Browsing Tag

syaitan

Rakaman ayat-ayat al-Quran
Gaya Hidup,

Tak Cukup Hanya Pasang Ayat Al-Quran Dalam Rumah Untuk Elak Gangguan

no comment

KEBANYAKAN daripada kita gemar memasang rakaman ayat-ayat al-Quran di dalam rumah. Apatah lagi jika empunya diri tidak berkesempatan membaca kitabullah tersebut.

Masakan tidak, bait-bait kalam ALLAH SWT itu mampu menghadirkan ketenangan dalam diri. Jiwa yang resah gelisah terasa seolah-olah hilang begitu sahaja.

Demikianlah betapa hebatnya al-Quran kepada kehidupan manusia. Ia bukan sekadar kitab semata-mata untuk dibaca, sebaliknya turut menjadi manual kehidupan kepada umat Islam.

Disebabkan keagungan yang ada pada mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW, ada segelintir orang yang menggunakannya dengan memasang ayat-ayat al-Quran bagi tujuan menghalau makhluk halus di dalam rumah.

Adakah memadai kita berbuat demikian untuk mengelakkan gangguan tersebut?

Pendakwah Ahmad Dusuki Abd Rani menjelaskan, sebenarnya tidak memadai jika kita hanya memasang ayat-ayat suci al-Quran di dalam rumah bagi mengelakkan gangguan makhluk halus.

AHMAD DUSUKI

“Apa yang patut dilakukan ialah kita sendiri yang laksanakan amal ibadah waima membaca al-Quran, melakukan solat sunat mahupun mengajak orang lain untuk buat jamuan makan dan sebagainya.

“Pada masa sama, usahlah kita berbuat maksiat kepada ALLAH SWT. Ingatlah, apabila kita berbuat demikian di dalam rumah kita, senang gangguan tersebut datang.

“Misalnya, rumah kita ada patung, alat muzik atau apa sahaja yang boleh mendatangkan kemurkaan ALLAH SWT. Ketahuilah, apabila DIA murka, maka syaitan yang akan datang,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di Instagram miliknya baru-baru ini.

Rakaman ayat-ayat al-Quran

SEBAIKNYA kita sendiri yang melakukan ibadah seperti membaca al-Quran, solat sunat dan selainnya serta tidak berbuat maksiat kepada ALLAH SWT untuk mengelakkan gangguan di kediaman masing-masing.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, agamawan itu menitipkan pesanan agar kita tidak membiarkan diri dimurkai ALLAH SWT di sisi-NYA.

“Begitu juga dengan rumah tangga kita. Jaga dan peliharalah dengan sebaiknya,” nasihatnya.

Foto: Freepik, Pexels & Unsplash

Hantu dan jin
Gaya Hidup, Pilihan Editor,

Hantu Dan Jin Tak Boleh Bunuh Manusia Kecuali…

no comment

KITA seringkali dihidangkan dengan cerita-cerita mistik yang menyeramkan. Adakalanya kisah-kisah berkenaan membuatkan kita sukar untuk melelapkan mata, apatah lagi jika ia ditonton atau didengari pada waktu malam.

Ya, tidak dinafikan manusia sebenarnya berkongsi bumi yang sama dengan makhluk-makhluk lain ciptaan ALLAH SWT. Sebagai orang Islam, kita wajib mempercayai dengan perkara-perkara ghaib.

Pendakwah Elyas Ismail menjelaskan, perkara berkaitan alam dan makhluk ghaib itu ada diceritakan dalam al-Quran.

ELYAS

Antaranya ALLAH SWT berfirman: “Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.” (Surah al-Naml, ayat 17)

Dalam ayat ini, katanya, ALLAH SWT menceritakan bahawa golongan jin merupakan antara tentera Nabi Sulaiman AS yang mengikut apa yang disuruh oleh baginda termasuk juga makhluk-makhluk lain.

“Suatu perkara yang kita perlu tahu bahawa jin juga merupakan makhluk yang diberikan tanggungjawab dan kewajipan. Makhluk itu juga ada ibadah sama seperti manusia.

“Jika jin itu taat dan beramal soleh, maka dia akan masuk ke dalam syurga. Andai mereka ingkar dan melakukan maksiat, maka jin juga tidak akan terlepas daripada dihumban ke dalam neraka.

“Cuma apa yang membezakan antara manusia dengan jin dan syaitan, mereka ialah makhluk yang kita tidak nampak. Sementelah, mereka boleh melihat kita,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video bertajuk ‘Bolehkah hantu dan jin bunuh manusia?’ yang dikongsikan menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Firman ALLAH SWT: “…Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.” (Surah al-A’raf, ayat 27)

Baca juga Tak boleh Masuk Tandas Ketika Sedang Azan? 

Meskipun manusia tidak dapat melihat jin dan syaitan, namun Elyas mengingatkan bahawa dalam keadaan atau masa tertentu, ALLAH SWT mengizinkan makhluk berkenaan menampakkan dirinya kepada kita.

“Itu yang kita dengar kisah orang balik kerja lewat malam dan lalu di lorong sunyi, kemudian terlihat makhluk-makhluk tertentu melintas dan seumpamanya.

Hantu dan jin

JIKA terlihat kelibat atau lembaga di lorong sunyi atau mana-mana tempat, ia berlaku atas izin ALLAH SWT.

“Namun begitu, ingatlah bahawa pegangan kita sebagai orang Islam bahawa semua itu berlaku atas izin ALLAH SWT.

“Seperkara lagi, kebanyakan masyarakat Melayu kita suka memberikan nama kepada makhluk-makhluk berkenaan. Antaranya pocong, pontianak, hantu langsuir, penanggal dan lain-lain. Ketahuilah bahawa jin boleh menyerupai pelbagai jenis rupa seperti yang didakwa oleh masyarakat,” katanya.

Bagi menyokong fakta tersebut, Elyas turut menukilkan pandangan Syeikh as-Syibli bahawa: “Tidak syak lagi bahawa jin dan syaitan mampu untuk berubah-ubah bentuk sama ada bentuk manusia ataupun haiwan.”

Bahkan dalam sejarah, kata pendakwah itu lagi, kejadian itu pernah berlaku terhadap Imam al-Nawawi Rahimahullah.

“Satu sifat Imam al-Nawawi yang dikagumi, beliau tetap akan bangun untuk menunaikan qiamullail walaupun tidak sihat. Ketika beliau bangun untuk menunaikan solat malam dan berzikir, tiba-tiba muncul satu lembaga putih datang kepadanya.

“Pada masa itu, Imam al-Nawawi sedang berzikir dengan suara yang nyaring. Lembaga itu datang kepadanya lalu menegur bahawa perbuatan zikirnya itu bagus, tetapi telah mengganggu orang yang sedang tidur.

“Imam al-Nawawi perasan bahawa lembaga itu bukan manusia biasa. Sebaliknya, ia ialah makhluk lain. Beliau lantas memohon perlindungan daripada ALLAH SWT. Tidak semena-mena lembaga tadi hilang,” katanya.

Berdasarkan kisah berkenaan, Elyas menambah, jelaslah bahawa jin dan syaitan boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk waima manusia atau haiwan. Bahkan, dalam keadaan tertentu ia boleh datang menyerupai suara manusia, tetapi tidak kelihatan tubuhnya.

“Begitu juga dalam bentuk bisikan atau dirinya menyerupai bentuk-bentuk yang pelik seperti manusia ‘galah panjang’ dan lain-lain.

“Syeikh Sulaiman al-Ashqar menyebut, kadangkala syaitan boleh mendatangi manusia bukan sahaja untuk membisikkan perkara-perkara yang waswas, tetapi juga menyerupai manusia dan kita boleh mendengar suaranya. Cuma tubuhnya sahaja tidak kelihatan.

“Semua itu bertujuan untuk menyesatkan dan menakut-nakutkan manusia. Mereka hendak membuatkan hati manusia jadi lemah, takut dan lalai sehinggakan hendak bangun solat malam pun takut atau takut untuk mengambil wuduk. Jika dibiarkan, lama-kelamaan hati kita akan jauh daripada ALLAH SWT,” ujarnya.

Benarkah jin dan syaitan boleh membunuh manusia?

Menjawab persoalan itu, Elyas menjelaskan, apa sahaja kejadian yang berlaku di dunia ini adalah atas izin ALLAH SWT. Jika tidak diizinkan, maka perkara tersebut tidak akan berlaku.

“Sebagai contoh, ada orang kena tikam lalu meninggal dunia, tetapi ada juga yang masih hidup walaupun cedera teruk akibat ditikam. Hakikatnya soal tikam dengan pisau bukanlah perkara berkaitan kematian, tetapi ajalnya belum tiba. Mudah kata, ALLAH SWT tidak mengizinkannya untuk meninggal dunia selagi belum sampai saatnya.

“Sama juga halnya dengan orang yang bermain sihir. Ada individu yang terkena sihir meninggal dunia dan ada juga yang panjang umur. Apa-apapun ingatlah bahawa prinsip kita orang Islam bahawa semua yang berlaku itu atas izin ALLAH SWT,” katanya.

Hantu dan jin

JIN, syaitan dan hantu boleh menyerupai pelbagai bentuk, tetapi tidak boleh memudaratkan manusia kecuali atas izin ALLAH SWT. -Gambar hiasan

Seperkara lagi, beliau mengingatkan bahawa meskipun jin dan syaitan boleh menyerupai apa jua bentuk, tetapi ia tidak akan sesekali memudaratkan manusia.

“Ingatlah bahawa yang mengizinkan mudarat itu berlaku ialah ALLAH SWT, bukannya makhluk-makhluk tersebut,” katanya.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, agamawan itu berkongsi beberapa ayat al-Quran dan zikir yang boleh kita amalkan untuk memohon perlindungan daripada ALLAH SWT seandainya menerima gangguan makhluk berkenaan.

Selain membaca tiga qul dan a’uzubillahi minasy syaitanir rajim, beliau berkata, kita juga boleh mengamalkan ayat 285, Surah al-Baqarah.

“Selain itu, bacalah zikir La ilaha illallah wahdahu la syarikalah, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘ala kulli syai-in qadir.

“Kata Nabi Muhammad SAW dalam Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim, sesiapa yang membaca zikir berkenaan sebanyak 100 kali, maka dia akan dapat pahala seumpama dirinya membebaskan 10 orang hamba, dituliskan baginya 100 kebaikan, dihapuskan daripadanya 100 keburukan dan dia akan dapat perlindungan daripada gangguan syaitan pada hari tersebut sampai waktu petang dan tiada siapa pun yang boleh melebihi kedudukannya melainkan orang itu baca lebih banyak daripadanya,” pesannya.

Foto: Unsplash

Berita,

Jangan terkejut! Iblis pernah kejutkan khalifah solat pada awal waktu

SUDAH dinyatakan di dalam al-Quran tentang sifat iblis yang sememangnya akan menyesatkan anak cucu Nabi Adam sehingga hari kiamat.

Peringatan juga telah diberikan kepada umat manusia agar tidak mudah terpengaruh dengan godaan iblis yang akan menyesatkan itu sekali gus menjurus ke arah neraka jahanam.

“Wahai anak Adam, janganlah sesekali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah berhasil mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga”, surah Al-A’raf, ayat 27.

Namun, tahukah anda bahawa iblis pernah mengejutkan seorang khalifah era pemerintahan Bani Umaiyah yang digelar Mu’awiyah.

Menerusi kisah yang dipetik daripada akaun YouTube Islam Popular, kisah tersebut diceritakan oleh penyair Jalaluddin Rumi dalam karya tulisannya Matsnawi.

Diceritakan pada suatu malam ketika Mu’awiyah sedang tidur di dalam istana, beliau telah dikejutkan oleh individu yang tidak dikenali. Setelah diperiksa, ternyata individu tersebut adalah iblis.

Disebabkan berasa tidurnya terganggu, Mu’awiyah telah bertanyakan kepada iblis mengenai tujuan kedatangannya;”Mengapakah kau membangunkan aku?.

Kemudian, jawab iblis;”Waktu solat akan segera tiba dan aku bimbang kau akan terlambat kerana tertidur wahai khalifah.”

Tindakan iblis itu nyata tidak dipercayai oleh khalifah kerana baginya, tidak mungkin iblis akan mengarahkan untuk berbuat baik melainkan menyesatkan manusia ke jalan kemungkaran.

Iblis bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut.

“Ketahuilah wahai khalifah! 700 tahun akau mengabdikan diri kepada ALLAH meskipun akhirnya aku membangkang-NYA.

“Aku membangkang-NYA bukan kerana kufur kepada-NYA, tetapi kerana rasa cemburu terhadap Adam. Aku masih mencintai-NYA wahai khalifah,” kata iblis.

Sekali lagi Mu’awiyah tidak mempercayai kata-kata iblis yang disifatkan sebagai pendusta semata-mata.

“Kau yang menyebabkan kehancuran umat Nuh, kaum Adam, kaum Luth, Fir’aun dan seterusnya,” jelas khalifah yang masih tidak mempercayai kata-kata iblis.

Makhluk yang dilaknat ALLAH itu tetap tidak mengaku kejahatan yang dilakukan umat manusia disebabkan dirinya. Sebaliknya iblis mengatakan,”Setiap kemungkaran itu dilakukan oleh manusia sendiri kerana didorong oleh hawa nafsu mereka”.

Enggan terpedaya dengan tipu helah, Mu’awiyah kemudian berdoa kepada ALLAH dan meminta agar dipelihara serta dijauhkan daripada godaan iblis.

Setelah seketika, iblis akhirnya mengakui tujuan sebenar mengejutkan Mu’awiyah daripada tidur.

“Baiklah khalifah! Aku akan mengungkapkan alasanku membangunkanmu melaksanakan solat tepat waktu. Jika engkau tertidur dan kehilangan waktu solat, maka engkau akan sangat menyesal. Penyesalan di dalam dirimu akan membawamu kepada zikir kepada ALLAH dengan penuh penyesalan.

“Zikir penuh penyesalan itu lebih aku takut daripada solatmu. Ini kerana setiap zikir penuh penyesalan yang kau sampaikan kepada ALLAH itu bernilai dua ratus kali lebih banyak daripada soalt atau doa biasa,” kata iblis.

Masya-ALLAH! Takut sungguh iblis kepada zikir penyesalan manusia yang mengakui khilaf atas perbuatan salah.

Semoga kita semua akan terpelihara daripada tipu daya iblis dan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan ini, marilah kita bersama-sama meningkatkan amal ibadah kepada ALLAH selagi hayat masih dikandung badan.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Ali Arapoğlu/Pexels