Author

IBNU SAHNUN
Personaliti,

Ibnu Sahnun, Maestro dunia pendidikan

SAMA seperti al-Qabisi, Ibnu Sahnun merupakan antara tokoh pemikir Islam klasik yang sangat mementingkan konsep pendidikan dan sangat mencintai dunia penulisan.

Dalam kitab Qimatus Zaman ‘Inda Al-Ulama karya Abdul Fattah Abu Ghuddah menyatakan bahawa hari-hari cendekiawan itu sentiasa disibukkan dengan menulis kitab-kitab.

Ibnu Sahnun atau nama penuhnya, Abd al-Salam Ibn Salam Ibn Sa’id Ibn Habib lahir di kota Ghadat, Maghribi pada 202 Hijrah.  Beliau digelar Ibnu Sahnun yang bermaksud burung helang dek kerana kecerdasan dan ketajaman akalnya.

Cendekiawan Islam tersohor itu dianggap sebagai pendidik kaum Muslim yang pertama

Membesar di sebuah keluarga yang mementingkan ilmu pengetahuan, beliau bertuah kerana bapanya, Abu Said Sahnun menjadi guru pertamanya. Sejak kecil, agamawan itu sering memperhalusi karya-karya yang dihasilkan oleh ayahnya.

Sahsiah Ibnu Sahnun banyak dipengaruhi oleh keperibadian ayahnya yang terkenal sebagai seorang yang memiliki sifat zuhud dan warak, di samping menguasai ilmu fiqh dan agama.

Tatkala meniti usia remaja, beliau telah mengembara ke Mesir, Libya, Madinah dan Makkah. Antara gurunya ialah Musa bin Mu’awiyah al-Samadihi, ‘Abd Aziz bin Yahya al-Madani, ‘Abdullah bin Abi Hisan al-Yahsabi, ‘Abd Rahman bin Qasim, Ibn ‘Abd al-Hakam, Abu Mas’ab bin Abu Bakar al-Zuhri, Ya’kub bin Kasib dan Salmah bin Syabib dan ramai lagi.

Maestro dunia pendidikan

Menerusi karya bertajuk Ulasan dan Ringkasan Buku Ibnu Sahnun (Mutiara Pendidik Muslim), karya pertama yang dihasilkan Ibnu Sahnun bertajuk Adab Al-Muallimin (Adab Para Pendidik) telah menjadi rujukan sejumlah tokoh pendidikan Islam. Antaranya seperti Ibnu Maskawaih, Ibnu Khaldun dan al-Qabisi.

Dalam intipati naskhah itu, ilmuan tersebut membincangkan tentang kurikulum dan kaedah pengajaran yang disifatkannya dua perkara yang berbeza.

“Kurikulum adalah satu istilah yang menjelaskan tentang kuantiti dan kualiti bahan yang diajar, manakala kaedah merujuk kepada cara penyampaian sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran” kata buku tersebut.

Ibnu Sahnun menghasilkan kitab Adab Al-Mu’allimin yang menghimpunkan pandangannya dalam bidang pendidikan yang masih relevan sehingga hari ini

Ibnu Sahnun juga mengklasifikasikan di antara subjek wajib dan pilihan yang harus diambil oleh seorang pelajar. Kurikulum wajib ialah al-Quran, sementara subjek pilihan lain seperti Matematik, Bahasa Arab, kaligrafi, pidato dan syair.

Beliau juga mahu pelajar khatam al-Quran terlebih dulu sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Seperkara yang ditekankan oleh tokoh agama terkemuka itu adalah betapa pentingnya pendidik memiliki ilmu yang mendalam terhadap apa yang diajari mereka.

Selain itu, guru perlu menyediakan bilik darjah yang memberangsangkan bagi menyuntik semangat untuk belajar dalam kalangan pelajar.

Kata Ibnu Sahnun: “Peranan pendidik sangat luas dan tak terhad di dalam  bilik darjah. Mereka harus memantau anak didik di mana sahaja, sama ada di rumah mahupun di tengah-tengah masyarakat. Inilah satu tanggungjawab yang besar dan harus dipikul oleh seorang pendidik.”

Namun, paling menarik perhatian penulis adalah mengenai prinsip bahawa pendidik tidak boleh sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman tanpa rasa kasih sayang.

Dalam satu kertas kerja yang bertajuk Konsep Paedagogik Ibnu Sahnun dan Al-Qabisi, cendekiawan itu berpendapat, hukuman seperti memukul diberikan kepada anak didik dalam rangka tujuan mendidik asalkan tidak dilakukan secara berlebihan.

Beliau secara tegas menyatakan, hukuman yang dibolehkan harus dibatasi dalam pelaksanaannya seperti pukulan tidak boleh diberikan lebih dari tiga kali kecuali atas izin orang tua, itupun jika si anak terbukti telah menyakiti orang lain.

 

 

 

 

PROFIL

Nama penuh: Abu Abdullah Muhammad bin Abi Sa’ad bin Habib bin Hisan bin Hilal bin Bakar bin Rabiah at-Tanukhi al-Qairawani

Gelaran: Ibnu Sahnun

Asal: Maghribi

Tahun kelahiran: 818 Masihi

Tahun kematian: 869 Masihi

Karya agung: Adab al-Mu’allimin, Adaba al-Mu‟allimin, Al-Hujjah ‘ala al-Qadariyah, Kitab Tafsir al-Muwatta dan Kitab Ajwibah Ibnu Sahnun

 

*Sumber dan Foto Buku Ulasan dan Ringkasan Buku Ibnu Sahnun (Mutiara Pendidik Muslim), Kertas kajian bertajuk Konsep Paedagogik Ibnu Sahnun dan Al-Qabisi, 123RF.com https://media.neliti.com/, https://www.academia.edu/,

 

Doa untuk orang bukan Islam
Gaya Hidup,

7 Teknik berdoa yang bakal menjemput Rahmat ALLAH

 

Oleh FOUZIAH AMIR

 

DOA adalah senjata Mukmin. Doa selalu dikaitkan dengan impian dan harapan, namun bagaimanakah doa impian menjemput rahmat ALLAH SWT?

Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd menganjurkan program Doa Impian 2022 secara hibrid iaitu secara maya dan fizikal di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada 29 Januari lalu. Jurulatih utamanya, Fazrul Ismail berkongsi ilmu mengenai doa cara nabi dan rasul yang menjadi panduan umat Islam untuk menjemput rahmat dan anugerah daripada ALLAH SWT.

Berikut tujuh teknik berdoa yang diinspirasikan daripada amalan para Nabi dan Rasul terdahulu.

 

  1. GABUNGKAN PEMIKIRAN & PERASAAN

Inti pati dalam berdoa adalah pemikiran dan perasaan yang membawa tawakal kepada ALLAH. Dalam surah al-Asr, ALLAH menyatakan tentang masa. Ia berkaitan dengan usia. Manusia yang rugi usia kehidupannya dengan berseronok semata-mata, melainkan bagi yang beriman, beramal soleh dengan kebenaran dan kesabaran.  Jiwa Iman dikaitkan dengan gabungan pemikiran dan perasaan. Inilah dikatakan doa impian, yang ada perasaan dan menjiwai. Rugi jika kita berdoa tapi kosong jiwa dan pemikiran.

 

  1. ISTIQAMAH BERDOA

Tanda orang serius yang berdoa akan melakukannya pada siang dan malam termasuk solat tahajud. Sentiasa ikuti piawaian al-Quran untuk berdoa agar ALLAH memandu kita beramal melalui petunjuk dan hidayah-NYA.

Mafhum firman ALLAH di dalam ayat 73, surah al-Qasas : “Dan kerana rahmat-NYA. DIA jadikan untukmu malam dan siang, agar kamu beristirahat pada malam hari dan agar kamu mencari sebahagian kurniaan-NYA (pada siang hari) serta agar kamu bersyukur kepada-NYA.”

 

  1. JADI HAMBA YANG TAHU BERSYUKUR

Syukuri nikmat ALLAH setiap ketika. ALLAH  pasti akan menambahkan nikmat-NYA kepada orang yang bersyukur.

 

  1. TAWADUK / MERENDAH DIRI

Berdoalah sebagai jiwa hamba yang bersungguh-sungguh dengan pemikiran dan perasaan agar dimakbulkan dan diberi keberkatan. Maksud jiwa hamba adalah merendah diri dan rasa amat memerlukan ALLAH.

ceritakan keadaan diri yang memerlukan, ketakutan atau kelemahan, mohonlah apa yang dikehendaki dan mohonlah apa yang membawa ke akhirat

  1. LAZIMKAN MEMBANTU INSAN LAIN

Untuk menggandakan kebaikan pada tahun ini, kita jangan pentingkan diri. Sebaliknya sentiasa bersedia membantu orang lain, kemudian memohon doa kepada ALLAH. Inilah doa impian mengikut piawaian al-Quran. Ayat 24 di dalam surah al-Qasas merakamkan kisah Nabi Musa AS membantu dua perempuan mengambil air. Ketika itu Baginda AS dalam keadaan letih bermusafir, tiada tempat tinggal, pekerjaan dan makanan. “Selepas memberi pertolongan, Nabi Musa berdoa kepada ALLAH SWT, “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan (makanan) yang ENGKAU turunkan kepadaku.”

 

  1. BERDOA SAMBIL DISERTAKAN RASA TAKUT KEPADA ALLAH

Kaedah doa impian Nabi Zakaria AS di dalam Surah Maryam ayat 4 hingga 6, ialah doa yang disertakan rasa takut dan mengadu kepada ALLAH SWT, menceritakan keadaan diri yang memerlukan, ketakutan atau kelemahan, bermohon apa yang dikehendaki dan mohon apa yang membawa ke akhirat. Nabi Zakaria AS memohon zuriat bagi legasi agama bukan sekadar keperluan di dunia, malah membawa ke akhirat.

 

  1. TETAP BERTAWAKKAL

Doa juga membawa kita kepada syukur, iman dan tawakal. Apa jua doa yang dipohon, hanya ALLAH YANG MAHA TAHU apa yang baik untuk kita. Sebagai hamba, berdoalah dengan penuh keimanan dan pemikiran yang membawa legasi ke akhirat, mudah-mudahan doa itu akan menjemput rahmat ALLAH.

 

Untuk maklumat lanjut program Doa Impian akan datang, layari https://www.facebook.com/akademisinergi/

 

landmarks of modern city
Muamalah, Uncategorized,

Fahami konsep pelaburan atau perniagaan berasaskan perkongsian untung rugi

 

DR SHAMSIAH MOHAMAD (Berpengalaman sebagai penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah)

 

SALAH satu kontrak Syariah yang boleh digunakan dalam aktiviti pelaburan atau perniagaan adalah kontrak musyarakah. Kontrak musyarakah merujuk kepada situasi di mana dua orang atau lebih sama-sama menyumbang modal dan keuntungan yang diperoleh akan dikongsi berdasarkan nisbah dipersetujui bersama, manakala kerugian pula hendaklah ditanggung bersama berdasarkan sumbangan modal masing-masing.

Sebagai contoh, Ahmad dan Ali ingin memulakan perniagaan menjual barangan runcit berdasarkan kontrak musyarakah. Modal yang diperlukan ialah sebanyak RM30,000. Ahmad dan Ali, masing-masing menyumbang modal sebanyak RM15,000.

Ini bermakna isbah sumbangan modal mereka adalah 50:50. Antara unsur atau rukun yang penting untuk diberi perhatian dalam kontrak musyarakah selain pihak yang berkontrak serta ijab dan qabul adalah modal, keuntungan dan kerugian. Kenapa modal sangat penting untuk diberi perhatian? Ini kerana daripada modal inilah terhasilnya keuntungan setelah modal tersebut digunakan untuk menyediakan perkara-perkara yang berkaitan sama ada ia melibatkan projek perniagaan atau pelaburan.

Malah nisbah sumbangan modal oleh setiap rakan kongsi inilah yang mesti dijadikan asas dalam pembahagian tanggungan kerugian oleh mereka. Dalam perbincangan para fuqaha’, modal boleh berbentuk mata wang dan boleh juga berbentuk bukan mata wang (in-kind) seperti tanah, bangunan dan lain-lain.

Jika modal yang disumbang berbentuk bukan mata wang, maka penilaiannya hendaklah dibuat semasa akad musyarakah dimeterai. Penilaian ini sangat penting kerana melaluinya dapat ditentukan nisbah sumbangan modal pihak berkenaan. Perlu diambil perhatian bahawa modal tidak boleh dalam bentuk hutang.

Contohnya Ahmad dan Ali ingin melakukan akad musyarakah. Kebetulan Ali ada memberi hutang kepada Ahmad sebanyak RM20,000. Ali tidak boleh menjadikan hutang dia yang dalam tanggungan Ahmad sebagai modal musyarakah.

Begitu juga mana-mana hutang yang diberikan oleh Ali kepada pihak lain, kesemuanya tidak boleh dijadikan modal. Selain modal, perkara berkaitan pembahagian keuntungan dan tanggungan kerugian juga mesti diberi perhatian oleh mereka yang terlibat dalam kontrak musyarakah.

Pembahagian keuntungan hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut: i) Ditentukan kadar perkongsian keuntungan semasa akad musyarakah dilakukan sama ada berdasarkan nisbah sumbangan modal seperti 50:50 atau peratus seperti 50% atau mana-mana nisbah atau peratus lain yang dipersetujui bersama. ii) Keuntungan tidak boleh dalam bentuk amaun tetap seperti RM100. iii) Peratus pembahagian keuntungan tidak boleh disandarkan kepada sumbangan modal seperti 10% daripada jumlah sumbangan modal.

Ini kerana ia juga termasuk dalam kategori memberikan keuntungan dalam bentuk amaun tetap. Contohnya, sumbangan modal adalah RM20,000. Maka jika diputuskan bahawa keuntungan yang diberi adalah 10% daripada sumbangan modal, maka ini bermakna jumlah keuntungan yang dijanjikan adalah RM2000. Sebagaimana keuntungan, kerugian juga MESTI ditanggung oleh semua rakan kongsi.

Namun perkongsian tanggungan kerugian itu mesti berdasarkan nisbah atau peratus sumbangan modal masing-masing sahaja. Ini bermakna mereka tidak boleh membuat persetujuan semasa akad dilakukan bahawa satu pihak sahaja menanggung kerugian atau memutuskan mana-mana nisbah atau peratus yang menyalahi nisbah atau peratus sumbangan modal.

Jika sumbangan modal adalah 50% misalnya, maka pihak berkenaan hanya menanggung kerugian sebanyak 50% sahaja. Ini bermakna, tidak boleh dibuat persetujuan bahawa dia akan menanggung sebanyak 30% misalnya sedangkan peratus sumbangan modalnya adalah 50%.

Sebagai penutup bicara, saya merumuskan bahawa dalam apa jua transaksi urusniaga yang kita lakukan, kita mesti jelas apa yang menjadi kontrak pendasarnya dan seterusnya memastikan segala syarat-syaratnya dipenuhi agar transaksi uruniaga kita patuh Syariah. Wallahu a’lam.

HIASAN KALAM
Isu,

Kenali waris faraid, ini perinciannya.

 

OLEH ZAHARI MAHAD MUSA (Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

WARIS faraid ialah individu yang masih hidup dan bakal mewarisi harta pusaka. Mereka mempunyai salah satu sebab ikatan atau hubungan dengan si mati. Sebab utama yang masih wujud dan mengikat antara waris dan si mati ialah atas hubungan kerabat iaitu nasab dan perkahwinan.

 

Hal ini diperakui oleh Rasulullah SAW menerusi sabda baginda yang bermaksud: “Dan (ALLAH SWT) mewajibkan pewarisan sebagai satu hak kepada ahli waris selepas (kematian) kamu.“ (Hadis Riwayat Abu Dawud).

Setiap daripada kita seharusnya mengetahui status waris yang ada dalam keluarga masing-masing. Kefahaman yang jitu tentang waris faraid adalah sangat penting dalam mengurus sesuatu harta pusaka.

Penentuan waris dalam faraid adalah berbeza-beza kesan daripada perbezaan dalil dan sumber hukum. Mungkin selama ini kita hanya melihat keluarga yang terdekat untuk mendapat harta pusaka ialah ibu, bapa, suami, isteri, anak lelaki dan anak perempuan sahaja kerana mereka paling hampir dengan si mati.

 

Sedangkan ilmu faraid memperincikan setiap waris yang layak mahupun berhak. Mereka mempunyai status yang tersendiri untuk mendapat harta di dalam sesuatu kes kematian keluarga tersebut. Daripada sudut yang lain biasanya kita selalu mengatakan anak-anak kepada si mati sama ada lelaki atau perempuan adalah sama sahaja statusnya kerana mereka merupakan zuriat kepada si mati.

 

Namun dalam perbahasan faraid, anak lelaki dan anak perempuan mempunyai status atau kategori waris yang berbeza. Anak perempuan merupakan waris ashab al-furud (waris yang dapat bahagian tetap) dan boleh bertukar status sebagai waris ‘asabah (waris yang dapat lebihan pusaka). Sedangkan anak lelaki si mati hanya berstatus waris ‘asabah semata-mata dan tidak mungkin memperolehi faraid mengikut kadar-kadar yang tertentu.

 

Sandaran utama berkaitan agihan harta pusaka kepada setiap waris disebut oleh Rasulullah SAW melalui hadis baginda yang bermaksud: “Berilah kadar yang ditetapkan kepada waris yang berhak. Jika berbaki maka agihkan kepada waris lelaki yang utama.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

 

Ilmuan fiqh berijtihad berdasarkan hadis tersebut tentang mereka yang berhak menerima pusaka mengikut susunan keutamaan. Penarafan waris dapat dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu: Waris ashab al-furud; ahli-ahli waris yang telah ditetapkan bahagian atau saham mereka dalam pembahagian pusaka menurut al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak.

 

Waris ‘asabah; ahli-ahli waris yang tidak dinyatakan bahagian mereka dalam harta pusaka sama ada melalui al-Quran atau as-Sunnah. Kadangkala mereka menerima semua harta pusaka, kadangkala baki dan kadangkala tidak memperolehi harta kerana harta pusaka telah dihabiskan oleh ahli waris ashab al-furud. Waris dhawi al-arham; ahli waris yang mempunyai hubungan kerabat atau darah dengan si mati selain daripada ahli waris ashab al-furud dan ‘asabah.

 

Dua kategori waris yang pertama iaitu waris ashab al-furud dan ‘asabah merupakan golongan yang disepakati untuk mendapat faraid apabila berlaku kematian dalam sesebuah keluarga. Manakala kategori ketiga iaitu waris dhawi al-arham merupakan golongan yang diperselisihkan antara mazhab fiqh.

 

Amalan di Malaysia ketika ini berpihak kepada pendapat yang mengatakan bahawa waris dhawi al-arham tidak mendapat apa-apa daripada harta pusaka walaupun mereka sangat hampir dengan si mati, sebaliknya harta tersebut perlu diserahkan kepada Baitulmal.

 

Secara asasnya, waris yang disepakati untuk layak sebagai penerima harta pusaka iaitu mereka yang dalam kategori waris ashab al-furud dan ‘asabah ialah seramai 22 orang seperti dalam jadual (1).

 

Mereka terdiri daripada 14 waris lelaki dan lapan orang waris perempuan. Setiap satu daripada mereka mempunyai bahagian dan situasi tertentu dalam memperolehi habuan masing-masing. Peraturan yang ditetapkan dalam perundangan faraid ini menunjukkan tidak semestinya waris yang layak akan berhak untuk mendapat harta pusaka. Ada daripada mereka lebih utama berbanding yang lain. Kebiasaannya, mereka yang bersambung dengan si mati dengan susur galur paling hampir akan dijamin untuk mendapat faraid.

 

Panduan,

Mengapa iblis tidak mendapat pengampunan daripada ALLAH YANG MAHA ESA? Ini punca-puncanya…

MANUSIA tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Demi membetulkan segala khilaf, taubat adalah kunci utama untuk kembali ke jalan yang benar. Biarpun sebesar manapun dosa yang telah dilakukan, nescaya ALLAH SWT akan mengampunkannya.

Meskipun manusia lain memandang kita sebagai pendosa, namun ALLAH melihat perkara sebaliknya. Hal tersebut sudah dinyatakan dalam Surah Az-Zumar, ayat 53 hingga 54.

ALLAH SWT berfirman: “Katakanlah. Hai hamba-hambaku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH. Sesungguhnya ALLAH mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya DIALAH YANG MAHA PENGAMPUN LAGI MAHA PENYAYANG dan kembalilah sebelum datang azab kepadamu, kemudian kamu tidak lagi dapat ditolong.”

 

Baca juga: Rasulullah saw menyayangi umatnya sehingga di akhirat contohilah keperibadian baginda dengan sebarkan kasih sayang

Baca juga: Ganjaran besar dan berpanjangan di dunia juga di akhirat dengan berwakaf al-Quran berikutfadilat-fadilat lain

 

Bagi orang yang berdosa, janganlah malu untuk datang kepada ALLAH meminta ampun. Sesungguhnya ALLAH MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG.

Pintu taubat sentiasa terbuka buat sesiapa sahaja, namun mengapa ALLAH tidak mengampuni iblis?

Menurut Abu Al-Lais As-Samarqandi dalam kitabnya, Tanbih Al-Ghafilin menjelaskan, terdapat kesalahan iblis yang membuatkan taubat ‘mereka’ tidak boleh diterima.

Pertama: Iblis laknatullah tidak mahu mengakui kesalahannya.

Kedua: Iblis tidak menyesal atas dosa-dosa yang dilakukan

Ketiga: Iblis tidak mahu segera bertaubat

Kempat: Berputus asa daripada rahmat ALLAH

Kesalahan iblis yang tidak mahu bersujud kepada Nabi Adam padahal itu adalah perintah ALLAH kepada semua malaikat.

Namun, disebabkan angkuh, sombong dan merasa diri lebih baik berbanding Nabi Adam, maka iblis menolak perintah ALLAH.

ALLAH berfirman dalam Surah Al-A’raf, ayat 12: “Apakah yang menghalangimu (sehingga) kamu tidak bersujud (kepada Adam) ketika aku menyuruhmu? Iblis menjawab: Aku lebih baik daripadanya. Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan dia engkau ciptakan daripada tanah.”

Hal tersebut lantas membuatkan iblis sebagai makhluk yang dimurkai dan diusir dari syurga.

Biarpun sering bergelumang dengan dosa, iblis pernah menyatakan hasratnya untuk bertabat kepada Nabi Musa. Perkhabaran itu diterima dengan penuh gembira sehinggakan Nabi Musa segera mengambil wuduk dan solat.

Dikisahkan Ibnu Umar bahawa iblis mendatangi Nabi Musa lalu berkata:“Wahai Musa, engkau dipilih ALLAH dengan risalahnya, aku ini makhluk ALLAH juga, aku ingin bertaubat, kerana itu mohonlah syafaat agar ALLAH mengampuniku.”

Nabi Musa kemudiannya menyampaikan niat iblis, lalu ALLAH berfirman:“Wahai Musa aku penuhi permintaanmu, tapi katakan kepada iblis agar dia bersujud pada kuburan Adam terlebih dahulu.”

Mendengarkan syarat tersebut iblis lalu berkata:“Dulu ketika Adam masih hidup, aku tidak mahu bersujud kepadanya. Mana mungkin aku harus bersujud kepadanya setelah dia mati.”

Masih disebabkan keangkuhan dan kesombongannya membuatkan iblis pun sekali lagi gagal mendapat pengampunan ALLAH.

Kegagalan itu mengakibatkan iblis menerima balasan menjadi isi neraka pada hari pembalasan kelak.

Oleh itu, sebagai manusia, kembalilah bertaubat ke jalan ALLAH. Biar sebesar mana dosa yang dilakukan, selagi tidak syirik kepada SANG PENCIPTA, selagi itu pintu taubat ALLAH sentiasa terbuka.

Sebagai manusia, bertaubatlah ke jalan ALLAH kerana pintu taubat-Nya sentiasa terbuka.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram 

Foto: Francesco Paggiaro & Alena Darmel/Pexels

Khawaja-1
Jendela Dunia,

Usman Khawaja lompat dari pentas elak kena semburan arak

 

ARAK menyebabkan ahli sukan Muslim berdepan masalah bagi meraikan kemenangan dalam pertandingan antarabangsa seperti yang dilalui oleh pemain kriket Australia, minggu lalu.

Pemain kelahiran Islamabad, Pakistan, Usman Khawaja, melompat dari pentas apabila rakan sepasukannya membuka penutup botol champagne untuk menyembur arak bagi meraikan kemenangan 4-0 Australia terhadap England dalam Siri Ashes.

Klip video memaparkan Usman, melompat dari pentas di Hobart’s Bellerive Oval untuk mengelakkan terkena semburan champagne menjadi viral di media sosial.

Namun, Usman bernasib baik kerana kapten pasukannya, Pat Cummins, yang menyaksikan tindakan itu, segera meminta rakan sepasukan lain meletakkan botol arak di tepi dan memanggilnya kembali ke pentas dengan menggunakan gerak isyarat tangannya, lapor portal Firstpost.

Usman yang bermain dalam dua perlawanan terakhir siri lima perlawanan ujian, kembali ke pentas dan berlutut di sisi Cummins ketika anggota pasukan itu bersorak riang di hadapan kamera.

Tindakan Cummins memastikan Usman, pemain kriket Muslim pertama Australia, tidak terkena arak ketika meraikan kemenangan itu.

“Anggota pasukan kami datang dari pelbagai latar belakang. Perbezaan ini perlu diraikan. Anda mahu memastikan setiap orang selesa menjadi sebahagian pasukan ini.

“Mereka (anggota pasukan) sangat menakjubkan di ruang itu. Mereka selalu memerhatikan antara satu sama lain. Kami benar-benar sebuah kumpulan yang rapat,” kata Cummins.

Cummins berpendapat bahawa antara faktor menyebabkan mereka mengenepikan botol arak itu kerana sikap saling menghormati dan menyayangi antara satu sama lain serta mahu memastikan setiap anggota pasukan diabadikan dalam foto.

Usman yang bermain buat kali pertama perlawanan ujiannya dalam tempoh lebih dua tahun, memukul ratusan kali setiap kali gilirannya dalam perlawanan keempat di Sydney.

Memulakan giliran di Hobart, pemain kidal itu membuat enam dan 11 jaringan, serta muncul sebagai penjaring kelima tertinggi dalam lima perlawanan siri ujian itu.

Usman menjadikan Twitter sebagai platform untuk mengucapkan terima kasih kepada Cummins kerana memberikan gerak isyarat supaya kembali ke pentas.

“Saya menghargai tindakan rakan sepasukan yang sanggup menghentikan meraikan kemenangan dengan champagne supaya dapat bersama mereka. Nilai ini dalam sukan sangat penting. Saya berpendapat kami sedang bergerak ke arah yang betul,” katanya.

Tindakan Cummins memberi gerak isyarat dipuji peminat, termasuk mantan pemain kriket England, Isa Guha yang berkata: “pemimpin yang baik sentiasa melihat pasukan secara keseluruhan dan menghormati setiap orang secara saksama.”

Capture
Berita Semasa,

Apabila suara netizen lebih lantang..

 

SPONTAN. Itulah yang boleh dikatakan di dalam kes remaja kena mandi jenazah. Apabila menghukum salah laku anak, selalunya bapa yang prihatin akan spontan menyebat dengan rotan bulu ayam atau tali pinggang. Paling sedikit mungkin telinga akan dipiat. Hukum untuk mendidik bukan mendera, jauh sekali dengan niat menyeksa si anak.

Lalu itulah yang dilihat di dalam kes Imam Masjid Islahiah, Kuang Rawang yang menghukum remaja yang dituduh mencuri tabung masjid. Imam tersebut dikenali sebagai Imam Dahlan dan para Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan cuba mendidik dengan menghukum remaja itu di atas kesalahannya mencuri.

“JAIS buat tindakan berpandukan kata-kata netizen, ustaz kami tak buat salah. Malah saya bersyukur, beliau ‘membersihkan’ anak saya, beri semangat dan ‘roh’ baru kenapa Danial. Kami yang setuju Danial ‘dibersihkan’.

Tindakannya bagaimanapun menyebabkan beliau ‘dinasihatkan’ meletakkan jawatan. Remaja bernama Danial Iskandar, 19, didakwa cuba mencuri tabung masjid dengan mengheret dan menyembunyikannya dalam bilik mandi jenazah, pada 8 Januari lalu.

Selepas tertangkap, pihak masjid kemudian melumurkan kapur barus dan memandikan remaja itu seperti jenazah. Ketika ‘dimandikan’, ada pula individu turut merakam video di mana ia menjadi tular di media sosial.

Pada Khamis, Mahkamah Majsitret Selayang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000. Ketika perbicaraan, dia mendakwa terpaksa bertindak sedemikian bagi mendapatkan wang untuk membeli ubat-ubatan datuknya yang menghidap kencing manis.

Hakikatnya, tiada sesiapa yang berhak mengambil tindakan atau menjatuhkan hukum di tangan sendiri. Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, imam berkenaan telah diminta untuk meletakkan jawatannya.

Imam tersebut katanya, tidak boleh menghukum seseorang sebelum siasatan dijalankan. Ujarnya, sepatutnya kes tersebut diserahkan kepada polis, manakala kewajipan pegawai agama masjid adalah memberi nasihat dan bimbingan kepada individu yang bermasalah dan tidak menghukum.

Isu ini sebenarnya ditularkan dengan cara yang salah. Selepas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan imam terbabit dalam kontroversi memandikan remaja seperti jenazah ‘dinasihat berundur’, ibu kepada remaja itu bagaimanapun tampil mempertahankan tindakan imam.

Beliau berkata pihak berkuasa agama itu tidak seharusnya bertindak berkiblatkan kata-kata netizen. Tegasnya, JAIS seharusnya menjalankan siasatan terperinci, termasuk bertemu dengan keluarganya terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukum.

“JAIS buat tindakan berpandukan kata-kata netizen, ustaz kami tak buat salah. Malah saya bersyukur, beliau ‘membersihkan’ anak saya, beri semangat dan ‘roh’ baru kenapa Danial. Kami yang setuju Danial ‘dibersihkan’.

“Ada orang kata imam berkenaan mendera anak saya… bukan, itu bukan satu penderaan tetapi kita cuba nak menginsafkan dia,” katanya.

Justeru, beliau menggesa JAIS mempertimbangkan semula keputusan menggugurkan imam berkenaan dengan melantiknya semula mengetuai qariah Masjid Islahiah, Kuang.

“Saya merayu dan sudah minta JAIS tarik balik arahan itu. Saya sedih dan menangis sebab anak saya, imam pula yang terpaksa tanggung akibatnya,” katanya.

Kalangan netizen menyokong tindakan pengurusan masjid itu sebagai pengajaran kepada remaja berkenaan. Bagaimanapun, ada netizen  berpendirian pihak masjid tidak menghormati undang-undang dengan melayan remaja itu sedemikian.

Bukan bertujuan untuk menyokong tindakan spontan pihak masjid, tetapi elok kalau kita menilai kembali semangat kejiranan setempat yang kian dilupakan.

Zaman dahulu selalu kita dengar jiran akan mengadu kepada ibu dan bapa tentang perangai anak. Bukannya mereka dengki dengan keluarga jiran tetapi ingin mendidik anak-anak supaya lebih menjadi ‘manusia’. Inilah yang cuba diterapkan oleh Imam tersebut. Malangnya apabila suara netizen lebih lantang maka inilah yang berlaku.

1401063
Berita Semasa,

Sinar Daily Martabatkan Nilai Universal Islam

NILAI kesederhanaan dan sifat universal agama Islam yang sempurna diangkat sebagai teras penubuhan portal berbahasa Inggeris, Sinar Daily.

Kumpulan Sinar Karangkraf secara rasminya pada Sabtu, 1 Januari 2022, telah melancarkan portal harian berkenaan yang akan memberi fokus khusus untuk berkomunikasi secara terus dengan pembacanya menerusi kesemua platform digital dan media sosial.

Menurut editornya, Tasnim Lokman, nilai kesederhanaan itu dizahirkan menerusi setiap isu yang berlaku di dalam dunia Islam dan negara bukan Islam. Justeru elemen inilah yang membezakan Sinar Daily dengan portal berbahasa Inggeris yang lain.

“Paparan berita Sinar Daily bukan sahaja melibatkan isu berkenaan kepentingan orang Islam yang berlaku di dunia Islam, malah kami bertindak sebagai wadah penyebar maklumat yang akan melaporkan apa sahaja berita yang jarang diberikan perhatian di peringkat antarabangsa.

“Setakat ini, kami telah mempunyai koresponden di China dan Amerika Syarikat (AS) yang akan melaporkan tentang berita dan kisah orang Islam di negara berkenaan. Selepas ini wakil pemberita di United Kingdom (UK), Perancis dan negara lain pula akan dilantik.

“Pembaca sasaran Sinar Daily ialah golongan profesional. Dengan mengetengahkan ‘investigative reporting’ dan gabungan pandangan pakar sesuatu bidang, kami berharap agar setiap laporan sesuatu isu itu boleh terus diangkat ke peringkat atasan,” jelas Tasnim lagi.

 

Sinar Daily bukan sahaja menyiarkan isu berkenaan kepentingan orang Islam yang berlaku di dunia Islam, malah sebagai wadah berita yang jarang diberi perhatian di peringkat antarabangsa.

 

IMPAK UNTUK MASYARAKAT

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, pelancaran Sinar Daily adalah satu langkah ke hadapan mengukuhkan kehadiran syarikat dalam industri media memandangkan pelayar media dalam talian semakin berkembang.

“Kami berharap portal ini dapat membuka minda dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelayar-pelayar baharu kami dengan berita yang boleh memberikan impak, bukan sahaja kepada mereka secara peribadi tetapi juga masyarakat amnya.

“Fokus utama kami adalah untuk membawa laporan yang benar dan mendalam sambil mengekalkan identiti kami dengan bersikap telus dan jujur,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Daily bukan sekadar portal berita, tetapi turut berfungsi sebagai platform digital sepenuhnya.

“Portal ini dilancarkan untuk memenuhi cita rasa pembaca tempatan sekali gus berharap ia dapat menembusi pasaran antarabangsa.

“Objektif utama Sinar Daily adalah untuk meningkatkan penglibatan masyarakat dan meningkatkan perkongsian minda pembaca. Apa yang lebih utama, Sinar Daily merupakan wadah pengembangan ideologi Islam.

“Sinar Daily menyasarkan pembaca daripada segenap lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang sosial,” katanya.

Portal tersebut antara lain turut mengetengahkan kupasan berita-berita dalam dan luar negara serta pelbagai topik gaya hidup yang menarik termasuk kecantikan, kekeluargaan, kesihatan, pelancongan dan pelbagai lagi.

Selain sajian berita yang menarik, Sinar Daily menjanjikan variasi kandungan digital yang segar dan menepati cita rasa semua lapisan masyarakat dengan mengetengahkan kupasan berita-berita dalam dan luar negara serta pelbagai topik gaya hidup yang menarik termasuk kecantikan, kekeluargaan, kesihatan dan pelancongan.

Antara kandungan digital yang bakal ditayangkan secara maya ialah Bang For Your Buck, Did You Know?, Dazzle, Fireside Chat, Politically Frank dan wacana dalam bahasa Inggeris.

Sinar Daily boleh diakses dengan melayari laman web https://www.sinardaily.my dan semua platform media sosial rasmi Sinar Daily termasuk di Instagram, Facebook, TikTok dan Twitter.

 

 

birthday-4674665_960_720
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Sambut Hari Lahir, Ini Perspektif Islam

SETAHUN sekali akan hadir satu hari yang membuatkan setiap orang tersenyum. Mungkin gembira kerana diraikan atau diberikan ucapan penghargaan. Namun secara eksklusifnya setiap manusia akan ada sebuah tarikh untuk diingati yang diberi nama peringatan hari lahir.

Sebagai Muslim, bagaimana cara sewajarnya kita meraikan hari lahir. Atau lebih tepat lagi, bolehkah ia diraikan dan apakah hukumnya menyambut hari lahir?

Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, seperti yang dipetik menerusi rakaman kuliah di laman YouTubenya berkata, hukum menyambut hari lahir adalah harus. Ia bukan sunat, tidak wajib dan bukanlah haram.

Keraian hari lahir akan lebih bermakna bila disambut dengan menepati jalur kehendak agama dan semestinya bersama insan-insan tersayang.

 

“Menyambut hari lahir, sama ada untuk anak, ibu, isteri atau untuk diri sendiri, hukumnya adalah harus. Perkara-perkara yang tidak ada dalil mengharamkannya, maka  kita tidak boleh kata ia haram. Ia hanyalah harus dan bukannya haram.”

Pandangan Azhar bertepatan dengan kaedah yang dipakai oleh para fuqaha’ seperti Imam as-Suyuti iaitu, asal bagi sesuatu perkara adalah ‘harus’ dan inilah yang dipegang oleh mazhab Syafie.

“Apabila berkait dengan hukum syarak, menyambut hari lahir boleh menjadi sunat, wajib, makruh dan ia boleh bertukar menjadi haram. Biasa kita melihat orang menyambut hari lahir dengan tradisi memotong kek. Maka apakah pula hukum memotong kek?” tanya beliau.

Huraian beliau sangat jelas iaitu memakan kek tidak haram, jadi perbuatan memotong kek semestinya tidak diharamkan.

“Makan kek bukan dikaitkan dengan orang bukan Islam, malah ia adalah perkara universal. Bukan dikaitkan dengan agama.

“Adapun yang dilarang oleh ulama adalah menyalakan lilin dan kemudian ditiup. Kalau umat Islam pernah terjebak melakukan perkara itu, mohonlah istighfar dan keampunan kepada ALLAH SWT.

“Perbuatan meniup lilin bukannya amalan universal. Sebaliknya ia berdasarkan kepercayaan agama Majusi. Mereka menyalakan api di atas makanan sebagai tanda memohon keberkatan. Jadi umat Islam haram melakukannya.

“Kemudian memotong kek dan disertai lagu-lagu. Jadi untuk mengislamkan upacara itu, kita tukar kepada zikir, selawat dan lagu yang lebih Islamik. Seterusnya disusuli bacaan doa memohon keberkatan kehidupan dan kesihatan yang terbaik kepada orang yang diraikan. Apa yang halal akan terus jadi halal dan tidak akan jadi haram.

“Islam ini bukan (berbentuk) agama (yang) melarang, (sebaliknya) ia adalah agama yang mengatur kehidupan, jangan melebihi had dan jangan melampau. Ada panduan dan aturan untuk setiap perkara,” tegas beliau lagi.

 

Asal Kisah Lilin Di Atas Kek Hari Lahir

Menyorot pula budaya meniup lilin, asal sejarahnya bermula dengan amalan orang-orang Yunani (Greek) kuno meletakkan lilin di atas kek sebagai satu tanda simbolik memperingati dewa-dewa bulan Yunani iaitu Artemis. Mereka membuat kek berbentuk bulat sebagai simbol kepada bulan. Lilin-lilin di letakkan sebagai gambaran kepada cahaya bulan.

Lilin pada kek menjadi tradisi tersohor di Jerman suatu masa dulu. Dikatakan bahawa, mereka meletakkan lilin besar di tengah-tengah kek sebagai simbol “the light of life” (penerang kehidupan).

Sebahagian mubaligh percaya asap dari lilin akan membawa pergi bersama hajat dan doa mereka kepada dewa-dewa yang tinggal di langit. Ada juga yang percaya bahawa meniup lilin dengan sekali nafas akan membawa tuah kepada empunya diri dan asap lilin mampu menghalau semangat jahat.

Kita mungkin menyangkal sekeras-kerasnya dengan mengatakan bahawa kita tiada niat langsung untuk meniru mana-mana perlakuan yang menyerupai kaum atau agama lain. Mungkin kita sekadar ingin memeriahkan suasana, tetapi berhati-hati kerana kita mungkin tersasar.

Seharusnya setiap Muslim mengikut garis panduan yang telah ditetapkan agar tidak melampaui batasan.

Justeru, kesederhanaan dalam segenap perkara adalah amat dituntut, termasuk dalam bab menyambut hari lahir yang dilihat oleh sesetengah masyarakat sebagai perkara kecil dan sering diambil mudah.

BANTUAN_BANJIR_THAI_MALAYSIA
Berita Semasa,

SOLIDARITI MUSLIM SELATAN THAILAND BANTU MANGSA BANJIR DI MALAYSIA

SALING bantu membantu atau di dalam istilah agama disebut ta’awun adalah gagasan  untuk saling menolong serta bersinergi antara satu pihak dengan pihak yang lain.

Islam menekankan agar sentiasa menghulur bantuan dalam konteks yang positif, iaitu dalam urusan kebaikan dan ketakwaan.

Sejarah telah membuktikan bagaimana sebuah masyarakat madani di Madinah terbentuk hasil daripada nilai ukhuwah (rasa persaudaraan) yang tinggi serta saling tolong menolong dalam kebaikan dan ketakwaan yang terjalin antara kelompok Muhajirin dan Ansar.

Inilah dasar ta’awun yang mampu memupuk nilai-nilai positif dan akhlak terpuji pada diri setiap insan Muslim.

Menjunjung hasrat itu, masyarakat Islam di Selatan Thailand tidak teragak agak untuk turut menyampaikan sumbangan berjumlah 1 juta baht (RM124,751) bagi meringankan beban mangsa banjir di Malaysia.

Kempen kutipan derma dalam talian (online donation drive) merupakan initiatif pendakwah muda Asari Lateh bersama beberapa penceramah bebas di selatan Thailand.

Asari dan penceramah-penceramah bebas menerusi “Babazu Channel” telah mengadakan ceramah dalam talian untuk mengutip derma bagi membantu mangsa banjir di Malaysia.

“Kutipan selama dua hari iaitu Sabtu dan Ahad lalu berjaya mengumpulkan 1 juta baht untuk disumbangkan kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima.

“Kami berharap sumbangan ini dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban mangsa banjir,” katanya kepada Bernama.

 

 

Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Muhammad Ridzuan Abu Yazid mengucapkan terima kepada masyarakat Islam di selatan Thailand yang menghulurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir besar.

“Sumbangan ikhlas daripada masyarakat Islam selatan Thailand menunjukkan hubungan baik Malaysia dan Thailand yang saling membantu ketika negara dilanda musibah,” katanya.

Sebelum itu, Asari menyerahkan replika cek kepada wakil TV3 Tuwaedaniya Meringing dan disaksikan Muhammad Ridzuan di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Jumaat lalu, masyarakat Islam di Pattani turut mengadakan solat hajat bagi memohon keselamatan buat rakyat Malaysia susulan musibah banjir yang melanda.

Usaha murni komuniti Muslim Selatan Thailand ini mendapat reaksi Editor Syariah Kumpulan Karangkraf, Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil.

 

Ustaz Mohamad Amiro Safwan

“Begitulah sepatutnya kita sebagai seorang Muslim. Kalau tidak mampu menghulur bantuan secara material, fizikal dan sebagainya, tetapi kebersamaan (tetap dihulur) dari sudut simpati dan rasa dukacita dengan keadaan yang berlaku.

Peristiwa ini amat bertepatan sebagaimana yang dirakam di dalam hadith dari Abu Musa r.a bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

“Seorang Mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti satu bangunan yang mana bahagian yang satu menguatkan bahagian yang lain”.  Baginda terus menyusupkan antara jari-jarinya.” (Hadith Riwayat al-Bukhari)

Jelas Ustaz Amiro lagi, solidariti  yang ditunjukkan oleh Muslimin Thai ini merentasi batas sempadan negara, mereka bersedia membantu tanpa mengira agama, bangsa atau negara, kerana mereka memahami apa yang dilalui oleh mangsa-mangsa banjir ini sangat dahsyat dan segenap aspek kehidupan turut terjejas.