Browsing Tag

umat ingkar

KOTA-KOTA DILAKNAT ALLAH SWT
Berita Semasa,

Selain Madain Saleh, ini 5 lagi lokasi kota pernah dilaknat ALLAH SWT

BARU-BARU ini, isu seorang selebriti Malaysia berkunjung ke Kota Al Ula telah membuka mata masyarakat Malaysia berkenaan sejarah tempat tersebut.

Perihal itu secara tidak langsung telah mengajak umat Islam di sini untuk mendalami ilmu baru iaitu mengenali beberapa lokasi pelancongan yang pernah menjadi tempat dilaknat oleh ALLAH SWT.

Berikut merupakan lima lokasi tersebut seperti dikongsi oleh portal siraplimau.com.

1.Madain Saleh

MADAIN SALEH

Madain Saleh adalah kota kuno yang terletak di wilayah utara Hijaz dan suatu masa dulu, tempat ini dihuni oleh kaum Tsamud iaitu kaum Nabi Saleh AS. Mereka dianggarkan hidup sejak 3,000 tahun sebelum Masihi di antara zaman Nabi Nuh AS hingga ke zaman Nabi Musa AS.

Kaum Tsamud diazab dan dibinasakan dengan gempa bumi yang dahsyat kerana mendustakan Nabi dan membunuh unta Nabi Saleh AS.

Firman ALLAH SWT “Dan orang-orang yang zalim itu dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.” (Surah Hud, ayat 67)

Pada 2008, tapak ini telah digazetkan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.

2. Negeri Kaum Aad

NEGERI KAUM AAD

Kaum Aad hidup di jazirah Arab, di suatu tempat bernama Al-Ahqaf yang terletak di utara Hadramaut antara Yaman dan Oman. Mereka kaum penyembah berhala bernama Shamud, Shada dan al-Haba.

Dalam sejarah, terdapat dua kaum Aad. Kaum Aad awal atau pertama dan kaum Aad akhir atau kedua. Nabi Hud diutus pada kaum Aad awal.

Kaum Aad dibinasakan oleh ALLAH SWT kerana kekufuran mereka dan tidak pernah merasa puas dengan segala kemewahan dan kemegahan yang mereka peroleh.

ALLAH SWT berfirman “Maka (masing-masing menerima azab dunianya) – adapun Thamud (kaum Nabi Soleh), maka mereka telah dibinasakan dengan (petir) yang melampau dahsyatnya. Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya, yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang.” (Surah Al-Haqqah, ayat 5-7)

3. Laut Mati (Dead Sea) atau Kota Sodom

LAUT MATI

Kaum Nabi Luth AS dihancurkan kerana melakukan perbuatan keji seperti merompak, mencuri serta melakukan seks dengan jantina sejenis iaitu homoseksual. Walapun sudah diingatkan oleh Nabi Luth AS, namun umatnya tidak mahu menuruti perintah ALLAH hinggakan ditimpa azab yang sangat pedih.

Berdasarkan penerangan cendekiawan Islam, umat Nabi Luth AS adalah di Kota Sodom iaitu di daerah yang sekarang dikenali dengan nama Laut Mati, di sempadan antara Israel dan Jordan.

Berdasarkan ahli arkeologi pula, mereka menyatakan sekitar 1,800 hingga 2,350 Sebelum Masihi, terdapat kehidupan di tempat berkenaan dan kehidupan itu mati akibat gempa bumi dan ditimpa dengan batu-batu.

Firman ALLAH dalam kalam-NYA “Maka apabila datang (masa pelaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri Kaum Luth itu diterbaliknya (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar menimpanya bertalu-talu.” (Surah Hud, ayat 82)

4.Laut Merah atau Laut Kulzum

LAUT MERAH

Laut Merah terletak di Lautan Hindi, di antara benua Afrika dan Asia yang berada di utaranya Semenanjung Sinai, Teluk Aqabah dan Terusan Suez.

Siapa yang tidak tahu tentang kisah Firaun? Firaun dan tenteranya diazab ALLAH dengan cara ditenggelamkan di Laut Merah. Laut Merah menjadi bukti DIA MAHA BERKUASA dan saksi kekuasaan-NYA menyelamatkan Musa dari pasukan Firaun yang merupakan raja zalim.

Beberapa penemuan sejarah membuktikan ayat al-Quran bahawa ia adalah lokasi Firaun tenggelam bersama tenteranya ketika memburu Nabi Musa AS.

Firman ALLAH “Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.” (Surah al-A’raf, ayat 136)

5.Kota Pompeii, Itali

KOTA POMPEII

Kota Pompeii terletak di sebelah timur Gunung Vesuvius, Kota Naples, Itali yang didirikan sekitar abad ketujuh atau keenam sebelum Masihi oleh kaum Osci atau Oscan iaitu suatu kelompok masyarakat di tengah Itali.

Masyarakat Pompeii menjadikan kota itu sebagai kota pelacuran dan aktiviti seks bebas.

Kehancuran kota Pompeii berlaku secara tiba-tiba tanpa disedari masyarakat tersebut, selepas terjadinya letusan gunung Vesuvius. Lebih mengejutkan, penemuan tubuh manusia yang menjadi batu itu berada dalam posisi seperti sedang melakukan persetubuhan termasuk liwat.

Artikel Berkaitan

Situasi ini tidak mustahil berlaku kerana dalam al-Quran banyak firman-NYA mengenai bencana yang berlaku secara tiba-tiba terhadap kaum dulu kala yang melakukan kezaliman.

Antaranya, menerusi surah Yaasin ayat 29, “(Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi”.

Sumber : Wings Mirul