Browsing Tag

jemaah haji

Berita Semasa,

Bertuahnya… Bekas pesakit Covid-19 antara 1,000 jemaah haji terpilih tahun ini

TIDAK seperti kelaziman, jumlah jemaah haji dihadkan kepada 1,000 orang sahaja pada musim ini berbanding 2.5 juta jemaah pada tahun-tahun sebelum ini.

Daripada jumlah itu, hanya 70 peratus adalah penduduk ekspatriat, manakala baki 30 peratus lagi pula terdiri daripada penduduk Arab Saudi sendiri.

Ia bagi membendung penularan pandemik Covid-19 yang masih belum ditemui penawarnya.

Antara 1,000 jemaah terpilih itu, bekas pesakit Covid-19, Abdullah Al-Kathiri merupakan insan yang cukup bertuah. Beliau terpilih untuk menyempurnakan Rukun Islam ke-5 pada musim haji kali ini.

Lelaki itu memanjatkan rasa syukur kepada-NYA kerana dikurniakan dua berkat besar dalam hidupnya tahun ini iaitu pulih sepenuhnya daripada penyakit pandemik yang boleh membawa maut dan berpeluang untuk menjadi tetamu ALLAH.

“Saya benar-benar rasa diberkati kerana saya dapat dipilih dari jutaan umat Islam, perasaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata, selain pulih daripada Covid-19,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal Saudi Gazette.

Keinginannya untuk menunaikan haji pada tahun lalu terbantut kerana melangsungkan pernikahan ketika hampir waktu haji. Beliau kemudian menangguhkan hasratnya pada tahun ini.

Abdullah Al-Kathiri yang berasal dari Emiriah Arab Bersatu itu menyangka, rancangannya untuk menunaikan haji sekali lagi akan tertangguh gara-gara ‘serangan’ Covid-19. Namun, sangkaannya meleset sama sekali.

Perancangan ALLAH adalah yang sebaik-baiknya.

Dapat jua beliau menjadi tetamu ALLAH walaupun di tengah-tengah wabak pandemik berkenaan.

“Setelah mengikuti prosedur dan kriteria yang diminta oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, saya lulus,” katanya.

Tambah Abdullah Al-Kathiri lagi, proses pendaftaran haji begitu mudah. Hanya mengikut garis panduan ditetapkan.

“Saya hanya perlu mendaftar, isi nombor pengenalan diri, memaklumkan tahap kesihatan dan mengesahkan bahawa ini kali pertama menunaikan haji kerana kuota yang terhad.

“Sejujurnya, saya tidaklah meletakkan harapan yang tinggi. Namun, tak sangka saya antara jutaan umat Islam yang diberkati menerima kelulusan (untuk mengerjakan ibadah haji). Tentu saja sukar untuk saya ungkapkan perasaan saya ketika ini kerana ia adalah haji pertama saya,” jelas beliau.

Beliau turut memuji kerajaan Arab Saudi yang memberikan layanan baik kepada para jemaah haji.

“Bayangkan dalam keadaan jemaah yang ramai mereka boleh memberikan khidmat yang baik, apatah lagi bila keadaan sekarang yang mana bilangan jemaahnya terhad,” katanya.

Pada hari Sabtu lalu, rombongan pertama jemaah tiba di Makkah dengan prosedur operasi standard yang ketat. Ia bagi memastikan keselamatan mereka sepanjang melakukan ibadah di Tanah Suci.

(Artikel berkaitan: Tiga kali ‘call’ Kementerian Haji sebab tak percaya, rakyat Malaysia cerita detik permohonan hajinya diluluskan)

Sementara itu, seorang jemaah haji rakyat Malaysia yang bermastautin di Madinah, Muhammad Uwais Mohd Rosli berkata, mereka diberikan gelang tangan khas yang canggih.

“Gelang ini boleh mengesan lokasi setiap jemaah sebelum pergi haji lagi untuk pastikan para jemaah ikut SOP kuarantin di rumah sebelum dan selepas haji,” katanya dipetik menerusi hantaran di Facebook Madinah Di Hati baru-baru ini.

Semua jemaah haji berkenaan kini dalam proses kuarantin sebelum melakukan haji pada 8 Zulhijah iaitu esok.

Sumber: Saudi Gazette, Republika.co.id & Facebook Madinah Di Hati

Foto: Saudi Gazette & internet

Berita, Berita Semasa,

Pasrah ibadah haji ditangguh, dua bakal jemaah ini luah rasa sedih tak dapat ke Tanah Suci tahun ni

PETANG semalam, kerajaan mengumumkan penangguhan untuk menghantar jemaah untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Begitu perit rasanya menerima perkhabaran ini terutamanya kepada bakal jemaah haji.

Apa tidaknya, kebanyakan jemaah ini sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menjadi tetamu ALLAH SWT bagi menyempurnakan Rukun Islam ke-5.

Namun, apakan daya, keadaan tak mengizinkan untuk mereka ke sana. Semuanya demi kebaikan bersama demi mengekang penularan wabak Covid-19.

Percayalah pasti ada hikmah di sebaliknya. Sebagai hamba ALLAH, kita teruskan berdoa supaya pandemik ini segara diangkat dari muka bumi ini.

Susulan perkhabaran sedih itu, SinarPlus berkesempatan menemubual dua orang bakal jemaah haji yang mendapat tawaran untuk menunaikan Rukun Islam ke-5 daripada Tabung Haji pada tahun ini.

Jom kita ikuti reaksi mereka apabila berita penangguhan ibadah haji diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri semalam.

Kali ketiga terima ‘panggilan’

Salah seorang bakal jemaah haji yang terkesan ialah Shashilawati Wazir. Akuinya, perasaan sedih dan terkilan memang tak dapat nak dibendung.

SHASHILAWATI (dua, kiri) reda tidak dapat menunaikan Rukun Islam ke-5 tahun ini selepas kerajaan mengumumkan penangguhan untuk menghantar jemaah haji ekoran wabak Covid-19.

Apatah lagi, Shashilawati sebenarnya mendapat panggilan menjadi tetamu ALLAH ini buat kali ketiga pada tahun ini.

“Sebelum ini, dua kali saya terpaksa tolak tawaran untuk tunaikan haji iaitu pada 2011 dan 2013 kerana masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak.

“Jika diikutkan, ini adalah kali ketiga saya menerima tawaran ini. Sebetulnya, giliran saya (untuk tunaikan haji) adalah pada tahun depan. Saya buat rayuan awal tahun hari tu. Alhamdulillah rayuan saya diterima,” katanya yang menerima surat tawaran ketika awal tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Ketika surat itu sampai, Shashilawati, 38, berada di kampungnya di Kuang, Selangor. Apabila suami pulang ke rumah mereka di Kuala Langat, Selangor, barulah beliau mengetahui tentang tawaran haji tersebut.

“Tapi bila nak balas surat itu, sudah tamat tempoh. Bila saya called Tabung Haji, mereka cakap segala urusan akan diselesaikan selepas tempoh PKP. Jadi, legalah sikit bila dengar penjelasan mereka,” ujar beliau.

Tambah Shashilawati yang juga seorang guru, meskipun kurang bersedia dari segi persiapan untuk ke Tanah Suci, tapi beliau sebenarnya sudah mencari orang yang boleh menjaga tiga anaknya yang berusia 3, 7 dan 9 tahun.

“Tapi saya percaya semua yang berlaku ini ada hikmahnya. Sejujurnya, saya memang tak berkesempatan untuk ikuti kursus haji di masjid. Kalau ada pun, dalam dua atau tiga slot je. Tak dapat joined penuh.

“Insya-ALLAH jika diizinkan, saya mengikuti kursus haji sepenuhnya sama ada dianjurkan oleh pihak masjid atau swasta sebelum menunaikan ibadah haji tahun depan,” jelas beliau.

Akur dengan ketentuan ALLAH

Apa yang dirasai oleh Shashilawati turut dirasakan oleh pendakwah Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid. Beliau bersama isterinya, Noranizor Abdullah sepatutnya ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

GAMBAR kenangan Ustaz Bakhtiar Fitri (gambar kanan) yang sempat dirakam ketika beliau menunaikan umrah bersama isteri tercinta pada bulan Januari lalu.

Namun, sebaliknya berlaku. ALLAH SWT adalah sebaik-baik perancang. Meskipun dihambat rasa sedih, namun beliau dan isterinya akur dengan ketentuan-NYA.

“Siapa yang tak gembira bila dapat jemputan ALLAH (untuk menunaikan haji). Bila dapat tahu berita duka (penangguhan haji) memang agak sedih untuk diterima.

“Tapi kita kena percaya dengan apa yang ALLAH rancangkan itulah yang terbaik. Ada hikmah di sebalik penangguhan ini,” katanya ketika dihubungi SinarPlus.

Sebetulnya, beliau seakan boleh menebak bahawa tiada haji pada tahun ini. Masakan tidak, kata beliau, melihat video yang tular apabila Masjidil Haram di Makkah yang dibuka baru-baru ini, ramai beratur panjang untuk proses saringan kesihatan sebelum masuk dibenarkan masuk ke dalamnya.

“Jadi, kita pun risau nak pergi ke sana dalam keadaan yang bersesak-sesak. Biarpun sedih, tapi saya percaya inilah (penangguhan haji) pilihan yang tepat. Kita doakan agar Covid-19 akan lenyap supaya kita boleh beribadah dan tunaikan haji pada tahun depan,” katanya yang telah membuat hampir 60 peratus persiapan untuk menunaikan ibadah wajib bagi orang Islam yang berkemampuan itu.

Jemaah haji

KERAJAAN memutuskan untuk menangguhkan penghantaran jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci pada tahun ini ekoran wabak pandemik Covid-19.

Walaupun berpengalaman tiga kali menunaikan umrah sebelum ini, ujar Ustaz Bakhtiar Fitri, apabila namanya ‘naik’ ditawarkan mengerjakan ibadah haji pada bulan Mac lalu, terbit satu perasaan teruja, seronok dan tak sabar-sabar hendak ke Tanah Suci.

Perasaan itu tak sama sepertimana ketika beliau menunaikan umrah dulu. Hinggakan Ustaz Bakhtiar berjumpa ramai orang ‘lama’ dan meminta pendapat mereka meskipun beliau arif tentang perihal agama.

“Ada seorang pak cik berpesan kepada saya supaya banyak tolong orang bila pergi haji nanti. Bila kita buat begitu, katanya, urusan haji kita dipermudahkan.

“Saya memang berniat untuk lakukan apa yang dipesan oleh pak cik tadi. Insya-ALLAH andai berpeluang, saya akan buat pada ibadah haji tahun depan,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.

Memang berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Sedih memang tak terucap. Ya, bertahun-tahun bahkan mungkin puluhan tahun kita menunggu giliran untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci yang amat didambakan semua umat Islam.

Namun, bila sampai masanya, rezeki tak berpihak pada kita. Semuanya sudah tertulis begitu. Marilah kita mengadu kepada ALLAH, mohonlah kepada-NYA agar wabak Covid-19 ini segera lenyap.

Semoga doa kita yang tulus ikhlas ini ada diterima oleh-NYA. Moga dapat kita tunaikan ibadah haji tahun depan.