Browsing Tag

puasa

Makan awal malam
Hukum, Soal Jawab Agama,

Makan pada awal malam tidak dikira bersahur, berikut penjelasannya

HARI ini merupakan minggu kedua kita bertarawih. Pastinya ramai yang mengambil peluang menunaikan ibadah sunat itu di masjid dan surau.

Maklum sahajalah, kebanyakan rumah-rumah ALLAH itu sudah boleh diimarahkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan, di samping merapatkan saf.

Usai menunaikan solat berkenaan, lazimnya hidangan moreh akan disajikan. Ada yang mengambil peluang untuk menjamahnya, selain boleh merapatkan silaturahim dengan jemaah yang lain.

Begitupun, terdapat juga sebilangan individu yang menjadikan moreh tersebut sebagai waktu bersahur. Ini kerana mereka bimbang tidak dapat bangun awal pada keesokannya.

Ketahuilah bahawa jika kita makan terlalu awal, ia tidak dianggap sebagai sahur.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, waktu sahur hanya bermula pada pertengahan malam yang kedua.

DR ZULKIFLI

“Justeru, sesiapa yang makan sebelum masuknya separuh malam yang kedua, ia tidak dikira sebagai bersahur.

“Hanya mereka yang makan pada atau selepas pertengahan malam dikira sebagai bersahur. Bukan itu sahaja, golongan ini juga bakal mendapat kelebihan bersahur tidak kiralah sama ada mereka makan banyak atau sedikit disertakan dengan air,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web maktabahalbakri.com.

Baca juga Bangun Sahur Sunah Yang Besar Ketika Ramadan, Jangan Tinggalkan Amalan Ini 

Bagaimanapun, ujar agamawan itu, umat Islam disunatkan untuk melewat-lewatkan sahur sebelum terbitnya fajar. Malah, perbuatan tersebut sebenarnya termasuk dalam perkara yang afdal dilakukan.

“Kadar melewatkannya adalah kira-kira 50 bacaan ayat al-Quran,” katanya.

Ia berdasarkan kepada riwayat daripada Zaid bin Thabit RA. Beliau berkata: “Kami bersahur bersama Nabi Muhammad SAW. Kemudian baginda berdiri untuk solat. Aku (Anas) bertanya: ‘Berapakah lama (tempoh masa) antara azan dan sahur?’ Beliau (Zaid) menjawab: ‘Kadarnya (kira-kira membaca) 50 ayat’.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Bercakap tentang kadar 50 ayat al-Quran, ramai yang berbeza tafsiran tentangnya. Apatah lagi ia melibatkan juadah yang kita makan. Memberi panduan mudah, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu mencadangkan supaya kita makan kira-kira 30 minit sebelum masuknya waktu Subuh jika makan makanan yang berat seperti nasi.

Makan awal malam

JANGAN sesekali mengabaikan waktu bersahur kerana ia merupakan sunah yang paling besar dan tidak pernah ditinggalkan oleh baginda serta para sahabat.

“Andai juadah ringan seperti kurma, air dan sebagainya, boleh mula makan kira-kira 15 minit sebelum azan Subuh,” terangnya.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli turut menitipkan pesanan agar kita berusaha bersahur pada waktunya meskipun dalam kadar yang sedikit seperti memakan sebiji kurma atau seteguk air.

“Ia supaya kita tidak terlepas daripada mendapat kelebihan dan fadilat bersahur,” katanya.

Baca juga Jangan liat bangun sahur, banyak maanfaat dan keberkatan yang kita dapat

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Makan pada waktu sahur adalah satu keberkatan. Justeru, janganlah kamu meninggalkannya sekalipun dengan satu tegukan air, kerana sesungguhnya ALLAH ‘AZZA WA JALLA dan para malaikat-NYA mendoakan ke atas orang yang bersahur.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Foto: Freepik

Bulan Ramadan
Panduan,

Elak melakukan perkara ini ketika Ramadan, agar tidak merugikan diri sendiri

Oleh MUHD AZMAN MOHD NAWI

RAMADAN datang lagi. Bulan yang penuh keampunan dan sejuta kehebatan. Kehadirannya bukan sahaja dinantikan segenap orang soleh bahkan insan biasa.

Agungnya Ramadan sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi Muhammad SAW, bersabda: “Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh iman dan ihtisab, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Shah Jamlus menjelaskan kepada Sinar Islam Plus hakikat puasa Ramadan serta amalan yang sewajarnya dilazimkan sepanjang bulan mulia ini.

AHMAD SHAH

“Puasa adalah sebahagian ibadah khusus bagi seseorang yang beriman. Iman adalah asas kepada perjalanan latihan puasa. Puasa merupakan latihan untuk menjadikan seseorang yang beriman itu dapat memelihara takwa. “Melalui lapar dan dahaga dan disiplin puasa itu dapat mengingatkan seseorang kepada ALLAH kerana dia menjalankan ibadah pada asas taat kepada ALLAH,” jelasnya.

Namun, di sebalik rasa syukur dengan kedatangan bulan penuh ganjaran ini, terdapat banyak kesilapan yang mungkin tidak disedari, terlepas pandang atau mungkin telah diketahui telah dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini.

Masih ada beberapa hari sebelum Ramadan 1443H bermula, justeru elok disemak semula tatacara sebenar, kaedah berpuasa zahir dan batin, yang sepatutnya dipraktikkan agar puasa tahun ini menjadi puasa yang terbaik buat kita.

“Memulakan Ramadan dengan mengekalkan maksiat dan keadaan hati yang penuh kotor, hasad dengki dan bermusuhan, pasti akan memberi kesan yang amat besar kepada kualiti ibadah puasa kerana status orang yang terlibat dengan kemungkaran adalah seolah-olah berperang dengan ALLAH dan Rasul-NYA,” ujar Ahmad Shah.

Daripada Abu Darda RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH murka kepada orang yang berperangai jahat dan berkata keji.” dan dari Ibnu Mas’ud RA pula, Rasulullah bersabda, “Bukanlah seorang mukmin jika suka mencela, melaknat dan berkata-kata keji.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Sucikan hati, sucikan harta

Memasuki Ramadan dengan harta yang tidak bersih seperti menyimpan barangan curi, megekalkan harta riba dan tidak mengeluarkan zakat serta tidak pula berazam untuk mensucikannya.

Perkara merugikan ketika Ramadan

ELAK memasuki bulan Ramadan dengan harta yang tidak bersih. -Gambar hiasan

Demikian juga dengan melazimkan tidur terutama di siang hari dengan alasan, ‘daripada melakukan maksiat lebih baik tidur saja’ atau konon ia adalah satu ibadah adalah termasuk perkara yang merugikan.

Baca juga Ini dia kategori tidur yang tetap dapat ganjaran lailatulqadar

Imam As-Suyuti menegaskan bahawa hadis yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadah adalah amat lemah. Sedangkan Rasulullah mengurangkan waktu tidurnya yang memang sangat sedikit itu untuk memperbanyak ibadah.

Khalifah Umar bin Khattab pernah mengingatkan “Sekiranya kamu tidur (banyak) siang hari, maka akan melalaikan hak rakyat (masyarakat); jika kamu tidur (banyak) malam, kamu melalaikan hak ALLAH.”

Oleh kerana itu haruslah mengimbangi dan menggunakan waktu tidur siang yang hanya seketika (Qailullah) bukan sepanjang hari.

Ahmad Shah berkata, ramai yang menjadikan bulan puasa sebagai pesta makanan dengan membeli pelbagai jenis makanan sehingga penuh meja atau berbelanja mewah dengan berbuka di restoran eksklusif dan hotel sehingga mencecah ratusan ringgit.

Baca juga Ramadan ‘Pesta’ Lakukan Ibadah, Menyulam Kesabaran, Berjihad Melawan Nafsu

“Lebih malang jika mereka tidak mengambil berat kehalalan makanan tersebut. Kebiasaan inilah yang melanda kebanyakan umat Islam yang tidak kunjung padam ketika menghadapi puasa Ramadan.

“Sewajarnya setiap mukmin bermujahadah dan belajar berbuka secara amat sederhana dan lebihan wang tersebut boleh menjamu orang lain dan disedekahkan kepada fakir miskin,” tambahnya lagi.

Perkara merugikan ketika Ramadan

WAKTU paling dinanti, iftar bersama seisi keluarga.

“Cuba hayati erti sebenar Ramadan, apa tujuan kita berpuasa. Perbaiki diri dengan meninggalkan larangan ALLAH dan memperbanyakkan amalan seperti bersedekah, membaca al-Quran dan melakukan amalan sunat yang lain kerana mungkin ini adalah Ramadan terakhir bagi kita,”

Inilah bulan yang ALLAH fardukan puasa pada siang hari dan menghidupkan amal ibadah sepanjang masa. Sesiapa yang mendekatkan diri kepada ALLAH (taqarrub) melalui amalan baik pada bulan itu, akan dibalas kepadanya ganjaran seolah-olah dia melakukan amalan fardu pada bulan lain. Selain diberikan balasan pahala berlipat ganda, ALLAH turut menjanjikan balasan syurga untuk mereka.

Bulan puasa dan etika berniaga

Dalam pada Muslimin digalakkan menambah akaun pahala sepanjang Ramadan, aktiviti berniaga turut rancak dan para peniaga adalah golongan yang paling bertuah.

Justeru sebarang perniagaan yang dilaksanakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh pasti mendapat untung yang memuaskan. Apatah lagi perniagaan pada bulan Ramadan ini, sudah pasti mendapat untung dan keberkatan yang berlipat kali ganda jika dilakukan dengan jujur dan berniat kerana ALLAH SWT.

Pensyarah Akademik, Jabatan Bahasa Arab, Institut Pendidikan Guru, IPG Kampus Darulaman, Ustaz Azhari Hamzah menjelaskan, amat rugi jika ada peniaga di bulan Ramadan ini tidak menjaga adab dan akhlak berniaga. “Berniagalah dengan jujur dan ikhlas bukan memikirkan untung semata-mata sehingga mengabaikan keberkatan dan keredaan ALLAH SWT. Ini kerana bidang perniagaan adalah salah satu bidang pekerjaan baginda Rasulullah SAW. Bahkan baginda juga pernah bersabda bahawa 1/10 rezeki manusia terletak kepada perniagaan.

AZHARI

“Jangan sesekali menipu dalam timbangan kerana ia dimurkai oleh ALLAH. Jangan menjual lebihan juadah semalam pada hari ini kerana ia boleh memudaratkan pengguna. Usah terlalu berkira dengan kuantiti kandungan juadah sehingga menjejaskan kualiti dan akhirnya mendapat maki seranah pembeli saat berbuka sedang waktu berbuka adalah waktu mustajab doa.”

Baca juga Adab dan tatacara berniaga dalam Islam yang perlu kita patuhi demi mendapat keredaan-NYA

Katanya lagi, dalam usaha untuk mengelakkan daripada menjadi Muslim yang dilanda kerugian sepanjang Ramadan, jangan terlalu berkira dengan ALLAH sehingga meninggalkan surahan wajib-NYA.

“Dibimbangi ALLAH akan berkira-kira dengan anda. Jagalah aurat semasa berniaga kerana ia suruhan-NYA Yang MAHA PEMBERI REZEKI. Pelihara solat sebelum, semasa dan selepas berniaga kerana Allah SWT juga yang memberi keberkatan dalam perniagaan. Dan yang paling penting jangan tinggalkan puasa sepanjang Ramadan,” tegasnya.

Tingkatkan takwa

Antara matlamat utama berpuasa adalah untuk mendapat ketakwaan kepada ALLAH. Betapa rugi seseorang itu jika sepanjang Ramadan ia tidak merasai sekelumit takwa kepada-NYA.

Perkara merugikan ketika Ramadan

BANYAKKAN berdoa dan melakukan perkara yang mendatangkan manfaat ketika berpuasa pada bulan Ramadan yang mengandungi 1,001 rahmat dan keberkatan.

“Kepada para peniaga Ramadan antara cara untuk meningkatkan rasa takwa kepada ALLAH. Caranya ialah dengan meletakkan rasa kebergantungan diri kepada ALLAH.

“Yakin dan percaya bahawa untung dan rugi yang diperoleh ditentukan oleh-NYA. Keberkatan juga ditentukan oleh ALLAH. Untung yang berkat adalah untung mencukupi keperluan.”

Untung ynag tiada keberkatan, jelas Azhari adalah untung yang tidak mencukupi keperluan.

“Untuk mendapat untung yang berkat, maka perlulah menjaga syariat dan membanyakkan amalan-amalan sunat. Banyakkan sifat pemurah dalam berniaga kerana ALLAH MAHA PEMURAH kepada orang-orang yang pemurah,” pesan beliau lagi.

ANEKDOT

23 kesilapan yang sering dibuat sepanjang Ramadan

Perkara merugikan ketika Ramadan

ELAKKAN tidur sepanjang berpuasa di bulan Ramadan.

  1. Memasuki Ramadan dengan hati kotor.
  2. Tidak membersihkan harta.
  3. Tidur berlebihan.
  4. Kurang berdoa ketika berpuasa.
  5. Bebas makan minum.
  6. Berbelanja berbuka puasa secara membazir.
  7. Hanya membaca doa berbuka.
  8. Makan berlebihan ketika sahur dan iftar.
  9. Makan sahur sebelum tidur.
  10. Bersahur sahaja tanpa melakukan ibadah.
  11. Salah anggap waktu imsak sebagai penamat sahur.
  12. Meninggalkan solat fardu ketika berpuasa.
  13. Bermalasan dan tidak aktif.
  14. Mengabaikan solat subuh berjemaah.
  15. Meninggalkan solat tarawih.
  16. Terpesong niat bertarawih.
  17. Meninggalkan solat witir berjemaah.
  18. Tidak berniat iktikaf.
  19. Masih tidak merasa malu membuka aurat.
  20. Wanita ke masjid tanpa menjaga aurat.
  21. Puasa,tetapi aktif bermaksiat.
  22. Tidak mengeluarkan zakat fitrah.
  23. Sibuk memikirkan persiapan Aidilfitri.

Foto: 123rf, Freepik, Pexels & Unsplash

Agama, Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Puasa bulan Muharam, puasa terbaik selepas Ramadan

BULAN Muharam ialah bulan yang pertama di dalam kalendar Hijrah. Ia merupakan antara bulan yang
suci dan dimuliakan.

Kita amat digalakkan untuk memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan ini kerana sebaik-sebaik
puasa selepas puasa Ramadan ialah puasa pada bulan Muharam.

Daripada Abu Hurairah RA. beliau berkata:

سُئِلَ أَيُّ الصَّلَاةِ أَفْضَلُ بَعْدَ الْمَكْتُوبَةِ وَأَيُّ الصِّيَامِ أَفْضَلُ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَقَالَ أَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ الصَّلَاةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ وَأَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ صِيَامُ شَهْرِ اللَّهِ الْمُحَرَّمِ

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah ditanya, solat apakah yang paling utama setelah solat maktubah
(wajib)? Dan puasa apakah yang paling utama setelah puasa Ramadan? maka Baginda menjawab:

Sebaik-baik solat setelah solat maktubah (wajib) adalah solat pada sepertiga akhir malam, dan
sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadan adalah puasa di bulan Muharam. [HR Muslim, Hadis Sahih]

Demikian juga terdapat sebuah hadis daripada Ali RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Jika kamu ingin berpuasa selain bulan Ramadan, maka berpuasalah pada bulan Muharam, kerana
sesungguhnya ia bulan di mana ALLAH telah memberi taubat kepada kaumnya Musa dan memberikan
taubat kepada kaum yang lain.” [HR Tirmizi, Hadis Hasan Gharib]

Antara puasa sunat yang boleh dilakukan pada bulan Muharam ini ialah:

1. Puasa sunat Isnin dan Khamis

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Maksudnya: “Amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku kebih suka amalanku
dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.” (HR Tirmizi, hadis hasan gharib)

Dalam sebuah hadis yang lain, Saidatina Aisyah RA berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.” (HR al-Tirmizi, hadis
hasan).

Jangan lupa follow kami di Instagram!

2. Puasa sunat Tasu’a

• Puasa Tasu’a berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu تِسْعَة (tis’ah) yang bermaksud sembilan.
• Puasa sunat ini dilakukan pada setiap 9 Muharam (kelmarin) dalam kalendar hijrah Islam.

Diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Abbas RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud;

“Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke
sembilan (Muharam).” [HR Muslim, Hadis Sahih]

Lafaz Niat Puasa Sunat Tasu’a

نَوَيْتُ صَوْمَ تَاسُعَاء سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari Tasu’a pada hari esok kerana ALLAH Ta’ala”.

Ganti puasa

3. Puasa sunat ‘Asyura

• ‘Asyura berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu عَشَرَة (‘asyarah) yang bermaksud sepuluh.

• Hari ‘Asyura adalah hari yang ke sepuluh dalam kalendar Islam iaitu pada 10 Muharam (semalam).

• Pelbagai peristiwa yang telah berlaku pada hari tersebut. Disebabkan itu, umat Islam menghormati hari ‘Asyura sepertimana yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW.

• Terdapat nas khusus berkenaan puasa hari ‘Asyura. Daripada Abdullah Ibnu Abbas RA yang
bermaksud;

“Rasulullah SAW datang ke Madinah dan kemudian Baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura. Lalu Baginda berkata: “Apakah ini?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah hari ALLAH menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut. Lalu Baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka Baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu.” [HR al-Bukhari, Hadis Sahih]

Kata Ibnu Abbas r.a. apabila ditanyakan mengenai puasa ‘Asyura, beliau berkata:
مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ، إِلاَّ هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ

Maksudnya: Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari-hari yang lain melainkan hari ini iaitu hari ‘Asyura. [HR al-Bukhari, Hadis Sahih]

Daripada Abu Qatadah, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa ‘Asyura, maka
kata Baginda SAW:

أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Maksudnya: Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu.
[HR Muslim, Hadis Sahih]

Lafaz Niat Puasa Asyura;

نَوَيْتُ صَوْمَ عَشُرَ سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari ‘Asyura pada besok hari kerana ALLAH Ta’ala”.

4. Puasa sunat hari putih (Ayyamul Bidh)

Berdasarkan hadis, daripada Ibnu Milhan al-Qaisi daripada ayahnya, dia berkata;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Rasulullah ﷺ memerintahkan kami agar berpuasa pada hari putih (bidh) iaitu pada tiga
belas, empat belas, dan lima belas. Beliau berkata; hari-hari tersebut umpama setahun”.

(Hadis Sahih Riwayat Abu Daud)

Lafaz niat puasa sunat Ayyamul Bidh

نَوَيْتُ صَوْمَ اَيَّامَ الْبَيْضِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat hari putih kerana ALLAH Taala.

Baca juga Teladani hijrah Nabi Muhammad SAW yang penuh berstrategi dalam mendepani wabak Covid-19 yang menggerunkan

Justeru, marilah bersama-sama mengambil peluang ini untuk melazimi puasa sunat dalam bulan Muharam.

Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan orang yang dimasukkan ke dalam Syurga melalui pintu al-Rayyan sebagaimana yang tercatat di dalam hadis berikut;

Daripada Sahal bin Sa’d R.A, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud;

“Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama al-Rayyan khusus untuk ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat kelak. Selain mereka tidak dibenarkan masuk.” (HR Bukhari dan Muslim)

Sumber: Asma’ Harun

Foto: Monstera/Pexels

Puasa sunat
Isu,

Jangan Lepaskan Peluang Berpuasa Pada Hari Asyura

no comment

KITA masih lagi dalam mood tahun baharu Islam. Barangkali ada yang menyimpan azam untuk membanyakkan berpuasa sunat pada tahun ini.

Alhamdulillah, semoga niat suci itu dapat dilaksanakan dengan penuh istiqamah untuk proses transisi diri menjadi insan yang lebih baik di sisi-NYA.

Bercakap tentang puasa sunat, ketahuilah bahawa Muharam merupakan bulan Islam yang digalakkan untuk berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik puasa selepas daripada puasa di bulan Ramadan adalah puasa di bulan Muharam.” (Riwayat Muslim)

Menghuraikan hadis berkenaan, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menukilkan pandangan al-Hafiz Ibn Rajab yang menjelaskan bagaimana baginda SAW menyandarkan bulan Muharam dengan panggilan bulan ALLAH SWT.

DR AHMAD SANUSI

“Ia menggambarkan kelebihan yang ada padanya termasuklah kelebihan apabila kita berpuasa.

“Menurut al-Hafiz Ibn Hajar lagi, bulan Muharam ialah bulan yang terbaik untuk membanyakkan puasa sunat.

“Kata beliau; ‘Dan berkata Ibn Hajar: Para imam kami menjelaskan bahawa bulan yang terbaik untuk menunaikan puasa sunat adalah puasa pada bulan Muharam’,” katanya dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada hari ini.

Meskipun kita digalakkan berpuasa sepanjang bulan Muharam, namun Dr Ahmad Sanusi menjelaskan, terdapat nas khusus yang menceritakan kelebihan berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam).

Baca juga Berpuasa, Tetapi Tak Solat

Ujar beliau, Mulla Ali al-Qari dalam Mirqah al-Mafatih menjelaskan bahawa hadis riwayat Muslim tadi seakan-akan merujuk kepada puasa hari Asyura nanti.

“Namun secara zahirnya, teks (matan) hadis itu merujuk secara umum kepada keseluruhan masa dalam bulan Muharam.

“Justeru, perbanyakkan amalan berpuasa pada bulan Muharam seperti yang disebutkan oleh baginda SAW,” katanya.

Memetik laporan disiarkan liputan6.com, pada 10 Muharam, terdapat banyak peristiwa penting yang berlaku dalam Islam.

Ketika itulah manusia pertama iaitu Nabi Adam AS diciptakan. Begitu juga dengan kelahiran Nabi Ibrahim, selain Nabi Ayub AS disembuhkan daripada penyakit ditanggungnya.

Hari Asyura

DISUNATKAN berpuasa pada sehari sebelum atau sehari selepas hari Asyura berserta puasa sunat 10 Muharam bagi membezakannya dengan kaum Yahudi.

Begitupun, persoalan yang sering menghantui ramai berkaitan puasa hari Asyura adalah sama ada ia boleh ditunaikan secara tunggal mahupun perlu ada ‘kawan’?

Ini kerana golongan Yahudi juga berpuasa pada 10 Muharam secara tunggal.

Menjawab persoalan itu, memetik artikel Irsyad al-Fatwa ke-135: Adakah Puasa 10 Muharam Perlu Disertai Dengan Hari Selepasnya yang disiarkan oleh laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, umat Islam disunatkan untuk berpuasa sama ada pada 9 Muharam atau 11 Muharam berserta dengan puasa hari Asyura (10 Muharam).

“Ia dengan tujuan untuk menyelisihi dan berbeza dengan golongan Yahudi,” jelasnya.

Kepada mereka yang berhajat untuk berpuasa pada hari Asyura yang jatuh pada hari Khamis ini, jangan lupa juga untuk berpuasa sama ada pada sehari sebelum (hari Tasu’a) atau sehari selepasnya.

Foto: Freepik

Hari Arafah
Isu, Pilihan Editor,

Banyakkan Berdoa Pada Hari Arafah Ini, Antara Waktu Terbaik Doa Dimakbulkan

no comment

MESKIPUN sibuk dengan persiapan dan merancang menu untuk keluarga bagi menyambut Hari Raya Aidiladha esok, usah dilupakan hari Arafah yang jatuh pada hari ini.

Barangkali ramai yang tidak melepaskan peluang untuk berpuasa pada hari ini. Masakan tidak, inilah hari yang digalakkan untuk berpuasa sunat.

Ada satu lagi amalan yang boleh kita lakukan pada hari ini iaitu berdoa kepada ALLAH. Ketahuilah bahawa hari Arafah merupakan antara waktu mustajab berdoa.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah sebagaimana yang pernah disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW.

DR AHMAD SANUSI

Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah. Dan sebaik-baik zikir yang aku sebutkan dan juga para nabi yang terdahulu sebelumku adalah (zikir) Lailaha illahu wahdah, la syarikalah, lahul mulku wa lahul hamd, wa huwa ‘ala kulli syai’in qadir.” (Riwayat at-Tirmizi)

Ujar ahli akademik itu, hari Arafah mempunyai keistimewaan tersendiri. Bayangkan pada hari inilah ALLAH SWT mendekati hamba-hamba-NYA.

Baca juga 10 Amalan Soleh Yang Boleh Dilakukan Pada Bulan Zulhijah

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak ada hari yang paling banyak ALLAH membebaskan hamba-NYA dari neraka seperti hari Arafah. Pada hari tersebut, ALLAH mendekati mereka dan berbangga dengan mereka (hamba-hamba-NYA) di sisi malaikat dan berkata: Apa yang mereka mahukan?” (Sahih Muslim)

“Hari Arafah tidak sama dengan malam lailatulqadar. Andai malam lailatulqadar dirahsiakan daripada hamba-hamba-NYA, maka pada hari Arafah ini, kita telah pun maklum tentang waktunya.

Hari Arafah

HARI Arafah mempunyai keistimewaan tersendiri yang disebutkan dalam nas. Jangan lepaskan peluang untuk berpuasa sunat dan berdoa pada hari ini.

“Justeru, ambillah peluang untuk banyakkan berdoa dan berpuasa pada hari ini. Mereka yang berpuasa pada hari Arafah, ALLAH akan menghapuskan dosa-dosa tahun terdahulu dan dosa selepas daripadanya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Sahih Muslim,” katanya dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Dr Azri Bhari menjelaskan, wukuf dan doa mustajab adalah amalan khususiyyat (perkara yang dikhususkan) untuk jemaah haji yang berada di Arafah bermula selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijah hingga tenggelam matahari waktu Maghrib.

DR AZRI

Namun begitu, katanya, bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji boleh mengambil peluang dan kelebihan berkenaan untuk berdoa di tempat masing-masing sepanjang tempoh tersebut, berdasarkan zon waktu di tempat masing-masing.

“Seperkara, jangan mengehadkan tempoh berdoa kepada jam atau masa tertentu. Sebaliknya, kita digalakkan berdoa sepanjang tempoh berwukuf itu kerana tiada dalil khusus yang mengehadkannya,” sarannya.

Justeru, marilah sama-sama kita meraih segala keistimewaan dan kelebihan yang ALLAH SWT kurniakan ini. Semoga amalan yang dilakukan akan mendekatkan diri kepada-NYA, di samping mengangkat darjat di sisi-NYA.

Foto: 123f & Koleksi foto Sinar Harian

Tiada masa beribadah
Isu,

Berpuasa, Tetapi Tak Solat

no comment

SAAT kita berpuasa, adakalanya kita dihimpit dengan rasa keletihan dan kelelahan. Maklum sahajalah, kita menahan lapar dan dahaga hampir seharian.

Namun begitu, perintah ALLAH SWT yang satu itu tetap dikerjakan dengan sempurna. Sikap itu wajar dipuji kerana kesungguhan kita dalam menunaikan kewajipan yang telah disyariatkan kepada setiap umat Islam.

Cuma, apa yang menjadi masalah apabila ada sebilangan dalam kalangan mereka yang keletihan berpuasa dan mengisi masanya hanya dengan tidur sepanjang hari hinggakan gagal menyempurnakan solat fardu.

Ada pula yang liat untuk mendirikan solat dengan alasan keletihan akibat berpuasa. Hakikatnya, kedua-dua ibadah itu perlu bergerak seiring kerana ia termasuk dalam Rukun Islam yang menjadi pegangan umat Islam.

Menurut pendakwah Asma’ Harun, umum mengetahui bahawa solat merupakan tiang agama.

ASMA’

Mereka yang meninggalkan solat, katanya, ALLAH SWT memberikan ancaman kepada golongan tersebut.

Jelas beliau, terdapat dua golongan orang Islam yang meninggalkan solat. Pertama, golongan yang meninggalkan solat kerana mengingkari hukum wajibnya atau sengaja mempersendakannya.

“Dalam kitab Fiqh Manhaji karya Syeikh Mustafa al-Bugha, beliau membincangkan tentang hukum bagi golongan ini. Golongan ini menjadi kafir dan terkeluar daripada agama Islam.

“Pihak pemerintah wajib menyuruhnya bertaubat dan tidak membiarkannya sehingga dia bertaubat dan kembali mendirikan solat. Sekiranya dia terus mengingkarinya, dia akan dihukum bunuh sebagai seorang murtad dan mayatnya tidak harus dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan.

“Bahkan dia tidak boleh dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam kerana dia telah dikategorikan sebagai bukan lagi dalam kalangan orang Islam,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Bagi golongan kedua pula, Asma’ menambah, mereka ialah orang yang meninggalkan solat kerana malas, tetapi masih meyakini hukumnya adalah wajib.

Tak solat

SOLAT merupakan tiang agama dan Rukun Islam kedua.

“Syeikh Mustafa al-Bugha dalam karya yang sama menyatakan, pihak pemerintah hendaklah memaksanya mengqadakan solat dan bertaubat daripada dosa tersebut.

“Sekiranya dia masih ingkar menggantikannya, dia wajib dihukum bunuh mengikut hukuman yang disyariatkan ke atas orang Islam yang melakukan maksiat. Hal ini kerana hukuman atas orang yang meninggalkan fardu adalah wajib diperangi.

“Namun, selepas dibunuh, dia tetap dianggap Islam. Maka jenazahnya, pengebumiannya dan pembahagian hartanya mestilah diuruskan menurut tatacara Islam,” jelasnya.

Daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia hingga mereka bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah selain ALLAH dan Muhammad adalah pesuruh ALLAH, mendirikan solat, menunaikan zakat. Apabila mereka telah melakukannya terpeliharalah darah dan harta benda daripada tindakan Aku, kecuali dengan kebenaran Islam dan terserahlah perhitungan mereka itu kepada pada ALLAH TAALA.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, Asma’ menjelaskan, sesiapa yang telah berikrar dengan dua kalimah syahadah perlu tetap diperangi jika dia tidak mendirikan solat, tetapi tidaklah dihukumkan kafir.

Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ubadah bin Somit katanya, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “ALLAH telah mewajibkan solat lima waktu atas hamba-hamba-NYA. Sesiapa yang tetap melakukannya tanpa meninggalkan satu pun daripadanya lantaran meringankan hukum wajibnya, ALLAH berjanji akan memasukkannya ke dalam syurga. Sebaliknya sesiapa yang tidak melakukannya, ALLAH tidak menjanjikan apa-apa pun kepadanya malah terserahlah kepada-NYA sama ada mengazabkannya atau memasukkannya ke dalam syurga mengikut kehendak-NYA.” (Riwayat Abu Daud)

Baca juga Sayu Ramadan Di Tanah Anbia

Dalam hadis berkenaan, jelaslah bahawa orang yang meninggalkan solat tidak dihukumkan kafir kerana jika dihukumkan demikian, tentulah tidak termasuk dalam sabda Nabi Muhammad SAW, ALLAH SWT akan memasukkannya ke dalam syurga mengikut kehendak-NYA.

Tak solat

DIDIKLAH anak tentang solat sejak dari mereka kecil lagi.

“Hal ini kerana hanya orang kafir yang tidak akan masuk ke dalam syurga sama sekali. Justeru, maksud tidak kafir adalah ditujukan kepada mereka yang meninggalkan solat disebabkan malas,” jelas Asma’.

Dalam sebuah hadis yang lain, Jabir RA berkata, “Aku mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda: “Yang membezakan seseorang Islam dengan syirik dan kufur itu adalah meninggalkan solat.” (Riwayat Muslim)

Hadis itu ditujukan kepada orang yang meninggalkan solat kerana mengingkari hukum wajibnya atau mepersenda-sendakan dan meremehkan ibadah berkenaan.

Menyambung hujahnya, dalam perihal berpuasa, tetapi tidak solat pula, pendakwah itu menjelaskan, ulama telah berselisih pandangan kepada dua pendapat iaitu:

1. Mazhab Hanbali dan sebahagian ulama masa kini.

Pendapat itu menyatakan, orang yang berpuasa tetapi tidak menunaikan solat dianggap sebagai keluar daripada Islam dan tidak sah puasanya. Mereka perlulah bertaubat kepada ALLAH SWT dan perlu kembali mengerjakan solat.

2. Kebanyakan ulama Azhar seperti ‘Atiyyah Saqar, Dr. Ahmad Syarbashi, Dr. Muhammed al-Bakri Ismail dan lain-lain.

Mereka yang tidak solat tetapi berpuasa, dianggap puasa mereka sah tetapi tidak diberi pahala. Hal itu kerana terdapat hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka ALLAH SWT tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Walaupun solat tidak termasuk dalam syarat-syarat sah puasa, namun Asma’ mengingatkan agar kita tidak meninggalkan tiang agama itu. Sebagai orang Islam, solat merupakan kewajipan yang mesti dipatuhi.

Tak solat

SOLAT membezakan antara orang Islam dan kafir.

“Meskipun terdapat perbezaan pendapat mengenai masalah ini, kami lebih cenderung kepada pendapat kedua yang mengatakan, puasa tetap sah, tetapi tidak beroleh pahala.

“Ia tetap dikira sebagai dosa besar kerana meninggalkannya walaupun seseorang itu telah berpuasa pada bulan Ramadan. Ini kerana dirinya telah menafikan Rukun Islam Islam lain yang wajib dipatuhinya juga iaitu solat,” jelasnya.

Justeru, ayuh kita sama-sama menjaga kewajipan kita kepada ALLAH SWT dengan sebiak-baiknya. Sesibuk mana pun, kedua-dua kefarduan itu tetap wajib ditunaikan kerana ia akan menjadi ‘hutang’ kita dengan ALLAH jika tidak dikerjakan dengan sempurna.

Foto: 123rf & Freepik

pexels-fariz-hermawan-3812943
Hukum,

Batalkan puasa dengan makan atau minum bertujuan jimak elak kafarah. Boleh ke?

“BETULKAH sekiranya kita membatalkan puasa dengan makan dan minum dahulu bagi tujuan berjimak (persetubuhan suami isteri) pada bulan Ramadan ini, tidak perlu membayar kafarah? Adakah dibolehkan seperti itu?”

Mari kita ikuti perkongsian pendakwah, Ustazah Asma’ Harun ini.

“Dari sudut bahasa kafarah bermaksud menutup manakala dari sudut istilah ialah perbuatan menunaikan kewajipan berbentuk harta atau tubuh badan disebabkan meninggalkan sesuatu tanggungjawab atau kewajipan hukum syarak.

“Terdapat banyak jenis kafarah yang telah ditetapkan syarak seperti kafarah sumpah, kafarah nazar dan sebagainya.

“Namun, kali ini kita menyentuh kepada kafarah bersetubuh di siang hari pada bulan Ramadan, iaitu membebaskan hamba, berpuasa dua bulan berturut-turut dan memberi makan 60 orang miskin,” tulisnya di Facebook.

Kata Ustazah Asma’, berbuka puasa dengan sengaja pada bulan Ramadan adalah dosa yang amat besar.

“Perlu diingati bahawa berbuka puasa dengan sengaja di siang hari pada bulan Ramadan adalah haram dan merupakan dosa yang amat besar.

“Daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang berbuka puasa sehari daripada Ramadan tanpa sebarang rukhsah (keringanan) yang diizinkan Allah, nescaya tidak memadai sekali pun dia qada’ puasa tersebut walaupun selama-lamanya.” (HR Abu Daud)

“Imam Ibnu Hajar al-Haithami juga menyebutkan bahawa betapa besarnya kesalahan meninggalkan puasa dengan sengaja terutamanya di bulan Ramadan.

Baca juga Awas, suami isteri bermesra siang hari bulan Ramadan boleh jatuh makruh, batalkan puasa

“Hal ini jelas seperti yang disebutkan beliau yang bermaksud “Dosa besar yang ke 140 dan 141, meninggalkan puasa pada salah satu hari daripada hari-hari dalam bulan Ramadan, dan berbuka puasa padanya dengan persetubuhan atau selainnya tanpa sebarang keuzuran seperti sakit atau bermusafir.”

“Dan di dalam kitab Fiqh Manhaji juga menyebutkan “Puasa Ramadan adalah salah satu daripada rukun Islam dan perkara fardu dalam agama yang mesti diketahui. Oleh itu, sesiapa yang mengingkari kewajipan, akan menjadi kafir dan disuruh bertaubat sebagaimana orang murtad,” jelas beliau.

Menurut Ustazah Asma’, perbuatan membatalkan puasa dengan makan dan minum menjadi perbincangan ulama dan telah menghasilkan dua pendapat.

1. Pendapat pertama: Tidak dikenakan kafarah

Pendapat ini adalah pendapat mazhab Syafiah dan merupakan pendapat yang masyhur dalam kalangan masyarakat kita.

Hal ini adalah bersumberkan daripada Syeikh Wahbah Zuhaili di dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu yang menyatakan, sekiranya membatalkan puasa dengan makan, kemudian melakukan jimak maka tidak ada kafarah baginya.

Beliau juga menyatakan di dalam kitabnya yang lain, kitab al-Muktamad Fi al-Fiqh al-Syafie, bagi orang yang sengaja berbuka puasa dengan makan dan minum terdahulu sebelum berjimak adalah tidak dikenakan kafarah sebaliknya hanya diwajibkan qada puasa sahaja.

Tidak dikenakan kafarah kerana berdasarkan kepada beberapa keadaan seperti berikut;

  1. Membatalkan puasa kerana berada dalam keadaan uzur.
  2. Terlupa bahawa ia sedang berpuasa kemudian melakukan jimak.
  3. Jahil tentang pengharamannya (bersetubuh di siang Ramadan).
  4. Membatalkan puasa dengan makan dan minum kemudian melakukan jimak.
  5. Bermusafir kemudian melakukan jimak.
  6. Membatalkan puasa bukan di bulan Ramadan.

Namun, perlu diingati bahawa perbuatan ini tetap berdosa besar seperti yang disebutkan oleh Imam al-Baijuri di dalam kitab Hasyiah juga menyatakan:

“Dikecualikan (kafarah) dengan melakukan jimak (bersetubuh) apabila membatalkan puasanya dengan makan dan minum. Helah ini hanya menghilangkan kafarahnya sahaja bukan menghilangkan dosanya.”

2. Pendapat kedua: Wajib dikenakan kafarah

Mazhab Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad menyatakan wajib dikenakan kafarah sekiranya membatalkan puasa dengan makan dan minum terdahulu sebelum melakukan jimak (bersetubuh).

Imam Ibnu Qayyim meletakkan ia perlulah melihat kepada maqasid dan tujuan perbuatannya iaitu sengaja berbuka puasa dengan makan dan minum untuk melakukan jimak (bersetubuh).

Inilah disebutkan sebagai helah daripada dikenakan kafarah.

Walau bagaimanapun, melakukan helah untuk melakukan jimak ini tidak menggugurkan kewajipan membayar kafarah kerana melihat kepada tujuan asalnya.

Banyakkan puasa, rebut amalan bulan Syaaban

Selain itu, orang yang telah membatalkan puasa perlu imsak atau tidak?

Imsak bermaksud menahan diri daripada melakukan perbuatan makan, minum dan berjimak pada siang hari bulan Ramadan.

1. Pendapat pertama: Perlu imsak

Pendapat ini menyatakan perlu imsak (menahan diri) daripada melakukan jimak (persetubuhan) sekalipun telah membatalkan puasa. Ini adalah berdasarkan dalil yang disebutkan di dalam al-Quran:

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu pada malam hari puasa untuk bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu.” (Surah al-Baqarah : 187)

Dalil ini adalah berlafaz umum tentang keharusan berjimak (bersetubuh) di malam hari bulan Ramadan. Daripada dalil ini juga, telah menghasilkan satu hukum disebaliknya iaitu pengharaman berjimak (bersetubuh) di siang hari bulan Ramadan.

Maka, sekalipun seseorang itu telah membatalkan puasanya, dia tetap perlu menahan dirinya daripada melakukan jimak di siang hari Ramadan berdasarkan dalil di atas. Hal ini kerana, bagi menjaga kesucian bulan Ramadan yang tidak membenarkan melakukan jimak di siang hari.

2. Pendapat kedua: Tidak perlu imsak

Pendapat ini berpegang kepada tidak perlu imsak (menahan diri) daripada melakukan jimak (persetubuhan) kerana melihat kepada puasanya yang telah batal. Sekiranya dia menahan dirinya daripada melakukan perbuatan tersebut, ia tetap tidak memberi kesan kerana puasanya telah terbatal.

Walau bagaimanapun, seseorang itu tetap perlu menjaga dirinya daripada melakukan perbuatan tersebut di hadapan khalayak ramai termasuklah perbuatan makan dan minum.

Baca juga Status puasa orang pengsan akibat dibius

Justeru, kesimpulannya, ya betul, tidak dikenakan kafarah jika membatalkan puasa dengan makan dan minum terlebih dahulu kerana ingin melakukan jimak (persetubuhan) di siang hari pada bulan Ramadan mengikut pandangan Syafieah.

Namun, terdapat lagi satu pandangan ulama yang menyatakan tetap wajib dikenakan kafarah bagi orang yang sengaja membatalkan puasa dengan makan dan minum bagi tujuan melakukan jimak.

Orang yang telah berbuka puasa dengan makan dan minum di siang hari bulan Ramadan perlulah imsak iaitu menahan dirinya daripada melakukan perbuatan jimak (bersetubuh) sepertimana orang berpuasa sehinggalah masuknya waktu azan Maghrib sebagai menghormati kesucian di bulan Ramadan.

Berdosa besar bagi mereka yang sengaja membatalkan puasa di siang hari bulan Ramadan tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan oleh syarak.

Semoga bermanfaat.

Foto: Pexels

Digestive-System-1200-x-630
Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Personaliti, Pilihan Editor,

Tidak Mati Berpuasa Kecuali Ajal

no comment

Ibadah berpuasa walaupun banyak menjurus kepada kerohanian, sering juga dikaitkan dengan aspek kesihatan.

Lebih-lebih lagi mereka yang berpuasa terpaksa menahan makan dan minuman dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari.

Di negara ini, tempoh terbit fajar hingga terbenamnya matahari dianggarkan kira-kira 13 hingga 14 jam sehari, bererti dalam tempoh itulah kita diwajibkan untuk berpuasa daripada memasukkan makanan atau minuman ke dalam badan.

Namun adakah kita pernah bertanya apakah yang terjadi kepada sistem tubuh kita untuk tempoh 13 hingga 14 jam tanpa makanan dan minuman di dalam badan?

Dr. Dimas Dody Wibowo

Pegawai Perubatan Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Dr. Dimas Dody Wibowo, berkata makanan dan minuman adalah punca utama tenaga disalurkan ke sistem tubuh membolehkan kita bergerak dan melakukan aktiviti harian.

Namun tempoh berpuasa yang diperintahkan kepada umat Islam tidaklah sehingga memberi kesan negatif kepada tubuh badan kita, malah manfaat yang diperolehi.

“Kita mengambil contoh pada situasi tempoh bersahur, iaitu selepas lapan jam makanan terakhir masuk ke dalam tubuh, sistem badan akan mula mengambil simpanan glukosa dalam badan kita yang ada di hati dan otot. Jika simpanan itu habis badan akan mendapatkannya sumber tenaga dari simpanan lemak dan protein.

“Seperti istilah yang diperkenalkan oleh saintis berkaitan kelangsungan hidup menerapkan ‘peraturan bertiga’ untuk bertahan tanpa keperluan. Kita masih lagi boleh hidup kira-kira tiga minit tanpa oksigen, tiga minggu tanpa makan dan tiga hari tanpa air, jadi kalau hanya puasa untuk beberapa jam ianya tidak memberi apa-apa kesan kepada sistem badan kita,” katanya kepada portal siplus.com.my yang ditemui baru-baru ini.

Menurut Dr. Dimas, setiap manusia memiliki simpanan tenaga yang sama tanpa bergantung kepada saiz fizikal individu itu sama ada kurus atau gemuk yang membolehkan kita bertahan beberapa hari sekiranya terputus bekalan makan.

“Untuk mengekalkan tenaga harian memang kita memerlukan makanan, malah sebab itu kita digalakkan untuk bersahur pada bulan Ramadan dan bersarapan pada bulan selain Ramadan. Sebenarnya kebaikkan sahur dan sarapan sama saja cuma yang membezakannya adalah tempoh beberapa jam saja. Jika kita berpuasa, mengambil sahur dapat bekalkan tenaga kita sehari dan tempoh berpuasa itu juga dapat mengelak kita daripada mengambil snek, sarapan dan makan tengahari termasuk mengawal nafsu makan berlebihan.

“Sepanjang kita bersahur hingga berbuka tempoh masa yang menentukan kalori defisit itu yang penting, lepas kita makan untuk mengambil kalori, ia akan habis dalam tempoh lapan jam dan sistem badan kita akan berfungsi secara fisiologikal akan membakar simpanan glukosa kita bagi memberikan tenaga,” katanya.

“Secara amnya untuk pesakit yang memiliki penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetes, kolestrol memang digalakkan untuk berpuasa sebab banyak kajian saintis menyatakan bagi pesakit diabetes gula dalam darah akan jadi normal, darah tinggi dan kolestrol pun begitu, namun kita harus ambil tahu sebelum kita berpuasa perlu mendapatkan nasihat daripada doktor sebab sistem tubuh setiap individu tidak sama, pengetahuan bagi pesakit itu penting sebelum kita berpuasa.

Individu berpuasa digalakkan mengambil makanan karbohidrat kompleks.

“Seperti yang disarankan di dalam Islam, sebainya ikutlah sunnah Nabi iaitu lewatkan waktu bersahur dan awalkan masa berbuka kerana masa kita bersahur kita dapat pendekkan masa kita berpuasa dan bahan yang kita makan juga harus dari makanan yang sihat. Kita digalakkan mengambil makanan kaborhadrat kompleks, seperti kentang, oat, bijirin kerana tempoh hadamnya lebih lama dan membuatkan kita akan kenyang lebih lama,” katanya.

Memandangkan tubuh manusia memerlukan 65 peratus air di dalam badan, kekurangan air dalam di dalam badan adalah perkara normal ketika berpuasa, namun kita sebaiknya mengambil tahu kaedah untuk mengelakkan badan kekurangan air hingga boleh menyebabkan hidrat.

“Selain itu, manusia memerlukan air dalam badan sekurangnya 65 peratus. Bagi pengiraan yang lebih mudah, manusia memerlukan minimum air sehari sebanyak lapan cawan. Bagaimana untuk mendapatkan lapan cawan sehari dalam tempoh berpuasa? Kita boleh bahagikan dua cawan ketika bersahur, empat cawan ketika berbuka dan dua cawan lagi selepas solat tarawih.

“Pemakanan yang baik dan sihat ketika bersahur adalah dari kategori sup dan buah-buahan. Elakkan minuman berkafein seperti kopi kerana sifat kopi ini diuretik iaitu serap air dan kita akan jadi kerap kencing menyebabkan badan mudah hidrat.

“Senaman juga digalakkan ketika berpuasa dan sebaiknya sebelum bersahur, sebelum dan selepas berbuka serta jangan bersenam yang terlalu ekstrem, cukup berjoging dan berjalan ringan saja,” katanya berkongsi tips ringkas ketika berpuasa.

 

 

 

martha-dominguez-de-gouveia-KF-h9HMxRKg-unsplash
Hukum,

Status puasa orang pengsan akibat dibius

WALAUPUN kita sedang berpuasa sepanjang Ramadan, namun kehidupan seharian tetap perlu diteruskan. Rutin yang biasa dilakukan tetap perlu digerakkan sepertimana hari-hari biasa.

Bekerja, menguruskan keluarga dan seumpamanya tetap perlu dilakukan demi kelangsungan hidup. Begitupun puasa mengajar kita erti kesabaran yang tinggi mengharungi semua perkara itu dalam keadaan diri sedang yang sedang menahan lapar, dahaga dan nafsu.

Adakalanya dalam bulan Ramadan, kita terpaksa mendapatkan rawatan untuk kesihatan diri. Sekiranya pengsan akibat dibius, apakah status puasa kita?

Dalam hal itu, pendakwah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah menjelaskan, para ulama telah membahagikan pengsan kepada dua kategori berbeza.

DA’I SYAFIQAH

Pertama, katanya mereka yang dibius dan pengsan untuk sepanjang hari iaitu dari terbitnya fajar sehingga tenggelamnya matahari. Maksudnya, mereka langsung tidak sedar dalam waktu tersebut.

Baca juga Usah batalkan puasa ganti sesuka hati, ini penjelasannya

“Maka, as-Syafi’iyyah (Mazhab Syafie) dan Hanabilah (Mazhab Hambali) mengatakan bahawa puasa orang itu adalah tidak sah dan mereka wajib untuk mengqadakan semula kewajipan tersebut.

“Kategori kedua pula ialah mereka yang dibius, namun pengsan untuk setengah hari sahaja yang mana pada malam hari, individu berkenaan sudah berniat puasa.

“Seandainya keesokannya mereka dibius dan pengsan selama setengah hari, puasa mereka dikira sah jika mereka terjaga setengah hari pada waktu siang,” jelasnya sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam Kitab al-Majmu’.

Foto: Freepik & Unsplash

41117405540_6651b25bcd_b
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Kurang Tiga Jam Untuk Makan

no comment

Pada asasnya umat Islam seluruh dunia berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga berdasarkan tempoh ditetapkan bermula sebelum terbitnya fajar hingga terbenamnya matahari. Namun pernahkah kita terfikir, negara mana dalam dunia ini yang melalui tempoh berpuasa paling panjang? Pastinya terdapat perbezaan dalam tempoh berpuasa di setiap wilayah dan negara seluruh dunia.

Suasana persekitaran Longyearbyen yang tenang dan dingin.

Orang ramai melakukan aktiviti luar rumah bagi menghilangkan kesejukan di Longyearbyen.

Menurut portal gulfnews.com, Longyearbyen adalah sebuah bandar perlombongan arang batu di Pulau Spitsbergen kepulauan Svalbard Norway juga dikenali sebagai bandar paling utara di dunia bakal menjadi tempat paling lama berpuasa. Dijangkakan umat Islamnya akan berlapar kira-kira lebih 21 jam sehari bermula pada 20 hingga 22 April ini. Bererti penduduknya hanya mempunyai masa kurang dari tiga jam saja untuk berbuka sekali gus bersahur. Ketetapan itu dibuat berlandaskan pengiraan waktu solat di setiap daerah bermula sebelum matahari terbit hingga terbenamnya matahari.

Murmansk, Rusia

Daerah Murmansk, Rusia pula mempunyai lebih dari enam jam waktu gelap, sebelum matahari terbit semula pada pukul 2.43 pagi. Ini bermaksud waktu berpuasa di sana hampir 18 jam dan umat Islam di sana akan bermula puasa pada jam 8.38 malam. Sementara bandar Ushuaia di Argentina mempunyai waktu puasa terpendek di dunia iaitu hanya sepanjang 12 jam dan 23 minit. Matahari terbit pada jam 6.23 pagi dan terbenam pada pukul 6.46 petang.

Mereka yang berpuasa di Riyadh, Arab Saudi juga dapat memanfaatkan berpuasa yang agak singkat iaitu bermula terbit fajar pada jam 4.12 pagi dan terbenam jam 6.14 pagi. Ia bermaksud penduduk Arab Saudi akan berpuasa selama 14 jam 2 minit.

Dubai tahun ini akan berpuasa selama 14 jam 5 minit pada hari pertama hingga ke lima Ramadan. Terbit fajar dijangka bermula pada jam 4.39 pagi dan Maghrib pada jam 6.44 petang.

Dubai, UAE

Walaupun mereka yang berpuasa di Kerala, India mempunyai waktu puasa yang sama seperti Dubai, ia mungkin terasa sedikit lebih lama bagi mereka, kerana waktu Maghrib agak lewat daripada tempoh di UAE. Mereka mengakhiri puasa pada pukul 7 malam dan memulakan puasa pada jam 5.05 pagi yang bermaksud mereka akan berpuasa seperti di Dubai selama 14 jam 5 minit.

Di negara-negara di mana matahari terbenam dan matahari terbit lebih pendek iaitu kurang tiga jam atau tidak dapat dibezakan, fatwa telah dikeluarkan untuk membolehkan umat Islam mengikuti waktu daerah terdekat yang mempunyai waktu siang dan malam yang dapat dibezakan.

Jika Ramadan jatuh pada pada bulan Jun, penduduk di Sweden misalnya akan menyaksikan fenomena matahari tengah malam yang menjadikannya mustahil bagi umat Islam untuk berpuasa di sana. Oleh itu, mereka akan melihat kepada negara jiran untuk mengikuti waktu puasa mereka.

Namun, mereka yang berada di hemisfera selatan dan utara akan mengalami perubahan paling ketara, sepanjang Ramadan iaitu 10 hari setiap tahun. Pada masa ini, daerah di hemisfera selatan mengalami waktu puasa yang lebih pendek ketika Ramadan jatuh pada musim bunga dan musim panas. Sementara mereka yang tinggal di hemisfera utara biasanya akan mengalami hari yang lebih panjang. Sebagai contoh, di Glasgow, Scotland, puasa dianggarkan selama 17 jam sehari pada musim panas dan hanya sembilan jam sehari pada musim sejuk.

Umat ​​Islam berpandukan kalendar Hijrah atau lunar yang bermaksud bahawa Ramadan bermula sekitar 10 atau 11 hari lebih awal setiap tahun. Tarikhnya berubah setiap tahun kerana tahun lunar kurang daripada tahun Gregorian sekitar 10 hari. Oleh itu, Ramadan secara beransur-ansur bergerak antara musim dan boleh jatuh sama ada pada musim panas atau musim sejuk.

Kalendar lunar berdasarkan kitaran bulanan fasa bulan. Ia hampir sama dengan kalendar Gregorian yang terdiri daripada 12 bulan lunar dalam setahun 354 atau 355 hari dan bukannya 365. Ia digunakan untuk menentukan hari-hari cuti dan perayaan Islam yang tepat seperti tempoh puasa dan masa yang tepat untuk menunaikan haji.

*Berikut adalah senarai beberapa negara yang bakal menyaksikan penduduk mereka akan berpuasa pada durasi masa yang panjang seperti yang dikongsi oleh Al-Jazeera:

1. Longyearbyen, Norway: 20 hingga 21 jam

2. Nuuk, Greenland: 19 hingga 20 jam

3. Reykjavik, Iceland: 19 hingga 20 jam

4. Helsinki, Finland: 18 hingga 19 jam

5. Stockholm, Sweden: 17 hingga 18 jam

6. Glasgow, Scotland, UK: 17 hingga 18 jam

7. Oslo, Norway: 17 hingga 18 jam

8. Copenhagen, Denmark: 17 hingga 18 jam

9. Moscow, Rusia: 17 hingga 18 jam

10. Berlin, Jerman: 16 hingga 17 jam

11. Amsterdam, Netherlands: 16 hingga 17 jam

12. Kuala Lumpur, Malaysia, 13 hingga 14 jam