Browsing Tag

ramadan

Bertarawih di rumah
Ibadah,

Antara bertarawih di rumah dan masjid, mana satu paling terbaik untuk wanita?

Antara bertarawih di rumah dan masjid, mana satu paling terbaik untuk wanita?

SEPERTIMANA kaum Adam, golongan wanita juga mahu bertarawih sepanjang bulan Ramadan. Maklum sahajalah, peluang keemasan itu bukan selalunya ada.

Ia hanya muncul 30 hari dalam setahun. Sudah pastilah semua orang berlumba-lumba untuk menunaikannya.

Tatkala melihat orang lelaki mahupun muslimat lain di masjid, ada juga kaum Hawa yang terpaksa memendam rasa kerana terpaksa menunaikannya secara bersendirian di dalam rumah.

Baca juga Mudah sahaja rupanya solat tarawih di rumah. Ini caranya

Memikirkan anak kecil tiada siapa yang mahu menjaganya. Jika dibawa ke masjid, bimbang pula jika mengganggu jemaah yang lain.

Akhirnya, mereka terpaksa memilih untuk menunaikannya di rumah sahaja. Ia lebih selesa dan selamat untuk anak kecil dipantau. Sambil-sambil beribadah, tanggungjawab sebagai ibu juga tidak diabaikan.

Ketahuilah bahawa solat seorang wanita muslimah itu lebih afdal dan baik apabila dikerjakan di rumah.

Demikian fakta yang dijelaskan oleh Naib Pengerusi 2 Majlis Ulama ISMA (MUIS), Ustazah Nur Fatin Halil.

USTAZAH NUR FATIN

Perkara itu disebutkan secara jelas dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Solat seorang wanita di rumahnya adalah lebih baik daripada solat di biliknya, dan solat di tempat tidurnya lebih baik daripada solat di rumahnya.” (Sunan Abi Daud)

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad, Ummu Humaid al-Sai’idi, isteri kepada Abu Humaid RA datang bertemu Nabi Muhammad SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku suka solat bersamamu.”

Baginda menjawab: “Sungguh aku mengetahui bahawa engkau suka menunaikan solat bersamaku, akan tetapi solatmu di tempat tidurmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di bilikmu, dan solatmu di bilikmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di rumahmu, dan solatmu di rumahmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di masjid kaummu, dan solatmu di masjid kaummu lebih baik dibandingkan solatmu di masjidku.”

Baca juga Raih Keampunan Dengan Bertarawih, Rugi Jika Tinggalkan Begitu Sahaja

Kemudian Ummu Humaid meminta dibangunkan baginya masjid (tempat solat) di tempat paling tersorok dan paling gelap di dalam bilik tidurnya. Maka beliau solat di sana sampai bertemu dengan ALLAH SWT. (Hadis Riwayat Ahmad)

Berdasarkan kedua-dua hadis berkenaan, ujar Ustazah Nur Fatin, jelaslah bahawa semakin tertutup tempat solat wanita itu dan jauh dari percampuran dengan lelaki, maka ia adalah tempat yang afdal untuk wanita menunaikan solat.

“Bagaimanapun, ia bukanlah bermakna suatu larangan untuk wanita ke masjid.

Bertarawih di rumah

MESKIPUN tempat yang lebih afdal untuk wanita untuk menunaikan solat di rumah, tetapi ia bukanlah bermakna larangan untuk kaum Hawa pergi ke masjid. -Foto: Bernama

“Bahkan, terdapat hadis lain yang melarang para lelaki daripada menghalang isteri-isteri mereka keluar ke masjid,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web MUIS.

Meskipun tiada halangan tersebut, pendakwah itu menjelaskan, terdapat garis panduan yang perlu dipenuhi oleh wanita muslimah andai mereka mahu keluar menghadiri solat tarawih di masjid.

Berikut syarat-syarat yang perlu dipenuhi:

1. Menjaga aurat, tidak berhias-hias (tabarruj) dan memelihara pandangan.

ALLAH SWT berfirman: “Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman agar mereka menjaga pandangannya, memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya…” (Surah an-Nur, ayat 31)

Baca juga Buat wanita di luar sana, ini persiapan penting untuk sambut bulan Ramadan

2. Tidak memakai wangi-wangian.

Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu menegah wanita-wanitamu pergi ke masjid ALLAH. Dan hendaklah mereka keluar ke masjid tidak memakai wangi-wangian.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

3. Mendapat keizinan suami.

Bertarawih di rumah

DAPATKAN keizinan suami terlebih dahulu untuk keluar ke mana-mana termasuk ke masjid bagi mendirikan solat tarawih berjemaah. -Foto: 123rf

4. Tiada percampuran lelaki dan wanita serta segera pulang usai solat.

Dalam sebuah hadis, Ummu Salamah RA menceritakan para wanita yang hadir solat berjemaah apabila selesai salam, mereka segera bangkit meninggalkan masjid dan pulang ke rumah, sementara Rasulullah SAW dan para jemaah lelaki duduk sebentar (untuk memberi laluan kepada jemaah wanita beredar). Apabila Rasulullah bangkit, maka bangkit pula jemaah lelaki tersebut. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Andai semua garis panduan itu dipenuhi dan pada masa sama kehadiran wanita tersebut tidak menimbulkan fitnah, ujar Ustazah Nur Fatin, maka dibolehkan mereka untuk ke masjid dan berlumba-lumba mengumpul pahala lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh barakah.

Bahkan, katanya, terdapat situasi tertentu yang mana seorang wanita digalakkan untuk ke masjid sekiranya solat di rumah ALLAH itu lebih meningkatkan kekhusyukan dan menambahkan penghayatan melalui bacaan imam apabila solat berjemaah berbanding sembahyang bersendirian di rumah.

“Bukan itu sahaja, sebenarnya apabila wanita ke masjid, banyak manfaat yang diraih lebih-lebih lagi jika mereka mengikuti pengisian dan ceramah agama.

“Suatu perkara yang harus diingat, perlu dipastikan juga agar ketiadaan wanita tadi rumah kerana pergi ke masjid tidak memberi kesan terhadap tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu,” terangnya panjang lebar.

Kepada kelompok ibu yang mempunyai anak kecil, kata Ustazah Nur Fatin, jangan bimbang soal ganjaran pahala besar dan seumpamanya.

Bertarawih di rumah

WANITA tetap juga mendapat pahala seperti ke masjid walaupun tidak berkesempatan ke sana sekiranya mereka mendorong dan mempersiapkan suami masing-masing untuk ke masjid. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

“Ketahuilah, wanita juga tetap mendapat pahala seperti ke masjid walaupun tidak berkesempatan ke sana sekiranya mereka mendorong dan mempersiapkan suami masing-masing untuk ke masjid,” katanya.

Baca juga Amalan yang boleh dilakukan oleh wanita ketika haid

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa menunjukkan kepada kebaikan, ia mendapatkan pahala seperti orang yang mengerjakannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Ustazah Nur Fatin menitipkan pesan, solat tarawih merupakan amalan sunat yang boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

“Tidak semestinya ia dilakukan di masjid terutamanya bagi wanita,” ujarnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Moreh
Video,

[Video] Pentingkah moreh?

Pentingkah moreh?

DALAM masyarakat Melayu, jika solat terawih di mana-mana masjid atau surau, tidak sah rasanya kalau tiada moreh. Pihak masjid akan sediakan pelbagai makanan dan minuman untuk dihidangkan kepada para jemaah selepas selesai menunaikan solat terawih atau witir.

Ada juga yang mula menjamah di pertengahan solat terawih, berulang alik keluar masjid mengambil makanan. Bersemangat betul.

Baca juga Makan pada awal malam tidak dikira bersahur, berikut penjelasannya

Bukankah tujuan ke masjid untuk beribadat? Apa hukumnya bagi moreh?

Ikuti penjelasan pendakwah Ustaz Dai’ Fuad Mokhtar tentang kelebihan moreh dalam segmen Soal Jawab Agama Edisi Ramadan.

***Foto: Freepik 

doa berbuka puasa
Ibadah,

Jangan terus makan ketika berbuka puasa, sebaliknya amalkan doa terbaik sewaktu iftar

Jangan terus makan ketika berbuka puasa, sebaliknya amalkan doa terbaik sewaktu iftar

AZAN berkumandang menandakan waktu berbuka pasti dinantikan oleh setiap orang yang berpuasa.

Mana tidaknya, setelah hampir 13 jam menahan lapar dan dahaga, sudah tentulah ia antara saat yang membahagiakan apabila dapat menghirup seteguk air dan menjamah hidangan.

Namun, di sebalik keterujaan berbuka puasa, jangan terus meluru ke arah juadah yang tersedia tanpa menitipkan doa kepada ALLAH SWT terlebih dahulu.

Baca juga Sebelum berbuka antara waktu mustajab berdoa, usah abaikan detik ini

doa berbuka puasa

Hal ini kerana masa berbuka merupakan antara waktu mustajab doa bagi mereka yang berpuasa, sebagaimana diperihalkan dalam banyak hadis.

Antaranya daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka, doa yang tidak akan ditolak.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Turut disyorkan Mantapkan kecergasan diri dengan berpuasa bukannya lemau sepanjang masa, ini nasihat WHO

doa berbuka puasa

AMBIL peluang berdoa pada masa berbuka puasa kerana ia termasuk waktu mustajab doa. Foto: Unsplash

Baca juga Ada yang malas bekerja dan lesu bila beribadah? Nabi SAW sarankan doa ini dibaca setiap hari

Doa terbaik untuk dibaca ketika berbuka
Jelas bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, sebaik-baik doa untuk dibaca ketika berbuka ialah sepertimana yang diajar oleh Rasulullah SAW iaitu mohon pahala.

Sabda Nabi SAW:

ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتْ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إنْ شَاءَ اللَّهُ تَعَالَى

Maksudnya: “Telah hilanglah dahaga, urat-urat telah basah, dan telah terhasil pahala, Insya-ALLAH.” (Hadis Riwayat Abi Dawud)

Namun, menurut para cendekiawan Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan Imam Ramli, doa tersebut dibaca sejurus selepas berbuka (عقب), bukannya sebelum iftar.

Turut disyorkan Semua orang puasa, tapi pahala kita berbeza. Ini sebab-sebabnya

USAH terus menjamah selera sebaik sahaja azan berkumandang. Foto: Pexels

Tulisnya lagi di portal Maktabah al-Bakri, umat Islam juga disarankan memohon keampunan kepada ALLAH pada waktu mustajab berdoa berkenaan.

Satu doa yang boleh diamalkan pernah dilafazkan salah seorang sahabat Nabi SAW iaitu ‘Abdullah ibn ‘Amru RA sewaktu berbuka puasa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَىْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي

Maksudnya: “Wahai ALLAH, sesungguhnya aku memohon dengan rahmat-MU yang meliputi segala perkara, agar ENGKAU mengampuniku.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Pun begitu, sebenarnya kita boleh membaca segala jenis doa memohon apa-apa sahaja keperluan ketika berpuasa atau berbuka puasa. Ketahuilah ALLAH amat menyukai hamba-hamba-NYA yang sentiasa berdoa, memohon dan bermunajat kepada-NYA.

Semoga ALLAH menjadikan kita hamba-NYA yang sentiasa berdoa kepada-NYA, selain doa tersebut menjadi antara yang dimakbulkan-NYA.

Sumber: Maktabah al-Bakri

Foto: Pexels & Unsplash

Kehebatan Ramadan
Ibadah,

Ini 7 kehebatan Ramadan yang perlu kita rebut

Ini 7 kehebatan Ramadan yang perlu kita rebut

BULAN Ramadan yang dirindui oleh umat Islam telah menjengah tiba dalam suasana Malaysia yang penuh kesederhanaan. Pada bulan Ramadan, seorang Mukmin secara syar’inya mempunyai beberapa tanggungjawab yang sudah dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sunnah qauliyah (perkataan) dan amalan-amalan Baginda.

Bulan Ramadan merupakan musim menggandakan ibadah serta menuai jutaan kebaikan. 30 hari terhebat yang penuh limpahan nikmat ALLAH SWT sedang disajikan kepada para hamba-NYA yang soleh jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain.

1. Siyam (Puasa).

Secara umumnya, puasa mempunyai darjat keutamaan yang besar yang telah dijelaskan oleh Rasulullah dalam hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullah.

“Semua amal perbuatan bani Adam adalah kepunyaan bani Adam sendiri, kecuali puasa. Puasa itu kepunyaan-KU, dan AKU yang akan memberikan balasan. Maka, demi Dzat yang nyawa Muhammad ada ditangan-NYA, sungguh di sisi ALLAH, aroma mulut orang yang sedang berpuasa itu lebih harum daripada minyak kasturi”.

Kehebatan Ramadan

KEHEBATAN Ramadan banyak dirakamkan dalam al-Quran dan hadis antaranya ALLAH SWT menjanjikan pahala yang bukan calang-calang kepada mereka yang berpuasa dan beribadah semata-mata kerana-NYA. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Imam Mazari Rahimahullah dalam kitab alMu’lim Bifawa-idi Muslim juga ada menjelaskan bahawa ALLAH secara khusus menyebut puasa sebagai “milik-KU”, padahal semua perbuatan baik yang dilakukan secara ikhlas juga milik-NYA. Ini kerana dalam ibadah puasa tidak mungkin terdapatnya aspek riak sebagaimana ibadah-ibadah yang lain.

Ini kerana puasa itu perbuatan menahan diri dan menahan lapar, sementara hakikatnya orang yang menahan diri kerana sudah kenyang atau pun kerana miskin – pada zahirnya sama saja dengan orang yang menahan diri ketika beribadah kepada ALLAH. Elemen yang paling penting ialah niat ikhlas yang tersimpan dalam hati manakala ibadah solat, haji dan zakat merupakan perbuatan lahiriyah yang berpotensi untuk menimbulkan riak. Oleh kerana itulah, puasa dikhususkan sebagai milik ALLAH sementara yang lainnya tidak.

Baca juga Semua orang puasa, tapi pahala kita berbeza. Ini sebab-sebabnya

Di samping keistimewaan yang bersifat umum ini terdapat kelebihan lain yang terdapat pada bulan Ramadan seperti yang ditegaskan oleh Rasulullah:

“Barang siapa yang puasa Ramadan kerana iman dan kerana ingin mendapatkan pahala, maka dia diampuni dosanya yang telah lalu.” (Muttafaqun ‘alaih)

Kehebatan Ramadan

JANGAN lepaskan peluang untuk bertarawih yang hanya datang sebulan sekali dalam setahun. -Foto: 123rf

Baginda SAW juga menjelaskan lagi: “Satu bulan sabar (berpuasa Ramadan) ditambah tiga hari puasa pada setiap bulan, sama dengan puasa satu tahun.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Apa yang dimaksudkan dengan bulan sabar iaitu bulan Ramadan seperti yang dijelaskan oleh Ibnu Abdil Barr Rahimahullah dalam kamus Lisanul Arab, shaum juga bermakna sabar. ALLAH merakamkan aspek ini dalam Surah az-Zumar ayat 10 yang berbunyi: “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.”

2. Qiyamullail (Tarawih).

Solat tarawih ini sunnahnya dikerjakan secara berjamaah selama satu bulan Ramadan. Nabi SAW bersabda : “Sesungguhnya barang siapa yang solat bersama imam sampai imam itu selesai, maka ditetapkan pahala baginya, seperti solat sepanjang malam.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Baca juga Solat tarawih beberapa jam sebelum Subuh kerana terlalu sibuk bekerja, sah atau tidak?

Dalam menerangkan kelebihan solat tarawih ini, Rasulullah bersabda. “Barang siapa yang solat tarawih kerana iman dan mengharap pahala, maka dia diampuni dosanya yang telah lalu.” (Muttafaqun ‘alaih)

3. Sedekah.

Kedermawanan Rasulullah paling menonjol pada bulan Ramadan. Baginda banyak memberi dan ini mencakupi berbagai macam amal kebajikan dan perbuatan baik.

Ia sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari maksudnya: “Rasulullah adalah orang yang paling dermawan. Dan Baginda lebih dermawan lagi pada bulan Ramadan saat bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

4. Mengadakan iftar kepada orang yang berpuasa.

Rasulullah telah menganjurkan umatnya untuk melakukannya dan memberitahukan pahala yang sangat besar sebagai hasil yang mereka peroleh seperti apa yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Kehebatan Ramadan

BETAPA melimpahnya pahala bila memberi makan orang berpuasa. -Foto: 123rf

“Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikit pun kurang pahala orang berpuasa.” (Hadis Riwayat Ahmad, at-Tarmizi dan al-Baihaqi)

5. Membaca al-quran.

Bulan Ramadan merupakan bulan al-Quran, sebagaimana difirmankan oleh ALLAH dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang berbunyi:

“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) AlQuran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu, dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)”.

Baca juga Para Malaikat Akan Mengerumuni Mereka Yang Bertadarus Al-Quran, Berikut Hikmah-Hikmah Lain

Dalam sunnah ‘amaliyah Nabi Muhammad terdapat keterangan tentang praktik nyatanya. Jibril AS mengajak Nabi SAW bertadarus al Quran pada setiap malam bulan Ramadan.

6. Umrah.

Imam Bukhari rahimahullah dan Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan sebuah hadis yang menjelaskan bahawa Nabi SAW bersabda: “Umrah pada bulan Ramadan sama dengan haji bersamaku.”

7. Mencari lailatulqadar.

ALLAH SWT berfirman dalam Surah al-Qadr ayat 1 hingga 3: “Sesungguhnya KAMI telah menurunkan al-Quran pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu, apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.”

Kehebatan Ramadan

ISTIQAMAH dalam beribadah dan usah terlalu menimbang-nimbang malam lailatulqadar untuk menjadi hamba ALLAH yang begitu dekat dengan-NYA. -Foto: Bernama

Nabi SAW juga bersabda: “Barangsiapa solat pada malam qadar kerana iman dan kerana ingin mencari pahala, maka dia diampuni dosanya yang telah lalu.”

Baca juga Lailatulqadar: Mengapa ALLAH SWT menyembunyikan rahsia malam tersebut daripada pengetahuan manusia?

Imam Tirmidzi dan Ibnu Majah meriwayatkan sebuah hadis: “Wahai Rasulullah, apakah yang aku katakan, jika aku mendapati Lailatul Qadar?” Baginda SAW menjawab,” Katakanlah: “Ya ALLAH, sesungguhnya engkau MAHA PEMBERI MAAF, maka maafkanlah aku.”

***Artikel ditulis oleh Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia & Kaunselor Berdaftar Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Prof Madya Dr Zaizul Ab Rahman

Foto: Canva

Berpuasa tapi tidak dapat pahala
Ibadah,

Usah jadi golongan yang berpuasa, tapi tidak dapat pahala. Hanya kelaparan, kehausan dan keletihan saja diraihnya

Usah jadi golongan yang berpuasa, tapi tidak dapat pahala. Hanya kelaparan, kehausan dan keletihan saja diraihnya

TERDAPAT golongan yang berpuasa, tetapi tidak memperoleh pahala puasa, sebaliknya hanya kelaparan, kehausan dan keletihan semata-mata.

Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mohd Nasir Masroom berkata, perkara itu ada disebutkan secara jelas dalam hadis Rasulullah SAW.

Baginda SAW bersabda: “Ramai orang yang berpuasa, tetapi dia tidak memperoleh apa-apa dari puasanya kecuali lapar.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Dalam satu riwayat yang lain, Nabi Muhammad SAW turut menerangkan tentang perkara yang dilarang ketika berpuasa. Baginda bersabda yang bermaksud: “Puasa adalah perisai. (Ketika berpuasa) jangan mencela (kata-kata kotor), jangan melakukan perbuatan bodoh. Sekiranya ada seseorang yang ingin bergaduh atau membulinya, maka katakanlah ‘aku berpuasa’ dua kali.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

DR MOHD NASIR

Berdasarkan dua hadis berkenaan, ahli akademik berkenaan menjelaskan, merekalah sebenarnya orang yang berpuasa, tetapi tidak menjaga kualiti puasa masing-masing dengan mengerjakan perkara-perkara yang dilarang ketika melaksanakan kewajipan berkenaan.

Baca juga Semua orang puasa, tapi pahala kita berbeza. Ini sebab-sebabnya

Ketahuilah bahawa, puasa tidak sama dengan ibadah-ibadah lain. Ini kerana berpuasa tidak perlu menzahirkan perbuatan atau perkataan sepertimana solat dan membaca al-Quran.

Itulah keistimewaan yang terdapat pada ibadah berkenaan.

Menurut Dr Mohd Nasir, amalan puasa yang dikerjakan oleh setiap mukmin adalah milik ALLAH SWT.

Baca juga Adakah perbuatan bersahur sudah dikira berniat puasa?

Bahkan, pemilik kerajaan langit dan bumi itu juga akan membalas dengan pahala yang tidak terhitung banyaknya.

Perkara itu ada disebutkan dalam sebuah hadis qudsi yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda: “ALLAH SWT berfirman: “Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu milik AKU (ALLAH) dan AKULAH yang akan membalasnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Pendakwah itu menambah, kewajiban yang satu itu sangat mementingkan niat ikhlas. Hanya ALLAH SWT sahaja Yang MAHA MENGETAHUINYA, selain individu berkenaan.

Berpuasa tapi tidak dapat pahala

NIAT keikhlasan menjadi syarat terpenting dalam menentukan kualiti ibadah puasa yang dikerjakan. -Foto: 123rf

“Niat keikhlasan inilah yang menjadi syarat terpenting dalam menentukan kualiti puasa dikerjakan.

“Hanya ALLAH SWT sahaja yang layak membalas pahala orang yang ikhlas berpuasa dengan ganjaran besar,” katanya.

Oleh sebab itu, ujar penceramah tersebut, tidak hairanlah apabila setiap ujian, dugaan, musibah, kesusahan dan cabaran yang dilalui setiap mukmin akan dinilai tahap iman dan keikhlasan mereka dalam ketaatan kepada Sang Pencipta.

Baca juga Ujian bukan untuk merendahkan martabat manusia, tapi mempersiapkan kita dengan kejayaan

Ia termasuklah dalam perihal pelaksanaan ibadah termasuk ketika menunaikan Rukun Islam keempat itu, terangnya.

“Dalam keadaan (menghadapi cabaran) ini, orang yang berpuasa akan menghadapi berbagai kesukaran dan kepayahan. Semua cabaran ini sudah pasti diberi ganjaran yang setimpal oleh ALLAH SWT.

“Namun demikian, Islam juga memberi kelonggaran dengan mengharuskan berbuka puasa kepada golongan-golongan yang tidak mampu untuk berpuasa supaya berbuka dengan syarat-syarat tertentu,” katanya.

Pelihara pancaindera

Menyambung hujahnya, Dr Mohd Nasir menjelaskan, pahala setiap orang yang berpuasa berbeza disebabkan kualiti ibadah masing-masing.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berpuasa tapi tidak dapat pahala

SELAIN menahan diri daripada lapar dan dahaga, peliharalah pancaindera masing-masing ketika berpuasa. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Melihat ungkapan berkenaan, ujar beliau, jelaslah bahawa dua syarat utama bagi orang berpuasa untuk mendapat keampunan dosa-dosa lalu iaitu melaksanakan ibadah berkenaan dengan penuh keimanan dan pengharapan agar puasanya diterima oleh ALLAH SWT.

Baca juga Agar ibadah dilakukan diterima ALLAH, pastikan penuhi syarat-syarat ini

Dalam pada itu, penceramah tersebut turut mengingatkan bahawa amalan tersebut bukan sekadar tidak makan dan minum sepanjang berpuasa, tetapi juga menjaga pancaindera masing-masing daripada berbuat maksiat.

Beliau kemudian menukilkan pesanan Imam al-Ghazali tentang perkara yang harus dijaga sepanjang menunaikan kewajiban berkenaan iaitu;

i. Menundukkan pandangan daripada melihat perkara yang dilarang.

ii. Menjaga percakapan daripada menuturkan perkara yang sia-sia, berbohong, mengumpat dan mencela.

iii. Menjaga pendengaran daripada perkara yang dilarang.

iv. Menjaga diri daripada melakukan perkara yang syubhat ketika berbuka puasa seperti membazir dan bersifat tamak.

“Semua indikator itu akan dinilai oleh ALLAH SWT. Oleh sebab itu, perbezaan nilai pahala berpuasa adalah tertakluk kepada perkara-perkara ini.

“Andai seseorang dapat menjaga puasanya daripada melakukan apa yang disebutkan tadi, maka dia akan memperoleh ganjaran yang besar.

Berpuasa tapi tidak dapat pahala

SEPANJANG bulan Ramadan ini, jagalah kualiti puasa masing-masing agar imbalan pahala tidak berkurangan dengan menghindari diri daripada melakukan maksiat pancaindera. -Foto: Canva

“Sebaliknya, jika dia melakukan perkara yang ditegah, maka berkuranganlah pahalanya,” hurainya panjang lebar.

Sebelum menoktahkan bicaranya, pendakwah itu mengingatkan agar semua umat Islam menjaga kualiti puasa masing-masing agar imbalan pahala tidak berkurangan dengan menghindari diri daripada melakukan maksiat pancaindera.

“Selain itu, marilah kita merebut peluang untuk memperbanyakkan amalan dan ibadah pada bulan Ramadan ini kerana sepanjang bulan mulia inilah ganjaran pahala kita akan digandakan oleh ALLAH SWT,” titipnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Buru lailatulqadar
Ibadah,

Semua orang puasa, tapi pahala kita berbeza. Ini sebab-sebabnya

Semua orang puasa, tapi pahala kita berbeza. Ini sebab-sebabnya

SEWAKTU mula puasa pada usia tujuh tahun, penulis masih tidak faham pengertian sebenar ibadah tersebut.

Pada umur budak sebegitu, penulis hanya tahu puasa bermaksud tidak boleh makan dan minum serta tidak boleh korek hidung dan telinga!

Rasanya ramai yang beranggapan sebegitu sebelum ini. Namun, penulis percaya seiring dengan faktor usia dan kematangan masing-masing, semua kini sudah cakna tentang kewajiban Rukun Islam keempat tersebut.

Begitu pantasnya masa berlalu. Kini kita kembali menemui bulan Ramadan yang memasuki hari kedua.

Meskipun kita sama-sama menjalani ibadah puasa dalam bulan yang sama iaitu Ramadan, ketahuilah bahawa pahala setiap daripada kita tidak sama.

Mengapakah perkara itu berlaku? Apakah yang membezakan pahala puasa setiap orang Islam?

Baca juga Amalan yang boleh tambah dan kurangkan pahala puasa, penting untuk kita tahu

Bergantung amalan

Sebelum meleraikan tanda tanya itu, Sinar Islam Plus terlebih dahulu mengajak Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood untuk mengupas tentang pensyariatan ibadah puasa.

USTAZAH SITI FATAHIYAH

Membuka tirai mukadimahnya, jelas beliau, berpuasa pada bulan Ramadan merupakan antara ibadah penting bagi umat Islam sebagaimana dinyatakan secara jelas oleh ALLAH SWT menerusi Surah al-Baqarah, ayat 183 hingga 185.

“Meskipun umat Islam difardukan untuk berpuasa dalam bulan mulia berkenaan, namun ada beberapa golongan yang dibenarkan untuk berbuka sekiranya mereka tergolong dalam kelompok yang dibenarkan berbuat demikian, tetapi perlu menggantikannya.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya ibadah berpuasa kepada umat Islam,“ katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Suatu perkara signifikan tentang Rukun Islam keempat yang sering dipandang enteng, ujar ahli akademik itu, kewajiban berkenaan bukan sahaja mengukur amalan menahan lapar dan dahaga semata-mata.

Sebaliknya, terang beliau, ALLAH SWT turut menilai segala perkara yang kita kerjakan.

“Jangan biarkan amalan berpahala ini membuatkan kita hanya merasa penat, lapar dan dahaga sahaja. Sedangkan banyak fadilat yang boleh kita raih seperti yang dijanjikan ALLAH SWT.

Baca juga Rupanya Rasulullah SAW sempat berpuasa sembilan kali sepanjang hayat Baginda

“Ketahuilah bahawa setiap amalan yang kita lakukan akan membezakan pahala bagi setiap umat Islam. Sekiranya amal kita lebih kepada perkara yang baik dan patuh syariah, maka akan berlipat ganda pahala kita.

Puasa

PAHALA setiap orang yang berpuasa bukan sekadar diukur dengan menahan lapar dan dahaga, tetapi ALLAH SWT menilai setiap apa yang dikerjakan. -Foto: 123rf

“Namun, sekiranya ketika kita berpuasa, tetapi tetap melakukan perkara yang jauh menyimpang daripada landasan agama, maka perbuatan tersebut akan memberi kesan kepada ganjaran pahala yang sepatutnya kita peroleh,“ jelasnya.

Ustazah Siti Fatahiyah turut memberi gambaran mudah untuk kita memahaminya lebih jelas.

Misalnya, katanya, keletihan yang dialami akibat berpuasa menyebabkan kita meninggalkan solat lima waktu ataupun tidak menutup aurat, maka sudah pasti ia akan memberi kesan ke atas dosa atau pahala kita.

“Oleh sebab itu, kita perlu menjadikan amalan selama sebulan sepanjang Ramadan sebagai platform untuk mendidik diri supaya berdisiplin menjaga kesihatan fizikal termasuk menambah baik amalan spiritual dan menjaga kekuatan intelektual kita.

Baca juga Mantapkan kecergasan diri dengan berpuasa bukannya lemau sepanjang masa, ini nasihat WHO 

“Semua itu diperlukan agar latihan disiplin yang kita jalankan selama sebulan berturut-turut ini akan dapat dilazimkan ke hari-hari berikutnya untuk menambah baik amal ibadah sepanjang hidup di dunia,“ katanya.

‘Akademi‘ didik diri

Dalam pada itu, perunding motivasi wanita dan kekeluargaan itu turut mengingatkan agar umat Islam tidak menjadikan puasa sebagai alasan tidak mampu melaksanakan rutin mahupun tugasan lain.

Benar, ramai yang mengadu letih, penat, susah hendak bekerja, mengantuk ketika belajar dan seumpamanya ketika berpuasa.

“Alasan-alasan klise tersebut hanya muncul dalam pemikiran kerana kita sendiri yang mengarahkan akal fikiran memandu ke arah itu.

Puasa

BULAN Ramadan bukan alasan bagi kita bermalas-malasan, lesu tidak berbuat apa gara-gara berpuasa. -Foto: Pexels

“Sepatutnya kita meletakkan sepenuh keyakinan bahawa kefarduan puasa itu perlu dipatuhi. Kebaikan berpuasa untuk tubuh badan dan juga penambahbaikan spiritual serta intelektual kita bukan sahaja diperoleh dalam hadis-hadis Rasulullah SAW, malah banyak kajian saintifik membuktikan bahawa berpuasa itu memberikan banyak kebaikan,“ terangnya panjang lebar.

Berkongsi hikmah di sebalik puasa yang dilakukan, ujar penceramah itu, selain mengajar diri berdisiplin dan menyusun diet pemakanan, ibadah berkenaan sebenarnya turut menjaga perbuatan, pertuturan dan perwatakan agar ia selari dengan tuntutan agama.

Baca juga Tidak memadai niat puasa Ramadan sebulan sekali gus, perlu perbaharuinya pada setiap malam

“Semua amalan seperti membaca atau bertadarus al-Quran, menambah amalan sunat dan bersedekah sangat baik untuk dilakukan dalam bulan mulia ini.

“Begitu juga menjaga hubungan kekeluargaan dan sosial, pertuturan, pandangan mata, aurat dan batas pergaulan serta mengawal emosi dan nafsu,“ katanya.

Jelas beliau, tidak salah andai kita jadikan Ramadan sebagai ‘akademi‘ mendidik diri dengan menambah baik amalan untuk diteruskan selepas Ramadan dan lebih bagus daripada bulan agung berkenaan pada tahun sebelumnya.

“Kita tidak mahu ia sekadar menjadi acara tahunan yang berlalu begitu sahaja kerana sifat orang mukmin sentiasa memastikan hari ini lebih baik dari semalam.

“Malah, mereka cepat-cepat bertaubat dan menambahkan amal soleh sekiranya ada perbuatan tersasar yang dilakukan,“ ujarnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Solat tarawih
Ibadah,

Solat tarawih beberapa jam sebelum Subuh kerana terlalu sibuk bekerja, sah atau tidak?

Solat tarawih beberapa jam sebelum Subuh kerana terlalu sibuk bekerja, sah atau tidak?

SOLAT tarawih menjadi antara ibadah yang begitu dinanti-nantikan saat masuknya bulan Ramadan.

Masakan tidak, datangnya hanya sepurnama sahaja. Apabila bulan teragung dalam Islam itu berlalu, maka solat tarawih juga akan pergi meninggalkan kita.

Ramai yang menyimpan impian untuk bertarawih di masjid atau surau. Seronok rasanya apabila kita dapat berjemaah beramai-ramai.

Solat tarawih

JANGAN lepaskan peluang bertarawih tidak kiralah sama ada secara berjemaah di masjid mahupun bersendirian di rumah. -Foto: Bernama

Namun begitu, ada juga yang terpaksa menunaikan solat sunat itu di rumah sahaja kerana terpaksa menjaga anak kecil dan mempunyai rintangan lain.

Segelintirnya pula perlu bekerja ketika solat tarawih sedang berlangsung di rumah ALLAH. Individu tersebut kadangkala berasa rendah diri kerana tidak dapat bertarawih dengan umat Islam yang lain.

Bagaimanapun, hati mereka adakalanya bagaikan tertarik-tarik mahu menunaikan solat tarawih juga biarpun bukan pada waktu berkenaan.

Baca juga Mudah sahaja rupanya solat tarawih di rumah. Ini caranya

Bolehkah solat tarawih dikerjakan pada awal pagi, beberapa jam sebelum Subuh atau waktu lain?

Ketika diajukan tanda tanya itu, pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran lantas memberitahu, tiada masalah untuk menunaikan solat berkenaan pada waktu tersebut.

IMAM MUDA ARAN

Lebih-lebih lagi buat mereka yang terpaksa bekerja dan tidak boleh meninggalkannya begitu sahaja serta hanya pulang pada awal pagi.

Ini kerana, katanya, waktu tarawih sebenarnya bermula dari solat Isyak hingga sebelum Subuh!

“Malah, sepanjang malam Ramadan merupakan waktu afdal tarawih. Rasulullah SAW dan para sahabat mengerjakan solat sunat tarawih sepanjang malam dan hampir Subuh, barulah mereka berhenti.

“Paling penting, tarawih itu mesti dimulakan selepas solat fardu Isyak. Tidak boleh tunaikan solat sunat berkenaan selagi seseorang itu tidak menunaikan yang fardu terlebih dahulu.

“Jika tidak, maka tidak diterima amalannya (solat tarawih yang ditunaikan) itu. Mana boleh kita dahulukan yang sunat, tetapi tinggalkan yang wajib,” katanya ketika ditemu bual Sinar Islam Plus.

Etika solat tarawih

Sepertimana ibadah yang lain, bertarawih juga ada etikanya yang tersendiri. Tidak boleh dilakukan secara semberono.

Memperincikan lebih lanjut, ujar agamawan itu, umat Islam terlebih dahulu perlu menetapkan niat bertarawih ikhlas kerana ALLAH SWT untuk mendapatkan keampunan-NYA, bukan terpaksa kerana manusia.

Solat tarawih

USAH tunaikan solat tarawih kerana terikut-ikut orang lain, sebaliknya niatlah ia dikerjakan kerana ALLAH SWT untuk meraih keampunan-NYA. -Foto: 123rf

Ketahuilah, andai kita bertarawih kerana terikut-ikut orang lain yang berjemaah di masjid, maka keampunan ALLAH tidak akan diraih, ungkapnya.

Baca juga Raih Keampunan Dengan Bertarawih, Rugi Jika Tinggalkan Begitu Sahaja

“Ini kerana niat asal seseorang beribadah itu sudah tersasar iaitu kerana ikut orang lain,” katanya.

Seperkara lagi, Imam Muda Aran mengingatkan agar jangan ‘membawang’ (mengata) imam yang membaca ayat al-Quran yang panjang ketika solat tarawih. Perbuatan itu dikhuatiri akan jadi berdosa.

“Mengikut kebiasaan, imam di Malaysia tidak membaca ayat al-Quran terlalu panjang jika dibandingkan dengan imam di Makkah dan Madinah, apatah lagi ketika zaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.

“Ketika imam sedang membaca bait-bait kalamullah, sebaiknya diam dan dengarkan bacaannya. Semoga ALLAH akan merahmati kita,” ujarnya.

Kepada mereka yang tidak mampu berdiri, pendakwah itu menjelaskan, golongan itu dibolehkan untuk bertarawih dalam keadaan duduk atau baring andai tidak larat berdiri walaupun dalam keadaan sihat.

Solat tarawih

SOLAT sunat berkenaan boleh dilakukan secara bersendirian atau berjemaah. -Foto: 123rf

“Bagaimanapun, suka saya ingatkan, ganjaran pahala yang diterima akan berkurangan jika kita solat dalam keadaan duduk kecuali mereka yang diberi keuzuran oleh ALLAH SWT dan tidak boleh berdiri,” terangnya panjang lebar.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Imam Muda Aran menitipkan pesan agar kita menyempurnakan semua tuntutan solat.

Baca juga Ramadan ‘Pesta’ Lakukan Ibadah, Menyulam Kesabaran, Berjihad Melawan Nafsu

“Walaupun kita hanya menunaikan solat sunat, tetapi buatlah sebagaimana kita mengerjakan solat fardu iaitu dilakukan secara tartil (perlahan, jelas dan tidak tergesa-gesa),” pesan beliau.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

epl
Antarabangsa,

EPL buka peluang pemain Islam berbuka puasa ketika perlawanan

RAMADAN yang akhirnya tiba esok merupakan satu bulan cukup bermakna buat umat Islam di seluruh dunia.

Sehubungan itu, Liga Perdana Inggeris (EPL) digesa membenarkan pengadil menghentikan perlawanan seketika bagi membolehkan pemain beragama Islam berbuka puasa ketika Ramadan, menurut laporan Sky Sports.

Baca juga Sahkah sujud syukur pemain bola Piala Dunia sedangkan kepala lututnya terjojol?

epl

Baca juga Unik dan eksklusif, Royal Mint keluarkan bar emas Ramadan berukiran Kaabah

Dalam pada itu, panduan yang dikeluarkan jawatankuasa pengadil tersebut mengatakan pemain seharusnya diberi peluang berbuka puasa dengan minuman, gel tenaga atau suplemen di garisan tepi padang ketika aksi dihentikan seketika.

Pengadil turut digalakkan mengenal pasti pemain yang berpuasa sebelum perlawanan bermula selain menetapkan masa sesuai untuk melaksanakan langkah itu.

Pemain sayap Liverpool, Mohamed Salah serta penyerang Manchester City, Riyad Mahrez merupakan antara pemain Muslim cukup disegani dalam EPL yang dijangka menjalani ibadah itu tanpa makan dan minum di siang hari.

Pada 2021, pengadil perlawanan ketika aksi antara Leicester City dan Crystal Palace, Graham Scott turut bertindak demikian bagi memberi peluang kepada pemain berbuka puasa.

Tambahan pula, kapten Liverpool, Jordan Henderson juga pernah berkomunikasi dengan pengadil perlawanan sebelum aksi sepak mula mengenai bilangan pemain yang berpuasa dalam skuad The Reds.

Sumber: Sky Sports

Niat puasa
Ibadah,

Tidak memadai niat puasa Ramadan sebulan sekali gus, perlu perbaharuinya pada setiap malam

Tidak memadai niat puasa Ramadan sebulan sekali gus, perlu perbaharuinya pada setiap malam

NIAT puasa begitu penting dan tidak boleh dipandang enteng terutama ketika menunaikan Rukun Islam keempat.

Masakan tidak, ia menjadi kunci utama dalam menentukan kesahan ibadah berkenaan.

Bukan itu sahaja, malah nawaitu tadi menjadi perbezaan yang jelas antara amal yang dikerjakan dengan adat kebiasaan.

Ya, ada orang yang sanggup berlapar gara-gara mahu kurus. Malah, terdapat juga individu tidak makan dan minum kerana tidak mampu atau mempunyai sesuatu untuk dijamah akibat kesulitan hidup.

Begitulah analogi sesuai bagi membezakan antara ibadah puasa dengan individu yang menahan diri daripada makan dan minum.

Baca juga Jangan suka-suka nak batalkan puasa qada kalau tak uzur, ini sebabnya kata agamawan

Jika diteliti, niat sebenarnya merupakan syarat sah berpuasa dan hukumnya adalah wajib.

Demikian fakta yang dipetik menerusi artikel #835 Niat Puasa Ramadan: Sebulan atau Setiap Hari yang disiarkan dalam maktabahalbakri.com.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-bakri, puasa seseorang tidak sah jika tidak berniat.

DR ZULKIFLI

“Ini kerana berpuasa itu merupakan satu ibadah (ibadah mahdhoh) dan sesuatu ibadah itu tidak sah melainkan disertakan bersamanya niat sepertimana solat,” katanya sebagaimana dipetik dalam Maktabah Albakri.

Perkara itu jelas disebutkan dalam hadis diriwayatkan oleh Umar al-Khattab bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat, dan setiap orang (perbuatannya) dikira berdasarkan apa yang diniatkan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi, Ibn Majah, an-Nasa’I, Ahmad, al-Daruqutni dan al-Baihaqi)

Baca juga Niat Selepas Azan Subuh, Ini Status Puasanya

Dalam perihal niat puasa Ramadan, agamawan itu menjelaskan, ia mesti dilakukan pada setiap hari pada waktu malam sebelum masuknya waktu Subuh.

“Itulah pandangan di sisi jumlah fuqaha. Hal ini kerana setiap hari dalam Ramadan dikira berasingan,” katanya.

Antara niat berpuasa sebulan Ramadan dengan setiap hari, manakah yang lebih afdal?

Menjawab persoalan itu, Dr Zulkifli yang juga mantan Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, para ulama terbahagi kepada dua pendapat dalam malah tersebut iaitu:

1. Boleh diniatkan terus sebulan berpuasa.

Niat puasa

MESKIPUN ada pandangan menyatakan, memadai seseorang berniat sekali sahaja iaitu niat sebulan puasa Ramadan pada awal permulaan niat, tetapi jumhur ulama mengatakan, tidak berpada berbuat demikian, bahkan perlu memperbaharuinya pada setiap malam. -Foto: 123rf

Ia merupakan pandangan al-Imam Zufar dan al-Imam Malik. Mereka menyatakan, berpadalah bagi seseorang itu untuk berniat sekali sahaja iaitu dengan berniat sebulan berpuasa pada awal permulaan niat.

Perbuatan itu seumpama seseorang yang menunaikan solat yang mana mereka hanya perlu berniat pada permulaan sembahyang dan tidak perlu mengulanginya pada rakaat-rakaat yang lain.

2. Tidak berpada dengan niat sebulan sekali gus, bahkan perlu memperbaharui niat pada setiap malam.

Ketahuilah bahawa ia merupakan pendapat jumhur berdasarkan hadis riwayat Hafsah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang tidak berniat (pada malam hari) sebelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (pada hari tersebut).” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Ini kerana puasa itu pada setiap harinya adalah ibadah yang bersendiri (mustaqil). Ia tidak terikat antara satu sama lain (dengan hari lain-lainnya).

Bahkan, puasa hari berikutnya juga tidak akan rosak andai ibadah berkenaan ‘cacat’ pada hari ini. Ia tidak sepertimana solat yang mana sekiranya seseorang sudah batal dalam rakaat pertama, maka batallah keseluruhan sembahyangnya.

Baca juga Dilema niat puasa sebulan dengan setiap hari, mana satu lebih afdal?

Melihat kepada kedua-dua pandangan itu, Dr Zulkifli cenderung kepada pandangan kedua yang merupakan pendapat jumhur ulama.

Niat puasa

JANGAN lupa untuk berniat puasa kerana ibadah itu tidak sah dilakukan tanpa niat. -Foto: 123rf

Malah, katanya, ia juga adalah pendapat dalam Mazhab Syafie iaitu niat perlu diperbaharui pada setiap malam untuk berpuasa.

“Pandangan yang mengatakan boleh berniat sekali gus untuk berpuasa selama sebulan pada permulaan niat, maka kami katakan tiada masalah untuk melakukannya sebagai langkah berjaga-jaga.

“Dalam masa sama, hendaklah seseorang itu berniat untuk berpuasa Ramadan pada setiap malam harinya,” ungkapnya.

Justeru, marilah kita sama-sama berniat puasa Ramadan pada setiap hari kerana itulah yang paling sempurna dan terbaik.

Selepas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Majlis Raja-Raja mengumumkan tarikh puasa jatuh pada keesokan harinya, teruslah kita berniat puasa untuk esok.

Baca juga Perihal niat puasa Ramadan yang wajib diketahui

Pada kesempatan ini, Sinar Islam Plus mengucapkan selamat berpuasa buat semua umat Islam. Semoga segala amal ibadah yang dikerjakan diterima oleh ALLAH SWT. Amin.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Rasulullah berpuasa
Ibadah,

Rupanya Rasulullah SAW sempat berpuasa sembilan kali sepanjang hayat Baginda

Rupanya Rasulullah SAW sempat berpuasa sembilan kali sepanjang hayat Baginda

UMAT Islam seantero dunia kini sedang membilang hari untuk bertemu bulan Ramadan. Tidak sabar rasanya untuk menjalani ibadah puasa pada bulan berkenaan.

Maklum sahajalah, ‘tetamu istimewa’ itu datang hanya sebulan dalam setahun. Malah, kehadirannya dinanti-nantikan kerana ia datang dalam ‘pakej’.

Masakan tidak, terlalu banyak kelebihan yang terdapat di dalamnya jika kita memanfaatkan sepurnama itu dengan sebaiknya. Di dalamnya juga terkandung malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan yang dikenali sebagai lailatulqadar.

Begitu agungnya bulan tersebut sehinggakan Nabi Muhammad SAW bersabda: “Seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadan.” (Hadis Riwayat at-Tabarani, Ibn Khuzaimah dan Baihaqi)

Dalam meneladani Ramadan, sudah tentulah Rasulullah SAW merupakan figura hebat yang mesti diikuti.

Baca juga Teladani tiga cara Rasulullah SAW sambut ketibaan Ramadan

Ketahuilah, sepanjang hayatnya, Rasulullah SAW telah melalui sebanyak sembilan kali Ramadan!

Menurut portal Kalam Sindonews, ia berdasarkan kepada kiraan di antara penurunan perintah ibadah puasa pada 28 Syaaban tahun 2 Hijrah dengan kewafatan Baginda (12 Rabiulawal tahun 11 Hijrah).

Rasulullah berpuasa

DALAM sistem kalendar qamariah, penentuan bilangan hari dalam setiap bulan boleh menjadi sekitar 29 atau 30 hari. -Foto: Freepik

“Dalam kitab al-Majmu’, Imam an-Nawawi turut menjelaskan fakta berkenaan, selain pendapat yang dikemukakan oleh Sayyid Sabiq dalam Fiqh Sunah,” katanya.

Daripada sembilan kali Ramadan yang dilalui oleh Nabi Muhammad SAW, Baginda lebih banyak berpuasa selama 29 hari daripada 30 hari pada bulan Ramadan.

Demikian menurut atsar Ibn Mas’ud dan Aisyah RA.

“Secara terperincinya, Rasulullah SAW melalui puasa selama 29 hari sebanyak lapan kali Ramadan, manakala bakinya iaitu sekali Ramadan menjalani ibadah puasa selama 30 hari.

“Dalam sistem kalendar qamariah, penentuan bilangan hari dalam setiap bulan boleh menjadi sekitar 29 atau 30 hari,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web kalam.sindonews.com.

Baca juga Kenali Al-Battani, Individu Penting Dan Cendekiawan Islam Yang Menemui Fakta 365 Hari Setahun

Mengapa kewajipan berpuasa hanya pada bulan Ramadan dan bukannya bulan-bulan lain?

Merujuk kepada portal Republika, tiada penjelasan komprehensif untuk menjawab pertanyaan sedemikian.

“Semua itu merupakan ketentuan dan rahsia ALLAH SWT. Sebagai umat Islam yang bertakwa, kita harus mematuhinya,” katanya.

Suatu perkara yang menarik tentang Rukun Islam keempat itu, puasa sebenarnya boleh dibahagikan kepada tiga peringkat.

Rasulullah berpuasa

BERPUASA bukan sekadar menahan lapar dan dahaga serta meninggalkan perkara yang membatalkan ibadah berkenaan, tetapi juga daripada segala perlakuan yang merencatkan pahala kita. -Foto: 123rf

Republika memperincikannya seperti berikut:

1. Puasa orang awam.

Ia merupakan orang biasa berpuasa sekadar menahan lapan dan dahaga dari terbit fajar hingga terbenam.

2. Puasa khawas.

Bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi individu dalam kelompok itu juga menyekat dirinya daripada mengucapkan kata-kata yang sia-sia dan menyakitkan hati.

Mudah kata, puasa tahap kedua itu melindungi pelakunya daripada perbuatan yang tercela.

3.Puasa khawasul khawas.

Peringkat itu melibatkan seseorang yang berpuasa menahan makan dan minum serta perbuatan keji, di samping menjaga hatinya.

Menurut para ulama, para jenis itu adalah milik para nabi dan rasul ALLAH.