Author

Untitled design (1)
Berita Semasa, Uncategorized,

Haram guna duit Raya anak? Berikut perinciannya

MENJADI tradisi umat Islam apabila menyambut Hari Raya Aidilfitri untuk berkongsi rezeki dengan memberi duit raya khusunya kepada kanak-kanak.

Kanak-kanak antara yang paling riang menyambut lebaran. Rezeki mereka juga bertambah dengan adanya tradisi pemberian duit raya membolehkan mereka mendapatkan sejumlah duit yang banyak.

Bagi anak-anak yang masih kecil dan belum akil baligh, mereka sememangnya tidak pandai untuk menguruskan wang mereka sendiri. Peranan ibu bapa adalah sangat penting bagi memastikan duit raya yang mereka dapat itu diuruskan dengan sebaiknya.

Duit raya yang diberikan kepada kanak-kanak itu adalah kepunyaan mereka secara mutlak dan ibu bapa adalah pemegang amanah yang besar bagi menguruskan duit tersebut sehingga mereka sudah bijak untuk menguruskan duit mereka sendiri.

Hukum menggunakan duit raya anak adalah sama sekiranya kita menggunakan duit orang lain iaitu berhutang dan hutang tersebut wajib dibayar balik. Amanah dalam menjaga duit anak-anak ini sangat penting dalam Islam agar tidak disalahgunakan oleh ibu bapa kerana haram jika digunakan kepada perkara yang tidak berfaedah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi (2159)

Baca juga Dilema Terima Duit Raya Daripada Kaki Judi

Bagi pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, beliau menjawab isu ini dalam ceramahnya. Perkara ini selalu berlaku dalam masyarakat kita. Ada yang menggunakan duit raya anak-anak untuk membeli barang yang tidak sepatutnya iaitu sport rim dan barang keperluan kereta yang lain. Haram guna duit raya anak-anak untuk kepentingan diri sendiri.

“Namun, boleh gunakan duit raya anak sekiranya dalam keadaan yang terdesak seperti bekalan elektrik akan dipotong jika tidak dibayar yang mana masalah itu juga akan mendatangkan kemudaratan kepada anak-anak.

“Hal ini membolehkan duit raya tersebut digunakan untuk membayar bil tersebut tetapi perlu dibayar dengan segera,” katanya.

Terdapat tiga cara untuk uruskan duit anak dengan betul.

1. Asingkan

Pastikan duit raya setiap anak diasingkan bagi mengelakkan percampuran dan kekeliruan duit raya. Ini adalah bertujuan untuk memastikan setiap anak mendapat jumlah duit raya yang sepatutnya mereka dapat dan tidak bercampur dengan duit yang lain.

Baca juga Boleh guna duit raya anak, tapi jangan sampai memudaratkan mereka

2. Tabung khas

TIDAK kira jumlah duit Raya itu banyak atau sedikit, ibu bapa boleh menyimpan wang tersebut dalam tabung khas anak-anak.

Pastikan setiap anak mempunyai tabungan khas sendiri yang boleh mendorong mereka untuk rajin menabung serta pengurusan duit raya juga mudah untuk disimpan dan tidak berlaku kehilangan duit jika disimpan dengan betul.

3. Simpan dalam bank

Kira dan simpan duit raya anak kita ke dalam bank merupakan langkah yang bijak dalam menyimpan duit anak. Kaedah ini sangat berguna untuk masa hadapan kanak-kanak kerana dapat memberikan pulangan yang baik setiap tahun

AKAUN simpanan merupakan sejenis akaun bank di mana anda boleh menyimpan wang simpanan anda dengan selamat.

Kesimpulannya, ibu bapa tidak boleh menggunakan duit anak-anak mereka dengan sesuka hati kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja. Jika ibu bapa sudah menggunakan duit anak-anak untuk membeli barang yang tidak penting, maka wajib ke atas ibu bapa untuk mengantikan duit yang telah digunakan.

Semoga ALLAH SWT memberikan kita kefahaman yang baik untuk terus mengikut syariat-NYA dan tidak menggunakan duit anak-anak sesuka hati sebaiknya disimpan untuk kegunaan masa hadapan.

Foto: Pexels & Redaki.com

pexels-mentatdgt-1071979
Hukum,

Mari ketahui adab ziarah yang patuhi syariat

KETIBAAN Syawal memberikan keceriaan kepada umat Islam di seluruh dunia. Ia merupakan hari yang ALLAH SWT perintahkan kepada hamba-NYA untuk meraikan Hari Raya dengan penuh rasa syukur dan gembira.

Setiap individu perlu merebut peluang mencipta kegembiraan untuk diri sendiri dan orang di sekeliling agar tidak bersedih dan meninggalkan perkara yang boleh mengundang duka.

Namun, kegembiraan itu mestilah dizahirkan mengikut syariat Islam yang telah ditetapkan. Sebagaimana diceritakan dalam satu hadis yang diriwayatkan Saidatina Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda:

Wahai Abu Bakar, setiap kaum mempunyai hari perayaan (hari untuk bergembira) dan hari ini (Aidilfitri) adalah hari perayaan untuk kita.” (Hadis riwayat Muslim)

Sambutan Aidilfitri perlulah disambut secara sederhana dan bersyukur kepada ALLAH atas nikmat yang diberikan sebagai lambang ‘terima kasih’ kerana masih diberi peluang untuk terus melaksanakan ibadat sepanjang bulan Ramadan.

Sudah menjadi budaya ketika Hari Raya untuk saling menziarahi sanak saudara, jiran tetangga dan juga ada yang melakukan rumah terbuka tanpa mengira bangsa dan agama.

Dalam kita sibuk berziarah, Islam menerapkan beberapa adab yang perlu dipatuhi supaya kunjungan tersebut mendapat pahala dan keredaan ALLAH. Sebelum berziarah, ketahui 5 adab yang perlu dipatuhi agar kunjungan tersebut tidak menjadi dosa.

1. Betulkan niat dan tujuan

Hal pertama yang perlu dilakukakan ketika ingin berziarah ialah betulkan niat dan tujuan. Ziarah merupakan amalan yang murni dalam kehidupan bermasyarakat kerana dapat mengeratkan hubungan silaturahim, saling bermaaf-maafan sesama rakan, jiran, dan keluarga.

Ini berdasarkan hadis baginda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap perbuatan ini bermula dengan niat dan bagi setiap orang dengan apa yang diniatkannya.”

Maka elakkan diri menziarahi seseorang dengan niat dan tujuan yang tidak baik seperti untuk menonjolkan diri dengan menunjuk-nunjuk tapi niatkan diri kerana ALLAH. Jika niat kerana ALLAH ketika ziarah maka hubungan yang renggang akan pulih, kasih sayang yang pudar akan kembali bersinar dan sifat yang buruk akan bertukar menjadi baik.

Baca juga Betulkan niat masa tolong orang, kelak ALLAH akan bantu kita

2. Meminta izin untuk ziarah

Sebelum kunjungan dibuat, Islam meminta kita supaya meminta izin terlebih dahulu kepada tuan rumah untuk datang berziarah. Ia bagi memudahkan tuan rumah untuk menyediakan sesuatu hidangan tanpa mebebankan kerana mereka juga mempunyai perancangan tersendiri.

PASTIKAN anda memberitahu dan meminta izin kepada tuan rumah sebelum berkunjung ke rumah seseorang sebagai contoh menghantar pesanan ringkas sebelum bertandang.

Firman ALLAH di dalam Surah An-Nur ayat 58 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu)”.

Tanyalah pada tuan rumah jika mereka ada masa terluang kerana lebih afdal sekiranya tetamu membuat temu janji sebelum berkunjung.

3. Hormati tuan rumah

Ketika sudah sampai ke rumah yang hendak dituju, berilah salam kepada tuan rumah sebelum masuk. Mintalah izin sebelum masuk sambil menghulurkan tangan kepadanya dan bertanyakan khabar.

Begitu juga apabila hendak pulang, janganlah terus pergi begitu sahaja tanpa meminta izin kepada tuan rumah. Bertemulah tuan rumah terlebih dahulu untuk meminta izin berundur dan beri ucapan terima kasih atas jamuan yang dihidangkan serta mendoakannya supaya murah rezeki dan diberi kesihatan yang baik.

4. Menjaga tingkah laku

Akhlak dan tingkah laku haruslah dijaga semasa sedang berziarah. Rendahkanlah suara ketika bercakap agar tidak menganggu perbualan tetamu yang lain. Sebagai tetamu, perlulah menjaga serta mengawal pandangan dan tingkah laku.

Rasulullah menyarankan agar kita duduk di tempat yang telah dikhaskan oleh tuan rumah apabila berziarah.  Hal ini disebutkan oleh Rasulullah melalui hadisnya yang bermaksud:

Sesiapa yang memasuki majlis sesuatu kaum, hendaklah dia duduk di tempat yang telah disediakan kerana kaum itu (tuan rumah) lebih mengetahui aib rumah mereka.” (Hadis Riwayat Muslim)

AKHLAK dan tingkah laku haruslah dijaga semasa ziarah Raya.

Di samping itu, kawal pandangan mata semasa berkunjung. Janganlah pula meneroka rumah seseorang sesuka hati sahaja sehingga ke bilik tidur mereka. Peliharalah diri daripada perlakuan dan tindakan yang tidak baik sewaktu menziarahi kerana perbuatan tersebut boleh mengganggu ketenteraman atau tidak disenangi oleh tuan rumah.

5. Pendekkan tempoh ziarah

Adab bagi mereka yang bertandang perlu dijaga agar tidak menyusahkan tuan rumah khusunya pada Hari Raya kerana pasti mereka juga menerima banyak kunjungan pada waktu itu.

Apa yang penting ialah kunjungan ketika lebaran itu menggembirakan tuan rumah dan sebagai satu kaedah bagi mengeratkan lagi silaturahim sesama kita selain mencari keberkatan dan keredaan daripada ALLAH.

Semoga Raya tahun ini memberi makna kepada kita semua apabila kita saling berkunjung dan bermaafan antara satu sama lain.

Foto: Pexels

Agama,

5 ciri mukmin berjaya menurut Islam, berikut perinciannya

MUKMIN adalah seseorang yang apabila disebut nama ALLAH SWT gementar hatinya dan apabila dibacakan ayat-ayat al-Quran bertambah keimanannya. Bagi seorang mukmin, hidup adalah rangkaian ibadah yang sangat penting bagi menentukan kedudukan seseorang di akhirat sama ada di syurga atau neraka.

Umat Islam akan menempuh bahtera kehidupan mengikut cara dan acuan yang telah ditetapkan. Orang mukmin sentiasa berusaha untuk memenuhi kehidupannya dengan melakukan ibadah dan kebaikan dengan tujuan memperolehi kejayaan di dunia dan akhirat serta mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang diharamkan oleh syarak.

Antara lima ciri mukmin yang berjaya menurut Islam ialah:

1.Menjaga solat

Islam menyuruh umatnya melakukan solat fardhu yang wajib dilakukan lima waktu setiap hari. Orang mukmin akan berusaha untuk memenuhi hari-hari mereka dengan menunaikan solat dan ibadah-ibadah yang lain, ini kerana manusia yang paling mulia itu adalah apabila ibadah hariannya bermula dengan solat Subuh, kemudian diakhiri pula harinya dengan solat Isyak.

Firman ALLAH yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada permulaan malam”. (Surah Hud, ayat 114)

Terdapat pelbagai kemuliaan bagi orang yang menjaga solatnya. Antaranya ialah dicintai ALLAH, lembut hatinya, wajahnya bercahaya seperti orang soleh dan pelbagai lagi fadilat lain.

 

Kita juga dituntut untuk menjaga hak-hak yang berkaitan dengan solat contohnya adalah solat di awal waktu, menunaikan solat secara berjemaah, menyempurnakan rukuk dan sujud serta segala rukun-rukunnya. Mereka yang menjaga solat dengan segala hak-haknya adalah mereka yang berjaya dan mendapat ganjaran daripada ALLAH.

UNTUK mencapai kejayaan, seseorang perlu memelihara solatnya dengan baik.

Maka seiring dengan itu, terbukalah segala pintu keberkatan yang melimpah ruah dalam kehidupannya termasuk seisi rumahnya. Terdapat hadis qudsi riwayat Imam Ahmad dalam Isamuddin As-Sababati, Baginda bersabda:

“Barangsiapa menunaikan solat pada waktunya, kemudian dia memeliharanya, tidak melalaikannya kerana meremehkan haknya, maka dia mempunyai janji yang pasti AKU penuhi, iaitu AKU akan memasukkannya ke dalam syurga.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad).

Oleh itu, insan yang memelihara solatnya pasti akan diselamatkan daripada bahang api neraka.

2. Menunaikan zakat

Zakat berasal daripada perkataan bahasa arab yang membawa maksud pembersihan. Zakat, sama ada zakat fitrah atau zakat harta, kedua-duanya adalah ibadah yang wajib dilakukan ke atas mereka yang mampu.

Mukmin yang berjaya adalah mereka yang bersedia dan rela ketika mana ALLAH memerintahkan untuk memberikan sebahagian harta yang dimilikinya kepada orang yang berhak (lapan asnaf). Tujuan ALLAH mewajibkan zakat kepada kita adalah untuk menolong mereka yang berhajat dan berhak serta membersihkan harta, kerana di dalam harta kita terdapat hak orang lain.

Zakat merupakan cara yang dapat membersihkan hati daripada sifat-sifat keji yang memberi kesan kepada masyarakat, iaitu sifat berdendam, iri hati dan hasad dengki. Bagaimanapun sifat tersebut akan menjadi barah dalam masyarakat jika tiada lagi sifat berkasih sayang, tolong-menolong dan saling bersimpati.

Fenomena ini bukan hanya propaganda yang dilaung-laungkan sahaja, malah ia telah menjadi satu realiti yang nyata dan bukan fantasi yang direka. Apabila zakat dilaksanakan, hasilnya akan jelas kelihatan dan kesannya yang menakjubkan. Ini berdasarkan firman ALLAH yang bermaksud:

“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk).” (Surah at-Taubah, ayat 103)

Oleh itu, ia dapat membersihkan jiwa daripada sifat hasad dengki dan iri hati serta mengeratkan hubungan persaudaraan walaupun mereka berbeza darjat.

Baca juga Jatuh Murtad Jika Ingkar Tunaikan Zakat? Ini Penjelasannya

3. Memelihara kemaluan

Memelihara kemaluan bukan hanya sekadar memelihara diri dari perbuatan zina, tetapi juga menghindarkan diri daripada perkara yang mendekati zina. Menjaga kemaluan sering dikaitkan dengan menjaga pandangan kerana awal dari segala bentuk perbuatan zina adalah ketidakmampuan kita dalam menjaga pandangan.

Orang yang pandai menjaga kemaluannya adalah orang yang sentiasa menjaga pandangannya. Oleh itu, tip yang paling berkesan dan mujarab untuk menjaga kemaluan adalah dengan menjaga pandangan kita. Sebagaimana firman ALLAH yang bermaksud:

Katakanlah kepada lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan”. (Surah an-Nur, ayat 30)

Pintu masuk perbuatan zina yang paling besar adalah dari pandangan mata. Jadi jagalah pandangan kita agar kemaluan kita juga turut terjaga.

Manusia perlu menjaga kemaluan mereka seperti menjaga mata daripada melihat perempuan yang haram dilihat, menjaga hati daripada membayangkan kecantikan rupa paras perempuan dan menjaga perut daripada makanan yang syubhah dan makan terlalu kenyang.

4. Amanah dan janji

Merupakan perkara yang wajib kita menepatinya, kerana Islam sangat menganjurkan umatnya untuk teguh memegang amanah dan juga janji. Firman ALLAH di dalam al-Quran yang bermaksud:

 “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya (ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan”. (Surah Al-Ahzab, ayat 72)

 

MENJAGA amanah adalah sebahagian daripada iman. Tidak sempurna iman seseorang yang tidak  amanah dalam melakukan sesuatu perkara.

Ayat ini menjelaskan bahawa sesungguhnya tanggungjawab amanah itu sememangnya amat berat, sehinggakan langit, bumi dan gunung-ganang yang besar tidak sanggup memikulnya. Walaupun langit, bumi dan gunung-ganang itu pada pandangan kasar bentuk fizikalnya memang besar berbanding dengan manusia.

Tetapi manusia bersedia untuk memikul amanah yang amat berat ini, sekalipun manusia itu serba serbi memiliki kelemahan dan kekurangan, iaitu suka berbuat zalim dan suka membuat perkara sia-sia yang tidak sepatutnya dilakukan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang amanah itu kerana telah berjaya melaksanakan tanggungjawab yang diberikan oleh ALLAH dan Rasul-NYA.

5. Menjauhi diri dari perbuatan yang sia-sia

Perkara yang sia-sia merangkumi semua perkara yang membawa kepada kelalaian, maksiat dan aktiviti yang tidak berfaedah. Orang mukmin perlu menjaga dirinya daripada terlibat dengan perkara yang melalaikan dan tidak berfaedah.

Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: “Diantara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya (tidak berfaedah baginya)”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi).

Hal ini kerana, perkara yang melalaikan boleh menjauhkan seseorang daripada mengingati ALLAH dan memudahkan hawa nafsu dan syaitan menguasai diri. Ia juga boleh membawa kita ke arah kemaksiatan dan derhaka kepada ALLAH.

Mereka yang dapat menjaga diri daripada terlibat dan terjerumus dengan perkara yang sia-sia adalah orang-orang mukmin yang berjaya.

Sekiranya umat Islam meninggalkan segala perbuatan yang dilarang oleh agama yang tidak ada kena mengena dengan dirinya, nescaya setiap orang akan menjadi seorang yang hebat dan produktif terhadap diri dan agamanya.

Foto: Pexels