SIFAT sabar merupakan satu sifat yang cukup hebat sehinggakan ALLAH menyebutnya dalam al-Quran dalam banyak tempat, tetapi ayat yang paling hebat dan pasti digunakan oleh sesiapa sahaja apabila ALLAH menyebut di dalam Surah al-Baqarah ayat 153 yang maksudnya;
“Sesungguhnya ALLAH bersama orang-orang yang sabar”
Ya. Sabar merupakan sifat yang akan mendekatkan diri kita dengan ALLAH. Sabar juga merupakan kekuatan bagi jiwa orang mukmin.
Sabda Rasulullah SAW di dalam satu hadis maksudnya “Iman itu dua bahagian; satu bahagian sabar dan satu bahagian lagi adalah syukur”, (Hadis Riwayat Baihaqi).
Sungguh besar sabar itu dalam Islam sehingga di dalam al-Quran disebut perkataan sabar sebanyak 90 kali.
Memetik perkongsian Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah mengenai kesabaran dalam sesuatu perkara perlulah dititikberatkan supaya pekerjaan yang dilakukan mendapat hasil yang diingini.
Terdapat beberapa jenis kesabaran yang dikongsi oleh beliau;
1. Sabar dalam ketaatan kepada ALLAH
Sabar dalam mentaati ALLAH merupakan sabar yang penuh dengan dugaan, ini kerana sudah menjadi tabiat manusia yang tidak suka dikongkong dengan mana-mana peraturan kehidupan. Manusia suka akan kebebasan dan suka kepada benda-benda yang menghiburkan.
BACA JUGA 5 cara mengurangkan kesedihan menurut Islam
Sabar dalam mentaati ALLAH lebih sempurna daripada sabar menjauhkan diri daripada perkara-perkara maksiat. Sesungguhnya kebaikan dalam melakukan ketaatan lebih dituntut oleh syarak daripada kebaikan meninggalkan maksiat.
Firman ALLAH dalam Surah Al-Baqarah ayat 21, ertinya “Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa”.
2. Sabar dalam meninggalkan maksiat dan perkara-perkara haram
Sesungguhnya ALLAH menjadikan sesuatu sebagai ujian untuk menilai keimanan seseorang itu terhadap-NYA. Firman ALLAH di dalam Surah al-Anbiya’ ayat yang ke 35, “Dan KAMI menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada KAMILAH kamu semua akan dikembalikan”.
ALLAH menjelaskan kepada kita bahawa setiap apa yang ada pada orang yang tidak beriman dan melakukan maksiat bukan bererti mereka mendapat nikmat, akan tetapi ia adalah satu bala yang mana ramai manusia tidak mengetahuinya.
3. Sabar dalam sesuatu ujian dan ketentuan ALLAH yang menyakitkan
Tidak ada seseorang yang terlepas daripada kesakitan badan, kesakitan jiwa, kerugian harta benda dan kehilangan orang yang dikasihi.
Ujian ini datang tidak kira baik atau jahat, mukmin atau kafir tetapi yang membezakannya adalah bagaimana orang mukmin menghadapi setiap musibah itu dengan keredaan dan ketenangan kerana mereka yakin ia adalah ujian ALLAH untuk menguji hamba-hambanya.
BACA JUGA [VIDEO] Bersabarlah bila ditimpa ujian. Begitu besar rupanya hadiah orang yang bersabar…
Setiap ujian manusia itu berbeza diantara satu sama lain maka dengan kita bersabar dan yakin kepada ALLAH, ia akan menjadikan seorang hamba itu lebih reda menangani setiap masalah yang dihadapi.
Firman ALLAH SWT “Dan sungguh akan KAMI berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar” (Surah al-Baqarah ayat 155)