Author

Algulf
Jendela Dunia,

Taliban Larang Siar IPL di Afghanistan Kerana Kandungan Anti-Islam

PEMINAT sukan kriket antarabangsa khususnya warga di Afghanistan, tidak lagi akan dapat menonton Liga Perdana India (IPL) yang kembali bersambung tahun ini kerana mendapat tentangan oleh pemerintahan Taliban.

Mereka antara pemain kriket kelahiran Afghanistan yang bermain dalam Liga Perdana India. Gambar: Sportslightmedia

IPL 2021 yang diadakan di Emirah Arab Bersatu (UAE) dan turut disertai beberapa pemain handalan dari Afghanistan seperti Rashid Khan, Mohammad Nabi dan Mujeeb ur Rahman tidak akan disiarkan secara langsung di negara itu kerana Taliban mendakwa penyiarannya mengandungi kandungan anti-Islam.

Perlawanan pertama yang diadakan pada Ahad lalu antara Chennai Super Kings dan juara bertahan, Mumbai Indian tidak dapat disaksikan seluruh penduduk di Afghanistan atas arahan kerajaan pimpinan Taliban.

Bekas Pengurus Media Lembaga Kriket Afghanistan, M Ibrahim Momand menulis di dalam akaun media sosialnya menyatakan bahawa, kemungkinan kandungan anti-Islam, gadis menari dan kehadiran wanita yang tidak memakai tudung antara sebab utama siarannya diharamkan di negara itu.

Malah banyak media antarabangsa juga turut melaporkan bahawa pemerintah Taliban telah melarang IPL disiarkan di Afghanistan.

Salah satu pasukan Kriket Afghanistan yang banyak melakar kejayaan. Gambar: Medium

Pada bulan Ogos lalu, Taliban telah mengatakan bahawa mereka tidak akan mengganggu pasukan Kriket Lelaki Kebangsaan Afghanistan. Ia kerana kriket sering menjulang kejayaan sukan terbesar di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, malah Taliban juga tidak akan menghentikan penyertaan pasukan itu dalam liga utama Twenty20.

Minggu lalu, Ketua Sukan Afghanistan, Bashir Ahmad Rustamzai mengatakan bahawa Taliban akan membenarkan rakyatnya menyertai 400 jenis sukan di negara itu, namun enggan mengesahkan sama ada wanita antara dibenarkan atau tidak terlibat sama dalam antara sukan berkenaan.

“Jangan tanya lebih banyak mengenai wanita,” kata Bashir kepada agensi berita AFP.

Semasa rejim itu menindas rakyatnya dari tahun 1996 hingga 2001, wanita dilarang sama sekali bermain apa saja sukan,  sementara sukan lelaki dikawal dengan ketat. Wanita juga dilarang mendapat pendidikan dan pekerjaan.

Banyak aktivis hak wanita Afghanistan secara global takut sekiranya pemerintahan Taliban akan mengulangi dasar sebelum ini setelah kumpulan itu berjaya menggulingkan pemerintah yang disokong AS bulan lalu.

 

Sumber: The Indian Express

44d19454fa96bcccbbd76686a2d18638_720
Jendela Dunia,

Kisah Seorang Syeikh kaligrafi Mesir

KHUDAIR Al Borsaidi adalah seorang seniman dari Mesir yang sangat terkenal kerana bakatnya menghasilkan seni kaligrafi al-Quran yang sama di atas kelambu Kaabah.

Dia dilahirkan di Pelabuhan Said Mesir pada tahun 1947 ketika Mesir sedang berperang menentang penjajahan Inggeris. Walaupun masih kecil, dia adalah antara yang pertama menulis slogan yang berlainan terhadap Inggeris di tembok kota dan itu adalah permulaan minatnya terhadap seni kaligrafi Arab.

Ketika berusia enam tahun, Khudair memasuki sekolah rendah dan mula menunjukkan seninya di papan hitam menggunakan kapur meskipun belum menerima asas pendidikan rasmi mengenai seni kaligrafi.

Minat mendalam seni kaligrafi sejak kecil.

Khudair Al-Borsaidi adalah seorang pelopor kaligrafi Arab di era moden dan dikenali sebagai ‘Syeikh kaligrafi Mesir’ di negaranya.

Dia hanya belajar daripada saudaranya, Mohmmed pada usia lima tahun dan kemudian mula menulis slogan di dinding, bangunan sebagai caranya membenci penjajah Inggeris.

Pada usia 10 tahun, dia telah memperoleh kemampuan untuk menulis dengan kedua tangannya dan memperoleh Diploma Kaligrafi Arab di Tanta School dan Diploma Khas Khalil Agha School di Kaherah.

Khudair terkenal dengan lukisan kaligrafi yang sama digunakan pada kelambu kaabah. Hasil seni kaligrafinya juga telah ditayangkan di beberapa program TV.

Khudair Al-Borsaidi menerima banyak penghargaan sebagai pelopor seni kaligrafi di negaranya.

Dia mendapat penghargaan tertinggi daripada kerajaan Mesir pada tahun 1984 dan juga mendapat penghormatan dalam Festival Muzik Arab ke-6 pada tahun 1997. Kementerian Kebudayaan Mesir menghargai usaha Khudair dan memberi penghargaan pada tahun 2000 dalam Festival Kaligrafi Arab.

Selain itu, dia turut menerima banyak anugerah lain daripada pelbagai negara termasuk Kuwait, China, dan UAE.

Pada bulan Ogos yang lalu, Khudair menyumbang koleksi kaligrafi eksklusifnya kepada Perpustakaan dan Pusat Kebudayaan Bibliotheca Alexandrina di Mesir untuk tontonan awam.

 

Sumber: ABNA 24

 

 

ThePrint
Jendela Dunia,

Sarjana Muslim Tuntut Tamatkan Keganasan Perang

KESATUAN yang diwakili lebih 150 sarjana Islam dari seluruh dunia telah menandatangani pernyataan bagi mengecam keganasan dan meminta dunia menghentikan perang serta pendudukan asing.

Kenyataan itu dikeluarkan buat pertama kali selepas dua dekad bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George Bush mengarah menggunakan kekuatan tentera untuk membuka jalan bagi penjajahan ke Afghanistan sehingga tercetusnya keganasan perang tanpa sempadan oleh AS.

Kenyataan yang dituju kepada pemimpin Barat itu meminta agar mereka menghormati hak minoriti Muslim dan mempercayai mereka untuk memimpin negara tanpa campur tangan negara luar.

Para cendekiawan itu juga meminta dunia menghentikan semua penindasan dengan sewenang-wenang, pengistiharan darurat yang membenarkan pelanggaran hak asasi, menghalalkan penyiksaan dan perlakuan yang menjatuhkan maruah.

Mengulas pernyataan itu, Pengarah Urusan CAGE (Organisasi advokasi impak keganasan perang dan tahanan Muslim), Muhammad Rabbani, berkata peristiwa yang mengubah dunia Islam seharusnya dicatat pada 18 September dan bukannya memperingati 11 September.

Perang Iraq berlaku pada tahun 1991. Gambar: The Week

Kenyataan para sarjana Islam mengenai perang selama 20 tahun

Sejak 20 tahun berlalu, pemimpin Amerika Syarikat telah mengisytiharkan perang di seluruh dunia tanpa sempadan atau had masa. Apa yang disebut ‘Keganasan Perang’ telah diumumkan setelah peristiwa 9 September.

Tetapi pencerobohan terhadap hak umat Islam telah pun bermula sebelum daripada itu lagi. Perang Iraq pada tahun 1991, pencerobohan di Somalia, sokongan untuk pendudukan Israel di Palestin dan sokongan kepada kepimpinan diktator yang kejam terhadap negara-negara Islam.

Sepanjang 20 tahun sekurang-kurangnya 800,000 umat Islam terbunuh, ribuan orang dipenjara secara paksa dan diseksa serta 37 juta umat Islam telah kehilangan tempat tinggal. Orang Islam di mana-mana diperlakukan dengan perasaan curiga dan dilihat sebagai ancaman kepada masyarakat setempat.

20 puluh tahun sudah tiba masanya untuk berhenti sejenak dan mengambil pengajaran. Sudah tiba masanya para pemimpin cerdik di Barat untuk memperbetulkan haluan.

Umat Islam dipenjara secara paksa sebagai tahanan perang.

Kami, para sarjana Muslim di bawah, meminta:

 

  • Pemimpin di Barat untuk mengganti dasar perang dan permusuhan mereka terhadap orang-orang Muslim dengan rasa hormat dan saling bekerjasama.
  • Tamatkan semua campur tangan ketenteraan dan politik terhadap negara-negara Islam.
  • Hentikan dasar kerajaan dan amalan yang menjatuhkan hukuman penjara sewenang-wenangnya, penyiksaan, perlakuan menjatuhkan maruah dan memberi kuasa luar biasa kepada agensi kerajaan.
  • Pendekatan yang adil dan bertanggungjawab untuk diambil oleh ahli politik, institusi dan media dalam melibatkan hal ehwal Islam dan umatnya.
  • Minoriti Muslim dapat menjalani kehidupan yang bermaruah menurut kepercayaan mereka, bebas daripada campur tangan pemerintah
  • Kerajaan, agensi dan pegawai yang terlibat dalam jenayah perang atau penyalahgunaan kuasa sejak 2001 harus bertanggungjawab serta membuat pembayaran ganti rugi kepada mangsa dan keluarga yang terselamat.

Kami berdiri mengemukakan solidariti untuk semua mangsa yang tertindas dan memperjuangkan pembebasan daripada kezaliman. Kami juga mengalu-alukan kemenangan rakyat Afghanistan terhadap penjajah ke atas mereka. Semoga ia menjadi kemenangan pertama daripada keganasan perang. Kami mengucapkan takziah kepada semua yang terkorban akibat perang ini.

Kami mengucapkan simpati kepada warga negara-negara Barat yang terpaksa menanggung akibat sosial, ekonomi dan undang-undang daripada keputusan buruk yang dibuat oleh pemimpin mereka.

Kami menegaskan keyakinan kami terhadap keadilan yang akan ditetapkan di akhirat. Pengorbanan orang yang ditindas tidak akan sia-sia dan penjenayah juga tidak akan terlepas daripada akibat kejahatan mereka.

ALLAH berfirman: “Jangan menyangka bahawa ALLAH tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim. Dia hanya menunda mereka sehingga suatu hari di mana mata mereka akan menatap ngeri. ”

Ditandatangani oleh:

Liga Sarjana Arab Maghreb yang mewakili lebih daripada 80 ahli

Ahli Eksekutif:

– Syeikh Hassan al-Kettani (Maghribi)

– Syeikh Mukhtar Ibn al-Arabi Mumin (Algeria)

– Syeikh Anis bin Ahmad Qawayism (Tunisia)

– Syekh Riyad Sha’eeli Saki (Libya)

– Syeikh Ahmed al-Hasani (Libya)

– Syeikh Anis al-Rahmouni

 

Ahli Persatuan Ahli Sunnah yang mewakili lebih dari 130 ahli

-Dr Muhammad Al Sagheer

 

Sumber: 5 Pillars

Jack Gues
Jendela Dunia,

Objek dan Simbol Sudu Kini Meriah di Gaza

BENDERA dan sepanduk yang dihiasi dengan objek sudu kini menjadi strategi utama pejuang Palestin menjatuhkan moral dan maruah rejim Israel. Ia rentetan enam tahanan Palestin berjaya menusuk keluar dari penjara Gilboa yang dikhabarkan memiliki ciri-ciri keselamatan terbaik di dunia.

Enam tahanan Palestin berjaya melarikan diri pada 6 September lalu dari penjara itu melalui lubang singki dengan mengoreknya menggunakan sudu dan peralatan makanan lain.

Selepas beberapa hari usaha menjejak tahanan Palestin oleh tentera Israel dilakukan, akhirnya kesemua tahanan itu berjaya ditangkap kembali baru-baru ini.

Seorang pelukis menghasilkan sebuah mural dengan objek sudu sebagai simbolik . Gambar: Mahmud Hams/AFP

Menurut peguam kepada salah seorang rakyat Palestin yang ditangkap itu, Ruslan Mahajaneh, anak guamnya Mahmoud Abdullah al-Ardah mengatakan bahawa dia hanya menggunakan sudu, piring dan pemegang cerek untuk kerja menggali terowong dari selnya.

“Peristiwa memalukan itu mengingatkan kembali kejadian sama yang berlaku pada 1996 di Kota Tulkarem di Tebing Barat yang diduduki Israel. Tahanan Palestin, Ghassan Mahdawi berjaya melarikan diri dari penjara melalui terowong yang digali hanya dengan menggunakan paku.

“Dia telah ditangkap kerana didakwa telah menyertai kumpulan bersenjata semasa intifada Palestin pertama yang berlangsung hingga awal 1990-an. Mahdawi berjaya melarikan diri dari penjara dan ditangkap kembali, dia akhirnya dibebaskan selepas 19 tahun menjadi tahanan rejim Israel.

“Saya teringat kata-kata Mahdawi, untuk melarikan diri dari penjara Israel adalah sesuatu yang biasa akan dipikirkan oleh setiap tahanan. Semua yang berlaku ini akan tetap menjadi sejarah yang akan diingati oleh generasi akan datang,” katanya.

Orang ramai berhimpun di hadapan Masjid Dome of The Rock. Gambar: Ahmad Gharabli/AFP

Selepas kesemua enam tahanan itu ditangkap kembali, ramai rakyat Palestin mengadakan demonstrasi membantah penangkapan mereka. Kini di Kota Gaza, kelihatan seorang pelukis mengabadikan sebuah mural dengan objek sudu sebagai simbolik dan sindiran kepada rejim Israel.

Begitu juga kelihatan orang ramai berhimpun di hadapan masjid Dome of The Rock dengan di tangan setiap orang mengangkat sudu sebagai tanda sokongan kepada enam tahanan Palestin yang ditangkap.

Arca berbentuk tangan sambil memegang sudu. Gambar: Yasser al-Zayyat/AFP

Tidak ketinggalan, artis seni dari Kuwait, Maitham Abdal turut menghasilkan arca bernama ‘Spoon of Freedom’ sebagai menghormati tahanan Palestin itu.

Di Kota Umm al-Faham, ramai warganegara Palestin berhimpun dengan mengangkat sudu ketika mereka melakukan protes terhadap tindakan tentera Israel.

Malah, ramai penduduk Palestin menaikkan sepanduk dengan tanda pagar, ‘sudu ajaib’ sebagai sindiran untuk mengganggu mental dan menjatuhkan moral rejim Israel.

Sumber: Al Jazeera

759817d6-2769-4cd1-8d3d-1e7399cd626d
Gaya Hidup,

Empat Kaedah Menangani Ibadah Tergendala Akibat Pandemik

SEJAK tahun lalu lagi umat Islam bukan saja di negara ini malah seluruh dunia tidak lagi merasa tenteram, resah, tertekan apabila rutin kehidupan mereka tidak lagi seperti biasa. Segala pergerakan terbatas dan dihalang akibat ujian yang diturunkan ALLAH berupa wabak Covid-19 menyebabkan ibadah mereka tergendala.

Setiap ujian yang ALLAH berikan kepada kita adalah untuk menilai sejauh manakah pergantungan kita kepada ALLAH selain mengajar kita untuk bersedia menempuh ujian akhir zaman sebagaimana yang dipesan Rasulullah SAW.

Firman ALLAH di dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang maksudnya: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana ALLAH hendak mereka merasakan sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Program Tanyalah Ustaz di TV3 dan TV9 pada 20 September 2021 dengan topik Ibadah Tergendala.

Mengupas mengenai topik Ibadah Tergendala yang disiarkan menerusi Program Tanyalah Ustaz di TV3 dan TV9 pagi ini, pandemik yang diturunkan ALLAH untuk memberikan umatNya kebaikan dan kasih sayang menerusi hikmah tanpa kita sendari.

Menurut Penceramah Bebas, Ustaz Azam Al-Kankari berkata umat Islam tidak diajar untuk bersangka buruk terhadap ALLAH kerana setiap ujian yang diturunkan itu nescaya akan digantikan dengan kebaikan dan kasih sayangNya.

Beliau turut berkongsi sebuah hadis Rasululluh SAW yang diriwayatkan oleh Iman Al Bukhari, ‘Siapa yang ALLAH menghendaki kepadanya kebaikkan nescaya ALLAH akan menguji mereka’.

Ustaz Azam menambah, apa saja ujian yang ALLAH turunkan, hendaklah kita sentiasa bersangka baik dan bersyukur serta memohon keampunan kepadaNya.

“Umat Islam tidak perlu bimbang sekiranya ujian itu telah menghalang kita daripada dapat melakukan ibadah kepadaNya secara selesa kerana sekiranya kita sentiasa beriman kepada ALLAH, kita akan mencari jalan lain untuk melakukan tanggungjawab kita melakukan ibadah.

“Di sini saya sertakan empat kaedah yang boleh kita lakukan agar dapat memberi kembali motivasi dan semangat untuk kita tidak meninggalkan amal ibadah kita walaupun dihalang oleh wabak yang sangat merbahaya ini.

“Pertama kita haruslah sentiasa berusaha untuk menghidupkan ibadah di mana saja kita berada khususnya di rumah. Walaupun kita tidak dapat pergi ke masjid atau surau untuk berjemaah, mengikuti kelas agama, menghadiri majlis ilmu, namun semua perkara itu boleh kita lakukan dengan usaha kita sendiri ketika berada di rumah bersama keluarga,” katanya.

Seterusnya Ustaz Azam mengajak umat Islam berusaha mencari alternatif sendiri untuk mencari ilmu dengan memanfaatkan segala teknologi yang ada di rumah. Ia seperti menonton program-program agama yang banyak disiarkan di saluran televisyen negara mahupun luar negara.

“Carilah ilmu di mana saja kita berada. Dalam dunia yang penuh dengan teknologi ini semua maklumat boleh kita dapatkan di hujung jari saja. Bagi mereka yang sering amalkan bersedekah di masjid atau surau, kini kita boleh terus melakukan amalan baik kita itu untuk bersedekah menerusi atas talian. Carilah maklumat yang tepat dan diyakini agar sedekah kita itu sampai kepada mereka yang sangat memerlukan dalam situasi ramai yang sedang susah ketika ini.

“Selain itu kaedah ketiga, jadikanlah ulamak dan umarak sebagai rujukan, menghormati badan autoriti pejabat mufti jangan dipertikaikan apa yang telah difatwakan. Ia merujuk kepada beberapa SOP yang dikeluarkan oleh pejabat mufti dan telah diperdebatkan alim ulamak kita bukan untuk menyusahkan umat Islam tetapi demi kebaikan agama, masyarakat dan negara.

“Dan yang terakhir hendaklah kita sentiasa berdoa kepada ALLAH untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat Islam dan negara. Berdoalah agar kepada ALLAH untuk diangkat kembali wabak ini segera agar agar kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa seterusnya dapat melaksanakan ibadah kita dengan sempurna serta tidak lagi tergendala,” katanya.

Jika kita merenung dan bermuhasabah dengan apa yang berlaku maka kita akan mengetahui bahawa setiap yang berlaku adalah disebabkan perbuatan kezaliman kita sendiri.

Justeru, musibah yang diturunkan ALLAH menerusi wabak dan penyakit yang membahayakan ini tidak ada sesiapa yang mampu untuk menghalangnya melainkan dengan izin ALLAH.

Firman ALLAH di dalam Surah Yunus ayat 107: “Dan jika ALLAH mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurnia-Nya.

 

 

 

 

Solat witir
Gaya Hidup,

Umat Islam Perlu Kuat Rohani dan Fizikal Demi Penyatuan Insaniah

SEMALAM negara telah menyambut Hari Malaysia yang disambut 16 September setiap tahun. Meraikan ulangtahun penubuhan Malaysia kali ke-58 tahun ini menandakan kita telah berjaya melalui lebih separuh abad usia negara dengan keharmonian pelbagai masyarakat.

Kerajaan harus konsisten dalam menyatupadukan rakyat daripada pelbagai bangsa seperti yang kita telah lalui sebelum ini agar pembangunan negara mampu diseimbangkan dengan semangat perpaduan meskipun berlainan agama, bangsa dan budaya.

Pesanan itu juga akan disampaikan khatib menerusi khutbah Jumaat hari ini yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertajuk ‘Persamaan Dalam Perbezaan.

Menurut teks berkenaan, ALLAH SWT memerintahkan umat Islam supaya bersatu menjadi umat yang kuat dan secara spiritual dan fizikal serta menjaga hubungan kemanusiaan antara sesama umat manusia atas dasar saling menolong, bekerjasama dalam kebajikan dan menjauhkan diri daripada meninggalkan agama ALLAH SWT. Firman ALLAH SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 103 yang bermaksud:

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali ALLAH (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat ALLAH kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu ALLAH menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat ALLAH itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu ALLAH selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah ALLAH menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya”.

 Berdasarkan dalil itu, kita semua perlu menyedari bahawa hakikat manusia sebenarnya merupakan sebuah keluarga besar yang berasal daripada ibu bapa yang sama (Adam ‘Alaihissalam dan Hawa ‘Alaihassalam). Setelah itu, keadaan manusia yang bertebaran di muka bumi telah menemukan mereka untuk hidup bermasyarakat dan saling berhajat antara satu sama lain. Hal ini kerana, kebolehan setiap orang dan pemilikan sumber hasil yang berlainan tetapi masing-masing saling memerlukan.

Al-Quran telah menegaskan tentang hubungan sesama manusia yang berkonsepkan sebuah keluarga besar. Manusia menjalinkan hubungan silaturrahim dan diwajibkan berta‘aruf serta berta‘awun (berhubungan untuk saling mengenal bagi saling menolong) dalam perkara yang baik dengan semua pihak. ALLAH Maha Berkuasa untuk menjadikan seluruh manusia menjadi umat yang satu, yakni menganut satu agama, satu keyakinan, atau satu pendapat, tetapi ALLAH SWT tidak menghendaki demikian, melainkan memberikan kebebasan kepada manusia untuk memilih. Walaupun ALLAH SWT memberi mereka kebebasan memilih, mereka sentiasa tetap berselisih pendapat tentang kebenaran, lantaran mereka mengikuti hawa nafsunya. Firman ALLAH SWT dalam Surah Hud ayat 118:

“Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.”

Mengenang sejarah kemerdekaan dan pembentukan negara ini akan dapat membangkitkan rasa syukur kepada ALLAH SWT dan penghargaan yang tinggi kepada generasi terdahulu. Semua kaum dan bangsa telah bersama-sama menentang penjajah dengan ideologi yang berbeza, tetapi berkongsi hala tuju yang sama iaitu mahu mencapai kemerdekaan daripada cengkaman penjajah yang zalim. Inilah titik persamaan yang menjadi faktor kepada kesepaduan masyarakat di negara ini yang berbilang agama dan bangsa.

Dalam konteks kehidupan bermasyarakat majmuk, Rasulullah SAW menggalakkan kepada umatnya supaya menimba ilmu dan mengambil pengalaman yang berfaedah walaupun daripada kaum bukan Islam dalam urusan duniawi. Ilmu dan pengalaman yang ditimba ini seterusnya akan seiring dengan ruh Islam dan akhirnya dapat mengawasi kemajuannya dari aspek positif dan menolak segala aspek yang negatif.

ALLAH SWT memerintahkan umat Islam untuk segera mencari jalan keluar sekiranya berlaku sebarang perselisihan. Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 10:

 “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada ALLAH supaya kamu beroleh rahmat.”

 

Kita tidak boleh membiarkan saudara-saudara kita berada dalam perselisihan. Hal ini kerana Rasulullah SAW telah mengingatkan bahawa, tidak akan sempurna keimanan seseorang melainkan dia dapat mencintai saudara seimannya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri. Membiarkan perselisihan tanpa ada usaha menyelesaikannya akan menghasilkan keburukan dan akibat yang bukan sahaja memberi impak negative kepada mereka yang berselisih, tetapi juga kepada seluruh umat manusia.

Maka, dalam situasi hari ini, pastinya tumpuan kepada pemulihan negara merupakan matlamat utama seluruh anggota masyarakat walaupun kita berbeza agama, bangsa, kaum dan ideologi. Titik persamaan inilah yang menjadi titik pertemuan kita semua dalam usaha membangunkan sebuah negara yang berdaulat, selamat sejahtera, dan kukuh dari segi spiritual, ekonomi, kesihatan awam, pendidikan dan sosialnya.

Justeru, marilah kita bersatu pada titik persamaan dengan semangat Keluarga Malaysia. Janganlah bertindak melampau dalam perbezaan sesama kita, tetapi sentiasa berbincang dengan penuh kebijaksanaan mencari kebenaran dalam perkara yang berbeza.

Rumusan daripada teks khutbah yang dikeluarkan JAKIM, terdapat tiga inti pati yang boleh dijadikan panduan, antaranya;

  1. : Hakikat asal manusia merupakan sebuah keluarga besar yang berasal dari ibu bapa yang sama iaitu nabi Adam ‘Alaihissalam dan Hawa ‘Alaihassalam.
  1. : Kemajmukan masyarakat di negara ini perlu disantuni dengan ta’aruf (Saling berkenalan) dan ta’awun (saling menolong dalam perkara kebaikan).
  1. : Sebarang perselisihan boleh diketepikan jika kita menumpukan kepada titik persamaan dalam perjuangan pemulihan negara.

Firman ALLAH SWT dalam Surah al-‘Asr:

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”.

Jamaica Civil Aviation Authority
Jendela Dunia,

Umat Islam Jamaica Masih Dihantui Golongan Islamofobia

SETIAP kali Taariq Abdul-Majeed mahu mendaftar masuk untuk menaiki pesawat, dia merasa takut kerana namanya akan muncul melalui pembesar suara atau lebih mendebarkan apabila diarahkan pegawai keselamatan untuk keluar daripada barisan hanya kerana namanya.

Katanya peristiwa itu kerap berlaku di beberapa lapangan terbang seperti di Dubai, Arab Saudi dan Kingston.

Taariq Abdul-Majeed

“Sepanjang pengembaraan saya menaiki kapal terbang, hanya dua kali nama saya tidak dipanggil dan itu sangat mengejutkan,” kata Abdul Majeed yang bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Awam dan Penghubung Media, Majlis Islam Jamaica.

Selepas 20 tahun serangan pengganas 9/11 di Amerika Syarikat, ramai orang Islam yang tinggal di Jamaica mengatakan bahawa mereka masih dihantui oleh golongan Islamofobia, terutama ketika mereka melakukan perjalanan ke luar negara.

Memetik stigma itu ternyata Abdul Majeed yang juga jurucakap Majlis Islam Jamaica mengatakan bahawa umat Islam dilabelkan pegawai imigresen sebagai sasaran untuk diperiksa berkaitan isu keselamatan.

“Tidak kira sama ada imigresen tempatan atau luar negara, sama ada perjalanan pergi atau pulang, kita pasti akan ditarik keluar daripada barisan untuk diajukan beberapa persoalan mengenai keselamatan dan memang itu yang kita sering hadapinya,” kata Abdul-Majeed kepada The Gleaner semasa wawancara di Majlis Islam Masjid Arrahman di St Catherine Isnin lalu.

Trauma situasi di lapangan terbang yang dihadapi umat Islam di sini dan di luar negara jauh daripada ketakutan dalam kehidupan seharian mereka di Jamaica, tegas Abdul-Majeed.

“Selain masalah pekerjaan yang dihadapi oleh wanita Islam kerana mengenakan kod pakaian yang kadang-kadang dilihat sebagai budaya yang tidak sesuai di beberapa tempat kerja, masyarakat Muslim Jamaica tidak menghadapi ketakutan kerana masih tinggal di negara sendiri,” katanya.

Tambah Abdul Majeed, ‘Home comings’ adalah panggilan yang boleh terjadi kepada pelancong yang baharu pulang dari luar negara dan ia turut pernah dilalui olehnya.

“Walaupun saya sudah selamat tiba di rumah, saya masih dihubungi oleh imigresen untuk diajukan beberapa pertanyaan selama hampir satu jam dan siasatan adalah mengenai keganasan.

“Saya merasa sangat pelik, kerana semua sejarah saya ada di sini. Walaupun kita berada di rumah, kita masih boleh disyaki tanpa asas dan alasan. Semuanya hanya kerana nama sahaja yang menimbulkan banyak stigma kepada masyarkat Muslim,” katanya.

Abdul-Majeed yang telah melakukan banyak perjalanan ke Guyana, Trinidad, Bahama dan Timur Tengah juga sering kali hampir terlepas penerbangan kerana kelewatan akibat bagasinya di buka oleh pengawal keselamatan.

Sumber: The Gleaner

BBC
Gaya Hidup,

Islam Tuntut Umat Hidup Dalam Suasana Bersih

Oleh Norliza Abdullah
lizzabdullah81@um.edu.my

 

TANPA kita sedari hampir kebanyakan jangkitan penyakit sama ada berpunca daripada virus mahupun bakteria sering dikaitkan dengan cara hidup tidak sihat dengan mengabaikan elemen kebersihan dalam amalan kehidupan harian.

Umum seolah-olah lupa akan tuntutan Islam yang mengingatkan mereka mengenai pentingnya menjaga kebersihan. ALLAH SWT berfirman bermaksud “Sesungguhnya ALLAH S..WT mencintai orang yang bertaubat dan orang yang membersihkan dirinya (Surah Al-Baqarah ayat 222).

Amalan gaya hidup bersih ini juga sebahagian daripada Sabda Rasullah SAW yang bermaksud “Kebersihan adalah separuh daripada iman” Hadis Riwayat Muslim.

Berhadapan cabaran serangan virus yang semakin kompleks kini, semua pihak berada dalam situasi kalut menghadapi kes virus corona (Covid-19), ramai pihak terlepas pandang akan bahaya yang lebih serius iaitu virus denggi yang sudah sekian lama bertapak.

Dua virus ini memberi kesan kepada sistem badan manusia secara sistematik dan kini sudah pun berada dalam komuniti terutama denggi berbanding Covid-19 baharu sahaja ditemui sekitar September 2019.

Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi,

Menyedari bahaya sarangan kedua-dua penyakit berkenaan, Pensyarah Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi, berkata apabila virus sudah berada dalam komuniti, menjadi tanggungjawab semua pihak membanterasnya menerusi pembabitan serius masyarakat.

Katanya, kedua-dua jangkitan ini berpunca daripada gaya hidup tidak sihat, penjagaan kebersihan asas dalam kehidupan harian dilihat seolah-olah tidak penting.

“Mengapa Islam begitu menggalakkan kebersihan? Sudah pastinya mahukan umatnya terhidar daripada sebarang mudarat yang boleh mengancam nyawa.

“Islam menyarankan umatnya menjaga kebersihan. Amalan berwuduk itu juga sebahagian daripada cara menghindarkan jangkitan. Ketika mengambil air sembahyang, anda membasuh kedua-dua belah tangan dan anggota badan yang lain.

Memasukkan sedikit air ke dalam hidung ketika berwuduk juga sebagai ikhtiar membersihkan saluran pernafasan bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Dr Mohd Zaqrul Razmal yang juga Pakar Perunding Pediatrik, Pusat Perubatan Mawar Seremban, berkata berhadapn situasi ini, berkata jangkitan denggi juga disebabkan oleh keadaan persekitaran yang kotor. Air bertakung memudahkan jentik-jentik membiak.

Virus Corona yang kini ditakuti seluruh dunia. Gambar: Anadolu Agency

Beliau berkata, dalam usaha menghindari jangkitan kedua-dua virus ini perlukan pendekatan khusus. Covid-19 boleh dicegah dengan mengamalkan kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan dengan sabun dan memakai topeng muka. Elak tempat sesak dan jaga penjarakkan sosial bertujuan mengurangkan jangkitan.

Bagi menangani denggi pula katanya, beberapa amalan penting perlu diterapkan dalam kehidupan iaitu menjaga kebersihan persekitaran rumah dan buang air bertakung bagi mengelak aedes membiak.

Pemeriksaan mendapati premis kediaman yang tidak dihuni menjadi lokasi tumpuan pembiakan nyamuk aedes.

Mengulas lanjut pandemik covid ini, katanya jika sebelum covid-19 hanya menyerang sebahagian besar warga emas selain individu berpenyakit kronik antaranya masalah sistem pernafasan, kencing manis dan kanser, berikutan sistem imun badan mereka lemah.

Namun sejak kebelakangan ini, kes membabitkan kanak-kanak juga meningkat.

Peningkatan itu katanya, disebabkan oleh kanak-kanak semakin terdedah kepada risiko jangkitan disebabkan sifat Covid-19 itu sendiri yang begitu konsisten menyerang sistem badan manusia.

Pemerhatian mendapati, kanak-kanak berisiko dijangkiti Covid-19 seperti orang dewasa. Namun tahap serangan pula berbeza bergantung kepada kekuatan sistem imum badan.

Sebagai contoh jika beberapa orang kanak-kanak diserang denggi mahupun Covid-19 tahap serangan bergantung kepada kekuatan sistem badan melawan penyakit.

“Bagi kanak-kanak yang mempunyai sistem imun badan yang tinggi, proses penyembuhan lebih cepat dan tidak terlalu serius hingga terpaksa diberikan bantuan pernafasan.

“Malah jika keadaan mereka stabil dan tidak ada sebarang gejala seperti demam batuk mahupun selesema, kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 tidak perlu menjalani kuarantin hanya dinasihat berada di rumah dengan menjalani amalan pengasingan kendiri.

Nyamuk aedes membawa kepada penyakit denggi yang boleh membawa maut.

“Berbeza denggi di mana gejalanya jelas, pesakit mengalami demam beberapa hari, sakit sendi dan lesu selain kesan ruam seluruh badan. Ujian darah pula mengesahkan jangkitan virus berkenaan” katanya.

Mengulas perbezaan sistem imun badan, beliau ketika sesi temu bual secara dalam talian baru-baru ini, berkata perlu diingat bahawa kekuatan sistem pertahanan badan setiap kanak-kanak itu bergantung kepada pelbagai faktor.

Kanak-kanak yang mengambil vaksin seperti disarankan kerajaan menerusi Program Imunisasi Kebangsaan sudah pasti mempunyai sistem pertahanan badan lebih kuat.

“Kajian klinikal membuktikan pengambilan vaksin secara berjadual seperti disaran pakar sangat berkesan dalam menangkis serangan virus berbanding kanak-kanak yang tidak berbuat demikian. Namun ada segelintir ibu bapa yang masih mempertikai fakta ini,” katanya.

Mengulas sesi persekolahan secara bersemuka pula, Dr Mohd Zaqrul Razmal, berkata berhadapn situasi ini, sistem pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka masih boleh dilaksanakan seperti biasa.

Namun katanya, pelaksanaanya perlulah mengikut prosedur operasi standard ditetapkan dengan mengehadkan jumlah yang kecil dalam satu bilik darjah selain menjaga kebersihan, patuhi jarak sosial dan memakai pelitup muka. Namun jika ada kes di sesebuah sekolah dan bagi memutuskan rantaian jangkitan wajar ditutup.

Menandangkan Covid-19 itu sendiri sudah berada di dalam komuniti menjadi tanggungjawab semua pihak dengan memainkan peranan menguruskan diri dan mengurangkan risiko dijangkiti.

“Semua pihak memainkan peranan. Kerajaan dan orang ramai perlu bekerjasama dalam menanganai kedua-dua virus yang sudah memberi impak kepada struktur ekonomi negara.

Fakta Denggi

– Demam denggi disebabkan jangkitan virus yang merabak melalui gigitan nyamuk aedes aegypti yang sudah dijangkiti.

– Individu yang tinggal di kawasan jangkitan boleh dijangkiti lebih sekali sepanjang hayat.

Sumber Kementerian Kesihatan

· Sejumlah 90,304 kes denggi dilaporkan sepanjang tahun 2020 berbanding 130,101 kes pada tahun 2019.

· Jumlah kematian akibat denggi menurun tahun lalu kepada 145 kematian berbanding 182 kematian pada 2019.

Gejala awal demam denggi

· Sakit kepala
· Sakit tulang belakang
· Sakit sendi-sendi
· Loya dan muntah-muntah
· Sakit biji mata
· Ruam

Fakta Covid-19

· Sejenis virus yang menyebabkan gangguan sistem pernafasan.
· Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merujuk virus ini sebagai novel bermaksud baharu.
· Menular menerusi rembesan pernafasan yang berada di udara apabila orang yang dijangkiti bersin atau batuk.

Gejala awal

· Demam
· Batuk
· Sesak nafas
· Tiada deria rasa

Gejala muncul dalam tempoh 14 hari selepas terdedah kepada virus yang juga tempoh inkubasi.

Sebelum berbuka waktu mustajab doa
Jendela Dunia,

Wanita Menuntut Hak Yang Sama Di Masjid

ZEYNEP Dogusan menceritakan bagaimana seorang sahabatnya suatu hari bersandar pada tiang di sebuah masjid di belakang bahagian lelaki, begitu mengagumi keindahan seni bina bangunan itu. Lalu datang seorang pekerja masjid menghampirinya dan mengatakan bahawa dia tidak dibenarkan berada di sana.

“Sahabat saya benar-benar terasa apabila diusir keluar dari masjid itu hanya kerana dia seorang wanita. Saya merasa perkara ini tidak adil dan kami tidak boleh berdiam diri,” katanya.

Lantaran daripada itu, Dogusan telah menubuhkan sebuah organisasi ‘Women in Mosques Platform’ pada Oktober 2017 di Istanbul bagi memerangi diskriminasi wanita di tempat-tempat ibadah.

Warga emas golongan wanita mahukan keselesaan untuk beribadah di masjid. Scroll.in

Sejak itu, organisasi ini berkembang dalam menangani isu-isu khususnya kebenaran masuk warga emas ke masjid hingga keadaan kebersihan tandas wanita di bangunan masjid. Sebilangan besar perjuangan mereka dihabiskan untuk menentang adat-adat kuno seperti menyembunyikan jemaah wanita di belakang layar atau terasing di bilik khas yang membuat wanita merasa mereka tidak mempunyai hak untuk berada di dalam masjid.

Menurut Dogusan yang juga pengasas dan seorang Ahli Sosiologi, berkata ini semua adalah fenomena biasa berlaku di masjid di seluruh negaranya, Turki.

“Matlamat kami dalam menubuhkan organisasi ini adalah bertujuan untuk menjadikan isu-isu ini dapat dilihat oleh semua masyarakat. Kami mahu meningkatkan kesadaran dengan harapan sampai ke pengetahuan pentadbiran masjid dan mahukan perubahan dilakukan. Media sosial telah membantu meningkatkan kewujudan kumpulan kami dan dapat menyebarkan mesejnya perjuangan kami,” katanya Dogusan.

Wanita hanya berpeluang solat di bahagian tertentu di dalam masjid. Gambar: Scroll.in

Menurutnya lagi, di Turki, tradisi Islam lebih cenderung menggalakkan golongan wanita untuk beribadah di rumah. Tetapi mereka yang bekerja atau belajar dan menghabiskan hari mereka di luar rumah perlu menggunakan masjid untuk memenuhi syarat bersolat lima kali sehari.

“Apabila wanita mahu pergi ke masjid, kami sering mendapati akses kami adalah terhad, ruang wanita biasanya terpisah daripada kubah utama masjid, berupa kawasan kecil yang ditutup dengan pintu berhampiran pintu masuk.

“Siapa yang sebenarnya menentukan bahagian mana daripada masjid yang wanita tidak dapat masuk? Tidakkah wanita juga berhak mendapatkan keselesaan dan kenikmatan daripada keindahan estetika dan kerohanian masjid,” katanya tegas.

Juru kempen Hak Asasi Manusia, Zero Discrimination Association, Kezban Karagoz, berkata penglibatan wanita di masjid semakin meningkat. Tetapi Karagoz sendiri mengelak untuk menghadiri tempat-tempat ibadat kerana serik dengan pengalaman negative yang pernah dilalui dulu.

“Saya merasakan lelaki memandang saya, mempersoalkan kehadiran saya ketika saya pergi ke masjid. Saya rasa mereka mahu saya segera pergi sebaik sahaja saya mahu menanggalkan kasut untuk masuk. Saya pergi ke masjid untuk mencari kedamaian, tetapi saya selalu takut berlaku pertengkaran, jadi saya mula memilih ruang kecil yang biasanya terdapat di bangunan awam di Turki untuk bersolat,” kata Karagoz.

Hanya ruang yang kecil kebiasaannya di sediakan untuk wanita bersolat. Gambar: Suara Insan

Karagoz juga tidak lagi ke masjid kerana kekurangan tandas untuk wanita di kebanyakan masjid. Walaupun lelaki boleh menggunakan tandas awam untuk mandi yang dikenali sebagai shadirvans secara percuma, berbeza bagi wanita yang harus membayar untuk menggunakan bilik mandi kerana mereka terpaksa menanggalkan tudung mereka di bilik mandi khas yang tertutup.

“Mengapa kita membayar cukai?” Karagoz bertanya, menunjukkan bahawa Direktorat Urusan Agama yang mengawasi masjid-masjid Turki harus menggunakan anggarannya untuk menyediakan kemudahan bagi wanita.

Di bawah Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang memerintah, anggaran Direktorat dinaikkan secara konsisten sejak tahun 2006 sehingga mencapai jumlah 12.9 bilion lira (US1.5 bilion dolar ) untuk tahun 2021.

“Mengapa wanita perlu membayar untuk berwuduk sementara lelaki dapat melakukan percuma?” soalnya tegas.

Women in Mosques Platform bukan satu-satunya kumpulan yang berkempen di wilayah itu. Havle Women’s Association yang turut memperjuangkan pelbagai isu, juga sering menganjurkan kempen bagi pihak wanita Muslim.

“Kami ingin menjadi sebahagian daripada gerakan feminis arus perdana sebagai wanita Muslim. Ada keperluan untuk menyuarakan penindasan yang dihadapi wanita Muslim dalam kehidupan seharian,” kata salah seorang pengasasnya, Rumeysa Çamdereli.

Pentadbiran masjid yang dikuasai oleh lelaki adalah antara sebab mengapa keperluan wanita dibiarkan tidak dipenuhi.

Begum Yarar, seorang pelajar kimia berusia 21 tahun di Universiti Necmettin Erbakan di Konya, mengatakan bahawa salah satu masalah terbesar yang dihadapi wanita di masjid adalah pengasingan bahagian mereka daripada tempat ibadat yang lain.

“Kawasan wanita sering terletak jauh di belakang struktur masjid utama dan dewan solat. Saya seorang peminat seni, saya ingin berdoa di bawah seni bina indah yang dihiasi dengan kaligrafi dan hiasan, untuk melihat-lihat dan merasa bersyukur, jadi saya sedih kerana hak istimewa ini disediakan untuk lelaki sahaja. Wanita juga manusia, saya fikir wanita harus dibenarkan hak yang sama dengan lelaki,” katantya.

Yarar juga mengeluh bahawa bahagian wanita itu sering terletak di sebelah tempat para jemaah menanggalkan kasut sebelum memasuki masjid, yang bermaksud wanita harus bersolat dengan bauan kaki.

Berbeza bagi pandangan seorang imam berusia 30 tahun yang berpusat di Antalya yang tidak bersetuju dengan Yarar.

“Penting untuk menjaga sensitiviti agama di dalam masjid. Penting untuk menyediakan pemisahan tempat lelaki dan wanita di masjid-masjid kejiranan bagi mengelak fitnah. Sekiranya tempat wanita dapat dilihat, bagaimana mereka mahu menjaga aurat mereka ketika mahu menanggalkan tudung dan ia akan mengundang fitnah,” katanya.

 

Sumber: Inside Turkey

Inst-FB-POST-1200px1200px-AR20192
Jendela Dunia,

Hikmah Pandemik, Pendapatan IRW Meningkat RM861.39 Juta

PENDAPATAN Islamic Relief Worldwide (IRW) meningkat kepada £149 juta pound (RM861.39 juta) tahun lalu akibat didorong oleh kenaikan sumbangan dan harta pusaka secara mendadak.

Ia meningkat sebanyak £18 juta pound atau sekitar 14 peratus menurut akaun kewangan badan amal untuk tahun itu yang berakhir Disember 2020, yang diterbitkan, kelmarin.

IRW mengumpul lebih daripada £15 juta pound sepanjang Ramadan tahun lalu dan menjadi jumlah sumbangan tertinggi yang pernah dicatat walaupun dunia beralih kepada sistem perkhidmatan secara atas talian akibat pandemik Covid-19.

Terdapat juga peningkatan derma yang banyak dipindahkan ke IRW oleh badan amal yang bekerja mewakili sebahagian daripada organisasi Bantuan Islam di tempat lain seluruh dunia.

Akaun tersebut menunjukkan bahawa IRW bekerjasama dengan pakar luar untuk menyelidiki semula lebih daripada 100 kakitangan kanan di seluruh rangkaian Islamic Relief tahun lalu, setelah Suruhanjaya Amal menyiasat aktiviti media sosial antisemit oleh beberapa pemegang amanah.

Bantuan di salurkan kepada umat Islam di seluruh dunia.

Pendapatan, perbelanjaan, rizab

Wang yang diperoleh daripada derma dan sumbangan di United Kingdom (UK) meningkat daripada £27 juta pound menjadi £36 juta pound, sementara pendapatan yang diserahkan kepada IRW daripada bahagian lain jaringan Bantuan Islam global meningkat sebanyak £82 juta pound menjadi £91 juta pound.

Ia diimbangi oleh penurunan pendapatan yang mendadak daripada kerja amal IRW yang lebih rendah £600,000 berbanding tahun 2019.

Perbelanjaan IRW juga meningkat sedikit, daripada £128 juta pound kepada £129.4 juta pound selepas membiayai beberapa projek di 39 negara termasuk UK.

Badan amal itu mengatakan bahawa ia mengurangkan perbelanjaan dengan membekukan pengambilan pekerja dan menangguhkan beberapa projek baharu akibat pandemik Covid-19. Sementara jumlah kakitangan yang diambil oleh IRW hampir tidak berubah, menurun dari 469 menjadi 465 orang.

Rizab tidak terhad meningkat daripada £9.4 juta pound kepada £12.4 juta pound.

Suruhanjaya Amal membuka kes pematuhan kepada IRW pada musim panas 2020, setelah akhbar The Times mendedahkan bahawa tiga daripada pemegang amanah amal telah menyiarkan kandungan antisemit di media sosial peribadi mereka.

Pada bulan Januari 2021, Suruhanjaya menyimpulkan bahawa badan amal tersebut telah melakukan pecah amanah dalam kepimpinannya.

Suruhanjaya bebas yang mengurus tadbir IRW dan diketuai oleh mantan jaksa agung Dominic Grieve, mengatakan bahawa IRW adalah organisasi yang sangat berkesan tetapi perlu menangani risiko reputasi yang berterusan.

Kenyataannya mengatakan, lembaga pengawas berkomitmen secara terbuka untuk melaksanakan semua saranan daripada Suruhanjaya Amal dan agensi bebas.

Akaun tersebut juga menunjukkan bahawa IRW menangani 12 kes di mana pekerja telah mengemukakan masalah keselamatan yang berkaitan dengan rakan sekerja di badan amal itu. Daripada kes yang disimpulkan sebelum akhir tahun 2020, IRW mengambil empat tindakan kes berkaitan termasuk pemecatan pekerja.

Sumber: CivilSocirty News