Browsing Tag

fitnah

Dosa
Gaya Hidup, Uncategorized,

Penyebar fitnah undang kecelakaan dalam masyarakat

FITNAH sering dikaitkan dengan tuduhan palsu kepada individu lain dengan ‘dosa yang lebih besar daripada membunuh’ dan menghubungkannya dengan surah al-Baqarah ayat 191. Hakikatnya fitnah dalam ayat tersebut membawa maksud syirik kepada ALLAH SWT bukan bermaksud tuduhan palsu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Celakalah golongan pelampau”. Baginda mengulangkannya sebanyak tiga kali (Hadis Riwayat Muslim).

Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman berkata, Imam al-Nawawi menyatakan golongan pelampau yang disebutkan di dalam hadis ini ialah golongan yang melampaui batas dalam pengucapan mereka.

“Lidah mereka bebas berkata-kata tanpa ada batasan sehingga menjadi penyebab kepada kerosakan yang berlaku dalam masyarakat,” jelasnya.

“Penyebar maklumat palsu, tidak benar atau tidak dipastikan kesahihannya melalui media sosial dan sebagainya boleh dikategorikan sebagai golongan pelampau yang akan mendapat kecelakaan”

“Bahkan, golongan seumpama ini lebih dahsyat kerana penyebaran berita melalui media sosial sangat cepat berlaku dan sangat merosakkan,” tegas Dr Sukki.

DR SUKKI OTHMAN

Cerita dan berita rekaan

Kalimah ‘fitnah’ berasal daripada perkataan Bahasa Arab yang mengandungi beberapa makna seperti ibtila’ atau ujian.

“Ibn Athir menyatakan, pada asalnya perkataan fitnah digunakan oleh orang Arab dengan maksud ujian, kemudian penggunaanya berkembang dan mempunyai pelbagai makna.”

“Kalimah fitnah dari segi istilah mempunyai pelbagai maksud sesuai dengan situasi ia digunakan. Ibn Hajar dalam kitab Fath al-Bari menyebut bahawa: “Sesungguhnya fitnah itu kebiasaannya dibuat untuk mengubah (sesuatu) dan mereka-reka.”

Firman ALLAH dalam surah al-Baqarah ayat 191 bermaksud: “Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar Masjidilharam sehingga mereka memerangi kamu di situ. oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.

“Dalam ayat ini, perkataan fitnah menunjukkan maksud syirik yang merupakan jenayah yang lebih besar daripada perbuatan membunuh dalam bulan-bulan haram,”

Dalam masyarakat Melayu perkataan fitnah memberi maksud yang lebih spesifik, iaitu merujuk kepada tuduhan palsu yang direka cipta untuk memburukkan seseorang atau sesuatu pihak yang boleh membawa kepada porak-peranda.

Dr Sukki berkata hukumnya adalah jelas haram. “Nabi SAW mengecam sekeras-kerasnya perbuatan fitnah sebagaimana sabda baginda yang bermaksud:“Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).”(Hadis Riwayat al-Bukhari),”

“Maksud mengadu domba seperti kata ulama ialah memindahkan cakap manusia atau orang ramai daripada seseorang kepada seseorang yang lain dengan tujuan untuk merosakkan hubungan mereka. Perkara ini juga termasuk menerusi tulisan yang disebarkan seperti dalam Facebook, Whatsapp, Instagram, blog dan lain-lain,” katanya.

Baca juga Usah lontarkan komunikasi dan komentar jelik, itu bukan akhlak Islam

Selalulah melakukan tabayyun

Solusi kepada hal ini boleh diatasi melalui konsep pencerahan atau tabayyun. Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Ahmad Sunawari Long menyarankan setiap orang melakukan tabayyun iaitu menyemak dan menyiasat setiap berita yang diterima sebelum dihadam.

DR AHMAD SUNAWARI

“Setiap berita yang diterima harus disiasat tentang kesahihan, sumber dan kandungannya terlebih dahulu. Fikir sejenak sebelum bertindak. Logik akal dan hukum agama hendaklah menjadi pengukur dalam menerima dan menyibarkan berita seperti dalam ungkapan: “Kalau tidak pasti jangan kongsi,” katanya.

Terdesak menjadi orang pertama menularkan sesuatu berita menyebabkan fitnah berleluasa. Ramai yang teruja menokok berita lalu mensensasikannya bagi menambah rasa terhadap berita yang disampaikan.

“Sudah menjadi naluri manusia biasanya ingin menjadi yang pertama kerana untuk disanjungi atau dipuji. Demikian juga dalam penyebaran berita, mereka melakukannya kerana ingin cepat diketahui oleh pihak lain tanpa memeriksa terlebih dahulu tentang kesahihannya asalkan ia menjadi orang pertama menyampaikan berita,”

Ujar Dr Ahmad Sunawari, dalam keghairahan menjadi yang pertama, berlaku kegopohan untuk menyemak kesahihan, ketepatan dan sumber berita.

“Lebih parah jika berita yang disampaikan langsung hilang daripada inti cerita sebenar atau sumber asal sehingga boleh menjatuhkan maruah atau merosakkan reputasi orang yang dimaksudkan.”

“Akhinya berita bertukar menjadi fitnah, lalu merosakkan hubungan kemanusiaan, individu dan keluarga,” keluh beliau kesal.

Baca juga Hati kita sifatnya berbolak-balik, jangan dibiar usang jadi lubuk dosa

Fitnah
Gaya Hidup, Pilihan Editor,

Bahana Fitnah! Bukan Saja Tiada Keberkatan Di Dunia, Malah Kita Akan Muflis Di Akhirat

no comment

Oleh DR MOHD ASHROF ZAKI YAAKOB

PERKATAAN fitnah dalam al-Quran mengandungi pelbagai maksud. Antaranya syirik, maksiat, bala, kesempitan, kerosakan, pembunuhan dan peperangan. Ia membawa konotasi negatif bagi setiap perbuatan dan situasi.

Pada hari ini, penyebaran fitnah mudah dilakukan sama ada melalui ucapan, surat layang, laman web, WhatsApp, Facebook, Twitter atau Instagram yang biasanya tersebar dengan cepat.

Sikap itu amat ditegah kerana Islam menganjurkan agar setiap berita yang diterima mestilah diselidiki terlebih dahulu sebelum disebarkan kepada orang lain.

Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 6 bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Sungguh menyedihkan apabila perilaku hina berkenaan menjadi budaya dalam masyarakat kita hari ini. Mereka menganggap ia sebagai satu kepuasan jika dapat melakukan perbuatan itu.

Ketahuilah, fitnah digolongkan sebagai antara dosa besar sesama manusia. Justeru, dosa itu sama sekali tidak akan diampunkan oleh ALLAH SWT, melainkan setelah orang yang difitnah itu memberi kemaafan.

Fitnah

FITNAH termasuk antara dosa besar sesama manusia dan ia tidak akan diampunkan oleh ALLAH SWT melainkan selepas orang yang difitnah memberi kemaafan kepada pelakunya.

Satu perkara yang pasti, penabur fitnah bakal mendapat azab seksa di dalam kubur. Daripada Samurah bin Jundub RA, Rasulullah SAW bersabda: “Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disangkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disangkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan daripada rumahnya sehingga ke seluruh ufuk penjuru dunia.” (Riwayat Imam al-Bukhari)

Golongan itu juga pastinya tidak akan masuk syurga, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Huzaifah RA yang mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Penabur fitnah tidak akan masuk syurga.” (Riwayat Imam al-Bukhari)

Perbuatan mungkar itu umpama api membakar daun dan ranting kering, ia cepat merebak dan akan menjadi abu. Dengan erti kata mudah, ganjaran amalan baik yang dilakukan sebelum ini terhapus dan menjadi muflis di akhirat nanti!

Bukan itu sahaja, kehidupan di dunia akan hilang keberkatan dan turut dilaknat oleh para malaikat.

Baca juga ‘Cari rezeki halal lagi berkat, sekalipun badan dan otak kita penat‘

Wujudkan konflik, dendam

Sejarah silam telah membuktikan bagaimana fitnah menjadi punca kematian Saidina Uthman bin ‘Affan RA.

Ia juga menjadi penyebab utama kepada peperangan sesama Muslim ketika zaman pemerintahan Saidina Ali bin Abi Talib KRW.

Fitnah jugalah yang telah meruntuhkan kekuatan Bani Umayyah, malah sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu-Islam Melaka.

Sesungguhnya, perbuatan keji tersebut akan menyebabkan konflik dan dendam yang berterusan.

Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 12 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada ALLAH; sesungguhnya ALLAH PENERIMA TAUBAT DAN MAHA MENGASIHANI.

Fitnah

MEDIA sosial kini menjadi platform utama pihak tertentu untuk menyebarkan fitnah.

Cegah diri

Dalam era moden ini, tanggungjawab membendung gejala buruk itu dalam organisasi dan masyarakat perlu dilakukan bersama.

Semua pihak perlu memainkan peranan dalam menggerakkan kempen menyelidik kebenaran sesuatu fakta terlebih dahulu dan mengetahui kesan daripada perbuatan menyebarkan berita palsu.

Nasihat saya juga, golongan yang suka dan terbiasa memfitnah, perlu insaf dan segera bertaubat.

Selamilah firman ALLAH dalam Surah al-Baqarah, ayat 193: “Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana ALLAH. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim”.

Kita hendaklah meyakini bahawa setiap perkataan dan perbuatan akan dipertanggungjawabkan di hadapan ALLAH SWT pada hari akhirat kelak. Setiap satunya akan dicatat dan diberikan balasan yang setimpal dengannya.

Justeru, umat Islam sama sekali dilarang menyebarkan fitnah kerana ia boleh menimbulkan perpecahan dan perbalahan.

Dalam Surah an-Nur, ayat 19, ALLAH berfirman: “Sesungguhnya, orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang yang beriman, mereka akan beroleh azab yang amat pedih di dunia dan di akhirat dan ALLAH mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui.”

***Dr Mohd Ashrof Zaki Yaakob ialah Pengarah, Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor. Beliau juga ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari di universiti yang sama

Foto: 123rf, Pexels & Unsplash

2bc00d5b-410a-45b0-b5bb-54c23f3d5aed
Berita Semasa, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

The New York Times ‘Dibayar’ Pro-Israel Siar Iklan Fitnah Anti-Palestin

no comment

Terpampang satu halaman penuh poster di halaman akhbar The New York Times, Sabtu lalu yang berbunyi, Bella, Gigi dan Dua; Holocaust Kedua Oleh Hamas, KUTUK MEREKA SEKARANG!

The New York Times dibantah atas iklan halaman penuh memfitnah Gigi Hadid, Bella Hadid dan Dua Lipa sebagai anti-semitik atas sokongan mereka terhadap rakyat Palestin semasa pengeboman di Gaza oleh Israel yang membunuh lebih dari 200 orang awam termasuk 66 kanak-kanak.

Iklan yang memfitnah tiga selebriti sebagai anti-semitik. Gambar: Twitter

Dalam iklan berbayar itu, Ketua World Values Network, (Pro-Israel), Rabbi Shmuley Boteach menamakan tiga model berkenaan sebagai “mega-influencer” yang telah menuduh Israel sebagai pembersihan etnik dan menghina Negara Yahudi.

Sebagai tindak balas, Lipa mengecam organisasi itu dengan mengatakan ia menggunakan namanya tanpa malu-malu untuk memajukan kempen jijik mereka dengan berita palsu dan secara terang-terangan menyalahi etika kewartawanan.

Lipa menulis di dalam akaun twitternya mengecam tindakan organisasi akhbar yang tidak bertanggungjawab itu.

Lipa menggunakan Twitter pada Sabtu lalu untuk menolak tuduhan palsu dan mengerikan serta mengatakan bahawa World Values Network memutarbelitkan apa yang dia perjuangkan hak kemanusiaan terhadap rakyat Palestin.

Dua Lipa. Gambar PopJustice

“Saya bersatu padu untuk menyokong dengan semua orang yang tertindas dan menolak semua bentuk perkauman,” tulisnya.

The New York Times menerima kecaman banyak pihak menerusi semua saluran media sosial kerana membenarkan iklan seperti itu diterbitkan di akhbar mereka.

“Selain kemerosotan kemasukan iklan dari @nytimes untuk akhbar itu yang menurun sangat luar biasa, tindakan mereka sangat tidak berasas kerana memfitnah Dua Lipa, Bella Hadid dan Gigi. Ini jelas mereka juga adalah pro-Israel, pro-apartheid, lobi anti-Palestin sedang mengalami tekanan, “tulis seorang pengguna Twitter.

Dua beradik, Bella dan Gigi mempertahankan sokongannya terhadap Palestin. (Photo by Bertrand Rindoff Petroff/Getty Images)

“The New York Times harus malu dengan diri mereka sendiri kerana menjalankan memprovokasi terhadap model berkenaan. Artikel seperti ini dikeluarkan untuk menghasut keganasan dan mengenepikan suara wanita yang memperjuangkan hak asasi manusia Palestin. Mereka menutupi realiti pembersihan etnik,” tulis pengguna lain.

Banyak yang memberikan semangat dan mencadangkan kepada tiga wanita itu untuk menyaman akhbar itu kerana mengeluarkan iklan tuduhan dan memfitnah mereka. Malah ini juga bukan kali pertama The New York Times mencetus kontroversi dalam menyiarkan poster iklan.

Ramai masyarakat membandingkan iklan berkenaan dengan iklan yang pernah dibayar oleh Usahawan Donald Trump pada tahun 1989 yang menganjurkan hukuman mati kepada lima budak lelaki kulit hitam dan Latino yang disabitkan secara salah kerana merogol seorang wanita di New York City dalam kes yang didakwa melibatkan isu perkauman itu.

Pada masa itu, Donald Trump mengeluarkan beberapa iklan halaman penuh yang meminta pengembalian hukuman mati dan pada tahun 2019 mantan presiden AS itu tetap mempertahankan kenyataannya, walaupun mereka tidak bersalah.

Akaun twitter Mark Ruffalo turut menyatakan solidariti terhadap Palestin.

Ramai selebriti termasuk penyanyi John Legend, Zayn, Roger Waters, The Weeknd dan Mark Ruffalo juga telah difitnah di media sosial kerana menghantar mesej pro-Palestin.

Pengeboman 11 hari yang dahsyat di Gaza oleh Israel telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 248 orang Palestin, termasuk 66 kanak-kanak.

Dianggarkan 72,000 orang Palestin telah kehilangan tempat tinggal, sementara pejabat kemanusiaan mengatakan, kerosakan harta benda dan infrastruktur boleh memakan waktu bertahun-tahun untuk dibangunkan kembali.

Bella Hadid sebagai jurucakap kepada produk berjenama Dior. Gambar: Helo!Magazine

Sementara itu, minggu lalu juga desas desus mengatakan Bella yang menjadi jurucakap bagi produk jenama mewah seperti Dior ditamatkan kontrak gara-gara menyertai demonstrasi menyokong hak kemanusian perjuangan Palestin daripada terus ditindas penjajah Israel pada Perang Pedang Al-Quds yang bermula beberapa hari sebelum umat Islam seluruh dunia menyambut Aidilfitri.

Bella juga didakwa menerima ugutan bunuh oleh pihak yang tidak dikenali dan mendedahkan lokasi kediamannya di media sosial. Perbuatan tidak bertanggungjawab itu sedikit pun tidak melunturkan semangat Bella dan para pejuang Palestin apabila dia tetap mendapat sokongan ramai pihak yang akan terus menyokong tindakan Bella itu.

Sumber: The New Arab