Browsing Tag

Sinar Islam Plus

Hijab
Antarabangsa,

Amazon sediakan hijab berjenama untuk pekerja Muslimnya

SEBELUM ini, kita mungkin biasa dengar tentang krisis larangan hijab di India dan Jerman. Namun, di sebalik isu tersebut, sebenarnya masih ada pihak yang peka dengan kewajipan Muslimah terhadap agama suci itu.

Baca juga Polemik larangan berhijab di Karnataka terus memuncak

Baca juga Berlin benarkan guru muslimah memakai hijab di sekolah

Buktinya, syarikat e-dagang terkemuka dunia yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Amazon menyediakan tudung untuk pekerja Muslimnya.

Menariknya, syarikat mutinasional itu bekerjasama dengan jenama fesyen wanita berhijab tersohor, Henna & Hijabs semata-mata demi pekerjanya.

Sebagai permulaan, kerjasama itu menyaksikan tudung berjenama Amazon dilancarkan untuk para pekerja di SMN1 yang terletak di Brooklyn Park, Minnesota pada hari Rabu lalu sebelum diperluaskan kepada seluruh kakitangan.

Ia sekali gus menjadikan kakitangan dalam kemudahan tersebut adalah yang pertama menggunakan hijab berjenama.

Hijab

KAKITANGAN SMN1 di Amazon, Brooklyn Park menggayakan hijab yang direka oleh Hilal Ibrahim. -Foto: MPR News

Menurut Pengasas Henna & Hijabs, Hilal Ibrahim sebagaimana dilaporkan Sahan Journal, pihaknya begitu serius dalam usaha untuk merapatkan jurang kebolehcapaian yang sering dihadapi oleh kaum wanita Islam.

“Selama 18 bulan masa diambil untuk menambah tudung dalam rangkaian pilihan pakaian kami.

“Kami bercita-cita agar kerjasama ini dapat memupuk rasa kekitaan dalam kalangan ahli. Sungguh, ia satu penghormatan bagi kami kerana dapat memenuhi keperluan ini,” katanya.

Ternyata usaha tersebut menggembirakan para pekerja Amazon sendiri.

Seperti kata seorang kakitangan di SMN1, Ryan Mohamad: “Saya tidak dapat nyatakan betapa gembira dan terujanya saya,” sambil memakai tudung dengan label Amazon.

Baca juga Gara-gara Islamofobia, ramai profesional Muslim di Perancis cari kerja di luar negara

Jika diteliti, itu bukan kali pertama Amazon melakukan inisiatif sedemikian untuk pekerja Muslimnya.

Hijab

RYAN MOHAMAD turut menggayakan hijab yang diberikan Amazon hasil kerjasama dengan Henna & Hijabs. -Foto: MPR News

Sebaliknya, lapor About Islam, syarikat gergasi berkenaan pernah menyediakan kemudahan baharu dengan menyediakan ruang wuduk dan solat bagi pekerja Islam.

Kemudahan itu disediakan hampir empat tahun lalu ekoran bantahan yang dilakukan oleh sekumpulan pekerja Amazon Muslim Somalia di Minnesota, menuntut keadaan kerja yang lebih baik di gudang peruncit.

Minnesota merupakan negeri yang mempunyai populasi hampir 6 juta orang. Tidak lebih satu peratus daripada jumlah berkenaan ialah orang Islam dan mempunyai lebih 30 buah masjid di seluruh negeri utara tersebut.

Tunaikan solat fardu dua kali
Video,

[Video] Bolehkah tunaikan solat fardu dua kali?

Bolehkah tunaikan solat fardu dua kali?

DISEBABKAN rasa waswas dan ragu-ragu, ada yang mendirikan solat fardu sama sebanyak dua kali. Bukan apa, bimbang pula solat tadi tidak diterima.

Persoalannya, bolehkah kita berbuat demikian hanya kerana rasa tidak tenang?

Ikuti kupasannya bersama Ustazah @Noor Rashidah A. Rahman dalam segmen Soal Jawab Agama.

Tunaikan janji
Isu,

Peringatan untuk para YB, tunaikan janji yang ditabur agar tidak tergolong dalam kelompok munafik

Peringatan untuk para YB, tunaikan janji yang ditabur agar tidak tergolong dalam kelompok munafik

SERING kali kita mendengar ungkapan ‘janji Melayu’. Biasanya frasa ini membawa kepada maksud yang negatif iaitu merujuk kepada janji yang tidak ditepati. Mengapakah terjadi sedemikian?

Benarkah masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang sukar atau tidak suka menepati janji? Sehubungan itu, pepatah Melayu yang mengatakan `bagai menanam tebu di tepi bibir’ hendaklah diambil perhatian kerana ia merujuk kepada orang yang suka menabur janji tetapi tidak suka menunaikannya.

Terdapat dalam kalangan masyarakat Malaysia pada hari ini memang mudah menabur janji. Persoalannya sejauh mana janji itu ditepati?

Apatah lagi sebagai orang Timur yang dididik dengan ajaran Islam dan moral yang murni, sudah dimaklumi bahawa memungkiri janji adalah suatu dosa besar dan perbuatan itu bukan sahaja menghakis adat budaya tetapi mencemar kesucian Islam!

Baca juga Menipu anak kecil, dosa yang sering dilakukan tanpa sedar

Pemimpin seringkali menabur janji manis kepada rakyat tetapi hujungnya ia tidak ditunaikan. Ahli politik pula berusaha menarik khalayak dengan pelbagai janji yang sebahagiannya tidak mampu dilaksanakan.

Tunaikan janji

USAH sewenang-wenangnya menaburkan janji andai tidak mampu melunaskannya. Sebaiknya, tunaikanlah janji berkenaan. -Gambar hiasan

Penjual tiket bas berjanji kepada pembeli bahawa bas akan bertolak tepat pada waktunya, tetapi apabila tiba masanya bas masih tidak bertolak dan kadangkala lewat sejam atau setengah jam daripada waktu yang sepatutnya. Begitulah pelbagai ragam janji dalam masyarakat kita yang amat memalukan!

Usah sewenangnya menabur janji

Janji merupakan suatu perkara yang amat dipandang serius dalam Islam. Menepati janji adalah tuntutan syarak sebagaimana firman

ALLAH SWT dalam Surah al-Israk ayat 34 yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan ALLAH dan dengan manusia).

Sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya”.

Ayat ini memperingatkan bahawa hidup manusia di dunia ini selalu terikat dengan janji.

Oleh itu, jangan mudah kita membuat janji sekiranya ia dijangka sukar dipenuhi apatah lagi sememangnya untuk dimungkiri. Apabila seseorang berjanji, ia wajib menunaikannya. Perbuatan mungkir janji bukan sahaja mengundang dosa dan kemurkaan ALLAH, bahkan akan turut menyusahkan orang lain.

Baca juga Abaikan amanah dilabel munafik dan tidak sempurna iman

Mungkir janji atau sengaja tidak mahu mengotakan janji akan mendapat dosa dan balasan seksa di akhirat. Individu sebegini dikategorikan dalam golongan yang beramal dengan sifat orang munafik.

Ia ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim yang bermaksud: “Di antara tanda-tanda orang munafik itu ada tiga, iaitu jika bercakap ia berbohong. Apabila berjanji ia memungkiri janji itu, dan sekiranya diberikan amanah ia mengkhianatinya.”

Tunaikan janji

ANDAI seseorang tidak tunaikan janji dan pernah berazam menyempurnakannya, tetapi terhalang oleh sesuatu keuzuran hingga ia tidak boleh dilunaskan, mereka tidaklah termasuk dalam golongan munafik..

Bagaimanapun, orang yang berjanji dan berazam menyempurnakan janji, tetapi terhalang oleh keuzuran yang menyebabkan janji tersebut tidak mampu dilaksanakan, ia tidaklah termasuk dalam golongan munafik.

Ayat al-Quran pula dengan tegas memerintahkan umat Islam supaya menunaikan janji apabila mereka berjanji menerusi firman ALLAH dalam Surah al-Maidah ayat 1 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, tunaikanlah janji-janji itu…”.

Maksud janji dalam ayat ini merangkumi perjanjian manusia dengan ALLAH dan perjanjian manusia sesama mereka. Firman ALLAH dalam Surah al-Baqarah ayat 177 yang bermaksud: “Dan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji, mereka itulah orang yang benar-benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan mereka itulah juga orang yang bertakwa”.

Justeru, mereka yang sering berjanji tetapi masih tidak tahu cara menunaikannya hendaklah ’belajar’ kembali untuk menuruti ajaran Islam melalui wahyu al-Quran dan as-Sunnah.

Mereka hendaklah berusaha bersungguh-sungguh menunaikan janji apabila berjanji. Akan tetapi sekiranya merasakan tidak mampu menunaikan janji, maka janganlah sekali-kali menabur janji agar terselamat daripada termasuk ke dalam golongan yang beramal dengan amalan orang munafik yang dikutuk oleh ALLAH!

Kepimpinan adalah amanah

Ketika kempen pilihan raya negeri baru-baru ini, ahli politik telah mengungkapkan pelbagai janji. Oleh yang demikian, janji yang telah diungkapkan itu mestilah ditunaikan dengan sebaik mungkin supaya tidak tergolong dalam golongan yang beramal dengan amalan golongan munafik yang khianat dan mungkir pada janji.

Tunaikan janji

TUNAIKAN janji yang sudah dibuat dan jangan sesekali mengkhianatinya. -Gambar hiasan

Kepimpinan bukanlah satu kebanggaan, bukan satu kehebatan dan bukan perkara yang menyeronokkan, tetapi kepimpinan adalah amanah ALLAH yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab. Kepimpinan bermakna seseorang itu menerima bebanan besar dan akan dibicarakan oleh ALLAH di Padang Mahsyar kelak.

Baca juga Pikul amanah hingga akhirat, begitu besarnya tanggungjawab pemimpin

Pemimpin yang telah dilantik dan diberikan amanah serta tanggungjawab hendaklah menitik beratkan aspek solat, zakat, amar makruf nahi mungkar, pengurusan serta pentadbiran yang bersih dan mantap dan sebagainya yang boleh mendatangkan kebaikan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Syeikh Mustafa Muhammad at-Tohhan di dalam bukunya Syakhsiah al-Muslim al-Mu’asir telah menyenaraikan beberapa amanah yang perlu dipikul oleh para pemimpin. Antaranya adalah menegakkan syariat Islam berbekalkan panduan yang telah diturunkan oleh ALLAH melalui Nabi Muhammad SAW. Seterusnya menegakkan keadilan dalam kalangan manusia tanpa mengira warna kulit dan bangsa serta mengambil tahu dan prihatin terhadap permasalahan rakyat.

Selain itu, amanah yang perlu dilaksanakan adalah membangunkan negara dengan jaminan pendidikan dan kesihatan, membuka ruang perdagangan, perusahaan dan pertanian, menjamin hak asasi manusia dan hak persamaan mereka di sisi undang-undang dan seterusnya menjamin kebebasan mengeluarkan pendapat dalam kalangan rakyat jelata.

***Artikel ditulis oleh Prof Madya Ustaz Dr Mohd Sukki Othman yang merupakan Pensyarah Wacana Aqidah, Fiqh, Seerah, Akhlak dan I’jaz Al-Quran, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

Ibu bapa
Isu,

Gagalkah ibu bapa jika anak tak ikut acuan Islam?

SERING kali ibu bapa dipersalahkan dan dilabel sebagai gagal andai anak yang dipertanggungjawabkan kepada mereka tidak mengikut acuan Islam dengan sempurna.

Tidak kurang juga ada yang tergamak melabelkan emak dan ayah ‘derhaka’ dan seumpamanya.

Pensyarah di Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Kamarul Azmi Jasmi menegaskan, tiada istilah ibu bapa derhaka kepada anak dalam Islam.

Baca juga Elak jadi ibu bapa ‘derhaka’, jauhi sikap seperti ini

Sebaliknya, beliau menjelaskan, kedua-dua orang tua hanya boleh dikatakan tidak melaksanakan amanah dengan sempurna.

DR KAMARUL AZMI

“Jika ibu bapa tidak betul sekalipun, Islam mengajar anak untuk beradab dengan orang tua masing-masing. Antaranya dengan meminta si anak untuk menegur dan menasihati emak atau ayah mereka melalui orang yang sedarjat atau insan lebih tinggi (pangkatnya).

“Bagaimanapun, anak dikira sebagai tidak beradab jika mereka menegur ibu dan ayah masing-masing yang tidak betul,” ungkapnya.

Dr Kamarul Azmi kemudian menyambung hujahnya dengan menyenaraikan tanggungjawab ibu bapa dalam memberi didikan terbaik kepada cahaya hati masing-masing.

Jelas beliau, banyak kajian membuktikan bahawa hampir 70 peratus pengaruh ibu bapa dalam beragama berbanding dengan peranan guru, rakan dan media.

Sebagai orang tua, katanya, menjadi kewajiban utama mereka untuk memberi pendidikan solat dan al-Quran kepada anak-anak.

“Agama yang diamalkan oleh ibu dan ayah hanya sebagai ikutan. Selain itu, kedua-dua orang tua wajib menasihati dan menegur amalan wajib untuk dilaksanakan, sedangkan bagi amalan sunat pula, hanya galakkan si anak lakukannya.

Baca juga Jika kasihkan anak, bimbing dan tegurlah kesilapan mereka

“Andai sudah ditegur, tetapi anak masih tidak mahu mengamalkan Islam, maka tanggungjawab mereka (ibu bapa) sudah selesai,” katanya.

Ibu bapa

KETIKA anak masih kecil, didik dan bimbinglah mereka dengan ilmu agama dan nilai-nilai Islam supaya mereka boleh menerapkannya dalam kehidupannya kelak. -Foto: 123rf

Ini kerana, katanya, setiap anak yang sudah akil baligh perlu bertanggungjawab untuk mengamalkan Islam sekalipun ibu bapa mahupun insan di sekeliling tidak menyokongnya.

Oleh sebab itu, tidak boleh menuding jari sepenuhnya kepada ibu bapa atas kegagalan anak mengamalkan agama suci itu dengan sempurna.

Namun begitu, emak dan ayah mungkin boleh dipersalahkan kerana tidak mengajar tanggungan mereka dengan baik.

“Jika seseorang anaknya mencuri atau membunuh, diri mereka sendiri yang perlu bertanggungjawab atas kesalahan dilakukan. Ibu bapa tidak boleh dipersalahkan mahupun dihukum atas kekhilafan dilakukan oleh keturunan mereka.

“Begitu juga halnya dalam perihal Rukun Islam kedua. Jika anak meninggalkan solat, sedangkan sudah baligh, maka yang berhutang kepada ALLAH kerana meninggalkan kewajiban itu adalah anak tersebut.

Baca juga Ibu bapa tanggung dosa anak-anak tinggalkan solat?

“Ibu bapanya diwajibkan menegur dengan lembut, tetapi mereka tidak boleh dipertanggungjawabkan selepas nasihat diberikan,” ujarnya.

Kelemahan iman

Menyambung hujahnya, Dr Kamarul Azmi menjelaskan, rata-rata umat Islam pada hari ini sudah mengetahui ilmu agama dengan baik secara umumnya.

Ibu bapa

WALAUPUN ramai yang celik ilmu agama, tetapi kelemahan iman menjadi punca mengapa ada yang tidak dapat mengamalkan Islam dalam seluruh kehidupannya. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Bagaimanapun, jelas beliau, mereka tidak mempu mempraktikkannya dengan sempurna kesan daripada kelemahan tahap iman.

“Pada akhir zaman sekarang, untuk mengamalkan Islam sudah tidak boleh dilakukan secara bersendirian. Ia perlu dilaksanakan secara berkumpulan akibat kelemahan tahap iman.

“Kekuatan iman itu hanya boleh diperoleh melalui susah payah untuk memperjuangkan agama dalam diri dan masyarakat,” ungkapnya.

Ekoran faktor itulah yang menyebabkan emak dan ayah pada hari ini tidak mampu melaksanakan amanah dengan baik.

“Bahkan, ada anak tidak boleh menjadi baik, isteri yang sempurna dan suami atau ayah yang elok,” katanya.-SI+

Kasihkan anak
Isu,

Jika kasihkan anak, bimbing dan tegurlah kesilapan mereka

PERIBAHASA mengatakan kasihkan anak tangan-tangankan. Ia bukanlah bermaksud ibu bapa boleh sewenang-wenangnya memukul anak-anak jika mereka tidak mendengar kata.

Baca juga Merotan Bukan Untuk Menghukum, Sebaliknya Ia Pendekatan Akhir Didik Anak-anak Kita

Sebaliknya, jangan biarkan anak itu dimanjakan hinggakan kita sanggup membutakan mata dan memekakkan telinga andai mereka melakukan kesalahan.

Mengertilah, ibu bapa yang kasihkan zuriat mereka seharusnya membimbing hal-hal ukhrawi dan duniawi dengan sempurna.

Demikian kata Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood ketika ditanya tentang sikap segelintir ibu bapa yang bimbang anak berkecil hati apabila ditegur.

USTAZAH SITI FATAHIYAH

Beliau menjelaskan, andai melihat anak kian alpa atau mulai hanyut dengan dosa, segeralah tegur mereka untuk memperbetulkan kesilapan tersebut.

Baca juga Dunia sekarang, anak tidak takut kecilkan hati ibu bapa, tetapi ibu bapa pula yang takut kecilkan hati anak

“Pada masa sama, ibu bapa harus menunjukkan contoh teladan yang baik dan tidak melanggar perintah agama.

“Jangan pula ibu bapa mengelirukan anak-anak dengan melakukan perkara dilarang Islam, tetapi diri sendiri memarahi mereka berbuat demikian.

“Bagaimanapun, apabila menyentuh perihal ibadah solat pula, emak dan ayah perlu bertegas dan pastikan anak-anak menunaikan solat sebelum habis waktunya,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Kepada mereka yang bergelar anak pula, Ustazah Siti Fatahiyah mengingatkan agar mereka tidak mudah melatah atau berkecil hati dengan teguran ibu bapa.

“Patuhlah kepada didikan emak dan ayah yang menyuruh kepada kebaikan dan elakkan daripada melakukan kemungkaran.

Baca juga Sikap Anak Adalah Cerminan Ibu Bapa. Didik, Tunjukkan Teladan Baik Sejak Mereka Kecil Lagi

“Usah anak pula yang berkasar dengan orang tua apabila kesalahan mereka ditegur.

“Ingatlah, ibu dan ayah cuba membimbing zuriat mereka sebaik mungkin,” katanya.

Kasihkan anak

JANGAN hanya menuturkan ungkapan ‘kasihkan anak’, tetapi langsung tidak diterjemahkan dari segi perlakuan kerana bimbang permata hati masing-masing berkecil hati apabila ditegur. Sebaliknya, nasihatkan dan bimbing mereka ke jalan yang benar. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Menyambung hujahnya, perunding motivasi wanita dan kekeluargaan itu menegaskan, tiada istilah ibu bapa derhaka kepada anak-anak, sebaliknya situasi itu boleh berlaku dalam sesetengah keadaan yang mana orang tua berlaku ‘khianat’ terhadap amanah ALLAH SWT.

Baca juga Elak jadi ibu bapa ‘derhaka’, jauhi sikap seperti ini

Ujar beliau, menjelaskan, perkara itu terjadi apabila kedua-dua mereka tidak melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai orang tua dengan sempurna.

Sebagai contoh, memberi didikan kepada anak-anak sama ada ilmu keagamaan, kepatuhan kepada syariah, pengetahuan tentang akademik atau keduniaan, terangnya.

“Sebagai contoh ibu bapa membiarkan anak-anak tidak solat atau menutup aurat apabila cukup umur ataupun sudah dewasa.

“Sebaliknya, anak-anak dibiarkan menjalani kehidupan yang jauh daripada landasan agama,” katanya.-SI+

Hamba yang melahirkan tuannya
Isu,

Elak jadi ibu bapa ‘derhaka’, jauhi sikap seperti ini

ISTILAH ibu bapa ‘derhaka’ agak canggung pada halwa telinga. Tidak seperti frasa anak derhaka kerana ungkapan sebegitu digunakan sebagai merujuk anak yang bersikap kurang ajar atau biadab terhadap orang tuanya.

Walaupun label itu tidak wajar diberikan kepada insan yang sudah melahir dan membesarkan kita, namun semua pasti mengakui, tiada manusia yang kalis dosa. Hakikatnya, sesiapa pun waima orang tua kita sendiri tidak terlepas daripada melakukan kekhilafan. Namun sebagai anak, tidak boleh sama sekali kita menjadikannya sebagai ‘permit’ untuk tidak berbakti kepada mereka.

Sebaliknya, penyambung keturunan itulah yang lazimnya akan merendahkan ego mereka walaupun adakalanya menerima layanan bertaraf ‘anak angkat’ daripada ibu bapa masing-masing. Semuanya dek kerana ketinggian martabat ibu bapa itu sendiri.

Baca juga Hukum menyakiti hati anak, wujudkah ibu bapa derhaka?

Bagaimana pula jika ada sebilangan orang tua yang tidak mendidik anak-anak dengan baik sehingga mereka ‘naik hantu’? Justeru wujudkah ibu bapa derhaka?

Dosa ibu bapa

Ketika persoalan itu dilontarkan kepada Pensyarah di Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Siti Norlina Muhamad, beliau mempunyai perspektifnya sendiri.

DR SITI NORLINA

Dalam nada tegas, ahli akademik itu menjelaskan, kedudukan sebagai ibu atau bapa tidak boleh dijadikan tiket untuk melayan anak-anak sesuka hati tanpa mengambil kira panduan syarak dalam melaksanakan amanah ALLAH SWT.

Ketahuilah bahawa tanpa sedar, ibu dan ayah juga melakukan dosa terhadap anak-anak hingga layak diberikan gelaran ibu bapa derhaka, ungkapnya.

“Antara yang termasuk dalam kelompok itu ialah mereka yang suka menggunakan kata-kata kesat, memanggil anak dengan panggilan buruk atau pilih kasih dalam memberikan layanan terhadap zuriat sendiri.

“Begitu juga dengan ibu bapa yang melepaskan tanggungjawab dalam memberikan didikan terbaik kepada anak-anak sehingga mereka terpinggir dan terabai daripada pendidikan yang sempurna.

Baca juga Jangan abaikan didikan anak-anak, ini tanggungjawab suami isteri

“Mereka dikategorikan sebagai ibu bapa yang melakukan penderhakaan terhadap perintah ALLAH SWT,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Semua ciri yang disebutkan oleh Dr Siti Norlina itu merupakan inti pati penting daripada satu peristiwa ketika Saidina Umar RA menjadi khalifah.

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Ahli Lembaga Pelawat Hospital Psikiatri turut menegur sikap segelintir ibu dan ayah pada hari ini yang mengambil mudah terhadap pendidikan anak-anak.

Jelas beliau, terdapat kelompok yang hanya mengutamakan pencapaian akademik, tetapi mengabaikan aspek bimbingan rohani dan spiritual permata hati mereka.

Ibu bapa derhaka

JANGAN biarkan diri kita menjadi ibu bapa ‘derhaka’ gara-gara membiarkan anak menerima ‘didikan’ daripada gajet mereka tanpa kawalan sehingga boleh membinasakan masa depan penyambung keturunan masing-masing. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

“Malah, anak-anak disediakan kemudahan gajet dengan alasan mereka boleh meneroka dan mempelajari ilmu di hujung jari. Sedangkan banyak impak negatif terutama kepada anak yang belum matang dalam menentukan hala tuju hidup.

Baca juga Perkasakan peranan ibu bapa, usah biarkan gajet kuasai anak-anak

“Mengertilah, zuriat kita mudah terpengaruh dengan pelbagai fahaman yang mengelirukan dan terjebak dengan budaya songsang, ajaran sesat, ekstrem, pergaulan bebas dan seumpamanya,” tegasnya.

Oleh sebab itu, Dr Siti Norlina mengingatkan agar ibu bapa sepatutnya mengambil pedoman melalui kisah Luqman al-Hakim mengenai cara didikan anak-anak.

Sesungguhnya, beliau bukan bercakap kosong ketika menasihatkan anak-anaknya, sebaliknya Luqman al-Hakim menunjukkan teladan yang baik melalui anugerah hikmah kebijaksaan dikurniakan ALLAH SWT kepadanya.

“Ingatlah, teguran dan nasihat tidak akan berguna andai tiada teladan daripada ibu bapa sendiri.

“Maka orang tua sewajarnya mesti menguasai ilmu sebagaimana yang ditonjolkan oleh Luqman al-Hakim jika mengharapkan permata hati mereka menjadi manusia hebat dan bermanfaat kepada masyarakat,” terangnya panjang lebar.

Beliau kemudian mengajak Muslim merefleksi diri dengan merenung peringatan tegas daripada ALLAH SWT berhubung tanggungjawab ibu bapa terhadap keluarga.

ALLAH SWT berfirman yang mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu-bata, penjaganya malaikat yang kasar dan keras yang tidak derhaka kepada ALLAH terhadap apa yang DIA perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Takut anak kecil hati

Ibu bapa derhaka

IBU bapa jangan risau anak berkecil hati apabila mereka ditegur kerana kesilapan yang dilakukan bagi mengelak mudarat yang lebih besar pada masa akan datang. Pada masa sama, ajarkanlah dan terapkan nilai-nilai Islam dalam keluarga. -Foto: 123rf

Ditebak dengan pertanyaan tentang sikap ibu bapa yang dilihat terlalu ‘takut anak kecil hati’, Dr Siti Norlina yang juga pakar psikologi Islam menjelaskan, perbuatan seperti itu sebenarnya boleh memakan diri sendiri dek kerana sifat terlalu bertolak ansur.

Baca juga Dunia sekarang, anak tidak takut kecilkan hati ibu bapa, tetapi ibu bapa pula yang takut kecilkan hati anak

Lantaran itu, beliau mengingatkan supaya, jangan kerana ingin menjaga hati, ibu bapa sanggup memejamkan mata dan tidak menegur kesalahan dilakukan anak-anak!

“Akhirnya, anak-anak ini akan membesar dalam keadaan tidak tahu apa yang dilakukan adalah memberi mudarat kepada diri dan masyarakat.

“Sekalipun ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya, peluang untuk bersama dengan anak-anak tidak sepatutnya digunakan untuk hiburan semata-mata, tetapi perlu diselitkan dengan pengisian yang boleh membentuk jiwa dan akhlak mulia pada diri zuriat mereka.

“Oleh itu, ketegasan ibu bapa penting dalam usaha menerapkan kefahaman dan pengamalan agama anak-anak, mendidik mereka berbudi pekerti dengan akhlak terpuji dan mengikut acuan serta panduan syariat ALLAH SWT,” ujarnya.

Dalam hal itu, beliau menukilkan pandangan Imam Ibnu Hajar al-Haitami yang menyatakan: “Jika ibu bapa bertakwa kepada ALLAH SWT, nescaya ALLAH SWT akan mengurniakan kebaikan dan mempermudahkan segala urusan zuriat mereka dengan memberi keberkatan serta petunjuk dalam kehidupan zuriat-zuriatnya. Namun sebaliknya, jika ibu bapa mereka tidak melaksanakan perintah ALLAH dan melanggar larangan-NYA, nescaya anak-anak mereka akan berkelakuan sebagaimana kelakuan ibu bapa mereka.”

Ibu bapa derhaka

MENJADI tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan ‘kemenjadian’ anak-anak dari aspek fizikal, mental dan spiritual serta menerapkan nilai agama dalam kehidupan keluarga. Semua itu akan membentuk peribadi anggota keluarga ke arah kebaikan. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Kepada satu soalan, pensyarah itu menjawab: “Antara tanggungjawab ibu bapa adalah memastikan ‘kemenjadian’ anak-anak dari aspek fizikal, mental dan spiritual. Merekalah yang menerapkan nilai agama dalam kehidupan yang akan membentuk peribadi ahli keluarga ke arah kebaikan.

“Untuk membangunkan sebuah keluarga yang diredai ALLAH SWT, ia mesti bermula dari peringkat awal pemilihan jodoh.

“Carilah pasangan yang mempunyai matlamat dan wawasan yang sama dan sanggup berganding bahu membina rumah tangga serta melahirkan zuriat yang bertakwa kepada ALLAH SWT, selain meletakkan syariat-NYA sebagai panduan utama dalam kehidupan berkeluarga.”-SI+

Talak menggegarkan Arasy
Isu,

Rupanya hadis ‘talak menggegarkan Arasy’ tidak sahih

FRASA talak menggegarkan Arasy kedengaran tidak asing kepada kebanyakan kita. ‘Hadis’ yang selama ini menjadi sebutan ramai rupa-rupanya adalah tidak sahih!

Demikian fakta yang tidak boleh disangkal lagi kebenarannya.

Menurut pendakwah dan penulis, Ustaz Addien Abdul Kadir, ungkapan ‘talak menggegarkan Arasy’ dinilai palsu oleh ramai ulama hadis.

USTAZ ADDIEN

Antaranya termasuklah Imam Ibn al-Jauzi, al-Saghani, as-Syaukani dan lain-lain.

“Dalam kitab Fawaid al-Majmu’ah ada dinyatakan, yang sahih, bercerai itu syariat Islam dan dibolehkan jika ada keperluan mendesak,” katanya menerusi ciapan di Twitter miliknya.

Baca juga Isteri yang diceraikan tanpa sebab boleh tuntut mutaah daripada bekas suami

Bukan pendakwah itu sahaja, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut cenderung mengatakan bahawa hadis ‘talak menggegarkan Arasy’ adalah tidak sahih.

“Malah, kita tidak boleh sama sekali menyandarkannya kepada Nabi Muhammad SAW dan meriwayatkannya kepada orang lain melainkan bagi menyatakan kepalsuannya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad al-Hadith Siri ke-256: Talak Menggegarkan Arasy dan Dimurkai ALLAH di laman web pejabat mufti berkenaan.

Mengulas tentang sebuah lagi hadis masyhur yang bermaksud: “Perkara halal yang paling dimurkai ALLAH adalah talak.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah), ini jawapan pejabat mufti tersebut:

“Hadis itu telah menjadi perselisifan dalam kalangan ulama dari sudut penentuan hukumnya. Terdapat sebahagian ulama mensahihkan hadis itu dengan mengatakan bahawa sanadnya bersambung.

Talak menggegarkan Arasy

JADIKAN penceraian sebagai jalan yang terakhir, sebaiknya carilah solusi terlebih dahulu. -Foto: Freepik

“Ada pula sebahagian ulama lain mendaifkannya disebabkan gugurnya nama sahabat dalam hadis berkenaan dengan mengatakan bahawa hadis itu adalah mursal.”

Baca juga Jangan ikutkan hati dan amarah. Ingat, penceraian bukan satu permainan

Walaupun syarak membenarkan seorang suami melafazkan talak atau dengan kata lain, menceraikan isteri atas sebab-sebab tertentu, namun Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan, apa yang terbaik adalah mencari dahulu jalan penyelesaian bagi masalah tersebut.

“Jadikan talak sebagai jalan yang terakhir.

“Semoga ALLAH SWT mengurniakan kita suami atau isteri yang soleh dan solehah agar rumah tangga yang dibina terus berkekalan hingga akhir hayat,” ungkapnya.

***Foto: Freepik

Kedekut nafkah anak
Berita Semasa,

Suami dibakar angkara kedekut nafkah anak, ada cara lain isteri boleh lakukan jika hadapi masalah rumah tangga

WALAUPUN memang ada segelintir suami yang kedekut nafkah anak, namun kebanyakan daripada kita tidak terlintas langsung mahu mengambil tindakan yang akhirnya boleh memakan diri.

Sebab itu peri pentingnya mengawal amarah dan mengurus emosi dengan baik. Ia supaya kita boleh berfikir rasional terhadap tindak-tanduk yang dilakukan.

Namun, kisah yang berlaku di Kalimantan Barat, Indonesia baru-baru ini wajar dijadikan pedoman bersama. Gara-gara suami kedekut nafkah anak, isteri nekad membakar pasangannya!

Lebih tragis, kejadian itu berlaku ketika suaminya sedang tidur di kandang lembu yang akhirnya menyebabkan lelaki itu melecur 60 peratus pada bahagian badannya.

Memetik portal berita berpengaruh di Indonesia, Kompas melaporkan, wanita itu pada asalnya meminta wang daripada suaminya untuk membeli buku sekolah anak mereka.

Malangnya, permintaannya itu tidak diendahkan dan ditolak lelaki berkenaan. Tambah dramatik lagi apabila ketua keluarga berkenaan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap si isteri sebelum wanita itu bertindak sedemikian rupa.

Kedekut nafkah anak

AKIBAT insiden malang dibakar kerana dilaporkan kedekut nafkah anak, lelaki itu dilaporkan mengalami 60 peratus melecur pada bahagian badan. -Foto: Kompas

Kepada kaum Hawa yang menghadapi masalah sama atau seumpamanya, jangan bertindak semberono.

Menerusi laman sosial Facebook dalam kumpulan Permasalahan Kes Di Mahkamah Syariah, pengguna akaun Cahaya Mata Nurain berkongsi cara yang boleh dilakukan oleh isteri menghadapi sebegitu.

“Ramai para isteri bila mengalami masalah rumah tangga seperti suami tak bagi nafkah, suami sering memaki, lelaki curang, suami suka pukul dan sebagainya, masih lagi berdiam diri tanpa sebarang tindakan.

“Kebanyakan mereka mengambil konsep reda kerana itu jalan takdir yang tertulis. Walhal, anda sebagai isteri tahu apa yang perlu dibuat,” tulisnya.

Beliau kemudian menyenaraikan tindak-tanduk yang perlu dilakukan jika berdepan masalah rumah tangga sepertimana situasi berikut:

1. Suami culas atau tidak beri nafkah.

Baca juga Bapa tetap perlu sediakan nafkah anak sekalipun sudah bercerai dengan pasangan

Andai pasangan kita bertindak sedemikian dengan tidak memberikan nafkah, minta dengan tegas! Failkan nafkah isteri atau anak dalam tempoh perkahwinan.

Kedekut nafkah anak

ISTERI perlu menuntut dengan tegas nafkah anak dan diri andai suami culas membayarnya. -Foto: 123rf

Bagi pasangan yang sudah berpisah, failkan nafkah idah dan anak selepas perceraian.

2. Suami menyakiti hati isteri. 

Maklumkan secara terang dan nyata perkara yang menyakiti hati wanitanya itu. Jangan diam.

3. Suami memukul tubuh badan isteri.

Baca juga Nabi larang sekeras-kerasnya memukul wajah isteri

Kepada kaum wanita, jangan biarkan hal itu. Sebaliknya, buatlah laporan polis dan perubatan untuk tindakan lanjut.

Jangan lupa untuk ambil gambar bahagian anggota yang mengalami kecederaan itu.

4. Perlukan perbincangan.

Baca juga SULH – Konsep penyelesaian pertikaian terbaik yang diajar Islam

Barangkala ada situasi rumah tangga yang memerlukan perbincangan. Jika begitu, maka duduklah berbincang dalam keadaan yang tenang.

Andai tidak boleh, minta wakil yang lain untuk ada bersama ketika sesi berkenaan.

Untuk sesi pra kaunseling pula, boleh dapatkan bantuan ahli keluarga, rakan, jiran tetangga mahupun kaunseling di pejabat agama ataupun kaunselor bertauliah.

5. Semua usaha di atas telah dilakukan, namun tiada potensi untuk ke arah positif.  

Kedekut nafkah anak

BUATLAH aduan di Mahkamah Syariah andai semua usaha yang telah diambil menemui jalan buntu. -Foto: 123rf

Maka buatlah aduan di Mahkamah Syariah untuk mendapatkan hak anda. Jangan ambil masa terlalu lama untuk bertindak.

Di samping itu, Cahaya Mata Nurain yang juga pengamal undang-undang syariah turut menasihatkan agar kaum Hawa jangan takut untuk bertindak.

“Jangan zalim pada diri sendiri, jadilah isteri yang reda dengan bijak, bukan isteri yang reda tanpa sebarang ilmu.

“Sesungguhnya, ALLAH amat murka pada hamba-NYA yang berlaku zalim pada diri sendiri,” ungkapnya sambil menasihatkan wanita untuk mendapatkan nasihat peguam syarie atau individu bertauliah bagi membantu mereka bangkit.

Tunai umrah
Berita Semasa, Hukum,

Perkahwinan 3 anak tak sah gara-gara bapa masih dalam ihram, sebab itu penting kursus sebelum tunai umrah

WALAUPUN sekadar tunai umrah, umat Islam dinasihatkan supaya mengikuti kursus terlebih dahulu sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Nasihat itu dititipkan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor ketika dihubungi Sinar Islam Plus pada Rabu.

DR WAN SALIM

Ia rentetan daripada kisah seorang bapa yang tidak sedar melanggar ‘pantang’ ketika berihram hingga akhirnya anak-anak dan cucu-cucunya menjadi ‘mangsa’, sebagaimana dikongsikan dalam akaun TikTok @rambutjelita.

Baca juga Sentuh Kaabah sambil tawaf, adakah dikira batal dan perlu buat pusingan baru?

Ceritanya begini, lelaki itu menunaikan umrah pada tahun 2011 tanpa berkursus terlebih dahulu.

Ketika melakukan tawaf, dia menyentuh dinding kaabah sebanyak tiga kali. Perbuatan itu sebenarnya telah membatalkan tawafnya.

Oleh sebab tidak tahu, dia meneruskan rukun yang lain sebelum pulang ke Malaysia.

Tidak lama kemudian, dia menikahkan seorang demi seorang anak-anaknya. Dipendekkan cerita, seramai tiga orang anaknya telah dikahwinkan  olehnya sepanjang tujuh tahun selepas pulang dari Tanah Suci tanpa menyedari dirinya masih dalam ihram lagi.

Menurut perkongsian daripada individu bernama Aida itu, setelah mengikuti kursus haji pada tahun 2018, barulah bapa tadi mengetahui dia masih dalam ihram.

Baca juga Ibadah umrah diwajibkan bagi mereka yang mampu, ini maksud sebenar kemampuan tersebut

Dirinya lebih terkilan apabila ia turut mengheret sama pernikahan tiga anaknya tadi. Pejabat agama telah mengesahkan bahawa perkahwinan tiga anaknya tidak sah mengikut syarak, manakala cucu-cucunya pula lahir sebagai anak tidak sah taraf.

Lantaran itu, Dr Wan Salim mengingatkan peri pentingnya pengetahuan sebelum menunaikan ibadah sama ada haji atau umrah.

“Ikutilah kursus terlebih dahulu sebelum berangkat ke Makkah. Ini penting untuk memahami rukun-rukun dan wajib haji, selain pantang larang ketika berada dalam ihram,” titipnya.

Tunai umrah

SEBELUM tunai umrah, sebaiknya dalami ilmu untuk menunaikan ibadah berkenaan. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Mengulas lanjut tindakan lelaki terbabit yang menyentuh kaabah, ujar agamawan itu, tawafnya telah batal (tidak sah).

“Dia sepatutnya kena keluar semula daripada ihram dengan melakukan tahalul ihsar. Caranya ialah dia hendaklah menyembeli seekor kambing dengan niat tahalul,” katanya.

Kepada satu soalan, Dr Wan Salim menjawab: “Pernikahan anak-anaknya tidak sah dan perlu diakad semula.

Baca juga Bayi Jadi Mangsa Anak Tak Sah Taraf Gara-Gara Sikap Ibu Bapa Kahwin Terburu-buru

“Bagaimanapun, anak-anak yang lahir hasil pernikahan tersebut adalah sah taraf kerana hubungan suami isteri dianggap wathi syubhah, bukan zina.”

Pantang larang ketika ihram

Ketahuilah bahawa definisi ihram bukan bermaksud pakaian yang dipakai oleh para jemaah haji mahupun umrah.

Sebaliknya, jelas Abu Ammar al-Mahmudi dari Unit Bimbingan Az zuha Group Travel & Tours, ihram pada hakikatnya adalah perbuatan yang mengharamkan beberapa perkara yang asalnya halal bagi melakukan ibadah-ibadah tertentu.

“Sebagai contoh, ketika memulakan solat dengan mengangkat takbir pertama iaitu takbiratulihram, dengan erti kata lain, kita mengharamkan seketika perkara-perkara seperti bercakap, makan, minum dan sebagainya yang menjadi larangan ketika sembahyang,” katanya dipetik menerusi laman sosial Facebook HANIS.

Menurut beliau, terdapat 13 larangan ihram bagi ibadah haji dan umrah seperti berikut:

– Lelaki:

Tunai umrah

KETIKA berihram, ketahui pantang larangnya agar kita tidak melakukan kesilapan berkenaan ketika menunaikan ibadah. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

1. Memakai pakaian berjahit, bercantum dan dipakai secara bersarung.
2. Menutup kepala atau sebahagian daripada kepala.

– Wanita:

3. Menutup muka atau sebahagian daripada muka.

– Lelaki & Wanita:

4. Memakai sarung tangan.
5. Berwangi-wangian.
6. Memakai minyak pada kepala, janggut dan jambang.
7. Mencabut, memotong atau membinasakan bulu-buluan yang ada pada badan.
8. Memotong, mengerat atau membinasakan kuku.
9. Memburu binatang buruan yang halal dimakan.
10. Memotong, mengerat, menebang atau membinasakan tumbuhan di tanah haram.
11. Berkahwin, mengahwinkan atau menerima wali kahwin.
12. Mukadimah bersetubuh.
13. Bersetubuh.

Kepada mereka yang mahu beribadah ke Tanah Suci, timba dahulu pengetahuan sebelum ke sana. Jangan ambil remeh tentang hal itu.

Mengalah
Gaya Hidup,

Mengalahlah, jangan berbalah dengan adik beradik

“MENGALAHLAH, awakkan abang. Bagi dulu mainan tu pada adik, nanti bila dia tak main, awak ambillah.”

Frasa itu mengingatkan kita kepada momen ketika masih kecil. Rata-rata ibu dan ayah akan menyuruh anak yang lebih besar mengalah dengan adik dalam serba-serbi.

Kadangkala geram juga apabila melihat si adik mendapat layanan istimewa daripada kakak atau abang.

Namun apabila menginjak dewasa, barulah kita faham dan sedar hubungan adik beradik apalagi lahir dari rahim seorang ibu yang sama memang tidak akan terlerai sampai bila-bila. Hanya kematian sahajalah yang akan memisahkan kita.

Suatu perkara perlu diingat, mengalah bukan bererti kita kalah. Namun, kita melakukan demikian demi suatu perhubungan yang begitu mahal nilainya.

Mengalah

JANGAN bermusuhan atau dengki-mendengki sesama adik beradik, sebaliknya mengalahlah demi kebaikan bersama. -Foto: Canva

Bagi pasangan adik beradik yang mungkin bermasam muka ketika ini hingga memutuskan silaturahim, segera berbaiklah.

Baca juga Tiada haruman syurga kalau bermusuh sesama adik beradik

Sebaiknya, siapa pun kita waima adik atau kakak atau abang, mengalahlah demi menyambung semula ikatan yang terputus itu.

Penulis buku kerohanian, Ustaz Muhammad Rizal Johari menyarankan agar kita memulakan langkah untuk berbaik-baik dengan saudara kandung sendiri.

“Barangkali ada dalam kalangan kamu berbalah sesama adik beradik dan ada di antara mereka yang memutuskan hubungan silaturahim, dia tak mahu datang ke rumah kamu, dia buat tak tahu dengan kamu dan sebagainya.

“Andai kita sedar perkara ini dan mengalah, kamu mulakanlah dengan menziarahi dia, pujuk dia untuk menyambung silaturahim sesama mereka dan berbaik,” titipnya sebagaimana dikongsikan dalam laman sosial Facebook miliknya.

Ketahuilah bahawa ALLAH SWT akan mengubah takdir mereka yang berusaha kembali menyambung silaturahim dengan dua perkara yang besar, ungkapnya.

Baca juga Contohi sikap Nabi Yusuf santuni adik-beradik

“Jika rezeki kamu sempit, maka ALLAH ubah takdir itu dan diperluaskan rezeki untuk kamu.

“Satu lagi, ALLAH ubah takdir ajal kamu, ditambahkan usia kamu daripada tarikh kematian yang asal,” katanya.

Ia bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW: “Barang siapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturahim.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Nasihat yang sama turut dititipkan oleh pendakwah Ustazah Nur Aqidah Mawardi.

USTAZAH NUR AQIDAH -Foto: Facebook Nur Aqidah Mawardi

Beliau mengingatkan agar kita tidak bermusuhan, dengki-mendengki mahupun berlawan perkara yang sia-sia dengan adik beradik sendiri.

“Jika adik beradik sudah renggang, kita sendiri berdoa dan bertindak agar ALLAH bantu untuk mengurniakan hidayah kepada kita serta adik beradik kita agar ada rasa sayang dan saling mendoakan,” ungkapnya.

Baca juga Titipkan Doa Buat Adik Beradik Kita, Ini Sebabnya

Dalam pada itu, Ustazah Nur Aqidah turut mengingatkan agar kita tidak menjadi asbab renggangnya hubungan keluarga pasangan suami atau isteri.

Sebaliknya, berbaiklah dan lapangkanlah hati untuk menerima kekurangan dan cara hidup keluarga masing-masing.

“Jangan ada rasa hendak bersaing antara satu sama lain.

“Ingatlah hidup dalam hasad ini akan mendatangkan pelbagai penyakit, jasmani dan rohani,” ujarnya.

Justeru, penceramah tersebut mengingatkan agar kita memohon petunjuk daripada ALLAH SWT menerusi solat yang didirikan.

“Satu lagi, bermanis mukalah paling mudah untuk kita memulakan hubungan yang baik.

Mengalah

JAGALAH hubungan sesama adik beradik dan mengalah andai bercanggah dalam sesuatu perkara. Ia lebih baik daripada membiarkan silaturahim sesama saudara kandung semakin renggang. -Foto: 123rf

“Di samping itu, saling menasihati kerana sayang, bukan kerana ingin menunjuk kehebatan,” titipnya.

Kepada mereka yang ada masalah dalam kalangan adik beradik, ipar-duai mahupun saudara-mara, beliau menitipkan pesan agar mencari solusi untuk berdamai.

“Percaya dan yakinlah ALLAH yang memegang hati setiap hamba-NYA. Kita minta pada ALLAH Sang Pemilik Hati,” ungkapnya.