“MAKIN dilarang pergi ke Kota Al Ula, makin ramai yang pergi.”
Demikian luahan kekecewaan peminat terhadap pelakon sensasi, Zul Ariffin yang dilihat menikmati percutian di Kota Al Ula, Arab Saudi.
Kekecewaan peminat itu disebabkan kawasan tersebut dilarang dikunjungi umat Islam.
Hasil semakan, video percutian bintang drama popular itu telah dimuat naik dalam aplikasi TikTok pada 13 Ogos lalu.
Namun, video tersebut kembali meraih perhatian apabila Kota Al Ula menjadi tular sebagai destinasi pelancongan popular, baru-baru ini.
Baca Juga Mesir Akan Jadikan Ibu Kota Islam Tertua di Afrika Sebagai Muzium Terbuka
Benarkah kota Al Ula yang dikunjungi pelakon tersebut adalah tempat terkutuk yang dilaknat Nabi SAW?
Bagi mengelakkan kekeliruan warganet, Pendakwah selebriti, Ustaz Shahrizan Daud tampil menjelaskan di ruangan komen, sebenarnya tempat dilaknat itu adalah Al Hijr iaitu berdekatan dengan Al Ula.
Rentetan itu, beliau berkongsi beberapa kisah mengenai kota ini mengikut apa yang diceritakan di dalam hadis dan al-Quran serta beberapa kajian daripada ahli arkeologi.
Abdullah bin Umar RA menceritakan: “(Pada tahun ke-9 hijrah ketika dalam perjalanan ke Tabuk untuk mempertahankan Madinah daripada kemungkinan serangan tentera Rom) kami melalui kawasan al-Hijr (negeri kaum Thamud yang dimusnahkan ALLAH) bersama Rasulullah SAW.
Baginda lantas bersabda: “Jangan kalian masuk ke negeri kaum yang menzalimi diri mereka sendiri (yang akhirnya dimusnahkan ALLAH) melainkan dalam keadaan menangis bimbangkan azab yang pernah menimpa mereka akan turut menimpa kalian.” Kemudian baginda mempercepat langkahnya sehingga meninggalkan tempat itu. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Artikel Berkaitan
- Kenali Habib Umar Hafiz, ulama muktabar bumi berkah Tarim
- Kongsi perjalanan di bumi Tareem, Luqman Hafiz luah rasa syukur berpeluang ziarah bumi berkah itu
- Rawat Jiwa depan Kaabah, Abdur Rahman dibawa ke Mekah tunaikan umrah
Abdullah bin Umar RA menceritakan: “Bahawasanya orang ramai turun bersama Rasulullah SAW ke Hijr, bumi kaum Tsamud. Lalu, mereka pun mengambil air daripada telaga dan membuat adunan roti daripadanya. Baginda pun mengarahkan supaya dicurahkan apa yang mereka ambil daripada telaga itu dan memberikan adunan-adunan itu kepada unta dan mengarahkan mereka supaya mengambil air daripada telaga-telaga yang diingini unta. (Al-Bukhari (3379), Muslim (7657)
Tempat yang dimaksudkan adalah Wadi al-Qura (Valley of Villages), terletak antara Madinah dan Tabuk. Al Hijr kini dikenali sebagai Mada’in Saleh, atau Kota Saleh.
Tempat ini juga ada disebut dalam Taurat (the old testament) dan juga dalam kitab Injil (dikenali dengan nama Dedan).
Kaum Thamud telah dibinasakan oleh ALLAH kerana kekufuran mereka dan juga kedegilan mereka membunuh unta Nabi Saleh yang ALLAH jadikan sebagai bukti akan kenabiannya.
Menurut kebanyakan ahli arkeologi dan sejarah, kaum Thamud ini dianggarkan hidup pada abad ke-8 Sebelum Masihi, iaitu sekitar tahun 800 SM.
Turut Disyorkan Lawatan ke lokasi bersejarah di Tanah Suci mampu tingkatkan takwa
Namun mengikut apa yang disebut dalam al-Quran, kaum ini hidup jauh lebih awal daripada yang telah disebut oleh pengkaji sejarah. Jika menurut riwayat sejarah Islam lingkungan tahun zaman Nabi Saleh AS adalah sekitar 2150-2080 SM.
Adapun Petra lebih tepat menurut sejarah dengan Kaum Nabatean 6-4 tahun SM yang dikaitkan kaum mewarisi teknologi seni bina sama dengan kaum Thamud.
Demikian perkongsian Ustaz Shahrizan melalui satu perkongsian di laman media sosial Instagram. Diharapkan dapat menjawab segala kekeliruan yang diutarakan oleh warga maya.
Lihat siaran ini di Instagram