Browsing Tag

puasa

fanus mesir
Berita Semasa, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Sambutan Yang Dirindui

no comment

Ramadan yang dinanti-nantikan umat Islam sudah tiba. Bulan yang penuh keberkatan yang mana dijanjikan Allah amalan ibadah kita dilipat gandakan berbanding bulan lain dalam takwim Islam.

Bulan yang juga di gelar Al-Mubarak itu juga banyak tertulis sejarah penting yang berlaku terhadap agama Islam dan diceritakan di dalam kitab al-Quran, antaranya ayat suci pertama al-Quran diturunkan, perang Badar, Israk dan Mikraj serta banyak lagi.

Memandangkan Ramadan memiliki keistimewaan di dalam kita beribadah, umat Islam pasti menyambutnya dengan serba meriah dan cara tersendiri.

Setiap negara memiliki budaya dan adat resam berbeza menjadikan ia sesuatu yang unik. Sambutan tradisi di setiap negara bukan saja disambut oleh negara yang memiliki status negara Islam semata, malah negara yang minoriti penganut Islam turut menyambutnya dengan meriah tanpa halangan.

Festival Garangaou istimewa untuk meraikan kanak-kanak.

1. Qatar
Tarikh 13, 14 dan 15 Ramadan adalah waktu yang sangat dinanti-nantikan masyarakat Islam di Qatar, khususnya kanak-kanak. Kebiasaannya tarikh inilah mereka akan menganjurkan festival Garangaou yang dibuat sebaik habis solat tarawih.

Festival ini sebenarnya dikhususkan kepada kanak-kanak di mana anak lelaki akan tampil mengenakan pakaian tradisional Arab manakala anak perempuan dengan pakaian tradisi disdaashas yang berwarna-warni. Mereka kemudian akan berarak dan menyanyi di sepanjang jalan dan mengunjungi rumah-rumah penduduk dan menerima apa saja barangan atau makanan yang ingin disedekah oleh tuan rumah.

Lampu fanus ibarat antara benda yang wajib ada di setiap rumah di Mesir menjelang Ramadan.

2. Mesir
Umat Islam di Kaherah, Mesir, memiliki tradisi unik ketika kedatangan bulan Ramadan. Mereka akan memasang lampu tradisional di setiap rumah yang disebut dengan lampu Fanus. Tradisi ini sudah muncul sejak zaman Dinasti Fattimiyah. Ketika itu, pemasangan lampu Fanus untuk menyambut kedatangan pasukan Raja yang datang berkunjung menjelang datangnya bulan Ramadan. Sementara untuk hidangan yang sangat dinantikan adalah pencuci mulut bernama kunafa yang memiliki cita rasa manis. Selain itu, banyak umat Islam Mesir berlumba-lumba mencari pahala dengan mendirikan tempat berbuka puasa secara percuma.

Kohl ialah sejenis celak mata untuk lelaki.

3. India
Menjelang bulan Ramadan, kaum lelaki akan menghiasi mata mereka dengan kohl iaitu sejenis celak mata. Malah bulan itu juga kebiasaannya peningkatan jualan bihun akan mendapat permintaan yang tinggi kerana bihun adalah menu yang sering digalakkan makan bersama-sama buah-buahan dan manisa. Mereka juga gemar menikmati ganghui iaitu sejenis sup yang dibuat dari terigu, beras dan potongan daging. Sementara ketika sahur, umumnya mereka akan meminum minuman khusus yang dibuat dari aneka kacang dan biji-bijian yang disebut harir. Di Kota Hyderabad atau wilayah Tamil Nadu dan Kerala, umat Muslim biasanya menikmati bubur yang kaya dibuat dari rempah-rempah bernama haleem atau nonbu kanji.

Kuih dschellab iaitu sejenis manisan pembuka selera.

4. Jerman
Sebagian besar dari umat Islam di Jerman berasal Turki. Oleh itu, suasana seperti berada di Turki akan terasa setiap kali Ramadan. Uniknya di Jerman, warga emas dan kanak-kanak akan membuat pemeriksaan kesihatan bersama doktor sehari sebelum berpuasa bagi menentukan tahap kesihatan sebelum melaksanakan ibadah puasa. Selain itu, hanya bulan Ramadan saja di Jerman kita akan menjumpai sejenis kuih pemanis mulut yang dipanggil dschellab iaitu campuran kuih dari kurma yang sira dengan air gula, qamaruddin (jus aprikot), qata’ef dan kalladsch (kuih kering yang disiram air gula) sambil menikmati suus iaitu minuman yang dibuat dari gula hitam sebagai bahan utamanya.

Japan Islamic Centre menjadi tumpuan setiap kali Ramadan.

5. Jepun
Sambutan Ramadan di Jepun agak berbeza dengan bulan-bulan lain. Inilah masanya mereka akan mengambil kesempatan untuk mengeratkan ukwah sesama umat Islam yang lain dengan berkongsi kegembiraan. Japan Islamic Centre adalah tempat yang popular di mana umat Islam akan berkumpul dan mendapatkan apa saja maklumat dan menganjurkan pelbagai aktiviti keagamaan. Mereka akan membentuk Jawatankuasa Ramadan yang akan bertugas menyusun aktiviti sepanjang bulan itu. Contohnya seperti ceramah keagamaan, majlis kesyukuran, solat tarawih berjamaah hingga penerbitan buku-buku keislaman. Jawatankuasa juga akan menerbitkan jadual berbuka puasa dan mengedarkannya di masjid, rumah penduduk dan restoran halal seluruh negara itu.

Minuman tradisional Rusia, kvass tanpa alkohol selepas melalui proses fermentasi dan dicampur dengan perasa buah.

6. Rusia
Islam di Rusia umumnya berpuasa selama 17 jam dan menjadi negara paling panjang tempoh berpuasa. Di Rusia kini terdapat sekitar 8,000 masjid dan 20 juta umat Islam serta dua juta di antaranya tinggal di Kota Moscow. Selain berbuka puasa dengan kurma dan buah-buahan lain, mereka juga menikmati makanan seperti roti yang dibuat dari tepung dan diisi pelbagai aneka masakan. Jika isinya labu atau keju, maka disebut khingalsh dan jika terbuat dari gandum, maka disebut galnash. Sementara untuk menghilangkan dahaga, biasanya mereka akan meminum kvass, iaitu minuman tradisional Rusia tanpa alkohol yang dihasilkan dari proses fermentasi dan dicampur dengan perasa buah.

Bubur lambuk biasanya dibuat dalam kuantiti yang banyak untuk diagihkan kepada orang ramai.

7. Malaysia
Negara yang memiliki budaya berbilangan kaum ini juga memiliki cara tersendiri menyambut Ramadan. Aktiviti gotong-royong membersihkan sekitar masjid, surau dan tanah perkuburan Islam antara amalan yang biasa dilakukan masyarakat Islam di Malaysia beberapa hari sebelum Ramadan. Keseronokkan itu dikongsi semua peringkat umur yang dapat berkumpul bagi mengeratkan ikatan silaturahim sesama mereka. Selain itu, acara yang hanya berlangsung pada bulan Ramadan adalah gotong-royong memasak Bubur Lambuk yang menjadi salah satu makanan istimewa. Bubur Lambuk adalah bubur nasi yang berisi daging lembu atau ayam yang di cincang dan dicampur udang kering dengan rempah-rempah istimewa seperti bunga cengkeh, bunga lawang, jintan putih, kulit kayu manis dan lain-lain. Bubur yang siap dimasak akan diagihkan kepada orang ramai dan menjadikannya sebagai juadah berbuka puasa.

Masjid Sultan menjadi tumpuan ramai setiap tahun menjelang Ramadan.

8. Singapura
Seperti di Singapura, masyarakat tidak kira beragama Islam atau tidak menjadikan sekitar Masjid Sultan sebagai pusat tumpuan ketika Ramadan dan berlangsung sejak tahun 1960-an lagi. Kerana di situlah pelbagai aktiviti baik beribadah mahupun aktiviti perniagaan bazar dilakukan. Tarikan utama adalah bazar Ramadan yang menantikan pengunjung dalam dan luar negara dengan pelbagai jenis makanan baik makanan tradisional mahupun makanan moden. Bazar itu dibuka bermula jam 3 petang hingga 8 malam setiap hari selama sebulan di bulan Ramadan.

Kurma
Gaya Hidup, Pilihan Editor,

Fakta Tentang Kurma Yang ‘Diistimewakan’

no comment

KETIKA ini, kurma menjadi buruan ramai. Masakan tidak, Ramadan kian hampir dan buah itu begitu sinonim sebagai hidangan utama ketika berbuka dan bersahur.

Malah, ia merupakan sunah Nabi Muhammad SAW yang sering dilazimkan oleh baginda sepanjang Ramadan. Bahkan, kitab suci umat Islam iaitu al-Quran turut menyebut kurma sebanyak 23 kali di dalamnya.

Jelaslah betapa kurma atau disebut juga tamar oleh kebanyakan orang begitu istimewa. Bukan sahaja kepada mereka yang berpuasa, tetapi buah berkenaan boleh dimakan pada bila-bila masa kerana kelebihan yang ada padanya.

Lantaran itu, tidak hairanlah mengapa buah yang kecil itu menjadi hidangan istimewa pada bulan mulia itu.

Menurut Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW gemar memakan ruthab (tamar basah); “Rasulullah SAW berbuka puasa dengan ruthab sebelum solat. Jika tidak ada kurma basah, maka baginda berbuka dengan tamar (kurma kering) dan jika tidak ada yang demikian, baginda berbuka dengan seteguk air.” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Begitu juga ketika bersahur, baginda akan memakan tamar sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis: “Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar.” (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi)

Menurut pendakwah Mohd Khairul Azman Md Daud atau dikenali sebagai MK Azman, menjamah kurma ketika berbuka amat bagus kerana pada waktu itu, kita memerlukan tenaga segera dan bukan tenaga lambat untuk dicerna sepertimana yang terkandung dalam kebanyakan makanan berlemak dan bergoreng lain.

MK AZMAN

“Kebiasaannya, kita akan mengambil gula bagi tujuan mendapatkan tenaga. Buah kurma mengandungi glukosa, sukrosa dan fruktosa yang merupakan gula semula jadi dan baik untuk menstabilkan gula dalam darah setelah mengalami kekurangan gula dalam darah kerana berpuasa,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Ujar beliau lagi, Nabi Muhammad SAW begitu menggalakkan umatnya memakan kurma mengikut jumlah yang ganjil iaitu 1, 3, 5, 7 ataupun 11 biji.

“Dari segi tatacara memakannya, baginda SAW mengambil dan memegang buah kurma dengan tiga jari, lalu dimasukkan ke dalam mulut dan kunyah. Ketika baginda mengeluarkan biji dari mulut, nabi akan mengambilnya dengan dua jari.

“Biji tersebut kemudiannya akan diletakkan pada tempat selain daripada bekas kurma yang diambil oleh baginda tadi. Baginda sangat menjaga kebersihan dan adab ketika menjamah kurma,” katanya.

Bukan itu sahaja, jelas beliau, adakalanya Rasullah SAW akan memakan kurma dicampur dengan hidangan lain seperti keju.

Kurma

IKUTI sunah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW ketika baginda menjamah kurma.

“Imam Ibnul Qayyim menjelaskan, zubdah (keju) dapat melembutkan najis, merawat saraf dan pembengkakan hempedu dan kerongkong. Jika diletakkan pada gusi bayi, ia akan mempercepat pertumbuhan gigi.

“Baginda juga pernah mencampurkan kurma dengan mentimun. Rasa panas yang ada pada kurma dapat menyeimbangkan rasa dingin pada mentimun kerana mentimun agak sulit dicerna pada perut, dingin dan kadangkala berbahaya,” katanya.

Biarpun saiznya kecil tidak seperti buah-buahan yang lain, namun ia seperti peribahasa kecil-kecil cili padi. Apa tidaknya, kehebatan kurma itu terserlah apabila Rasulullah SAW menganjurkan kita bersedekah dengan kurma.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang mana sabda baginda SAW: “Berlindunglah kalian daripada api neraka walaupun dengan separuh kurma. Barang siapa tidak memilikinya, maka hendaklah dengan kata-kata yang baik.” (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan ungkapan itu, jelas MK Azman, Rasulullah SAW sebenarnya memberi motivasi kepada umatnya supaya bersedekah sama ada sedikit atau banyak.

Baca juga 10 Saranan WHO Untuk Jalani Ibadah Puasa Dengan Baik

“Sabda baginda ‘walaupun dengan separuh kurma’ menunjukkan biarpun kecil sedekah yang diberikan, ia memberi manfaat besar kepada pelakunya. Malah, ia dapat menjaga dan melindungi kita daripada api neraka.

“Pada masa sama, hadis ini juga mengajar kita supaya tidak mengecilkan atau memandang rendah sumbangan orang lain walaupun kecil. Di sisi nabi dan ALLAH SWT, sumbangan atau sedekah yang kecil amat bermakna sekiranya dia ikhlas,” ujarnya.

Meskipun terdapat banyak pilihan tamar di pasaran, namun kurma Ajwa begitu dikenali dan mendapat permintaan tinggi.

Ujar pendakwah Bakhtiar Fitri Abdul Hamid, Ajwa merupakan antara kurma yang begitu sinonim dengan baginda sehinggakan ia disebut sebagai kurma nabi.

BAKHTIAR FITRI

Jelas beliau, ada pendapat yang menyebut bahawa kurma Ajwa merupakan kurma pertama yang ditanam oleh baginda SAW.

Malah, terdapat beberapa hadis yang memerihalkan tentang kelebihan yang ada pada kurma jenis berkenaan.

Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwa yang tumbuh di kawasan Kota Madinah pada pagi hari, siangnya tidak akan terkena bahaya pun hingga ke petang.” (Riwayat Ahmad)

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Amir bin Sa’ad, daripada ayahnya bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang setiap pagi memakan kurma Ajwa, pada hari itu, dia tidak akan terkena racun dan sihir.” (Riwayat al-Bukhari)

Sementara itu, Pakar Pemakanan, Siti Nurhayati Ali menyarankan agar kita tidak mengambil kurma berlebih-lebihan iaitu melebihi 10 biji sehari.

Kurma

MULAKAN berbuka puasa dengan menjamah kurma, begitu juga ketika bersahur.

“Bagi orang dewasa yang sihat, boleh mengambil tiga biji kurma semasa berbuka dan bersahur.

“Kepada mereka yang ingin menjaga pengambilan kalori atau bagi pesakit kencing manis yang terkawal kandungan gula dalam darah, hanya sebiji kecil kurma disarankan semasa berbuka dan sebiji lagi sewaktu bersahur,” katanya.

Siti Nurhayati yang juga Penolong Pengurus Clinical Dietitian, Hospital Pakar Wanita dan Kanak-Kanak Avisena menjelaskan, tiga biji kurma sudah dikira sebagai satu hidangan buah-buahan kerana mengandungi 15 gram gula. Ia bersamaan satu pertukaran karbohidrat.

“Mengikut Piramid Makanan Malaysia, keperluan pengambilan buah-buahan adalah dua hidangan setiap hari.

“Namun begitu, disarankan agar kita mengambil satu hidangan kurma dan satu hidangan buah-buahan yang lain sebagai kepelbagaian sumber vitamin serta mineral,” katanya.

Secara asasnya, ujar beliau, kurma sememangnya tinggi kandungan nutrisi dan sumber kalium (potassium) yang bagus untuk menyeimbangkan kadar elektrolit tubuh, menormalkan degupan jantung dan tekanan darah.

“Kandungan kalium yang tinggi menyebabkan buah kurma bagus bagi pesakit jantung, tetapi tidak sesuai untuk pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang (dialisis),” katanya.

Foto: Freepik

puasa sunat asyura, hanya puasa 10 muharram
Berita Semasa,

Puasa sunat hari Asyura hari ini. Boleh ke hanya puasa 10 Muharram saja. Ini penjelasannya… 

BOLEHKAH kita melakukan puasa sunat pada 10 Muharram sahaja?

Diam tak diam hari ini kita sudah memasuki 10 Muharam. Dalam kalendar Islam, tarikh itu begitu istimewa.

Ada beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah umat Islam. Ia seperti peristiwa yang mana ALLAH menyelamatkan Nabi Musa AS dan Bani Israel daripada Firaun.

Malah, pada 10 Muharam yang juga merupakan hari Asyura, umat Islam disunatkan untuk berpuasa.

Maka tidak hairanlah jika ada orang sudah mula berpuasa sejak semalam dan terus menyambungnya sehingga hari ini. Masakan tidak, semalam (9 Muharam) merupakan hari Tasu’a yang disunatkan berpuasa.

Baca juga Puasa Hari Asyura singkirkan dosa-dosa silam? Berikut perinciannya

Andai kata kita mula berpuasa pada hari Asyura ini iaitu 10 Muharam, bolehkah kita hanya berpuasa sunat hanya satu hari sahaja tanpa berpuasa sehari sebelum atau selepasnya? Ini kerana ada yang kata tidak boleh berbuat demikian. Apakah hukumnya?

puasa asyura, 10 muharram

USTAZ SYED SHAHRIDZAN

Menurut pendakwah dan penulis, Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed, kita disunatkan untuk berpuasa pada 10 Muharam berdasarkan hadis yang menyatakan bahawa ia memiliki fadilat menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu.

“Pada masa yang sama, disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharam mengiringi 10 Muharram kerana ini perintah Rasulullah SAW agar menyelisihi amalan kaum Yahudi pada zaman baginda.

“Ulama juga menyatakan, jika tidak dapat berpuasa pada 9 Muharram, maka berpuasalah pada 10 dan 11 Muharam,” jelas beliau menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Baca juga Benarkah buku amalan diangkat pada awal Muharam? Berikut perinciannya

Beliau turut mengemukakan pandangan Imam Ibnu Hajar dalam karyanya, Tuhfah al-Muhtaj tentang hukum berpuasa pada hari Asyura sahaja.

Kata Imam Ibnu Hajar: “…dan (disunatkan berpuasa) ‘Asyura’ dan tidak mengapa hanya berpuasa pada hari itu sahaja.”

Daripada kenyataan itu, jelas Ustaz Syahridzan, Mazhab Syafie mengharuskan berpuasa pada 10 Muharam sahaja walaupun tanpa iringan puasa pada 9 Muharam.

Namun, tambah beliau lagi, lebih afdal berpuasa sehari sebelum hari Asyura kerana itu keazaman baginda pada masa akan datang.

“Jika tidak dapat berpuasa pada 9 Muharam maka digantikan pada 11 Muharam (hari Selasa),” katanya.

Baca juga Sunat berpuasa pada 9, 10 dan 11 Muharam

Semoga penjelasan kita dapat memberikan pencerahan kepada mereka yang keliru tentang hal ini.

Puasa sunat hari Asyura hari ini. Boleh ke hanya puasa 10 Muharram saja. Ini penjelasannya…

Sumber: Facebook Ustaz Syed Shahridzan Ben-Agil