Tidak bernafas tetapi hidup, golongan ini disebutkan dalam al-Quran…
TIADA sesiapa pun yang idamkan hidup penuh kepahitan, kekecewaan dan kesedihan. Nikmat sebenar hidup tidak sekadar terletak pada mampu bernyawa, namun kehidupan itu juga perlu disertai kebahagiaan serta kepuasan.
Dalam pada itu, ada satu golongan pernah disebutkan ALLAH dalam al-Quran yang sentiasa hidup walaupun tidak lagi bernyawa.
Firman ALLAH SWT, “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan ALLAH itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi TUHAN mereka dengan mendapat rezeki.” (Surah Ali Imran, ayat 169)
Baca juga Binatang pelik, boleh bercakap ini akan keluar dari perut bumi pada Hari Kiamat nanti
Turut disyorkan Melahirkan di dunia, berpantang di syurga. Kisah ibu lahirkan anak dalam runtuhan bangunan meruntun jiwa
Tiga jenis syahid
Memetik laman web Mufti Wilayah Persekutuan, ada tiga jenis mati syahid menurut pandangan jumhur ulama, iaitu
1. Syahid dunia dan akhirat.
Merujuk kepada orang-orang beriman yang mati berjuang di medan peperangan untuk meninggikan syiar agama dan mendapatkan keredaan ALLAH.
Kematian ini dianggap sebagai syahid akhirat kerana mendapat pahala syahid di sisi ALLAH serta syahid dunia kerana jenazah mereka tidak dimandikan, tidak dikafankan dan tidak disolatkan. Bahkan mereka ditanam secara terus bersama darah dan pakaian yang ada.
Baca juga Jauhi dosa jariah ini, agar tidak mengalir bila kita sudah meninggal dunia
Baca juga 10 tanda kematian yang baik
2. Syahid dunia.
Sesiapa yang meninggal dunia kerana berperang di jalan ALLAH, tetapi dalam masa sama berjuang untuk tujuan keduniaan seperti berperang kerana inginkan ghanimah (harta rampasan) atau mendapatkan kedudukan di sisi manusia.
Dalam hal ini, dia cuma dianggap syahid dunia, namun tidak dikira syahid akhirat kerana tidak mendapat pahala syahid sempurna. Sebaliknya, urusannya di akhirat nanti adalah antara dia dan ALLAH.
3. Syahid akhirat.
Sesiapa yang syahid bukan di medan peperangan tetapi sebagaimana yang disebutkan dalam hadis. Contohnya seperti orang yang meninggal dunia kerana penyakit perut, taun, ditimpa runtuhan bangunan dan lain-lain.
Mereka dikurniakan pahala sebagai orang yang syahid di akhirat tetapi ganjarannya tidak sama dengan golongan yang pertama (syahid dunia dan akhirat).
Selain itu, golongan ini wajib dimandikan, dikafankan dan disolatkan.
Baca juga Dah ubah ‘macam-macam’, ini tatacara uruskan jenazah transgender
Baca juga Mengapa jenazah meninggal di Makkah, wajah tidak bertutup dan diselimut kain berbeza warna?
Ganjaran mati syahid
Firman ALLAH SWT, “Dan barangsiapa berperang di jalan ALLAH, lalu gugur atau memperoleh kemenangan maka akan kami berikan pahala yang besar kepadanya.” (Surah An-Nisa’, ayat 74)
Manakala, daripada Miqdam bin Ma’dikarib, Rasulullah SAW bersabda: “Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu: 1) Diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar, 2) melihat tempatnya didalam syurga, 3) dilindungi dari azab kubur, 4) terjamin keamanannya dari malapetaka besar merasakan kemanisan iman, 5) dikahwinkan dengan bidadari, 6) diperkenankan memberikan syafaat bagi 70 orang kerabatnya“. (Hadis Riwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad)
Demikian sebaik-baik kematian adalah kematian yang memperjuangkan agama ALLAH. Walaupun mereka tidak lagi bernyawa, namun para syahid kekal hidup meraih keredaan-NYA.
Sumber: Portal Mufti Wilayah Persekutuan
Foto: Pexels, Google & Unsplash