Browsing Tag

wanita

12408463_xxl
Gaya Hidup,

Ustazah Asma’ Harun Kongsi Kehebatan Zikir Fatimah

no comment

WANITA hari ini boleh dikategorikan sebagai ‘superwoman’ kerana mampu menguruskan rumah tangga tanpa bantuan sepenuhnya daripada suami.

Ada wanita yang dari jam 8 pagi sehingga 5 petang berada di pejabat kemudian menyambung pula tugas di rumah sebagai ibu dan isteri.

Dan ada pula golongan suri rumah yang sambil menguruskan anak dan suami masih tega mencari peluang melakukan kerja-kerja sampingan dengan niat membantu meringankan beban suami.

 

Kebanyakan wanita ada masanya terduduk dek kerana tugasan yang digalas di bahu.

Pun demikian, ada masanya wanita-wanita ini terduduk dan mengeluh kepenatan.

Bagi meraikan wanita-wanita hebat ini, pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun berkongsi satu amalan Zikir Fatimah menerusi laman Youtube Khalifah Untuk Semua Official dengan tajuk ‘Hebatnya Zikir Fatimah’.

Dalam ceramahnya itu, Ustazah Asma’ berkongsi pengalaman seorang wanita yang mengamalkan zikir ini

“Saya pernah berjumpa dengan seorang suri rumah yang mempunyai 10 orang anak. Suaminya sangat sibuk. Ketika berjumpa, saya berkesempatan bertanya bagaimana dia mampu mengendalikan 10 anak-anaknya tanpa bantuan sepenuh daripada si suami dan pembantu.

“Wanita itu berkata yang ada masanya dia pernah terduduk dan berasa tidak mampu namun kekuatannya adalah zikir. Dia melazimkan dirinya menyebut SUBHANALLAH 33 kali, ALHAMDULILLAH 33 kali dan ALLAHUAKBAR juga 33 kali.

“Kalau wanita hari ini boleh beramal dengan Zikir Fatimah maka kita tidak akan diberatkan dengan rasa penat atau kesibukan. Badan kita akan rasa kuat dan cergas,” kata pendakwah itu lagi.

Ustazah Asma’ turut memetik kisah yang melibatkan Nabi Muhammad SAW dan anaknya, Fatimah.

Saidatina Fatimah datang menemui baginda yang baru pulang daripada berperang. Fatimah mengetahui bahawa Rasulullah SAW membawa balik ramai tawanan perang yang terdiri daripada wanita. Fatimah memujuk baginda untuk mendapatkan seorang pembantu daripada tawanan itu namun Rasulullah SAW berkata, “Aku tidak akan membiarkan perkara itu.” Pulanglah Fatimah ke rumahnya.

Suatu hari, Rasulullah pergi ke rumah Fatimah dan berkata: “Mahukah kamu Fatimah aku memberikan sesuatu yang lebih baik daripada pembantu.” Fatimah segera menjawab: “Ya, mahu.”

Itulah SUBHANALLAH, ALHAMDULILLAH dan ALLAHUAKBAR. Saidatina Fatimah membacanya dengan jiwanya yang sangat ikhlas. Dalam Hadis sahih menyatakan bahawa zikir Fatimah digalakkan dibaca sebelum tidur.

webRNS-Eid-al-Fitr-New-Jersey-Mulsim1-092921
Jendela Dunia,

Wanita Islam Cenderung Diganggu Golongan Islamofobia Berbanding Lelaki

KAJIAN Program Keadilan Global oleh Institut Othering & Belonging, Amerika Syarikat (AS) mendapati bahawa wanita Islam lebih gemar menyembunyikan identiti agama mereka kerana takut diganggu golongan Islamofobia.

Laporan kajian yang bertajuk ‘Islamofobia melalui Mata Muslim’, dikeluarkan semalam (29 September 2021) dengan mengambil kaji selidik pada tahun lalu daripada 1,123 umat Islam yang tinggal AS.

Tujuan tinjauan itu adalah untuk meminta umat Islam AS menilai kesan yang lain dan diskriminasi dihadapi mereka kerana fahaman Islam yang menjadi pegangan hidup.

Laporan tersebut digambarkan sebagai inovatif kerana menjurus kepada orang-orang yang hidup terkesan akibat Islamofobia untuk didokumentasikan pengalaman kolektif mereka melalui rakaman suara menerusi pernyataan negatif tentang umat Islam.

Penyelidik Program Keadilan Global, Institut Othering & Belonging, Basima Sisemore, berkata tinjauan itu mengangkat suara orang Islam dan menyelami kepelbagaian populasi Muslim AS.

Graf latar belakang kaum dan etnik yang dilakukan kaji selidik.

Kaji selidik dilakukan keatas penduduk AS daripada latar belakang negara asal berbeza seperti Asia Selatan (35.6%); Arab (25.2%); Afrika (8.8%); Eropah (7%); Asia Tengah dan Timur (6.9%); berbilang kaum (1.2%); Latin (1.1%) dan lain-lain (14.2%).

Kajian mengikut kumpulan usia

Mereka juga terdiri daripada pelbagai usia seperti 18 hingga 29 (44.6%), 30 hingga 49 (34.3%); 50 hingga 64 (24%); 65 hingga 74 (25%), dan 75 keatas (10%). Sebilangan besar 90.7 peratus adalah lulusan kolej dan 92.4 peratus mampu berbahasa Inggeris dengan baik.

Menurut laporan itu juga, 83.5 peratus responden bercakap bahasa lain selain bahasa Inggeris di rumah. Sebilangan besar peserta 61.2 peratus dilahirkan di luar negara, sementara 38.8 peratus dilahirkan di AS.

“Peserta diajukan dengan pelbagai pertanyaan, termasuk siapa yang mereka yakin paling berisiko mengalami Islamofobia dan berapa kali mengalaminya. Adakah nilai-nilai Islam dipercayai sesuai dengan rakyat AS.

“Selain itu, berapa kerap individu itu bersosial dengan kumpulan bukan Islam dan bagaimana golongan anti-Islam telah mempengaruhi kesejahteraan mental sehingga pernah cuba untuk menyembunyikan identiti agama Islam.

Wanita adalah kumpulan yang paling berisiko mengalami gangguan Islamofobia.

“Hampir 75 peratus peserta percaya bahawa wanita lebih berisiko mengalami Islamofobia. Tinjauan mendapati 60.6 peratus responden percaya bahawa golongan itu adalah masalah yang sangat besar di AS,” katanya.

Bagi Sisemore, adalah penting untuk mengukur kesan itu, terutamanya kerana hampir semua peserta iaitu 97.8 peratus mengatakan bahawa mereka percaya bahawa Islamofobia wujud di AS.

Pengarah Program Keadilan Global, Elsadig Elsheikh, berkata lebih daripada dua pertiga atau 67.5 peratus secara peribadi mengalami gangguan pembenci agama dan wanita 76.7 peratus lebih cenderung daripada lelaki iaitu sebanyak 58.6 peratus mengalami pertemuan bersemuka dengan pemangsa. Hampir semua responden iaitu 93.7 peratus mengatakan bahawa kekacauan itu mempengaruhi kesejahteraan emosi dan mental mereka.

“Ini mungkin menunjukkan bahawa walaupun seorang Muslim tidak disasarkan secara langsung oleh tindakan Islamofobia, keberadaan golongan itu di media sosial setelah peristiwa 9/11 telah menciptakan perasaan umat Islam seperti diawasi, dinilai atau dipulau,” katanya.

Sumber: Religion News Service

 

 

 

file-20210820-23-10ht9h6
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Mengapa Sebilangan Wanita Muslim Berasa Berkuasa Ketika Memakai Tudung

no comment

SEBILANGAN masyarakat Amerika percaya bahawa agama Islam menindas wanita. Di Barat, terutama di Perancis, jilbab atau tudung yang dipakai oleh ramai wanita Muslim dirasakan telah menjadi simbol kepada penindasan kaum wanita.

Artikel ini akan menjelaskan beberapa masalah kompleks yang menjadi pilihan mengapa ramai wanita Muslim untuk memakai jilbab, termasuk mengapa wanita melihatnya sebagai tanda pemerkasaan. Ini juga akan menarik perhatian kepada beberapa gerakan feminis Muslim global yang sering tidak disedari di dunia Barat.

Ahli sosiologi, Caitlin Killian menjelaskan bahawa wanita Yahudi, Kristian dan Hindu telah menutup kepala mereka sejak zaman pra-Islam.

“Bagi sebilangan wanita Muslim hari ini, memakai jilbab adakah kerana tuntutan di dalam Islam iaitu cara menunjukkan ketundukan mereka kepada ALLAH.

“Al-Quran memerintahkan lelaki dan wanita untuk menjaga kesopanan ketika berpakaian dan tingkah laku mereka. Walau bagaimanapun, pakaian wanita Muslim bukan sekadar mematuhi perintah dan kepercayaan agama, ia juga telah digunakan pada masa lalu dan sekarang sebagai penegasan identiti.

“Ketika pemerintahan penjajah, wanita Muslim lebih cenderung untuk menyerupai wanita Eropah dengan menanggalkan jilbab. Ketika tuntutan kemerdekaan daripada pemerintahan penjajah, jilbab menjadi simbol id entiti nasional dan penentangan terhadap Barat,” kata Killian.

Nazma Khan bergambar ketika Hari Hijab Sedunia pada tahun 2013

Hari ini, sebilangan wanita Muslim di Amerika mungkin memakai jilbab sebagai cara untuk menyatakan rasa bangga mereka dalam menghadapi golongan Islamofobia. Hari Hijab Sedunia, yang disambut pada 1 Februari mulai tahun 2013 terjadi melalui usaha seorang pendatang ke Amerika Syarikat dari Bangladesh, Nazma Khan yang pada awalnya malu untuk memakai jilbab. Dia memutuskan untuk memakainya ketika merasai pengalaman memakai tudung bersama golongan wanita Muslim dan bukan Muslim pada hari itu.

Walaupun begitu, sebahagian besar dunia Barat, jilbab terus dilihat sebagai simbol penindasan wanita Islam. Di Switzerland, kerajaannya mempersetujui undang-undang yang dibuat pada Mac 2021 dengan melarang wanita penutup wajah, sementara Perancis mendesak penelitian yang lebih ketat mengenai jilbab.

Hari Wanita Sedunia di sambut setia 1 Februari setiap tahun.

Dalam penghakiman pada 14 Mac 2017, Mahkamah Kehakiman Kesatuan Eropah (EU) yang menttafsirkan undang-undang, membenarkan syarikat swasta di Perancis untuk melarang pekerja memakai simbol agama, politik dan falsafah demi kepentingan berkecuali.

Ahli sosiologi Z. Fareen Parvez, mengatakan undang-undang anti-jilbab adalah ‘titik perubahan’ dalam kehidupan wanita Muslim yang inginkan penerimaan dan integrasi dalam masyarakat Perancis. Jilbab bukan sekadar simbol agama bagi kebanyakan wanita, tetapi ia adalah cara semula jadi.

“Fokus kepada pakaian wanita Muslim ini menarik perhatian daripada masalah lain dan bagaimana gerakan feminis Muslim berusaha membawa perubahan. Di Indonesia, misalnya, para ilmuan agama wanita Islam atau ulamak, membantu mengubah cara Islam untuk mudah difahami dan diamalkan,” katanya.

Seperti yang dikatakan oleh ahli sosiologi Rachel Rinaldo, sejak tiga dekad lalu, Indonesia telah menyaksikan kemunculan generasi baharu pemimpin agama wanita yang mentafsirkan al-Quran dapat memberi kekuatan kepada wanita.

“Ilmuan agama wanita lebih lebih senang diterima, dibandingkan dengan aktivis hak wanita, kerana mereka adalah ilmuan Islam yang terlatih,” jelas Rinaldo.

Sumber: The Conversation

Deccan Herald
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Wanita Mesir ‘Langgar Pantang’ Tubuh Kumpulan Nasyid Islam

no comment

BAIT-bait lirik memuji kebesaran Illahi di sebuah studio kecil luar Kaherah kedengarannya tidaklah begitu berbeza dari sebelum ini. Namun bezanya, kali ini ia dinyanyikan oleh sekumpulan wanita.

Lagu-lagu memuji ALLAH dan Nabi Muhammad S.A.W menjadi kebiasaan dinyanyikan orang Islam di Mesir dan negara Timur Tengah. Tetapi nyanyiannya itu sebelum ini hanya dipersembahkan oleh golongan lelaki sahaja.

Penubuhan Al Hur menarik ramai wanita muda untuk turut serta. Gambar: Devdiscourse

Kini, sekumpulan wanita Muslim pertama di Mesir yang menggelarkan diri mereka Al Hur, bertekad untuk mengubahnya dengan melanggar pantang larang terhadap wanita bagi negara yang masih bersikap konservatif untuk mengalunkan suara mereka di khalayak ramai.

“Keberadaan wanita dalam bidang nyanyian bukanlah untuk memecahkan kebiasaan sosial terhadap bidang nyanyian. Namun ini adalah untuk memberikan gaya baharu khas untuk seni yang telah lama dikuasai oleh golongan lelaki, ”kata Pengasas Al Hur, Nema Fathi, 26.

Tujuh wanita yang duduk di kerusi dalam studio pada sesi latihan sambil melihat lirik menerusi telefon pintar masing-masing, begitu khusyuk menyampaikan lagu-lagu pujian yang turut disertai dengan irama menerusi piano dan gendang.

Serangan meluas
Fathi mempraktikkan bentuk muzik keagamaan yang dikenal sebagai ‘inshad’ atau nasyid, di mana penyampaian dan pujian terhadap ALLAH dan Nabi Muhammad.

Di negara Timur Tengah, nasyid hanya biasanya disampaikan golongan lelaki sahaja, namun jika wanita bermain muzik atau bernyanyi di depan umum ia akan dipandang janggal.

Fathi mengatakan dia sering menghadapi kritikan sejak penubuhan Al Hur pada tahun 2017, namun ramai wanita ingin mengikuti minat mereka terhadap dunia muzik nasyid.

“Sejak penubuhan kumpulan ini, kami menghadapi serangan meluas oleh beberapa tokoh nyanyian Muslim terkemuka yang tidak menyokong kami.

“Ada yang memberitahu bahawa suara wanita tidak sesuai dipersembahkan kepada umum. Bagaimana gadis boleh menyanyikan lagu-lagu keagamaan?’ Kata mereka. Tetapi kami mencabar diri kami untuk menjadikan kumpulan ini berjaya, ”tambah Fathi.

Kekurangan masa dan wang membataskan penubuhan nasyid
Fathi mengeluarkan belanja 500 pound Mesir (RM133 ) sejam untuk menyewa studio, di mana dia menawarkan latihan mingguan percuma kepada ahli yang biasanya berlangsung antara tiga hingga lima jam latihan. Ahlinya hanya perlu membayar pengangkutan sendiri untuk menghadiri Latihan.

Sehingga kini, mereka telah mengadakan lebih 50 konsert sejak empat tahun penubuhannya.

“Ahli kami sentiasa bertukar kerana sebilangan besar mereka telah berkahwin dan berhenti untuk menjaga keluarga mereka,” kata Fathi, sambil menambah bahawa kebanyakkan suami wanita itu tidak menyokong mereka menyertai kumpulan itu.
Di sebalik kesukaran yang mereka sering hadapi, anggota Al Hur bertekad untuk terus maju ke hadapan.

Sumber: Reuters

b9a36433-ae82-40ce-89e0-d7e7e5e50c5a
Berita Semasa, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Seksisme Dalam Sukan Wanita, Pink Bayar Denda

no comment

ISU etika berpakaian yang mengiurkan dan seksi bagi penampilan atlet wanita dalam acara sukan sudah lama dibincangkan di kalangan mereka sendiri.
Isu itu juga mendapat perhatian media, peminat sukan dan masyarakat umum khususnya yang beragama Islam yang cukup mengambil berat berkaitan isu aurat.

Pada sukan Olimpik 2020 yang kini sedang berlangsung di Tokyo, Jepun, isu itu kembali diperkatakan apabila pasukan bola baling pantai, Norway telah didenda kerana menentang untuk tidak memakai seluar bahagian bawah bikini sebaliknya memilih untuk memakai seluar pendek.
Akibatnya, pasukan itu akhirnya didenda 150 Euro (RM749) setiap seorang oleh Persekutuan Bola Baling Eropah kerana melanggar peraturan.

Menurut peraturan Persekutuan Bola Baling Antarabangsa, bahagian bawah wanita harus sesuai iaitu potongan pada sudut ke atas ke bahagian kaki, selain lebar sisi bawah dan tidak boleh melebihi 10 sentimeter.

Pasukan Bola Baling Pantai Wanita Norway bersama piala yang dimenanginya pada pertandingan sebelum ini.

“Kami sangat bangga dapat mengikuti pertandingan ini dan memperoleh gangsa walaupun bermain dengan berseluar pendek dan bukannya bahagian bawah bikini yang diperlukan. Kami sangat berharap perkara ini akan mendatangkan perubahan peraturan yang tidak masuk akal ini,” kata mereka dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi akaun Instagram rasmi kumpulan itu.

Pink menulis tanda sokongan kepada pasukan bola baling pantai Norway menerusi akaun twitternya.

Pink tawar bayar denda

Tindakan itu mendapat reaksi selebriti dunia, Pink yang menawarkan untuk membayar denda kepada pasukan bola baling pantai wanita Norway setelah mereka menolak untuk memakai baju bikini semasa pertandingan pingat gangsa di European Beach Handball Championship, minggu lalu.

Pemenang Anugerah Grammy tiga kali itu menulis di Twitternya bahawa dia menyokong pasukan Norway kerana memprotes peraturan tersebut, bahkan menawarkan untuk membayar penalti.

Pink tawar bayar denda bagi Pasukan Bola Baling Pantai Norway. Gambar: Us Weekly

“Saya sangat bangga dengan pasukan bola baling pantai wanita Norway kerana memprotes peraturan penampilan seksi bagi pakaian mereka,” tulisnya.

“Persekutuan bola baling Eropah seharusnya perlu peka dengan seksisme. Bagus ya kamu, saya akan membayar denda untuk anda. Teruskan,” tambahnya.

Sejak dulu memang terdapat diskriminasi yang jelas terhadap pemakaian atlet wanita dalam beberapa sukan di dunia.

Berbeza dengan pakaian atlet lelaki yang boleh mengenakan seluar pendek dan longgar dibenarkan selagi seluar masih berada 10 sentimeter di atas lutut.

Sarah Voss lebih selesa dan yakin mengenakan bodysut penuh ketika beraksi di Sukan Olimpik Tokyo, baru-baru ini. Gambar: BBC

Terbaharu pada penganjuran Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, gimnas Jerman, Sarah Voss juga berhadapan masalah sama apabila dia meluahkan rasa kurang selesa mengenakan ‘bikini’ dan menanganinya dengan memilih ‘bodysuit’ penuh berbanding dengan sut elastik biasa.

“Masa kecil saya rasa tiada masalah memakai ‘sut bikini’ tetapi kini bila dewasa rasanya sudah tak sesuai bagi saya.

“Bagi kami, penting untuk menarik atlet muda kerana isu pakaian ini sering kali menjadi kegusaran bagi pelapis muda yang tidak mahu mengikuti sukan ini selepas mereka baligh,” kata Sarah Voss dalam satu kenyataan.

Pada penganjuran Sukan Olimpik di Tokyo 2020, pasukan gimnas wanita Jerman memilih untuk memakai seluar yang menutup seluruh bahagian kaki hingga buku lali.

Keputusan itu dibuat bagi mengelakkan isu ‘seksualiti’ yang sering dibangkitkan dalam acara gimnastik wanita.

Masalah seksualiti jika tidak diatasi dengan profesional dalam dunia sukan, akan mengakibatkan kesan hiper-seksualisasi dan komodifikasi tubuh wanita ini boleh merosakkan dengan serius.
Tinjauan BT Sport pada tahun 2017 mendapati bahawa 80 peratus atlet wanita United Kingdom merasakan tekanan untuk menyesuaikan diri dengan penampilan yang meyakinkan.

Pada tahun lalu, 77 peratus atlet wanita telah menjawab kaji selidik yang dibuat Survei Elite British Sportswomen BBC yang mengatakan bahawa mereka sememangnya sedar akan imej badan mereka diperdagangkan.

Sumber: CBS News/Sportsnet

2
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Jurutera wanita Saudi Mengubah Persekitaran Industri Dikuasai Lelaki

no comment

Walaupun terdapat kemajuan terkini, wanita tetap menjadi minoriti dalam profesion sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), terutama di negara Timur Tengah dan Afrika Utara.

Namun berbeza keadaannya di Arab Saudi apabila kini semakin ramai wanita memilih kerjaya dalam bidang STEM dan menyumbang kepada persekitaran kerja yang lebih seimbang gender dan sektor perindustrian kerajaan yang sangat inklusif.

Razan Alraddadi (kiri) adalah pakar pembangunan di Amaala dan Ruaa Mahmoud (kanan) adalah Perunding Siswazah di WSP Timur Tengah.

Pakar pembangunan di Amaala (Projek destinasi pelancongan mewah di Arab Saudi), Razan Alraddadi, dan Perunding Siswazah di WSP Timur Tengah, Ruaa Mahmoud, menjadi antara generasi baharu wanita Arab Saudi yang turut terbabit dalam sektor profesion dalam bidang STEM.

“Seperti kebanyakan pelajar kejuruteraan, saya mahir dalam matematik dan saya suka menyelesaikan masalah.

“Ketika saya membesar sebagai seorang kanak-kanak, saya suka membaiki barangan yang rosak di rumah. Ayah saya sering memperhatikannya dan meyakini suatu hari nanti saya boleh menjadi seorang jurutera wanita pertama dalam keluarga kami,” kata Alraddadi dalam forum bertajuk Model peranan kejuruteraan untuk masa depan yang lebih pelbagai baru-baru ini.

Program itu disiarkan sempena memperingati Hari Wanita Antarabangsa dalam Kejuruteraan yang dirai pada 23 Jun lalu. Objektifnya adalah untuk meningkatkan profil wanita dalam profesion kejuruteraan dan menumpukan perhatian kepada peluang kerjaya yang tersedia bagi calon teknologi.

Alraddadi yang juga penerima tahun pertama biasiswa di University of Washington pada tahun 2014, mendapati wanita kurang mendapat perhatian dalam kursus kejuruteraan.

Amaala yang terletak di Pantai Laut Merah, tempat Razan Alraddadi bekerja sebagai pakar pembangunan. Amaala akan menjadi destinasi antarabangsa yang sangat mewah, dan salah satu projek utama Wawasan 2030 Arab Saudi.

 

Jadikan individu berjaya sebagai inspirasi

Tetapi setelah mendengar seorang jurutera elektrik wanita dari NASA berkongsi pengalamannya semasa perbincangan panel yang diketuai oleh Persatuan Jurutera Wanita dia menjadikan idolanya itu sebagai inspirasi.

Walaupun sebelum ini dia merasa ragu menceburi bidang itu apabila pertama kali tiba di universiti, Alraddadi akhirnya menyakini apabila mendapat banyak sokongan yang memberinya dorongan sepanjang pengajiannya.

“Tidak ramai ketika itu saya melihat wanita lain dalam bidang kejuruteraan mendapat keputusan cemerlang. Pada saat itu, saya mempunyai keyakinan yang diperlukan untuk meneruskan karier dalam bidang kejuruteraan.

“Sejak hari itu ia menjadi pengalaman yang luar biasa apabila dapat menyertai Amaala sebagai jurutera dan saya berada di dalam persekitaran yang dikelilingi oleh pasukan jurutera yang luar biasa dan sangat inklusif.

“Ketika itulah saya tahu kejuruteraan adalah jalan utama dan kerjaya yang baik,” katanya.


WSP memberi peluang kepada anak muda Saudi yang bekerja di STEM, dan wanita Saudi berada di barisan hadapan dalam menyampaikan Visi 2030. Gambar: WSP

Bagi Ruaa, peluang itu bagaikan seperti menyaksikan filem Hollywood berjudul “The Astronaut Farmer,” di mana seorang ranger Texas membina roket di gudangnya untuk melancarkan dirinya ke angkasa.

Katanya, filem itu memberi inspirasi sehingga timbul minatnya terhadap astrofizik dan kejuruteraan aeronautik. Ia mengajarnya bahawa apa sahaja yang mungkin dilakukan dengan penuh semangat dan tekad akan tercapai impiannya.

“Sebagai seorang kanak-kanak, saya merasa filem itu seperti realistik dan ketika membesar saya merasakan bahawa saya akan sampai ke tahap itu.

“Itulah yang sebenarnya mendorong saya untuk memilih kejuruteraan elektrik dan komputer. Apa sahaja yang membuat saya bekerja di kapal angkasa, sistem autonomi atau robotik yang akan membantu angkasawan atau membantu saya sampai ke Stesen Angkasa Antarabangsa ia sebenarnya membantu visi untuk pergi ke angkasa lepas,” kata Ruaa.

 

Wanita kini mampu bersaing

Menurut Institut Statistik UNESCO 2018, hanya 28.8 peratus penyelidik dunia adalah golongan wanita.

Pendaftaran wanita dalam bidang kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan hanya lapan peratus di seluruh dunia, sementara dalam sains semulajadi, matematik dan statistik, jumlahnya lebih rendah iaitu lima peratus. Untuk teknologi maklumat dan komunikasi, angka itu menurun hingga tiga peratus.

Di Timur Tengah, wanita kini merangkumi hampir separuh daripada keseluruhan populasi pelajar STEM.

Walaupun 38 peratus graduan Saudi di lapangan adalah wanita, hanya 17 peratus dari mereka yang bekerja di sektor STEM.

Wanita seperti Rauu dan Alraddadi menentang trend itu. Setelah belajar di luar negera, mereka berdua memilih untuk kembali menyumbang kepada negara untuk karier mereka.

Kata Alraddadi, dia memilih untuk kembali bersama keluarga di negara asal, melakasanakan projek yang sangat besar yang berpotensi menjadi revolusi dalam sejarah Arab Saudi.

“Projek itu membuka peluang terbaik untuk saya pulang ke rumah dan sudah semestinya peluang terbabit dalam projek besar ini mempengaruhi keputusan saya. Saya sangat teruja dan bangga dapat kembali ke Arab Saudi,” katanya.

Di Timur Tengah, wanita sekarang merangkumi hampir separuh daripada jumlah keseluruhan pelajar STEM, yang mencerminkan pembaharuan masyarakat bagi wanita di Arab Saudi. Gambar: Shutterstock

Menyediakan program siswazah terbuka kepada lelaki dan wanita dilihat adalah langkah pertama yang penting untuk menarik lebih ramai pelajar menceburi bidang kejuruteraan.

Bedasarkan pemerhatiannya, Rauu berkata, bidang kejuteraan dan sektor kerajaan sangat sinonim dengan golongan lelaki dan ia adalah perkara biasa khususnya di negara Timur Tengah.

“Saya sering berjuang untuk menyebarkan mesej kita perlu memecahkan halangan itu dan menyampaikan kepada komuniti, orang awam, rakan dan keluarga bagaimana untuk membiasakan dengan normal baharu di mana wanita menceburi bidang kejuruteraan, mengikuti bidang ini untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

“Saya telah mengetahui perkara-perkara yang tidak akan saya ketahui, terutamanya dalam bidang pembinaan, seperti kejuruteraan elektrik. Secara kesimpulannya, walaupun wanita di bidang STEM cenderung mempunyai gaji yang lebih tinggi daripada yang ada di bidang bukan STEM, namun masih terdapat jurang gaji mengikut gender dalam profesion STEM,” katanya.

Rauu percaya bekerja di industri itu bukannya sekadar belajar teknik, namun memberikannya pandangan yang lebih luas mengenai jalan yang terbuka untuknya.

Suasana persekitaran kerja di Amaala yang serba moden dan berteknologi tinggi. Gambar: Amaala

Alraddadi yang telah menyertai Amaala selama sembilan bulan, berkata bidang kejuruteraan boleh menjadi pilihan lebih menarik sebagai jalan kerjaya bagi wanita jika pekerjaan, projek dan kehidupan jurutera dipromosikan dengan cara yang berkesan.

“Saya juga percaya pada program siswazah yang akan membawa anda dan melatih anda sebagai jurutera setelah anda lulus. Itu akan membuat anda merasa seperti kejuruteraan adalah profesion yang sangat baik dan dapat dimanfaatkan anda,” katanya.

Menurut wakil Jawatankuasa Pemandu Keseimbangan Gender dan ketua penyampaian projek dan seni bina bersepadu di WSP Timur Tengah, Shona Wood persekitaran perindustrian yang dikuasai secara tradisional oleh golongan lelaki sedang mengalami transformasi apabila semakin ramai wanita menemui peluang kerjaya dalam bidang kejuruteraan.

Sumber Teks dan gambar: Arab News/Amaala

Inspirasi,

5 tokoh wanita Islam yang wajib dijadikan inspirasi dan tauladan kaum Hawa

WANITA sering dimomokkan dengan kata-kata bahawa mereka insan yang lemah dan tidak berdaya.

Walhal sejak zaman peradaban Islam lagi, kaum Hawa sudah memikul tanggungjawab besar dan memainkan peranan signifikan dalam banyak bidang.

Tidak kiralah dalam bidang pendidikan, kebudayaaan, politik ataupun sosial, mereka sudah diberi mandat dan kepercayaan untuk menguruskan segala macam hal.

Bercerita tentang topik ini, terdapat beberapa nama wanita yang signifikan dalam dunia Islam yang masih tidak ramai tahu lagi.

Barangkali inilah masanya kita masing-masing mencelikkan mata dan membuka telinga untuk mengenali tokoh-tokoh wanita agama yang telah menyumbang kepada kemajuan manusia sehingga ke hari ini.

Sewajarnya mereka diiktiraf dan dibukukan dalam lembaran sejarah di peringkat sekolah termasuk universiti. Kalau sudah ada, perhebat dan perkembangkan lagi intisarinya.

Justeru, pada artikel kali ini, SinarPlus senaraikan tokoh wanita Islam dan sumbangan mereka kepada masyarakat untuk sama-sama kita hargai dan kenang buat selama-lamanya.

1.  Sayyida al-Hurra

Mengikut sejarah, beliau dilahirkan di Granada, Sepanyol yang ketika itu kerajaannya dipimpin oleh pemerintah beragama Islam.

Selepas kejatuhan empayar Islam ekoran penaklukan Kristian Sepanyol pada tahun 1492, Sayyida sekeluarga telah berhijrah ke Morocco (Magribi).

Beliau berkahwin dan menetap di kota Tetouan, Utara Morocco.

Sayyida kemudian menjadi pemerintah kota tersebut selepas kematian suaminya sekitar tahun 1515.

Mengikut sejarah, wanita itu seorang yang bijak dalam menguruskan perihal kapal dagang dari negara Sepanyol dan Portugal.

Selang beberapa tahun, beliau mendirikan rumah tangga dengan Raja Morocco pula.

Selepas 30 tahun pemerintahan, beliau dikatakan telah digulingkan oleh salah seorang daripada ahli keluarganya sendiri. Sayangnya!


2. Al-Malika al-Hurra Arwa al-Sulayhi

Dilahirkan pada tahun 1048, Al-Malika yang telah dipelihara oleh bapa dan ibu saudaranya yang merupakan pemerintah negara Yemen setelah kematian kedua orang tuanya.

Pada usia 17 tahun, beliau telah berkahwin dengan seorang putera raja dan telah diangkat sebagai ratu setelah bapa dan ibu saudaranya meninggal dunia.

Beliau diberikan gelaran ‘Ratu Kecil Sheba’ atas kebijaksanaan mentadbir dan meningkatkan tahap ekonomi negara, selain membina sekolah bagi memberi peluang pembelajaran kepada rakyat.

 


3. Lubna

Sekitar abad ke-10, Lubna dilahirkan di Cordoba, Sepanyol.

Beliau telah dijadikan sebagai hamba memandangkan ketika itu aktiviti pemerdagangan manusia adalah satu kebiasaan. Kalau nak tahu, tengok filem Tiga Abdul! 🙂

Biarpun latar belakangnya sebagai hamba, beliau seorang yang pintar dan menjadi salah seorang pejuang sastera ketika zaman pemerintahan kerajaan Andalusia.

Memiliki kemahiran menulis dan membaca, Lubna telah menyandang jawatan sebagai setiausaha kepada Putera Abd Al-Rahman Hakam II Ibn Abdur-Rahman yang merupakan seorang khalifah pada ketika itu.

Kehebatannya bukan sekadar dalam bidang sastera semata-mata, bahkan turut bijak menguasai ilmu matematik dan tulisan kaligrafi.

Wanita itu juga dipertanggungjawabkan menjaga pengurusan perpustakaan Istana Andalusia yang ketika itu memiliki sekitar 500,000 buah buku.

4. Nusaybah Ka’ab

Nusaybah terkenal dengan keberaniannya di medan peperangan dan mahir dalam menggunakan senjata.

Jasanya yang paling diingati adalah ketika berlakunya Perang Uhud (625 Masihi) apabila beliau diamanahkan untuk melindungi Nabi Muhammad SAW daripada ancaman musuh.

Beliau menjadikan tubuhnya sebagai ‘perisai’ untuk melindungi Rasulullah daripada terkena panahan anak panah dan tombak.

Isteri kepada Zaid Asim itu dikatakan tidak sedarkan diri selepas terkena serangan ke-12.

Biarpun dalam keadaannya yang masih sakit baru saja sedar, soalan pertama dilontarkan ialah: “Adakah Nabi masih hidup?”.


5. Fatima Abi al-Qasim Abdul Rahman

Nama Fatima sangat terkenal sekitar abad ke-12 dan 13 kerana kebijaksanaannya dalam bidang perundangan, kehakiman, tasawuf dan ilmu sains.

Beliau mempelajari kemahiran menghafal pelbagai jenis buku ilmiah dan al-Quran daripada bapanya, Abu Abdullah al-Madwari yang ketika itu merupakan seorang ilmuan hebat.

Wanita itu juga merupakan ibu kepada Abu al-Qasim al-Taylasan iaitu seorang ulama terkenal di Andalusia.

Baca juga Ada sebab mengapa wanita begitu dimuliakan dalam Islam, berikut perinciannya

Wah! Hebatkan kemampuan dan kemahiran wanita di zaman dahulu! Ia secara secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada pembangunan pada hari ini.

Diharapkan barisan wanita ini dapat menjadi inspirasi buat kita semua agar tidak mengalah dalam mengejar ilmu dunia dan akhirat.

Nota: Semoga rakyat Palestin diberikan kekuatan dalam mendepani kekejaman tentera Israel yang menyerang wilayah mereka sejak akhir Ramadan lalu. Amin.

Foto: Unsplash

unnamed
Berita Semasa, Gaya Hidup, Uncategorized,

Itaqwa Care Malaysia – Matan Tandatangani Perjanjian

no comment

SHAH ALAM, 16 Mac 2021 – Syarikat perkhidmatan kesihatan swasta Malaysia pertama yang berasaskan prinsip syariat Islam khusus buat wanita untuk wanita, iTaqwa Care Sdn. Bhd. (iTC) menandatangani perjanjian dengan Maahad Tahfiz An-Nabawi (MATAN) sebagai konsultan perkhidmatan kesihatan secara rasmi di setiap 11 cawangan MATAN di seluruh negara.

Pengasas iTC, Puan Hajjah Fara Othman berkata, “Kami amat bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan oleh Pengasas MATAN, Ustaz Ahmad Dusuki kerana melantik iTC sebagai perunding perkhidmatan kesihatan menyeluruh di setiap cawangan MATAN yang bakal berlangsung selama 2 tahun.”

“iTC akan bertanggungjawab di dalam operasi mini klinik yang akan dibina di setiap sekolah MATAN, ini termasuk penganjuran program kesihatan dan kesedaran buat pelajar-pelajar serta keseluruhan warga MATAN.

“Selain itu, iTC juga turut menyediakan perkhidmatan kaunseling secara profesional dengan menganjurkan program kesedaran kesihatan mental, dan membantu pihak MATAN dalam memeriksa dan memperbaiki mutu ‘medical report’ pelajar-pelajar MATAN pada masa akan datang.

Menurut Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, selaku Pengasas MATAN, “Saya memilih iTC sebagai perunding perkhidmataan kesihatan rasmi MATAN kerana saya percaya dengan visi pengasasnya, Puan Hajjah Fara yang mahu menerajui bidang perkhidmatan kesihatan di Malaysia yang berteraskan hukum Syarak.”

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani.Pengasas Maahad Tahfiz An-Nabawi (MATAN)

“Selain itu, saya juga akan berperanan sebagai penasihat Syariah bagi iTC Home Nursing, iTC Dialysis Center dan iTC Clinic, serta membantu didalam memberi tunjuk ajar serta Tarbiyah buat kesemua staff iTC dan akan menasihati skuad pemandi jenazah wanita iTC.

Sebagai peneraju perkhidmatan kesihatan yang lebih Islamik di Malaysia dan Asia Tenggara, Puan Hajjah Fara turut menerangkan, “MATAN merupakan Madrasah pertama yang akan mengetengahkan peri pentingnya tentang penjagaan kesihatan di kalangan pelajarnya ketika dunia sedang berdepan dengan pandemik COVID-19.”

“iTC bukan sahaja syarikat perkhidmatan kesihatan pertama di Malaysia yang berteraskan Syariah bahkan perunding kesihatan pertama di sekolah aliran agama atau Tahfiz negara.

Bidang perkhidmatan kesihatan secara global sedang berdepan dengan perubahan yang mendadak kerana pandemik COVID-19 dan ini merupakan cabaran yang  disahut oleh iTC, tambah pengasasnya lagi, “Perancangan masa hadapan iTC adalah untuk menubuhkan klinik kesihatan menyeluruh khusus buat kaum wanita yang lengkap dan kami juga bakal melancarkan produk kesihatan dalam bentuk ‘travel kit’ buat para jemaah Haji dan Umrah.

“Harapan saya selaku Pengasas iTC adalah agar perjanjian dengan MATAN ini dapat diteruskan pada tahun-tahun berikutnya, selain memperkembangkan mutu perkhidmatan iTC  dan terus memantapkan usaha kami dalam menawarkan pekhidmatan kesihatan berunsurkan hukum Syariat pada peringkat antarabangsa In Shaa Allah.

Puan Hajjah Fara Othman,Pengasas iTaqwa Care Sdn. Bhd.

mariam
Personaliti, Pilihan Editor, Video,

[Video] Wanita Hebat Pelopor GPS : Mariam al-Astrulabi

no comment

Mungkin tidak ramai yang mengetahui, sains di sebalik teknologi GPS pada hari ini, diasaskan oleh Mariam Al-ijliyy Al-Asturlabi. Wanita hebat ini dilahirkan pada abad ke 10 Masihi di Aleppo, Syria, anak kepada ahli astrologi terkenal di Baghdad Al-Ijliyy Al-Asturlabi, Mariam merupakan pakar ilmu sains yang ternama dengan menemukan ilmu perkiraan menggunakan astrolab, sebuah alat pengiraan yang fungsinya sama seperti GPS pada masa kini.

Klik video yang disediakan untuk mengetahui kehebatan beliau #mariam #astronomi #astrolabe #sejarah #wanita #Islam #Muslim #syria #Malaysia #SinarIslamPlus #SinarHarian #kompas

Al-Fihri
Jendela Dunia, Pilihan Editor, Uncategorized, Video,

[Video] Universiti Pertama Dunia Dibina Oleh Wanita?

no comment

Tahukah anda? Universiti pertama di dunia yang diasaskan di Afrika Utara oleh seorang wanita yang berhasrat memberi pendidikan kepada semua yang mahu dari seluruh dunia.

Wanita berkenaan ialah Fatimah binti Muhammad Al-Fihtiyya Al-Qurashyi,
atau dikenali oleh dunia sebagai Fatima Al-Fihri
Kenali personaliti yang menjadi kebanggaan dunia ini.

#Personaliti​​ #SinarIslamplus​​​
#SinarHarian​​ ​#LifestyleSinarHarian​​​ #Africa​
#GayaHidup​​ #Wanita​
#WanitaIslam​ #Universiti