Browsing Tag

islam

balas dendam Islam
Isu,

Islam benarkan ‘balas dendam’, tetapi ada syaratnya

Islam benarkan ‘balas dendam’, tetapi ada syaratnya

MEMBALAS dendam merupakan satu tindakan terhadap seseorang sebagai tindak balas kerana tidak berpuas hati terhadap perkara yang dilakukan oleh mangsa.

Kata pendakwah bebas, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan, perbuatan membalas dendam sebenarnya dibolehkan dalam Islam menerusi hukum Qisas (iaitu balas balik apa yang dilakukan).

Baca juga Selesaikan segala sengketa dan dendam dunia di Qantharah, sebelum masuk ke syurga

balas dendam Islam

SEGALA perkara yang dilakukan dalam kehidupan seharian kita perlu berlandaskan syarak. Foto: 123RF

Hal itu difirmankan oleh ALLAH SWT di dalam al-Quran menerusi Surah al-Baqarah ayat 194: “Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertakwalah kamu kepada ALLAH serta ketahuilah, sesungguhnya ALLAH berserta orang-orang yang bertakwa.

Turut disyorkan Pencuri solat, awas.. jangan jadi begitu

USTAZ Hadi Zahalan

“Cuma dalam melakukan tindakan membalas balik itu, ia mestilah mengikut saluran yang dibenarkan. Disebabkan itu, ayat tersebut meminta kita bertakwa kepada ALLAH agar setiap perbuatan yang dilakukan selari dengan ketentuan-NYA,” jelas Dr Nur Mohammad Hadi sebagaimana dipetik daripada sebuah media tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Dalam pada itu, agamawan tersebut turut berkongsikan satu kisah tentang Rasulullah SAW bersumpah untuk membalas dendam atas kematian bapa saudaranya Hamzah yang syahid di dalam Peperangan Uhud setelah jasadnya dicincang dan dikeluarkan hati.

Maka Rasulullah bersabda: Sesungguhnya jika ALLAH memberikan kemenangan kepadaku atas mereka, sesungguhnya aku akan balas mencincang tiga puluh orang lelaki dari kalangan mereka (sebagai pembalasan atas kematian Hamzah).

Ketika para sahabat mendengar hal tersebut, mereka berkata: Demi ALLAH, seandainya ALLAH memenangkan kita atas mereka, sungguh kita akan mencincang mereka dengan cincangan yang belum pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan orang-orang Arab. Maka waktu itu turunlah Surah an-Nahl ayat 126 sehingga habis Surah an-Nahl.

Firman ALLAH, “Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.” (Surah an-Nahl, ayat 126)

Jelas para ulama, menerusi ayat yang diturunkan ALLAH memerintahkan untuk berbuat adil dalam qisas (pembalasan) dan seimbang dalam menunaikan hak. Namun, dalam masa sama, ALLAH turut meminta Baginda Rasulullah untuk bersabar dengan segala perbuatan yang mereka kerjakan.

balas dendam Islam

RASULULLAH SAW sendiri pernah menyatakan hasrat untuk membalas dendam terhadap kematian bapa saudaranya, Hamzah. Foto: 123RF

Balas dendam perlu guna saluran betul

Sekali lagi pendakwah itu menegaskan bahawa membalas dendam hanya dibenarkan dalam bentuk yang diterima syarak disebut sebagai hukuman qisas.

Nasihatnya, semua tindakan tersebut pula bukanlah kita yang membalasnya sendiri tetapi dengan mengikut saluran yang betul dengan melalui sistem penghakiman agar keadilan itu dapat ditegakkan.

Adapun untuk membalas dendam dalam bentuk kemungkaran sama seperti yang mereka lakukan adalah haram disisi syarak seperti: menghina dibalas dengan hinaan, mengumpat dibalas dengan mengumpat, mencuri dibalas dengan mencuri. Maka kesemua itu diharamkan dalam syarak.

Baca juga Hidup Kena Banyak Sabar, ALLAH SWT Akan Balas Dengan ‘Ladang’ Pahala Tanpa Batas

BERSABARLAH menghadapi segala ujian hidup kerana ALLAH menjanjikan ganjaran buat orang-orang penyabar.

Baca juga Konsisten buat 4 amalan ‘simple’ ini, insya-ALLAH dijamin syurga

Sabar adalah sebaik-baik sifat
Sebaliknya, titip Dr Nur Mohammad Hadi, jadilah seperti Nabi SAW yang berjiwa besar dengan tidak membalas dendam kepada mereka yang menzalimi baginda.

Ketahuilah, seseorang yang memaafkan orang lain itu sebenarnya tidak akan sesekali rugi. Bahkan pendakwah itu menjelaskan, sifat pemaaf itu akan menyebabkan seseorang itu layak untuk masuk ke dalam salah satu pintu syurga ALLAH iaitu pintu memaafkan orang lain

Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang menahan marah padahal dia mampu untuk melepaskannya, nescaya ALLAH akan memanggilnya di tengah kerumunan manusia sehingga dia bebas memilih bidadari yang dia sukai.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Sumber: mstar

Foto: 123RF

 

Hati
Gaya Hidup,

Nabi hijrah pada bulan Safar, tapi kenapa Muharram menjadi pemula Tahun Baru Islam?

PADA tahun ini umat Islam akan menyambut Tahun Baru Hijrah pada 1 Muharram 1445 Hijrah bersamaan 19 Julai 2023 Masihi.

Menyelak lembar sejarah Islam, kita akan temui satu anekdot menarik, iaitu penghijrahan Rasulullah berlaku sekitar malam 27 Safar pada tahun ke 14 selepas dilantik menjadi Nabi, bersamaan 12 atau 13 September 622M.

Persoalannya, kenapa kita meraikan Tahun Baru Hijrah pada bulan Muharram sedangkan Baginda berhijrah pada bulan Safar? Anda akan dapat jawapannya menerusi soal jawab berikut.

1. Siapakah yang mula menggunakan Kalendar Hijrah secara rasmi?

Orang pertama yang memerintahkan agar Kalendar Hijrah digunakan secara rasmi ialah Khalifah al-Rashidin Kedua, yakni Saidina ‘Umar al-Khattab.

 

Anda mungkin meminati tajuk-tajuk ini:

2. Kenapa Kalendar Hijrah ini digunakan sedangkan sebelum itu ia tidak digunakan secara rasmi pada zaman Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar?

Pada zaman Saidina ‘Umar ketika Islam tersebar kian meluas, terdapat sekurang-kurangnya tiga riwayat tentang faktor kenapa ia digunakan:

Gabenor di Basrah Iraq iaitu Saidina Abu Musa al-Ash’ari pernah mengutuskan surat kepada Khalifah al-Rashidin Kedua, Saidina ‘Umar al-Khattab yang tertulis: “Kami telah menerima surat daripada anda (Saidina ‘Umar al-Khattab) yang tiada padanya tarikh surat.” Jadi, sukar untuk melaksanakan arahan khalifah jika tiada tarikh spesifik.

Pendapat lain menyatakan bahawa Saidina ‘Umar telah diberi suatu dokumen kewangan (sokkun) yang tertulis bulan Sha’ban namun tidak diketahui sama ada ia Sha’ban tahun sebelumnya atau tahun semasa atau tahun berikutnya. Maka, Kalender Hijrah perlu dibuat secara rasmi untuk memudahkan masyarakat mengetahuinya.

Pendapat lain menyatakan bahawa seseorang lelaki Yaman memberitahu Saidina ‘Umar tentang amalan orang Yaman dalam penggunaan kalendar khusus. Maka, beliau beranggapan amalan ini adalah baik dan Kalendar Hijrah rasmi perlu dibuat.

Maka, Saidina Umar mengumpulkan para sahabat untuk berbincang tentang bulan dan tahun bermulanya Kalender Hijrah.

Hijrah Rasulullah SAW menuju destinasi baru, Kota Yathrib (Madinah) melalui pelbagai cabaran termasuk dikejar dan diancam pihak musuh musyrikin Makkah.

 

Saidina ‘Umar memilih pandangan ia bermula dengan tahun penghijrahan Nabi kerana hijrah tersebut melambangkan pemisahan antara hak dan batil

3. Apakah cadangan para sahabat ketika memilih tahun bermulanya Kalendar Hijrah?

Ada banyak cadangan, antaranya ada cadangan tahun hijrah bermula dengan tahun pengutusan baginda SAW sebagai Nabi yakni pada tahun Nabi SAW terima wahyu di Gua Hira’ iaitu bersamaan tahun 610 Masihi.

Ada yang cadangkan bermula dengan tahun penghijrahan Rasulullah dari Makkah menuju ke Madinah. Akhirnya Saidina ‘Umar memilih pandangan ia bermula dengan tahun penghijrahan Nabi kerana hijrah tersebut melambangkan pemisahan antara hak dan batil. Ia bersamaan dengan tahun ke-14 setelah Nabi SAW dilantik menjadi Nabi dan Rasul.

4. Adakah bulan apa yang menjadi permulaan Kalender Hijrah turut dibincangkan?

Ya, ini pun ada banyak cadangan, antaranya cadangan ia bermula pada bulan Ramadan atau bermula dengan bulan Nabi SAW berhijrah yakni bulan Safar/Rabiul Awwal atau bulan Muharram. Akhirnya Saidina ‘Umar al-Khattab pilih bulan Muharram sebagai bulan pertama dalam Kalendar Hijrah.

5. Kenapa Saidina ‘Umar pilih bulan Muharram sedangkan Nabi SAW mula berhijrah pada bulan Safar?

Benar, menurut Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri, Nabi SAW mula berhijrah pada sekitar malam 27 Safar pada tahun ke 14 selepas dilantik menjadi Nabi, bersamaan 12 atau 13 September 622M.

Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar berada di gua Jabal Thur terlebih dahulu kemudian pada bulan Rabiul Awwal barulah mereka tiba di Madinah. Namun, Saidina ‘Umar lebih memilih bulan Muharram berbanding bulan Safar atau Rabiul Awwal sebagai permulaan bulan bagi kiraan Kalendar Hijrah kerana jemaah haji pulang pada bulan Muharram dan pandangan ini telah disepakati para sahabat.

Difahami dari pandangan ini bahawa kepulangan dari mengerjakan rukun Islam terakhir itu menjadi permulaan kepada hijrah baru.

Menurut pandangan lain, bulan Muharram dipilih kerana ia berdasarkan peristiwa Bai’ah ‘Aqabah (Perjanjian Aqabah) yang berlaku pada bulan Zulhijjah.

Bai’ah tersebut merupakan perjanjian berat yang perlu dilaksanakan dengan penuh keazaman. Bulan Muharram pula adalah bulan setelah bulan Zulhijjah yang menjadi simbolik kepada permulaan suatu keazaman penghijrahan itu dilaksanakan.

Maka, disebabkan inilah bulan Muharram menjadi pilihan Saidina ‘Umar al-Khattab. Dapat difahami bahawa Kalender Hijrah diawalkan permulaan kiraannya sekitar satu atau dua bulan kerana asalnya adalah bulan Safar atau Rabi’ul Awwal kemudian diawalkan sambutannya pada bulan Muharram.

Tokoh Muslimah

Bersedia untuk memulakan hari baru pada Tahun Baru Hijrah dengan azam untuk sentiasa bermuhasabah, bermujahadah dan terus mengejar impian demi kebahagian dunia hingga akhirat.

Ibrah dari sejarah penetapan Kalendar Hijrah.

6. Bilakah pula Saidina ‘Umar menggunakan Kalender Hijrah secara rasmi?

Kalendar Hijrah mula digunakan secara rasmi sekitar pada tahun ke-17 Hijrah yakni sekitar empat tahun setelah Saidina ‘Umar dilantik sebagai Khalifah al-Rashidin Kedua. Ini bermakna, dalam sejarah Islam, Kalendar Hijrah telah digunakan secara rasmi sejak sekitar 1425 tahun yang lalu.

7. Apakah rujukan kitab kepada jawapan bagi semua soalan di atas ini?

Antara kitab yang dirujuk dan boleh dirujuk untuk tahu sejarah hijrah Nabi SAW dan sejarah penggunaan Kalendar Hijrah ialah al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitab Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn al-Kathir dalam kitab al-Bidayah wan-Nihayah, Imam al-Munawi dalam kitab Faid al-Qadir dan Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri dalam kitab al-Rahiq al-Makhtum.

8. Apakah pengajaran di sebalik Tahun Baru Hijrah ini?

Antara ibrah (pengajaran) yang boleh dikutip daripada sejarah penetapan Kalendar Hijrah ini ialah, pada bulan Zulhijjah sepatutnya kita sudah bersedia untuk bermuhasabah, menyatakan tekad, azam dan janji peribadi untuk tahun berikutnya.

Manakala bulan Muharram merupakan permulaan kepada pelaksanaan tekad baru tersebut. Atau setelah seseorang itu mengerjakan haji pada bulan Zulhijjah dan pulang ke tempat-tempat masing-masing pada bulan Muharram, maka bulan itu merupakan permulaan baharu baginya untuk menjadi seseorang Muslim yang lebih baik bagi tahun berikutnya.

mat tudung
Berita Semasa,

Mat Tudung, bukan sekadar cerita tetapi soal hukum Islam

TULAR pada minggu lepas apabila pendakwah bebas, PU Syed menegur filem terbaru Datuk Fizz Fairuz yang berjudul Mat Tudung Begins di mana terdapat watak lelaki yang berpakaian seperti wanita.

Menurut PU Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak, tindakan beberapa pelakon lelaki yang mengenakan pakaian menyerupai wanita seperti yang terpampang pada poster filem berkenaan sememangnya salah di sisi agama.

Rata-rata netizen menyokong apa yang disuarakan oleh PU Syed itu.

“Memang tak boleh walaupun dalam lakonan. Semoga ALLAH pelihara dan lindungi kita semua.

Baca Juga Beli barangan bercorak pelangi, adakah dikira menyokong golongan songsang?

“Setuju, teguran baik mengikut hukum, apatah lagi dimain-mainkan atau dilakukan untuk suka-suka atau gembira, muhasabah diri, Insya-ALLAH, dipermudahkan semua. Aamiin.

“Hukum tetap hukum, kita sebagai Islam wajib taat, tak kiralah kita siapa, ahli politik ,ahli sukan, mahu pun artis sekali pun,” demikian antara komen warga maya di media sosial.

Tidak berdiam diri, Fizz tampil memberikan reaksi balasnya berhubung kenyataan tersebut menerusi satu hantaran di ruangan Instagram Stories.

PU SYED menegur tindakan beberapa pelakon lelaki yang mengenakan pakaian menyerupai wanita seperti yang terpampang pada poster filem berkenaan sememangnya salah di sisi agama.

Jelas Fizz, PU Syed tidak sepatutnya membuat sebarang persepsi negatif berhubung filem ini sebaiknya menonton terlebih dahulu untuk mengetahui jalan cerita yang sebenar.

“Terima kasih Syed, tapi kenyataan itu salah. Saya bukan hari-hari jadi wanita. Itu kan cerita. Jangan haramkan dulu sebelum tahu cerita sebenar.”

Berkaitan isu ini juga, bukan hanya PU Syed yang memberikan teguran, malah seorang pendakwah bebas, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung turut menampilkan beberapa persoalan berdasarkan kenyataan di atas.

Artikel Berkaitan 

Ujarnya, terdapat beberapa persoalan dalam kenyataan Datuk di atas.

1)”Saya bukan hari-hari jadi wanita.” Isu sekarang bukan hari-hari atau sehari. Isu sekarang adalah tindakan lelaki memakai pakaian wanita itu adalah tindakan yang haram.

Ibnu Abbas berkata, “Rasulullah melaknat lelaki yang bertingkah laku menyerupai perempuan dan perempuan yang bertingkah laku menyerupai lelaki.” (Hadis Riwayat Bukhari)

“ALLAH melaknat laki-laki yang menyerupai wanita, begitu pula wanita yang menyerupai laki-laki”

Jika kita ingin menggunakan logik yang sama, adakah kita boleh minum arak dan berkata “Saya bukan hari-hari minum arak.” TENTUNYA TIDAK.

2)”Itu kan cerita.” Walaupun ia hanya cerita dan lakonan, tetapi perkara haram tetap haram. Sebagai contoh, seorang Muslim tidak boleh makan babi walaupun hanya berlakon.

Mungkin akan ada orang yang kata, “habis tu dalam filem pun ada pelakon membunuh orang, itu boleh pula.”

Kita kena faham lakonan membunuh bukan membunuh yang sebenar. Tiada orang meninggal dalam lakonan itu. Tetapi dalam filem ini pelakon lelaki betul-betul memakai pakaian wanita. Tindakan memakai pakaian lain jantina itulah yang dilaknat Rasulullah.

Baca Juga Kafarah bukan balasan Tuhan, tapi satu bentuk rahmat ALLAH

3)”Jangan haramkan dulu sebelum tahu cerita sebenar.” Sekali lagi isu pemakaian lawan jantina tiada kaitan dengan jalan cerita. Tindakan lelaki memakai pakaian wanita bukan sahaja dilaknat Rasulullah. Baginda pernah menghalau lelaki yang berpakaian wanita. (Hadis riwayat Bukhari)

“Naudzubillah min zalik. Semoga ALLAH menjauhi kita daripada perkara yang dilaknat-NYA. Harap filem ini juga disekat seperti filem-filem lain yang mengandungi agenda songsang sebelum ini,” tulisnya menerusi satu hantaran di laman media sosial Facebook.

talam dua muko
Gaya Hidup,

Talam dua muka, hindari sikap dibenci Islam ini

Talam dua muka, hindari sikap dibenci Islam ini..

HIDUP kita dikelilingi dengan pelbagai ragam manusia. Walaupun sudah lama mengenali seseorang itu, namun sejauh mana karakter orang tersebut pasti sukar diterjemahkan.

Jika bertemu dengan seseorang yang baik akhlaknya, pasti senang di hati untuk setia sebagai kawan, akan tetapi jika di depan sahaja manis tutur katanya, di belakang lain pula jadinya, itulah hakikat sebenar perilaku bermuka-muka atau berpura-pura.

Ketahuilah perbuatan ini antara sifat yang paling dibenci dalam Islam sehingga ia mampu meruntuhkan institusi kekeluargaan dan menyebabkan pergaduhan dalam kalangan masyarakat.

Baca Juga Berhati-hati jika anda gilakan pujian, ada sebab kenapa ia dilarang agama

Menurut satu rakaman ceramah Ustaz Kazim Elias, individu sebegini merupakan golongan yang berpura-pura melakukan kebaikan, namun hakikatnya sekadar ingin menunjukkan kelebihan ataupun sekadar mempamerkan diri mereka sebagai orang beriman.

“Maka berhati-hatilah dengan orang seperti ini. Orangnya perangai yang cukup baik dengan pihak lain, namun berkata buruk dengan pihak lain. Mengadakan perkara yang tiada.

“Melaga-lagakan orang atau menjaja cerita tentang orang lain, sedangkan individu itu tidak terlibat dalam perbualan. Orang bermuka-muka ini kata mudahnya munafik,” jelasnya.

Solat tidak jejaskan urusan

JANGAN terlalu leka dengan media sosial sehingga mengabaikan ibadah yang difardukan ke atas Muslim.

Individu yang bermuka-muka ini juga sering muncul di media sosial. Tingkah-laku yang berbeza, namun apabila tiba di media sosial, mereka ini mempamerkan perwatakan yang berlainan.

“Sekarang ini perbuatan fitnah itu terlalu mudah berlaku. Hanya dengan menaip sahaja sudah cukup untuk mengadakan perkara yang tiada. Perangainya cukup lemah lembut di hadapan orang lain, tetapi apabila orang itu tiada, dia mengata.

“Jangan ingat benda yang tidak betul itu dianggap kecil kerana hanya dilakukan di media sosial, tetapi sebenarnya besar di sisi ALLAH. Golongan sebeginilah yang paling dahulu masuk ke neraka,” terangnya.

Artikel Berkaitan 

Selain perubahan sikap apabila berhadapan orang lain, mereka yang berkemampuan namun, enggan mengeluarkan sedikit harta mereka bagi membantu anak yatim dan fakir miskin.

Orang seperti ini turut disebut sebagai talam dua muka iaitu kedekut. Mereka mendirikan solat, tetapi tidak berkongsi rezeki atau memberi infak kepada jalan ALLAH.

“Moga mereka yang memiliki sikap sebegini segera berubah. Bertaubat sebelum terlambat dan ambil peluang yang ada untuk memperbaiki diri,” katanya.

manusia jin

BERHATI-HATILAH dengan orang seperti ini. Orangnya perangai cukup baik dengan pihak lain, namun berkata buruk dengan pihak lain pula. Foto: 123RF

ALLAH berfirman dalam kalam-NYA “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari TUHAN kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), ALLAH mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah al-Imran ayat 133 dan 134)

Baca Juga Tegur kesalahan secara terang-terangan dikira mengaibkan orang lain?

Dalam pada itu Ustaz Kasim turut berkongsikan beberapa tip bagi mengenali mereka yang mempunyai ciri talam dua muka;

1. Ketika berbual atau berkawan, individu itu asyik bercerita tentang keburukan orang lain.

2. Cuba kongsikan satu rahsia dan lihat sama ada heboh atau tidak kepada orang lain. Jika tidak, maka orang ini boleh dipercayai.

3. Apabila semua orang mengatakan hanya dia sahaja yang sering bercerita buruk tentang orang lain, tetapi dia tidak mengaku atau menyatakan maaf. Apa yang dilakukan hanya menafikan sahaja. Maka orang begini perlu dijaga-jaga.

4. Dia sering menceritakan tentang kelebihan yang dimiliki atau kehebatan ahli keluarganya.

pujian dilarang agama
Gaya Hidup,

Berhati-hati jika anda gilakan pujian, ada sebab kenapa ia dilarang agama

Berhati-hati jika anda gilakan pujian, ada sebab kenapa ia dilarang agama

MANUSIA sememangnya tidak lekang daripada pujian dan juga kejian. Ada segelintir orang gemar dan tidak kisah memuji seseorang, manakala wujud sebahagian yang lain sentiasa mendahagakan pujian.

Sebagaimana yang diketahui, kejian yang bersifat hasutan dan bukan untuk membina atau membaiki diri adalah sesuatu yang dilarang. Namun, tahukah anda bahawa sesetengah pujian adalah dilarang dalam Islam?

Pujian bagaimana yang dilarang? Adapun memuji ciptaan ALLAH yang lain seperti indahnya lautan itu atau cantiknya awan di langit adalah dibenarkan bahkan akan memberikan pahala. Namun, dalam memuji manusia, terdapat beberapa garis panduan dan larangan yang dibincangkan para ulama.

Baca juga Ibadah Haji tidak hanya sekadar mendapatkan pangkat ‘Haji’ dan ‘Hajah’

pujian dilarang agama

PUJIAN sering dianggap sebagai perkara yang positif. Namun, ada juga jenis pujian yang dilarang oleh agama. Foto: 123RF

Sebenarnya, hukum asal memuji seseorang adalah harus. Namun, ia akan menjadi haram dan perbuatan itu dilarang apabila ia dilakukan secara berlebihan sehingga boleh menimbulkan kebohongan.

Sabda Nabi SAW, “Siapa sahaja di antara kalian yang tidak boleh, tidak harus memuji saudaranya hendaklah dia mengucapkan: “Aku merasa si fulan (itu yang demikian) dan Allah yang lebih mengetahui secara pasti akan kenyataannya. Dan aku tidak memberikan pujian ini secara pasti. Aku merasa dia begini dan begitu keadaannya.” Jika dia mengetahui dengan yakin tentang diri saudaranya itu (yang dipuji).” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

pujian dilarang agama

TIDAK salah untuk memuji orang lain tetapi usah berlebihan kerana ia boleh bertukar menjadi kebohongan sekiranya pujian itu dilakukan tanpa keikhlasan penuh. Foto: 123RF

Pujian yang dilarang agama

Menurut portal Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat beberapa sebab yang melarang manusia daripada memuji sesama manusia, iaitu;

1. Memuji secara berlebihan.

2. Mengakibatkan orang yang dipuji timbul perasaan ujub terhadap diri sendiri.

3. Pujian yang boleh membawa kepada kebohongan.

4. Bimbang timbul fitnah.

ARTIKEL BERKAITAN:

Walau bagaimanapun, jika seseorang itu telah mengetahui hakikat dan perangai sebenar orang yang dipuji seperti mengetahui kewarakannya atau sifatnya yang tidak endah akan pujian, maka tidak mengapa untuk memuji.

Adapun, kami berpendapat agar pujian tersebut dilakukan secara sederhana dan bukan berlebih-lebihan. Perkataan dan bahasa yang digunakan juga hendaklah betul sehingga tidak mempengaruhi peribadi dan sifat seseorang.

“Dan pada hadis ini terdapatnya keharusan untuk memuji seseorang secara berhadapan, sekiranya dia berasa aman dari perasaan ‘ujub dan selamat bagi orang lain daripada sebab-sebab yang boleh mendatangkan fitnah.” (Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, An-Nawawi, 2/357)

Tuntasnya, hukum asal memuji itu adalah harus. Namun, ia akan berubah menjadi haram jika dilakukan secara berlebihan dan boleh menyebabkan fitnah serta timbulnya sifat ujub.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan  & Tzkrh

Foto: 123RF

Kekacauan 13 September
Aqidah,

Seburuk-buruk manusia adalah sebaik-baik jin, benarkah begitu?

Seburuk-buruk manusia adalah sebaik-baik jin, benarkah begitu?

MANUSIA dan jin adalah dua jenis makhluk yang sering disebut dalam al-Quran. Walaupun memiliki sifat berbeza, namun apa yang pasti kedua-duanya akan ditaklifkan dan dipertanggungjawabkan dengan amanah melalui proses hisab di akhirat kelak.

Lantas, mempercayai bahawa adanya perkara-perkara ghaib seperti jin dan malaikat adalah tanda keimanan.

Sungguhpun begitu, tidak banyak yang kita ketahui tentang dunia jin, melainkan melalui pengkhabaran yang disebutkan dalam al-Quran serta riwayat-riwayat yang sahih daripada Nabi SAW.

Baca juga Syaitan dan jin boleh melihat aurat kita. Ini cara untuk elak dari dipandang

Antaranya, kita mengetahui bahawa golongan jin dicipta daripada api dan mampu melihat manusia sedangkan manusia tidak dapat melihat mereka.

Firman ALLAH SWT, “Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.” (Surah Al-A’raf, ayat 27)

Tambahan, ada satu ungkapan yang begitu terkenal dalam masyarakat kita iaitu ‘seburuk-buruk manusia adalah sebaik-baik jin’. Maka, tanggapan biasa oleh orang-orang kita adalah jin yang paling baik adalah seperti manusia paling buruk.

Turut disyorkan Kisah masyhur Nabi SAW memberi makan kepada Yahudi buta adalah palsu, jangan sebar sembarangan

manusia jin

ADA satu ungkapan dalam masyarakat kita yang berbunyi, ‘Seburuk-buruk manusia adalah sebaik-baik jin’. Foto: 123RF

ARTIKEL BERKAITAN:

Jin dan manusia dapat balasan sama
Sebenarnya bangsa jin diberi taklifan dan tanggungjawab mengikut syariat sama seperti manusia, iaitu beribadah kepada ALLAH serta mentaati segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-NYA.

Sekiranya golongan jin mentaati apa yang disuruh, maka ALLAH juga akan reda kepada mereka. Sekiranya mereka melakukan dosa dan kemaksiatan kepada ALLAH, maka balasan hukuman dan azab menanti mereka.

Penilaian ALLAH itu adil dan saksama, sesuai dengan apa yang dilakukan.

Firman ALLAH, “…sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka tidaklah ia akan merasa bimbang menanggung kerugian (mengenai amalnya yang baik), dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan…” (Surah al-Jinn, ayat 12)

manusia jin

BAIK manusia mahupun jin akan dihisab dan dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka semasa di bumi. Foto: 123RF

Baca juga Waspada rumah tidak berpenghuni kerana jin gemar bertandang

Benarkah seburuk-buruk manusia adalah sebaik-baik jin?
Jelas portal Mufti Wilayah Persekutuan, jin juga seperti manusia iaitu ada segolongan yang baik dan ada juga sebahagian yang jahat.

Maka, baik manusia mahupun jin, kedua-dua golongan itu adalah hamba ALLAH SWT. Malah, tidak boleh dibezakan dalam hal balasan dan ganjaran kerana di sisi ALLAH, tingkatan ibadah hamba-hamba-NYA adalah sama sahaja.

Lantaran itu, pihak Mufti berpandangan bahawa kenyataan ‘seburuk-buruk manusia adalah sebaik-baik jin’ adalah tidak benar kerana golongan jin yang beriman, soleh dan taat kepada perintah ALLAH SWT sudah tentu lebih baik daripada manusia yang kufur serta melakukan maksiat dan ingkar kepada-NYA.

Selain itu, untuk pengetahuan, ungkapan ‘seburuk-buruk manusia adalah sebaik-baik jin’ juga tidak ditemui dalam mana-mana dalil atau hadis, baik sahih mahupun da‘if.

Sumber: Tzkrh & Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: 123RF

tutup kepala masuk tandas
Gaya Hidup,

Tutup kepala apabila membuang air, adakah ia sunnah atau sekadar adab?

Tutup kepala apabila membuang air, adakah ia sunnah atau sekadar adab?

SEWAKTU kecil dahulu, pernahkah anda ditegur untuk menutup bahagian kepala dengan sesuatu seperti kain tuala dan sebagainya, apabila melunaskan hajat di dalam tandas?

Jika diikutkan, ada banyak adab memasuki tandas dan perbuatan itu adalah antara yang diajarkan kepada kita.

Namun, adakah menutup kepala itu dikira adab semata-mata atau sunnah yang diajar oleh Baginda SAW?

Baca juga Sentiasa tutup pintu tandas elakkan dari dibuka syaitan

tutup kepala membuang air

ADAKAH menutup kepala ketika membuang air itu dikira sunnah atau hanya suatu adab? Foto: Canva

Perbuatan menutup kepala ketika masuk tandas dikira sunnah?
Menerusi sesetengah ulama, ia adalah sunnah kerana melihat kepada dalil yang telah diriwayatkan oleh ‘Aisyah RA mengenai perbuatan Baginda SAW yang pernah masuk ke tandas dengan menutup kepala.

Walau bagaimanapun, dalam portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pihaknya menjelaskan bahawa hadis tersebut dinilai daif (lemah) kerana wujud perawi yang dikritik statusnya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Amalan para sahabat
Perbuatan itu bagaimanapun ada diamalkan oleh para sahabat dan umat selepasnya, antaranya Abu Bakar as-Siddiq.

Hal ini adalah berdasarkan riwayat dari Imam al-Baihaqi RA yang menyebut: “Diriwayatkan pada perbuatan menutup kepala ketika masuk ke dalam tandas daripada Abu Bakar as-Siddiq dan perkara ini sahih daripada beliau.” (Sunan al-Kubra, al-Baihaqi, 1/96)

Mengulas tentang hal ini, pihak Mufti menjelaskan bahawa tidak ada masalah untuk mengikuti amalan para Khulafa al-Rasyidin.

Bahkan kita dituntut mengikut jejak langkah mereka kerana khalifah al-Rasyidin secara umumnya adalah empat tokoh besar yang menjadi pemerintah selepas kewafatan Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar al-Siddiq, Umar bin al-Khattab, Uthman Ibn Affan, serta Ali bin Abi Thalib RA.

Baca juga Sahabat Nabi SAW Tempuhi Perjalanan Sejauh 1,472 KM Demi Sepotong Hadis

tutup kepala membuang air

TIDAK salah mengikuti jejak langkah para Khulafa al-Rasyidin kerana amalan mereka sememangnya berasal daripada sunnah Rasulullah SAW. Foto: 123RF

Baca juga Boleh amalkan zikir daripada ulama dan salafussoleh, tapi pastikan tiada elemen-elemen yang dilarang syarak

Rasulullah SAW sendiri secara khususnya memberikan petunjuk dan arahan kepada para sahabat untuk mengikuti Abu Bakar al-Siddiq dan juga Umar al-Khattab.

Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah Ibn al-Yaman R.A bahawa Nabi bersabda: “Hendaklah kamu semua mengikuti dua orang selepasku iaitu Abu Bakar dan juga Umar.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Manakala dalam hadis diriwayatkan oleh ‘Irbadh bin Sariyah RA bahawa baginda Nabi bersabda: “Maka hendaklah kalian mengikut sunnahku dan juga sunnah para khulafa’ al-rasyidin, dan berpegang teguhlah dengannya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Justeru, berdasarkan hadis-hadis yang dibahaskan, dapat kita faham bahawa hukum menutup kepala ketika masuk ke dalam tandas adalah lebih kepada sunat yang boleh diamalkan kerana ia adalah salah satu adab untuk masuk ke tandas.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Foto: Pexels

Tutup kepala apabila membuang air, adakah ia sunnah atau sekadar adab?

baca al-Quran tudung
Ibadah,

Berdosakah wanita baca al-Quran tanpa pakai tudung?

Berdosakah wanita baca al-Quran tanpa pakai tudung?

AL-QURAN adalah panduan terulung bagi setiap insan yang bergelar Muslim. Mana tidaknya, kalam suci itu mengandung pelbagai kisah para Anbia, hukum-hakam, penawar kesembuhan serta 1001 lagi khazanah berharga untuk diteladani oleh umat Islam.

Dari sudut lain, al-Quran turut boleh diibaratkan sebagai bicara ALLAH SWT kepada seluruh manusia menjadikan statusnya begitu tinggi dan mulia.

Justeru, al-Quran tidak boleh diperlakukan sembarangan atas tanda mengagungkan kalimah ALLAH. Malah ada adab tertentu perlu dijaga apabila ingin menyentuh kitab suci itu, apatah lagi melafazkannya.

Baca juga Jaga adab ketika dengar bacaan al-Quran, Ustaz Hariri tegur penonton majlis Tilawah

baca al-Quran tudung

BOLEHKAH membaca al-Quran dalam keadaan kita berpakaian tidak menutup aurat dengan sempurna? Foto: Pexels

Antara adab membaca al-Quran yang seringkali dititip kepada kita adalah seperti menutup aurat dan mengambil wuduk.

Namun, bagi segelintir orang, al-Quran bukan sahaja dibaca selepas solat. Ada juga yang gemar melafazkan bacaan ketika berehat, menunggu waktu berbuka puasa mahupun sebelum tidur.

Oleh itu, persoalan yang timbul, adakah pada waktu-waktu sedemikian, kita tetap perlu menutup aurat seperti memakai tudung atau memakai seluar melebihi paras lutut ketika membaca al-Quran?

ARTIKEL BERKAITAN:

Dedah aurat

USTAZ Fahmi Rusli

Bagaimana pula hukum membaca al-Quran tanpa menutup aurat? Menjawab persoalan tersebut, pendakwah Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, membaca ayat-ayat al-Quran paling afdal sudah tentulah dalam keadaan yang menutup aurat.

Meskipun begitu, sekiranya seseorang membaca al-Quran dalam keadaan auratnya terdedah, maka tiada masalah padanya.

“Ini kerana menutup aurat tidak termasuk dalam syarat semasa membaca al-Quran. Sebaliknya, ia termasuk dalam bahagian akhlak, adab dan memuliakan syiar ALLAH SWT,” katanya menjawab soalan warganet menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.

SENTIASA mendampingi al-Quran kerana kitab suci itu boleh menjadi penolong kita ketika di akhirat kelak.

Walaupun tidak diwajibkan, namun membaca al-Quran dalam keadaan menutup aurat adalah cara seseorang itu mengagungkan syiar Islam, seterusnya menjadi bukti ketakwaan bagi dirinya. Hal ini bertepatan dengan firman ALLAH dalam Surah Al-Hajj, ayat 32 yang bermaksud:

Demikianlah (ajaran ALLAH) dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama ALLAH maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin.” (Surah Al-Hajj, ayat 32)

Malah Al-Hakim Al-Tirmidzi menyebut dalam kitab Nawadir al-Usul, bahawa antara cara menghormati dan mengagungkan al-Quran adalah berpakaian seperti ketika bertemu raja untuk memohon suatu permintaan.

Baca juga 5 nikmat dan janji ALLAH SWT kepada pencinta al-Quran

baca al-Quran tudung

WALAU apa pun surah yang dibaca, jangan biarkan hari anda berlalu tanpa menyelak kitab suci al-Quran. Foto: Unsplash

Hadirkan kekhusyukan

Antara adab membaca al-Quran
Memetik portal Bernama, antara adab lain ketika membaca al-Quran adalah:

1. Memilih tempat, waktu dan posisi yang sesuai.
2. Menyucikan anggota badan yang terlibat semasa membaca al-Quran.
3. Datangkan niat dan keikhlasan yang sempurna hanya kepada ALLAH SWT.
4. Membaca al-Isti’azah (Auzubillah) dan al-Basmalah (Bismillah).
5. Selesaikan semua urusan sebelum memberi fokus kepada bacaan.
6. Hadirkan diri agar dapat merasai kekhusyukan ketika bersama dengan al-Quran.
7. Menangislah ketika sedang membaca al-Quran.
8. Memberi penekanan terhadap ayat-ayat al-Quran untuk memahami makna-maknanya serta menyedari akan hakikat-hakikat yang terkandung di dalamnya.

Ringkasnya, membaca Al-Quran adalah syiar (tanda atau simbol) agama yang perlu sentiasa dihidupkan, dan hal ini perlu dilakukan dengan cara baik seperti menutup aurat.

Foto: Pexels & Unsplash

Berdosakah wanita baca al-Quran tanpa pakai tudung?

doa fadilatnya
Gaya Hidup,

Doa ini nampak ‘simple’ namun besar fadilatnya

Doa ini nampak ‘simple’ namun besar fadilatnya.

SEWAKTU di bangku sekolah dahulu, kita selalu dididik untuk menghafal doa-doa harian. Ingatkah lagi sebelum mula belajar, kita akan membaca doa beramai-ramai bersama rakan-rakan dan guru?

Baca juga Tiga doa ini pasti dikabulkan ALLAH SWT

Salah satunya ialah doa penerang hati dan ditambahkan ilmu, yang berasal daripada doa Nabi Musa AS.

Lafaznya berbunyi:

رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي
Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku;

وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي
Dan mudahkanlah bagiku, tugasku;

وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي
Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku,

يَفْقَهُوا قَوْلِي
Supaya mereka faham perkataanku;

Satu lagi doa yang lebih ringkas daripada Surah Taha, ayat 114 yang berbunyi:

رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا
Wahai Rabb-ku, tambahkanlah kepadaku ilmu.”

doa fadilatnya

Memetik portal Tzkrh, Dua doa ini sering dikaitkan dengan proses pembelajaran agar diberi kemudahan memahami dan mengingati apa yang dipelajari.

Hakikatnya, rata-rata daripada kita sudah melupakan bacaan tersebut setelah keluar dari alam persekolahan. Adakah doa ini sudah tidak diperlukan sekarang? Adakah ia hanya untuk kanak-kanak?

ARTIKEL BERKAITAN:

Sudah tentu tidak. Kata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, ayat di atas mengandungi dalil berkenaan keutamaan ilmu. Dan ilmu yang dimaksudkan dalam dalil di atas secara khususnya ialah ilmu agama.

Ada juga ulama yang berpendapat bahawa ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu tentang al-Quran, ditambahkan kefahaman dan hafalan.

doa fadilatnya

LUMRAH sebagai manusia, kita akan terus menimba ilmu baru walaupun sudah meninggalkan alam persekolahan. Foto; Pexels

Kefahaman kita kepada ilmu agama pada waktu kecil dahulu mungkin hanya pada tahap permukaan sahaja. Seharusnya seiring bertambahnya usia, maka kefahaman baru tentang ilmu agama juga perlu diperdalam kerana kita sudah mempunyai kemampuan akal yang lebih luas.

Melihat kepada perkembangan semasa, ilmu agama juga mengalami kemelut. Ia kadang-kadang bercampur dengan perkara yang tidak sahih. Ada pula orang yang tidak faqih dirujuk untuk memahami tentang suatu permasalahan baru yang timbul, dan ada yang berpaksikan kebebasan bersuara atau sekadar ‘menasihati’, untuk mengeluarkan buah fikiran yang pelbagai.

Justeru, jangan tinggalkan dua doa di atas dalam kehidupan seharian kita. Semoga ALLAH menambahkan kefahaman yang tulen tentang ilmu agama dan ilmu-ilmu lain secara keseluruhannya.

Sumber: Tzkrh

Foto: Pexels

Doa ini nampak ‘simple’ namun besar fadilatnya.

hilang status perkahwinan
Berita Semasa,

Wanita hilang selepas sehari bernikah, apa status perkahwinan itu?

Wanita hilang selepas sehari bernikah, apa status perkahwinan itu?

SIAPA sangka hari yang sepatutnya indah buat seorang pengantin lelaki dari Indonesia berubah menjadi pilu dalam sekelip mata apabila wanita yang baru sehari sah menjadi isterinya telah hilang tak dapat dikesan.

Menurut serambinews.com, pasangan yang menetap di Rancabungur di Bogor, Indonesia itu telah bernikah pada 25 Jun lalu.

Namun hanya sehari selepas itu, isterinya dilaporkan hilang selepas keluar rumah untuk membeli makanan dengan menaiki motor.

Baca juga Tiada masalah kahwin wanita lebih berusia, yang penting utamakan agama

Memetik sumber itu lagi, wanita terbabit sudah lebih seminggu menghilang tetapi keberadaannya masih menjadi tanda sang suami.

Jelas pemuda tersebut, dia tidak mempunyai apa-apa masalah dengan isterinya sebelum ini dan mereka telah bercinta selama 5 bulan atas dasar suka sama suka, bukannya kerana dipaksa atau diatur keluarga.

Bercerita mengenai apa yang berlaku sebelum kejadian, dia dan isterinya dikatakan begitu mesra dan perbualan mereka juga tidak timbul sebarang kata-kata yang mencurigakan.

Lelaki itu juga berkata, dia sudah membuat laporan polis dan berharap agar isterinya itu dapat ditemukan dengan kadar segera.

hilang status perkahwinan

Apa jadi pada perkahwinan jika pasangan hilang?
Dalam Islam, situasi sebegini digelar sebagai mafqud.

Menurut para ulama Syafie kontemporari, mafqud adalah: “Orang yang hilang dari tempat asalnya dalam tempoh yang lama sehingga terputus berita mengenainya dan tidak diketahui juga sama ada dia masih hidup ataupun telah meninggal dunia.

Sebagaimana dijelaskan oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan (W.P), ada dua jenis mafqud atau hilang di sisi agama dan bagaimana situasi tersebut boleh mempengaruhi status perkahwinan

1. Suami yang hilang tetapi keadaannya diketahui dan boleh dihubungi.
Dalam situasi ini, si isteri tidak berhak untuk berkahwin lain berdasarkan kepada ijmak para ulama. Namun, sekiranya suami gagal untuk memberi nafkah harta kepada isterinya, maka isteri berhak untuk menuntut fasakh melalui qadhi.

2. Suami yang hilang dalam keadaan terputus khabar berita dan tidak diketahui lokasi keberadaannya. Dalam keadaan ini, para fuqaha berselisih pendapat kepada beberapa pandangan.

Dalam mazhab Syafie, para ulama terbahagi kepada dua pendapat, iaitu sebelum mengahwini lelaki lain, isteri perlu terlebih dahulu menunggu

1. Mengikut tempoh yang ditetapkan, atau
2. Sehingga ada kepastiannya suaminya telah meninggal dunia atau menjatuhkan talak

Dari segi waktu menunggu, ada sebahagian ulama mengatakan tempohnya adalah 4 tahun dengan tambahan masa ‘iddah 4 bulan 10 hari. Pendapat ini juga dipegang oleh Umar bin Al-Khattab, ‘Uthman bin ‘Affan, Ibn ‘Abbas, Ibnu ‘Umar, Malik bin Anas, dan Ahmad.

Pun begitu, pandangan masyhur dalam kalangan ulama Syafie termasuklah pihak Mufti W.P adalah tempoh menunggu adalah bergantung kepada keputusan dan pertimbangan hakim.

Hal ini kerana tidak ada nas yang jelas daripada dalil-dalil Quran dan Sunnah berkenaan penetapan tempoh-tempoh tertentu secara tetap bagi tempoh mafqud sebelum seseorang itu diputuskan sebagai mati.

Jadi, ini bermakna, jika hakim menentukan masa 4 tahun, maka si isteri perlu menunggu sehingga tempoh itu sebelum dibenarkan berkahwin lain selepas ‘iddah.

Walau bagaimanapun, jika selepas 6 bulan misalnya, sudah dapat disahkan dengan bukti bahawa suaminya meninggal dunia, maka si isteri boleh terus berkahwin lain setelah tamat ‘iddah.

Si isteri berkahwin lain tanpa menunggu habis waktu ditetapkan
Jika si isteri berkahwin lain tanpa menunggu selama tempoh yang ditetapkan serta tidak mendapatkan keputusan daripada mahkamah syariah mengenai status perkahwinannya dengan suami yang hilang, maka pernikahan baru itu dikira tidak sah.

Manakala, anak yang dikandung si isteri hasil hubungannya dengan suami kedua adalah anak syubhah yang lahir daripada persetubuhan syubhah dan dinasabkan kepada ayahnya serta berlaku hukum waris antara si ayah dan anak tersebut.

Suami kembali setelah hilang
Dalam pada itu, sekiranya si suami yang hilang kembali semula setelah tamat tempoh mafqud, beliau berhak memilih untuk menikahi isterinya kembali, atau menerima pemulangan mahar (merelakannya dengan suami baru).

Pandangan ini berdasarkan kenyataan Saidina Umar dan Saidina Uthman yang berkata,

“Apabila suaminya kembali (setelah tamat tempoh mafqud), maka si suami diberi pilihan antara kembali memperisterikannya atau menerima pengembalian mahar isterinya tersebut.” (Riwayat Ibn Abi Syaibah, no. 16723)

Apa pun, setiap daripada kita perlu cakna dengan hukum-hakam agama berkaitan isu ini kerana ia boleh memberi impak kepada perkahwinan serta menyentuh hal halal dan haram dalam perhubungan.

Sumber: Serambinews.com & Portal Mufti Wilayah Persekutuan 

Foto: 123RF & TikTok

Wanita hilang selepas sehari bernikah, apa status perkahwinan itu?