“MENGALAHLAH, awakkan abang. Bagi dulu mainan tu pada adik, nanti bila dia tak main, awak ambillah.”
Frasa itu mengingatkan kita kepada momen ketika masih kecil. Rata-rata ibu dan ayah akan menyuruh anak yang lebih besar mengalah dengan adik dalam serba-serbi.
Kadangkala geram juga apabila melihat si adik mendapat layanan istimewa daripada kakak atau abang.
Namun apabila menginjak dewasa, barulah kita faham dan sedar hubungan adik beradik apalagi lahir dari rahim seorang ibu yang sama memang tidak akan terlerai sampai bila-bila. Hanya kematian sahajalah yang akan memisahkan kita.
Suatu perkara perlu diingat, mengalah bukan bererti kita kalah. Namun, kita melakukan demikian demi suatu perhubungan yang begitu mahal nilainya.
Bagi pasangan adik beradik yang mungkin bermasam muka ketika ini hingga memutuskan silaturahim, segera berbaiklah.
Baca juga Tiada haruman syurga kalau bermusuh sesama adik beradik
Sebaiknya, siapa pun kita waima adik atau kakak atau abang, mengalahlah demi menyambung semula ikatan yang terputus itu.
Penulis buku kerohanian, Ustaz Muhammad Rizal Johari menyarankan agar kita memulakan langkah untuk berbaik-baik dengan saudara kandung sendiri.
“Barangkali ada dalam kalangan kamu berbalah sesama adik beradik dan ada di antara mereka yang memutuskan hubungan silaturahim, dia tak mahu datang ke rumah kamu, dia buat tak tahu dengan kamu dan sebagainya.
“Andai kita sedar perkara ini dan mengalah, kamu mulakanlah dengan menziarahi dia, pujuk dia untuk menyambung silaturahim sesama mereka dan berbaik,” titipnya sebagaimana dikongsikan dalam laman sosial Facebook miliknya.
Ketahuilah bahawa ALLAH SWT akan mengubah takdir mereka yang berusaha kembali menyambung silaturahim dengan dua perkara yang besar, ungkapnya.
Baca juga Contohi sikap Nabi Yusuf santuni adik-beradik
“Jika rezeki kamu sempit, maka ALLAH ubah takdir itu dan diperluaskan rezeki untuk kamu.
“Satu lagi, ALLAH ubah takdir ajal kamu, ditambahkan usia kamu daripada tarikh kematian yang asal,” katanya.
Ia bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW: “Barang siapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturahim.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Nasihat yang sama turut dititipkan oleh pendakwah Ustazah Nur Aqidah Mawardi.
Beliau mengingatkan agar kita tidak bermusuhan, dengki-mendengki mahupun berlawan perkara yang sia-sia dengan adik beradik sendiri.
“Jika adik beradik sudah renggang, kita sendiri berdoa dan bertindak agar ALLAH bantu untuk mengurniakan hidayah kepada kita serta adik beradik kita agar ada rasa sayang dan saling mendoakan,” ungkapnya.
Baca juga Titipkan Doa Buat Adik Beradik Kita, Ini Sebabnya
Dalam pada itu, Ustazah Nur Aqidah turut mengingatkan agar kita tidak menjadi asbab renggangnya hubungan keluarga pasangan suami atau isteri.
Sebaliknya, berbaiklah dan lapangkanlah hati untuk menerima kekurangan dan cara hidup keluarga masing-masing.
“Jangan ada rasa hendak bersaing antara satu sama lain.
“Ingatlah hidup dalam hasad ini akan mendatangkan pelbagai penyakit, jasmani dan rohani,” ujarnya.
Justeru, penceramah tersebut mengingatkan agar kita memohon petunjuk daripada ALLAH SWT menerusi solat yang didirikan.
“Satu lagi, bermanis mukalah paling mudah untuk kita memulakan hubungan yang baik.
“Di samping itu, saling menasihati kerana sayang, bukan kerana ingin menunjuk kehebatan,” titipnya.
Kepada mereka yang ada masalah dalam kalangan adik beradik, ipar-duai mahupun saudara-mara, beliau menitipkan pesan agar mencari solusi untuk berdamai.
“Percaya dan yakinlah ALLAH yang memegang hati setiap hamba-NYA. Kita minta pada ALLAH Sang Pemilik Hati,” ungkapnya.