Author

Menghina orang yang sudah meninggal dunia
Berita Semasa,

Selamatkan diri dari azab neraka dengan menjaga lidah dan lisan

ALLAH SWT menjadikan manusia sebaik-baik kejadian dengan kurniaan pelbagai nikmat pancaindera terutama nikmat akal untuk berfikir.

Salah satu nikmat terbesar yang dikurniakan kepada manusia adalah lidah. Lidah yang dengannya kita mampu untuk berkata-kata, membaca, menyebut dan merasai makanan yang lazat.

Perkataan yang baik adalah perkataan yang mengandungi kebenaran dan manfaat. Setiap orang diwajibkan untuk berkata yang benar dan tidak boleh berbohong. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Keselamatan manusia tergantung kepada kemampuannya menjaga lisan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Mengikuti perkongsian daripada pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar di laman Facebooknya, beliau berkata jika seseorang mengetahui perkataannya itu tidak memberi manfaat dan menimbulkan permusuhan atau bahaya, maka wajib perkataan itu ditinggalkan.

Baca juga Hanya Kerana Lidah, ALLAH Akan Mencampakkan Muka Seseorang Dahulu Ke Dalam Neraka

“Sesungguhnya, tiada yang dapat merosakkan seorang manusia, mendatangkan kemudaratan dan membunuh ketakwaan dalam diri kecuali lidah yang tidak terkawal. Kemusnahan hidup yang dihadapi masyarakat dicetuskan oleh kata-kata yang tidak bersumberkan maklumat yang betul”.

Dalam menyatakan kepentingan menjaga lidah ini, Rasulullah bersabda: “Hendaklah kamu bercakap benar (jujur) kerana sesungguhnya bercakap benar itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Seseorang itu sentiasa bercakap benar dan berusaha untuk selalu jujur sehingga dia ditulis di sisi ALLAH sebagai orang yang jujur.

Dan jauhilah sifat dusta kerana sesungguhnya dusta itu membawa kepada keburukan dan keburukan itu membawa kepada neraka. Seseorang itu sentiasa berdusta dan berusaha untuk selalu berdusta sehingga dia ditulis di sisi ALLAH sebagai seorang pendusta”. (Hadis Riwayat Muslim)

PERKARA penting yang sering diperingatkan dalam Islam ialah manusia hendaklah menjaga dan memelihara dengan baik penggunaan lidah dan hanya mengeluarkan tutur kaat yang baik.

Keupayaan seorang dalam menjaga lidahnya benar-benar diperhatikan oleh Nabi Muhammad. Dalam sebuah hadis diriwayatkan, seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah:

Wahai Rasulullah, sesungguhnya wanita ini terkenal dengan banyaknya solat, berpuasa dan bersedekah tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya dengan lidahnya.” Lalu Nabi SAW bersabda: “Dia akan masuk ke dalam neraka.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Ketahuilah bahasa orang yang suka menyakiti seseorang sama ada dengan perbuatan atau lisannya (ucapannya), maka orang seperti ini akan dicampakkan ke dalam api neraka di akhirat kelak walaupun dia merupakan seorang yang banyak melakukan ibadah.

Tambah Ustaz Wadi lagi, Rasulullah tidak berhenti untuk memperingati sahabat-sahabat dan umatnya agar menjaga ucapan dan apa pun yang dikeluarkan dari lisan mereka. Jika seseorang itu merasa ragu akan ucapannya akan membawa masalah, sebaiknya ia diam.

Baca juga Memelihara lidah, ilmu, amal, bersangka baik ubat terbaik melawan penyakit hati – Pendakwah

Dalam riwayat lain dari Abu Hurairah ada menyebut: “Sesiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, hendaklah ia berkata baik atau lebih baik diam (jika tidak mampu berkata baik)” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Bagi umat islam yang dapat menahan diri daripada bercakap perkara yang mendatangkan keburukan, dia dijanjikan akan dijauhkan dari api neraka.

JADIKAN zikir sebagai amalan yang sentiasa meniti di bibir.

“Kita juga sangat digalakkan mengingati ALLAH dengan kaedah membasahkan lidah dengan zikrullah serta selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad, katanya.

Jika kita bersyukur dengan nikmat yang telah diperolehi dan sering mengingati akan kematian, maka taraf keimanan juga akan meningkat. Menjaga lidah juga termasuk dalam perbuatan yang meningkatkan keimanan seseorang.

Akhirnya, semoga ALLAH menjadikan kita semua dalam kalangan hamba-hamba-NYA yang sentiasa menjaga lidah serta memasukkan kita ke dalam syurga di akhirat nanti. Aamiin.

Foto: Bola.com & Pexels

pexels-thirdman-7957066
Berita Semasa,

Zikir selamatkan mangsa ‘hilang’ di kebun durian

INSAN yang sentiasa mengingati ALLAH SWT akan beroleh keuntungan abadi di dunia dan akhirat. Mereka yang sentiasa membasahkan lidah dengan zikir akan mendapat penghormatan tinggi serta rahmat daripada ALLAH.

Zikir dan selawat menjadi sumber kekuatan buat seorang pesara kakitangan awam, Yaakub Ismail, 76, sepanjang tempoh seminggu dia dikhuatiri hilang di kawasan kebun durian dan buah-buahan miliknya di Kampung Pasir Dusun di sini, sebelum ditemukan selamat pada Rabu.

YAAKUB yang ditemui selamat selepas 7 hari hilang di Kampung Pasir Dusun.

Yaakub yang hilang sejak 19 Mei itu ditemui oleh orang ramai yang turut serta dalam operasi dan menyelamat (SAR) pada jam 6.45 petang selepas berada dalam sebuah pondok berhampiran kawasan kejadian kira-kira empat kilometer dari kawasan kebunnya.

Anak mangsa, Mohd Sufian Yaakub, 49, berkata, sepanjang tempoh tersebut ayahnya tidak putus-putus berzikir dan berselawat sepanjang perjalanan untuk mencari jalan keluar dari kawasan kebun tersebut.

Baca juga Zikir untuk 100 kebaikan, dijauhkan 100 keburukan

Umum ketahui bahawa sesiapa yang rajin berzikir dan mengingati ALLAH akan dipermudahkan segala urusan, perasaan serta jiwa akan sentiasa tenang walau apa juga cabaran seperti yang dialami oleh Encik Yaakub.

“Ayah juga makan pisang hutan, daun-daun kayu dan minum air daripada lopak-lopak anak sungai bagi meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tersesat di dalam hutan.

“Itu antara cerita yang dikongsikan oleh ayah kepada kami sebaik sahaja dia selamat ditemukan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Menurutnya, dia bersyukur ayah ditemukan dalam keadaan sedar walaupun badan agak lemah selepas mengharungi perjalanan panjang untuk mencari jalan keluar selepas tersesat.

Zikir yang diamalkan oleh beliau telah memberikan kebaikan dan petunjuk oleh ALLAH kerana sentiasa mengingati-NYA dalam apa jua keadaan. Dalam surah Al-Baqarah, ayat 152 ALLAH berfirman yang bermaksud:

Maka ingatlah kepada-KU, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-KU, dan janganlah kamu ingkar kepada-KU.”

Antara zikir mudah yang boleh diamalkan ialah Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Membaca Subhanallah Walhamdulillah Wala Ilaha Illallah Wallahu Akbar lebih aku sukai daripada seisi dunia.” (Hadis Riwayat Muslim)

JADIKAN zikir dan selawat ke atas Nabi SAW sebagai amalan yang sentiasa meniti di bibir.

Katanya, mengikut cerita ayah, dia mahu melihat kawasan kebun sebelah yang baharu diusahakan namun telah terlajak jalan.

Mohd Sofian berkata, ayah telah mencuba laluan baharu dan kemudian tersesat di kawasan tersebut.

“Alhamdulillah, kesihatan ayah bertambah baik pada hari ini dan dia kini sedang berehat di rumah di Kampung Berangan, Tumpat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pengamal perubatan tradisional dan penduduk kampung yang membantu mencari ayah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Ariffin berkata, ketika ditemukan mangsa berada dalam keadaan sedar dan mampu bercakap serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Baca juga Amal zikir ringkas ini, dosa akan berguguran seperti daun

“Mangsa memberitahu sebelum hilang dia keluar dari kebunnya untuk melihat anak pokok getah.

“Kemudiannya, dilaporkan mangsa hilang arah disebabkan tidak tahu jalan untuk kembali semula ke kebun,” katanya.

Menurutnya, mangsa telah dihantar ke Hospital Jeli untuk mendapatkan rawatan sebelum diserahkan kepada pihak keluarga.

Banyak lagi perkara yang tidak diduga akan berlaku dengan izin ALLAH jika kita mengamalkan zikir. Marilah kita semua membasahkan bibir dengan zikir agar mendapat pertolongan ALLAH di dunia dan akhirat.

Foto: Sinar Harian & Pexels

Taat kepada bapa
Berita Semasa,

5 kewajipan anak perempuan kepada ibu bapa meskipun telah bergelar isteri

TUGAS menjaga ibu bapa terutama yang sudah uzur bukan saja terletak di bahu anak lelaki bahkan juga anak perempuan.

Tanggapan anak perempuan terlepas daripada tanggungjawab menjaga ibu bapa selepas berkahwin tidak benar sama sekali. Setiap anak wajib berbuat baik kepada ibu bapa hingga ke akhir hayat mereka.

Setelah bernikah memang menjadi tanggungjawab seorang isteri untuk menumpahkan sepenuh ketaatan kepada suaminya. Namun pada masa yang sama mereka juga wajib berbakti kepada ibu bapa. Hal ini dinyatakan di dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud:

“Keredaan ALLAH SWT itu terletak pada keredaan orang tua, dan murka ALLAH itu terletak pada murka orang tua” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Islam sendiri memberikan perintah kepada muslimah agar mentaati dan mematuhi suami selama mana perintah itu masih di dalam aturan atau syariat Islam.

Namun begitu, pada masa yang sama tentu sahaja ibu bapa yang telah meningkat usia tetap memerlukan perhatian dan pertolongan daripada anak mereka.

Di dalam artikel yang bertajuk ‘Kewajipan anak perempuan setelah menikah’ seperti yang di petik di laman sesawang Hukum Islam, mencatatkan beberapa tatacara yang perlu difahami oleh setiap Muslimah tentang adab terhadap ibu bapa meskipun telah bergelar isteri.

Baca juga Usah lupa enam perkara ini setelah ibu bapa meninggal dunia

1. Sentiasa mendoakan ibu bapa

Mendoakan kebaikan dan kesejahteraan buat orang tua juga merupakan satu kewajiban anak setelah berkahwin. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

GANJARAN pahala sangat besar buat anak-anak yang mendoakan ibu bapa.

“Bila seorang manusia sudah meninggalkan doa kepada kedua-dua orang tuanya maka rezekinya akan terputus.” (Hadis Riwayat Ad Dailami)

2. Tetap taat kepada orang tua

Seorang muslimah wajib taat dan berbakti kepada orang tuanya. Orang tua tentu saja menginginkan yang terbaik untuk anaknya walaupun sudah berkahwin. Untuk itu, anak perempuan wajib menghormati dan terus berbakti kepada mereka.

Ada anak yang melupakan orang tuanya setelah berkahwin. Padahal, orang tua wajib dihargai sebagaimana mereka telah memberikan kasih sayang dan perhatian yang tulus dari kecil hingga dewasa.

3. Berikan sokongan kewangan dan khidmat

Ketika orang tua semakin meningkat usia, kehidupan mereka akan semakin sukar dan pastinya memerlukan bantuan daripada anak-anak.

Salah satu bantuan yang boleh diberi adalah daripada segi kewangan. Apatah lagi kalau mereka sudah terlalu uzur, tentulah sangat memerlukan sokongan anak-anak untuk kelangsungan hidup.

4. Selalu bertanya khabar kedua ibu bapa

Kadang kala kita terlupa untuk sentiasa bertanya khabar ibu bapa di kampung. Jangan begitu. Sebaiknya telefonlah ibu bapa setiap hari walaupun hanya beberapa minit untuk berbual dengan mereka. Mungkin juga boleh berutus berita menerusi aplikasi WhatsApp atau Telegram.

SERINGLAH hubungi  ibu bapa di kampung atau membuat panggilan video untuk mengubati rindu mereka kepada anak-anak.

 

Hal ini bertepatan dengan seruan pengukuhan silaturrahim seperti mana dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud:

Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada ALLAH yang kamu selalu meminta dengan menyebut nama-NYA, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya ALLAH sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.” (Surah an-Nisaa’, ayat 1)

Baca juga ‘Ibu bapa jangan ‘sempitkan’ peranan dengan hanya besarkan anak dan beri kesenangan material’

5. Melayan kedua ibu bapa dengan penuh kasih sayang

Orang tua biasanya lebih sensitif dan mudah terasa. Itulah sebabnya kita sebagai anak wajib menjaga setiap kata-kata, perbuatan dan layanan terhadap ibu bapa agar tidak melukakan hati mereka. Layanan yang baik adalah satu cara untuk menujukkan rasa sayang dan hormat kepada ibu bapa.

Untuk mencari bekalan pahala yang banyak di akhirat nanti, jagalah ibu bapa, terutama ibu bapa yang sakit, kerana di situlah letaknya ladang pahala.

Semoga kebaikan yang anda berikan kepada orang tua akan beroleh ganjaran yang sangat besar buat anda sekeluarga, selain mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat kelak.

Foto: Pexels & Twitter

pexels-victoria-borodinova-7067996
Berita Semasa,

Hukum wanita memakai gelang kaki, berikut perinciannya

WANITA dan perhiasan tidak dapat dipisahkan. Tidak kiralah perhiasan diri mahupun rumah. Sebagai Muslimah, setiap kali mengenakan perhiasan perlulah ada hadnya.

Ia tidak boleh terlalu menonjol atau berlebihan. Sebagai contoh penggunaan gelang kaki sebagai perhiasan.

Menurut pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus di laman Facebooknya, beliau menjawab persoalan yang diajukan berkenaan hukum wanita memakai perhiasan emas pada kaki.

Jelas beliau, kaum wanita diharuskan memakai perhiasan sama ada emas atau lainnya dengan syarat bukan kerana menunjuk-nunjuk kepada lelaki ajnabi (lelaki asing yang halal dinikahi) dan menyombongkan diri atau dengan kadar yang melampau banyaknya.

“Begitu juga dengan gelang kaki maka harus kaum wanita memakainya sama ada gelang emas, perak, plastik atau lainnya tetapi tidak dihentakkan kakinya atau dipakainya kain yang singkat atau dilipat akan kaki seluarnya dengan tujuan supaya orang mengetahui akan perhiasan yang ada pada kakinya itu, katanya.

Baca juga Apakah sebenar hukum wanita mewarnakan kuku menurut Islam?

ALLAH melarang perempuan menghentakkan kaki supaya gelang kaki itu berbunyi dan bertujuan menarik perhatian lelaki.

BAGI wanita yang memakai gelang kaki berloceng, bila berjalan ia dapat menghasilkan bunyi dan perbuatan itu sangat dilarang dalam Islam.

Firman ALLAH yang bermaksud: “Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada ALLAH, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur, ayat 31)

Imam Al- Izz Al-Salam mngulas hadis ini menyatakan, mereka para wanita apabila berjalan sambil mnghentakkan kakinya bertujuan untuk mengeluarkan bunyi gelang kakinya maka larangan akan perbuatan tersebut.

Maka diketahui bahawa kaum wanita harus memakai gelang kaki kerana yang dilarang bukannya memakai gelang kaki, tetapi menunjuk-nunjuk kepada bukan mahram.

Sebahagian ulama memakruhkan memakai gelang yang ada loceng manakala sebahagian ulama pula mengharuskannya.

“Diharuskan bagi kaum wanita memakai perhiasan emas, perak dan segala permata yang biasa kaum wanita memakainya seperti gelang tangan, gelang kaki, subang, cincin, perhiasan yang dipakai pada wajahnya lehernya, tangannya, kakinya, telinganya, dan lainnya.

Sestengah ulama mensyaratkan jangan gelang itu terlalu besar atau kecil tetapi terlalu banyak kerana ia termasuk melampau pada berhias kerana berlebihan atau melampau itu tidak disukai oleh ALLAH.

Baca juga Cara pengiraan zakat emas, pakai atau pun tidak, wajib dizakatkan

Oleh itu, dapat disimpulkan di sini, pemakaian gelang kaki mestilah:

  • Bukan bertujuan untuk tabarruj serta menarik perhatian golongan lelaki ajnabi.
  • Bukan bertujuan untuk ujub, riak dan takabbur.
  • Tidak berlebihan dan melampaui batas di dalam pemakaikan sehingga menyebabkan pembaziran.

Apabila dihadapan mahramnya, ia harus mendedahkan gelang kaki dan segala perhiasan yang istimewa kepada suaminya.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Pexels

pexels-michael-burrows-7129750
Berita Semasa, Uncategorized,

4 langkah mudah bangun tahajud dan qiamullail

QIAMULLAIL adalah anugerah istimewa ALLAH SWT kepada hamba-NYA yang beriman. Kemampuan terjaga di malam hari daripada tidur yang selesa dan meninggalkan dakapan orang tersayang semata-mata kerana ALLAH, bukanlah perkara yang mudah untuk dilakukan.

Tidak hairan sekiranya ALLAH menjelaskan hanya sebahagian kecil hamba-NYA sanggup bangun berqiamullail. Kesanggupan seorang hamba bangun menghadap Tuhannya adalah kemuliaan bagi orang beriman.

Kemuliaan ini akan melahirkan sifat yang terpuji dan ketinggian iman kepada seseorang. ALLAH menggesa hamba-NYA agar melakukan solat malam dalam erti kata untuk membangunkan ketinggian rohani dalam diri seseorang.

Firman ALLAH yang bermaksud: “Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta bertahajudlah padanya, sebagai solat tambahan bagimu. Semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa):

“Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia serta keluarkanlah aku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia dan berikanlah kepadaku daripada sisi-MU hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.” (Surah al-Isra’, ayat 79-80)

Baca juga Nak qiamullail tak semestinya kena berjaga tengah malam…

4 langkah mudah yang boleh dilakukan ialah:

1. Berniat dan berazam

Azam yang kuat perlu ada dalam diri seorang mukmin yang mahu bangun malam bagi beribadah. Tidak memadai sekadar angan-angan kosong ataupun tidur dalam keadaan tidak bercadang mahu bangun.

Apabila bertekad mahu bangun, seseorang itu pasti melakukan pelbagai usaha bagi membolehkan dia bangun untuk menunaikan solat dan memberikan impak yang positif kepada orang yang kuat keazamannya. Tanpa azam yang tinggi, orang yang terjaga malam pun belum tentu kuat untuk mendirikan solat sunat dua rakaat sekalipun.

ALLAH akan memberi ganjaran kepada niat dan azam hamba-NYA yang mahu bangun menyembah-NYA pada waktu malam. Oleh itu, apabila seseorang itu tidak bangun sehingga subuh, ALLAH tetap memberikan ganjaran lumayan atas keinginannya itu.

Saidatina Aisyah RA menyatakan perkara ini berdasarkan penjelasan yang didengari daripada suaminya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berniat mengerjakan solat pada waktu malam, tetapi tertidur, pasti Allah menetapkan baginya ganjaran solatnya. Sementara tidurnya adalah sedekah untuknya.”  (Hadis Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud)

2. Tidur sekejap di siang hari

Qailullah ialah tidur sebentar pada waktu siang sebelum ataupun selepas zohor. Pejamkan mata 15-30 minit. Ia bertujuan merehatkan diri dan menghilangkan rasa mengantuk akibat tidak cukup tidur ataupun keletihan.

NABI Muhammad telah mengamalkan amalan qailullah sejak usia muda untuk memudahkan baginda bangun melakukan ibadah di tengah malam.

Rehat yang baik seperti ini membantu seseorang itu bangun pada malam hari. Anas bin Malik melaporkan daripada Ibnu Abbas, Rasulullah bersabda: “Mohon pertolongan bagi berpuasa pada siang hari dengan sahur, dan berqiamullail dengan qailullah”.

Jelaslah bahawa tidur sekejap di siang hari itu memudahkan seseorang untuk bangun solat di waktu malam serta dapat merehatkan diri dan fikiran walaupun hanya sekejap.

3. Berwuduk sebelum tidur

Wuduk bukan sahaja berfungsi sebagai sarana untuk membersihkan diri dari hadas kecil. Namun begitu, wuduk juga mempunyai banyak fadilat dan manfaat untuk kehidupan seharian terutama apabila dilakukan sebelum tidur. Tidak hairanlah, jika Nabi Muhammad selalu berpesan kepada setiap umat Islam agar sentiasa memperhatikan wuduknya.

Salah satu kelebihan berwuduk sebelum tidur ialah perasaan akan lebih tenang dan tenteram.  Selain itu, air wuduk juga dapat menjadikan otot-otot dalam badan lebih relaks dan kualiti tidur juga akan sentiasa terjaga. Dalam hadis al-Bara’ Bin A’zib, Rasulullah berkata:

“Apabila kamu ingin masuk tidur, maka ambillah wuduk dengan cara berwuduk untuk solat.”

Setiap muslim yang berwuduk, ALLAH akan mengampuni kesalahannya. Berwuduk sebelum tidur juga dapat meningkatkan darjat seseorang dan akan sentiasa diberi kesabaran apabila berhadapan dengan perkara yang tidak disukai. Oleh itu, setiap muslim hendaklah berwuduk sebelum tidur agar sentiasa sentiasa dilindungi dan dirahmati.

Baca juga Berwuduk dalam keadaan tidak berpakaian, sah atau tidak?

4. Menjaga pemakanan

Bagi mereka yang mahu bangun malam, kawalan makanan perlu dihadkan terutama pada waktu malam. Elakkan makan terlalu banyak terutamanya makanan yang berat seperti nasi, mi, pizza, burger dan sebagainya.

Makanan yang diambil pada waktu malam terutamanya selepas Isyak memaksa sistem pencernaan bekerja keras sepanjang malam bagi memproses semua makanan ini. Dalam proses ini, sudah tentu banyak tenaga digunakan. Kesannya, orang yang banyak makan pasti berasa begitu letih sehingga tertidur dengan nyenyak.

BAGI mereka yang mahu bangun malam, kawalan makanan perlu dihadkan terutama pada waktu malam.

Sekiranya dia dapat bangun pada pertengahan malam, dia juga berasa malas bagi melaksanakan solat. Rasulullah menasihati para sahabat supaya bersederhana dalam perihal makan dan tidak berlebihan agar tidak memudaratkan kesihatan dan memberi kelebihan untuk sesiapa yang ingin menunaikan solat malam juga dipermudahkan.

Solat tahajud dan qiamullail adalah tawaran yang sangat berharga diberikan oleh ALLAH kepada hamba-NYA agar kita dapat mendekatkan diri untuk menjadi lebih baik. Ia merupakan satu kerugian jika kita meninggalkan atau tidak melakukan solat tersebut. Pada awalnya, pastilah sukar untuk bangun di tengah malam, namun sesiapa yang berusaha pasti akan mendapat ganjaran.

Semoga kita tergolong dalam golongan yang mendapat keistimewaan bagi mereka yang bangun untuk menunaikan solat tahajud dan qiamullail.

Foto: Pexels

pexels-nikhil-manan-9677167
Berita Semasa,

Keistimewaan hari Jumaat yang perlu anda ketahui

HARI Jumaat merupakan hari yang amat istimewa bagi kaum Muslimin. Banyak kelebihan yang ada pada hari Jumaat dan keutamaan yang disediakan oleh ALLAH SWT kepada hamba-hamba-NYA.

Pada hari Jumaat juga, terkumpul banyak fadilat seperti yang dinukilkan dalam al-Quran dan as-Sunnah. Di antaranya ialah daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Solat lima waktu, Jumaat kepada Jumaat berikutnya merupakan kafarah (penghapus dosa) di antara keduanya selagi tidak melakukan dosa besar.” (Hadis Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi menyatakan setiap yang disebut di dalam hadis tersebut boleh menghapuskan dosa sekiranya terdapat dosa kecil untuk dihapuskan. Sekiranya tidak terdapat dosa kecil atau besar, maka akan dicatat baginya kebaikan dan diangkat darjatnya.

Sekiranya terdapat dosa besar dan tidak terdapat dosa kecil, mudah-mudahan perkara tersebut dapat meringankan dosa besar yang dilakukan.

Memetik artikel yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Perlis yang bertajuk ‘Keistimewaan Jumaat’ ada berkongsi beberapa keistimewaan hari Jumaat yang umat Islam perlu tahu dan amalkan:

1. Penghulu segala hari

Hari Jumaat adalah hari yang teramat istimewa kerana Islam meletakkan hari Jumaat sebagai ketua dan ganjarannya lebih banyak berbanding dengan hari-hari yang lain. Dalam suatu hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ada menyebut:

“Jumaat dinamakan sebagai ‘Sayyidul ayyam’ iaitu penghulu segala hari (sebaik-baik hari).”

Dari Abu Lubabah bin Ibnu Mundzir RA, Rasulullah ada berkata yang bermaksud: “Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling mulia di sisi ALLAH. Hari Jumaat ini lebih mulia dari Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

“Pada hari Jumaat terdapat lima peristiwa iaitu diciptakannya Adam A.S dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat Adam dimatikan, di hari Jumaat juga terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada ALLAH maka akan dikabulkan selagi tidak memohon yang haram, dan di hari Jumaat juga akan berlakunya kiamat. Tidaklah seseorang Malaikat yang dekat di sisi ALLAH, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat.” (Hadis Riwayat Ahmad)

2. Hari bagi kaum Muslimin

Hari Jumaat adalah hari berkumpulnya umat Muhammad dalam masjid untuk mengikuti solat Jumaat dan sebelumnya mendengar dua khutbah Jumaat yang mengandungi wasiat bertaqwa dan nasihat-nasihat, serta doa.

ALLAH berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati ALLAH dan tinggalkanlah jual beli yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”  (Surah Al-Jumaah, ayat 9)

Baca juga Mengapa Rasulullah membaca surah al-Sajadah hari Jumaat?

3. Hari mustajab untuk berdoa

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdoa) kepada ALLAH sesuatu kebaikan, melainkan ALLAH memakbulkan doanya atau ia meminta ALLAH melindunginya daripada sesuatu kejahatan.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

ADA satu masa yang istimewa di mana waktu itu (hari Jumaat) ALLAH akan memakbulkan doa-doa hamba-NYA.

Hari Jumaat adalah masa yang mustajab untuk berdoa terutama pada dua waktu terbaik iaitu di antara:

a) Imam duduk di atas mimbar sehingga selesainya solat Jumaat.

b) Pada akhir waktu Asar.

Ibnu Qayyim al-Jauzi mengatakan bahawa di antara sekian banyak pendapat ada dua yang paling kuat, sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis yang sahih, pertama saat duduknya khatib sampai selesainya solat. Kedua, sesudah Asar, dan ini adalah pendapat yang terkuat dari dua pendapat tadi.

4. Hari meraih pahala

Orang yang hadir dan menunaikan kewajipannya untuk solat Jumaat akan mendapat pahala untuk setiap langkahnya ke masjid, setara dengan pahala ibadah satu tahun solat dan puasa.

Baca juga Jangan lepaskan peluang berdoa pada hari Jumaat, ini sebabnya

Aus bin Aus berkata bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, kemudian bersegera berangkat menuju masjid, dan berada di saf hadapan kemudian dia berdiam, maka setiap langkah yang dia ayunkan akan mendapat pahala puasa dan solat selama satu tahun, dan itu adalah hal yang mudah bagi ALLAH.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Ashabus Sunan)

5. Meninggal pada hari Jumaat sebagai tanda ‘Husnul khatimah’

Meninggal dunia pada malam hari Jumaat atau siangnya adalah penanda ‘husnul khatimah’, iaitu dibebaskan dari fitnah (azab) kubur.

Diriwayatkan oleh Ibnu Amru, bahawa Rasulullah bersabda: “Setiap Muslim yang mati pada siang hari Jumaat atau malamnya, nescaya ALLAH akan menyelamatkannya dari fitnah kubur.” (Hadis Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)

6. Hari berlakunya kiamat

Jumaat merupakan hari yang selalu dikaitkan dengan berlakunya ‘kiamat’ iaitu hari pembalasan.  Dalam suatu hadis, Rasulullah ada menyebut bahawa:

“Pada hari Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada ALLAH melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat. Hari yang disaksikan ialah hari Arafah, dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.”

BERIMAN dengan hari kiamat adalah termasuk di dalam rukun Iman dan wajib ke atas kita untuk beriman dengannya.

Sabda Rasulullah juga: “Pada hari itu kiamat akan terjadi dan tidaklah seorang pun malaikat muqarrabun pun di sisi ALLAH melainkan ia takut pada hari Jumaat, tetapi tidak langit dan tidak bumi melainkan ia merasa kasih pada hari Jumaat.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)

Kesimpulannya, hari Jumaat merupakan hari yang agung disebabkan ia mempunyai banyak kelebihan, keistimewaan, dan kemuliaan berbanding hari-hari yang lain.

Untuk itu, kita sebagai seorang muslim sama ada lelaki atau wanita perlulah mengambil berat berkaitan perkara ini terutamanya pada hari-hari yang agung seperti hari Jumaat ini agar kita tidak mensia-siakan kebesaran hari tersebut.

Akhirnya, semoga ALLAH menjadikan kita hamba-hamba-NYA yang ikhlas dalam beribadah kepada-NYA serta memberi kita kekuatan untuk terus beristiqamah dalam melakukan amal soleh.

Foto: Pexels & Merdeka.com

Guru
Isu,

Adab merupakan syarat penting dalam menuntut ilmu, ini penjelasannya

GURU umpama lilin yang membakar diri demi menerangi orang lain. Maksud peribahasa ini jelas menerangkan bahawa seorang guru sanggup berkorban masa dan tenaga demi memastikan anak didiknya berjaya dalam kehidupan.

Mengajar adalah salah satu pekerjaan yang paling mulia. Selain berkongsi ilmu, guru juga berperanan membentuk sahsiah para pelajar agar berguna untuk masyarakat.

Islam mengajar kita supaya menghormati guru sepertimana kita menghormati ibu bapa kerana guru umpama pengganti kedua orang tua ketika di sekolah ataupun di tempat-tempat menuntut ilmu. Ini kerana ilmu yang dituntut dengan adab yang baik adalah ilmu yang di dalamnya penuh dengan keberkatan.

Pesan Imam Malik RA: “Pelajarilah adab sebelum mempelajari sesuatu ilmu.”

Ia jelas menunjukkan bahawa bukan sahaja ilmu penting dalam kehidupan manusia, tetapi adab juga penting dalam proses menuntut ilmu. Ilmu bersama adab pastinya akan memberi lebih keberkatan dan manfaat dalam hidup seseorang.

Menerusi laman sesawang Institut Kefaham Islam Malaysia di bawah tajuk “Adab syarat penting cari ilmu, berguru dalam Islam” mencatatkan beberapa adab terhadap guru yang perlu kita terapkan ketika menuntut ilmu:

1.  Memberi salam kepada guru

Selain dapat mewujudkan sikap hormat menghormati antara murid dengan guru, memberi salam juga adalah sunnah baginda Rasulullah SAW untuk merapatkan lagi hubungan persaudaraan antara murid dengan guru.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Mereka tidak akan masuk syurga sehingga mereka beriman dan tidak beriman mereka itu sehingga mereka berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang mana apabila kalian mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi sesama kalian? Sebarkanlah salam sesama kalian.” (Hadis Riwayat Muslim)

Maka, dengan memberi salam kepada guru dapat memupuk perasaan kasih sayang kepada guru, bukan sahaja sebagai seorang manusia, malah sebagai salah seorang insan yang mencurahkan keringatnya untuk memberi ilmu kepada kita.

2. Bercakap menggunakan perkataan yang sopan

Lisan yang sopan juga merupakan salah satu adab berguru. Orang melayu khususnya sangat menitikberatkan kesopanan serta kesusilaan dan ia sangat penting untuk diterapkan dalam diri seorang pelajar.

BERSOPAN santun dengan guru ketika bercakap dan bertanya soalan.

Rasulullah yang sentiasa menggunakan perkataan yang elok untuk berbicara dengan sesiapa dan tidak pernah menggunakan bahasa yang kesat. Ini disebutkan di dalam satu hadis daripada Anas RA yang bermaksud:

“Selama sepuluh tahun aku berkhidmat untuk Rasulullah, aku tidak pernah mendengar baginda mengucapkan ‘ah’, sebagaimana baginda tidak pernah bertanya ‘apa yang kau lakukan’, ‘kenapa kamu lakukan ini? atau ‘bukankah seharusnya kamu melakukan seperti ini.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Baca juga Jaga-jagalah pertuturan kita, ia umpama suatu doa… Ramai yang tak sedar tentang perkara ini

3. Menghormati guru

Dalam Islam, Rasulullah mendidik kita agar menghormati bahkan memuliakan guru. Dalam sebuah hadis, al-Imam Ahmad menjelaskan bagaimana Rasulullah mendidik sahabat memberikan hak dan penghormatan kepada guru.

ISLAM mengajar kita supaya menghormati dan memuliakan guru.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Bukanlah di kalangan umatku mereka tidak memuliakan orang yang lebih tua, mereka yang tidak menyayangi anak kecil dan mereka yang tidak memberikan hak kepada guru kami.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Hadis ini jelas menyatakan bahawa Nabi sangat memualiakan gurunya. Beliau juga mendidik para sahabat untuk saling menghormati antara golongan muda dan tua bahkan wajib memberi penghormatan kepada guru.

4. Mendoakan kesejahteraan guru

Kita juga digalakkan untuk mendoakan guru-guru dengan doa yang baik. Sesungguhnya, setiap doa yang baik akan kembali kepada pendoanya. Tidak rugi jika kita mendoakan orang lain kerana doa juga merupakan hadiah terbaik buat semua orang termasuk guru yang telah banyak memberi ilmu.

Baca juga 7 Teknik berdoa yang bakal menjemput Rahmat ALLAH

ALLAH SWT berfirman di dalam al-Quran surah Al-Mukmin ayat 60 yang bermaksud: “Berdoalah kepada-KU (Kepada ALLAH), nescaya akan KU perkenankan bagimu”.

Guru telah banyak memberikan cahaya di dalam gelap buat kita. Mendoakan kebaikan dan kesejahteraan untuk mereka adalah antara cara untuk menunjukkan ingatan serta kasih sayang kepada mereka. ALLAH tidak akan mempersiakan doa hamba-NYA buat guru mereka.

5. Membuat kerja yang diberikan dengan bersungguh-sungguh

Bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara bermaksud menyempurnakan sesuatu tuntutan dengan sesempurna mungkin dengan niat yang ikhlas.

ALLAH sangat memuliakan mukmin yang membuat sesuatu pekerjaan dengan penuh ketaatan.

Di dalam sebuah hadis daripada Aisyah RA, bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya ALLAH kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah dibuat secara tekun.” (Hadis Riwayat Imam al-Baihaqi)

ALLAH sangat mengasihi hamba-NYA yang melakukan sesuatu perkara dengan tekun, apatah lagi tugasan yang diberikan oleh guru dan menyiapkan semua tugasan yang diberikan. Ia akan mendapat keredaan daripada guru kerana telah melaksanakan tugasan dengan bersungguh-sungguh.

Jelaslah bahawa kita sebagai murid perlu taat dan mendengar setiap arahan guru sebagaimana yang telah diperintahkan oleh ALLAH. Oleh itu, peliharalah adab antara pelajar dan guru dalam mencari keberkatan ketika menuntut ilmu agar memmperolehi kejayaan dunia dan akhirat.

Foto: Pexels

Untitled design (5)
Isu,

Usah lupa enam perkara ini setelah ibu bapa meninggal dunia

SETIAP insan yang bernyawa pasti akan menemui ajal tidak cepat atau lambat walau sesaat pun. Apabila terpisahnya roh daripada jasad maka ia juga sebenarnya telah terpisah daripada alam dunia.

Pemergian ibu bapa sudah tentu menjadi suatu kehilangan yang besar kepada anak-anak yang ditinggalkan. Namun, sebagai manusia kita perlu reda dan meneruskan kehidupan seperti sediakala tanpa kehadiran mereka.

Dengan itu, segala perkara atau amalannya ketika di dunia akan terputus daripadanya melainkan tiga perkara berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila matinya seseorang insan maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh (atau solehah) yang mendoakan kedua ibu bapanya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Hakikatnya, sekalipun mereka telah tiada, masih ada beberapa amalan dan bakti yang boleh kita lakukan agar roh mereka tenang di alam sana.

Laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan, ada mencatatkan enam amalan murni yang patut dilakukan oleh si anak setelah ibu bapa mereka meninggal dunia.

Antaranya ialah:

1. Menguruskan jenazah ibu bapa

Setelah ibu bapa meninggal dunia, perkara pertama yang boleh dilakukan untuk berbakti kepada mereka ialah menguruskan jenazah mereka secepat mungkin. Meskipun biasanya pengurusan jenazah dilakukan oleh pihak yang mahir dan terlatih, namun ambillah peluang terakhir untuk menguruskan jenazah ibu bapa.

Jika tidak tahu, maka ini masa untuk mula belajar kerana anak-anak sebaiknya terbabit secara langsung dalam memandikan, mengkafan, menyolatkan dan mengebumikan jenazah.

2. Melunaskan hutang ibu bapa

Sesungguhnya roh seorang anak Adam itu terhalang kerana hutang, hatta semua dosa akan diampunkan bagi orang yang mati syahid kecuali hutang. Maka jika ibu bapa masih mempunyai hutang yang belum dibayar, usahakanlah untuk melunaskan hutang tersebut.

KETIKA ibu bapa sudah meninggal dunia, anak-anak perlu melunaskan hutang arwah semasa hidup.

Jika anak dan ahli keluarga tidak mampu, maka umat Islam perlu saling membantu untuk melunaskannya. Sebaiknya bertemulah dengan pihak yang memberi hutang supaya boleh berbincang dengan lebih lanjut.

Sama juga dalam hal ibadah. Jika ibu bapa pernah berniat untuk melakukan ibadah haji dan mereka tidak sempat untuk melaksanakannya, maka kita boleh menunaikan ibadah tersebut bagi pihak mereka.

Baca juga Utamakan Hutang Berbanding Sedekah Walaupun Kepada Ibu Bapa

3. Melaksanakan wasiat yang ditinggalkan

Wasiat bermaksud apabila seseorang semasa hayatnya telah berikrar berkaitan harta atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau sebarang maksud yang dibenarkan hukum syarak selepas seseorang itu mati.

Wasiat ibu bapa yang ditinggalkan kepada anak-anak perlu ditunaikan selagi tidak melanggar hukum Islam. Hal ini termasuklah janji-janji semasa hayat mereka dahulunya yang perlu anak-anak tunaikan.

4. Mendoakan ibu bapa

Doa merupakan penghubung yang paling dekat antara anak-anak dan ibu bapa yang telah meninggal dunia. Tidak ada perkara yang lain mereka mahukan kecuali doa-doa daripada anak yang soleh.

GANJARAN pahala sangat besar buat anak-anak yang mendoakan ibu bapa.

Setiap kali selesai mendirikan solat, jangan lupa untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa agar roh mereka tenang di alam sana dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Antara doa yang diajarkan di dalam al-Quran ialah seperti berikut:

Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra’, ayat 24)

Baca juga 70,000 malaikat mendoakan kita bila lakukan amalan ini

5. Meneruskan perkara yang baik dan hentikan yang buruk

Semasa ibu bapa masih hidup, mereka sering melakukan amalan membantu fakir miskin dan juga turut bersedekah buku-buku untuk kegunaan kanak-kanak yang memerlukan, atau ibu selalu memberi makanan kepada anak-anak yatim, maka seeloknya amalan tersebut diteruskan.

Oleh itu, marilah kita berbuat kebaikan dan mengamalkan apa yang telah diajarkan oleh ibu bapa kita kerana mereka akan mendapat pahala ilmu yang bermanfaat yang telah kita lakukan itu nanti.

Sebaliknya, jika mereka ada melakukan kesalahan yang bertentangan dengan syariat seperti pernah berselisih faham dengan seseorang, maka pergilah berjumpa pihak tersebut untuk meminta maaf.

6. Sedekah jariah untuk ibu bapa

Perbanyakkan bersedekah terutama sedekah jariah seperti pembinaan sekolah agama, masjid, rumah anak yatim dan mewakafkan tanah perkuburan orang Islam dan niatkan untuk mereka iaitu ibu bapa kita jika berkemampuan.

Sedekahkan al-Quran, kitab, buku-buku Islam di sekolah-sekolah agama atau Maahad Tahfiz atau di mana-mana masjid serta niatkan untuk kedua-dua ibu bapa kita yang telah meninggal dunia itu.

Marilah sama-sama kita berusaha memberi saham yang terbaik untuk kedua-dua orang tua kita yang telah meninggal dunia. Amalkanlah amalan-amalan di atas untuk terus berbakti kepada mereka yang tersayang yang telah pergi meninggalkan kita.

Foto: iNews & Pexels

Untitled design (4)
Isu,

Berwuduk dalam keadaan tidak berpakaian, sah atau tidak?

SALAH satu syarat sah solat adalah wuduk. Bukan hanya gerakan, umat Islam juga dianjurkan untuk memerhatikan adab dan etika ketika hendak menunaikan solat.

Menutup aurat merupakan hal yang sering dipertanyakan dalam Islam. Suruhan untuk menutup aurat ketika mengambil wuduk tidak ada dinyatakan sebagai satu perkara wajib atau sunat untuk dilakukan

Akan tetapi, di dalam bab mandi ada dinyatakan bahawa menutup aurat adalah satu daripada perkara sunat.

Namun begitu, ia berlainan pada keadaan mengambil wuduk atau mandi tanpa berpakaian di tempat awam, maka hukumnya jelas wajib untuk menutup aurat. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud:

“Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki dan begitu juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita.” (Hadis Riwayat Muslim)

BERWUDUK termasuk dalam perkara ibadah yang perlu disempurnakan.

Dalam sebuah lagi hadis, daripada Muawiyah bin Haidah, beliau berkata yang bermaksud: “Saya bertanya: “Wahai Nabi ALLAH, aurat kita manakah yang harus kita tutup dan manakah yang boleh kita nampakkan?” Nabi menjawab: “Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba wanitamu.”

Baca juga Ini Perkara Makruh Ketika Wuduk Yang Sering Dilakukan Tanpa Sedar

Saya bertanya: “Jika lelaki bersama lelaki?” Nabi menjawab: “Jika engkau mampu agar auratmu tidak dilihat oleh sesiapa maka (usahakan) jangan sampai ada orang yang boleh melihatnya.” Saya bertanya: “Wahai Nabi ALLAH, jika berada dalam keadaan sendirian?”

Nabi menjawab: “ALLAH lebih berhak baginya untuk malu terhadap-NYA daripada (malu) terhadap manusia”. (Hadis Riwayat al-Tirmidzi)

Menurut Mazhab Syafie, wajib kepada seseorang muslim yang berada di dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup untuk menutup aurat.

Pandangan ini juga disokong oleh ulama dari kalangan Mazhab Hanafi dan Hanbali. Adapun begitu, dari kalangan ulama Mazhab Maliki pula, mereka menyatakan sunat untuk menutup aurat ketika berada dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup.

Namun begitu, dibenarkan seseorang itu untuk tidak menutup aurat ketika bersendirian dengan syarat ia perlu disertakan dengan hajat seperti mandi atau untuk menyejukkan badan.

Justeru, dalam keadaan tidak memakai pakaian ketika wuduk adalah sah tetapi tidaklah dilakukan di tempat terbuka atau dilihat oleh orang lain.

Begitu juga sepatutnya seseorang Muslim hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain. Walaupun sah wuduknya tetapi dia berdosa kerana mendedahkan aurat kepada orang yang haram melihatnya.

Baca juga Ramai ingat suara wanita itu aurat, tapi sebenarnya…

Jelaslah tidak dinyatakan sebagai perkara sunat atau wajib untuk menutup aurat ketika mengambil wuduk tetapi adalah baik untuk menutup aurat seperti yang disunatkan ketika mandi.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Sinar Harian & Pexels

Untitled design (2)
Isu,

5 adab ziarah kubur yang perlu anda ketahui

ZIARAH kubur merupakan salah satu budaya yang sering dilakukan oleh masyarakat. Dalam agama Islam, ziarah kubur termasuk kegiatan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk saling mendoakan pada orang-orang yang telah meninggal dunia.

Bukan itu sahaja, ziarah kubur juga memiliki hikmah lain yang perlu direnungi setiap manusia. Berziarah ke makam orang yang telah meninggal tentu mengingatkan manusia bahwa tidak ada yang kekal di dunia.

Semua orang akhirnya akan kembali pada pencipta-NYA. Manusia penuh dengan sifat rapuh dan tidak berdaya. Firman ALLAH dalam Surah an-Nisa, ayat 78 yang bermaksud:

Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sudah sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh”.

Islam sebagai agama yang syumul tidak meninggalkan sesuatu amalan atau perkara melainkan ia memberi manfaat dan menjauhkan kita dari apa yang memudaratkan. Antaranya ialah amalan ziarah kubur di mana Islam telah memberikan sejumlah adab yang perlu kita perhatikan, iaitu:

1. Membetulkan niat

Adab ziarah kubur yang pertama adalah niat dengan hati yang tulus dan ikhlas. Semua masyarakat yang datang ziarah harus menghadirkan hatinya saat mendatangi makam. Datanglah dengan tujuan yang baik kerana ia dapat memberi manfaat kepada si mati.

Islam sangat menganjurkan siapa saja yang berziarah kubur harus diawali dengan niat yang baik untuk mendapatkan reda ALLAH. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:

“Dahulu aku telah melarang kalian dari menziarahi kubur, sekarang berziarahlah kerana sesungguhnya ia dapat melembutkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan kepada Hari Akhirat. Akan tetapi, janganlah kalian berkata-kata dengan perkataan yang keji dan batil.” (Hadis Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasai, Ibn Majah dan Ahmad)

Baca juga Betulkan niat masa tolong orang, kelak ALLAH akan bantu kita

2.Berwuduk

Sebelum menziarahi kubur, disunatkan untuk berwuduk sebelum ke tanah perkuburan. Jika anda takut wuduk terbatal atas sebab-sebab perjalanan yang jauh di dalam kenderaan atau halangan yang lain, anda juga boleh berwuduk apabila tiba di tanah perkuburan sekiranya di sana disediakan tempat untuk mengambil wuduk.

WUDUK mempunyai manfaat yang sangat besar kerana itu sangat dituntut untuk melakukannya.

Para ulama memberikan perhatian tentang kebersihan apabila memulakan perbincangan dalam kitab-kitab iaitu kebersihan adalah sangat penting untuk dijaga. Ini membuktikan bahawa kebersihan itu sangat dititikberatkan dalam semua hal khususnya dalam ibadat.

Dari Othman bin Affan katanya, Rasullullah bersabda:

Barangsiapa yang berwuduk, kemudian dia menyempurnakan wuduknya, maka keluarlah dosa-dosa dari jasadnya hingga dari kuku-kukunya.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

3. Memberi salam

Memberi salam ketika hendak ziarah kubur adalah merupakan adab yang mudah dan sudah diajar oleh ibu bapa sejak kecil lagi. Rasulullah juga mengajak semua umat Islam untuk memberi salam ketika menziarahi kuburan atau melalui kawasan tersebut.

Rasulullah pernah mengajar sahabat-sahabatnya apabila mereka menziarahi tanah perkuburan untuk memberi salam dan berdoa dengan berkata:

Salam sejahtera kepada kamu wahai ahli perkampungan (tanah kubur) ini, dari kalangan kaum mukminin dan muslimin bahawa kami juga insya-ALLAH akan mengikut kamu apabila sampai giliran. Semoga ALLAH memberi rahmat dan selamat sejahtera kepada kami dan kamu sekalian.” (Hadith Riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Baca juga Bila orang bukan Islam beri salam, apa harus kita jawab…

4. Menutup aurat

Menutup aurat bukanlah pilihan tetapi tuntutan agama. Ia sering kali disalah ertikan oleh sesetengah masyarakat Islam. Mereka menganggap menutup aurat hanya sekadar dengan memakai tudung dan menutupi kepala terutama apabila ziarah ke kubur. Sedangkan aurat bukan hanya anggota kepala malah anggota lain juga merupakan aurat yang perlu ditutup.

PELAWAT hendaklah berpakaian yang menutup aurat ketika menziarahi kubur.

Perintah menutup aurat telah difirmankan oleh ALLAH. dalam surah al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah zaman dahulu, dan dirikanlah sembahyang serta tunaikanlah zakat, dan taatilah kamu kepada ALLAH dan Rasulnya.

“Sesungguhnya ALLAH (perintah kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan dari kamu dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).”

5. Tidak meratapi dan meraung

Perlu diingatkan bahawa meratapi dan meraung di tanah perkuburan secara keterlaluan seolah-olah tidak meredai takdir ALLAH kerana bersikap berlebih-lebihan dalam urusan agama adalah hal yang terlarang.

Rasulullah bersabda: “Waspadalah kalian pada sikap berlebihan. Sesungguhnya binasanya orang-orang sebelum kalian disebabkan berlebihan dalam urusan agama.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Reda dan ikhlas akan pemergian seseorang adalah lebih baik. Hadiah yang boleh kita berikan kepada mereka adalah dengan menghadiahkan bacaan ayat al-Quran, bacaan Yasin serta tahlil kepada si mati dan berdoa agar ALLAH mengurniakan rahmat kepada mereka.

Perbuatan menziarahi kubur bukanlah hanya dilakukan semasa hari pengkebumian atau setiap kali menjelangnya Hari Raya sahaja. Ziarah kubur juga merupakan antara usaha orang yang hidup untuk mengingati orang yang telah mati. Ia juga mengingati anda tentang kematian dan membuat persediaan dengan memperbanyakkan amal ibadat sebanyak mungkin.

Marilah sama-sama kita mempersiapkan bekalan untuk menghadapi kematian dengan meningkatkan amal ibadah.

Diharapkan dengan melakukan amalan ziarah kubur ini dapat memberi keinsafan dan kesedaran kepada kita untuk mengingati akan kematian dan sentiasa bertaubat kepada ALLAH.

Foto: Sinar Harian & Pexels