasa membuat liputan pilihan raya AS pada tahun 2020, CGTN mewawancara aktivis Ohio dan Delegasi Konvensyen Nasional Demokratik, Cynthia Cox Ubaldo yang memeluk Islam selepas 11 September.

Ubaldo mengatakan dia tertarik pada Islam ketika dia meneliti serangan pengganas oleh pelampau Muslim. Ketika dia belajar lebih banyak tentang prinsip-prinsip agama, dia menyedari bahawa itu adalah kebalikan daripada apa yang dipercayai oleh pengganas yang turut serta dalam serangan 11 September.

Setelah memeluk Islam, Ubaldo menghadapi beberapa contoh diskriminasi bahkan serangan atas kepercayaan dan pakaiannya.

Lebih daripada separuh orang dewasa Amerika yang ditemui oleh Pew Research pada tahun 2019 merasakan bahawa umat Islam didiskriminasi dan 82 peratus mengatakan bahawa umat Islam menghadapi diskriminasi.

Dalam temu bual New York Daily News bersama Profesor Madya University of Kentucky, Ihsan Bagby mengatakan bahawa diskriminasi itu hanya membina daya tahan di kalangan umat Islam.

“Anda menjadi lebih kuat dalam perlawanan ini. Saya rasa suasana anti-Muslim di sesetengah kawasan awam telah menjadikan umat Islam lebih beragama,” katanya.

Penganalisis Data untuk Banci Agama AS, Dale Jones juga memberitahu bahawa penganiayaan kadang-kadang baik untuk kumpulan agama dalam mendapatkan lebih banyak pengikutnya.

“Jarang sekali ada penentangan yang efektif untuk menghentikan perkembangan Islam di AS,” kata Jones.

Sumber: America CGTN

d537108f-05ea-4318-ae5e-0bf1e36eee18
Berita Semasa,

AHK Medan Bekalan Akhirat Mercu Tanda Syiar Islam Pertama

SELURUH umat Islam diingatkan untuk terus melakukan persiapan sebagai bekalan akhirat dalam kita menanti hari kematian yang bakal tiba pada bila-bila masa.

Kehidupan yang pendek ini juga mengingatkan kita betapa amal ibadat dan amal jariah kita cukup atau tidak sebagai simpanan bagi memulakan kehidupan sebenar di negara abadi kelak.

Atas metodologi ini jugalah timbul ilham perancangan penubuhan Kompleks Anjung Husnul Khatimah (AHK) di bawah Yayasan Sabha sebagai lubuk menimba ilmu akhirat. Ia dirancang dibangunkan penghujung tahun ini dan bakal menjadi mercu tanda kebanggaan negara dalam menegakkan syiar Islam.

Datuk Dr Hasan Hj Mohamed Ali

Pengasas AHK yang juga Pengerusi Yayasan Sabha, Datuk Dr Hasan Hj Mohamed Ali, berkata kompleks itu akan menjadi organisasi yang unik dengan menggabungkan teori dan praktikal kepada masyarakat Islam yang ingin menambah ilmu sebagai bekalan sebelum mati.

Menurut Dr Hasan, AHK adalah Inisiatif yang pertama di dunia dan satu-satunya di Asia yang menyediakan modul pembelajaran mengikut konsep, metodologi dan kandungan program menjurus terus kepada ilmu dan amal ibadat secara intensif.

“AHK diurus menggunakan prinsip ‘non-profit making’, amal jariah, fisabilillah dan amal soleh. Ianya dibangun dan dikendalikan sebagai satu cabang dakwah yang menekankan kepentingan mewujudkan institusi, program dan gerak kerja berbentuk fizikal.

Tapak kompleks Anjung Husnul Khatimah di Bukit Cherakah, Selangor Darul Ehsan.

“Tapak kompleks seluas 1.3 hektar dengan nilaian tanah berharga RM2.5 juta itu telah diwakafkan atas nama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai pemegang amanah kepada harta wakaf milik ALLAH SWT itu.

“Ia akan dibangunkan di tapak Lot PT 29616, Bukit Cherakah, Selangor Darul Ehsan, berdekatan dengan Kampus Baru dan Fakulti Perubatan UiTM yang akan memulakan pembinaan pada penghujung tahun ini dan dijangka siap pada tahun 2023,” katanya pada sidang media atas talian, semalam.

Tambah Dr Hasan, AHK menyediakan program Pendidikan Hujung Usia dengan menyediakan modul kepada peserta lelaki dan perempuan berusia 40 tahun ke atas untuk memahami, mendalami, menghayati dan mempraktik ilmu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah.

Selain aktiviti motivasi, kaunseling, perkhemahan ibadah, majlis ilmu dan sambutan bulan Islam yang membawa kepada promosi dan pemasaran Kompleks Anjung Husnul Khatimah.

“Semua modul berasaskan amali dengan merangka kandungan program yang menekankan aspek amali dalam mana mereka boleh meneruskan sendiri apa yang dipelajari bila pulang ke kediaman masing-masing.

“Di sini kami menyediakan persediaan lengkap melibatkan dua kategori peserta iaitu yang pertama ibu, bapa atau individu dewasa dan kategori kedua bagi kanak-kanak berusia 15 tahun,” katanya yang turut menerima peserta dari negara jiran seperti Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia.

Kategori pertama dibahagikan kepada lima modul dan kategori kedua disediakan empat modul di mana setiap satu modul akan dihabiskan peserta sepanjang program tiga hari dua malam. Antara modul-modulnya mengikut kategori seperti:-

Kategori 1
Modul 1: Tahap-Tahap Kehidupan Insan: Alam Rahim Ke Liang Lahad.
Modul 2: Mempraktik Kehidupan Seimbang Antara Tuntutan Dunia Dan Akhirat.
Modul 3: Ilmu Fardhu Ain Dan Fardhu Kifayah Bagi Warga Hujung Usia.
Modul 4: Membina Keperibadian Muslim Sejati Sebagai Pra-Syarat Mati Dalam Husnul Khatimah.
Modul 5: Menangani Cabaran Dan Halangan Menjadi Insan Yang Dicintai ALLAH SWT.

Kategori 2
Modul 1: Kasih Sayang, Dan Adab Tertib Menjaga Ibubapa Hujung Usia.
Modul 2: Mengurus Ibubapa Yang Sedang Nazak.
Modul 3: Tanggungjawab Anak-Anak Mengurus Jenazah Ibubapa.
Modul 4: Mengurus Harta Tinggalan Ibu bapa Bagi Mengelakkan Konflik Di Kalangan Ahli Waris.

Sementara bagi kos keseluruhan pembinaan kompleks AHK dianggarkan RM15 juta hingga RM20 juta membabitkan pelbagai kemudahan infrastruktur bagi keselesaan umat Islam. Sehingga kini AHK telah berjaya mengumpul dana daripada orang ramai yang dibuka sejak awal tahun ini telah mencecah RM1.5 juta.

Gambaran bangunan Kompleks Anjung Husnul Khatimah

Antara komponen-komponen bangunan yang akan dibina seperti:
• Pusat Islam
• 125 bilik penginapan (berhawa dingin)
• Auditorium (kapasiti 350 orang)
• 10 bilik kuliah (berhawa dingin)
• Ruang masak dan dewan makanBlok pentadbiran
• Bilik rawatan
• 2 unit Gymnasium (Lelaki & Wanita)
• Ruang rehat yang selesa
• Ruang tamu mesra
• Kiosk serba guna
• Ruang masak dan dewan makan
• 8 kuaters untuk staff
• Tandas awam
• Tempat letak kereta yang mencukupi
• Stor
• Kebuk sampah
• *Struktur bangunan dan kemudahan mengikut piawaian bertaraf 3 bintang.

Menurut Dr Hasan, mereka yang berkemampuan untuk menginfak, wakaf, sumbangan dan sedekah amat dialu-alukan bagi bagi menampung kos pengurusan, makan minum dan, penyelenggaraan. Orang ramai juga boleh terus menyumbang ke akaun Yayasan Kebajikan Sabha 5642 7652 7165 (Maybank).

2631b10a-2e8a-430d-8a6d-a60aa7200a97
Jendela Dunia,

Pelawak Amerika Muslim Bantu Masyarakat Atasi Ketakutan 9/11

no comment

TRAGEDI serangan 11 September cukup memberi kesan yang mendalam kepada semua sehingga melahirkan golongan Islamofobia, malah peristiwa yang telah berlalu 20 tahun itu turut memberi impak besar kepada seluruh umat Islam.

Bagi pelawak Amerika, Dean Obeidallah,51, menulis jenaka selepas serangan 11 September dirasakan sangat peribadi kerana dianggap sebagai stereotaip anti-Muslim, diskriminasi dan bahkan boleh menjadi jenayah kebencian ke seluruh Amerika Syarikat (AS).

Dean Obeidallah tampil di Festival Komedi Arab-Amerika di Gotham Comedy Club di New York. Gambar: Religion News Service

“Pada 10 September, saya tidur sebagai seorang lelaki kulit putih, namun apabila saya bangun daripada tidur pada 11 September, saya telah bertukar menjadi seorang lelaki Arab,” katanya dalam video ketika mempersembahkan ‘stand up comedy’ menerusi program The Dean Obeidallah Show di SiriusXM, New Jersey.

Obeidallah menyesuaikan skrip komedinya daripada lelucon keluarga ke bahan lawak yang menggunakan fakta Timur Tengah yang berat, untuk membantu mengubah persepsi masyarakat yang tidak faham situasi sebenar bagi melawan ketaksuban golongan anti-Arab.

Mentaliti masyarakat khususnya yang bukan beragama Islam cukup terkesan setelah serangan 11 September menyebabkan jenayah kebencian anti-Muslim meningkat 177 peratus mengikut laporan FBI.

“Komedi saya selepas 9/11 menjadi cara untuk menjadi aktivis dalam usaha untuk menjelaskan kepada rakan-rakan Amerika saya mengenai siapa orang Arab yang sebenar. Ia bertentangan dengan betapa teruknya media menggambarkan masyarakat Islam,” kata Obeidallah yang berketurunan Palestin dan Itali.

Zayid ketika mengadakan persembahan ‘stand up comedy’. Gambar: The Buzz Magazines

Bagi pelawak terkenal wanita Muslim, Maysoon Zayid, 47, setelah 9/11 masyarakat Islam di AS merasai diri mereka seperti berada di dalam ‘kepungan’.
“Kami dilabel sebagai pengganas, diawasi oleh pemerintah dan disasarkan oleh kumpulan kebencian,” kata Zayid.

Zayid dibesarkan di New Jersey dan bapanya adalah pendatang dari Palestin. Sebelum ini dia sering melihat Menara Berkembar WTC dari seberang Sungai Hudson.

“Setiap kali saya pergi ke Cliffside Park dari Jersey Shore, melihat menara berkembar menjadi tanda saya hampir sampai ke rumah. Menyaksikan kehancuran Menara itu sangat menakutkan dan ia adalah nyata,” katanya.

Tambah Zayid, dia bergabung dengan Obeidallah sejak tahun 2003 untuk bersama-sama menjayakan Festival Komedi Arab-Amerika New York.

“Komedi saya sama sekali tidak berubah selepas 9/11. Saya selalu memilih topik bebas dan menggunakan penekanan yang tegas serta selalu bercakap tentang menjadi Palestin dan Muslim,” menurutnya.

Pada tahun 2006, Zayid mengadakan persembahan ‘stand up comedy’, Little American Whore yang dipaparkan menerusi dokumentari 2013 The Muslims are Coming!. Dia adalah satu-satunya pelawak wanita Muslim-Amerika yang berani melakukan persembahan dari seluruh selatan AS.

Ditanya mengenai pengajaran yang ambil daripada tragedi 9/11, Zayid memberitahu AS adalah sebuah negara yang bersatu dengan cara yang tidak dapat diikuti negara lain akibat tragedi itu.

“Pelajaran lain yang saya harap kita semua pelajari adalah kita tidak boleh menyerang negara-negara yang tidak ada hubungannya dengan 9/11, sehingga menyebabkan ramai orang awam mati. Itulah yang saya pelajari, ”katanya.

Sumber: The National News

Pictures of the Week Photo Gallery-Global
Jendela Dunia,

Arab Saudi Tingkatkan Kapasiti Jemaah Ke Makkah Hingga 70,000 Sehari

no comment

KEMENTERIAN Haji dan Umrah Arab Saudi hari ini mengumumkan akan meningkatkan kapasiti jemaah umrah sehingga 70,000 sehari, bermula esok.

“Dengan penekanan untuk menerapkan tindakan pencegahan, Kementerian Haji dan Umrah, bekerjasama dengan pihak berwenang, meningkatkan kapasiti harian menjadi 70.000 jemaah,” kata kementerian itu dalam Twitternya.

Individu yang ingin pergi menunaikan umrah boleh membuat permohonan melalui aplikasi Penjejak Covid-19 Arab Saudi, Tawakkalna.

Bulan lalu, kementerian mengumumkan bahawa mereka akan mula membuka permohonan melaksanakan umrah secara beransur-ansur dari pelbagai negara mulai 9 Ogos, lapor Saudi Press Agency (SPA).

Kementerian juga secara beransur-ansur akan meningkatkan kapasiti menjangkau 2 juta jemaah setiap bulan.

Permit akan dikeluarkan melalui aplikasi mudah alih Eatmarna dan Tawakkalna iaitu sistem perkhidmatan bersepadu dan langkah pencegahan yang diambil oleh kerajaan untuk keselamatan dan kesihatan mereka yang ingin melakukan ibadah umrah dan ziarah.

Kementerian juga mengesahkan bahawa kerajaan akan memberikan kelonggaran bagi jemaah umrah tempatan kepada individu berusia 12 hingga 18 tahun yang telah menerima dua dos vaksin Covid-19, menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Pelbagai kemudahan disediakan untuk jemaah bagi menghindari dijangkiti wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Haji Dr Abdul Fattah Mashat menjelaskan bahawa Kementerian Haji dan Umrah bekerjasama dengan pihak berkuasa lain untuk mewujudkan mekanisme eksekutif dan mewujudkan persekitaran yang selamat dan mudah diakses kepada para jemaah sepanjang perjalanan mereka.

Mashat menambah bahawa jumlah penumpang dalam bas yang membawa jemaah tidak akan melebihi kapasiti 50 peratus untuk memastikan jarak sosial. Pihak berkuasa akan melakukan pembersih dan mengesahkan jemaah yang dikeluarkan oleh aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna sebelum menaiki bas.

Menurut Mashat, kementerian sedang bekerjasama dengan pihak bertanggungjawab untuk menentukan negara-negara yang diberi kebenaran memasuki Makkah untuk umrah dan jumlahnya secara berkala. Ia sesuai dengan klasifikasi tindakan pencegahan dan syarat-syarat untuk negara-negara dari mana jemaah dan pelawat datang ke Arab Saudi.

Jemaah yang datang dari luar Saudi diminta untuk menunjukkan sijil imunisasi yang disahkan oleh pihak berwajib di negaranya dan harus dilampirkan dalam alasan untuk meminta pelaksanaan ibadah dengan syarat vaksin disetujui.

Kerja-kerja sanitasi dilakukan sepanjang masa bagi mengelak wabak. Gambar: France 24

Pihak berkuasa Masjid Agung Arab Saudi di Makkah telah memperhebatkan usaha sanitasi sebagai persiapan untuk umrah sebagai sebahagian daripada tindakan pencegahan wabak.

Seramai 4,000 pekerja telah mula membersihkan Masjidil Haram dan taman serta kemudahan luarannya lebih daripada 10 kali sehari dengan penggunaan pembersih dan minyak wangi berkualiti tinggi.

Hampir 60,000 liter cecair pembasmi kuman mesra alam digunakan semasa proses pembersihan dan sekitar 1,200 liter minyak wangi turut digunakan setiap hari, menurut agensi berita itu.

Hanya jemaah antarabangsa yang diberi vaksin dengan Pfizer, Moderna, AstraZeneca, atau Johnson & Johnson yang akan dibenarkan menunaikan Umrah, menurut Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Sumber: Alarabiya News

ABC7 San Francisco
Jendela Dunia,

Keadilan Terhadap Islam Selepas 11 September

no comment

PADA Sabtu ini, dunia akan memperingati ulang tahun ke-20 peristiwa serangan ke atas menara berkembar World Trade Center (WTC) New York, Amerika Syarikat (AS).

Serangan berani mati oleh Al-Qaeda pada pagi 11 September itu membabitkan 19 orang anggotanya. Bermula dengan merampas empat buah kapal terbang penumpang lalu merempuh beberapa bangunan penting di New York sehingga mengorbankan beratus orang awam.

Rentetan daripada peristiwa itu, negara-negara di Timur Tengah telah dianggap sebagai kawasan berbahaya. Namun, itu hanya selepas awal abad ke-21. Sebelum itu, Timur Tengah tidak mempunyai banyak konflik atau serangan pengganas.

Keiko Sakai

Pakar Sejarah Politik, di Universiti Chiba, Jepun, Profesor Keiko Sakai, berkata pada 11 September 2001, serangan pengganas di AS sama sekali berbeza dengan masalah Timur Tengah yang diketahui sebelumnya.

“Ia jelas berbeza seperti konflik yang berlaku antara Israel dan Palestin. Bagi kumpulan bersenjata yang berasal dari Timur Tengah, AS adalah musuh mereka kerana ia adalah penyokong kuat Israel. Mereka menyerang kemudahan AS di negara mereka tetapi tidak merancang untuk menyerang tanah besar AS.

“Idea menyerang secara langsung AS berpunca daripada Perang Teluk. Ramai yang menentang kehadiran pasukan AS di Arab Saudi dengan mengadakan tunjuk perasaan di negara mereka dan dikenakan hukuman berat, termasuk pengusiran.

“Kejadian seperti itu meninggalkan kesan dalam pemikiran bahawa mereka tidak akan mendapat perhatian dunia kerana AS adalah kuasa besar yang memiliki pengaruh yang dominan.

“Pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden yang memulakan serangan 9/11 percaya bahawa komuniti Islam menjadi mangsa penganiayaan oleh Eropah dan AS serta memutuskan mereka harus menyelamatkan orang Islam yang menjadi mangsa ketidakadilan dunia.

“Oleh itu, jaringan pejuang berskala global dibentuk di luar negara asal mereka. Kumpulan negara Islam dan kumpulan radikal yang memperjuangkan tanah asal umat Islam yang tidak mendapat perhatian terus berkembang ke seluruh dunia,” katanya.

Seorang pemandu teksi wanita mengambil penumpang di Tehran pada bulan Ogos 2011. Lebih 500 wanita memandu untuk syarikat Teksi Wanita yang hanya melayani penumpang wanita sahaja. 

Menurut Sakai, kumpulan militan IS mula mendekati umat Islam yang pernah belajar atau berhijrah ke negara-negara Eropah dan AS untuk menyertainya. Sebagian besar telah bersama dengan imam (pemimpin) mereka untuk bersatu dan menarik masyarakat setempat yang turut berhadapan dengan masalah diskriminasi dan prasangka buruk oleh bukan Islam terhadap Islam.

“Sebaliknya, selepas peristiwa 9/11, AS menegaskan bahawa pendemokrasian Timur Tengah sangat penting untuk mewujudkan keamanan dunia.

“Pentadbiran AS yang diketuai oleh Presiden George W. Bush ketika itu menghantar dan menempatkan pasukan tentera di Iraq dan Afghanistan dengan mendakwa bahawa terdapat kumpulan militan yang telah bertapak di negara itu dan berusaha untuk membantu mengubah institusi politik dan sosial mereka,” tambahnya.

Katanya lagi, sudah tentu, masyarakat antarabangsa tidak hanya berdiri di luar ketika Afghanistan memerlukan bantuan untuk mencapai kestabilan. Beberapa negara dan organisasi, termasuk Jepun dan Badan Kerjasama Antarabangsa Jepun, mengambil tindakan menyokong, tetapi mereka gagal mengkoordinasikan usaha untuk mendukung demokrasi.

“Dasar-dasar untuk Timur Tengah, di mana pembangunan semula tidak berlaku setelah kehancuran, meninggalkan ruang bagi kumpulan Islam Taliban untuk mendapatkan kembali kuasa di Afghanistan.

“Adakah demokrasi akan berakar di Timur Tengah? Sebenarnya, demokrasi yang menghormati kebebasan dan persamaan individu tidak semestinya tidak sesuai dengan Islam yang mengajarkan ‘persamaan di hadapan Tuhan’,” menurutnya.

Presiden AS, Joe Biden pada 8 Julai lalu ketika dia membincangkan sebab-sebab penarikan tentera AS dari Afghanistan, berkata apa yang penting bagi AS adalah untuk menghapuskan ancaman keganasan dengan membantu menstabilkan wilayah Timur Tengah, bukan untuk membina negara demokratik.

“Kami tidak pergi ke Afghanistan untuk membangunkan negara itu. Dan itu adalah hak dan tanggungjawab rakyat Afghanistan sahaja untuk menentukan masa depan mereka dan bagaimana mereka ingin mengurus negara mereka,” katanya.

Sumber: Nikkei Asia

Sembang
Isu,

Hanya Kerana Lidah, ALLAH Akan Mencampakkan Muka Seseorang Dahulu Ke Dalam Neraka

no comment

“Barang siapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, hendaklah ia mengucapkan perkataan yang benar atau lebih baik diam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam kitabnya Ihya Ulumiddin, Imam Al-Ghazali, mengemukakan 14 perbuatan yang berpunca daripada bahaya lidah yang harus diperhatikan manusia, antaranya:

  1. Perkataan yang tidak bermanfaat yang boleh membuat hati jadi kasar.
  2. Mereka yang banyak bercakap, maka ia banyak bohong.
  3. Bercakap kosong tidak seperti ciri-ciri orang beriman adalah mereka yang sentiasa menghindarkan diri daripada perkataan dan perbuatan yang tidak bermanfaat.
  4. Menyebabkan pertengkaran dan dendam kesumat.
  5. Banyak bicara akan menimbulkan permusuhan antara kelompok dan golongan.
  6. Mereka yang berbohong dengan mengaku sebagai pakar dalam suatu bidang.
  7. Ucapan yang mengandungi hujahan dan cacian.
  8. Ucapan yang mengutuk seseorang atau satu golongan.
  9. Ungkapan syair atau nyanyian porno yang membangkitkan nafsu kebinatangan seseorang.
  10. Senda gurau dengan memperolok-olok orang lain. Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya mereka yang menertawakan teman-temannya, mereka akan jatuh ke dalam neraka, lebih dahsyat daripada bintang surya”.
  11. Mengejek orang lain. Allah berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum merendahkan (menertawakan) kaum yang lain. Boleh jadi (yang ditertawakan itu) lebih baik daripada mereka (yang menertawakan). Jangan pula sekelompok wanita menertawakan kelompok wanita yang lain, boleh jadi (yang diperolok-olok itu) lebih baik daripada mereka dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu memanggil dengan gelar-gelar yang buruk”.
  12. Membuka rahsia orang lain.
  13. Berjanji palsu.
  14. Bersumpah palsu. Semua itu akan merosak nilai-nilai amanah. Rasulullah bersabda, “Waspadalah terhadap pembohong. Sebab pembohong dan orang-orang yang zalim sama-sama dalam neraka.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Seorang sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah, “Apa penyebab terbesar orang masuk neraka?” Nabi menjawab, “Kerana lidah dan kemaluannya.” (Hadis Riwayat Turmudzi). Mudah-mudahan kita semua dapat mengendalikan diri.

Perkongsian Habib Ali Zaenal agar sentiasa menjaga kedua bibir dan lidah. Gambar: Malakat Tribune

Dalam satu perkongsian oleh Penceramah Bebas, Habib Ali Zaenal Al Hamid menerusi Facebook Kuliah Agama Ustaz Ustazah dan dipetik daripada Tik Tok @mfazzy, pendakwah terkenal itu memaklumkan di hari akhirat nanti, sesiapa yang tidak menjaga lisan iaitu mulutnya akan dicampakkan ke dalam api neraka.

Daripada perkongsian ceramahnya itu, Habib Ali Zaenal memaklumkan, pada hari akhirat nanti, manusia akan dicampakkan ke dalam neraka mengikut apa yang mereka lakukan di dunia.

“Ada orang akan dicampakkan ke dalam neraka, mukanya dan kepalanya terlebih dahulu adalah kerana mulut mereka. Kenapa muka dahulu? Sebab di bahagian muka ada mulut.

“Bagi mereka yang tidak menjaga mulut, mukanya dahulu akan dicampakkan oleh ALLAH SWT. Ada yang kakinya dahulu, boleh jadi badannya dahulu (mengikut dosa apa dilakukan di dunia) tapi bagi mereka yang tak jaga mulut, mukanya dahulu akan dicampakkan oleh ALLAH SWT ke dalam api neraka.

Tambah Habib Ali Zaenal, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Siapa yang menjaga di antara dua bibirnya atau dua mulutnya iaitu lisan dan dia jaga di antara kedua pahanya, iaitu kemaluan, aku (Nabi) jamin dia akan masuk syurga.

“Jadi semasa hidup, jagalah mulut dan lisan kita daripada bercakap hal yang buruk-buruk, memaki hamun orang lain, mengumpat dan lain-lain perbuatan kerana semua itu adalah dosa,” katanya.

 

Sumber: News18post

R7eXptye
Uncategorized,

H- Perbuatan Menghina Orang Kurang Upaya Juga Akan Diazab

no comment

SERANGAN siber atau buli dengan menghina fizikal seseorang dengan kata-kata kesat khususnya kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) juga tidak akan terlepas dihitung ALLAH di hari akhirat kelak.

Twitter Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Ia teguran yang dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi akaun Twitternya yang menyebut, seorang Muslim tidak sepatutnya menyakiti Orang Kurang Upaya (OKU).

Kenyataan itu ditujukan kepada umum rentetan isu atlet lontar peluru F20 negara, Muhammad Ziyad Zolkefli selepas kemenangannya dibatalkan pada balingan sejauh 17.94 meter sekali gus memecahkan rekod dunia pada temasya Paralimpik Tokyo yang berlangsung pada Selasa lalu.

Keputusan awal tidak rasmi.

Maksym Koval memenangi Emas pada acara Lontar Peluru Kategori F20 di Sukan Paralimpik Tokyo

Pembatalan itu sekali gus menjadikan peserta Ukraine, Maksym Koval yang berada di tempat kedua sebelum ini meraih emas dengan catatan rekod dunia 17.34 meter.

Hal itu telah membangkitkan rasa marah netizen negara ini sehingga menyerang akaun media sosial peribadi atlet tersebut dengan melemparkan kata-kata kesat termasuklah menghina keadaan fizikalnya.

Menurut hantaran Twitter Pejabat Mufti itu lagi, orang Islam sepatutnya menjadikan sabda Rasulullah SAW sebagai pedoman di mana kita hendaklah membantu golongan OKU daripada segi emosi dan fizikal agar mereka boleh menjalani kehidupan selesa seperti orang lain.

“Islam merupakan agama yang mengajar penganutnya agar menjaga akhlak dan tingkah laku yang baik. Tidak sepatutnya bagi seorang Muslim itu berkelakuan kurang sopan apatah lagi menyakiti OKU.

Sabda Rasulullah SAW: ملعون من كمه أعمى عن الطريق
Bermaksud: “Adalah dilaknat orang yang memesongkan orang buta daripada jalan laluannya”.

Al-San’ani menyatakan hadis itu sebagai pedoman buat umat Islam supaya membantu OKU daripada segi emosi dan fizikal agar mereka boleh menjalani kehidupan seperti orang lain.

Menurutnya, netizen tidak sepatutnya menghamburkan kata-kata kesat walaupun berasa kecewa dan marah. Netizen turut diingatkan bahawa setiap perbuatan dan tulisan akan dihisab Allah SWT.

Serangan siber daripada netizen Malaysia yang menggunakan perkataan kurang sopan termasuk menghina kekurangan atlet paralimpik tersebut secara tidak langsung telah memalukan nama agama Islam, bangsa dan negara yang sebelum ini dipandang mulia.

Pejabat Mufti turut menasihati netizen yang menyakiti orang kurang upaya supaya menjaga akhlak dan tingkah laku daripada perkara keji.

2790541-736943619
Jendela Dunia,

Kumpulan Pertama Tentera Wanita Saudi Lulus

no comment

KUMPULAN pertama tentera wanita Arab Saudi lulus menjalani latihan di Pusat Latihan Kader Wanita Angkatan Bersenjata, semalam. Kumpulan itu telah tamat latihan asas selama 14 minggu yang bermula pada 30 Mei lalu.

Kumpulan pertama tentera wanita lulus untuk berkhidmat. Gambar: Commonwealth Union.

Ketua Kuasa Pendidikan dan Latihan Angkatan Bersenjata, Jeneral Adel Al-Balawi, ketika menyampaikan amanat mengatakan, pusat itu memiliki misi penting untuk fokus kepada penyediaan program dan latihan kurikulum yang sangat baik dan persekitaran pembelajaran yang ideal.

“Ini dilakukan sejajar dengan standard kualiti antarabangsa yang memenuhi keperluan (rekrut wanita). Ini bertujuan untuk meningkatkan prestasi keseluruhan yang akan membantu mencapai objektif kementerian pada masa depan,”katanya.

Majlis graduasi itu disempurnakan Ketua Staf Jeneral Fayyad bin Hamed Al-Ruwaili.

Selepas mendapat ucapan tahniah daripada Pemangku Ketua Pusat latihan Wanita, Ketua Sarjan Suleiman Al-Maliki, Penolong Komandannya, Ketua Sarjan Hadi Al-Anezi, mengetuai istiadat angkat sumpah bersama graduan tentera.

Majlis graduasi itu disempurnakan Ketua Staf Jeneral Fayyad bin Hamed Al-Ruwaili. Hadir sama, Pengarah Kakitangan Bersama Angkatan Bersenjata, Mejar Jeneral Hamid Al-Omari dan Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan.

Arab Saudi membuka pengambilan tentera wanita sejak Februari tahun ini.

Kumpulan wanita itu kini boleh bersama dengan angkatan bersenjata Arab Saudi, berikutan keputusan Kementerian Pertahanan Arab Saudi yang membuka jalan bagi golongan wanita mendaftar melalui portal kementerian itu awal tahun lalu.

Tentera wanita dijanjikan pangkat ketenteraan daripada askar hingga sarjan bagi mengisi unit Pertahanan Udara Diraja Saudi, Tentera Laut Diraja Arab Saudi, Pasukan Peluru berpandu Strategik Arab Saudi dan Perkhidmatan Perubatan Angkatan Bersenjata.

Semua pemohon mesti lulus prosedur kemasukan mengikut syarat yang ditentukan, mempunyai rekod yang bersih dan sesuai untuk perkhidmatan. Tetapi beberapa kriteria lain telah ditambah untuk pemohon wanita.

Majlis graduasi dilakukan mengikut protokal ketenteraan.

Pemohonan wanita Saudi mestilah berumur antara 21 hingga 40 tahun dengan ketinggian 155 sentimeter (cm) atau lebih tinggi dan tidak boleh menjadi pegawai kerajaan.

Permohonan wanita juga mesti mempunyai kad pengenalan kebangsaan yang bebas dan sekurang-kurangnya mempunyai pendidikan sekolah menengah. Pemohon yang berkahwin dengan warganegara bukan Saudi tidak akan diterima.

Pakar Sistem Operasi, Halah Al-Ynabawi, mengatakan negara-negara Arab yang membenarkan wanita dalam ketenteraan menjadi topik kontroversi sejak 30 tahun yang lalu.

“Tetapi hari ini, dengan visi Raja Salman, dia telah memainkan peranan besar dengan memasukan wanita dalam semua sektor kerajaan termasuklah ketenteraan,” katanya kepada Arab News.

Pakar Teknologi Maklumat, Rahma Al-Khayri turut berkongsi pandangan bahawa sangat penting bagi wanita untuk berada dalam tentera, di mana mereka dapat berperanan aktif dalam masyarakat konservatif hari ini.

“Sepanjang sejarah, kami belum pernah mendengar tentang seorang wanita yang datang ke lapangan dan berjuang. Kami selalu mendengar tentang wanita yang merawat orang atau mungkin memantau bekalan di pentadbiran dan unit kawalan. Manakala lelaki adalah orang yang tempatnya berjuang di lapangan,” katanya.

Sumber: Arab News.

file-20210820-23-10ht9h6
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Mengapa Sebilangan Wanita Muslim Berasa Berkuasa Ketika Memakai Tudung

no comment

SEBILANGAN masyarakat Amerika percaya bahawa agama Islam menindas wanita. Di Barat, terutama di Perancis, jilbab atau tudung yang dipakai oleh ramai wanita Muslim dirasakan telah menjadi simbol kepada penindasan kaum wanita.

Artikel ini akan menjelaskan beberapa masalah kompleks yang menjadi pilihan mengapa ramai wanita Muslim untuk memakai jilbab, termasuk mengapa wanita melihatnya sebagai tanda pemerkasaan. Ini juga akan menarik perhatian kepada beberapa gerakan feminis Muslim global yang sering tidak disedari di dunia Barat.

Ahli sosiologi, Caitlin Killian menjelaskan bahawa wanita Yahudi, Kristian dan Hindu telah menutup kepala mereka sejak zaman pra-Islam.

“Bagi sebilangan wanita Muslim hari ini, memakai jilbab adakah kerana tuntutan di dalam Islam iaitu cara menunjukkan ketundukan mereka kepada ALLAH.

“Al-Quran memerintahkan lelaki dan wanita untuk menjaga kesopanan ketika berpakaian dan tingkah laku mereka. Walau bagaimanapun, pakaian wanita Muslim bukan sekadar mematuhi perintah dan kepercayaan agama, ia juga telah digunakan pada masa lalu dan sekarang sebagai penegasan identiti.

“Ketika pemerintahan penjajah, wanita Muslim lebih cenderung untuk menyerupai wanita Eropah dengan menanggalkan jilbab. Ketika tuntutan kemerdekaan daripada pemerintahan penjajah, jilbab menjadi simbol id entiti nasional dan penentangan terhadap Barat,” kata Killian.

Nazma Khan bergambar ketika Hari Hijab Sedunia pada tahun 2013

Hari ini, sebilangan wanita Muslim di Amerika mungkin memakai jilbab sebagai cara untuk menyatakan rasa bangga mereka dalam menghadapi golongan Islamofobia. Hari Hijab Sedunia, yang disambut pada 1 Februari mulai tahun 2013 terjadi melalui usaha seorang pendatang ke Amerika Syarikat dari Bangladesh, Nazma Khan yang pada awalnya malu untuk memakai jilbab. Dia memutuskan untuk memakainya ketika merasai pengalaman memakai tudung bersama golongan wanita Muslim dan bukan Muslim pada hari itu.

Walaupun begitu, sebahagian besar dunia Barat, jilbab terus dilihat sebagai simbol penindasan wanita Islam. Di Switzerland, kerajaannya mempersetujui undang-undang yang dibuat pada Mac 2021 dengan melarang wanita penutup wajah, sementara Perancis mendesak penelitian yang lebih ketat mengenai jilbab.

Hari Wanita Sedunia di sambut setia 1 Februari setiap tahun.

Dalam penghakiman pada 14 Mac 2017, Mahkamah Kehakiman Kesatuan Eropah (EU) yang menttafsirkan undang-undang, membenarkan syarikat swasta di Perancis untuk melarang pekerja memakai simbol agama, politik dan falsafah demi kepentingan berkecuali.

Ahli sosiologi Z. Fareen Parvez, mengatakan undang-undang anti-jilbab adalah ‘titik perubahan’ dalam kehidupan wanita Muslim yang inginkan penerimaan dan integrasi dalam masyarakat Perancis. Jilbab bukan sekadar simbol agama bagi kebanyakan wanita, tetapi ia adalah cara semula jadi.

“Fokus kepada pakaian wanita Muslim ini menarik perhatian daripada masalah lain dan bagaimana gerakan feminis Muslim berusaha membawa perubahan. Di Indonesia, misalnya, para ilmuan agama wanita Islam atau ulamak, membantu mengubah cara Islam untuk mudah difahami dan diamalkan,” katanya.

Seperti yang dikatakan oleh ahli sosiologi Rachel Rinaldo, sejak tiga dekad lalu, Indonesia telah menyaksikan kemunculan generasi baharu pemimpin agama wanita yang mentafsirkan al-Quran dapat memberi kekuatan kepada wanita.

“Ilmuan agama wanita lebih lebih senang diterima, dibandingkan dengan aktivis hak wanita, kerana mereka adalah ilmuan Islam yang terlatih,” jelas Rinaldo.

Sumber: The Conversation

National Endowment for the humanities
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Larangan Buku Ekstremisme dan Aktiviti Dakwah Di Masjid Arab Saudi

no comment

PIHAK berkuasa Arab Saudi memerintahkan masjid-masjid negara itu untuk mengeluarkan buku yang bersifat ‘ekstremisme’ daripada perpustakaan negara. Arahan itu juga dikeluarkan kepada rakyatnya agar tidak menyampaikan khutbah kepada orang bukan Islam tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Menteri Hal Ehwal Islam, Sheikh Abdullatif Al-Sheikh mengeluarkan arahan kepada masjid-masjid di seluruh negara dan memerintahkan untuk meneliti setiap buku-buku di perpustakaan masjid yang bersifat ekstremisme dan pemisahan.

Larangan berdakwah di masjid dan kepada bukan Islam tanpa kebenaran pihak berkuasa. Gambar: Al Jazeera.

“Lima surat pekeliling dikeluarkan kepada semua pengurusan masjid dan imam agar tidak berdakwah kepada orang bukan Islam tanpa kebenaran kementerian. Pekeliling itu juga menyatakan sesiapa yang melanggar arahan akan dikenakan hukuman.

“Menteri itu menekankan pentingnya perpustakaan masjid sebagai gudang intelektual dan rujukan bagi mereka yang menuntut ilmu seperti penyelidik dan pelajar.

“Menteri mengarahkan para pegawai untuk memeriksa semua perpustakaan dan membuang buku-buku yang cenderung kepada aktiviti ekstremisme, kepartian serta topik serupa,” katanya.

Arahan itu juga memerintahkan pegawai masjid untuk memberikan laporan berkala kepada pihak berkuasa mengenai aktiviti masjid.

Pengurusan masjid telah diberitahu untuk menyusun senarai literatur yang tersimpan di perpustakaan mereka dan tidak menambahkan lagi koleksi buku tanpa izin daripada pihak berkuasa.

Para imam dan pendakwah juga disarankan untuk mengikuti Kursus Keselamatan Intelektual yang dikendalikan oleh kementerian dan mengambil bahagian dalam persidangan serta acara yang diatur oleh pihak berkuasa.

Menurut laporan itu lagi, menteri mengarahkan para pendakwah masjid untuk menjelaskan kepada masyarakat berkaitan peraturan Syariah yang sebenar, menekankan aspek mematuhi adab dan akhlak yang baik.

Selain mematuhi kewarganegaraan dengan mendengar serta mematuhi arahan kerajaan dan menjauhkan diri daripada membicarakan masalah perundangan di mana terdapat perbezaan pandangan para sarjana.

“Sebarang aktiviti dakwah boleh dilakukan hanya setelah solat fardu dan solat jenazah selesai. Sudah tidak boleh ada aktiviti dakwah bermula panggilan azan pertama hingga iqamah yang boleh menyebabkan kelewatan untuk bersolat.

“Arahan itu adalah sebahagian daripada rombakan institusi agama dan masjid di Arab Saudi, yang antaranya telah dikaitkan dengan penafsiran Islam yang radikal,” menurutnya.

Gambaran Arab Saudi sebagai ‘pengeksport’ aktiviti ekstremisme muncul setelah kebangkitan kumpulan radikal di seluruh dunia yang mengaitkan dengan Salafisme iaitu mazhab Muslim diikuti oleh kepemimpinan Saudi.

Di bawah pimpinan Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman, pihak berkuasa berusaha menjauhkan diri daripada tafsiran radikal terhadap Islam dan kumpulan pelampau.

Mesir juga memerintahkan masjid pada minggu ini untuk menghapus segala buku ekstremisme yang berkaitan dengan Ikhwanul Muslimin.

Kedua-dua negara telah berusaha untuk menghalang penyokong Ikhwanul Muslimin setelah revolusi pro-demokrasi Arab Spring pada tahun 2011 dan Mesir telah memenjarakan ribuan pengikut fahaman pertubuhan itu serta aktivis pro-demokrasi yang lain.

 

Sumber: Arab News