Browsing Tag

lifestylesinarharian

pexels-cytonn-photography-955395
Muamalah,

Boleh bermuamalat dengan bukan Islam. Ini konsepnya yang perlu kita tahu…

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

DALAM kitab suci al-Quran, ALLAH SWT berfirman: “Wahai manusia! sesungguhnya, KAMI telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian KAMI menjadikan kamu berbangsabangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa. ALLAH MAHA MENGETAHUI lagi MAHA TELITI.“ (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Ayat itu menjelaskan kepada kita bahawa kewujudan pelbagai kaum dan bangsa adalah suatu yang memang dimaksudkan oleh ALLAH SWT. Tujuannya adalah untuk kita saling mengenali dan berinteraksi antara satu sama lain.

Dalam menjalani kehidupan seharian, memang kita tidak boleh lari daripada bermuamalat dengan golongan bukan Islam. Melihat kepada realiti itu, Islam tidak pernah mengharamkan umatnya daripada berurus niaga dengan bukan Muslim.

Sebenarnya, ada beberapa peristiwa yang mengharuskan hukum bermuamalat dengan golongan berkenaan. Antaranya, peristiwa Rasulullah SAW menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi kerana baginda membeli makanan daripadanya secara hutang.

Sudah pasti Rasulullah SAW tidak akan lakukan perkara tersebut jika baginda tidak yakin dengan halalnya makanan yang dijual oleh orang Yahudi berkenaan.

Daripada peristiwa tersebut, dapat difahami bahawa tiada halangan dari segi syarak untuk kita berurus niaga dengan orang bukan Islam. Ia selagi mana urusan tersebut tidak bertentangan dengan syarak.

Ketahuilah, status bukan Muslim itu bukanlah asas kepada pengharaman sesuatu urusan. Dalam perbincangan fuqaha, ketika menggariskan syarat-syarat pihak yang berkontrak, mereka tidak meletakkan syarat ‘mestilah seorang Muslim‘ melainkan dalam kes tertentu seperti bab menjual al-Quran yang mana disyaratkan mestilah dijual kepada orang Islam.

Baca juga Bila orang bukan Islam beri salam, apa harus kita jawab…

Bermuamalat dengan bukan Islam


BERMUAMALATLAH dengan sesiapa sahaja termasuk orang bukan Islam dalam sebarang urusan yang bebas daripada unsur-unsur yang dilarang dalam Islam seperti riba, gharar dan penipuan.

Itu pun masih ada ruang perbahasan lanjut melihat kepada situasi dan realiti sebenar yang saya tidak bermaksud untuk panjangkan perbincangan mengenainya dalam tulisan kali ini.

Apakah asas sebenar kepada pengharaman suatu urusan? Saya pernah menyebut dalam tulisan saya sebelum ini tentang kaedah umum yang digariskan oleh al-Quran dan hadis dalam bab muamalat maliyyah.

Rumusannya, urus niaga seseorang itu hanya akan dihukumkan haram sekiranya ia tidak mengikut kaedah yang telah ditetapkan iaitu mesti berasaskan kepada suka sama suka (taradhi) dan bebas daripada unsur-unsur yang dilarang dalam Islam seperti riba, gharar dan penipuan.

Selain itu, umat Islam juga dilarang daripada melibatkan diri dalam urus niaga yang bersifat membantu bukan Islam untuk mengganggu gugat orang-orang Islam. Contoh klasik yang disebut dalam perbincangan fuqaha adalah menjual senjata kepada golongan bukan Islam yang memusuhi Islam.

Walaupun ia sekadar urusan jual beli sahaja, tetapi tetap memberi sumbangan tidak langsung kepada golongan itu untuk memerangi Islam.

Pada masa sama, umat Islam dilarang daripada terlibat dalam sebarang muamalah yang boleh membantu bertambahnya maksiat yang dilarang dalam Islam. Umpamanya, menjual buah anggur kepada pembuat arak. Ia bertujuan menjauhi kita daripada terlibat sama secara tidak langsung dalam menyumbang kepada aktiviti pembuatan arak.

Bermuamalat dengan bukan Islam

HARUS bermuamalat dengan golongan bukan Islam kecuali dalam hal yang boleh memberi mudarat kepada agama suci ini atau perkara yang dilarang oleh syarak.

Oleh itu, kita sebagai umat Islam harus jelas dan faham. Meskipun secara umumnya Islam mengharuskan kita bermuamalat dengan orang bukan Islam, tetapi pada masa sama, kita hendaklah memastikan bahawa urus niaga tersebut bebas daripada perkaraperkara yang dilarang oleh agama suci ini.

Antara perkara yang sangat perlu kita teliti adalah sejauh mana muamalat dengan orang bukan Islam itu tidak membawa mudarat kepada agama Islam itu sendiri untuk jangka masa panjang atau dalam bentuk sumbangan secara langsung. Wallahua’lam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Freepik & Pexels

pexels-aleksandar-pasaric-3423860
Isu,

[VIDEO] Status minum minuman halal yang diletak dalam peti sejuk sama tempatkan arak. Ini penjelasannya…

KADANGKALA niat untuk membeli minuman di kedai atau pasar raya terbantut begitu sahaja.

Apatah lagi melihat minuman yang diingini itu diletakkan dalam peti sejuk yang sama dengan minuman tidak halal seperti arak. Apa yang membezakannya hanyalah rak atas atau bawah.

Walaupun hati meronta-ronta inginkan air itu, namun dari satu sudut yang lain, entah mengapa timbul pula rasa waswas dalam diri untuk membeli, apalagi meminumnya.

Disebabkan itulah kadang-kadang ada segelintir orang lebih suka memilih air yang disusun di rak-rak jualan. Tidak mengapalah jika air itu tidak sejuk sepertimana ia disimpan di dalam peti ais, asalkan diri sendiri yakin untuk meminumnya.

Dalam keadaan ini, sebenarnya bolehkah kita membeli dan minum minuman tin, kotak atau botol yang halal tetapi berkongsi peti sejuk yang sama dengan air arak?

Apakah ada unsur syubhah di situ?

Menjawab persoalan itu, Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia yang juga pendakwah selebriti, Dr Mohamad Fitri Mohamad Haris berkata, syubhah itu hadir apabila kita dibelenggu dengan rasa waswas.

DR MOHAMAD FITRI

“Ya, memang perkara ini sering kali terjadi dalam kehidupan seharian kita.

“Apabila kita ke pasar raya dan melihat minuman halal itu terletak bersebelahan dengan arak, sebenarnya tiada masalah untuk kita mengambil minuman yang sudah pastinya halal.

“Dalam hal ini, ia tiada unsur syubhah. Kita dibolehkan mengambil minuman tersebut dan meminumnya,” katanya.

Baca juga [VIDEO] Status gaji kerja di hotel yang sajikan arak, ini hukumnya yang perlu kita tahu

Namun begitu, jelas beliau, seandainya ada unsur-unsur lain misalnya, minuman itu diletakkan dengan kedudukan yang dibezakan oleh rak di atas dan di bawah.

“Jika kemungkinan botol arak itu bocor dan titisan air tadi kena pula pada air kotak di bawahnya, maka jelas ada unsur syubhah di situ.

“Ini kerana kotak itu diperbuat daripada kertas yang bersifat menyerap. Jika beginilah keadaannya, maka tidak dibolehkan untuk kita membeli air kotak halal tadi dan meminumnya,” tegasnya.

Justeru, jika kita tidak nampak nyata unsur-unsur yang jelas ada syubhah di situ, tidak salah untuk kita membeli air kotak, tin atau air botol dalam peti sejuk kedai yang turut menempatkan air arak bersama di dalamnya.

Foto: Freepik & Unsplash

pexels-cedric-fauntleroy-8154523
Isu,

Jangan sesekali buka aib diri dan orang lain. ALLAH SWT tutup segala cela manusia, tak wajar kita dedahkannya

SUDAH menjadi satu kelaziman, kita akan memandang seseorang itu seolah-oleh begitu sempurna, tanpa ada kekurangan pun pada dirinya. Begitu juga halnya apabila orang lain melihat diri kita.

Hakikatnya, sebagai seorang insan, kita pasti memiliki kelemahan. Lagipun, kita bukanlah tergolong dalam kumpulan para anbia dan rasul yang bersifat maksum. Justeru, setiap daripada kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan dosa.

Ketahuilah, sebenarnya ALLAH SWT telah menutup aib hamba-hamba-NYA agar tidak dapat dilihat oleh orang lain. Oleh itu, bersyukurlah andai ALLAH SWT telah memelihara cela pada diri kita dengan kuasa-NYA.

Malangnya, entah mengapa masih ada segelintir orang yang tanpa segan-silu menjaja aib sendiri. Demikian juga ada yang tergamak membuka aib orang lain tanpa memikirkan impaknya kepada individu tersebut termasuk ahli keluarganya.

Ketahuilah, umat Islam diajar supaya tidak sewenang-wenangnya membuka aib sendiri. Apatah lagi, kelemahan yang terdapat pada orang lain.

Kenapa kita dilarang berbuat demikian? Bagaimana pula jika kita terlihat seseorang melakukan dosa secara terang-terangan, perlukah ia disembunyikan begitu?

Jatuhkan maruah

Bagi mendasari topik berkenaan, Sinar Islam menemubual Pensyarah Akademi Pengajian Islam dan Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah.

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

Jelas beliau, aib bermaksud sesuatu kelemahan yang boleh menjatuhkan maruah seseorang. Dalam Islam, katanya, kita wajib menutup aib sendiri dan tidak mendedahkannya kepada orang lain.

Baca juga Jaga aib sendiri, orang lain. Tidak ada orang yang tak berdosa

“Saat ALLAH SWT telah menutup segala keaiban dan dosa-dosa kita daripada pandangan manusia, maka adalah sesuatu yang tidak wajar jika kita sendiri mendedahkannya kerana perbuatan tersebut boleh menjatuhkan maruah sendiri,” katanya kepada Sinar Islam ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Semua umatku akan ditutupi segala kesalahannya kecuali orang-orang yang berbuat maksiat dengan terang-terangan. Masuk dalam kategori berbuat maksiat terang-terangan adalah apabila seorang berbuat dosa pada malam hari kemudian, ALLAH SWT telah menutupi dosanya, lalu, dia berkata (kepada temannya): Hai Fulan! Tadi malam aku telah berbuat ini dan itu. ALLAH SWT telah menutupi dosanya ketika di malam hari sehingga dia bermalam dalam keadaan ditutupi dosanya, kemudian, di pagi hari ia sendiri menyingkap tirai penutup ALLAH SWT daripada dirinya.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan ungkapan hadis berkenaan, ujar Sharifah Fadylawaty, perbuatan maksiat yang dikongsikan tanpa segan-silu di media sosial juga termasuk dalam perkara yang dibincangkan.

“Masakan tidak, tindakan mendedahkan perbuatan dosa secara terbuka itu dikhuatiri dapat mengundang fitnah kepada pelaku dan secara tidak langsung seolah-olah menggalakkan orang lain melakukan dosa yang sama. Seandainya kita melakukan kesalahan, biarlah ia menjadi rahsia diri kita sahaja,” jelasnya.

Aib diri dan orang lain

ISLAM melarang keras umatnya membuka aib sendiri, apatah lagi kelemahan orang lain.

Beliau menjelaskan, bukan sahaja aib diri sendiri, perbuatan menyebarkan aib orang lain adalah berdosa dan dilarang sama sekali dalam agama.

Apatah lagi jika aib yang disebarkan itu menjadi tular asbab perbuatan tidak bertanggungjawab kita yang berdosa jika diteruskan oleh orang lain, ungkapnya.

“Justeru, berusahalah untuk menutup aib orang lain. Begitupun, ia bukanlah bermaksud kita reda atau bersubahat dengan perbuatan maksiat yang dilakukan seseorang,” katanya.

Seperkara lagi, Sharifah Fadylawaty menjelaskan, akhlak mahmudah itu bukan sahaja dipraktikkan oleh seorang Muslim semasa bermuamalah dengan saudara seagama sahaja, tetapi juga sesama rakan yang bukan Islam.

“Ingatlah, perbuatan mengumpat, memfitnah dan menyebarkan keaiban orang lain meskipun bukan Islam adalah dilarang kerana tidak mencerminkan ajaran Islam,” katanya.

Dedah kesalahan dengan syarat

Bagaimanakah jika seseorang melakukan kesalahan undang-undang dan bolehkah aib dirinya dibuka kepada pihak berkuasa?

Ketika menjawab persoalan itu, Sharifah Fadylawaty berkongsikan pandangan Imam al-Nawawi mengenai hukum mengumpat yang dibolehkan.

Jelas beliau, Imam al-Nawawi menyatakan, terdapat enam jenis mengumpat yang dibenarkan dengan tujuan yang sahih dan syar’i iaitu membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim; membantu dalam menentang perkara yang mungkar dengan tujuan mengembalikan pelaku ke jalan benar dan menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.

Aib diri dan orang lain

“Selain itu, dibolehkan mengumpat untuk mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan dan menasihati mereka seperti mengambil ilmu daripada bukan ahlinya serta menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan.

“Satu lagi adalah menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang itu seperti bisu atau buta dan sebagainya. Namun begitu, jika mampu memanggilnya dengan panggilan yang lain adalah lebih baik dan haram memanggil panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina,” katanya.

Melihat semua fakta itu, pensyarah berkenaan membantu kita membuat kesimpulan bahawa dibolehkan untuk mendedahkan kesalahan atau aib yang dilakukan oleh seseorang kepada pihak berkuasa dengan syarat tertentu.

“Jika terpaksa didedahkan, seseorang mesti tetap menurut keadaan yang diharuskan oleh syariat seperti untuk tujuan pendakwaan atau penghakiman yang sangat terhad kepada orang-orang tertentu.

“Batasan tersebut masih perlu dijaga kerana dalam Islam, sesuatu perbuatan maksiat bukan suatu yang perlu dipromosikan untuk mengelakkan daripada diterima sebagai satu normalisasi dalam masyarakat,” jelasnya.

Apa-apapun, Sharifah Fadylawaty mengingatkan umat Islam bahawa perbuatan menyebarkan aib orang juga termasuk dalam tindakan membantu syaitan menyebarkan maksiat di atas muka bumi ini.

Didik sifat malu

Fakta yang dilontarkan oleh Sharifah Fadylawaty turut dipersetujui oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ahmad Sanusi Azmi.

DR AHMAD SANUSI

Bagi menyokong pernyataan itu, beliau menjelaskan, Rasulullah SAW melarang umatnya daripada mendedahkan aib mereka sendiri bagi mendidik Muslim agar sentiasa menjauhi dosa.

“Pada hari ini, timbul penyakit baharu yang mana sebahagian Muslim berbangga dengan dosa mereka. Mereka tidak segan untuk menayangkan perlakuan maksiat di platform media sosial seolah-olah perkara itu sudah menjadi satu kebanggaan.

“Atas dasar itu, bagi mendidik sifat malu dalam kalangan Muslim, Rasulullah SAW menegah kita daripada mendedahkan aib kita sendiri,” katanya.

Hakikatnya, ujar beliau, banyak dosa yang kita lakukan tidak diketahui oleh orang lain. Hanya ALLAH yang mengetahui segala aib kita.

Baca juga Suami Isteri Ibarat ‘Pakaian’, Jaga Aib Pasangan Masing-Masing

“Melalui limpah dan kasih sayang-NYA, ALLAH telah menutup aib kita. Namun, apabila seseorang itu bertindak untuk mendedahkan aib sendiri seakan-seakan tidak mensyukuri anugerah yang telah dikurniakan oleh-NYA kepada kita.

“Begitu juga halnya dengan perbuatan mendedahkan aib orang lain. Secara zahirnya, ia akan menyemarakkan api permusuhan sesama manusia. Tindakan seseorang mendedahkan perlakuan dosa berupaya mencetuskan kemarahan, bahkan mencalar maruah seseorang,” ujarnya.

Ketahuilah bahawa ALLAH SWT akan menutup aib hamba-hamba-NYA di akhirat kelak andai kita berbuat demikian kepada saudaranya, ungkapnya.

Dalam sebuah hadis, Dr Ahmad Sanusi yang juga Setiausaha Agung Majlis Ulama Isma berkata, Rasulullah SAW pernah mengungkapkan tentang pernyataan tersebut.

Namun begitu, hadis itu seharusnya difahami dari sudut konteks dosa yang dilakukan pada zaman muda seseorang, jelasnya.

“Sekiranya seseorang itu telah insaf, maka tidak wajar untuk kita mengungkit lagi dosa dan silap yang pernah mereka lakukan. Seandainya ketika usia muda, seseorang itu pernah minum arak atau mengambil dadah, mengapa perlu kita dedahkan kepada orang lain dalam keadaan dirinya yang sudah bertaubat dan insaf?

“Dibimbangi pendedahan kita akan membuatkan mereka kembali kepada dosa. Alangkah baiknya sekiranya kita mampu bersama melenyapkan memori hitam tersebut,” katanya.

Dalam hal itu, ujar beliau lagi, tidak timbul juga isu bersubahat kerana pelaku kesalahan tersebut sudah pun bertaubat dan membenci kelakuan buruk mereka.

Aib diri dan orang lain

HARI ini, orang menggunakan media sosial sebagai saluran untuk membuat fitnah, adu domba, serangan peribadi dan membuka aib orang lain.

“Apa yang seharusnya dianggap bersubahat adalah mereka yang mendiamkan seseorang yang terus-menerus melakukan dosa, sedangkan kita tidak membimbing atau menegur mereka. Bahkan, kita mendiamkan mereka hanyut dalam kerosakan,” katanya.

Andai kata, seseorang sudah bertaubat dan tiba-tiba ada orang lain bertanyakan kesalahan lampau, Dr Ahmad Sanusi menyarankan agar kita bersikap jujur dengan menolak untuk menceritakan aib diri kepada orang.

“Jangan pula kita terjebak dengan perbuatan berbohong, bahkan sebaliknya berikan kepada mereka jawapan yang jujur dengan menyatakan bahawa topik tersebut adalah sesuatu yang tidak wajar untuk dibuka buat perbincangan umum,” katanya.

Jangan sewenang-wenangnya menghukum orang lain

Sikap skeptikal segelintir masyarakat yang gemar menilai seseorang gara-gara kesilapan lampau lebih-lebih lagi jika individu itu pernah bergelar banduan suatu ketika dulu, begitu bertentangan dengan agama Islam.

Apatah lagi jika empunya diri sudah insaf dan cuba memperbaiki diri.

Pendakwah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah menjelaskan, sangkaan buruk seperti itulah yang akan memberi kesan buruk terhadap bekas pesalah itu.

DA’I SYAFIQAH

Antaranya, ia membuatkan bekas pesalah tadi mungkin merasakan dirinya tiada harapan lagi di dunia, sekali gus mendorongnya kembali semula ke kancah lama.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa…” (Surah Al-Hujurat, ayat 12)

“Sikap seperti itu juga tidak selari dengan akhlak Rasulullah SAW. Dalam sebuah hadis, Aisyah RA menceritakan bahawa Rasulullah tidak akan membalas perbuatan buruk dengan keburukan, tetapi memaafkan dan berlapang dada.

“Sifat seperti itulah yang perlu kita contohi sebagai sebuah masyarakat Islam yang membangun. Jadilah insan yang membantu, bukan ‘membuntu’,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Apabila kita terlihat seseorang melakukan kesilapan atau dosa, ujar Da’i Syafiqah, kita berperanan untuk mengajaknya ke arah kebaikan dan mencegahnya daripada perbuatan mungkar dengan cara teguran atau nasihat.

Usah sesekali kita menghukum atau melabelkan individu berkenaan dengan pelbagai perkataan yang menyebarkan aibnya, tegasnya.

“Tatkala kita mendengar bahawa seseorang itu dihukum di bawah undang-undang kerana melakukan kesilapan, itu bukanlah menjadi tiket untuk kita mengaibkannya lagi. Apatah lagi menokok tambah cerita sehingga langsung tidak nampak kebaikan orang itu sebelum ini.

“Seharusnya, kita ambil pengajaran daripada perbuatan yang dilakukan agar diri kita terpelihara daripada mengikut jejak langkahnya. Sentiasalah berhati-hati ketika bercakap tentang sesuatu perkara.

“Peribahasa Melayu ada menyebut, ini hari orang, besok hari kita. Jadi sama-sama kita ingatkan diri untuk tidak menghukum dan mengaibkan orang lain sesuka hati,” nasihatnya.

Seperkara, beliau mengingatkan agar umat Islam tidak mencari-cari kesalahan orang lain kerana perbuatan itu hampir sama dengan berburuk sangka.

Aib diri dan orang lain

Kedua-duanya tergolong sifat tercela yang amat dibenci dan dilarang oleh ALLAH dan Rasul-NYA.

“Renungkanlah kata-kata yang biasa kita dengar daripada orang di sekeliling; ‘Pegang cermin selalu untuk selalu lihat kesalahan diri sendiri, bukan pegang kanta pembesar untuk lihat kesalahan orang lain’,” katanya mengakhiri bicara.

ANEKDOT

CARA Rasulullah SAW menetapkan hukuman atas kesalahan orang

– Pada zaman Rasulullah SAW, kebanyakan hukuman dikenakan apabila terdapat aduan atau pelaku sendiri yang menyerahkan diri mereka atas kesalahan yang mereka lakukan.

– Malah, sekiranya seseorang itu datang mengakui dosa mereka, Rasulullah pada kebiasaannya akan meminta pelaku dosa itu pulang dan bertaubat kepada ALLAH.

– Mudah-mudahan mereka akan menarik balik kenyataan mereka dan menyerahkan urusan dosa mereka kepada ALLAH SWT.

– Namun, terdapat juga sahabat yang cekal untuk dikenakan hukuman kerana mereka tidak sanggup untuk memikul rasa bersalah menanggung bebanan dosa yang mereka lakukan.

DOA agar ALLAH SWT memelihara aib diri

Aib diri dan orang lainDaripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW sering mengulang-ulang doa ini pada waktu pagi dan petang yang berbunyi: “Ya ALLAH, aku memohon keselamatan di dunia dan akhirat. Ya ALLAH, aku memohon kepada-MU kemaafan dan keselamatan pada agamaku dan duniaku, pada ahli keluargaku dan harta bendaku. Ya ALLAH, tutuplah auratku (aib dan kelemahan), dan amankanlah ketakutanku. Ya ALLAH, peliharalah aku daripada bahaya yang datang dari hadapanku, dari belakangku, dari kananku, dari kiriku, dari atasku, dan aku berlindung dengan keagungan-MU daripada tergelincir daripada bawahku.” (Riwayat Imam al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad)

Sumber: Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ahmad Sanusi Azmi & Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah

Foto: Freepik & Pexels

masjid-pogung-dalangan-rVVy7fLJPIs-unsplash
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Ayuh tanamkan azam banyak berselawat. Ini sebabnya…

SETIAP kali menunaikan solat fardu, nama Nabi Muhammad SAW pasti tidak akan lekang dari bibir kita. Masakan tidak, setiap waktu pasti kita akan berselawat ke atas junjungan besar baginda SAW terutama ketika tasyahud.

Bukan sahaja sewaktu solat, sebagai umat Islam, kita dituntut untuk mempelbanyakkan selawat saban hari tidak kiralah pada bila-bila masa.

Apa tidaknya, amat pelik dan malu jika kita tidak berbuat demikian. Sedangkan, kitalah umat Nabi Muhammad SAW dan selawat itu sebagai tanda manifestasi kecintaan kepadanya.

Dari segi kelebihan kepada sesiapa yang melaziminya, ia memang tidak dapat disangkal lagi. Malah, ALLAH SWT juga akan berselawat ke atas hamba-NYA yang berbuat demikian.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin ‘Amr RA.

Beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya barang siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka ALLAH SWT akan berselawat ke atasnya dengan 10 selawat.” (Riwayat Muslim)

Baca juga Maulidur Rasul: Ini doa yang sering kali dilazimkan oleh Rasulullah SAW… 

Pendakwah, Mohamad Wadi Annuar Ayub atau sinonim dengan panggilan Ustaz Wadi Annuar menjelaskan, selawat merupakan satu-satunya ibadah yang bukan sahaja dilakukan oleh manusia, tetapi ALLAH SWT juga melaksanakannya.

USTAZ WADI ANNUAR

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-NYA berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Jelas Wadi Annuar, andai kita membiasakan lidah dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW pada setiap hari tanpa gagal, banyak manfaat yang bakal diperoleh.

“Tuan-tuan buat, insya-ALLAH rezeki murah, hati tenang dan mati husnul khatimah.

“Apabila dibangkitkan di padang mahsyar kelak, insya-ALLAH kita boleh tengok Nabi Muhammad SAW,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di Instagram miliknya baru-baru ini.

Selawat

JADIKAN selawat sebagai peneman kita pada bila-bila masa.

Dalam sisa hidup yang masih ada sekarang, pendakwah itu turut mengajak kita untuk berazam agar melazimkan diri dengan berselawat.

“Sementara masih hidup, berdoalah: ‘YA ALLAH, aku hendak jadi manusia yang paling banyak berselawat kepada nabi-MU SAW’.

“Seandainya ditakdirkan meninggal dunia esok dan pada malam ini kita sempat berazam demikian, Tuhan akan bangkitkan kita dalam kalangan orang yang paling banyak berselawat kepada nabi.

“Ini kerana asbab kita sudah berazam,” jelasnya.

Baca juga Rasulullah SAW menyayangi umatnya sehingga di akhirat. Contohilah keperibadian baginda dengan sebarkan kasih sayang

Justeru, marilah sama-sama kita pasakkan niat untuk menjadi orang yang paling banyak berselawat kepada Rasulullah SAW.

Paling tidak pun, setiap kali selepas solat, luangkan sedikit masa untuk membasahkan lidah dengan selawat seberapa sebanyak yang mampu.

Semoga kita menjadi antara umat yang mendapat syafaat daripada baginda SAW pada hari akhirat kelak.

Sumber: Instagram @ustazwadiannuar_official

Foto: Freepik & Unsplash

pexels-werner-pfennig-6476228
Isu,

Jangan simpan prasangka buruk pada orang lain, ini sebabnya… 

ADAKALANYA manusia begitu mudah menilai seseorang yang lain hanya dengan mata kasar.

Apabila nampak sahaja orang lain berbuat sesuatu yang tidak kena pada matanya, mulalah dirinya berburuk sangka kepada individu berkenaan.

Perbuatan itu kadangkala tanpa sedar telah membuatkan kita menjatuhkan ‘hukuman’ ke atas orang tersebut walaupun kita tidak begitu mengenalinya.

Hakikatnya, siapalah diri kita untuk menilai orang lain. Kita juga seorang hamba kepada Sang Pencipta, sama juga dengan makhluk-makhluk ALLAH SWT yang lain.

Pendakwah terkemuka Azhar Idrus menjelaskan, bagitu banyak nas yang memerihalkan tentang sangkaan buruk.

USTAZ AZHAR IDRUS

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman jauhilah kamu sekalian akan kebanyakan daripada sangkaan, sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu ialah dosa dan jangan kamu suka mencari-cari kesalahan.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Selain itu, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Takutilah kamu sekalian akan sangkaan, maka sesungguhnya sangkaan itu ialah sebohong-bohong perkataan.” (Riwayat al-Bukhari)

Bukan itu sahaja, Azhar Idrus turut menukilkan pandangan Dr Wahbah Zuhaili yang menyatakan:

“Sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu iaitu sangka buruk akan orang yang baik atau sangka jahat akan orang Mukmin ialah dosa yakni yang menjatuhkan pelakunya kepada dosa kerana larangan ALLAH daripadanya.” (Kitab Tafsir Al-Munir)

Sementara itu, Imam Suyuthi menjelaskan: “Telah melarang oleh ALLAH akan orang Mukmin pada ayat ini bersangka buruk akan seorang Mukmin.” (Tafsir Durul Mansur)

Melihat kepada nas dan semua ungkapan itu, Azhar Idrus melarang kita daripada berburuk sangka dengan orang lain.

Baca juga Lakukan apa sahaja kebaikan kerana ALLAH SWT. Rugi jika beramal, tetapi tak dapat pahala…

Antara contoh sangka buruk itu adalah apabila seseorang melihat orang lain yang tidak ada alamat atau tanda bahawa individu itu ialah orang yang jahat.

Boleh jadi orang itu baik dan barangkali juga orang itu jahat, namun kita telah ‘menghukumnya’ sebagai orang jahat, jelasnya.

“Maka sangkaan seperti inilah yang sangat disuruh oleh syarak untuk kita menjauhinya sekalipun orang tersebut pada hakikatnya ialah orang jahat. Begitupun, oleh sebab tidak ada tanda kejahatannya, maka syarak mengajar kita supaya mengambil sangkaan yang baik dahulu.

Prasangka buruk

“Sangkaan buruk boleh sahaja berlaku apabila seseorang melihat orang lain melakukan suatu amal kebajikan seperti bersedekah. Boleh jadi dia bersedekah kerana ALLAH dan barangkali juga kerana riak, lalu dihukumkan orang itu sebagai riak.

“Maka sangkaan buruk inilah yang diharamkan kerana hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu tujuan dia bersedekah jika dia tidak menyebutnya,” katanya.

Dalam perihal sangkaan, agamawan itu menjelaskan, sebenarnya ada pembahagian yang mana ia terbahagi kepada empat hukum yang berlainan iaitu wajib, sunat, haram dan makruh.

Bagi menjelaskan perkara itu, beliau kemudian memetik pandangan Syeikh Jamal tentang perkara itu: “Dan sangkaan itu terbahagi pada syarak kepada wajib, sunat, haram dan harus. Maka sangkaan yang wajib itu adalah sangka baik kepada ALLAH SWT bahawa tiada seorang itu sangkakan yang buruk dengan ALLAH seperti menisbahkan ALLAH itu kepada suatu yang tidak layak dengan-NYA. 

“Dan sangkaan yang sunat itu adalah sangka baik dengan seorang yang zahirnya elok dalam kalangan Muslimin. Dan sangkaan yang haram itu adalah sangka buruk dengan ALLAH SWT dan sekalian yang zahirnya elok dalam kalangan Muslimin. 

“Dan sangkaan yang harus itu adalah sangka dengan orang yang termasyhur antara orang Islam (iaitu tiada pada mana satu dari sangkanya itu memudaratkan).” (Kitab Hasyiah al-Jamal)

Prasangka buruk

Namun demikian, Azhar Idrus menegaskan, hukum sangkaan yang buruk ke atas sesama saudara Islam itu adalah haram tanpa khilaf.

Ia sebagaimana disebutkan oleh Syeikh Al-Khalili bahawa: “Maka sesungguhnya buruk sangka dengan orang Islam itu haram ia dengan putus.” (Kitab Fatawa Al-Khalili)

Sementelah, Imam As-Samarqandi pula berkata: “Maksud ayat ini sesungguhnya sangka buruk dengan orang Islam itu adalah satu maksiat.” (Tafsir Samarqandi)

Demikian juga pandangan Imam Qurtubi yang menyatakan: “Bermula barang yang telah menyebut oleh Al-Mahdawi daripada kebanyakan ulama bahawasanya sangkaan yang buruk dengan orang yang zahirnya baik itu tidak harus, yakni haram.”

Justeru, pendakwah itu sekali lagi mengingatkan semua umat Islam agar melazimi sikap bersangka baik supaya terpelihara daripada dosa.

“Sesungguhnya sangka baik itu adalah sebaik-baik ibadah,” katanya.

Rasulullah SAW besabda: “Sangkaan yang baik itu ialah setengah dari seelok-elok ibadah.” (Riwayat Abu Daud & Ibnu Hibban)

Begitupun, Azhar Idrus mengingatkan agar jangan pula terlalu bersangka baik walaupun sudah terang, jelas dan nyata bahawa orang tersebut melakukan maksiat atau kezaliman.

“Perbuatan itu, jangan pula disangka sebagai baik pula,” nasihatnya.

Sumber: uaioriginal

Foto: Freepik & Unsplash

christin-hume-mfB1B1s4sMc-unsplash
Berita Semasa,

Suka muat naik status tidak puas hati dan menyakiti orang lain, individu ini sebenarnya ‘berpenyakit’… 

MANUSIA zaman sekarang lebih berfikiran terbuka. Walaupun mungkin ada yang bersifat sebaliknya, namun kita tetap perlu meraikan perbezaan dalam setiap kalangan masyarakat.

Begitupun, sifat terbuka itu perlulah kena pada tempatnya. Bukan semua isi hati terutama yang terlalu bersifat peribadi perlu diluahkan secara terbuka.

Apatah lagi jika ia dikongsikan di laman sosial masing-masing. Natijahnya, hampir satu dunia tahu apa yang tersirat dalam sanubari kita.

Masakan tidak, jika rasa marah atau tidak berpuas hati dengan apa sahaja perkara, semuanya mahu diluahkan di media sosial berkenaan.

Status menyakiti orang lain

BERHATI-HATILAH apabila memuat naik status atau hantaran di media sosial masing-masing terutama ketika sedang tertekan atau marah.

“Ish, dia ni sikit-sikit up status marah, lepas tu tak puas hatilah, nak mengamuk dan macam-macam lagi. Benda boleh settle di luar, tak perlulah update di laman sosial. Rasa macam tak seronok bila status macam ni lalu dekat wall Facebook.”

Baca juga 5 cara nak didik hati untuk tenang

Barangkali itulah yang dirasakan orang lain yang membaca status media sosial individu berkenaan.

Apa pandangan Islam tentang sikap segelintir orang yang gemar memuat naik hantaran atau status yang menyakiti orang lain?

Pendakwah Ahmad Dusuki Abd Rani menjelaskan, sebenarnya, golongan yang suka meluahkan perasaan atau apa sahaja yang dimuat naik di media sosial yang menggambarkan rasa hatinya itu menunjukkan bahawa mereka sedang ‘berpenyakit’.

AHMAD DUSUKI

“Apatah lagi jika kita menunjukkan diri kita dalam keadaan yang tidak berpuas hati terhadap sesuatu. Ia tidak kiralah sama ada di laman sosial Facebook, Instagram atau TikTok,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video TikTok yang dikongsikan di Instagram miliknya baru-baru ini.

Ketahuilah, sebagai seorang Mukmin, kita diajar supaya meluahkan segala apa yang berlaku kepada ALLAH SWT, tegas Ahmad Dusuki.

Ujar beliau, hanya ALLAH SWT sahaja yang menjadi tempat kita mengadu meskipun dalam urusan kehidupan kita.

 

Status menyakiti orang lain

BERDOALAH dan mengadu kepada ALLAH SWT tidak kiralah berkaitan urusan duniawi mahupun ukhrawi.

“Dalam tadahan doa kita, mintalah kepada ALLAH; ‘Ya ALLAH bantulah saya, Ya ALLAH’.

“Jika ada orang yang sakitkan hati kita, kita baca doa supaya ALLAH sembuhkan kita,” ujarnya.

Sesungguhnya, hanya kepada ALLAH SWT sahajalah tempat kita mengadu dan bergantung harap kepada-NYA.

Andai dirundung masalah atau kesedihan, jangan malu untuk meluahkan apa yang terbuku dalam hati.

ALLAH SWT sebaik-baik pendengar. Berdoalah semoga dibukakan jalan untuk kita menyelesaikan apa sahaja yang membelenggu diri dalam urusan duniawi mahupun ukhrawi.

Sumber: Instagram @ustazahmaddusuki

Foto: Freepik & Unsplash

zac-durant-76HhAKI5JXI-unsplash
Panduan,

Lakukan apa sahaja kebaikan kerana ALLAH SWT. Rugi jika beramal, tetapi tak dapat pahala…

MELAKUKAN kebaikan tidaklah sesukar mana. Walaupun kita hanya menguntumkan senyuman sahaja kepada orang lain sudah dikira sebagai sedekah.

Apatah lagi perbuatan-perbuatan lain seperti membantu orang, berinfak, berbuat baik kepada ibu bapa dan seumpamanya.

Menjadi lumrah sifat seorang manusia itu memang sukakan kebaikan. Sejahat mana pun seseorang itu, pasti terselit fitrah itu dalam diri setiap insan.

Namun begitu, melakukan kebaikan sahaja tidak cukup jika ia tidak memenuhi prasyarat ditetapkan. Ia sepertimana pekerjaan lain yang ada piawaian, begitu jugalah dengan amal kebajikan.

Ketahuilah, berbuat kebaikan akan menjadi ibadah jika ia dilakukan kerana ALLAH SWT, jelas pendakwah Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid.

HABIB ALI ZAENAL ABIDIN

Ujar agamawan itu, perkara itu ada dinyatakan secara jelas dalam al-Quran bahawa umat Islam diperintahkan untuk menyembah ALLAH SWT iaitu beribadah kepada-NYA dengan penuh keikhlasan, selain beramal soleh dan tidak menyekutukan-NYA.

“Jadi, kita berbuat kebaikan itu bukan kerana pilihan sendiri atau kerana (sifat) kemanusiaan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di Instagram miliknya baru-baru ini.

Menyambung hujahnya, Habib Ali Zaenal Abidin menjelaskan, dalam kitab suci itu juga, ALLAH SWT turut mengisahkan perihal korban yang dilakukan oleh anak Nabi Adam AS iaitu Habil dan Qabil.

“Ketika mereka mempersembahkan korban masing-masing untuk melakukan ketaatan dan kebaikan yang tujuannya untuk dipersembahkan kepada ALLAH SWT, hanya satu korban sahaja yang diterima iaitu korban Habil.

“Sementelah, korban lagi satu tidak diterima kerana perbuatannya itu bukan kerana ALLAH SWT.

“Bagaimana ALLAH SWT akan terima ibadah kalau dilakukan bukan kerana ALLAH SWT? Bukankah kerana DIA, kita lakukan? Bagaimana hendak mendapat ganjaran?,” soalnya.

Lakukan kebaikan

IKHLASLAH dalam setiap amal ibadah yang dilakukan semata-mata mengharapkan keredaan ALLAH SWT.

Demikian juga hal yang berlaku kepada masyarakat di dunia pada hari ini. Pendakwah itu berkata, ramai orang yang taat, berbuat kebaikan seperti bersedekah dan membantu orang yang memerlukan.

Ia termasuklah golongan bukan Islam yang secara sukarela berbuat kebaikan, ungkapnya.

“Namun, semua itu dilakukan kerana pilihannya sendiri.

“Ia berbeza dengan orang beriman yang mana golongan itu tidak boleh berbuat ketaatan kerana pilihannya sendiri iaitu disebabkan kemanusiaan. Semestinya ia dilakukan kerana ibadah terlebih dahulu dan taat kepada ALLAH SWT, barulah perbuatan itu akan jadi baik serta menjadi ibadah,” katanya.

Pendek kata, Habib Ali Zaenal Abidin menjelaskan, ibadah merupakan perbuatan baik yang dilakukan kerana ALLAH SWT. Sifat ikhlas semata-mata kerana-NYA itulah yang akan mengubah status perbuatan kita menjadi ibadah.

Baca juga Jangan jadi hamba kepada diri dan nafsu, lakukanlah semua perkara ikhlas kerana ALLAH

Lakukan kebaikan

LAZIMKANLAH diri untuk mengingati ALLAH SWT dengan cara berzikir.“Namun, andai seseorang bersedekah atau menunaikan zakat kerana terpaksa umpamanya, risau orang berkata kita kedekut dan orang tuduh macam-macam, itu sudah jadi cerita lain.

“Tidak kisahlah mahu bersedekah sebab terpaksa atau dengan pilihan sendiri, kita kena ingat bahawa selagi tidak dilakukan kerana ALLAH SWT, amal kita itu tidak akan diterima selama-lamanya oleh ALLAH SWT,” tegasnya.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, agamawan itu sempat menitipkan pesanan buat renungan bersama.

“Setiap ibadah pasti baik. Namun, yang baik itu belum tentu ibadah,” ungkapnya.

Lakukan kebaikan

KERJA juga merupakan satu ibadah. Lakukanlah sebarang urusan pekerjaan juga semata-mata kerana ALLAH SWT.

Justeru, apa sahaja perbuatan yang dilakukan, jangan sekali-kali lupa untuk pasangkan niat dan lakukan semuanya ikhlas kerana ALLAH SWT.

Sumber: Instagram @habibalizaenalalhamid & @cocombee

Foto: Freepik & Unsplash

Contoh baik kepada anak-anak
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Didik anak-anak melalui teladan, ibu bapa kena tunjuk contoh yang baik kepada anak-anak…

KADANGKALA dalam bab mendidik anak-anak, kita sebagai ibu bapa selalu bertegas dengan mereka, selain menetapkan peraturan yang perlu dipatuhi.

Seandainya ia tidak dipenuhi, hukuman denda menanti. Paling tidak pun, anak tersebut pasti dimarahi oleh kedua ibu bapanya gara-gara tidak mengikut ‘undang-undang’ yang ditetapkan.

Antara contoh paling mudah, kita menyuruh anak-anak berada di dalam rumah pada jam 7 malam dan bersiap-siap untuk menunaikan solat Maghrib.

Namun begitu, kita sendiri pula masih leka dengan gajet masing-masing walaupun jam ketika itu menunjukkan pukul 7.20 malam. Hal itu membuatkan anak-anak kadangkala diasak dengan pelbagai perasaan gara-gara peraturan ibu bapa sendiri.

Tambah menyakitkan hati apabila ibu bapa sendiri tidak mengikut apa yang diajarkannya kepada anak masing-masing. Siapa pula yang mahu mendenda ibu bapa?

Demikianlah yang dipanggil sebagai cakap tak serupa bikin. Perasan atau tidak, perkara itu seringkali berlaku dalam kehidupan seharian walaupun dengan anak-anak yang masih kecil.

(Artikel berkaitan: Cakap tak serupa bikin, ALLAH benci orang yang tak beramal dengan apa yang dia cakapkan)

Pendakwah Ustaz Elyas Ismail mengingatkan agar ibu bapa mengambil berat tentang perkara itu sekalipun ia kelihatan remeh.

USTAZ ELYAS

“Kadang-kadang anak pun jadi keliru. Si ayah cakap lain, tetapi buat lain. Kalau dia buat tidak mengapa pula.

“Namun, kalau anak pula yang buat, asyik kena denda memanjang dan tak boleh bawa bincang,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di Instagram miliknya baru-baru ini.

Beliau turut menasihatkan agar ibu bapa sebaiknya ikutilah juga peraturan yang telah mereka perkenalkan kepada anak masing-masing.

Ia penting kerana melibatkan didikan melalui teladan yang dipamerkan dan diterjemahkan oleh ibu bapa dalam kehidupan seharian.

 

Contoh kepada anak-anak

BERILAH contoh yang baik kepada anak-anak agar mereka boleh meniru sikap ibu bapa.

“Kepada ibu bapa, tolonglah cakap serupa bikin. Jika tidak berani bikin, usahlah cakap. Sebaiknya didiklah anak melalui teladan.

“Sebab itulah kita mesti mendidik anak-anak dengan cakap serupa bikin,” nasihatnya.

Ketahuilah bahawa ALLAH bagitu membenci perbuatan yang tidak seiring dengan apa yang dituturkan.

Ia sebagaimana yang disebutkan menerusi firman-NYA dalam kalam ALLAH: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi ALLAH – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah al-Saf, ayat 2-3)

Contoh kepada anak-anak

ANAK-ANAK kerap dimarahi apabila mereka tidak mengikut apa yang diaturkan oleh ibu bapa. Hakikatnya, ibu bapa sendiri juga tidak mematuhi apa yang diajarkan kepada anaknya. Jauhkanlah sifat sebegini dalam mendidik anak masing-masing.

Justeru, elakkanlah diri daripada melakukan perkara yang tidak seiring dengan apa yang dilontarkan oleh bibir kita.

Didiklah anak-anak melalui teladan. Pendek kata, kita sebagai ibu bapa, praktiskanlah apa yang diperkatakan agar anak-anak boleh meniru sikap kita.

Sumber: Instagram @ustazelyasismail

Foto: Freepik

pexels-pixabay-161709
Isu,

Kenapa uri bayi perlu ditanam dan tak boleh dibuang sesuka hati? Baca penjelasan ini

MENERIMA orang baharu dalam keluarga memang amat mengujakan. Masakan tidak, kehadiran si kecil itu akan menambahkan penyeri dan mengikat kasih antara suami dan isteri.

Sebaik sahaja bayi dilahirkan, lazimnya uri si comel berkenaan akan dibasuh sebelum pihak hospital menyerahkan kepada si bapa untuk ditanam.

Demikianlah yang seringkali masyarakat kita lakukan apabila menerima cahaya mata.

Baca juga 5 Bayi Yang Boleh Bercakap Menurut Al-Quran dan Hadis

Persoalannya, kenapa kita perlu menanam uri bayi berkenaan? Tidak bolehkah ia dibuang begitu sahaja seperti tempat pembuangan sampah?

Ujar Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia yang juga pendakwah selebriti, Dr Mohamad Fitri Mohamad Haris, sebenarnya kita tidak digalakkan untuk membuang uri bayi begitu sahaja.

DR MOHAMAD FITRI

Ia kerana, uri berkenaan merupakan sebahagian daripada diri kita, jelasnya.

“Andai ia diperlakukan sebegitu, dikhuatiri uri berkenaan akan menjadi makanan haiwan-haiwan liar seperti anjing dan selainnya.

“Tambahan pula, makruh hukumnya jika uri itu dibuang,” jelasnya.

Beliau menambah, tindakan yang paling baik dilakukan adalah dengan menanam uri bayi berkenaan menggunakan cara yang betul kerana kita disunatkan berbuat demikian.

Seperkara lagi, katanya, tujuan ia ditanam bagi mengelakkan timbulnya perkara tidak elok pada kemudian hari.

Uri bayi“Ini kerana ada sebilangan orang yang menyalahgunakan uri untuk tujuan sihir dan sebagainya.

“Pada masa sama, jangan pula kita menanam uri berkenaan dengan meletakkan garam, buku, rebus terlebih dahulu dan sebagainya supaya bayi tersebut pandai. Ketahuilah, itu hanyalah kepercayaan yang boleh mendatangkan khurafat,” ujar beliau.

Ada sebab rupa-rupanya kenapa kita tidak dibenarkan sewenang-wenangnya buang uri begitu sahaja. Justeru, ikutilah apa yang disarankan oleh agama Islam demi kebaikan kita bersama.

Foto: Freepik & Unsplash

pexels-pixabay-414628
Hukum,

[VIDEO] Status wuduk selepas minum air kopi. Ramai yang masih keliru tentang hal ini…

APABILA seseorang itu sudah berwuduk, pastinya mereka akan terus cepat-cepat mendirikan solat ataupun memegang mushaf al-Quran untuk membacanya.

Jarang sekali kebanyakan kita akan melakukan kerja-kerja lain dulu sebelum menyempurnakan ibadah berkenaan.

Begitupun, ada segelintir orang yang lebih gemar dirinya dalam keadaan berwuduk hampir setiap masa. Malah, golongan sebegini akan sentiasa memelihara wuduknya.

Jika terbatal air sembahyang tadi, cepat-cepat sahaja individu seperti itu memperbaharui wuduk mereka. Masakan tidak, ada banyak kelebihan berwuduk antaranya dijauhkan daripada terkena panahan ‘ain yang jahat.

Baca juga Ini Perkara Makruh Ketika Wuduk Yang Sering Dilakukan Tanpa Sedar

Sebilangan orang pula ada yang berwuduk, kemudian minum air berperisa seperti kopi sebelum menunaikan solat.

Dalam situasi minum air kopi itu, bagaimanakah status wuduk individu berkenaan? Bolehkah kita meneruskan solat fardu semula selepas minum air kopi tadi?

Menjawab persoalan itu, Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia yang juga pendakwah selebriti, Dr Mohamad Fitri Mohamad Haris menjelaskan, secara asasnya, makan dan minum tidak termasuk dalam perkara yang boleh membatalkan wuduk.

DR MOHAMAD FITRI

Ujar beliau, wuduk akan terbatal dalam beberapa keadaan iaitu bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan bukan mahram; apa sahaja yang keluar daripada qubul dan dubur iaitu membuang air kecil dan besar; hilang akal sebab gila dan menyentuh kemaluan sendiri.

“Melihat kepada perkara-perkara yang membatalkan wuduk itu, ini bermakna, wuduk seseorang itu tetap sah walaupun ada minum air kopi sebelum itu,” katanya.

Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa perbuatan makan dan minum tersebut termasuk antara perkara-perkara yang boleh membatalkan solat.

Minum air kopi selepas wuduk

KEPADA yang minum air kopi dan sebagainya selepas berwuduk, berkumur-kumurlah dengan bersih sebanyak tiga kali sebelum menunaikan solat.

“Andai kata, kita minum air kopi atau teh, dikhuatiri sisa minuman berkenaan masih lagi terasa ketika solat yang boleh membatalkan sembahyang berkenaan.

“Sebaiknya, bagi mereka yang minum air kopi dan sebagainya selepas berwuduk, berkumur-kumurlah dengan bersih sebanyak tiga kali sebelum menghadap ALLAH SWT,” nasihatnya.

Semoga jawapan itu dapat meleraikan kekeliruan kita selama ini.

Foto: Freepik & Pexels